“Minggu lepas Ramlah call saya, minta tolong carikan menantu untuk dia.” Hamidah mula membuka cerita kepada suaminya.
“Ramlah mana?” soal Baharom yang masih keliru. Pantas betul isterinya mencari pengganti buat anak gadis sulung mereka itu.
“Ramlah isteri arwah Majid tu. Abang ingat tak? Yang tinggal di Taman Carrisa tu.” Hamidah cuba mengembalikan ingatan suaminya terhadap sahabat baiknya itu.
“Oh, Ramlah kawan awak dari kecik tu ker?” Baharom meminta kepastian.
“Iya lah. Ramlah yang itulah. Anak sulungnya, Luqman dan lima tahun hidup membujang. Isterinya meninggal masa anak keciknya berumur 2-3 bulan macam tu. Dia jaga sorang-sorang anak dia sampai sekarang.” cerita Hamidah lagi.
“Jadi, kenapa sekarang baru nak kahwin?” soal Baharom. Agak kurang selesa apabila anak gadisnya mahu dijodohkan dengan duda beranak dua.
“Bukan dia yang nak kahwin sangat, tapi Ramlah tu kesian sangat dia tengok anak dan cucu-cucunya tu. Tak terurus sangat budak-budak tu pergi sekolah. Nak harapkan dia, dia pun macam kitalah, abang. Mana nak larat lagi dah.” Ayat-ayat isterinya itu membuatkan Baharom semakin serba-salah.
“Jadi yang sebenarnya dia lah yang nak kan menantu, bukannya si Luqman tu yang nak beristeri. Kamu dah fikir habis ker nak jodohkan anak kita pula dengan dia?” soal Baharom lagi. Dia masih belum yakin.
“Budak tu baik orangnya, abang. Yang pasti, dia layan isterinya dulu dengan baik. Bertanggungjawab. Sudah ada ekonomi yang kukuh. Saya yakin dia boleh menjaga anak kita dengan baik juga. Itu je yang saya fikir, abang.” Kata Hamidah.
“Kamu okay ke, Mylia?” pandangan mereka berdua tertumpu kepada Mylia sekarang.
“Umi, abi, bagi masa sikit untuk Mylia fikirkan hal ini ya. Mylia tak boleh nak berikan keputusan lagi waktu ini.” Dia menjawab dengan penuh sopan dan hormat.
“Tak apa, Mylia. Umi bukan minta keputusan segera. Nanti umi hantar gambar Luqman tu kat kamu, lepas tu kamu tengoklah dan cuba buat keputusan. Tapi umi berharap sangat-sangat Mylia setuju.” Kata Hamidah sambil menepuk perlahan-lahan bahu anaknya itu.
Mylia berjalan lemah menaiki tangga menuju ke biliknya. Mysha dan Marya telah lama terlentang di bilik masing-masing agaknya. Sebaik sahaja dia merebahkan badannya, telefonnya bergetar. Mesej bergambar daripada uminya tadi telah sampai. Bersemangat sungguh umi.
Selain daripada mesej umi, terdapat berdedam-dedam lagi mesej dan panggilan daripada Sufian yang dia malas untuk menjawab. Entah apa lagi yang dia mahukan. Hati Mylia sudah tawar. Dengan pantas dia menyekat semua panggilan dan mesej daripada lelaki itu. Dia tidak mahu ambil tahu tentang lelaki itu. Kisah cinta mereka sudah berakhir di Pizza Hut kerlmarin.
“Assalamualaikum, Midah.” Ramlah menyapa panggilan sahabatnya dengan ceria. Dia mengharap ada perkhabaran indah daripada Hamidah.
“Waalaikummussalam. Kau tengah buat apa? aku tak kacau ker ni?” soal Hamidah pula. bimbang pula dia mengganggu.
“Aku tak buat apa pun. Duduk depan tv ni. Ingat nak tengok drama Indonesia ni, last-last tv tengok aku.” Berderai ketawa dua sahabat itu.
“Anak engkau si Luqman tu betul-betul ke nak kahwin? Nanti kalau anak aku tu dah setuju, tiba-tiba Luqman pula menolak, buat penat jer usaha aku.”
Tiada isu lain buat masa ini untuk mereka bualkan. Selain berniat untuk membahagiakan anak-anak mereka, mereka juga berharap agar hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin bertukar status menjadi keluarga pula.
“Luqman tu, kalau kau tanya dia memang dia jawab tak mau. Tapi sampai bila dia nak hidup sorang-sorang macam tu. Aku tak fahamlah dengan dia tu. Tau lah sayang arwah pun, tapi takkan lah sampai nak siksa diri dia sendiri. Sampai bila?”
“Kalau dia sorang-sorang aku tak kisah sangat lagi. Ini sekali dengan anak-anak dia tu hidup tak ada mak. Dah la dua-dua tu perempuan. Nanti hal-hal orang perempuan, macam mana dia nak tolong?” bebel Ramlah panjang lebar.
“Betul cakap kau, Ram. Kita bagi diorang berjumpa dulu nak? Kot-kotlah boleh terbuka hati masing-masing bila dah berjumpa depan mata.” Hamidah mula membuat perancangan.
“Boleh juga tu. Biar aku yang pergi rumah engkau. Kalau engkau datang rumah aku, nanti dia lari keluar pula.” Ramlah bersetuju sangat dengan cadangan Hamidah.
“Hari apa Luqman tak kerja?” soal Hamidah lagi.
“Dia hari-hari kerja. Buka kedai macam tu, mana boleh tutup. Rugi katanya. Tapi boleh je dia tinggalkan kedai tu kejap. Setakat sejam dua tu okay.”
“Kalau macam tu, kau datang hari Ahad depan. Hari lain anak aku tu kerja. Kau datang makan tengahari kat rumah aku. Bawa lah sekali cucu-cucu engkau tu ya.” Hamidah merancang lagi.
“Erm… kalau malam boleh ker? Hari Ahad tu anak cucu aku balik. Takkan aku nak tinggal diorang kat rumah pulak. Macam tak sesuai je. Petang tu diorang semua dah bali. Malam boleh la aku bertandang kat rumah kau.” Cerita Ramlah lagi.
“Seronok eh kau, dah ramai cucu. Dah ramai anak menantu. Aku ni, sorang pun tak lepas-lepas lagi. Yang kecik sekali tu pun duk sekolah lagi.” Sesungguhnya Hamidah mencemburui kehidupan sahabatnya itu.
“Alah, rezeki masing-masing Midah. Dah jodoh aku awal, nak buat macam mana. Lepas tu, ajal suami aku pun awal juga. Engkau pun beruntung juga, suami masih sihat walafiat.” Hamidah turut mengakui kebenaran kata-kata Ramlah itu. Masing-masing punyai rezeki masing-masing.
Hari-hari berikutnya dilalui dengan begitu lemah sekali. Mylia cuba untuk menceriakan dirinya sendiri, tetapi hatinya sentiasa terasa kosong. Hilang semangatnya waktu itu.
“Oi Mylia, kenapa dengan engkau ni? Monyok je aku tengok.” Tegur Mikail, rakan sepejabatnya.
“Tak ada apa lah, Mika. Aku rasa macam tak sedap badan je sikit.” Balas Mylia bersahaja. Malas pula dia nak melayan borak dengan Mikail saat itu.
“Tengok tu, nak layan aku pun dah malas. There is always something about nothing.” Jawab Mika. Meja mereka disusun secara berempat dan dia duduk berdepan dengan Mylia. Oleh kerana pembahagi meja itu hanya setinggi satu kaki, amat mudah untuk Mikail yang tinggi lampai itu melihat keseluruhan raut wajah rakan di hadapannya itu.
“Kau tak ada kerja ke, Mika? Asyik nak kacau aku je ni kenapa?” soal Mylia sambil menjegilkan matanya kepada Mikail.
“Aku tanya jer. Bukannya nak kacau. Nah, kau settlekan report ni. Asyik termenung saja dari tadi.” Kata Mikail sambil mencampakkan sebuah fail hitam keras ke atas meja Mylia. Terkejut Mylia dengan fail terbang yang tiba-tiba mendarat di hadapannya itu.
“Woi! Apa hal kau ni? kerja aku pun banyak lah.” Mylia bangun dari duduknya dan mencampakkan kembali fail tersebut kepada Mikail. Pantas sungguh lelaki itu menyambar fail itu sebelum ia sempat mendarat.
“Haaa… comel pun muka tu. Semangat lah sikit aku nak buat kerja. Nah ambik ni!” sekali lagi Mikail mencampakkan sesuatu ke meja Mylia.
“Cadbury Hazelnut! Kau memang tau je kan aku suka apa?” Mylia sudah tersengeh gembira mendapat coklat kegemarannya itu. Sememangnya coklat sentiasa menceriakan Mylia. Tambah-tambah lagi coklat percuma.
Mikail menggeleng-gelengkan kepalanya. Faham sangat dengan rutin wanita itu. Sudah tiga tahun mereka bekerja bersama-sama di situ. ‘Mujur lah engkau tunang orang. Kalau tak, dah lama aku sebat!’ fikir Mikail sendirian. Sesekali Mikail menjeling ke arah Mylia yang sedang menikmati coklat pemberiannya sebentar tadi.
“Apasal kau pandang-pandang? Kau nak balik eh coklat ni?” soal Mylia setelah terperasan Mikail asyik menjeling-jeling kepadanya. “Nah ambik. Satu bar jer aku bagi. Lain semua aku punya. Buruk siku!” cakap Mylia kepada lelaki di hadapannya itu.
Tanpa amaran, Mikail terus bangun dan menggigit coklat itu langsung dari jemari Mylia. Kemudian, dia terus bangun dari mejanya dan beredar daripada bilik mereka itu.
Dia tidak boleh lama di situ. Mukanya sendiri sudah terlalu merah kepanasan. Entah dari mana datangnya keberanian untuk dia berbuat sedemikian. Dia mesti mengawal dirinya sendiri.
Mylia masih terkesima di mejanya. Mujurlah tiada sesiapa pun rakan-rakan kerjanya yang lain yang perasan dengan reaksi spontan Mikail sebentar tadi. Merah sekejap pipi Mylia.
Kadang-kadang Mylia hairan dengan sikap Mikail. Mikail melayannya bagaikan hubungan mereka lebih daripada sekadar kawan sepejabat. Dia tidak pernah segan-silu untuk berkongsi makanan atau minuman dengan Mylia. Mylia pula yang naik malu apabila makanan atau minumannya di sentuh Mikail.
Ada masa, Mikail akan menggunakan sudu atau straw sendiri. Tetapi ada juga masa dia terus menggunakan sudu atau straw yang Mylia gunakan. Dan bila Mikail berbuat demikian, Mylia tidak akan lagi menyentuhnya. Dan hari ini, Mikail makan terus dari jari-jemarinya.
Selalunya Mylia hanya akan membiarkan perkara itu berlalu. Tetapi dia rasa hari ini dia perlu bersemuka dengan lelaki tersebut. Mylia menunggu Mikail kembali ke mejanya dengan penuh sabar.
‘Mana pula Mika ni pergi?’ soal Mylia sendirian di dalam hatinya sambil terjengah-jengah ke arah pintu.
“Engkau ni dah kenapa? Resah semacam. Tengah tunggu siapa?” soal Risya di meja sebelah. Mylia tersengeh tanpa jawapan.
Dek kerana terlalu lama, Mylia mula mencapai salah satu fail yang menimbun di hujung meja. Sambil-sambil menunggu Mikail, sekurang-kurnagnya ada juga kerja yang siap. Punya asyik Mylia menyiapkan kerjanya, dia langsung tidak terperasankan masa yang berlalu.
“Kau tak nak balik lagi ker? Dah pukul 5 ni.” Risya menegur Mylia yang masih leka mengadap komputer di mejanya. Mylia mengangkat kepalanya memandang Risya.
“Dah pukul 5? Wah, tak sedar langsung.” Kata Mylia. Dia memandang meja Mikail. Masih tak bersentuh sejak tadi. “Mika dah balik ker?” soal Mylia kepada Risya.
“Tak tau. Aku tak perasan pulak bila dia balik.” Jawab Risya. Tangannya sibuk mengemaskan mejanya sebelum bergerak balik. “Aku gerak dulu.” Kata Risya sambil menggalas beg tangannya ke bahu dan melangkah pergi.
Mylia juga enggan menunggu dengan lebih lama. Dia juga mengemaskan mejanya untuk bergerak pulang. Setelah berpuas hati dengan keadaan mejanya, Mylia menggalas beg tanyanya ke bahu dan bergerak untuk pulang.
Belum sempat dia membuka pintu pejabatnya, pintu terlebih dahulu dibuka dari luar. Sebaik sahaja pintu itu terkuak, susuk tubuh Mikail yang tinggi lampai dan berbadan tegap itu terpacak di luar pintu. Mylia perlu sedikit mendongak untuk bercakap dengan Mikail walaupun saat itu dia sudah pun memakai kasut bertumit setinggi dua inci setengah.
“Mika, kau pergi mana? Lama betul aku tunggu kau.” Soal Mylia yang sedikit risau dengan kehilangan Mikail sebentar tadi.
“Aku pergi berborak dengan Suzie kat unit akaun. Kenapa engkau tunggu aku?” soal Mikail kembali kepada Mylia. Tidak pernah-pernah Mylia menunggunya sebelum ini. Mylia mengangkat tangannya untuk melihat jam. Sudah agak lewat untuk dia berbual-bual dengan Mikail waktu itu. Jadi dia membatalkan niatnya tadi untuk bertanya.
“Tak ada apa lah. Jumpa esok!” kata Mylia dan terus berlalu pergi.
“Okay, see you.” Mikail membiarkan sahaja Mylia berlalu pergi. ‘Dia dah berani nak confront aku ker? Kenapa kali ni dia nak confront pula? Selalu dia tak pernah pun nak tanya apa-apa. Dia redha je apa aku buat kat dia. Tak boleh jadi ni? Aku mesti lebih kawal diri lepas ni. Mika, kau jangan nak mengada lebih-lebih dah lepas ni! Ingat!’ Mikail memberi amaran kepada dirinya sendiri.
“Mylia, hujung minggu ni, kamu ada program?” soal Hamidah kepada anaknya.
“Tak ada pun umi. Kenapa?” mereka sedang memasak bersama-sama di dapur pada waktu itu.
“Makcik Ramlah nak datang makan malam kat rumah. Mama nak Mylia ada di rumah waktu itu tau.” Pesan Hamidah kepada anaknya.
“Makcik Ramlah? Kawan baik mama tu ker?” soal Mylia kembali apabila nama itu.
“Em… hmm…” ringkas sahaja jawapan umi.
“Erm… anak dia tu datang sekali ke?” tanya Mylia lagi memaksudkan Luqman.
“Mestilah, kalau tidak dia nak datang dengan siapa lagi?” jawab Hamidah sambil berlalu keluar daripada dapur meninggalkan Mylia sendirian. Entah ke mana uminya pergi.
“Kak long, ada pad extra tak?” tiba-tiba sahaja Marya datang ke dapur dengan cemas.
“Tak ada. Dah habis dah guna. Kenapa?” jawab Mylia tanpa menoleh. Dia masih lagi sibuk dengan sudip ditangannya.
“Alaa… semua orang tak ada. Macam mana ni?” Marya semakin cemas. Dia terlupa terus untuk singgah ke kedai petang tadi.
“Emergency sangat ke? Esok tak sempat?” soal Mylia lagi.
“Esok adik nak pakai apa pergi sekolah?” soal Marya kembali dengan suara yang agak keras. “Kak long, jom pergi kedai sekarang. Tumpang awal lagi ni. Nanti kedai tutup pula.” ujar Marya sambil menggoyang-goyangkan lengan Mylia.
“Kamu ni macam-macam lah adik. Pergi naik atas ambil tudung sarung kak long.” Mylia merasa sambal tumis telur di dalam kuali. Setelah berpuas hati, terus sahaja dia memadamkan api dan bergerak keluar dari dapur.
“Umi, Mylia nak keluar dengan Marya kejap. Pergi beli pad. Waktu-waktu macam ni lah dia nak minta pun.” Kata Mylia kepada Hamidah yang sedang menghidang makanan di ruang makan.
“Beli pad? Waktu-waktu sekarang ni? Siang-siang tadi kenapa tak minta?” bebel Hamidah kepada anak bungsunya itu.
“Adik lupa la umi. Pagi tadi ingat nak singgah kedai masa balik sekolah tu. Tapi adik memang lupa terus.” Kata Marya berterus-terang.
“Balik cepat. Hati-hati bawa kereta tu.” Pesan Hamidah.
Mylia memandu kereta ke kedai serbaneka yang berhampiran dengan rumah mereka. Mylia memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu kedai. Mereka berdua turun bersama-sama. Mylia ingin membeli coklat Cadbury kegemarannya.
Pekerja Luqman meminta untuk pulang lebih awal hari ini. Hanya tinggal dia seorang sahaja di dalam kedai waktu itu. Disebabkan jam sudah menjengah ke angka sembilan, Luqman hanya duduk di kaunter sambil membilang wang hasil jualannya untuk hari tersebut.
Apabila Mylia dan Marya melangkah masuk ke kedai, dia sudah dapat mengecam wajah gadis berkenaan. Wajah itulah yang ditunjukkan oleh ibunya tempoh hari.
Marya terus sahaja menuju ke rak yang tersusun segala jenis tuala wanita. Tetapi puas dibelek, jenis yang biasa digunakannya tidak kelihatan. Mylia pula berada di rak coklat pada waktu itu.
“Kak long, sini kejap.” Panggil Marya. Luqman hanya menjeling perangan dua beradik itu dengan ekor matanya.
“Ada apa?” soal Mylia sambil melangkah malas menuju ke adiknya.
“Tu…” Marya menunjukkan tuala wanita yang diingininya yang berada di rak paling atas sekali. Mylia memandang kiri kanan mencari pekerja yang bertugas. Oleh kerana langsung tiada sesiapa yang kelihatan, Mylia terus melangkah ke kaunter.
“Encik, boleh tolong saya?” kata Mylia kepada Luqman tanpa langsung tidak mengenali siapa sebenarnya lelaki dihadapannya itu. Sesungguhnya gambar yang diberikan umi tempoh hari langsung tidak dilihatnya.
“Ada apa?” Luqman hanya bertanya pendek. Malas pula dia mahu beredar dari kaunter.
“Tolong ambilkan barang di rak atas sekali tu, boleh?” kata Mylia kepada Luqman dengan sopan.
‘Aish, manja sungguh perempuan ni. Banyak tu pun nak minta tolong aku. Takkan perempuan macam ni yang mak nak ambil suruh ganti tempat Aisyah? Aisyah dulu tak der pun macam ni. Setakat nak ambil barang tinggi macam tu, tak pernah dia nak suruh aku. Lampu kat siling lagikan dia panjat tukar sendiri.’ Fikir Luqman sendirian. Stress dia memikirkan hal perkahwinannya bersama Mylia.
“Encik… boleh tolong tak?” Mylia sekali lagi bertanya apabila melihat Luqman masih tidak bergerak dari tempat duduknya.
“Kat belakang sana tu ada bangku tinggi. Boleh guna bangku tu untuk panjat. Ambil lah.” Kata Luqman sambil menunjukkan dengan jari telunjuknya kedudukan bangku yang dimaksudkan.
“Huh? Saya ke yang panjat?” soal Mylia kembali. Hairan pula dia dengan sikap Luqman selaku staff kedai tersebut. Sepatutnya mereka sentiasa membantu pelanggan. Bukannya menyusahkan pelanggan.
“Kenapa? Tak boleh panjat ker? Sikit je. Bukannya nak kena naik tangga sampai ke siling.” Jawab Luqman acuh tak acuh.
Berang pulak Mylia dengan perangai Luqman itu.
“Ini kedai saya ke awak? Kalau kedai saya, bukan kata siling, atas bumbung pun saya panjat. Tapi ini tempat awam. Takkan saya nak panjat-panjat kat tempat awam macam ni?” Mylia mula membentak.
Luqman mula merengus. Dia menjeling tajam kepada Mylia sebelum bangun bergerak ke rak yang dimaksudkan. Selepas selesai membayar, Mylia dan Marya terus sahaja memandu pulang. Mylia juga sudah hilang selera nak membeli coklat kegemarannya itu tadi.
‘Banyak tu pun dah nak tarik muka. Aisyah dulu tak der nak buat perangai macam ni pun. Manja terlebih!’ bisik hati Luqman.
Share this novel