“Abang nak ke kedai? Mylia nak ikut?” berkerut dahi Luqman mendengar soalan yang tiba-tiba terpacul dari mulut Mylia.
Baharom dan Hamidah sudah lama pulang. Anak-anak juga sudah pun tertidur di bilik mereka. Tiada apa yang boleh Mylia buat waktu itu. Belum pun cukup seminggu, Mylia sudah kebosanan berada di dalam rumah. Hendak mengemas rumah nanti pasti dia akan dimarahi Ramlah. Dia cuba mencari kerja.
“Tak nak rehat-rehat kat rumah ke? Dah dapat cuti panjang. Bukan senang nak boleh rehat-rehat macam ni.” Soal Luqman kembali. Dia mahu pastikan yang Mylia benar-benar ingin berada di kedai. Dia tidak mahu urusannya tiba-tiba terganggu dek kerana Mylia ingin balik ke rumah.
“Erm… dah boring. Anak-anak pun dah tidur. Tak ada apa nak buat.” Jawab Mylia bersahaja.
“Nanti kat kedai nak buat apa?” Luqman masih belum berpuas hati.
“Kalau dah tak ada kerja sangat nanti, saya borak lah dengan pekerja-pekerja tu. Boleh kan?” Luqman berfikir sejenak sebelum dia memberikan jawapannya. Dia bimbang kerja-kerjanya nanti terganggu. Dia tidak pernah membawa sesiapa pun ahli keluarganya ke situ sebelum ini.
“Dengan satu syarat.” Jawab Luqman sambil memandang tepat ke wajah Mylia, “Jangan minta nak balik sebelum time saya balik.” Tajam dia merenung Mylia. Dia ingin melihat riak wajah Mylia betul-betul.
“Okay. Boleh jer.” Jawab Mylia sambil terus bangun mencapai tudung sarungnya. Dia masih lagi dalam jeans dan blouse yang dipakainya ke klinik pagi tadi. Sudah cukup sopan dan selesa. Jadi, dia hanya menukar sahaja tudungnya kerana yang dipakai pagi tadi sudahpun dibasahi air mata.
Melihat kesungguhan Mylia, Luqman membiarkan saja. Dia terus turun ke bawah dan pergi mendapatkan Ramlah untuk memberitahu yang dia dan Mylia akan ke kedai bersama-sama. Bimbang nanti tercari-cari pula Ramlah.
“Nak buat apa Mylia ikut?” Hairan juga Ramlah. Tidak pernah-pernah ada sesiapa yang mengikut Luqman ke kedai sebelum ini. Dia sendiri mahupun adik-adik Luqman juga tidak pernah mengikut Luqman semasa dia pergi bekerja.
“Tak tau lah.” Sememangnya itulah yang ada dalam fikiran Luqman. Dia sendiri tidak ada jawapan.
“Kau jangan nak suruh dia buat kerja-kerja berat, angkat-angkat barang pulak. Tangan dia tu baru lagi tu. Belum baik lagi.” Pesan Ramlah kepada Luqman dengan keras. Kadang-kadang kurang cerdik juga anak sulungnya itu.
Pesanan Ramlah itu hanya dibalas dengan ‘hmmm’ yang pendek dan ringkas. Sakit hati Ramlah mendengar jawapan acuh tak acuh Luqman.
“Kau dengar ke tak mak pesan ni? Nanti takut terbuka jahitan dia tu, makin besar pulak parut dia nanti.” Suaranya sudah mula sedikit meninggi.
“Iyer, mak. Man dengar dan Man akan ingat pesan mak. Mak jangan bimbang yer. Sayang sungguh laaa dia dekat menantu dia tu.” Jawab Luqman panjang lebar cuba meredakan marah si ibu.
“Anak orang tu, Man. Jangan kau ambil mudah. Kita ambil dia dulu elok saja keadaannya. Nanti kalau terpaksa dipulangkan, biar dalam keadaan elok jugak.” Masih bersisa geram si ibu.
“Ish, mak ni. Dah! Dah! Jangan fikir pelik-pelik sangat.” Tersentak sedikit hati Luqman. Terus sahaja dia berlalu pergi dari bilik Ramlah. Lagi lama dia di situ entah apa lagi tajuk yang bakal keluar dari mulut orang tuanya.
Mylia sudahpun siap berdiri dan berkasut di luar rumah menanti Luqman.
“Betul ni nak ikut? Sanggup tunggu sampai jam 6:30?” soal Luqman buat kali terakhir sebelum mereka bertolak pergi.
Dengan pantas, Mylia datang berdiri di sebelah kiri Luqman dan merangkul lengan Luqman dengan tangan kanannya.
“Jom!” hanya sepatah.
Mereka berjalan beriringan sampai ke kereta. Di hadapan pintu kereta, Mylia masih lagi merangkul tangan Luqman dan memandang wajahnya dengan senyuman paling manis.
“Apa?” soal Luqman hairan. Entah apa lagi permintaan Mylia kali ini. Dalam keadaan cuaca yang tengah panas terik sebegitu, Luqman juga makin cepat untuk melenting.
“Tu…” kata Mylia sambil mengalihkan pandangan ke arah pintu kereta. Luqman masih lagi bingung.
“Apa?” malas pula dia bermain teka-teki sebegitu. Dia mahu cepat-cepat ke kedai. Sudah terbayang fail yang bertimbunan di atas mejanya.
"Pintu..." kata Mylia dengan gaya paling comel dan senyuman paling lebar.
“Manja tak bertempat.” Rengus Luqman walaupun tangannya tetap menurut permintaan Mylia. Mylia biarkan sahaja omel Luqman. Tak salah kan nak manja-manja dengan suami sendiri?
Sepanjang perjalanan, mereka hanya mendiamkan diri tanpa bicara. Walaupun jarak kedai Luqman dari rumah mereka tidaklah sejauh mana tetapi 40 minit perjalanan itu dirasakan seperti perjalanan yang paling lama. Mylia juga tidak ada idea untuk memulakan perbualan mereka. Sudahnya, dia hanya menikmati pemandangan kotaraya sahaja.
Sebaik sahaja mereka tiba di hadapan kedai, tiba-tiba satu perasaan gemuruh menyerbu ke benak Mylia.
‘Boleh ke budak-budak kerja ni nak layan borak dengan aku? Hari tu macam okay. Tapi kalau tak okay macam mana? Nanti aku nak buat apa kalau semua tak nak layan aku? Betul ke aku ni? Aduhai… dah elok-elok dalam rumah, ada katil ada bantal, sibuk-sibuk kau nak ikut Luqman.’
Mylia membuka pintu dan terus keluar dari kereta. Sebaik sahaja pintu ditutup, satu sindiran menusuk ke telinga Mylia, “Oh, reti pulak buka pintu kereta tu.” Mylia hanya tersengeh meleret. Dia menuruti sahaja langkah Luqman masuk ke kedai.
“Wah… bawa escort hari ni…” Laila yang berada di kaunter terlebih dahulu menegur Luqman sebaik sahaja pintu kaca kedai dibuka.
“Jeles…” sepatah sahaja dibalas Luqman.
“Jeles la… boss dah kahwin… dah boleh romantik-romantik… jangan la tayang lebih-lebih kat kami-kami yang single lagi ni…” jawab Laila kembali. Berani betul dia berseloroh dengan Luqman. Mylia hanya memerhatikan sahaja tingkah laku mereka. Dia yakin sangat yang watak Luqman dengan pekerjanya sudah pasti berbeza. Jauh berbeza dengan watak yang ditunjukkan di rumah.
“Eh, hari tu kata taken… dah single balik dah?” balas Luqman dengan mesra. Dia sedikit pun tidak terguris dengan jawapan Laila sebentar tadi. Mylia benar-benar yakin yang mereka semestinya mempunyai hubungan yang akrab sehingga mereka boleh berseloroh sebegitu. Dia pula yang berasa cemburu.
“Huh… tak boleh harap jantan sekarang. Mudah sungguh kena caras. Orang lelaki ni kan boss, memang jenis tak cukup seorang ker?” muncung mulut Laila mengenangkan bekas teman lelakinya. Hubungan mereka baru berusia beberapa bulan tetapi sudah pun berakhir kerana lelaki itu telah berubah hati kepada yang lain.
“Bagus lah tu… sekurang-kurangnya korang belum kahwin. Kalau dah kahwin baru dia buat perangai macam mana? Bersyukurlah.” Jawab Luqman sambil terus berjalan masuk ke pejabatnya.
“Alhamdulillah. Boss jangan buat perangai yer! Boss dah kahwin!” jerit Laila dari kaunter kerana Luqman sudahpun melangkah masuk ke pejabatnya. Dia ingin pastikan suaranya tadi sampai ke telinga Luqman.
“Saya boleh kahwin 4.” Balas Luqman sengaja memperhangatkan hati gadis itu. Mylia yang hanya menjadi pendengar setia dari tadi mula berkerut muka.
‘Yang satu ini pun tak settle lagi, ada hati nak tambah bini?’ bisik hati Mylia.
“Eeee… Dasar lelaki mata keranjang!!! Kakak, rantai kaki boss tu kak. Jangan bagi chance!” cadang Laila dengan suara yang masih lagi kuat. Tersengeh Sahaja Mylia mendengar saranan Laila.
“Ha… ni lagi sorang. Jantan tak boleh harap!” sergah Laila kepada Fauzi yang sedang sarat mengusung kotak barang dari stor.
“Apa benda pulak ni?” ujar Fauzi setelah kotak barang tadi selamat mendarat ke lantai. Sedikit tercungap dia dek kerana beratnya kotak berisi cecair pencuci pakaian itu. “Eh, mana troli? Puas aku selongkar stor. Tak jumpa pun.” Soal Fauzi sambal mencekak pinggang. Geram benar dia bila kerja-kerja nya terbantut dek kerana tidak cukup peralatan.
“Yang tu kau kena tanya Rashid dengan Nani…” jawab Laila pantas. Mylia terus sahaja berlalu pergi dari situ. Tidak mahu jadi mengganggu anak-anak buah Luqman menjalankan tugas mereka.
Sebaik sahaja dia masuk ke bilik Luqman, matanya tertumpu kepada Luqman yang telah pun mula memberikan sepenuh tumpuan kepada timbunan fail di atas meja. Apabila dia mengalihkan mata ke kiri, sebahagian lagi timbunan fail memenuhi meja kopi di tengah-tengah set sofa di situ. Dia terus sahaja berjalan menuju ke situ dan melabuhkan punggungnya. Dia membelek-belek fail yang ada di situ.
“Baik-baik. Terburai resit-resit tu nanti.” Pesan Luqman. Dia sudah pun mula resah melihat Mylia mula menyentuh fail-fail itu. Resit-resit terbaru masih lagi belum diproses. Anak buahnya hanya meletakkan saja resit yang bercampur-campur di situ. Jika satu resit itu hilang, nanti seluruh proses akaunnya akan kacau-bilau.
“Abang nak susun resit ni ke? Mylia boleh tolong.” Soal Mylia tanpa menoleh pun kepada Luqman. Terhenti kerja di tangan Luqman. Antara percaya dan tidak, dia serba salah nak izinkan Mylia. Setelah berfikir sejenak, dia bangun mendapatkan Mylia. Luqman duduk berhadapan dengan Mylia yang masih lagi khusyuk membelek.
“Asingkan resit ni ikut nama company. Susun ikut tarikh, yang terkini di atas. Kemudian, tebuk lubang dan masukkan dalma fail ikut nama di tulang tu. Boleh?” soal Luqman. Mylia langsung tidak mengangkat kepalanya. Dia terfokus terus kepada kertas-kertas pelabagai saiz yang ada di hadapannya.
“Yang kecil-kecil ni, nak tampal di kertas A4, kan?” soal Mylia apabila melihat ada resit yang saiznya begitu kecil. Pantas Luqman bangun dan mencapai sebungkus kertas A4 di atas meja dan sebotol gam cair. Bahan-bahan itu diletakkan di atas keja kopi.
“Terima kasih.” Jawab Mylia yang sudahpun mula mengasing-asingkan resit tersebut. Begitu tekun dia. Luqman memerhatikan seketika kerja buat Mylia sebelum dia berlalu ke meja semula. Sebaik sahaja dia duduk tersandar, sekali lagi matanya tertumpu kepada Mylia. Bukanlah dia tidak yakin pada kebolehan Mylia. Bukanlah susah benar nak mengasingkan resit-resit itu. Tetapi dia lebih mempersoalkan kesungguhan Mylia untuk menyiapkan kerja itu. Tebal jugak himpunan resit-resit yang ada di situ.
Entah berapa lama Luqman merenung Mylia. Asyik sungguh dia memerhati gerak-geri Mylia. Sekhusyuk Mylia dengan timbunan resit di hadapannya. Luqman jarang sekali dibantu sebegitu. Pekerja-pekerjanya jarang masuk ke situ. Dia akan membuat kerja di situ bersendirian. Sesekali terdengar suara Mylia menyanyi perlahan. Entah lagu apa Luqman tidak pasti. Tiada sebarang riak keruh di wajah Mylia.
“Kenapa renung saya macam tu?” soal Mylia tiba-tiba. Hairan dia apabila melihat Luqman merenungnya. Entah apa yang tak kena kali ini.
“Mana ada. Saya Tengah berfikir jer.” Balas Luqman. Tersentak sekejap apabila ditegur begitu. Tumpuannya kini kembali ke timbunan fail dan komputer di hadapannya.
Setelah beberapa ketika, Luqman mula meregang-regangkan badannya. Entah berapa lama dia duduk menunduk di situ. Matanya mencari jam di dinding.
“Dah jam 6 rupanya. Cepatnya.” Omel Luqman. Suara Luqman membuatkan Mylia juga turut mencari jam di tangan.
“Iyer lah. Banyak lagi ni belum susun.” Suara Mylia sedikit mengejutkan Luqman. Buat seketika, dia terlupa yang hari ini dia ada teman di pejabat. Matanya segera tertumpu kepada meja kopi di hadapan Mylia.
Seluruh meja dan sofa di situ dipenuhi fail yang tersusun kemas sebelah-menyebelah. Di atas setiap fail terdapat himpunan resit yang telah pun disemat dengan klip kertas. Di hadapan Mylia pula, sebuah fail terbentang luas dan Mylia sedang menebuk resit untuk dimasukkan ke dalam gegelung besi fail. Begitu kemas dan teratur kerja Mylia. Luqman agak kagum dengan kerja wanita itu.
“Awak nak minum?” soal Luqman kepada Mylia yang sedang tersandar. Mungkin cuba melegakan sedikit ketegangan otot leher kerana terlalu lama menunduk.
“Boleh jugak. Air kosong je ya.” Mohon Mylia sambil memandang kepada Luqman dan menghadiahkan sebaris senyuman mesra. Luqman terus berlalu dengan wajah yang hambar sahaja. Mylia hanya mengangkat keningnya. ‘What do you expect, Mylia? A warm hug?’ soalnya sendirian.
‘Dia tak reti nak duduk elok-elok sikit ker? Kalau ada sesiapa masuk tengok, tak segan ker?’ bentak hati Luqman. Dia pula yang naik malu melihat Mylia duduk tersandar dengan kepalanya sedikit mendongak mengikut bentuk sofa menyebabkan dia kelihatan seperti sedikit mendada.
Mylia memejamkan matanya sekejap untuk berehat. Tak sangka masa bergerak begitu laju. Keempukkan sofa kulit campuran itu sedikit-sebanyak mengurangkan sedikit ketegangan urat lehernya.
Tidak berapa lama, Luqman kembali ke bilik itu bersama dua botol air mineral sejuk ditangan. Mendengar bunyi pintu ditolak, Mylia segera membuka matanya lantas menegakkan duduk badannya. Botol air yg dihulurkan Luqman segera dicapai.
“Dah letih?” soal Luqman kepada Mylia. Dia tidak kembali ke mejanya tetapi memilih untuk duduk di sofa bertentangan dengan Mylia. Dia memerhatikan saja Mylia yg sedang cuba membuka penutup botol air mineral itu dengan penuh susah-payah. Lupa pula dia dengan tangan Mylia yg cedera itu. Dia menghulurkan botolnya yang telah pun siap terbuka.
Mylia mencapai botol tersebut dengan senyuman manis di bibir.
“Terima kasih.” Ujar Mylia atas belas ihsan yang ditunjukkan Luqman. “Lenguh sikit jer.” Senyuman manis itu masih lagi dibibirnya. Luqman dapat rasakan kejujuran Mylia. Dia bukan merungut, sekadar berkongsi.
“Nak balik?” soal Luqman lagi.
“Awak dah nak balik ker? Sikit lagi boleh tak? Bagi saya siapkan yg satu ni. Alang-alang dah mula, baik buat sampai habis.” Pinta Mylia sambal menunjukkan longgokan resit di atas meja yang perlu disusun, ditebuk dan di masukkan ke dalam fail. Berbaki mungkin dalam 10 helai sahaja lagi.
“Okay.” Luqman sedikit kagum dengan Mylia. Agak terkejut juga bila Mylia sudi duduk di situ dan menyiapkan kerja-kerja remeh seperti itu dengan tekun sekali. Dia tak sangka Mylia mahu meyiapkannya. Pada mulanya, dia begitu yakin yg Mylia akan membelek resit-resit itu seketika sahaja sebelum keluar dari situ. Atau mungkin dia akan minta untuk dihantar balik lebih awal.
“Siapkan satu fail tu saja dulu. Nanti lambat sangat pula kita balik.” Pesan Luqman sambil bangun menuju ke meja.
“Okay…” Balas Mylia dengan lenggok mesra. Sejujurnya, dia suka berada di situ. Dia suka melakukan sesuatu dengan ditemani seseorang yang dia selesa. Dan lelaki bernama Luqman ini belum lagi sampai ke tahap yang dianggap seseorang yang Mylia selesa bersama tetapi Mylia perlu wujudkan keselesaan antara mereka berdua.
Mylia sudah pun memberikan fokus sepenuhnya kepada resit-resit di tangan. Luqman pula hanya menjadi pemerhati dari jauh. Dalam pada dia asyik merenung Mylia, tiba-tiba pandangannya tertumpu pada gambar arwah Aisyah di atas meja.
‘Ecah tak pernah datang ke kedai ni kan? Abang tahu Ecah penat dengan kerja-kerja sekolah. Abang boleh nampak Ecah bersungguh-sungguh komited dengan kerja Ecah.’ Terukir sebentuk senyuman bila dia memikirkan Aisyah. Luqman menyandarkan kepalanya ke kerusi dan terus memejamkan mata.
“Assalamualaikum…” lantang suara Aisyah dari luar rumah sebaik sahaja dia tiba di muka pintu. Luqman biasanya akan sampai ke rumah lebih awal berbanding Aisyah. Dia akan pastikan nasi dan lauk-pauk telah pun sedia dipanaskan. Aisyah akan bangun awal setiap hari untuk masak makanan mereka untuk hari itu. Jadi, setiap hari mereka akan makan tengah hari bersama-sama di rumah.
“Waalaikummussalam…” serentak dengan jawapan salam, Luqman akan terus ke pintu menyambut kepulangan isterinya. Dia sudah arif benar dengan barang-barang yang sentiasa dikendong Aisyah setiap kali pulang dari sekolah. Beg tangan, beg komputer dan buku tulis murid-muridnya adalah antara benda yang wajib di bawa pulang.
Pernah juga dia persoalkan kerja-kerja sekolah yang sentiasa di bawa pulang ke rumah.
“Sekarang ni dah habis waktu kerja. Tinggalkan lah kerja-kerja tu di sekolah. Kenapa semuanya nak usung ke rumah?” soal Luqman.
“Mana boleh. Tak sempat siap lah kalau nak harap waktu kat sekolah tu saja. Banyak lagi kerja lain yang saya kena siapkan di sekolah tu. Yang boleh bawa balik, saya bawa balik. Kat sekolah, saya tumpukan dulu kerja-kerja yang tak boleh nak bawa balik tu.” Bantah Aisyah.
“Kerja apa lagi yang sayang kena buat di sekolah tu? Takkan lah mengajar direct dari jam 7:30 sampai jam 1:00 tu kot?” Luqman masih ingin berbalah.
“Matilah kami kalau direct macam tu. Tapi, tugas cikgu ni bukan setakat mengajar dalam kelas tu saja.” Debat Aisyah mempertahankan kerjayanya.
“Apa lagi kerja…” tiba-tiba Luqman tersentak dan tersedar. Terbuntang mata Luqman memandang wajah Mylia yang sedang berdiri tegak di sisinya.
“Kerja? Awak mengigau ke? Tertidur yer?” soal Mylia hairan
Share this novel