~ 2 ~

Romance Completed 13901

“Assalamualaikum, Yan.” Berdebar-debar sungguh hati Mylia apabila dia mendapat panggilan daripada Sufian pagi itu. Dia seram memikirkan perancangan uminya semalam.

“Waalaikummussalam. Busy ker tu?” soal Sofian tanpa menyedari duri di hati Mylia.

“Tak sangat pun. Biasa-biasa saja. Tak ada kelas pagi ni?” Hairan Mylia apabila jam sudah melebihi 8 pagi tetapi Sufian masih lagi sempat menghubunginya. Mylia amat perihatin dengan pengajian Sufian kali ini. Dia sudah letih menunggu.

“Kelas jam 9 hari ni. Ni dah on the way dah. Tadi I pergi sarapan dulu kejap.” Jawapan Sufian begitu meyakinkan di telinga Mylia. “Lia dah sarapan?” soal Sufian kembali. Walaupun dia tahu kebiasaan Mylia, rutin harian Mylia, tetapi dia masih lagi suka bertanya.

“Dah makan kat rumah tadi. Umi buat nasi goreng pagi ni.” cerita Mylia serba ringkas.

“Seronoknya dia… duduk rumah, boleh makan masakkan umi lagi… bila lah Yan nak boleh merasa duduk di rumah dan makan home-cooked meal setiap hari. Dah nak termuntah makan kedai hari-hari.” Rungut Sufian. Mahu saja Mylia memulangkan paku buah keras, tetapi pagi-pagi buta ni malas pulak dia nak cari gaduh dengan tunangnya itu.

“Cepatlah habiskan study tu. Nanti cepatlah boleh duduk di rumah.” Jawab Mylia dengan ayat yang masih berlapik.

“Yer lah. I tengah usaha lah ni. You ingat main-main ke kat sini?” Sentap pula Sufian dengan ayat Mylia.

Kadang-kadang malas betul Mylia nak bercakap dengan Sufian. Semua benda dia nak sentap. ‘Dia kira sentap dia aja, sentap aku sikit pun dia tak kisah.’ Gerutu hati Mylia.

“Tak apalah. You study baik-baik ya kat situ. I dah kena start buat kerja dah ni. Nanti tak siap-siap pula. Assalamualaikum.” Sengaja Mylia memberi salam di hujung ayatnya agar panggilan itu boleh cepat diputuskan selepas itu. Malas dia nak sembang panjang-panjang bila mood Sufian sudah berubah begitu.

“Waalaikummussalam.” Jawab Sufian ringkas. Terus sahaja Mylia sentuh butang merah sebaik sahaja dia dengan Sufian menjawab salam. Biarlah apa pun yang dia nak rasa.

Serabut sangat kepala Mylia sekarang. Dia perlu berbincang dengan Sufian. Dia perlu ke kolej Sufian dan bersemuka. Baru senang untuk dia berbincang. Mylia tekad hujung minggu itu dia akan pergi bersemuka dengan Sufian.

* * * * *

“Assalamualaikum… Hai Ecah.” Luqman mengusap-usap batu nisan milik arwah Aisyah perlahan-lahan. Selesai dia membaca Yaasin, dia akan berbual sebentar di situ. Waktu-waktu begini jarang sangat ada pengunjung di tanah perkuburan itu.

“Mak buat hal lagi semalam, Cah. Ada je dia nak membebel kat abang ni.” luah Luqman dengan suara yang perlahan. “Ada ke dia kata Julia dan Jasmin pergi sekolah selekeh? Sampai hati mak.” Terjongket sedikit bibirnya saat itu.

“Mak kata Julia pakai tudung nampak anak sampai separuh. Abang dah pakaikan elok-elok dah. Tapi Julia tu lasak sungguh. Bukannya Ecah tak tahu perangai dia tu kan. Sekejap je elok, lepas tu semua serabut.” Dia terhenti lagi. Suaranya rasa tersekat di kerongkong. Jemarinya sibuk mencabut rumput-rumput halus yang mula tumbuh di atas kuburan itu.

“Mak bising rambut Julia dan Jasmin panjang mengerbang. Abang tak nak potong rambut diorang. Abang nak rambut diorang panjang macam rambut Ecah. Abang suka tengok rambut Ecah. Ecah ingatkan dulu, abang suka usap-usap rambut Ecah?” matanya kembali bergenang.

“Cantik Rambut Ecah dulu. Panjang mengurai, hitam berkilat. Macam mana Ecah jaga? Apa yang Ecah pakai? Abang tak tau apa yang Ecah pakai kat rambut Ecah. Abang tak pernah tanya pun kan.” Luqman mengangkat pandangannya ke langit. Cuba menahan daripada air matanya jatuh lagi. Cuba untuk tabahkan diri.

Mereka hanya sempat bersama selama tiga tahun sahaja. Cepat sungguh Allah menjemput Aisyah pulang kepadaNya.

“Allah tak biar umat yang dia sayang lama-lama kat dunia. Dia rindu. Sebab tu dia panggil balik lebih awal. Dia lebih sayangkan Aisyah.”

Itu ayat pujuk Puan Ramlah kepada Luqman dulu. Hati ibu yang mana yang sanggup melihat anaknya dalam keadaan yang sugul dan murung hampir setiap masa. Sedangkan waktu itu Julia dan Jasmin masih teramat kecil dan perlukan perhatian daripada Luqman.

“Abang nak kena cari kat internet lah nampaknya. Cara-cara menjaga rambut yang panjang dan sihat.” Luqman tersenyum hambar. “Abang pergi kerja dulu ye sayang. Esok abang datang lagi.”

Luqman bangun berdiri dan terus mencapai tikar kecilnya lalu digulungkan tikar tersebut. Dia berdiri merenung kubur Aisyah. “Assalamualaikum, Aisyah.” Kata Luqman sebelum dia berjalan dengan langkah yang berat meninggalkan tanah perkuburan itu.

Sampai ke keretanya, Luqman mengeluarkan telefonnya daripada poket seluar dan membuka aplikasi Whatsapp. Dia terus mencari mesej-mesej bertanda bintang dan memainkan satu mesej audio daripada Aisyah.

“Aisyah dah sampai dah ni. Abang bawa kereta elok-elok. Kerja baik-baik tau. I love you…”

Audio itu direkod Aisyah pada suatu pagi setelah dia sampai ke sekolah tempat dia mengajar. Dia dah lambat katanya hari itu, jadi tak sembat nak taip mesej tersebut. Sebab itu, dia hanya menekan butang mel suara dan merekod audio itu untuk Luqman.

Luqman memainkan audio itu beberapa kali. Kemudian, dia menarik nafasnya dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Selepas itu barulah dia menghidupkan enjin keretanya dan bergerak ke premis perniagaannya.

* * * * *

“Umi, esok Mylia pergi jumpa Sufian sekejap boleh?” pasti sahaja dia akan meminta izin umi dan abinya terlebih dahulu sebelum dia pergi berjumpa Sufian meskipun mereka telah tunangannya.

“Nak pergi sana berapa hari?” tanya abi Mylia, Encik Othman.

“Satu malam cukup lah kot. Mylia bawa Mysha ya? Buat teman.” Jauh juga perjalanannya ke utara. Bosa pula nanti jika dia memandu sendirian. Andai dia kepenatan, ada juga teman untuk berganti-ganti.

“Kak Long, Marya nak ikut juga. Boleh kan, Abi?” adik paling bongsu yang berusia 16 tahun itu pun sibuk nak menurut. Seronok juga dapat jalan-jalan. Anak itu manja sungguh dengan abinya. Mungkin disebabkan abi dan umi mereka juga banyak melayan dan menurutkan sahaja kerenah Marya. Makin mengada-ngada jadinya.

“Tanyalah Kak Long. Abi okay saja.” Jawapan Encik Othman telah memberikan harapan menggunung kepada Marya. Marya memusingkan kepalanya kepada Mylia meminta kebenaran.

“Boleh tak Kak Long? Boleh la… boleh la… please…” dia merayu sambil menayang wajah yang paling comel yang dia mampu buat.

“Comel sangatlah macam tu yer?” kata Mylia menyakat adiknya. Marya hanya mengkelip-kelipkan matanya beberapa kali.

“Jangan tidur! Siapa tidur, belanja makan!” Mylia meletakkan syarat kepada adiknya itu. Dia sekadar bergurau tentang syaratnya itu semua orang sememangnya faham. Maka terjerit-jeritlah adiknya itu dalam kegembiraan.

Lebih kurang jam 10 pagi, mereka bertiga bergerak menuju ke kampus Sufian. Oleh kerana terlalu jauh, Mylia lebih senang untuk bermalam supaya dia tidak terlalu penat untuk memandu.

“Mysha, tolong book hotel untuk malam ni. Kak Long lupa sungguh semalam.” Arah Mylia kepada adiknya yang berada di kerusi sebelahnya.

“Semangat sangat nak jumpa tunang sampai bilik pun lupa nak booking.” Usik Mysha.

“Dah, tak payah nak sindir-sindir. Dah lama sangat kak long tunggu abang Sufian kamu tu. Dah hilang habis dah magnet-magnet tu. Kalau tak penting, tak der makna kak long nak drive jauh-jauh ni.” sesungguhnya Mylia memang memaksudkan setiap butir bicaranya tentang hubungan dia dengan Sufian. Semakin hambar rasanya cinta mereka.

“Konon!” Mysha membuat memek muka. Dia langsung tak percayakan kata-kata Mylia sebentar tadi. “Ha, ni ada satu. Bilik tripple sharing, RM170. Ada 3 katil single. Okay tak?” kata Mysha sambil menayangkan paparan telefonnya kepada Mylia.

“Tengok, tengok! Ada bathtub tak?” soal Marya yang sudah terlalu teruja. Bukan selalu mereka dapat bermalam di hotel.

“Adik, ini motel jer. Bukannya hotel. Kalau adik nak hotel ada bathtub, bayarlah!” jawab Mysha kepada Marya. Sengaja ditekankan perkataan ‘bayar’ itu untuk menyakat adiknya. Dia sudah tersenyum-senyum apabila adiknya mula naik berang di belakang.

“Kak ngah ni, adik tanya jer!” bentak Marya dan terus kembali mengadap telefon bimbitnya.

“Bersih tak bilik dia? Tengok rupa toilet dia macam mana?” pinta Mylia kepada Mysha. Kakak sulung memang paling mahir bab memberi arahan. Terutama kepada adik-adiknya.

“Kak long, dalam gambar iklan takkan lah dia nak letak gambar toilet yang kotor.” Pantas saja Marya menjawab dari belakang. Ada betulnya jugak ayat Marya, tetapi sebagai kakak yang sulung dia tak boleh mengalah begitu saja. Dia perlu lawan. Tercalar ego kakak sulung nanti.

“Kadang-kadang kita boleh jer nampak. Check jer lah. Mana tahu…” jawab Mylia membela diri.

“Dia guna toilet bowl putih ni. Nampak okay. Cermin ada, water heater pun ada.” Mysha memberi gambaran kepada Mylia yang tengah sibuk memandu.

“Mini bar ada?” Marya sekali lagi mencelah perbincangan kakak-kakaknya itu.

“Ada.” jawab Mysha pendek sahaja. Malas sungguh kadang-kadang nak melayan hal-hal remeh adiknya itu. Tapi kalau bukan dia yang nak melayan, siapa lagi kan. Dah nama pun adik.

“Yeay! Kak long, nanti singgah kedai. Adik nak beli air tin banyak-banyak nak letak dalam mini bar. Best sikit minum sejuk-sejuk.

“Nanti dah sampai kat sana, kita singgah beli.” Jawab Mylia. Malas pula dia nak berenti banyak-banyak kali. Memandu pun letih tau.

“Tapi… adik nak jajan nak makan dalam kereta. Nanti kalau adik bosan, adik tertidur pulak. Kakak juga bising nanti.” Marya masih mencuba nasib.

Malas nak dengar adiknya itu bising-bising di tempat duduk belakang, Mylia mengalah juga. Dia memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kedai serbaneka dan memberi masa kurang setengah jam untuk membeli. Laju sahaja Marya berlari masuk dan menyambar sebuah bakul barang.

“Banyak sangat ke barang dia sampai nak kena ambil bakul?” rungut Mysha sambil menggeleng-gelengkan kepada. Tertawa kecil mereka berdua dengan gelagat adiknya itu. Cukup 20 minit, Marya datang ke kaunter bayaran bersama seraga penuh makanan ringan dan mi segera. Mysha menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Macam pernah nampak adik ni. Memang orang sini ker?” soal lelaki yang bekerja di kaunter itu kepada Marya. Tangannya sibuk mendaftar setiap satu barang yang dibeli oleh mereka. Luqman yang berada tidak begitu jauh daripada mereka terpanggil untuk melihat orang yang ditegur oleh pekerjanya itu.

“Yup. Sekolah saya masuk simpang kiri depan tu jer.” Jawab Marya tanpa berfikir panjang. Mysha menyigung adiknya perlahan. Terjegil luas biji matanya.

‘Suka-suka dia jer nak bagi info diri kat orang sembarangan.’ Mysha menarik tangan adiknya itu untuk keluar daripada kedai tersebut dan meninggalkan Mylia untuk membayar barang-barang mereka.

“Berapa?” soal Mylia kepada juruwang tersebut.

“RM37.70 sahaja.” Jawab lelaki tersebut sambil tangannya memasukkan semua makanan ke dalam plastik dengan cekap dan cermat sekali.

Luqman hanya memandang wajah Mylia. Wajah wanita itu bagai pernah dilihatnya sebelum ini tetapi dia tidak boleh ingat pula di mana. Malas untuk berfikir panjang-panjang, Luqman kembali kepada kerja yang ada ditangannya.

Sepanjang perjalanan, Mylia memandu dengan agak perlahan. Kedua-dua adiknya sudah pun terlentok di kerusi masing-masing.

‘Baik tak payah teman macam ni. Sama macam datang sorang-sorang jugak.’ Rungut Mylia di dalam benaknya.

Dia asyik terfikir-fikir dialog yang akan dia katakan kepada Sufian sekejap lagi. Bagaimana cara terbaik untuk dia beritahu Sufian tentang perancangan uminya itu? Bolehkah Sufian terima cerita itu sebaiknya dan memikirkan cara untuk menyelesaikan dan bukannya memberontak dan membuatkan isu itu menjadi semakin besar? Bolehkah dia berharap kepada lelaki itu untuk bertindak secara rasional untuk sekali ini?

Lebih kurang jam 12 tengahari, Mylia berhenti di sebuah restoran. Dia tidaklah begitu lapar, tetapi mungkin dia sedang cuba untuk menagguhkans sedikit masa untuk bersua muka dengan Sufian. Dia perlu ambil sedikit lagi ruang dan semangat untuk berdepan dengan Sufian. Dia harus bersedia fizikal dan mental dengan apa sahaja kemungkinan nanti. Sufian lebih lebih gemar bertindak sebelum berfikir. Runsing sungguh hati Mylia.

‘Betul kah tindakan aku ni? Kalau aku bagi tahu dia sekarang, tak ganggu ke tumpuan dia nanti? Nanti lagi aku nak cepatkan, lagi lambat pula jadinya. Aku just nak dia faham yang bukan semua orang boleh bersabar dan menunggu dia bulat-bulat. Kalau benda ni meliabtkan aku sornag, aku tak ada masalah. Ni dah libatkan umi dan abi. Aduuhhhh…’ resah betul Mylia.

“Sabarlah kak long. Dah nak sampai ni. tak menyempat nak jumpa buah hati.” usik Mysha. Salah faham dengan kerutan di dahi kakaknya itu. Mylia tak tahu siapa lagi yang tahu perbuatan uminya berkongsi gambarnya dengan orang lain untuk dijadikan calon menantu. Yang pastinya, jelas Mysha belum tahu.

Mereka semua tiba di hadapan motel tempat mereka menginap pada jam 3 petang. Disebabkan Mysha yang membuat tempahan tadi, dialah yang masuk untuk mendaftar. Marya mengumpul semua plastik makanannya untuk di bawa naik ke bilik mereka. Masing-masing hanya membawa sebuah bag sandang berisi baju masing-masing. Memadai untuk mereka pakai selama mereka menginap satu malam di situ.

“Bila kak long nak pergi jumpa abang Sufian?” soal Mysha setelah mereka selesai mendaftar masuk ke dalam bilik mereka. Mysha sudah terbaring di atas katilnya. Begitu juga dengan Marya. Mylia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia yang berjaga dan memandu sepanjang perjalanan, mereka yang letih lebih teruk dari dia.

“Nak pergi dah la ni. Jom lah semua. Kita singgah makan di Pizza Hut kat hujung tu, nanti kak long call abang Sufian suruh dia saja datang jumpa kita kat situ. Kalau nak masuk cari dia kat dalam kampus pun macam susah sangat saja. Bukannya kecik kampus dia tu. Jalan pun pusing-pusing, pening kak long. Dah berapa kali datang pun still tak boleh nak hafal lagi jalannya.” Kata Mylia.

“Kita solat dulu lah kak. Nanti boleh ajak abang Sufian jalan-jalan. Pergi tengok wayang ke, pergi shopping mall ker…” cadang Marya. Adik bongsunya cukup mahir bab membeli-belah ni. Terutama sekali kalau bukan menggunakan duit poketnya sendiri. Laju!

“Ha, yer lah. Pergi cepat. Kak long cuti.” Mylia merebahkan badannya di atas katil kosong yang belum dipilih oleh adik-adiknya itu. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia berniat untuk menghantar mesej kepada Sufian. Dia mahu pastikan yang lelaki itu tidak ada sebarang agenda petang itu. Dia tahu Sufian tiada kuliah hari itu.

‘Hai, Encik Tunang. Busy?’ – Mylia

Terjungkit sedikit senyuman di bibirnya. Dia rasa seperti mahu bermesra-mesra sedikit dengan buah hatinya itu. ‘Eveything needs a lot of effort to works, right!’ Fikir Mylia. Tetapi semangat berkobar-kobarnya tadi hilang terus. Selepas 10 minit, barulah dia mendapat balasan daripada Sufian.

‘Hai, ada assignment kejap. Give me 30 minutes.’ – Sufian

‘Okay. Sorry.’ – Mylia

Mylia menarik nafas panjang. Dia cuba untuk memahami Sufian. Dia tidak boleh menyalahkan lelaki itu. Sufian langsung tidak tahu yang dia berada di situ waktu itu.

“Dah, kak long. Jom gerak.” Panggil Marya sambil mencapai beg tangan kecil molek miliknya dan disangkut ke bahu.

“Nak bawa kereta ke tak ni?” Soal Mysha pula.

“Tak payah lah. Kita jalan jer pergi kat hujung tu. Nanti kalau nak jalan ke mana-mana, kita naik je kereta abang Sufian.” Cadang Mylia.

Mereka bertiga pun berjalan beriringan menuju ke restoran yang dimaksudkan. Sambil berjalan-jalan, Marya sudah tidak sabar menyenaraikan menu yang dia inginkan. Satu persatu dia sebutkan. Fasih sungguh anak muda itu dengan menu di restoran makanan segera itu.

“Okay, kak long setuju semua yang Marya senaraikan tu. Sebab… Marya yang nak belanja… kan Mysha?” sakat Mylia.

“Setuju!!!” jerit Mysha dengan gembiranya.

“Eh, mana Marya ada duit. Mahal tu.” Kata Marya merengek. Kakinya sudah terhenti daripada melangkah.

“Aaa… tau pun mahal. Kalau sendiri kena bayar, tau mahal. Kalau nak pow duit orang, tak ingat pula mahal ke murah.” Balas Mylia. Dia terus jalan beriringan bersama-sama Mysha meninggalkan Marya jauh di belakang. Tak lama kemudian, kedengaranlah derapan tapak kaki Marya berlari mendapatkan mereka.

“Yer la. Kak long dengan kak ngah order jer lah apa pun. Marya makan jer.” Jawabnya separuh merajuk. Mereka langsung tak mempedulikannya.

“Ya miss… dine in or take away?” Gadis kecil molek menyapa mereka sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam restoran.

“Dine in, please.” Jawab Mysha.

“Okay. Please have a seat upstairs, thank you.” Kata gadis itu lagi sambil menunjuk arah anak tangga untuk naik ke tingkat atas. Mereka terus sahaja melangkah naik.

Tidak begitu sesak restoran itu waktu itu. Masih banyak meja yang kosong. Mereka memilih satu meja di tepi tingkap. Mysha dan Marya duduk bersebelahan meninggalkan kerusi kosong di sebelah Mylia untuk Sufian sebentar lagi.

Selepas beberapa ketika, gadis kecil molek tadi datang membawa menu di tangannya. Setelah dia menghulurkan menu tersebut, tangannya lincah menyusun atur pinggan, piring, mangkuk, sudu, garpu dan pisau di hadapan mereka bertiga.

“Empat orang yer miss.” Beritahu Mylia kepada gadis tersebut. Dia menundukkan kepalanya dan menyusun alatan tadi lagi satu set di sebelah Mylia.

“Sekejap lagi saya datang semula ya.” Katanya kepada mereka.

“Apa yang adik cakap tadi? Kak long cari tak jumpa pun.” kata Mylia kepada Marya.

“Tak apa lah. Marya tak ada duit nak belanja. Marya nak sky juice je.” Kata Marya dengan wajah sedih yang penuh kepura-puraan. Mylia mencubit kedua-dua pipi adiknya itu sekuat hati. “Adooiiii!” jerit Marya.

“Oih! Kuatnya jerit. Tak malu ka?” tanya Mysha.

Selesai membuat pesanan, masing-masing tunduk mengadap telefon masing-masing. Mylia juga kembali membuka mesejnya bersama Sufian tadi.

‘Yan, dah selesai kerja you?’ – Mylia

‘10 min.’ – Sufian

Pantas Sufian membalas mesej nya. Tetapi pendek sungguh. Sufian nampaknya benar-benar tengah sibuk. Menyesal pula dia datang tanpa memaklumkan kepada Sufian lebih awal. Nanti pasti kerja-kerja Sufian tertangguh.

“Kak long!” tiba-tiba Mysha merapatkan badannya ke meja sambil memegang tangan Mylia. Mylia memandang wajah adiknya dengan hairan. Walaupun Mysha memanggil namanya, tetapi matanya Mysha tidak memandang kepadanya langsung. “Itu bukan ke abang Sufian?”

Pantas sahaja kepala Mylia dipusingkan ke arah pandangan Mysha. Di sebuah meja di hujung sana, tunangannya sedang duduk bermesra-mesra dengan seorang gadis lain. Tangan Sufian elok terletak di penyandar kerusi wanita itu. Berseri-seri sungguh wajah mereka berdua. Sambil berbisik-bisik, sambil ketawa-ketawa kecil. Sesekali tangan perempuan itu menampar mesra badan tunangnya itu.

Mylia terpempan. Dia bangun berdiri perlahan-lahan. Mylia membuka langkah perlahan-lahan menuju ke arah mereka berdua. Mysha dan Marya juga turut terkaku. Tidak tahu apa yang patut mereka lakukan saat itu. Masing-masing panik. Mylia terus melangkah sehingga dia benar-benar berdiri di hadapan Sufian. Sufian langsung tidak perasan kehadiran Mylia sehinggalah dia berdiri rapat di hadapannya.

“Hai, Yan.”

“Mylia!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience