~ 43 ~

Romance Completed 13901

~ 43 ~
Hingar-bingar suasana rumah Ramlah malam itu. Suara senda-gurau anak-cucu memenuhi segenap ruang rumah tiga tingkat. Lyana yang pada awalnya tidak dapat balik tiba-tiba muncul di depan pintu rumah jam 7 malam tadi. Makin meriah jadinya. Seronok sekali cucu-cucu Ramlah berlima melayan maksu. Buah tangan buat mereka berlima juga makin menggamatkan keadaan. Ceria sungguh hati Ramlah.

Selain anak kecil, golongan mak-mak juga sedang giat bersilat di dapur. Aina dan Lyana yang berperanan paling besar malam itu. Bersungguh-sungguh mereka melarang Ramlah dan Mylia turut serta. Macam-macam alasan diberikan supaya mereka berdua boleh duduk diam-diam di meja sementara Aina dan Lyana menyediakan juadah.

Lebih kurang jam 8:30 malam, siap terhidang jenahak sweet and sour, sotong goreng tepung, sayur campur dan telur dadar. Nasi putih 5 pot seakan tidak mencukupi. Kononnya nasi dimasak lebih untuk digoreng esok pagi. Sudahnya, mereka perlu mencari juadah lain kerana semuanya sudah habis. Puas hati Ramlah melihat anak-cucunya menjamu selera dengan begitu gembira sekali.

“Abang nak pergi mana?” soal Latiff apabila melihat Luqman menggapai kunci kereta dan melangkah ke arah pintu utama.

“Abang nak ke kedai sekejap. Petang tadi tak masuk. Malam, nak kena tengok juga sikit sebelum budak-budak tutup kedai.” Terang Luqman sambil meneruskan langkah. Jarum jam sudah pun melepasi angka 9. Dia perlu segera ke sana.

Sampai di pintu rumah, Luqman memanggil Mylia. Tidak lengkap rasanya kalau dia tidak menyalami isterinya sebelum keluar.

“Abang ke kedai sekejap yer.” Beritahu Luqman sambil menghulurkan tangan. Mylia menurutkan sahaja kerana tidak mahu menimbulkan syak-wasangka di kalangan ipar-duai.

“Apa perkembangan abang dengan Kak Mylia, mak? Dah okay ke tu?” soal Lyana kepada Ramlah. Mereka masih lagi duduk berborak-borak di meja makan. Hanya Latiff yang duduk di ruang tamu bersama anak-anaknya dan anak-anak Luqman.

“Hurm…” Ramlah hanya menjuihkan bibirnya. “Kejap okay, kejap tak okay. Kejap mesra, kejap dingin. Tak faham lah mak. Dah malas nak ambik tau.” Ramlah menghirup sisa air suam dalam gelas di tangannya.

“Eh, macam tu pula? Hari tu mak juga yang beria. Siap nak tolong ajar cara-cara nak melayan isteri.” Tertawa kecil Lyana dan Aina.

“Mak dah bagi kata dua kat diorang berdua. Kalau sampai cukup setahun pun masih lagi berperangai macam tu, mak nak abang kamu ceraikan Mylia. Kesian dekat budak tu. Biar lepaskan dia cepat-cepat supaya dia boleh cari orang lain yang boleh sayangkan dia betul-betul. Dah ada yang terbaik depan mata pun masih buta abang kamu tu.” Ramlah meluahkan isi hatinya. Dia sendiri sudah tidak tahu kaedah paling baik untuk bantu anak dan menantunya itu.

“Ish, mak ni. Jauh sangat fikir tu. Doa yang baik-baik je mak.” Ujar Aina.

“Esok kita buat bbq nak? Awal pagi, kita pergi pasar borong cari lauk.” Cadang Lyana. Cepat-cepat dia menukar topik apabila melihat Mylia sudah datang menghampiri.

“Mak ikut saja. Jangan nak suruh mak membakar dah la.” Pesan Ramlah.

“Tak der lah nak suruh mak bakar-bakar. Mak tolong bancuh air dah la.” Seloroh Lyana.

“Mak bagi air kosong je nanti. Mak pesan dekat abang kamu suruh bawa balik ais 2 beg, tuang masuk dalam tong air.” Berderai ketawa Mylia, Lyana dan Aina di meja makan itu.

“Abang… esok pagi kita pergi pasar borong eh? Nak buat BBQ petang esok.” Minta Lyana kepada Latiff.

“Okay.” Jawab Latiff bersahaja sambil matanya masih tertumpu pada skrin televisyen.

“Nanti kita suruh abang cari arang dan siapkan tempat bakar tu. Dah lama tak guna. Jangan-jangan dah berkarat.” Sekali lagi Latiff memberikan jawapan balas tanpa perasaan.

“Hurm…”

“Abang ni… gitu je jawab? Hurm?” bising Lyana.

“Dah tu, nak abang jawab macam mana lagi? Dah jawab pun salah juga?” Lyana terus bangun berlalu ke dapur semula.

“Kak Mylia ajaklah family akak datang sekali.” Saran Aina.

“Boleh ker?” soalnya kembali. Risau juga andainya keluarganya mengganggu.

“Apa tak boleh nya. Ajaklah. Ada jugak kawan mak nak borak nanti.” Sokong Ramlah. Bertambah seronok hatinya jika sahabatnya dapat turut serta.

“Okay… Esok pagi saya call bagitahu.” Balas Mylia.

“Ibu…” tiba-tiba semua mata tertumpu kepada Jasmin. “Nak air…” berpeluh-peluh dahi dan belakang badannya.

“Ya Allah… anak ibu main apa sampai berpeluh macam ni?” tegur Mylia sambil bangun mendapatkan air.

“Abang Rafiq kejar Jasmin.” Jawabnya sambil termengah-mengah setelah menghirup minuman dengan begitu rakus sekali.

“Perlahan-lahan minum.” Pesan Mylia. Sebaik sahaja habis air dihirup, Jasmin segera berlari mendapatkan sepupu-sepupunya di ruang tamu. “Tak nak lari-lari lagi dah. Kejap lagi susah nak tidur.” Pesanan Mylia langsung tidak dihiraukan oleh Jasmin. Seronok sangat dapat bermain.

Lebih kurang jam 11:00 malam, Luqman sampai ke rumah. Hairan dia melihat rumahnya masih lagi riuh-rendah dengan suara anak-anak kecil.

“Tak tidur lagi?” tegur Luqman kepada Julia.

“Sekejap lagi lah, abi. Kami tengah main ni.” Jawab Julia. Dia langsung tidak memandang Luqman. Punya asyik bermain.

“Esok pun boleh main lagi. Jom, naik tidur. Mana ibu?” soal Luqman kepada Julia lagi.

“Ibu ada di dapur tadi.” Luqman menjengah sedikit ke dapur. Dari jauh dia hanya nampak Lyana dan Aina. Kedudukan Mylia sedikit tersorok. Ramlah tidak lagi bersama mereka. Awal-awal lagi dia sudah masuk ke biliknya.

“Jom kita naik tidur. Esok kita main lagi ye?” ajak Luqman. Jasmin pantas sahaja menurut kerana dia sendiri sudah mengantuk tetapi Julia masih mahu bermain.

“Nanti abang Rafiq naik, Julia naik lah.” Balas Julia. Mendengar jawapan Julia, Latiff juga mula menyuruh anak-anaknya naik tidur.

“Rafiq, Raimi, kemas mainan semua. Dah lewat sangat dah ni.” Arah Latiff.

“Okay…” perlahan saja Rafiq dan Raimi menjawab.

“Aina, dah jam 11 lebih dah ni. Anak-anak belum tidur lagi.” Latiff menguatkan sedikit suaranya memanggil si isteri.

“Julia, tolong abang Rafiq kemas toys dulu cepat. Jasmin pun tolong sama.” Pesan Luqman.

“Okay abi.” Jawab mereka serentak. Serta-merta Jasmin menguap luas. Sebentar tadi, langsung tak nampak mengantuk. Bila disuruh buat kerja sikit, terus sahaja datang mengantuknya. Luqman menggeleng-gelengkan kepalanya.

Mendengar Latiff menyuruh anak-anaknya tidur, Mylia juga turut bangun mendapatkan anak-anaknya. Sedikit terkejut apabila ternampak susuk tubuh suaminya di situ. Tanpa menegur, dia terus sahaja berlalu naik ke atas diikuti Jasmin.

Mylia menyediakan pakaian baru untuk anak-anaknya pakai tidur. Baju yang mereka sedang pakai sudahpun basah jeruk. Dia mencari sehelai tuala kecil dan dibasahkan tuala tersebut. Dengan lembut, Mylia mengelap badan Jasmin menghilangkan sisa peluhnya tadi sebelum dia menghulurkan baju baru kepada Jasmin.

Selesai pada Jasmin, dia mengulang Langkah yang sama kepada Julia yang naik bersama Luqman. Oleh kerana Mylia sedang sibuk menyiapkan Julia, Luqman memberikan tumpuan kepada Jasmin. Baru sahaja Jasmin meletakkan kepala di bantal dan selimut ditarik rapat ke dada, dia sudahpun terlena. Letih benar anak kecil itu.

Selepas Julia siap berbaring di katilnya, Mylia terlebih dahulu beredar ke atas. Luqman hanya menuruti langkah Mylia menapak naik ke atas. Mylia mulai resah dengan kehadiran Luqman bersamanya. Dia masih belum bersedia untuk bersama dengan Luqman lagi. Sakit hatinya masih terasa.

“Mylia dah solat?” soal Luqman sebaik sahaja mereka masuk ke dalam bilik. Mylia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kita solat bersama ya?” pinta Luqman mengharap. Mylia langsung tidak memberikan sebarang respon. Luqman terus berlalu ke bilik air untuk berwuduk.

Apabila Luqman keluar daripada bilik air, Mylia pula berlalu masuk. Dilihatnya sejadah sudah siap terhampar buat mereka berdua. ‘Marah-marah pun tetap taat.’ Bisik hati Luqman. Dia tersenyum sendiri.

Selesai solat Isyak, Luqman terus sahaja mematikan lampu dan memanjat ke atas katil. Dia perasan yang Mylia bergerak begitu lambat sebelum naik ke katil. Segala-galanya dilakukan dengan perlahan. Mylia melipat dan menggantung telekungnya lambat-lambat, menyidai sejadah lambat-lambat, membetulkan itu dan ini lambat-lambat sebelum dia berjalan menuju ke katil. Berat hati sungguh dia.

Sebaik sahaja dia membaringkan badannya, dia terus sahaja mengiring sambil membelakangi Luqman. Matanya terus dipejam rapat. Luqman yang sedari tadi tidur melentang hanya memerhatikan sahaja sikap Mylia dengan senyap. Apabila Mylia tidur membelakanginya, dia masih lagi berdiam. Dia faham dengan isyarat yang diberikan oleh Mylia.

Luqman mula berfikir bagaimana cara untuk dia mengambil hati isterinya kembali. Dia belum benar-benar mengenali isterinya. ‘Kalau aku ajak dia pergi office, dia nak ikut tak? Boleh dia tengok gambar-gambar dia yang aku dah print tu kan? Dia tak tengok lagi office baru aku tu.’ Luqman berfikir sendirian.

“Mylia, esok ikut abang pergi office nak?” tanya Luqman dengan lembut.

‘Ajak pergi office dia? Nak pergi situ nak buat apa? Penuh dengan gambar bini dia kat situ, buat tambah sakit hati je. Tak boleh ke dia biar aku sendiri-sendiri saja?’ fikir Mylia. Dia langsung tidak menghiraukan malah dia memastikan dia tidak menggerakkan langsung badannya.

“Eh, takkan awak dah tidur? Mylia…” panggil Luqman lagi. Mylia masih mendiamkan diri. “Mylia…” Luqman masih mencuba tetapi Mylia masih tidak memberikan sebarang reaksi. “Dah betul-betul tidur ke dia ni?” Luqman menjengah sedikit ingin melihat mata Mylia.

Melihat mata Mylia tertutup rapat, Luqman menghela nafasnya. Akhirnya, dia mengalah. Luqman memusingkan badannya mengadap Mylia dan terus merangkul pinggang Mylia. Perlahan-lahan dia menarik badan Mylia merapati tubuhnya. Dia menghidu bau badan isterinya. Begitu rindu dia dengan bauan itu. Setelah beberapa ketika, tiba-tiba Luqman terdengar esakkan kecil Mylia.

“Abang jangan paksa saya, boleh? Saya tahu saya wajib tunaikan kehendak abang. Tapi kalau abang ada sekelumit ihsan di hati abang, boleh tak abang kasihankan saya dan izinkan saya tidur?” rintih Mylia dengan sayu sekali. Terkejut Luqman mendengar permintaan Mylia.

“Abang minta maaf.” Terus sahaja dia melepaskan dan berpaling membelakangi Mylia.
Entah jam berapa mereka terlelap bersama hati yang berduka. Masing-masing dengan alasan yang berbeza. Mood dingin mereka terbawa-bawa hingga ke esoknya. Walaupun mereka cuba berselindung, tetapi ibu dan adik-beradiknya tetap dapat menghidu. Mereka hanya biarkan sahaja.

* * * * *

Bersemangat Mikail bersiap pagi itu. Sudah lama dia tidak menghubungi Mylia. Disebalik segala usahanya untuk melupakan Mylia, dia masih merindui wanita itu.

“Mana Risya? Tak datang sekali?” Soal Mikail. Dia dah tak sabar nak berjumpa Mylia. Sejak kejadian ampaian putus tempoh hari, dia belum sempat untuk bertanya khabar. Dia tahu kehadirannya tidak disenangi oleh Luqman. Jadi, pertemuan seperti ini adalah peluang paling baik untuk dia bertanya khabar dengan Mylia.

“Tak ada, bro. Hari ni kita berdua sahaja. Diorang dah fitting petang semalam sebab hari ni Mylia ada family matter.” Balas Borhan sambil berjalan memasuki banglo indah di hadapan mereka.

Alangkah kecewanya Mikail apabila dia mendengar kata-kata Luqman itu. Punah segala harapannya untuk berjumpa Mylia. Borhan nampak perubahan wajah Mikail tetapi dia tidak mahu bertanya. Prinsipnya, jika orang ingin bercerita mereka pasti akan bercerita tanpa ditanya. Dia biarkan Mikail melayan perasaannya seketika. Sebaik sahaja mereka mula asyik dengan pakaian baru mereka, mood Mikail juga perlahan-lahan kembali ceria.

Borhan mula berceloteh tentang hal-hal persiapan perkahwinannya yang akan berlangsung sebulan sahaja lagi. Mikail sesekali ketawa besar membayangkan hubungan Borhan dan Risya. Kedua-duanya jenis riuh-rendah. Hubungan mereka sentiasa dihiasi drama.

“Aku tak boleh nak bayang rumah korang nanti.” Komen Mikail apabila mengenangkan bagaimana kedua-dua sahabatnya itu hidup berumahtangga kelak.

“Yang pasti, rumah kami tak akan sunyi. Kalau sunyi tu, maksudnya dua-dua tengah tidur la agaknya.” Sambut Borhan menyokong pendapat Mikail. “Eh, Mika. Pastikan kau datang majlis aku nanti bawa plus one ye. Kalau tak ada, aku halau kau balik.”

“Amboi, takkan sampai macam tu sekali?” bangkang Mikail.

“Mesti! Sebagai seorang sahabat yang sayangkan sahabatnya, itulah syarat aku kat kau. Two or none.” Jawab Borhan lagi. Ada nada gurau tetapi masih agak tegas. Pada fikirannya, mungkin nanti Mikail akan lebih sibuk mencari pasangan untuk di bawa ke majlisnya berbanding memikirkan Mylia yang sudahpun menjadi hak orang lain.

“Okay, aku bawa mak aku. Apa susah.” Balas Mikail dengan senyuman.

“Hurm… mak-mak tak main eh. Kalau kau datang bawa mak engkau, aku bagi laluan kat mak engkau saja. Engkau tunggu dalam kereta.” Borhan memberikan senyuman sinis kepada Mikail seakan-akan sedang memerikan satu amaran.

“Banyaklah kau.” Respon Mikail was-was. Dia tidak pasti sama ada Borhan hanya ingin bergurau atau dia benar-benar memaksudkannya.

“Try me!” Borhan mencabar. Mikail berfikir sejenak.

“Macam-macamlah kau ni, An.” Itu sahaja yang mampu Mikail balas. Buat masa sekarang, dia sendiri tidak tahu nak seret siapa ke majlis Borhan dan Risya yang akan berlangsung bulan depan itu. Bukanlah satu tempoh yang cukup untuk dia mencari pasangan. Biarlah takdir yang menentukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience