~ 36 ~

Romance Completed 13901

“Assalamualaikum. Good morning. Welcome… welcome… Thank you for being here today.” Bicara Mikail membuka mesyuarat mereka pagi itu. Seperti yang diminta, Dina dan Taufik telah memilih lima orang rakan sekerja yang akan turut sama dalam pasukan kerja masing-masing.

“Alhamdulillah… our presentation went well and got pleasant feedback so far. Up to date, we have three applications. One in Morib… this one is the closest. One in Manjung in December and another one is in JB; yet to be determined. So let’s go one by one…” Mikail mengendalikan mesyuarat pagi dengan begitu yakin sekali. Sebelum ini dia hanya menjadi pendengar dan pelaksana. Tetapi kali ini, dia bertindak sebagai perancang. Walaupun boleh dikatakan ini adalah projek besar Mikail yang pertama, dia tenang dan sangat berkeyakinan. Dia meletakkan kepercayaan kepada pasukan-pasukan yang ada dihadapannya saat itu.

Dina dan Taufik memang sedikit gila-gila tetapi kerja mereka begitu teliti. Mikail sangat berpuas hati dengan hasil kerja yang telah mereka tunjukkan sebelum dan semasa pembentangan di Seremban tempoh hari.

Filosofi kerja Mikail mudah. Buat kerja yang kita suka dengan orang yang kita suka. Semasa dia bekerja di ibu pejabat AmanPuri di Kuala Lumpur, En Razman telah memberikan mereka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk memilih pasukan sendiri dan melaksanakan kerja mengikut acuan yang mereka selesa. Hasilnya, mereka berjaya melaksanakan semuanya dengan baik dan gembira. Paling penting sekali adalah kepuasan pelanggan-pelanggan mereka. Acuan itulah juga yang cuba dia bawa ke AmanPuri Melaka.

“Bila schedule JB akan keluar, En. Mika?” Tanya Yan Yan. Wanita Teong Hua yang berusia lebih senior dari Mikail sendiri. Taufik memilih Yan Yan di dalam pasukannya. Satu kelebihan Yan Yan yang sangat dipandang tinggi adalah cara dia mengatur kerja. Sangat kemas dan teliti. Jarang sekali wanita itu tertinggal data dan maklumat.

“Saya belum lagi tetapkan tarikh dengan company di sana. For now, we focus on the Morib first. This framework will be our masterplan for every event after this. We’ll do postmortem, improvise what’s short for the next. But the mainframe is basically like this.” Terang Mikail sambil menuding ke papan putih di belakangnya. Penuh dengan lakaran dan tulisan hasil perbincangan mereka tadi. Mereka sama-sama mengangguk tanda setuju.

“Hanis, please draw this properly and print it for our reference.” Sambung Mikail lagi. Hanis tersenyum lebar mendengar arahan yang ditunggu-tunggu sejak tadi. Dia memang mahir dalam membuat lakaran grafik secara digital. Dia merupakan seorang ibu muda yang mempunyai dua orang anak kecil di rumah. Entah waktu mana dia gunakan untuk hobinya itu. Mikail memang kagum dengan hasil lakaran wanita itu. Sangat kreatif. Setiap kali dia perlu menyediakan bahan infografik, Hanislah yang akan dicari terlebih dahulu. Seandainya tugasan itu diberikan kepada orang lain terlebih dahulu, pastinya Hanis akan berkecil hati.

“Just a little recap…” Taufik pula mencelah. “For Morib, both groups will be involved. For Manjung only one… for JB, to be confirmed… right?”

“Correct.” Ujar Mikail ringkas.

“And who’s gonna incharge Manjung?” tambah Taufik lagi.

“That will be set after we get the detail of the JB’s. We need to know their number and their planning first. Then, we’ll sit and cascade the task.” Terang Mikail lagi. Semua mengangguk-angguk tanda setuju. “Anything else?” soal Mikail kepada semua anak buahnya.

“En. Mika, kami ikut sekali kan ke JB?” Soal Dina pula sambit tersengih-sengih menayang barisan giginya.

“Tak perlulah. Nak setting tarikh saja. Bukan nak kena present.” Jawab Mikail ringkas. Dia masih lagi dalam mood kerja. Apa yang dia tidak sedar, Dina sudah mula ingin mengusik ketuanya itu. Dia tahu mesyuarat mereka sudah pun dipenghujung dan akan berakhir dalam beberapa detik sahaja lagi.

“Tak payahlah, Dina. Bagi la chance En Mika nak pergi dating. Kacau la kau ni.” Bangkang Taufik. Ucapan Taufik sebentar tadi bagaikan satu gossip hangat terbaru di dalam pejabat itu. Masing-masing mula bertukar pandangan sambil tersenyum simpul.

“Amboi korang berdua… puas hati ye boleh sakat boss?” ujar Mikail sambil menutup fail di tangannya. Itu juga salah satu petanda besar yang mesyuarat mereka telah pun tamat.

“Gurau je, boss… gurau…” pantas sekali Taufik membalas. Bimbang juga dia mengguris hati ketuanya. Selama Mikail bekerja di situ, dia sangat baik dan mesra dengan anak-anak buahnya. Tidak ada yang mereka rungutkan. Mikail sangat bersahaja dan sentiasa bergaul bersama-sama mereka.

“Nak bergurau tu boleh… tapi sikit-sikit sudahlah. Kesian mereka semua tertipu dengan kata-kata kamu tadi tu, Pik.” Mikail menghalakan jari telunjuknya ke sekeliling meja. Semua rakan-rakan di situ mula mengalihkan pandangan pada Taufik dengan wajah protes. Taufik hanya mampu menayang gigi.

“Alias, pergi tolak food cart masuk ke dalam. Kita makan dulu. Dah jam 12.30 dah ni.” Nama Alias dipetik kerana dia lelaki yang duduk paling hampir dengan pintu. Ucapan Mikail tadi disambut meriah oleh semua yang ada.

“Yeay!!! Makan free…” sorak mereka beramai-ramai.

“Nasi arab kambing guys!” ujar Alias dengan lantang. Ceria sungguh wajahnya menolak troli masuk.

“Waahhhhh…” semua sudah mula teruja. Tetapi ada juga yang sudah mula kerisauan.

“Yan Yan… awak vegetarian ker? Berkerut dah dahi tu.” Soal Mikail. Dia terlupa untuk bertanya dahulu sebelum dia menghantarkan pesanan kepada Kak Ros, pekerja am pejabat mereka pagi tadi.

“Aaaa… bukan boss…” jawab Yan Yan sambil tersenyum sipu. “Saya tak makan kambing.”

“Owh… ayam pun ada. Alias suka kambing lah tu. Itu yang dia announce kambing saja.” Maklum Mikail kepada semua. Masing-masing sudah tidak sabar-sabar untuk menjamah juadah dihadapan mereka. Mikail sendiri yang bangun mengedarkan makanan kepada pekerjanya. Setelah diagihkan, hanya set ayam sahaja yang berbaki. Mikail mula menjamah nasinya.

“Aik boss. Tak makan kambing jugak ker?” soal Taufik yang hairan melihat Mikail mengambil set ayam.

“Saya prefer ayam.” Jawab Mikail ringkas. Walaupun dia sendiri sememangnya minat dengan set kambing, tapi itu tidak penting. Good leaders eat last! Literally!!!

* * * * *

“Assalamualaikum…” sapa Baharom sebaik saja berdiri dihadapan pintu masuk rumah bisannya, Ramlah.

“Waalaikummussalam…” Mylia kenal sangat dengan suara abinya. Bergegas dia bangun mendapatkan pintu. “Abi dengan umi datang?” pantas dia menghulurkan tangannya. Dia tunduk mencium tangan abi dan kemudian mencium kedua-dua pipi orang tuanya. Dia kemudian beralih kepada uminya pula. “Mak, abi dengan umi datang.” Kata Mylia sedikit kuat untuk memaklumkan kepada mentuanya.

Sebaik mereka melabuhkan duduk di sofa, pantas Hamidah membelek tangan anaknya yg kemas berbalut.

“Bengkak ke tangan kamu ni, Mylia?” soalnya risau.

“Bengkak sikit je, umi.” Kata Mylia cuba menenteramkan hati ibunya.

“Hamidah, dah lama ke sampai?” soal Ramlah apabila melihat sahabatnya di ruang tamu. Dia yang sedang berehat di dalam biliknya tadi tiba-tiba sahaja terdengar suara asing di dalam rumahnya. Mendengar suara Ramlah, pantas Hamidah bangun mendapatkannya.

“Baru saja. Kau sihat? Ni aku ada bawakan sarapan.” Balas Hamidah sambil menghulurkan bungkusan plastik kepada Ramlah.

“Buat susah-susah saja. Luqman mana, Mylia?” soal Ramlah kepada menantunya.

“Kat atas lagi, mak.” Serentak dengan jawapan Mylia, Luqman pun muncul.

“Assalamualaikum Umi, Abi.” Pantas Luqman menghulurkan salam kepada keduanya.

“Korang nak keluar ke ni? Mylia ada dapat MC kan?” soal Baharom apabila melihat Mylia dan Luqman bersiap rapi. Risau pula jika Mylia masih lagi bekerja dalam keadaannya sebegitu.

“Nak ke klinik, abi. Pagi-pagi kena pergi dressing. Petang saja kena buat sendiri di rumah.” Jelas Mylia kepada Baharom. Berkerut-kerut wajah Hamidah membayangkan kesakitan yang ditanggung Mylia. Dia mula mengusap-usap lengannya sendiri seolah-olah sedang menghilangkan rasa sakit di situ.

Mylia sememangnya seorang yang ringan mulut. Tambahan dengan kehadiran kedua-dua orang tuanya di situ. Keceriaan hatinya terus sahaja terpancar jelas di riak wajah membuatkan dia terus saja bertukar menjadi seorang anak yang begitu lincah dan petah di hadapan ibu ayahnya. Satu perangai yang jarang sekali terlihat di dalam rumah itu. Tanpa Baharom dan Hamidah, ditambah dengan tanggungjawab pada Julia dan Jasmin serta hormat Mylia pada Ramlah dan Luqman membuatkan sifat keanak-anakkan Mylia hilang berganti dengan seorang wanita yang begitu rasional dan matang.

“Kalau macam tu, biar abi dan umi saja yang bawa Mylia ke klinik, ya?” soal Baharom dengan penuh pengharapan. Mylia sudah tidak dapat melindung perasaannya lagi dan terus sahaja tersengih hingga ke telinga. Luqman pula yg terkesima tidak tahu apa jawapan yang patut diberikan.

“Tak menyusahkan abi ker? Lama nak tunggu nanti.” Soal Luqman kembali. Mahu terus dibangkang, risau pula lelaki itu berkecil hati.

"Menyusahkan apa pula? Anak abi ni. Jom, abi bawa Mylia. Midah nak ikut tak?” soal Baharom kepada Hamidah.

“Mestilah. Ram dengan Luqman rehat-rehatlah dulu hari ni yer. Biar kami saja yang temankan Mylia.” Kata Hamidah sambil bangun dan terus mengiring Mylia. Mylia hanya menurutkan saja. Bukan kepalang kegembiraan di hati Mylia dapat bersama mereka. Lebih ringan lelah hatinya. Sebelum keluar, Mylia terlebih dahulu bersalaman dengan Luqman. Pantas sahaja Luqman mencium sisi kepala Mylia sebelum melepaskannya pergi.

“Tak apa kan kalau biar umi dan abi teman Mylia?” soal Luqman kepada Ramlah sebaik sahaja mereka hilang dari pandangan.

“Tak apalah. Diorang yang minta. Kamu pun boleh rehat sekejap.” Jawab Ramlah menenteramkan Luqman.

“Kalau macam tu, saya ke kedai saja. Tengah hari nanti saya balik.” Ujarnya lagi.

“Aah, ye lah. Bawa kereta elok-elok.” Kata Ramlah sambil menutup pintu setelah Luqman keluar dari rumah. Tidak lama selepas itu, kedengaran enjin kereta Luqman mengaum dan berlalu pergi.

“Macam mana boleh kena toreh panjang sampai macam tu sekali?” soal Hamidah kepada Mylia. Sedih benar hatinya. Puas dia mengepung anak sulungnya itu sedari kecil. Sebolehnya seekor nyamuk ataupun semut pun tidak dibiarkan menghinggap kulit anaknya itu.

“Dawai tu putus, umi. Bila dia putus, jadi tajam la hujung dawai tu. Tak taulah macam mana dia boleh toreh tangan Mylia. Sedar-sedar saja penuh darah dekat blanket tebal tu.” Cerita Mylia kepada orang tuanya.

“Nasib baiklah Luqman cepat-cepat bawa pergi klinik. Banyak ke darah keluar?” balas Hamidah. Seumur hidup anaknya, paling dijaga adalah parut. Dia cukup risau kalau ada luka-luka yang boleh meninggalkan parut kekal. Orang perempuan sebolehnya mahu dielak parut kekal di mana-mana bahagian badan sekalipun kawasan tertutup.

“Mika yang bawa, umi. Abang ada di kedai masa tu.” Jawapan Mylia sedikit mengundang rasa janggal di hati Hamidah dan Baharom. Mereka saling bertukar pandangan. “Banyak jugak darahnya. Penuh lah blanket mak. Tapi tak ada pula doktor masukkan darah.”

“Macam mana Mika pula yang bawa kamu ke hospital? Bukan dia kerja di Melaka sekarang ni?” soal Baharom. Dia agak hairan bagaimana lelaki itu pula yang lebih pantas bertindak.

“Tak taulah, abi. Tiba-tiba saja dia datang rumah. Dia ada di rumah la agaknya. Mylia tak sempat lagi nak sembang dengan dia lepas hari tu.” Jawab Mylia yang tersandar di tempat duduk penumpang belakang.

Panjang pula fikiran Baharom waktu itu. Bagaimana Mikail boleh sentiasa ada sewaktu Mylia ditimpa masalah? Kebetulan yang cukup besar untuk diabaikan. Sunyi-sepi ruang lingkup kereta mereka saat itu. Masing-masing melayan fikiran sendiri.

“Abi, nanti temankan Mylia masuk ke dalam boleh? Mylia nak ada orang teman.” Soal Mylia memecah keheningan. Bergenang sedikit tubir mata Hamidah mendengar permintaan anaknya. Memang benar anak-anaknya semua jenis manja belaka. Dia tidak menyalahkan mereka. Memang mereka dididik seupaya menjadi anak gadis yang lembut, ceria, mesra dan manja.

“Okay.” Ringkas sahaja jawapan si ayah.

Lama juga mereka menunggu di ruang legar klinik kesihatan itu. Sememangnya ramai sungguh pesakit di situ. Masing-masing dengan bermacam-macam masalah. Di ruang berhadapan Bilik F yang bakal Mylia masuk nanti, berderet menanti pesakit-pesakit yang berbalut kain bandage putih. Ada yang berbalut di tangan, di kaki, lutut, kepala, muka dan entah di mana lagi. Suara-suara rintihan juga kedengaran keluar dari pintu Bilik F itu mengundang rasa kasihan dan kurang senang di kalangan semua yang menunggu di situ.

Hampir tiga jam menunggu barulah tiba giliran Mylia. Setelah nombornya tertera di skrin, dia segera bangun dan menarik tangan Baharom masuk ke Bilik F.

“Assalamualaikum…” Tegur Mylia terlebih dahulu kepada dua orang jururawat yang ada di situ. Salah seorang daripada mereka sedang asyik mencuci luka di kaki seorang lelaki tua. Dia hanya menjawab bersahaja dan langsung tidak mengalih perhatiannya daripada kerja-kerjanya tadi. Manakala seorang lagi jururawat menjawab salam Mylia dengan sebaris senyuman manis.

“Ayah saya masuk hari ni boleh yer?” soal Mylia lagi.

“Boleh. Pakcik duduk sebelah sini ya.” Arah jururawat tersebut. Kerusi yang didudukinya sebentar tadi ditolak kehujung katil untuk diberikan kepada Baharom. Sebuah kerusi tinggi ditarik untuk dirinya sendiri. Mylia terus sahaja naik duduk di atas katil yang disediakan di situ.

“Sakit lagi tak puan?” soal jururawat itu lagi sambil mula membuka balutan tangan Mylia.

“Terasa juga kadang-kadang. Tapi mungkin sebab saya masih makan pain killer tu. Tak terasa sangat. Saya tak berani nak berhenti lagi pain killer tu.” Cerita Mylia. Dia cuba untuk tidak memandang kecederaan di tangannya itu. Dia mengangkat pandangannya dan membaca poster-poster yang banyak tertampal di dinding bilik rawatan itu.

“Okay. Tak apa. Ikut saja arahan doktor. Makan ubat macam yang doktor dah suruh. Okay, saya periksa sikit ya. Puan tahan yer.” Kata jururawat muda itu sambil membelek tangan Mylia dengan khusyuk. Sesekali dia menekan-nekan perlahan sekeliling jahitan sepanjang lengan Mylia itu. Perkara yang paling dirisaukan adalah jangkitan kuman. Nanah adalah tanda utama bermulanya jangkitan kuman.

“Saya nangis tak apa yer?” soal Mylia. Air mata sudah pun mula mengalir perlahan di pipi.

“Tak apa, puan. Saya tahu. Memang sakit.” Balas jururawat itu kembali. Baharom yang pertama kali melihat luka tangan Mylia cuba untuk tidak terlalu memberi reaksi. Dia bimbang Mylia akan lebih sedih dengan reaksi wajahnya. Dia cuba berlagak tenang walaupun di dalam hatinya sendiri membendung seribu satu rasa.

“Bengkak lagi ke tangan dia tu, nurse?” soal Baharom.

“Ya, pakcik. Masih bengkak jugak lagi ni. Tapi sikit saja. Dah surut banyak. Tapi saya tengok luka ni bersih. Tak ada nanah, alhamdulillah. Kalau ada nampak nanah atau tiba-tiba puan demam ke... cepat-cepat bagitahu kita ya. Jangkitan kuman nanti lagi susah. Kita terpaksa cuci sampai ke dalam.” Terang jururawat itu lagi sambil tangannya ligat membersihkan dan menyapu ubat yang baru. Menggeletar tangan Mylia menahan pedih. Setiap kali jemari Mylia menyentak, setiap kali itu juga hati Boharom tersentak. Rasa belas menggunung-gunung di lubuk hatinya. Dia biarkan sahaja Mylia menangis tanpa ditegur. Dia hanya menggosok perlahan bahu anak sulungnya itu.

Setelah selesai ubat disapu, lengannya kembali dibalut kemas. Baharom ternampak sebuah sinki di dinding hujung bilik tersebut. Segera dia berjalan mencari tisu untuk diberikan kepada Mylia. Basah jeruk tudung yang dipakai. Sedih pilu hati si ayah melihat kesakitan yang ditanggung oleh anaknya itu. Tetapi apa kan daya. Tiada yang mampu dia buat untuk mengurangkan kesakitan itu.

Setelah selesai, Baharom membantu Mylia turun dari katil dan terus keluar dari bilik rawatan. Kelihatan ruang itu bagaikan bertambah padat. Mata mereka meliar mencari Hamidah. Menyedari suami dan anaknya bagaikan sedang tercari-cari, Hamidah segera mengangkat tangan memanggil mereka.

“Dah selesai?” soal Hamidah kepada dua beranak itu. Jelas sekali merah hidung dan mata Mylia akibat tangisannya sebentar tadi. Dia tahu apa yang telah berlaku dan dia enggan bertanya lagi. Anaknya sedang cuba berlagak kuat dan dia ingin memberikan sokongan moral kepada Mylia.

“Sudah. Jom. Dah boleh balik dah.” Kata Mylia.

“Tak perlu ambik ubat apa-apa?” soal Hamidah lagi.

“Tak perlu, umi. Ubat semua dah ada. Datang cuci saja.” Jelas Mylia. Mukanya masih lagi kemerahan dek tangisan semasa rawatan tadi. Mengengar penjelasan Mylia, Hamidah terus bangun dan mula mengatur langkah bersama-sama suami dan anaknya.

“Nurse kata apa?” Soal Hamidah.

“Tak ada apa sangat pun. Luka bersih, tak ada jangkitan.” Jawab Mylia ringkas.

“Alhamdulillah. Sakit tangan tu?” soal Hamidah lagi.

“Time dia tengah cuci-cuci, tengah sapu-sapu ubat tu terasa la sakit. Sampai sekarang masih berdenyut-denyut lagi ni. Tapi kejap lagi balik makan pain killer, hilang lah umi.” Jawab Mylia cuba membina keyakinan dalam diri ibunya. Dia tidak mahu umi dan abi menjadi susah hati terlampau dek keadaannya waktu itu.

“Jaga makan tau. Telur tu elak dulu sekejap. Takut nanti bernanah. Makanan yang gatal-gatal pun elakkan dulu. Nanti tak sedar, duk menggaru pula.” Pesan Hamidah kepada Mylia.

“Apa yang boleh umi?” soal Mylia. Dia sendiri tak sanggup andai luka di lengannya itu tidak beransur baik dengan cepat. Terseksa rasanya. Bergerak sedikit pun sudah terasa ngilu.

“Pantang macam orang dalam pantang bersalin tu. Ha… senang nak ingat. Mak kamu pun mesti tau sangat.” Pesan Hamidah bersungguh-sungguh. Dia mula menyenaraikan makanan-makanan yang boleh dan yang tidak boleh seperti mana amalan petua nenek-moyang dahulu kala.

Sesampainya mereka di rumah Luqman, Luqman tidak berada di rumah. Yang ada hanya Ramlah. Setelah memberi salam, mereka terus sahaja masuk ke dalam rumah. Ramlah yang sedang sibuk di dapur terhenti kerjanya dan terus ke hadapan untuk menyambut tetamu.

“Mak tengah masak ker?” soal Mylia apabila melihat lengan baju Ramlah kebasahan.

“Mak masak nasi saja. Dah minta Luqman belikan lauk.” Jawab Ramlah sambil duduk bersebelahan Hamidah di atas sofa. “Dah tua-tua ni, tak larat dah rasa nak masak banyak-banyak.” Kali ini matanya memandang ke arah Hamidah.

“Iya. Dah ada yang senang. Rasa pun boleh tahan jugak kat kedai tu. Ada yang sedap.” Sokong Hamidah.

“Assalamualaikummmm…” tiba-tiba suara ceria Jasmin dan Julia menggamatkan suasana. Semua mata beralih kepada mereka berdua yang sedang berjalan masuk. Tersenget-senget badan Julia mengendong beg sekolah. Mahu dibeli beg beroda tetapi dia sendiri enggan. Lebih selesa menggalas katanya.

“Eh! Wan dengan opah pun ada?” kata Julia sambil terus meletakkan beg dan datang mendapatkan Baharom dan Hamidah. Jasmin juga turut sama menerkam ke arah mereka. Terus sahaja tubuh kecil itu dipeluk erat oleh Baharom dan Hamidah. Mudah sungguh anak-anak kecil ini mesra dengan mereka sekeluarga.

“Assalamualaikum.” Muncul pula Luqman di belakang mereka menjinjing satu beg plastik yang pastinya terisi lauk-pauk untuk mereka makan tengahari itu. Pantas sekali Mylia bangun mendapatkan suaminya sambil menghulurkan salam. Sebaik bersalaman, Mylia mencapai bungkusan tadi untuk di bawa ke dapur.

“Abi dengan umi makan nasi kat sini ya?” pelawa Mylia.

“Ya, betul tu. Ram dah masak nasi lebih untuk semua orang. Duduk dulu. Biar kami hiding sekejap.” Kata Ramlah dan terus mengangkat punggung dari sofa empuk.

“Biar aku tolong.” Pantas Hamidah bangun dan turut serta.

Luqman cepat-cepat menyuruh anak-anaknya naik ke atas untuk menyimpan beg sekolah dan menukar uniform agar tidak kotor.

“Nak mandi dulu ke, abi?” soal Jasmin. Dia tidak mahu ketinggalan untuk makan beramai-ramai ketika itu.

“Tak payah dulu. Makan dulu. Nanti baru mandi.” Jawapan Luqman ternyata benar-benar menggembirakan kedua-dua anak kecil itu. “Jangan lari. Naik tangga hati-hati.” Pesan Luqman apabila mereka sudah mula seakan ingin berlumba naik ke bilik. Sudah lebih sebulan mereka tidak berjumpa dengan Baharom dan Hamidah. Kehadiran kedua-dua insan itu sangat menceriakan hati kecil mereka. Senyuman lebar tak lekang-lekang di wajah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience