~ 32 ~

Romance Completed 13901

“Assalamualaikum…” Laung Mikail dari luar rumah. Menderu bunyi tapak kaki berlari menuju ke pintu. Satu suasana yang tak pernah berlaku di dalam rumah besar itu.

“Ibu dah balik! Ibu dah balik!” satu suara kecil turut melaung dari dalam. Pasti kecewa Jasmin apabila melihat hanya Mikail yang muncul di muka pintu.

“Uncle, mana ibu?” Soal Julia dengan sopan. Dia mengharapkan wajah ibunya juga akan turut sama ada di situ. Di jengah-jengah ke rumahnya di sebelah menerusi pagar kayu yang menjadi sempadan antara rumah mereka tetapi rumah itu kelihatan sunyi.

“Ibu belum balik lagi. Abi dengan nenek tengah temankan ibu.” Terang Mikail sambil mengusap perlahan kepala anak itu. Begitu rupanya keadaan rumah apabila adanya anak-anak kecil. Meriah. Mikail diberi kesempatan untuk merasai nikmat sementara hari itu.

“Teruk ke cederanya tu, Mika?” soal Suraya yang turut datang menyambut Mikail di muka pintu.

“Tengok dengan mata kasar ni, nampak macam teruk juga. Dalam luka dia tu. Dah la panjang.” Terang Mikail. Meremang bulu tengkok Suraya membayangkan kecederaan di lengan Mylia. Dia ada ternampak tompokkan darah memenuhi kain yang menekup tangan Mylia tadi. Digosok-gosokkan lengannya sendiri perlahan-lahan. Kepalanya masih membayangkan luka itu.

“Ibu belum balik?” sedih sungguh suara Jasmin ketika itu.

“Jangan sedih. Kan abi dan nenek ada kat sana teman ibu. Sekarang ni, siapa nak ais krim?” soal Mikail sambil mengangkat bungkusan plastik merah ditangannya.

“Nak! Jasmin nak!” wajah sugul tadi terus berubah ceria. Sebelum balik, Mikail sengaja singgah ke kedai dan membeli sekotak ais krim berperisa vanilla dengan jeli strawberi dan juga kon biskut. Dia sudah menjangka anak-anak itu pasti akan sedih kerana ibu mereka masih belum pulang.

“Okay… jom ikut uncle pergi dapur, jom!” Kata Mikail sambil mengiringi mereka ke dapur. Mikail mengeluarkan skop aiskrim dan mula mencedok aiskrim tersebut dalam bentuk bulatan besar yang sangat sempurna. Di letakkan bebola aiskrim itu di dalam kon biskut dan dihulurkan kepada Jasmin. Mikail mengulang semula perbuatannya tadi untuk menghasilkan satu lagi aiskrim buat Julia.

“Mama nak aiskrim?” pelawa Mikail kepada Suraya yang sedang berada di ruang tamu.

“Boleh juga. Tapi jangan besar sangat.” Pesan Suraya. Gigi tuanya sudah kurang mampu menahan rasa sejuk aiskrim lagi.

“Orait. Satu aiskrim vanilla strawberi untuk Cik Su.” Kata Mikail sambil menyelitkan beberapa aksi lucu memancing ketawa anak-anak kecil yang menontonnya dengan khusyuk sedari tadi.

“Okay, jom kita makan di garden.” Kata Mikail kepada Julia dan Jasmin. Lebihan aiskrim telah pun disimpan rapi ke dalam peti sejuk. Mikail berjalan sambil membawa dua kon aiskrim. Satu untuk Suraya dan satu untuknya. Mereka berjalan melintasi ruang makan bersebelahan ruang tamu dan terus keluar menerusi pintu sisi. Suraya juga turut sama mengekori mereka dari belakang.

Di luar sisi rumah Suraya terdapat satu taman bertema Zen yang sangat lapang dan indah. Dua rimbunan pohon buluh yang merendang meredupkan suasana di bawahnya. Sebuah kolam ikan koi yang agak besar memenuhi sudut kawasan itu. Sebuah set meja kayu terletak di bawah teduhan buluh tadi. Mereka berempat duduk menikmati aiskrim masing-masing di situ.

Jasmin dan Julia duduk di atas kerusi sambil menggoyang-goyangkan kaki mereka. Tiba-tiba, datang angin sejuk bertiup dari arah Timur melintasi halaman rumah itu.

“Bestnya angin.” Tegur Julia. Mikail hanya tersenyum mengiakan. Masing-masing hanya berdiam tanpa suara. Hanya asyik menjilat-jilat aiskrim di tangan.

“Uncle tak kerja ker?” soal Julia memecah keheningan suasana waktu itu.

“Hari ni uncle cuti.” Jawab Mikail.

“Macam sekolah?” soal Jasmin pula.

“Ya… macam sekolah.” Kata Mikail sambil terangguk-angguk.

“Sama macam ibu lah. Ibu pun cuti macam sekolah. Sebab tu Jasmin suka kat ibu. Bila Jasmin cuti, ibu pun cuti. Abi tak cuti. Setiap hari abi kerja.” Sambung Jasmin lagi.

“Kalau hujung minggu, Jasmin buat apa kat rumah?” soal Mikail kepada anak kecil di hadapannya.

“Pagi-pagi buat homework dulu. Sebab ibu nak kemas rumah dulu. Nanti petang, ibu suka bawa pergi rumah opah.” Cerita Julia.

“Seronok ke pergi rumah opah?” saja Mikail mengumpan untuk Julia terus berceloteh.

“Seronok! Kat rumah opah ada ramai orang. Ada opah, ada wan, ada angah, ada acu.” Disebutnya satu per satu penghuni rumah orang tua Mylia kepada Mikail.

“Ramainya!” respon Mikail dengan suara yang sedikit teruja.

“Ramai…” sambut Julia dengan intonasi yang panjang.

“Seronoknya boleh jumpa ramai-ramai orang.” Kata Mikail kepada Julia mengajuk aturan ayat keanak-anakan Jasmin dan Julia.

“Seronok sangat. Uncle kenalah kahwin. Nanti boleh la uncle jumpa ramai-ramai orang. Dulu rumah kami pun tak ramai orang. Ada nenek, abi, kakak dengan Jasmin saja. Tapi sekarang dah ada ibu, ada opah. Cuti-cuti boleh jalan-jalan rumah opah.” Kata Jasmin.

“Haih… kat sini pun kan ada pak ngah dan mak su?” bangkang Julia pula.

“Pak ngah dengan mak su bukannya selalu balik. Kadang-kadang saja.” Jasmin pula menambah.

“Memanglah. Diorang kan kerja jauh. Mana boleh balik kerap-kerap.” Jawab Julia. Suraya hanya mendengar saja celoteh cucu jirannya itu dengan Mikail. Rancak sungguh mereka.

“Cik Su pun teringin nak ada orang ramai-ramai dalam rumah Cik Su. Asyik tengok muka uncle je seorang. Boring dah.” Kata Suraya menyampuk perbincangan mereka.

“Haaa… Cik Su kena kahwin lah kan? Betul tak Jasmin?” soal Mikail kepada Jasmin mengusik mamanya.

“Mana boleh? Cik Suk kan dah tua. Orang muda-muda saja yang kahwin. Orang tua tak kahwin lah.” Jawab Jasmin sambil ketawa besar mendengar saranan Mikail. Julia juga turut sama ketawa.

“Haaa, betul tu. Pandai Jasmin. Orang muda yang kena kahwin, kan?” sambung Suraya menguatkan lagi pernyataan yang dikeluarkan anak kecil itu tadi.

“Tak boleh ker? Siapa cakap?” soal Mikail mencabar minda anak-anak kecil itu.

“Nenek lah cakap. Sebab tu nenek tak kahwin. Abi yang kena kahwin. Jadi… Cik Su tak boleh kahwin. Uncle yang kahwin!” atur Jasmin sambil tersengeh-sengeh.

“Kalau macam tu, uncle kahwin dengan Jasmin lah! Boleh?” tanya Mikail kepada Jasmin sambil tersenyum manis.

“Ai! Mana boleh! Jasmin kecil lagi. Uncle dah besar.” Jawab Jasmin. Ketawa besar dia dan kakaknya.

“Cik Su pun dah besar?” kata Mikail kononnya masih tidak berpuas hati dengan perdebatan mereka.

“Memanglah. Tapi Cik Su dan tua. Uncle muda. Uncle lah yang kena kahwin. Bukan Cik Su.” Terang Jasmin lagi.

“Kalau macam tu, uncle tunggu Jasmin besar lah… boleh?” soal Mikail lagi. Jasmin tersengeh sambil mengetuk dagunya perlahan-lahan dengan jari telunjuknya.

“Tak boleh…” jawab Jasmin sedikit tergagap.

“Kenapa pula?” soal Mikail sambil menunjukkan wajah kecewa.

“Nanti mesti uncle dah jadi tua. Orang tua tak boleh kahwin.” Kata Jasmin dengan yakinnya.

“Alaaa…” jawab Mikail ringkas mengundang ketawa Jasmin, Julia dan Suraya jugak. Lucu dia mendengar ayat-ayat celoteh anak kecil itu. “Okay, dah habis makan? Jom kita masuk dalam rumah. Kita tengok TV.” Ajak Mikail kepada mereka semua yang ada di situ. Mereka berjalan bersama-sama.

* * * * *

Hampir 3 jam Luqman dan Ramlah menunggu di Unit Kecemasan hospital. Entah berapa kali dia bangun dan mundar-mandir di situ.

“Lambat lagi ke, Man?” soal Ramlah. Dia sendiri sudah keletihan.

“Tak tahulah, mak. Mungkin ramai agaknya kat dalam tu.” Jawab Luqman cuba menenagkan ibunya termasuk dirinya.

“Harap-harap tak dalam sangat lah luka Mylia tu. Habislah berparut nanti.” Ujar Ramlah.

“Sikit jer tu. InshaaAllah tak ada apa-apalah.” Jawab Luqman bersahaja. Dia cuba menenteramkan gusar hati ibunya.

“Kau mana tau? Kau tak tengok pun keadaan tangan dia tu. Nanti balik tau tengok berapa banyak darah dia yang keluar yg melekat dekat selimut tebal mak tu.” Bentak Ramlah. Dia tak suka dengan sikap tak ambil kisah anaknya itu kepada Mylia. Semua benda nak diambil mudah.
Luqman hanya mendiamkan diri. Dia malas nak bergaduh dengan ibunya dikhalayak ramai begitu. Bertikam lidah dengan ibunya takkan pernah menyebelahi Luqman. Kata orang, perempuan mana pernah salah.

Dia bangun menjauhi ibunya. Mencari satu ruang yang agak terpencil dan berdiri bersandar ke dinding. Bukan Luqman saja-saja mahu mengambil ringan kecederaan Mylia, tapi dia yakin benar yang luka Mylia itu tidaklah setara mana. Lengannya hanya terguris dawai kecil saja. Tetapi Mylia yang dia kenal sememangnya seorang yang manja. Dek kerana kecederaan kecil saja habis diganggu serata jiran.

“Huh! Balik-balik Mikail juga yang superhero.” Rengus Luqman tanpa sedar.

Sepanjang ingatannya, Aisyah seorang yang lebih lasak dan tidak reti duduk diam. Tetapi tidak pernah sekali pun Aisyah cedera teruk sampai perlu ke unit kecemasan seperti ini. Mylia ni pula serba-serbi lemah-gemalai. Kerja-kerja rumah yang ringan-ringan sahaja yang dia lakukan setiap hari. Boleh jadi, alatan pertukangan pun dia tak kenal. Mana satu penukul, mana satu gerudi. Mana satu paku, mana satu skru.

Luqman menggeleng-gelengkan kepalanya. Letih dia melayan sikap manja mengada isterinya itu.

“Waris Mylia binti Baharom, masuk ke bilik 1! Waris Mylia binti Baharom, masuk ke bilik 1.” Tiba-tiba suara diinterkom memanggil. Luqman langsung tidak memberikan sebarang reaksi mendatangkan berang di hati Ramlah. Dia bangun mendapatkan Luqman.

“Man, diorg dah panggil tu. Masuk bilik 1.” Ramlah memukul bahu anaknya dengan sedikit kuat. Geram benar dia dengan Luqman. Luqman yang terpinga-pinga dengan perbuatan ibunya tadi, mula melangkah ke bilik 1.

Sesampainya dia dihadapan Pintu 1, pengawal keselamatan bangun dan mengimbas kad pelepasannya dan membuka pintu kepada Luqman.

Sebaik sahaja Luqman melangkah masuk, suasana yang berbeza yang terpampang dihadapan matanya sekarang. Semua katil dipenuhi pesakit. Doktor dan jururawat semuanya ke hulu ke hilir atas pelbagai tujuan. Suasana juga bingit dengan suara tangisan anak kecil yang enggan dirawat. Meronta-ronta anak itu minta diangkat ke pangkuan ibunya. Betapa penyabarnya doktor yang sedang merawatnya. Masih mampu memujuk dengan lembut.

Luqman sedikit gawat dan tidak tahu untuk menghala ke mana.

“Ya encik, cari siapa?” seorang jururawat lelaki datang menegur Luqman.

“Saya waris Mylia.” beritahu Luqman.

“Oh, bilik hujung sana.” Jawab jururawat tadi dan terus berlalu pergi. Luqman berjalan dengan penuh berhati-hati. Bimbang dia mengganggu tugas mereka semua di situ. Tiada seorang pun yang sedang duduk berehat-rehat. Semuanya sedang sibuk.

Sesampainya Luqman di pintu bilik yang ditunjuk tadi, dia mengetuk pintu tersebut dengan perlahan-lahan. Terdapat 2 buah katil di situ. Mylia sedang terbaring di atas salah sebuah katil. Melihat kepada riak wajahnya, dia kelihatan agak lemah dan wajahnya juga sedikit pucat.

“Ya encik. Encik waris siapa?” doktor lelaki muda berbangsa India yang sedang merawat Mylia mengangkat kepala dan menegur Luqman yang sedang berdiri di muka pintu.

“Saya suami Mylia.” jawab Luqman.

“Owh, masuk. Masuk. Duduk di sini ya encik.” Kata doktor sambil menunjukkan sebuah kerusi di sebelahnya. Dia mahu Luqman duduk di sebelah tangan Mylia yang cedera untuk dia terangkan rawatan yang telah dia jalankan sebentar tadi.

“Okay encik. Saya Doktor Krish. Begini yer… tangan isteri encik ni sudah cedera agak teruk lah. Saya terpaksa jahit luka tadi.” Kata Doktor Krish kepada Luqman. Terbentang dihadapan mereka tangan Mylia yang berbalut dari pergelangan hinggalah ke siku.

“Luka isteri encik di bahagian sini.” Sambung Doktor Krish lagi sambil menunjukkan carta laporan yang ada di tangannya. “Dalam 15cm juga panjangnya. Tetapi kita bernasib baik sebab tak ada saluran-saluran utama yang terganggu. Dia juga kehilangan agak banyak darah tapi tidaklah sampai kita perlu transfuse darah baru. Encik boleh faham kan so far?” soal Doktor Krish kepada Luqman.

Luqman yang masih lagi agak terkejut dengan maklumat yang baru diterimanya sebentar tadi hanya mengangguk perlahan-lahan. Sangkaan awalnya tadi jauh menyimpang.

“Tak apa. Encik jangan bimbang. Lepas ni, encik bawa dia datang untuk cuci luka dan salin bandage ni. Pagi-pagi nurse akan buatkan. Kita nak pantau supaya luka sentiasa kering dan tiada jangkitan kuman. Petang-petang, encik kena buat sendiri yer. Buka bandage ni dan sapu ubat saja.” Pesan doktor itu lagi. Luqman masih lagi mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Okay, jom kita ke depan. Biar puan rehat sekejap.” Kata Doktor Krish seraya bangun dari kerusinya.

Luqman merenung wajah pucat Mylia. Dia tidak tahu apa yang dia sedang fikirkan tentang Wanita di hadapannya itu. Dia sendiri tak faham kenapa begitu mudah dia berburuk sangka dengan Mylia.

Luqman bangun daripada kerusi dan tunduk mengucup dahi Mylia. ‘I’m sorry…’ kata-kata itu bergema di dalam kepalanya sahaja.

Luqman terus bergerak keluar daripada bilik tersebut dan pergi mendapatkan Doktor Krish di mejanya.

“Duduk… duduk…” kata doktor itu dengan sopan. Luqman hanya menurutkan sahaja. Doktor muda itu sedang sibuk menulis transkrip ubat buat Mylia. “Saya akan bagi encik senarai ubat ni. nanti, encik pergi ambik di kaunter farmasi di sebelah bilik 5. Ubat tahan sakit ni saya bagi untuk seminggu dulu. Nanti minggu depan, kita akan tambah lagi. Isteri encik kerja ker?” soal Doktor Krish.

“Ya.” Serak betul suara Luqman waktu itu. Dia berdehem sedikit membetulkan tekaknya.

“Okay. Saya berikan MC untuk 1 minggu. Make sure dia tak lasak-lasak sangat dengan tangan yang cedera tu ya. Jangan angkat benda berat-berat. Pastikan tangan dia sentiasa dalam keadaan relax.” Pesan Doktor Krish lagi.

“Berapa lama masa tangan dia nak sembuh, doktor?” soal Luqman. Dia rasa seperti banyak yang dia perlu tanya tapi dia sendiri tidak pasti apa yang dia patut tanya.

“Kita harap dalam masa seminggu luka tu boleh kering dan kulit dia boleh bercantum elok. Tetapi kalau luka dia masih belum baik, kita akan sambung lagi rawatan selama seminggu.” Kata Doktor Krish. Melihat keadaan Luqman yang masih lagi termangu-mangu, Doktor Krish cuba untuk menenteramkan lelaki di hadapannya itu.

“Encik jangan susah hati. Walaupun luka isteri encik agak dalam dan panjang, kita akan cuba pastikan luka tu cepat kering dan parutnya juga paling minimum.” Mendengar ayat Doktor Krish tentang parut, Luqman semakin terpana. dia sememangnya langsung tidak menyangka seteruk mana kecederaan Mylia itu. Bagaimana penerimaan Mylia nanti jika parut itu menjadi kekal.

“Encik ada soalan apa-apa?” soal doktor itu. Luqman hanya menggelengkan kepalanya. “Kalau macam tu, encik boleh keluar ke kaunter farmasi dahulu. Selesai mengambil ubat, encik ke kaunter pembayaran untuk selesaikan bil. Selepas itu, encik masuk untuk jemput isteri encik balik yer.” Kata Doktor Krish. Luqman menyambut slip ubat yang dihulurkan oleh doktor itu dan beredar keluar.

Melihat Luqman keluar daripada pintu besar bertanda 1, Ramlah segera bangun mendapatkannya.

“Macam mana Mylia, Man?” soal Ramlah keresahan.

“Dah siap dirawat. Dia kena jahit luka dia tu. Mak rehat sekejap. Man nak pergi ambik ubat.” Kata Luqman kepada ibunya. Dia tidak mahu ibunya keletihan ke sana ke mari mengikutnya.

Bagi Ramlah pula, dia sudah letih dek kerana duduk terlalu lama. Dia mengambil peluang itu untuk meregangkan sedikit kakinya sambil berjalan mundar-mandir di ruang menunggu itu. Mendengar yang tangan Mylia berjahit, dia pasti lengan menantunya itu nanti akan berparut panjang.

Selesai urusan ubatan Mylia, Luqman ke kaunter bayaran dan selesaikan bil seperti yang diarahkan oleh doktor. Sekembalinya Luqman ke bilik 1, dia berjumpa semula dengan Doktor Krish. Doktor itu menyerahkan beberapa dokumen termasuk slip cuti, kad temujanji. Selesai urusan dengan doktor, Luqman pergi mendapatkan Mylia yang sudahpun tertidur di situ.

“Mylia, jom balik.” Kejut Luqman perlahan-lahan. Tidak berapa lama, seorang jururawat datang menyorong sebuah kerusi roda dan menyerahkannya kepada Luqman. Mylia yang baru tersedar cuba bangun perlahan-lahan. Dia menjadi sedikit over-protective terhadap tangannya yang tercedera dan banyak menggunakan tangan yang sebelah lagi menampan katil untuk bangun dan memaut bahu Luqman untuk turun ke katil. Kepala Mylia terasa berat sangat.

“Dia baru dapat ubat tahan sakit. Ubat tu memang kuat sikit. Sebab tu dia macam sedar tak sedar.” Terang jururawat itu kepada Luqman. Luqman hanya mengangguk sedikit tanda faham. Di atas kerusi roda, Mylia menongkat kepalanya dengan tangan. Dia rasa seperti hendak jatuh daripada kerusi itu. Dia langsung tidak dapat mengawal badannya.

Setelah memastikan Mylia duduk dengan selamat, Luqman menolak kerusi roda keluar. Sambil berlalu pergi, Luqman sempat mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai yang berinteraksi dengannya sepanjang dia berada di situ. Luqman sudah tidak sabar untuk terus pulang ke rumah. Dia sendiri sudah terlalu keletihan.

Lebih kurang jam 6:00 petang baru Luqman, Ramlah dan Mylia pulang dari hospital. Mendengar deruan enjin kereta Luqman, Mikail pantas bangun dan menjengah. Dari jauh dia dapat melihat dengan jelas Mylia yang beranduh kemas berjalan perlahan-lahan sambil dipimpin oleh suami dan mentuanya masuk ke dalam rumah. Mylia kelihatan sangat tidak bermaya. Tangan Mylia berbalut sepanjang lengan.

Tidak lama selepas itu, Luqman keluar berjalan menuju ke rumah Mikail untuk menjemput anak-anaknya pulang. Melihat Luqman menuju ke rumahnya, cepat-cepat Mikail keluar merapat ke pagar rumah mereka.

“Abang, Julia dengan Jasmin tengah tidur ni. Baru setengah jam mereka tidur. Biarlah dulu. Nanti diorang dah bangun, saya hantar diorang balik.” Kata Mikail dengan nada yang lebih rendah. Bimbang suaranya mengejutkan anak-anak itu.

“Tak apakah?” Soal Luqman bimbang anak-anaknya mengganggu aktiviti jirannya pula.

“Apa tak bolehnya. Diorang kat depan TV tu saja. Nanti dah bangun saya hantarkan.” Mikail sengaja menawarkan bantuan sebegitu. Jauh di sudut hatinya, dia meronta-ronta ingin melihat keadaan Mylia. Resah hatinya bukan main-main.

Luqman hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Setelah mengucapkan terima kasih, dia mula melangkah pergi.

“Apa kata doktor tadi?” setelah beberapa kali Mikail berlawan dengan dirinya samada patut atau tidak dia bertanya, namun akhirnya dia kalah. Terkeluar juga soalan itu dari mulutnya. Berdebar juga dia menunggu respon daripada Luqman. Mikail dapat rasakan yang Luqman seperti semakin kurang senang dengan kehadirannya.

Langkah Luqman terhenti. Perlahan-lahan dia berpaling memandang Mikail. Makin berdebar-debar Mikail dibuatnya. Keruh kelat air muka Luqman. Sakit sungguh hatinya apabila Mikail sibuk-sibuk bertanya tentang isterinya. Dia tahu soalan itu bukanlah satu soalan yang asing dalam situasi begitu. Tapi dia tidak mampu menahan perasaan marah apabila soalan itu keluar dari mulut Mikail bertanya tentang isterinya.

“Dia akan okay. Tak ada yang serius.” Jawab Luqman. Matanya merenung tajam ke mata Mikail. Mikail hanya mampu mengangguk tanda faham. Tersekat suaranya di kerongkong.

Melihat Mikail yang tergamam sebegitu, Luqman kembali berpaling dan melangkah pergi. Saat itu, Mikail hanya mampu menarik nafas dalam-dalam dan menenangkan perasaannya sendiri. Kepalanya tiba-tiba menjadi kacau-bilau. Terasa begitu serabut. Mikail seperti tenggelam punca.

Mikail merebahkan badannya di atas sofa berhampiran Julia dan Jasmis yang sedang nyenyak tidur di atas lantai beralaskan selimut tebal. Dia merenung wajah mereka satu persatu. Keletah mereka serta suara riuh rendah mereka menyambutnya pulang tadi sangat-sangat memberi kesan kepada dirinya.

Mikail memejamkan matanya. Terbayang wajah keruh Luqman sebentar tadi. Mikail sedar betapa Luqman dengan jelas menunjukkan sifat protektifnya terhadap Mylia. Jelas sekali Luqman sangat sayang kepada Mylia. Dia tidak perlu lagi banyak berfikir tentang Mylia. Mungkin buah hatinya itu sudahpun bahagia sekarang bersama suaminya. Dia mesti mula untuk melupakan Mylia. Walaupun mungkin dia tidak membuang jauh perasaannya terhadap Mylia, tapi dia mesti menanam perasaan itu jauh-jauh di dasar hatinya.

Mikail memekup mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya. Tiba-tiba datang satu perasaan sebak yang amat sangat. Dia masih belum bersedia untuk melepaskan Mylia sepenuhnya. Dia masih terlalu sayangkan Mylia. Dia cuba menahan air mata daripada mengalir keluar. Dia bimbang ibunya tiba-tiba datang ke ruang tamu dan melihat dia dalam keadaan begitu.

Segera dia bangun dan terus meluru ke bilik air. Sewaktu dia di dalam bilik air, pintu diketuk perlahan.

“Uncle… Julia nak kencing…” suara kecik Julia memanggilnya dari luar.

“Okay, sayang. Kejap.” Mikail terus saja bergegas keluar dan membantu Julia ke bilik air. Usai menguruskan Julia, mereka beriringan ke ruang tamu. Jasmin juga sudah duduk terpacak di hadapan televisyen.

“Dua-dua dah bangun? Lapar tak?” Soal Mikail mesra kepada anak-anak kecil itu. Jasmin yang masih lagi mamai-mamai datang memeluk bahu Mikail. Tergamam sebentar Mikail. Teragak-agak Mikail. Tidak tahu apa respon yang sepatutnya diberikan kepada anak kecil itu. Perlahan-lahan dia menggosok belakang badan Jasmin.

Melihat belaian Mikail mesra kepada adiknya, Julia juga datang merapat dan melabuhkan kepalanya di paha Mikail sambil memejamkan semula matanya. Mikail membelai-belai kepala Jasmin.

“Uncle, ibu dah balik ke belum?” soal Jasmin perlahan dengan suara yang sedikit serak.

“Dah. Ibu dah balik dah. Jasmin nak balik tengok ibu?” jawapan Mikail terus membuatkan anak-anak itu segar-bugar jadinya. Laju sahaja anak-anak itu menganggukkan kepala mereka. “Okay, jom basuh muka dulu sedikit sebelum balik rumah yer.”

Pantas sekali anak-anak itu bangun dan terus berlalu menuju ke sinki dapur. Sambil mereka membasuh muka, Mikail menuangkan dua gelas air kosong kepada mereka.

“Minum air ni dulu sedikit.” Tanpa banyak soal, mereka patuh kepada Mikail. Selesai minum, segera mereka berjalan menuju ke pintu utama. “Kejap, tunggu uncle.” Mikail bimbang mereka terus meluru keluar ke jalan raya.

Mikail memimpin tangan kedua-duanya sambil berjalan menuju ke pintu pagar rumah. Mikail mengiringi anak-anak itu sehingga ke pintu pagar rumah Luqman. Tetapi langkahnya hanya terhenti di situ. Dia sudah faham di mana sempadannya antara dia dan Mylia. setelah memastikan Julia dan Jasmin selamat masuk ke dalam rumah, terus sahaja Mikail beredar. Dia tidak mahu ditegur oleh sesiapa. Saat itu, hatinya sarat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience