~ 10 ~

Romance Completed 13901

Atas permintaan ibu bapa kedua-dua belah pihak, Mylia dan Luqman bercuti daripada kerja masing-masing selama seminggu bermula sehari sebelum hari akad nikah. Mylia dan Luqman perlukan sedikit masa untuk saling mengenali.

Dua hari selepas majlis mereka yang gilang-gemilang itu, hubungan Mylia dan Luqman masih lagi serupa. Masing-masing membawa haluan masing-masing. Tidak seperti pengantin baru yang lain-lain. Mereka masih lagi bagaikan orang asing. Mylia sentiasa mencuba untuk mengelak daripada berkomunikasi dengan Luqman. Adakala dia memilih untuk menghantar mesej sahaja melalui telefon. Jarang sungguh mereka bercakap. Mylia masih mengenakan tudungnya sepanjang masa termasuk sewaktu mereka tidur. Sewaktu tidur, Luqman yang tidur di sebelah kanan katil akan mengiring ke kanan, manakala Mylia pula akan mengiring ke kiri. Sengaja Luqman meletakkan bantal panjang di antara badan mereka. Mylia faham dengan tindakan Luqman itu.

Masuk hari ketiga, Luqman membawa Mylia pulang ke rumahnya. Tidak banyak pakaian yang Mylia bawa sekali. Rumah orang tuanya bukanlah jauh mana. Sekiranya dia memerlukan apa-apa, boleh sahaja dia singgah pada waktu rehat tengahari.

Semasa Mylia melangkah turun daripada keretanya, dia terdengar bunyi percikan air daripada rumah sebelah. Dia mengangkat matanya memandang ke arah bunyi air tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila memandang susuk tubuh lelaki yang amat dikenalinya itu. Tersirap rasa darah di seluruh tubuhnya hilang entah ke mana. Matanya terbeliak besar memandang Mikail.

“Mika, rajin basuh kereta petang ni?” soal Luqman menegur jirannya itu. Mikail berpaling memandang Luqman yang menegurnya. Sama seperti Mylia, dia juga amat terkejut melihat Mylia yang sedang terbuntang mata memandangnya. Tetapi dia lebih pantas menyembunyikan perasaannya itu.

“Oh, hai abang Man. Selamat pengantin baru…” Mikail menghampiri pagar rumah yang membahagi kawasan rumah mereka sambil menghulurkan tangannya. Luqman merapati dan menyambut huluran salam tanpa menjawab ucapan Mikail itu.

“Hai, Mylia. Tak sangka kau kahwin dengan jiran aku.” Kata Mikail cuba berseloroh.

“Mika kena Mylia?” soal Luqman kehairanan.

“Apa tak kenal, bang. Kami kerja satu office. Satu department lagi. Meja depan-depan.” Cerita Mikail. Biar Luqman tahu betapa akrabnya mereka. Andai nanti dia menyapa Mylia, tidaklah lelaki itu berasa pelik atau pun tidak senang.

Mylia yang baru keluar daripada kereta hanya tersenyum kelat. Langsung tidak menjawab sapaan Mikail sebentar tadi. Kepalanya sarat. ‘Kenapa kau mesti ada di sini, Mika?’ soalan yang sama bergema berulang-ulang kali.

“Oh, macam tu ke? Okay lah, kami masuk ke dalam dulu ya.” Kata Luqman kepada Mikail. Kemudian dia terus berjalan kehadapan tanpa mempedulikan Mylia. Tetapi Mylia tahu peranannya. Terus sahaja dia membontoti suaminya dan meninggalkan Mikail sendirian di situ.

“Assalamualaikum…” Laung Luqman dengan sedikit kuat. Kemudian anak-anaknya datang berlari mendapatkannya.

“Abi! Abi dah balik? Lamanya abi kat sana.” Kata Jasmin sambil memeluk kaki Luqman. Mylia hanya berdiri kaku melihat adegan anak dengan ayah di hadapannya itu. Hangat dan mesra.

‘Ada hati rupanya suami aku ni. Ingatkan tunggul kayu.’ Bisik hatinya.

“Sorry lah sayang. Lepas ni abi tak akan tinggalkan Jasmin dan Julia lagi yer. Salam dengan ibu.” Arah Luqman kepada anak-anaknya. Mereka datang menyelami Mylia dengan penuh sopan. Mungkin mereka masih lagi belum biasa dengan Mylia. Kemesraan masih lagi belum wujud. Mylia tunduk mencium pipi dan memeluk tubuh anak-anak Luqman yang kini sudahpun menjadi anak-anaknya juga.

Tidak lama kemudian, ibu Luqman juga muncul di hadapan pintu rumah itu.

“Dah sampai dah menantu mak. Masuk Mylia. Kenapa berdiri depan pintu tu saja.” Pelawa Ramlah. Mylia segera merapati wanita itu dan menghulurkan salam. Tetapi Ramlah bertindak memeluk badanya dengan erat sekali.

“Mana beg kamu? Takkan tak bawa pakaian?” soal Ramlah apabila melihat mereka hanya datang dengan tangan kosong.

“Ada mak dalam kereta. Belum ambil lagi.” jawab Mylia.

“Oh, tak apa. Nanti-nanti boleh ambil. Jom kita pergi minum petang dulu. Mak ada sediakan mi goreng sikit. Jom ke dapur.” Ramlah menarik tangan Mylia mengikutnya ke dapur. Luqman pula singgah di ruang tamu berbual-bual dengan anak-anaknya.

Mylia menghidang dengan cermat juadah yang disediakan oleh Ramlah tadi. Selesai menghidang, mentuanya berkata sesuatu yang masih belum terbiasa di telinganya.

“Pergi panggil suami dan anak-anak kamu makan sekali.”

‘Suami? Anak-anak?’ termenung sejenak. Mujurlah dia cepat mengalihkan badannya daripada Ramlah. Kalau tidak, pasti orang tuanya itu dapat melihat kerutan di dahinya. Mylia berjalan lemah menuju ke ruang tamu.

“Bi, mak panggil makan.” Katanya dari jarak yang agak jauh. Tanpa menunggu reaksi balas lelaki itu, terus sahaja dia berpusing menghala ke meja makan kembali. Ramlah sudah sedia duduk di kerusinya di hujung meja. Mylia masih belum biasa dengan susun atur rumah tersebut. Sengaja dia ke dapur berpura-pura sibuk. Dia mahu Luqman dan anak-anak mengambil tempat terlebih dahulu, kemudian barulah dia isikan sahaja mana-mana ruang yang masih kosong. Sebaik sahaja dia mendengar suara mereka riuh-rendah di meja makan, barulah dia keluar.

Jasmin duduk di kerusi sebelah kanan neneknya dan diikuti oleh Luqman. Julia pula duduk di hujung meja bertentangan dengan Ramlah. jadi Mylia terus sahaja memilih kerusi di sebelah Julia, iaitu bertentangan dengan Luqman.

“Jasmin, datang duduk sebelah sini. Bagi ibu duduk di situ.” Kata Ramlah kepada cucunya.

“Eh, tak apa mak. Saya duduk sini saja. Senang nak tengokkan Julia.” Balas Mylia pantas. Dia tidak mahu duduk bersebelahan Luqman. Susah untuk dia menelan sekejap lagi. Kedinginan sikap Luqman terhadapnya boleh membekukan tekaknya. Ramlah akur sahaja dengan kata-kata Mylia. Mereka makan dengan perbezaan perasaan di hati masing-masing. Yang pastinya, kegembiraan yang dirasakan oleh Ramlah tidak sampai kepada Luqman dan Mylia.

“Dah pilih tempat untuk honeymoon?” soal Ramlah secara rawak. Dia tidak menghalakan soalan itu kepada sesiapa. Siapa-siapa sahaja boleh menjawab.

“Honeymoon tu apa, nek?” soal Jasmin jujur ingin tahu. Ramlah tergelak sekejap.

“Honeymoon tu pergi bercuti untuk orang yang baru kahwin. Macam abi dengan ibu lah.” Mendengar perkataan ‘bercuti’, mata Jasmin dan Julia mula membuntang luas. “Jasmin dengan Julia tak boleh ikut?”

“Olooooooo…” kata mereka serentak.

Mylia tahu memang mustahil untuk mereka keluar berbulan madu jika perangai Luqman masih sebegitu. Dia hanya mendiamkan diri. Tidak mahu memberikan sebarang reaksi. Biar Luqman yang jawab sendiri soalan ibunya itu.

“Tak payah lah mak. Membazir je. Man nak rehat sekejap sepanjang cuti ni. Nanti dah start buka kedai, dah tak sempat nak rehat dah.” Balas Luqman. Dia cuba memberikan alasan walaupun dia amat faham dan tahu, ibunya tidak akan sesekali menerima alasannya itu.

“Mana boleh macam tu? Kamu lupa ke yang ini perkahwinan pertama buat Mylia. Biarlah dia ada kenangan indah tentang perkahwinan dia. Jangan pentingkan diri sangat boleh tak? Kau mesti bawa Mylia paling singkat tiga malam. Ini arahan mak.” Kata Ramlah dengan tegas. Dia sudah mula nampak bunga-bunga hitam dalam rumahtangga baru anaknya itu. Semuanya berpunca daripada Luqman. Dia tahu. Dia mesti berbuat sesuatu. Jika tidak, dia akan malu seumur hidup dengan sahabatnya Hamidah.

Fikiran Luqman semakin serabut. Dia sudah mula berasa penat dan rimas dengan keadaannya sekarang. Jiwanya sungguh payah untuk menerima keadaan terbaru dirinya sekarang. Jiwanya meronta-ronta untuk memberontak. Tetapi perkahwinan ini berlangsung atas persetujuannya juga. Dia tidak boleh menyalahkan ibunya 100%.

Selepas makan malam, Luqman keluar ke meja batu di halaman rumahnya. Dia duduk termenung di situ sendirian. Fikirannya tak habis-habis memikirkan Aisyah. Setiap detik yang bergerak, semakin menebal perasaan bersalahnya terhadap Aisyah.

“Kat sini pun kau.” Tiba-tiba suara ibunya menariknya keluar daripada terus tenggelam dengan pemikirannya sendiri.

“Luqman, mak tengok kamu dengan isteri kamu tu langsung tak ada kemesraan. Takkan baru kahwin dua tiga hari dah gaduh? Dah ada masalah?” soal Ramlah. Ramlah tidak sedar masalah itu sudah ada sejak daripada sebelum kahwin lagi. Melihat Luqman yang terus menyepi, Ramlah berkata lagi.

“Kau dah sentuh dia ke belum?” sudah malas dia dia mahu berkias dengan anak sulungnya itu. Berterus-terang lebih senang dan lebih mudah dia faham. Sekali lagi, Luqman hanya tertunduk memandang telefon di tangannya dan terus membisu seribu bahasa. Maka fahamlah Ramlah kenapa mereka langsung tiada kemesraan. Masih ada satu tembok besar yang memisahkan hati kedua-dua pasangan itu.

“Luqman, kamu tak boleh bersikap macam ni. Sekarang ini, Mylia tu tanggungjawab kamu. Amanah untuk kamu jaga dan pelihara. Anugerah untuk kamu sayang dan bersyukur. Kamu tak boleh layan dia macam tu. Dia juga ada hak ke atas kamu. Dia juga isteri kamu. Kamu wajib melunaskan segala nafkah kamu ke atas Mylia.”

Mendayu suara Ramlah kali ini. Dia bukan lagi marah atau pun membentak. Lebih kepada memujuk dan merayu. Mendidik agar anaknya tidak melakukan dosa terhadap Mylia sedangkan sebuah perkahwinan sepatutnya menjadi satu lubuk pahala.

“Jiwa Man dah mati, mak.” Jawab Luqman perlahan. Ada butir-butir Mutiara jernih yang mula terbit di matanya. Ramlah faham dari mana datangnya air mata itu.

“Man, mak tahu kau sayang sangat dengan Aisyah. Tapi percayalah, Aisyah sendiri tak mau tengok engkau hidup macam ni.” Kata Ramlah cuba menyentuh hati lembut Luqman.

“Mana mak tau? Kalau Aisyah masih hidup, mana mungkin dia mahu lihat Man berkahwin dengan orang lain.” Soal Luqman kembali.

“Kalau dia masih hidup, isu Mylia ni tak akan wujud. Sekarang ni, Aisyah dah tak ada. Dia dah kembali kepada Penciptanya. Kita tak boleh nak mempertikaikan takdir.” Desak Ramlah lagi kepada Luqman.

Luruh jua akhirnya air mata di wajah kasar lelaki itu. Letih sungguh jiwanya saat itu. Ramlah menggosok-gosok badan anaknya itu. Dia faham benar perasaan Luqman saat itu kerana dia juga pernah kehilangan suaminya yang tersayang. Tetapi Luqman masih muda. Anak-anaknya masih kecil. Mereka perlukan sentuhan seorang ibu dalam hidup mereka.

Ramlah bangun dan terus masuk ke dalam rumah meninggalkan Luqman sendirian melayan perasaan. Pesanan ibunya berkenaan hak dan tanggungjawab tadi sedikit sebanyak melekat di minda. Bukan dia tidak faham hal itu. Dia bukannya langsung tiada ilmu agama. Tetapi ketat sungguh kunci yang terpasang di pintu hatinya. Payah untuk di buka buat wanita lain walaupun sudah bergelar isterinya.

Luqman menarik nafas dalam-dalam. Diseka air mata di wajahnya. “Aisyah, maafkan abang.” Kata Luqman sambil menghembuskan nafas dengan keras. Dia bangun dan terus bergerak masuk ke dalam rumah. Sunyi sepi rumahnya waktu itu. Jasmin dan Julia sudah tidur barangkali. Dia menapak naik ke tingkat atas. Sampai saja ditingkat dua, dia melangkah perlahan ke arah bilik anak-anaknya. Pintu masih sedikit terbuka tetapi ruang bilik itu sudah gelap. Hanya lampu tidur sahaja yang terpasang.

Sebaik sahaja dia sampai di muka pintu, dia terdengar suara Mylia.

“…Cinderella berlari dengan begitu pantas menuruni tangga istana. Tiba-tiba dia terjatuh di kaki tangga. Kasut kristal Cinderalla tertanggal dari kakinya. Dia berpusing untuk mengambil kasutnya kembali, tetapi tiba-tiba sahaja dia ternampak Putera Raja sedang berlari dengan kuat untuk mengejarnya. Cinderella bimbang Putera Raja ternampak wajahnya yang akan bertukar sebentar lagi. Dia meninggalkan kasut itu dan terus berlari dengan lebih kuat untuk pulang ke rumah…”

Tiba-tiba hatinya menjadi sedikit tenang apabila melihat penerimaan Mylia terhadap anak-anaknya. Dia sendiri tidak pernah membacakan cerita sebelum tidur kepada mereka. Sekurang-kurangnya, sekarang anak-anaknya mempunyai pengalaman baru bersama ibu mereka.

Luqman terus bergerak naik ke tingkat tiga. Dia terus sahaja masuk ke bilik air untuk berwuduk dan bersedia untuk solat Isyak. Sebaik sahaja dia keluar dari bilik air, Mylia membuka pintu biliknya. Mata mereka bertembung seketika tetapi pantas sahaja Mylia melarikan matanya.

“Anak dah tidur?” soal Luqman cuba untuk menegur Mylia.

“Dah.” Ringkas sungguh jawapan Mylia.

“Solat sekali?” soal Luqman lagi.

“Dah.” Jawapan yang sama, intonasi yang sama. Mylia terus merebahkan badannya di atas katil dan membelakangi Luqman. Luqman membiarkan sahaja Mylia dan terus sahaja fokus kepada solatnya.

Agak lama juga Luqman bertafakur di atas sejadah selepas solatnya. Mylia sudah hampir terlena waktu itu. Luqman melipat sejadah dan menyimpan kopiahnya ke atas meja solek. Dia terus berjalan ke arah pintu biliknya dan mematikan suis lampu. Cahaya samar daripada lampu jalan di luar sedikit menerobos masuk melalui tingkap biliknya. Dia memandang susuk tubuh Mylia dengan fikiran yang amat bercelaru tetapi dia nekad.

Luqman menghampiri katilnya. Dia duduk seketika di birai katil tersebut. Sekali lagi dia menoleh kepada Mylia. Mylia yang memakai sehelai kemeja T dan seluar panjang masih lagi bertudung kemas. Dia menggosok mukanya beberapa kali dan melurutkan rambutnya. Serba tak kena dia waktu itu. Dia merapatkan badannya ke badan Mylia. Lututnya tersentuh belakang Mylia membuatkan Mylia sedikit terkejut. Matanya kini terbuka luas tetapi tubuhnya kejang dan kaku.

Hati Mylia berdegup kencang. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia hanya diam dan menunggu apa sahaja tindakan Luqman yang seterusnya.

“Mylia…” panggil Luqman dengan lembut sambil meletakkan tangannya di atas lengan Mylia. Dia kemudian terdiam seketika. Di dalam kepalanya, tak henti-henti kata-kata maaf buat Aisyah yang bergema. Bagaikan lafaz wirid yang diulang berkali-kali. Dia memejamkan matanya dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Cuba untuk menutup fikirannya daripada Aisyah.

“Mylia… lepas ni tak payah pakai tudung lagi ya di rumah?” kata Luqman sambil menyelak perlahan-lahan tudung Mylia. Terus sahaja matanya tertumpu kepada ikatan rambut sederhana panjang milik Mylia. Mylia masih lagi diam terkaku. Dia membiarkan saja tindakan Luqman ke atasnya.

“Mylia… izinkan bi ya…” kata-kata Luqman terhenti di situ. Hanya anggota badannya sahaja yang berfungsi. Mylia merelakan setiap perlakuan Luqman ke atasnya. Namun hakikatnya, Mylia dapat rasakan bahawa perbuatan mereka malam itu hanyalah perbuatan fizikal tanpa ruh. Tanpa perasaan. Tanpa kasih sayang.

Oleh kerana malam itu merupakan kali pertama tubuhnya disentuh, Mylia kurang pasti apa yang berlaku sebenarnya. Tetapi segala kata-kata yang menggambarkan keindahan malam pertama yang tertulis di dalam novel-novel yang selalu dibacanya langsung tidak terasa. Yang pasti, Mylia berusaha keras untuk menahan dan menyembunyikan kesakitan yang dirasa.

Sedang Mylia berlawan dengan akalnya sendiri cuba menjustifikasikan setiap perbuatan Luqman ke atas tubuhnya, tiba-tiba Luqman berhenti dan terus bangun terduduk di birai katil.

“I’m sorry.” Kata Luqman dan terus berlalu pergi ke bilik air. Mylia yang masih hairan dan bingung mangambil kesempatan tersebut untuk membetulkan pakaiannya dan menarik selimut rapat ke bahunya. Sepanjang malam mereka berdua tidak dapat melelapkan mata. Walaupun mereka tidur sekatil, tetapi seorang memandang ke barat dan seorang lagi memandang ke timur, saling membelakangi antara satu sama lain.

Keesokkan paginya, Mylia bangun dengan kepala yang begitu berat sekali. Itulah akibatnya apabila dia tidak mendapat tidur yang secukupnya. Badannya sudah mula panas. Pantas sahaja Mylia menelan dua biji paracetamol. Tidak mahu demamnya makin merebak.

Selesai mandi dan solat Subuh, Mylia terus turun ke dapur. Apabila dia melihat terdapat banyak lebihan nasi malam tadi, dia menggorengkan nasi tersebut buat sarapan mereka semua. Dia juga menyediakan satu jag air teh o panas dan diletakkan di atas meja makan. Selesai semua sarapan tersedia, mentuanya masuk ke dapur.

“Awalnya Mylia bangun.” Sapa Ramlah dengan mesra. Dia melihat Mylia tidak lagi memakai tudung seperti semalam. Hatinya tersenyum riang. Sangkaannya Luqman termakan juga nasihatnya semalam.

“Biasa ja, mak. Kalau hari kerja, lagi awal saya kena bangun.” Jawab Mylia sambil memandang tepat ke wajah mentua dengan senyuman. Saat itu, Ramlah terperasan yang wajah Mylia pucat lesi.

“Pucatnya muka. Kamu sakit ker?” soal Ramlah sambil menyentuh dahi dan leher Mylia.

“Tak lah. Okay saja.” Jawab Mylia mengelak.

“Panas ni badan kamu. Ada ubat tak?” tanya Ramlah lagi.

“Ada, mak. Saya dah makan dah.” Mylia cuba menenteramkan hati Ramlah.

“Good morning, nenek. Good morning, ibu.” Tiba-tiba suara Julia masuk menerpa. Julia yang baru terjaga dari tidurnya turun ke dapur bersama baju tidurnya dan rambut yang kusut-masai.

“Good morning, cucu nenek.” Jawab Ramlah. Julia terus sahaja duduk di kerusi sebelah Ramlah.

“Good morning. Adik belum bangun?” soal Mylia dengan lembut.

“Belum ibu.” Jawab Julai sambil matanya memandang semangkuk nasi goreng yang kelihatan begitu lazat di tengah-tengah meja makan itu. “Nak makan?” kata Julia lagi.

“Nak makan mesti mandi dulu.” Kata Mylia kepada Julia.

“Alaaa… kena mandi ke? Makan lah dulu. Lepas tu mandi, pleaseee…” Julia separuh merayu.

“Ermm… nanti busuklah nasi goreng ibu yang harum ni. Julia pergi naik mandi cepat-cepat, ibu tunggu Julia.” Kata Mylia memujuk.

“Promise? Ibu tunggu Julia siap mandi baru ibu makan dengan Julia?” soal Julia bersungguh.

“Yup, promise!” kata Mylia sambil mengangkat tangannya lagak bersumpah.

“Ibu tunggu Julia?” tanya Julia lagi tak berpuas hati.

“Iya… ibu tunggu Julia. Cepatlah! Ibu dah lapar ni…” kata Mylia menggesa. Terus Julia bangun berlari dan naik ke tingkat atas untuk mandi. Tersenyum simpul Ramlah melihat keletah cucu dan menantu barunya itu. Senang hati Ramlah apabila Mylia boleh melayan cucu-cucunya itu dengan mesra sekali.

“Mak makanlah dulu. Saya tunggu Julia turun.” Kata Mylia sambil menceduk nasi goreng ke pinggan Ramlah. Dia juga menuangkan secawan teh dan diletakkan di hadapan Ramlah.

“Kamu jangan manjakan sangat diorang tu. Makin mengada nanti.” Pesan Ramlah kepada Mylia. Mylia hanya tersenyum dengan nasihat mentuanya itu.

Lebih kurang 15 minit kemudian, Julia turun bersama-sama Jasmin dan Luqman. Mereka terus masuk ke dapur dan mengambil tempat duduk seperti biasa. Tetapi Ramlah tidak berpuas hati. Dia mesti pastikan Luqman sentiasa mendampingi isterinya itu. Oleh kerana Julia duduk di hujung meja bersebelahan Luqman dan Jasmin juga duduk di sebelah yang satu lagi, Ramlah bangun dari kerusinya dan menyuruh Jasmin duduk di situ. Kemudian, dia memaksa Mylia duduk di kerusi yang dikosongkan Jasmin sebentar tadi. Dia pula duduk berhadapan dengan Jasmin.

“Okay, mulai sekarang, kita semua duduk macam ni.” Kata Ramlah. Luqman hanya mendiamkan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar pagi itu. Jika sebelum ini dia hanya dibelenggu rasa bersalah terhadap Aisyah, kini dia juga turut rasa bersalah terhadap Mylia disebabkan hal semalam.

“Kenapa Jasmin yang duduk sebelah ibu? Julia nak duduk sebelah ibu!” kata Julia yang tidak berpuas hati dengan susun atur yang dibuat oleh Ramlah.

“Tak boleh. Nenek yang suruh Jasmin duduk sini. Kakak duduklah dengan abi kat situ. Itu kan tempat kakak.”

“Alaaa… Abi! Kakak nak duduk sebelah ibu!” kata Julia sambil menggoyang-goyangkan badannya memprotes.

“Sama saja kat mana pun. Yang penting, makan bagi kenyang.” Kata Luqman dengan tegas mematikan pertelingkahan anak-anaknya.

“Man, sekejap lagi bawa Mylia pergi klinik. Demam isteri kamu pagi ni.” Tiba-tiba Ramlah mengadu kepada Luqman membuat kan Mylia terkedu. Luqman memandang kepadanya.

“Tak payah, mak. Tak payah. Saya dah makan ubat dah kejap tadi.” Balas Mylia menyangkal permintaan mentuanya. Luqman terus sahaja kembali mengadap makanan di hadapannya.

‘Mengada. Demam sikit pun nak mengadu kat mak.’ Fikir Luqman dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience