~ 22 ~

Romance Completed 13901

Bukan main lebar lagi senyuman Mylia apabila terpandang wajah Mikail. Sakit sungguh hati Luqman. Entah apa rahsia disebalik hubungan akrab mereka berdua. Tiba-tiba, Luqman terasa bagaikan dirinya mangsa penipuan.

“Mika! Mika pun join seminar ni juga?” soal Mylia dengan penuh ceria. Luqman tak pernah tengok Mylia seceria itu. Bersinar-sinar aura yang keluar dari wajah Mylia. Jiwa Luqman terus menggelegak. Bertambah marah apabila dia rasa bagaikan tunggul di tepi mereka. Langsung Mikail tak menyapa.

“Mestilah. Mika speaker untuk slot keempat esok.” Jawab Mikail dengan senyuman paling manis. Rindu Mylia pada sepasang gigi taring comel milik Mikail itu. “Abang Luqman. Sihat bang?” Mikail menghulurkan salam.

“Sihat alhamdulillah. Macam mana tempat kerja baru? Okay?” soal Luqman kepada Mikail. Dia cuba menyembunyikan perasaannya sebaik mungkin.

“Eh, okay. Best tempat tu. Dah check-in ke belum? Jom kita check-in dulu.” Pelawa Mikail sambil mengangkat beg pakaiannya. Disebabkan Mikail ada di situ, Luqman terpaksa menukar jenis bilik yang dia nak tadi. Kalau dia minta twin sharing bed, pastinya Mikail akan syak sesuatu yang pelik dengan hubungan mereka suami isteri. Nak tak nak, Luqman terpaksa.

Selesai urusan daftar, mereka mula bergerak menuju ke lif.

“Eh, sorry. Korang naik dulu. Mika tertinggal beg laptop. See you later okay.” Mikail meminta diri setelah dia perasan yang beg komputernya tertinggal. Setelah pintu terbuka, Mylia dan Luqman melangkah bersama-sama masuk ke dalam lif. Air muka Luqman yang sangat serius langsung tidak memberikan apa-apa gambaran kepada Mylia. Memang setiap hari pun, begitulah wajah Luqman setiap kali berhadapan dengannya.

Tapi apabila Luqman mula merentap-rentap beg dengan kasar, berjalan laju menonong ke depan meninggalkannya sendirian di belakang, barulah dia perasan yang Luqman sedang memberontak.

‘Dah kenapa pulak mamat ni?’ Mylia menggeleng-gelengkan kepalanya. Malas betul Mylia nak layan amukan Luqman. ‘Dah cakap jangan datang, nak datang jugak. Sekarang nak mengamuk. Hish!’ gerutu hati Mylia.

Apabila Mylia melangkah masuk ke dalam bilik, dia perasan katil yang tersedia di situ ialah katil queen dan bukannya 2 katil single seperti yang mereka rancangkan sebelum ini. Mylia pasti Luqman akan lebih marah nanti.

“Receptionist salah bagi kita bilik ni. Kejap saya call diorang minta tukar.” Kata Mylia sambil cepat-cepat mencapai gagang telefon.

“Tak payah tukar bilik. Awak nak diorang tahu yang kita ni tak macam couple lain? Seronok sangat yer kalau orang tau? Ke awak dah bagitau semua orang yang awak tu single and available?” Marah betul Luqman. Mylia bingung. Entah dari mana datangnya semua sawan Luqman hari itu.

“Awak ni dah kenapa?” soal Mylia dengan agak keras kali ini.

“Awak memang tunggu peluang saja kan? Mujur saya datang hari ni. Kalau tidak tak taulah cerita apa yang awak canang dekat semua orang. Umi dengan abi pun pandang saya sebelah mata saja. Tak bertanggungjawab sangat ke saya ni? Walau apa pun keadaan kita, saya ni tetap suami awak tau. Maruah saya awak mesti jaga.” Bentak Luqman lagi. Dia tak mampu menahan rasa marah dalam dirinya. Dia lepaskan semuanya waktu itu juga.

Mylia hanya mendiamkan diri. Dia tak tahu hujung pangkal perbalahan mereka. Dalam keadaan penat macam tu, dia hilang punca. Tak ada langsung idea untuk dia bela diri. Tak tau apa yang perlu dia katakan kepada Luqman.

“Kenapa diam? Marah? Tadi bukan main ceria lagi muka tu kan?” Bising Luqman lagi.

‘Banyak cakap pulak dia hari ni. Selalunya tanya 40 patah pun kadang-kadang tak der jawapan. Angguk geleng je dia. Hari ni, berjela-jela pulak ayatnya.’ Mylia masih lagi membatu.

“Awak nak apa dari saya sekarang ni?” soal Mylia perlahan. Sayu suaranya saat itu.

“Saya nak awak hormat saya. Jangan canang cerita bukan-bukan tentang saya. Jangan sampai ahli keluarga awak kutuk saya depan-depan macam tu.” Keras suara Luqman. Tapi melihat wajah sugul Mylia, Luqman terdiam.

“Saya tak pernah cerita apa pun tentang awak pada siapa-siapa. Yang tau situasi kita yang sebenarnya ni hanya mak saja. Umi dengan abi tak pernah tau apa-apa pun. Yang diorang tahu, saya sekarang dah jadi isteri awak dan hidup bahagia. Tak ada sebab umi dengan abi nak kutuk-kutuk awak sebab bagi diorang awaklah menantu paling baik dalam dunia.” Jawab Mylia panjang sambil bangun berjalan masuk ke dalam bilik air. Lesu badannya disebabkan perjalanan mereka tadi. Dan sekarang, Luqman sedang mencabar emosinya pula. Tetapi, sebaik sahaja Mylia keluar daripada bilik air, Luqman sudah tidak ada.

Luqman masuk ke dalam sebuah pasaraya besar yang terletak di tengah-tengah bandar Seremban. Dia mula berjalan tanpa tujuan. Dari satu bahagian ke satu bahagian dia berjalan tanpa tujuan. Kepalanya ligat berfikir macam mana dia boleh jadi mengamuk sampai macam itu sekali. Dia berusaha mencari punca dia naik berang. Segalanya bermula apabila bapa mentuanya menyebut nama Mikail tempoh hari. Satu-satunya sebab dia boleh sampai ke sini bersama Mylia hanyalah dek kerana Mikail.

‘Yang aku nak triggered sangat dengan nama Mikail tu kenapa? Biarlah diorang nak jadi apa pun. Kenapa aku nak kena kisah?’ Luqman berbalah dengan dirinya sendiri.

Lamunannya terhenti apabila telefon di dalam poket seluarnya bergetar. Lambat-lambat dia nak mengangkat panggilan tersebut apabila nama Mylia yang tertera di skrin.

“Hello.” Dia menyapa tanpa perasaan.

“Assalamualaikum. Awak nak makan malam kat mana?” soal Mylia dengan suara yang perlahan. Luqman menjeling jam di tangannya. ‘Wah! Dah 10 malam rupanya.’ Fikir Luqman sambil mengangkat matanya memandang sekeliling. Pengunjung dan tak ramai yang tinggal. Pekerja-pekerja juga sudah mula mengemas seksyen masing-masing. Begitu asyik dia berjalan tanpa sedar perubahan masa.

“Saya balik. Siap, kita keluar makan.” Kata Luqman dengan dingin sekali. Terus sahaja dia mematikan panggilan dan terus berjalan keluar mendapatkan kereta.

“Bye pun dah tak sempat. Dah datang balik lah tu perangai dingin salji dia tu. Hurm… at least better daripada perangai mengamuk tak tentu pasal.” Mylia berkata-kata sendirian sambil mencampak telefon bimbitnya ke atas katil.

Dia sudah lama siap. Hanya tinggal nak mengenakan tudung sahaja. Perut Mylia dah berbunyi-bunyi sejak tadi. Lapar sangat dah dia. Nak diikutkan hati, dia turun je makan sendirian di café hotel. Tapi bimbang juga kalau perbuatannya mengundang marah Luqman lagi. Bila dah sampai jam 10 masih lagi sunyi-sepi, Mylia terpaksa telefon.

[Luqman]
Saya dah kat depan lobi.

Satu pesanan Whatsapp masuk ke telefon. Mylia membiarkan sahaja mesej itu tanpa dibalas. Yang penting, tanda biru di situ dah menunjukkan yang mesej itu sudah pun di baca. Terus sahaja Mylia mencapai beg tangan dan menyarung sandal untuk turun ke bawah. Kad kunci bilik hotel dicapai dan dimasukkan ke dalam beg tangan sambil dia berjalan menuju ke lif.

Mylia menekan butang turun dan berdiri di hadapan pintu lif. Sambil menunggu lif sampai, Mylia membelek-belek pakaian dan tudungnya pada imej di pintu lif. Sebaik sahaja pintu dibuka, susuk tubuh Mikail muncul di situ.

“Hai, nak pergi mana ni. Dah jam 10 lebih dah.” Soal Mikail risau.

“Hai… Nak pergi makan.” Jawab Mylia dengan senyuman manis.

“Baru nak makan? Baik-baik, nanti gastrik Mylia tu datang lagi. Seorang saja ker?” Mikail tergerak hati untuk bertanya bila Mylia hanya berdiri di situ sendirian.

“Luqman ada kat bawah. Mylia pergi dulu yer. Nanti lambat sangat pulak.” Kata Mylia dari dalam lif.

“Okay. Take care. Jangan makan pedas yer!” pesan Mikail lagi. Ada saja pesanan yang dia nak bagi kat Mylia. Pengalaman mereka berkerja bersama-sama sejak beberapa tahun ini membuatkan Mikail kenal sangat dengan diri Mylia. Ditambah dengan sayangnya dia terhadap gadis itu, segala butiran kecil tentang gadis itu diambil cakna.

Sebaik sahaja Mylia masuk ke dalam kereta, Luqman terus menekan pedal minyak. Langsung sepatah pun tak keluar dari mulutnya. Mylia juga malas nak berkata-kata. Rasanya dah terlebih banyak dah perbualan antara mereka hari ni. Dah lebih dari biasa. Mylia hanya menurutkan sahaja arah pemanduan Luqman.

Luqman berhenti di hadapan sebuah restoran selera Thai. Sebaik sahaja mereka duduk di sebuah meja yang agak jauh daripada pengunjung lain, seorang pelayan restoran itu datang beserta menu ditangan. Dihulurkan menu tersebut kepada mereka berdua sambil berkata, “Encik pilih dulu ya, sekejap lagi saya datang semula.” Kemudian, gadis itu terus berlalu.

Masing-masing masih lagi menyepi. Mylia menjeling wajah suaminya. Serius dia membelek menu ditangan. Tak ada yang berbeza dengan mood dia sebelum-sebelum ini. Sama saja.

‘Lama-lama boleh hypertension aku dengan mamat ni.’ dengus Mylia.

“Dah sedia nak order?” pelayan tadi kembali ke meja mereka siap sedia dengan buku nota kecil dan sebatang pensel.

“Saya nak nasi goreng daging paprik dengan kopi ais.” Kata Luqman kepada gadis itu. Terus saja gadis itu mencatat pesanan Luqman.

“Saya nak nasi goreng pattaya dengan teh o ais. Jangan pedas ya. Tak nak cili langsung.” Giliran Mylia pula memesan makanannya. Setelah kedua-dua helaian menu diambil dari tangan Mylia dan Luqman, gadis pelayan itu berlalu pergi.

“Sejak bila pulak yang tak makan cili ni?” Luqman menjuihkan mulutnya. Fikirnya, Mylia terlalu cerewet dan menyusahkan. Terlalu banyak pantang-larang dan syarat-syarat. ‘Tak bosan ke jadi diva 24 jam ni?’

“Sejak umur 10 tahun.” Balas Mylia tanpa perasaan sambil memandang ke luar bangunan. Walaupun luar itu gelap, tapi matanya lebih tenang di situ berbanding memandang wajah lelaki di hadapannya.

“Kenapa?” Hairan pulak Luqman dengan jawapan Mylia. ‘Dia ni memang diva sejak lahir ke?’ fikirnya.

Mylia pula yang naik hairan mendengar soalan Luqman. ‘Serius ke dia nak tau? Tiba-tiba banyak soal pula. Dah berapa bulan makan satu family siang dan malam tak pernah pula nak tanya.’

Mylia memandang wajah Luqman mencari kepastian. Dia tak pasti samada Luqman bertanya hanya untuk mempermainkan dia atau betul-betul ingin tahu. Luqman mengangkat keningnya bila Mylia hanya memandangnya tanpa jawapan.

“Saya ada gastrik teruk.” Jawab Mylia dan terus mengalihkan pandangan matanya ke corak-corak yang ada pada alas meja mereka.

“Teruk sangat ker?” soal Luqman lagi.

“Selalu jugak lah kena warded sebab gastrik.” Mylia berkias. Kalau tak teruk, masakan doktor nak tahan dalam wad hospital kan. Lebih baik utamakan orang lain. Terkejut juga bila Luqman mendengar jawapan balas Mylia. Baru dia sedar yang manja mengada diva Mylia itu bersebab.

“Yang pitam-pitam tu kenapa pulak?” soal Luqman lagi. Dia teringat ayat-ayat Othman waktu makan tempoh hari.

“Selalunya kalau saya susah hati sampai tak boleh tidur semalaman, esoknya saya akan demam dan boleh pitam. Terutamanya kalau lewat sarapan.” Terang Mylia. dia memandang wajah Luqman waktu itu. Luqman mengerut dahi. Wajahnya kehairanan. Mylia menghela nafas. Dia tak tahu samada Luqman tidak percaya atau pun dia sedang memperlekehkan dirinya.

Mylia menghela nafasnya keras dan mengalihkan pandangannya ke luar semula.

“Maaflah. Isteri awak yang kedua ni tak cukup sihat tubuh badan. Semua benda payah. Tapi kalau saya tak jaga betul-betul, nanti saya menyusahkan awak pula. So, I’m sorry for being picky and fussy.” Jawab Mylia perlahan.

‘Merajuk ke apa dia ni?’ Tapi jauh di sudut hati, dia mengiakan ayat Mylia tadi. Dengan keadaan dirinya yang sebegitu, dia mesti lebih berjaga-jaga. Jika sesuatu berlaku ke atasnya, pastinya orang lain disekelilingnya akan turut susah. Sebab itu dia menjadi begitu memilih.

‘Aisyah langsung tak sama macam dia ni. Aisyah lasak dan cool jer all the time. Macam mana pun tak apa. Tak banyak kerenah dan tidak terlalu memilih. Simple saja hidup dengan Aisyah. Lapang hidup sepanjang bersama dengan Aisyah. Tidurlah berapa jam pun, makan lah apa pun, tak pernah ada masalah dengan Aisyah. Bangun bagi tetap bersemangat macam biasa. Hebat Aisyah.’ Ada sekelumit senyuman yang terbit di wajah Luqman.

“Kenapa senyum?” soal Mylia menyebabkan Luqman betul-betul terkejut. Berubah terus air muka Luqman waktu itu. Merah padam. Mylia kurang yakin samada Luqman tengah malu atau tengah marah. “Teringat kat Aisyah?” soal Mylia lagi. Kali ini dada Luqman berdebar-debar. Dia rasa macam dia dah dah kantoi red-handed dengan Mylia.

“Bi… awak sebenarnya memang tak berminat pun kan nak kekalkan perkahwinan kita ni, betul tak?” Soal Mylia serius. “Kalau awak nak bandingkan saya dengan Aisyah satu benda ke satu benda, memang sampai kiamat pun tak kan selesai. Dia isteri awak, awak sayang sangat dekat dia dan semua benda yang ada pada dia adalah yang terbaik bagi awak. Saya memang takkan boleh lawan lah kalau macam tu cerita dia. Setiap satu benda yang ada pada saya menjelekkan hanya sebab tak sama dengan Aisyah.” Mylia bersyarah panjang kali ini. Suaranya tak kasar. Dia cakap pada nada yang biasa tapi dia serius.

“Awak tak cuba mengenali saya semata-mata diri saya tapi sentiasa bandingkan saya dengan Aisyah. Awak tak akan pernah jumpa satu benda pun yang elok tentang saya dengan cara macam tu.” Sambung Mylia lagi.

Selepas itu, mereka hanya berdiam diri. Masing-masing melayan perasaan masing-masing sehingga mereka habis makan dan beredar dari restoran itu. Luqman agak tersentap dengan ceramah Mylia tadi. Dia terpaksa akui, memang betul semua yang Mylia katakan itu. Dia tak akan jumpa Aisyah dalam Mylia. Karaktor mereka berdua bagai langit dengan bumi.

Hampir jam 12 malam baru mereka sampai ke hotel semula. Di atas katil, Mylia sudah pun mengambil tempatnya di sebelah kiri katil dan tidur mengiring ke kiri. Ditarik selimut tebal hingga ke dadanya dan terus sahaja dia memejamkan mata. Esok, dia mesti dalam keadaan sentiasa segar. Barulah dia boleh memahami setiap pembentangan dengan jelas.

Luqman pula tidak dapat melelapkan matanya. Masih terngiang-ngiang kata-kata Mylia di restoran tadi. Jelas sungguh perasaan kecewa di wajahnya ketika itu. Dia sedar yang mereka telahpun berjanji untuk cuba usahakan agar perkahwinan ini kekal. Mylia sudahpun lakukan macam-macam. Hanya Luqman saja yang tidak mahu memberi kerjasama. Alasan yang sama berkali-kali diberikan oleh Luqman. Rasa berdosanya kepada Aisyah.

Luqman melentangkan badannya lurus tetapi kepalanya dipalingkan kepada Mylia. ‘Perlu ke aku start malam ni?’ Fikir Luqman. Dia berkira-kira untuk cuba bermesra dengan Mylia.

“Mylia…” Luqman memanggil dengan perlahan tetapi tiada respon.

“Mylia… Mylia…” tiga kali dia seru nama itu tapi tetap tiada respon.

Luqman menarik nafas dalam-dalam dan memusingkan badannya ke arah Mylia. Dia mengangkat tangan kanannya dan meletakkkannya di atas lengan Mylia. Hanya itu yang dia berani buat saat itu. Oleh kerana Mylia langsung tidak sedar-sedar, akhirnya Luqman terlelap juga.

“Ecah… Julia nak yang kuning tu…” Luqman mengigau agak kuat. Oleh kerana mulutnya berada betul-betul di sebelah telinga Mylia, Mylia terkejut dan terjaga dari tidur. Kaku keras badan Mylia apabila dia menyedari yang lelaki itu sedang memeluk pinggangnya dengan begitu erat sekali. Sepanjang-panjang belakang badannya melekat di badan Luqman. Tanpa ditahan-tahan, Mylia terus menjerit sekuat hati.

“Luqman!!! Awak buat apa ni?” jerit Mylia sambil melompat turun dari katil. Terkulat-kulat Luqman bangun sambil menggosokkan matanya.

“Apa benda yang awak jerit tengah-tengah malam ni?” Bising Luqman. Dia masih lagi terbaring di atas katil.

“Awak buat apa kat saya? Kenapa… kenapa… awak… ermm… awak peluk saya kuat-kuat macam tu?” soal Mylia terketar-ketar.

“Mana ada saya peluk awak. Tak hingin lah! Hish… buat bising saja tengah-tengah malam ni.” bentak Luqman. Dia sendiri tak sedar masa bila dia memeluk erat badan Mylia. Dia masih mamai dan dengan mudahnya dia kembali terlena.

“Eee… boleh tidur plak mamat ni!” bentak Mylia. Mylia dah tak berani naik baring di sebelah Luqman. Dia menarik bantal dan tidur di atas sofa yang ada di situ. Oleh kerana terlalu sejuk, dia memakai rob mandi yang agak tebal semasa tidur. Nak ditarik selimut tebal di atas katil, kesian pula Luqman tidur tanpa selimut. Puas juga Mylia berpusing-pusing di atas katil sebelum dia kembali terlelap.

Tepat jam 6 pagi, jam di telefon Luqman berbunyi. Cepat-cepat dimatikan oleh Luqman. Luqman menelentangkan badannya. Matanya masih lagi tertutup. Selepas beberapa Ketika, dia bangun duduk di birai katil dan menurunkan kakinya ke bawah. Luqman membuka matanya dan mula mencari-cari kain tuala untuk mandi dan solat subuh. Tiba-tiba dia terperasan tubuh Mylia yang terbaring di atas sofa. Dia mula berfikir kenapa Mylia lari untuk tidur di atas sofa. Selama ini, elok saja mereka tidur bersama di atas katil.

Tiba-tiba dia teringat apa yang berlaku semalam. Daripada mula-mula tangannya diletakkan di atas lengan Mylia hinggalah kemudiannya Mylia menjerit kononnya dia memeluk Mylia. Luqman mula menyoal diri sendiri, ‘Aku betul-betul peluk dia kah semalam? Ah sudah!!!’

Luqman segera masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Kepalanya masih ligat berfikir tentang kejadian semalam. Dia tak yakin yang dia boleh bertindak memeluk Mylia. Tapi kalau tak, takkan lah Mylia menjerit sampai macam itu?

Selesai mandi, dia keluar. Mylia masih lagi belum bangun walaupun jam sudah menghampiri 6:30 pagi. Luqman berjalan perlahan-lahan menuju kepada Mylia.

“Mylia…” panggilnya perlahan. “Bangun, dah subuh.” Mylia masih lagi dalam tidur. ‘Tidur mati ke dia ni? Semalam pun panggil tak jaga-jaga.’

Luqman memberanikan diri untuk menggerakkan bahu Mylia. Dipanggilnya nama itu sekali lagi.

“Mylia… bangun… dah 6:30 ni.” kata Luqman sambil menggoyang-goyangkan bahu Mylia perlahan-lahan. Walaupun begitu, Mylia tetap bangun dengan keadaan yang begitu terkejut. Dengan pantas dia menangkap tangan Luqman dan mengenggamnya dengan kuat. Terbuntang biji mata Mylia memandang Luqman.

“Hai… ni saya, Luqman.” Kata Luqman. Risau pula Luqman melihat keadaan Mylia yang terkejut sebegitu. Menyedari dia tengah memegang tangan Luqman, cepat-cepat dia menepis tangan itu. “Eh! Awak yang pegang saya, kenapa nak tepis-tepis saya pulak? Patutnya saya yang marah sebab wuduk saya dah terbatal. Dah, bangun cepat. Nanti tak sempat nak solat.” Kata Luqman kepada Mylia lalu terus berlalu dan masuk semula ke dalam bilik air.

Jantung Mylia berdegup kencang sejak dia membuka matanya tadi. Berpusing sekejap kepalanya kerana bangun tiba-tiba. “Apa ni? Kenapa dah berani sentuh-sentuh pula?” Rungut Mylia. apabila Luqman keluar daripada bilik air, cepat-cepat Mylia melangkah masuk. Dia tidak mahu berada di dalam bilik itu lama-lama dengan Luqman. Bahaya!

Semasa dia sedang bersiap, dia perasan yang Luqman juga turut bersiap-siap.

“Awak nak ke mana?” soal Mylia dengan penuh debaran. ‘Tolong jangan cakap nak pergi makan. Tolong jangan cakap nak pergi makan. Aku nak makan dengan tenang.’ Mylia berdoa dalam hati.

“Nak turun sarapan lah.”

‘Noooooooooooo!!!’ Mylia menjerit dalam hati.

Luqman sedikit tersenyum apabila melihat wajah keruh Mylia. ‘Kau kata nak usaha kekalkan perkahwinan kita. Tapi sekarang nak makan sekali pun dah berkerut-kerut muka?’ Geli hati Luqman melihat keletah Mylia.

Dengan wajah kelat, Mylia terpaksa ikut Luqman ke café hotel untuk sarapan. Dah ramai yang ada di situ terutamanya peserta seminar. Oleh kerana hidangan secara buffet, Mylia terus sahaja mencapai pinggan. Lama betul dia memilih makanan.

Setelah berpuas hati, Mylia mencari-cari Luqman di celah-celah orang ramai yang memenuhi café waktu itu. Luqman memilih meja untuk dua orang yang terletak agak terasing daripada yang lain. Mylia mendengus kasar sebelum berjalan menuju kepada Luqman. Mylia duduk tanpa bicara dan terus memberi tumpuan kepada makanannya. Sesekali matanya diangkat untuk memandang kiri dan kanan tapi tidak sekali pun kepada Luqman. Gemuruh hatinya masih belum hilang.

“Saya minta maaf kalau saya peluk awak kuat-kuat semalam.” Tiba-tiba Luqman bersuara. Mylia bertambah gemuruh. Dia tidak suka tajuk perbualan mereka waktu itu. “Asalnya saya pegang lengan awak saja. Tak sangka pulak saya terpeluk kuat.”

“Kenapa?” Mylia terus protes apabila mendengar tujuan asal Luqman. Baginya itu pun sudah melebih.

“Awak juga yang kata nak kita sama-sama usaha untuk kekalkan perkahwinan ni. So, that’s my effort.” Terang Luqman bersungguh. Dia cuba sampaikan niatnya sejujur dan seikhlas yang mungkin.

Sakit hati Mylia mendengar ayat yang keluar daripada mulut Luqman waktu itu.

“Nak berbaik-baik dengan saya tapi mengigau nama Aisyah. Elok lah macam tu.” Kata Mylia keras sambil terus bangun dari kerusinya. “Saya nak terus masuk ke dewan.” Kata Mylia dan terus berlalu.

Luqman tercengang. Dia cuba memproses kata-kata Mylia sebentar tadi. Kurang faham sebenarnya. Dia ingin bangun mengejar sebelum Mylia masuk ke dewan tetapi dibatalkan segera. Dia nampak Mylia sedang berjalan bersama-sama dengan Mikail menuju ke dewan seminar. Seperti semalam, sungguh ceria wajah Mylia apabila berhadapan dengan Mikail.

“Mikail…” hati Luqman menjadi panas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience