~ 39 ~

Romance Completed 13901

~ 39 ~
Lebih kurang jam 10:30 malam, Luqman sudah pun tercegat di hadapan pintu rumahnya. Rasa tidak tenang dia di kedai sepanjang malam. Terasa kosong pula ruang bilik pejabatnya tadi. Sengaja dia duduk di sofa yang Mylia duduk sebentar tadi. Cuba membelek-belek kerja yang telah disiapkan oleh Mylia. Kemas sungguh hasilnya. Resit-resit yang pelbagai saiz tadi elok tersusun.

Bezanya kedua-dua wanita itu begitu ketara. Aisyah sememangnya seorang yang sangat lasak dan berjiwa kental. Dia mampu malah sukakan kerja-kerja lasak dan kerja-kerja berat. Dia tidak kisah berjeruk peluh mahupun berhujan panas. Kerja-kerjanya pantas dan cekap.

Mylia pula lebih feminin. Kerjanya cermat dan teliti. Dia langsung tidak kisah dengan kerja-kerja remeh dan leceh. Membelek-belek benda-benda kecil seperti ini langsung tidak menjemukan. Dia boleh duduk di sini berjam-jam dan membelek segala resit pelbagai saiz. Ada yang lebih kecil dari tapak tangannya.

Luqman sangat-sangat berpuas hati dengan hasil kerja Mylia petang tadi. Dia segera mengambil fail-fail yang telah disiapkan dan disusun baik di rak asalnya. Hanya tinggal 5 fail sahaja lagi berbaki. Jauh di sudut hati Luqman, dia berharap yang Mylia akan datang lagi ke kedai untuk membantunya. Dia senang sungguh dengan kehadiran seseorang menemaninya di situ.

Malam itu, kerja-kerja Luqman bagaikan tersangkut-sangkut. Dia tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di skrin komputer. Dia asyik terfikirkan Mylia. Sesekali tersinggah senyuman-senyuman nipis dibibir. Dia terbayang kembali kejadian petang tadi semasa pejabatnya diserbu Laila. Entah kenapa, dia langsung tidak mempedulikan pekerjanya itu dan masih terus merangkul erat tubuh Mylia. Bukan dia tidak sedar Mylia cuba meleraikan pelukan tetapi Luqman sendiri yang enggan. Dia masih lagi boleh merasakan kehangatan tubuh Mylia di dalam rangkulannya waktu itu. Tiba-tiba Luqman rindu.

Mata Luqman terus mencari jam di skrin. Baru sahaja mencecah ke angka 9:25 malam.

“Lambatnya lagi nak balik.” Bicara Luqman sendirian. Dia cuba kembali menatap angka-angka ditangan dan di skrin tetapi dia seakan bingung dengan segala data dihadapannya.

“Apa benda ni?” rungutnya lagi. Dia menutup fail ditangan, menekan butang simpan di komputer, logout system yang sedang terpampang diskrinnya itu dan terus sahaja dia menekan butang Shut Down. Dia sudah tidak datang memberikan tumpuannya di situ. Bimbang nanti banyak pula kesalahan yang dia lakukan.

Luqman bangun keluar dari pejabatnya dan segera ke kaunter depan. Melihat kehadiran Luqman di situ, Fauzi yang sedang duduk di kerusi di kaunter segera bangun dan beredar. Sudah jadi kelaziman, sekiranya Luqman datang ke depan, dia akan duduk di kerusi itu.

“Boss, stok roti dah habis terus dah boss. Lambat pula Hok Seng tu nak hantar stok.” Rungut Fauzi.

“Dia bagitau pagi tadi lori dia rosak. Dia kata paling lambat, esok pagi dia datang.” Jawab Luqman. Dia membuka peti cash dihadapannya dan mengeluarkan not-not besar yang ada di situ. Dia menyusun not-not itu dengan kemas mengikut saiz dan arah yang sama dan mengikatnya dalam gandaan 100. Setelah itu, disimpannya ke dalam beg bimbit yang sentiasa ada bersamanya. Luqman menjeling jam di tangan. 9:35. Luqman mendengus kecil tetapi cukup membuatkan Rashid yang berdiri berhampiran menoleh.

Luqman bangun dari kerusi kaunter dan beredar masuk ke biliknya. Di dalam bilik, dia mengeluarkan semua wang yang terkumpul di dalam beg bimbitnya dan menyusun dan mengira kembali semua kepingan not yang ada. Not-not itu akan terus dimasukkan ke dalam bank dalam perjalanan pulang sebentar lagi.

Selesai mengira dan menyusun not-not tersebut dan menyimpan kemas di dalam beg, dia bangun kembali dan terus ke hadapan kedai. Sebaik sahaja punggung mendarat di kerusi, sekali lagi dia mengangkat tangan mencari jam. 9:50. Sekali lagi terkeluar dengusan kecil dari mulut Luqman.

“Hai, boss… resah lain macam malam ni boss?” tegur Rashid. Tak pernah-pernah dia tengok Luqman seresah itu. Luqman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kepalanya ligat mencari akal. Dia sendiri sedar yang resahnya malam itu bukan sikit-sikit. Dia sendiri tidak begitu faham dengan keadaan itu.

“Kita balik awal sikitlah malam ni ya.” Kata Luqman kepada Rashid dan Fauzi. Anak-anak buahnya hanya saling memandang. Pelik pula mereka melihat sikap Luqman malam itu. Selalunya mereka yang minta untuk pulang lebih awal. Hari ini, terbalik.

“Tapi boss, saya belum siap susun barang-barang ni lagi. Esok, kesian pula pada Yana dan Nani nak angkat yang berat-berat ni.” Bangkang Fauzi.
“Tak apa. Angkat kotak-kotak tu letak depan rak. Esok, diorang boleh terus susun ke rak. Nanti diorang kemas kotak-kotak tu di stor.” Pesan Luqman. Dia sudah tidak mahu berada di situ lebih lama. Rashid dan Fauzi tidak lagi mahu membantah dan terus sahaja bersiap-siap untuk menutup kedai malam itu. Belum pun jam 10, mereka semua sudah berada di luar kedai di atas kenderaan masing-masing.

Sebaik sahaja Luqman membuka pintu rumahnya, Ramlah yang baru sahaja keluar dari biliknya menegur. “Awal kau balik hari ni?” Luqman hanya mengiyakan pertanyaan Ramlah. Dia ke dapur dan mencapai sebiji gelas kaca. Dia menekan air sejuk daripada mesin penapis air yang ada di atas kaunter dapurnya dan terus diteguk.

“Luqman naik atas dulu ye, mak.” Ujar Luqman dalam langkah laju menuju ke atas. Sedikit berkerut dahi Ramlah dengan kelakuan Luqman yang sedikit pelik baginya malam itu.

Dalam perjalanan Luqman menaiki tangga, dia singgah sebentar di kamar Julia dan Jasmin. Seperti biasa, dia akan membetulkan selimut anak-anaknya itu. Apabila dia berpusing untuk keluar, kelihatan beg sekolah mereka sudah siap tersusun di tepi pintu. Baju sekolah untuk esok pun sudah siap tergantung di penyangkut untuk dipakai esok. Dan semua itu adalah kerja Mylia. Tersenyum kecil Luqman.

Setelah menutup pintu bilik anak-anak, Luqman sedikit berlari kecil memanjat kembali anak tangga untuk naik ke atas. Sebaik sahaja sampai di muka pintu biliknya, dia sedikit tercungap. Entah kenapa dia begitu tergesa-gesa. Dia sendiri tidak ada jawapan untuk persoalan itu. Luqman menarik nafas dalam-dalam cuba menormalkan kembali degup jantung dan rentak nafasnya.

Baru sahaja Luqman ingin menolak, pintu sudah pun terbuka dari dalam.

“Argh!” terkejut Mylia apabila terserempak dengan tubuh tinggi lampai Luqman di muka pintu secara tiba-tiba begitu.

“Shhh… terjaga anak-anak nanti.” Balas Luqman. Mylia berundur sedikit memberi laluan kepada Luqman berjalan masuk.

“Awal abang balik hari ni?” soal Mylia kepada Luqman. Matanya diangkat mencari raut wajah Luqman. Luqman menutup pintu di belakangnya perlahan-lahan sebelum berpusing memandang Mylia di hadapannya.

‘Cool, Man. Cool. Jangan gelojoh sangat.’ Tetapi hatinya begitu tidak keruan sejak tadi. Setelah melihat Mylia berdiri di hadapannya sekarang, dia menjadi semakin tidak keruan. Soalan Mylia tadi dia langsung tidak menjawab. Matanya menerung tepat ke mata Mylia. Dia cuba untuk mengawal perasaannya.

“Kenapa abang pandang Mylia macam tu?” Mylia melangkah setapak ke belakang. Dia tidak tahu bagaimana untuk mentafsir aura wajah Luqman. Meremang romanya waktu itu. Sekali lagi soalan Mylia langsung tak dijawab. Luqman hanya berdiri tercegat di pintu dan memandang tepat ke arahnya.

Tiba-tiba Luqman terus menerpa ke arah Mylia dan merangkul erat tubuh itu. Berat dan sarat nafas Luqman waktu itu begitu jelas di telinga Mylia. Terkedu Mylia tanpa suara. Kedua-dua tangan Luqman merangkul seerat-eratnya tubuh Mylia. Dia bagaikan ingin menarik tubuh Mylia meresap masuk ke dalam tubuhnya sendiri. Membelai badannya dari kepala hingga ke pinggang dari atas ke bawah tanpa henti.

Sentuhan yang begitu sarat itu memberikan renjatan-renjatan elektrik tanpa henti kepada Mylia dan membuatkan badannya juga memberi respon yang sungguh luar biasa. Nafasnya juga kini sama sarat seperti Luqman. Hembusan setiap nafas ditelinga Mylia semakin menggetarkan jiwa wanitanya. Tangan kanan Mylia yang sedang merangkul kemas badan Luqman terus menggenggam erat baju Luqman.

Luqman memejamkan matanya dan menyedut dalam-dalam bau harum rambut Mylia. Dia kemudian menjatuhkan wajahnya ke bahu Mylia. Kini bau harum kulit wanita itu pula disedut sedalam-dalamnya. Luqman membenamkan hidungnya di bahu dan di leher Mylia membuatkan Mylia makin mengeratkan lagi pelukannya. Kaki Mylia sudah semakin lemah membuatkan dia menyandar sepenuhnya ke badan Luqman. Dia membiarkan Luqman sahaja yang mengampu beban berat tubuhnya. Mylia sudah hilang imbangan.

Luqman menjatuhkan ciuman demi ciuman di bahu dan di leher Mylia. Dari situ, dia beralih perlahan-lahan ke wajah Mylia dan akhirnya dia mencari bibir Mylia. Perlahan-lahan, mereka beranjak ke katil sehingga akhirnya mereka berdua bersama-sama rebah di atas katil. Kali ini Luqman langsung tidak ada sekatan. Tiada siapa-siapa dan tiada apa-apa langsung yang sempat menyinggah di kepalanya. Fikirannya dan emosinya 100% sedang berada bersama Mylia.

Walaupun ini kali pertama buat Mylia, dia langsung tidak merasa janggal malah dia menikmati setiap sentuhan Luqman dengan sepenuh hati. Bahagia sungguh Mylia saat itu. Setelah berbulan-bulan mereka berkahwin, akhirnya Mylia menjadi milik Luqman sepenuhnya. Rasa cinta dan sayang Mylia buat lelaki itu semakin berbunga-bunga. Dia juga dapat merasakan kasih dan sayang Luqman terhadapnya. Luqman melayannya dengan begitu lembut tanpa memaksa. Dia bahagia. Sungguh bahagia.

Entah jam berapa Mylia terjaga malam itu. Pergerakan Luqman membuat Mylia terjaga. Luqman merangkul erat badan Mylia dan menarik Mylia rapat ke badannya sendiri. Mylia sempat menjeling ke wajah Luqman. Ternyata dia masih lagi dalam nyenyak lenanya.

“Terima kasih, sayang…” ujar Luqman dalam tidurnya. Mylia tersenyum bahagia. Dia membuka mulutnya untuk membalas ucapan Luqman. “I love you, Ecah…” Mylia terkedu. Tanpa sedar, bantalnya basah.

Deringan jam di meja sisi mengejutkan Luqman. Setelah mematikan jam di telefon, Luqman beralih mencari isterinya di sisi tetapi tempat itu sudah kosong. Matanya beralih kepada samar cahaya dari pintu bilik air. Terbit senyuman manis di wajah Luqman. Dia tidak dapat menipu dirinya lagi waktu itu. Dia sayangkan isterinya. Luqman sayangkan Mylia. Benar-benar sayangkan Mylia. Luqman menarik bantal Mylia ke dakapannya dan menghirup bauan Mylia yang jelas melekat dibantal itu.

Apabila dia terdengar bunyi kunci pintu bilik air dibuka, matanya segera mencari Mylia. Makin melebar senyuman di bibir Luqman. Tetapi jauh benar dengan air wajah isterinya itu. Wajah Mylia masam mencuka. Matanya juga kelihatan merah dan sedikit membengkak. Luqman kehairanan. Dia terus bangun terduduk.

“Mylia…” panggil Luqman lembut.

“Hmm…” balas Mylia dingin tanpa langsung memandang Luqman. Luqman keliru. Dia segera bangun mendapatkan Mylia.

“Awak kenapa? Awak menangis?” dia baru sahaja mahu memegang Mylia tetapi cepat-cepat diberi amaran.

“Saya ada wuduk.” Terhenti seketika pergerakkan Luqman.

“Kenapa awak menangis?” soal Luqman lagi.

“Bukanlah. Tadi sabun masuk mata.” Tipu Mylia. Dia malas mahu membincangkan isu ini. Masih lagi terlalu awal. Atau mungkin isu ini tidak perlu dibincangkan pun. Tidak mungkin akan ada apa-apa kesudahannya.

Luqman masih tidak berpuas hati dengan jawapan Mylia. Namun melihat mood isterinya ketika itu, dia biarkan sahaja dahulu. Luqman mencapai tuala dan terus masuk ke bilik air. Mengambil peluang itu, Mylia segera bersiap dan mengerjakan solat Subuhnya tanpa menunggu Luqman. Sebaik sahaja Luqman selesai mandi, Mylia sudah tidak berada di dalam bilik.

“Kenapa pula dengan dia ni? Tak suka ke? Tak seronok? Aku ada buat salah ke semalam?” Luqman mula memikirkan semula kejadian semalam dan mula mencari salah silapnya. Dia sedar semalam adalah kali pertama buat Mylia dan dia begitu berhati-hati. Luqman bingung.

Mylia sungguh-sungguh sakit hati. Sakit hati, kecewa dan paling utama sekali dia marahkan diri sendirinya kerana tanpa segan silu dia merasakan yang Luqman benar-benar telah jatuh hati, jatuh sayang kepada dirinya. Mylia cuba mengalihkan fokusnya pada kerja-kerja di dapur. Agak susah untuk dia membuat kerja sebelah tangan.

‘Haih… semalam kau tak complain pun tangan sebelah kan? Hari ni kau nak complain?’ rungut Mylia sendirian. Sakit hati sungguh dia.

Ramlah keluar untuk membantu setelah mendengar bunyi-bunyian di dapur.

“Mylia nak masak apa pagi ni? Biar mak tolong.” Ujar Ramlah. Mylia cuba sedaya-upaya untuk tidak menunjukkan perasaan sebenar kepada Ramlah. Dia cuba untuk senyum tetapi tawar.

“Ingat nak buat nasi goreng je mak. Nasi semalam ada lebih ni. Sambal belacan pun masih ada dalam peti ais.” Jawab Mylia. Dia sedang menuang air teh o panas ke dalam 5 buah cawan seperti biasa untuk disejukkan sedikit.

Mendengar suara kedua-dua wanita itu, Luqman terus melangkah ke dapur.

“Assalamualaikum…” sapanya dengan ceria. Ceria yang sedikit berbeza sehingga menarik perhatian Ramlah.

“Waalaikummussalam. Ceria lain macam kau, Man?” tegur Ramlah. Luqman hanya mampu tersenyum manis. Dia terus berjalan menuju kepada Mylia yang sedang berdiri membelakangi mereka berdua. Luqman berdiri rapat di sebelah Mylia yang sedang tekun memotong bawang. Dia langsung tidak mengangkat wajahnya memandang Luqman. Dia bimbang jatuh air matanya di situ.

“Good morning, sayang.” Bisik Luqman perlahan.

“Morning.” Ringkas jawapan Mylia. Cepat-cepat dia menghabiskan bawang dan segera berlalu pergi. “Bawang dah siap, nasi pun dah saya relaikan. Mak tolong goreng boleh? Saya naik siapkan anak-anak kejap. Boleh ke, mak?” soal Mylia kepada Ramlah. Dia langsung tidak memandang Luqman.

“Boleh… kejap lagi mak gorengkan nasi tu.” Jawab Ramlah. Tanpa membuang masa, Mylia terus melangkah ke atas. Luqman terasa dinginnya layanan Mylia kepadanya. Sedikit berkerut kening Luqman.

“Kau buat hal apa pulak kali ni, Man?” soal Ramlah. “Macam-macam lah korang ni. Pagi-pagi dah drama.”

“Mana ada Man buat apa-apa.” Dia terus berjalan ke meja makan dan melabuhkan punggungnya di situ. Walaupun matanya menatap ke skrin telefon dan jemarinya tak habis-habis menguis skrin itu, fikirannya jauh melayang memikirkan Mylia.

Lebih kurang setengah jam kemudian, kedengaran riuh-rendah suara Julia dan Jasmin.

“Assalamualaikum… Selamat pagi…” tegur mereka berdua dan terus sahaja menarik kerusi yang biasa mereka duduk untuk bersarapan bersama-sama.

“Mana ibu?” soal Luqman sebaik sahaja sedar Mylia tidak Bersama mereka.

“Ibu naik atas bersiap. Ibu kata nak hantar kami ke sekolah pagi ni.” Jawab Julia. Jawapan itu lebih mengelirukan Luqman. Bahaya untuk Mylia memandu dengan sebelah tangan sebegitu. Dia terus bergegas naik ke atas. Ramlah yang sudah malas mahu memikirkan hal mereka berdua suami isteri sudah tidak mahu bertanya apa-apa. Dia terus sahaja melayan cucu-cucunya untuk bersarapan.

“Mylia…” tegur Luqman sebaik sahaja dia sampai ke bilik. Pintu ditutup rapat. Dia tahu ada sesuatu yang perlu mereka bincangkan walaupun dia sendiri tidak ada sebarang klu akan tajuk yang perlu mereka bincangkan itu. “Julia kata awak nak hantar mereka ke sekolah. Macam mana awak nak drive? Kan tangan sakit?”

Soalan Luqman membuatkan Mylia terhenti seketika sambil memandang tangan kirinya yang masih berbisa. Masih merah-merah parutnya walaupun jururawat semalam memberitahu parutnya itu sudah kering dan bersih.

“Kereta autokan. Okay jer.” Jawab Mylia dan terus sambung bersiap. Dia sedang berdiri di hadapan cermin untuk cuba mengenakan tudung bawalnya. Luqman datang menghampiri dan berdiri betul-betul di belakang Mylia. Jelas terpampang wajah mereka berdua di dalam cermin.

“Mylia marahkan abang?” soal Luqman. Dia ingin merangkul tubuh itu tetapi bimbang dia menganggu Mylia yang sedang memakai tudungnya.

“Tak.” Ringkas jawapannya. Memang benar jawapan Mylia. Dia tidak marahkan Luqman. Dia sedar tiada gunanya untuk dia marahkan lelaki itu lagi. Dia sudah sedia maklum tentang lelaki itu. Yang dia marahkan adalah kepada dirinya. Dia yang salah. Dia yang berlebih-lebih. Dia yang terlebih yakin.

“Kalau tak marahkan abang, kenapa Mylia langsung tak layan abang? Senyum pun tak ada lagi pagi ni.” Soal Luqman. Dia mengangkat tangannya untuk memeluk Mylia tetapi Mylia lebih pantas beredar. Namun langkahnya terhenti di muka pintu.

“Lepas hantar anak-anak, saya nak minta izin pergi rumah umi.” Hanya ayat penyata. Bukan soalan mahupun permintaan. Luqman menjadi semakin keliru. Dia tidak tahu bagaimana dia harus memberi reaksi kepada sikap Mylia sekarang.

Kalau dahulu, dia mungkin tidak kisah. Kalau dahulu, dia pasti akan terlebih dahulu meninggalkan bilik itu. Kalau dahulu, dia tidak akan perasan pun apa perasaan Mylia padanya waktu itu. Tapi pagi ini, dia lain. Ada kesedihan yang datang dalam dirinya apabila diperlakukan sebegitu. Timbul keresahan dalam hatinya apabila Mylia menjauhkan diri.

“Okay.” Luqman membiarkan Mylia turun terlebih dahulu. Sebaik sahaja deruman enjin kereta Mylia keluar daripada pagar rumahnya, barulah Luqman bangun dan keluar dari biliknya.

“Mylia pergi klinik sendiri ke hari ni?” soal Ramlah kepada Luqman. Luqman langsung tidak menjamah nasi dipinggannya. Dia hanya meneguk air secawan dan mula bangun untuk beredar.

“Dia pergi dengan umi hari ni.” Jawab Luqman sambil berlalu perlahan. “Luqman ke kedai dulu ye mak.” Ujar Luqman tanpa menoleh.

“Apa lagi laaa hal budak-budak ni. Tak faham lah aku.” Rungut Ramlah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience