~ 13 ~

Romance Completed 13901

Suara Luqman yang bergema di dalam rumah Mylia waktu itu memusnahkan kegembiraan yang singgah di hati Mylia seketika tadi. Hatinya yang baru mula mencambah riang kini layu kembali. Hilang selera jadinya.

“Pergilah sambut suami kamu tu. Apa tunggu lagi?” arah Hamidah. Mylia mengangkat matanya memandang Hamidah. Dia seolah meminta izin untuk tidak berbuat begitu. Dia hanya ingin menenangkan fikirannya sebentar bersama keluarganya.

“Pergilah cepat!” Hamidah menolak lembut bahu anaknya itu.

Mylia terpaksa akur. Dia berjalan lemah menuju ke ruang tamu. Luqman sudahpun duduk di sofa memulakan perbualan dengan Baharom. Mylia melabuhkan punggung di sebelah Luqman dan menghulurkan salam. Terasa kekok sungguh waktu itu. Dia pasti tiada senyum manis yang terpapar diwajahnya. Hanya sebuah patung yang menurut arahan.

Baharom nampak keresahan di wajah Mylia. Segera dia berpaling ke lain. Dia tidak mahu menjadi saksi drama luka anaknya itu. Dia tidak faham mengapa, di mana dan sejak bila, tetapi dia tahu anaknya tidak sebahagia pasangan-pasangan bercinta. Hatinya bertukar resah.

“Jom makan. Dah siap hidang semua dah.” Kata Mylia kepada Luqman dan bapanya. Mylia bangun memberi laluan kepada Luqman kemudian dia pergi mendampingi Baharom. Lengan kiri Baharom dipeluk erat sambil mereka berjalan ke dapur. Baharom menepuk perlahan-lahan tangan Mylia yang memeluknya. Dia ingin memberikan sedikit sokongan moral kepada anak sulungnya itu. Sedikit bergenang air mata Mylia.

‘Kalaulah abi tau…’ bisik hati Mylia.

“Amboi, dah ada suami pun nak manja abi lagi?” sakat Hamidah apabila melihat Mylia berjalan sambil berkepit dengan Baharom, bukan suaminya sendiri.

Mylia hanya membiarkan sahaja seloroh ibunya itu. Dia terus sahaja melabuhkan punggungnya di sebelah Hamidah. Terpulanglah pada Luqman di mana dia nak duduk. Dia tak perlu fikirkan. Malas dia nak fikir tentang Luqman. Disebabkan Luqman, kari ikan tenggiri masakkan ibunya itu kini terasa tawar.

“Dalam peti ais, abi ada belikan ais krim dan Root Bir. Mylia suka lah tu!” kata Baharom sebaik sahaja dia selesai makan. Mylia yang bagaikan anak kecil terus terpancar keceriaan di wajahnya.

“Ais krim strawberry vanilla ke, abi?” perisa kegemarannya ditanya terlebih dahulu.

“Mestilah.” Baharom sedikit senang melihat reaksi anaknya itu. “Badan je besar, perangai macam budak kecik.” Omel Baharom lagi. Baharom terus melangkah ke ruang tamu untuk berehat. Luqman juga menurutiya dari belakang. Mereka berbual-bual kosong sambil menonton televisyen.

“Abi, tolong bukakan air ni.” Pinta Mylia yang tiba-tiba datang dengan sebotol air Root Bir di tangan. “Merah dah tangan Mylia. Selalu boleh jer.” Rungutnya lagi.

“Ya Allah… dah jadi isteri orang pun manja lagi.” kata Baharom sambil menyambut huluran botol tersebut.

“Bukan lah, abi. Selalu boleh je buka. Tapi yang ni ketat sangat. Mysha pun tak boleh buka. Tengok tangan Mylia. Merah dah.” Mylia membuka luas tapak tangannya menunjukkan kesan merah-merah yang melekat di situ.

Dengan sekali pulas sahaja terus penutup botol itu terbuka. Baharom menghulurkan semula botol tersebut kepada Mylia.

“Tuang untuk Luqman segelas.” Kata Baharom mengingati anaknya.

“Abi nak?” soal Mylia.

“Tak nak. Manis. Orang muda macam kamu je minum air manis-manis tu.” Jawab Baharom. Mylia terus ke dapur dan mencapai dua gelas tinggi dan memasukkan kiub ais ke dalamnya. Setelah menuangkan air Root Bir ke dalam kedua-dua gelas itu, Mylia membawa kedua-duanya ke depan. Rancangnya selepas menghantar air tersebut kepada Luqman, dia mahu keluar ke beranda dan duduk berbual dengan ibunya.

“Duduklah dulu. Nak pergi mana?” pinta Baharom kepada Mylia. Terpaku sekejap Mylia mendengar permintaan ayahnya itu. Terpaksalah dia duduk bersama-sama ayah dan suaminya di ruang tamu itu.

“Seronok pergi Bukit Tinggi, hari tu?” Soal Baharom. Dia tidak menyebut nama sesiapa. Soalannya terbuka kepada mereka berdua. Namun tiada sesiapa pun yang menjawab. Kedua-dua Mylia dan Luqman hanya memandang televisyen tanpa ada seorang pun yang menunjukkan minat untuk menjawab. “Mylia…” akhirnya dia terpaksa memilih.

“Ah?” soal Mylia bagaikan baru tersedar.

“Seronok tak pergi honeymoon?” ulang Baharom lagi.

“Okay. Sejuk tempat tu. Seronoklah. Bangunan dia pun cantik-cantik. Ala-ala Eropah gitu.” Cerita Mylia separuh hati. Apalah yang nak diseronokkan kalua pergi dengan suami seperti Luqman. mungkin suatu hari nanti, Mylia harus akur bahawa takdirnya dia bertemu jodoh dengan suami berhati beku macam Luqman.

Baharom hairan dengan respon Mylia dan Luqman. masing-masing bagai tiada perasaan dengan pengalaman bulan madu mereka. ‘Jangan-jangan budak-budak ni memang taka da perasaan antara satu sama lain, tak?’ teka hati Baharom.

* * * * *

“Assalamualaikum… kayu apa banyak-banyak ni, sayang?” Luqman yang baru sampai ke rumah terkejut melihat kayu-kayan bergelimpangan di hadapan rumahnya. Aisyah pula yang sedang memboyot perutnya sedang sibuk mengukur dan memotong kayu-kayu tersebut. Habuk kayu memenuhi lantai.

“Waalaikummussalam, abang…” Jawab Aisyah sambil tersenyum. Keringatnya penuh membasahi rambut dan bajunya. “Aisyah nak buat katil baby. Tadi Aisyah pergi survey kat kedai semua mahal-mahal. Sampai lima enam ratus. Kalua buat sendiri, tak sampai pun harga tu.” Aisyah melabuhkan punggungnya sejenak sambil meneguk sedikit air kosong dingin membasahi tekaknya.

“Kenapa Aisyah tak tunggu abang? Kita boleh buat sama-sama. Aisyah kat mengandung ni? Jadi apa-apa kat anak tu macam mana?” soal Luqman kerisauan.

“Taka da lah. Anak umi ni tough macam umi dia jugak.” Kata Aisyah berseloroh. Namun ketawanya itu tidak disambut oleh Luqman.

“Abang masuk solat asar sekejap. Kejap lagi kita buat sama-sama.” Arah Luqman dengan tegas. Tetapi dia sendiri sedia maklum betapa keras kepalanya Aisyah. Jadi dia cepat-cepat masuk ke dalam, menukar pakaian dan solat.

Sementara menunggu suaminya, Aisyah sudah berjaya memotong kayu berukuran 3 x 3 inci menjadi empat tiang utama katil tersebut dengan menggunakan gergaji elektrik. Kemudian, kayu-kayu tersebut diketam dengan licin dan kemas. Semasa Luqman keluar mendapatkan Aisyah, Aisyah sudah pun siap mengetam dua tiang.

“Okay, tell me. Sekarang nak buat apa lagi?” soal Luqman kepada Aisyah. Dia tidak mahu memandai-mandai kerana pastinya Aisyah sudah ada plan asas untuk katil tersebut. Aisyah meletak ke tepi mesin ketamnya dan mencapai buku lakarannya dan pergi mendapatkan Luqman.

“Ini plan Aisyah. Empat tiang ni Aisyah dah potong. Kayu 3 x 2 inci ni untuk frame atas ni. Papan ni untuk lantai. Yang frame kecil-kecil ni guna kayu tu.” Cerita Aisyah dengan penuh bersemangat dan bersungguh-sungguh. Luqman pula begitu mengagumi Aisyah yang sedang bercerita dengan asyiknya. Susah untuk dia tumpu pada setiap butir bicara Aisyah saat itu. muka Aisyah yang sedikit tembam waktu itu kelihatan amat comel di matanya. Luqman mengucup hidung Aisyah tanpa sengaja.

“Apa ni? Abang dengar tak apa Aisyah cerita ni. Abang ni main-main lah. Tadi kata nak tolong.” Marah Aisyah. Penat dia bercerita. Satu pun tidak didengari Luqman. Aisyah kembali mengangkat mesinnya.

“Sorry, sorry… Ecah comel sangat laaa… abang geram. Tak apa, bagi abang plan sayang tu. Abang potong ikut ukuran yang Ecah tulis kat sini yer.” Soal Luqman.

Aisyah pura-pura tidak menghiraukannya. Tetapi dia tahu Luqman boleh memahami lakarannya di dalam buku tersebut. Begitu sempurna lakaran dan ukuran yang dibuat oleh Aisyah sebelum dia memulakan projek tersebut. Bayi sulung mereka akan lahir dalam tempoh sebulan sahaja lagi. Sebarang kesilapan walaupun kecil boleh menyebabkan bayi yang bakal lahir nanti tidak mempunyai katil yang cantik seperti yang diidam-idamkan oleh Aisyah.

Tok! Tok! Tok!

“Boss, kami dah nak balik dah ni.” Rashid dan dua orang lagi pekerjanya sudah tercegat di hadapan pintu pejabat Luqman. Tersentak sedikit Luqman dengan ketukan itu. entah berapa lama dia melayan angannya tentang Aisyah.

“Okay, Okay. Siapa ada kat depan?” soal Luqman kepada Rashid.

“Fauzi dengan Nani, boss.” Jawab Rashid kembali.

“Alright! Balik elok-elok. Hati-hati bawa motor.” Pesan Luqman kepada anak-anak muda yang berada di hadapannya itu.

Setelah semua pekerjanya berlalu pergi, Luqman kembali teringat tentang kisah Aisyah dan katil bayi Julia. Tersenyum senget dia sendirian apabila dia membandingkan perangai Aisyah dengan Mylia.

“Ecah masa tengah mengandung siap potong kayu, ketam kayu, paku kayu lagi. Dia nak buka penutup air botol pun cari abinya. Manja mengalahkan JAsmin!” kata Luqman sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Mujurlah bapa mentuanya ada di situ untuk tolong. Kalau Mylia hulurkan botol tu kepada dia tadi, tak ingin dia nak layan manja tak tentu pasal Mylia tu. Kalau dah tak larat sangat, tak payah minum. Habis cerita.

Usai makan makan malam bersama isteri dan anak-anaknya, Baharom membawa sekoleh teh O suam dan berjalan keluar menuju ke beranda di tepi rumahnya. Dia duduk termenung di situ sambil melayan bunyi air terjun mini yang dibina bersebelahan dengan beranda tersebut. Lampu limpah berkuasa solar cukup terang memancar ke arah air yang sedang turun di celahan batu-batu sungai yang besar memberikan corak cahaya yang begitu indah dan mengasyikkan.

“Abang!” suara Hamidah sedikit kuat menerpa ke telinga Baharom manakala tangan Hamidah pula menggoyang-goyangkan bahu suaminya.

“Huh! Apa?” Baharom agak terperanjat dengan tindakan Hamidah.

“Abang berangan apa sampai saya panggil berkali-kali pun tak dengar?” soal Hamidah. Hairan dia melihat suaminya termenung begitu jauh sekali. Naik runsing pula hatinya.

“Idah…” Baharom terhenti seketika. Matanya memandang tepat ke mata isterinya. Bagai ada keraguan untuk dia meneruskan kata-kata. “Idah perasan tak?”

“Perasan apa?” Hamidah menjenguk-jenguk ke kawasan kolam buatan mereka itu mencari kelainan yang dimaksudkan Baharom.

“Bukan kolam tu…” bangkang Baharom.

“Habis tu apa? Abang pandang kolam ni tadi, saya pun pandang lah juga.” Semakin hairan Hamidah. Malas pula dia mahu berteka-teki waktu itu.

“Pasal anak kita lah dengan menantu pilihan awak tu.” Kata Baharom resah. Berkerut-kerut dahi Baharom apabila mengenangkan anak sulungnya itu.

“Alah… diorang belum serasi lagi kot. Baru seminggu lebih kahwin. Tak pernah kenal, macam tu lah agaknya.” Jawab Hamidah cuba bersahaja.

“Haa… maksudnya Idah pun perasan lah kan perangai diorang dua orang? Tak mesra langsung. Tak macam suami isteri. Jangan-jangan ada masalah tak?” soal Baharom lagi. Dia benar-benar susah hati.

“Masih malu-malu lagi kot. Abang ni, buat saya susah hati lah. Fikir banyak sangat.” Balas Hamidah cuba menyingkirkan resah di hati suaminya. Dia sendiri perasan sikap Mylia dan suaminya itu. Tetapi dia sendiri sedang cuba untuk berfikiran positif.

“Fikir yang baik-baik, IsyaaAllah datang yang baik-baik.” Pesan Hamidah kepada Baharom dan juga dirinya.

“Fikir tu memanglah fikir yang baik-baik saja. Tapi yang kita Nampak depan mat ani, takkan nak buat tak tau saja. Anak kita tu. Kalau betul ada yang tak kena dengan perkahwinan dia tu, takkan kita nak biar macam tu saja?” soal Baharom lagi kepada isterinya.

“Abang, baru seminggu lebih diorang kahwin. Masih malu-malu lagi lah tu.” Hamidah masih mahu membela pendapatnya.

“Malu-malu tu lain, Idah. Ini abang tengok dia macam bermasam muka saja dengan Luqman tu. Luqman pun sama. Abang tanya tentang honeymoon, dua-dua buat tak dengar. Tak ada seorang pun yang tunjuk muka excited ke happy ke. Hairan sangat abang ni.” Baharom terbayang wajah mencuka Mylia yang cuba disembunyikan tengahari tadi. Dia ayahnya. Dia yang bela Mylia sejak berusia satu hari. Dia kenal setiap garis wajah anak sulungnya itu.

“Abang, bawalah bersabar sikit. Kita bagi masa untuk diorang berdua tu serasi. Maybe sebab diorang tak kenal langsung agaknya. Sebab tu diorang dingin je macam tu. Lama-lama okay lah tu. Dah tiap-tiap malam tidur sebantal, selimut sekatil, nanti-nanti serasi lah mereka berdua tu.” Pujuk Hamidah kepada suaminya.

“Kalau betul tidur sebantal. Jangan-jangan seorang atas katil, seorang atas sofa.” Kata Baharom mematikan hujah Hamidah.

Hamidah hanya mendiamkan diri. Lagi di bangkang, lagi banyak hujan yang keluar dari mulut suaminya itu nanti. Namun jauh di sudut hati, Hamidah mengakui kebenaran kata-kata Baharom. Dia juga boleh nilai emosi anaknya. Hati ibu lebih peka tentang perasaan halus anaknya. Tetapi dia tidak mahu terlalu memikirkan hal itu. perkahwinan mereka masih terlalu awal. Dia masih lagi yakin dan percaya, anak sahabat karibnya itu mampu membahagiakan Mylia.

Hamidah bangun dan mula berjalan masuk ke dalam rumah.

“Tu nak ke mana pula tu? Merajuk ker?” soal Baharom apabila tiba-tiba sahaja isterinya bangun meninggalkan dia sendirian di luar.

“Dah tua-tua ni, tak ada kerja saya nak merajuk-merajuk lah. Saya nak pergi telefon Ramlah. nak minta dia tolong tengok-tengokkan anak menantu kita tu.” Kata Hamidah berterus-terang.

Terus sahaja Hamidah berjalan menuju ke bilik tidurnya. Telefon yang terdampar di atas katil segera dicapai dan nombor Ramlah didail.

“Assalamualaikum, Midah.” Sapa sahabatnya dihujung talian.

“Waalaikummussalam. Kau tengah buat apa? Dah siap makan ke belum?” bimbang juga kalau panggilannya mengganggu Ramlah.

“Dah! Sedap sungguh kari ikan tenggiri kau tu. Terima kasih ya, Midah. Ingat juga kau kat aku.” Puji Ramlah ikhlas dari hatinya. Memang kena rasa kari tadi dengan tekaknya.

“Dah ada lebih, aku bagi je lah kat engkau. Luqman pun berselera saja tadi makan nasi dengan kari tu. Anak menantu aku tengah buat apa tu, Ram?” Hamidah sebenarnya buntu juga. Tidak tahu bagaimana dia nak suarakan isi hatinya itu.

“Luqman masih di kedai lagi. Selalunya dekat-dekat jam sebelas nanti baru sampai rumah. Mylia ada tu dengan Julia dan Jasmin. Tengah tengok kerja sekolah agaknya. Rajin Mylia tu ambil kisah hal budak-budak tu. Senang hati aku, Midah. Nak harapkan aku, manalah aku reti dengan apa yang diorang belajar sekarang. Jauh sangat dengan apa yang kita belajar dulu. Baru darjah satu pun aku dah pening kepala.” Cerita Ramlah dengan bangganya tentang Mylia.

“Baguslah kalau Mylia tu pandai ambil hati budak-budak tu. Risau juga kalau budak-budak susah nak terima mak baru.” Kata Hamidah.

“Julia dan Jasmin ni mana sempat merasa tangan ibu. Tambah-tambah Jasmin. Baru tiga empat bulan, dah maknya meninggal. Sekarang bila dah dapat ibu, tak boleh berenggang. Semua benda nak ibu. Ibu je yang betul. Ibu je yang elok.” Cerita Ramlah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sekarang dia sudah hilang suara dengan cucu-cucunya itu. Segenap perkara mereka akan rujuk kepada Mylia. Jika elok bagi Mylia, elok jugalah bagi mereka. Pendapat orang lain dah tak penting. Ayah mereka sendiri pun kalah dengan Mylia.

“Sampai macam tu sekali?” soal Hamidah sambil tertawa kecil mendengar cerita tentang cucu-cucu barunya itu. tetapi dia belum lagi sempat untuk benar-benar beramah mesra dengan mereka. “Hujung minggu nanti suruhlah Luqman bawa diorang datang tidur rumah aku. Teringin aku nak main-main dengan diorang. Aku mana ada cucu lain lagi.” Hamidah dapat bayangkan bagaimana riuh-rendahnya rumah dia ini nanti dengan keletah Julia dan Jasmin nanti.

“Boleh sangat. Apa tak bolehnya. Diorang pun cucu-cucu engkau juga sekarang ni, Midah.” Balas Ramlah.

“Ram, aku ni nak tanya engkau lah sikit ni.” Intonasi suara Hamidah mula berubaha menjadi sedikit serius dan perlahan.

“Nak tanya apa? Tanya je lah. Lain benar suara kau ni, buat aku risau pula.” Balas Ramlah. Pelik dengan intonasi Hamidah yang tiba-tiba menurun.

“Kau tengok Luqman dengan Mylia tu macam mana?” soal Hamidah secara telus. Malas pula dia mahu berkias-kias. Dia tak pandai. Nanti lain pula maksudnya.

“Macam mana yang macam mana?” soal Ramlah kembali. Dia tidak mahu serkap jarang. Bimbang pula nanti kalau dia tercerita benda yang tak sepatutnya, makin risau pula sahabatnya yang sekarang sudah menjadi besannya itu.

“Hubungan diorang dua orang lah. Hubungan suami isteri. Diorang kan duduk dengan engkau. Mesti engkau lebih tau.” Terang Hamidah.

“Alah, malu-malu lagi kot. Diorang kan baru kahwin. Tak pernah kenal pula tu.” Balas Ramlah.

“Itulah ayat aku kat laki aku tadi, tapi banyak pula hujah dia bagi kat aku. Pening aku nak tepis. Aku nak tanya kau, diorang tidur sebilik ke tak?” Hamidah memberikan soalan yang Baharom persoalkan kepadanya sebentar tadi. Pada pendapatnya, Ramlah saja yang tahu jawapan tersebut.

“Eh, mestilah tidur sebilik. Kau ni fikir banyak sangat lah. Kau bagi lah masa sikit lagi. lama-lama okay lah tu. Kita doa jer yang baik-baik. Doa mak-mak ni kan taka da hijab. InshaaAllah kejap je makbul lah nanti.” Pesan Ramlah kepada Hamidah.

Namun dalam benak Ramlah sendiri, soalan Hamidah tadi sedikit sebanyak menimbulkan keraguan dalam dirinya.

‘Betul ke diorang tidur sebilik? Aku ni jarang sangat naik tengok kat atas tu. Dingin jer diorang laki bini. Kalau dah tiap-tiap malam tidur bersama, takkan dingin lagi?’ Persoalan demi persoalan mula timbul dalam kepalanya. Dia boleh mengagak puncanya siapa, tetapi dia tidak mahu menuduh melulu.

Selepas apa yang dibualkan dengan Hamidah sebentar tadi, Ramlah tidak dapat tidur lena. Resah dia di atas katilnya. Ke kiri ke kanan bandannya di hempas. Di tepuk-tepuk, di alih-alih bantal tidurnya, tetapi masih juga dia tidak dapat melelapkan mata. Akhirnya dia bangun menuju ke dapur mencari air minuman.

‘Aku tak pernah tau apa yang berlaku kat atas tu. Aku mesti usaha naik juga hari ni.’ Bisik hatinya. Dia meletakkan cawannya ke atas kaunter dapur dan terus berjalan menuju ke tangga. Setapak demi setapak anak tangga di panjatnya perlahan. Apabila dia sampai ke tingkat dua, dia melihat melalui celah pintu kesemua bilik yang ada, semuanya gelap. Hilang terus resahnya. Jika Luqman tidak menggunakan mana-mana bilik di aras itu, bermakna dia berada bersama-sama Mylia di aras tiga. Di atas sana hanya ada satu bilik sahaja.

Dia terus menuju ke bilik cucu-cucunya. Alang-alang dah sampai ke situ, dia mahu melihat keadaan Julia dan Jasmin. Sebaik sahaja pintu di buka, dia melihat betapa lasaknya anak-anak itu tudur. Selimut masing-masing sudah hampir jatuh ke lantai. Dia mengangkat selimut itu dengan perlahan-lahan dan di letakkannya kembali menutupi tubuh-tubuh kecil itu satu per satu.

Alangkah terkejutnya dia kerana tiba-tiba lampu di bilik air terbuka. Bilik air itu berkongsi pintu dengan bilik anak perempuannya, Lyana. Segera dia keluar dari bilik Julia dan Jasmin menuju ke bilik Lyana. Pintu yang tidak berkunci itu ditolak Ramlah. Dia menekan suis lampu agar bilik yang gelap itu segera diterangi. Jelas di matanya keadaan katil yang berselerak menandakan bilik itu ada penghuninya. Dia menunggu sehingga tuan badan yang berada di dalam bilik air itu keluar.

“Mak! Apa mak buat kat atas ni?”

“Apa yang kau buat kat bawah ni? Bilik kau kan kat atas?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience