~ 40 ~
Luqman menghentikan keretanya di parkir yang begitu lapang. Pagi ini tiada seorang pun pengunjung di tanah pusara itu. Hanya dirinya. Dia keluar perlahan-lahan dan terus ke bonet kereta mengambil lembaran tikar kecil.
Di sisi pusara Aisyah, Luqman melagukan surah Yaasin perlahan-lahan. Selesai bacaannya, dia melafazkan pula sebuah doa panjang sepenuh hati.
“Ecah…” Luqman mula berbicara. Jemarinya mula menarik rumput-rumput liar yang sudah mula memenuhi kuburan. Dia tahun tumbuhan-tumbuhan kecil itu juga turut mendoakan Aisyah. Dia hanya mencabut mana yang perlu dan membiarkan sesetengahnya. Sebuah senyuman nipis terukir dibibir Luqman. Dia mencari ayat yang paling sesuai.
“Terima kasih, Ecah.” Sedikit bergenang air di tubir mata Luqman. “Abang tak pasti sama ada Ecah benar-benar datang pada abang semalam atau itu hanya sekadar ilusi fikiran abang. Apa-apa pun, abang nak berterima kasih sangat-sangat pada Ecah.” Luqman memejamkan matanya rapat.
Semalam, Aisyah datang dalam mimpinya. Dia berjalan beriringan bersama Mylia. Waktu itu, Luqman hanya berdiri tercegat di antara Julia dan Jasmin. Sebaik sahaja Aisyah dan Mylia menghampiri mereka, Aisyah berhenti. Hanya Mylia yang terus berjalan dan menyambut tangan anak-anak mereka dan mereka terus berjalan berlahan-lahan.
Luqman memandang tepat ke wajah tenang Aisyah yang tak lekang-lekang dengan senyuman. Luqman juga turut tersenyum sambil mengucapkan, “Terima kasih, sayang. I love you, Ecah.” Dengan senyuman yang lebih manis, Aisyah berpusing dan terus berjalan pergi.
“Abi! Jom la…” Luqman berpusing mencari suara Julia di belakangnya. Saat itu, Luqman melihat Julia, Jasmin dan Mylia sedang memanggil-manggilnya untuk datang menghampiri dengan penuh kemesraan dan keceriaan. Dia dapat merasakan betapa hatinya begitu bahagia saat itu. Dengan mimpi itu juga, Luqman bangun pagi tadi dengan penuh rasa tenang dan lapang sekali. Tetapi sekarang keadaannya berbeza. Jauh berbeza.
“Ecah, tolong doakan kami di sini ya. Abang yakin Ecah sekarang sudah tenang dan aman damai di sana. Ecah orang yang baik dan isteri yang solehah. Abang yakin Allah sangat-sangat sayangkan Ecah. Sebab tu Dia ambil Ecah pulang lebih awal. Ecah tolong doakan abang, Mylia dan anak-anak di sini ya.” tiba-tiba dia tersenyum sendirian. Betul atau tidak permintaannya ini? Meminta Aisyah tolong mendoakan dia yang sedang berada di bumi ini. Sepatutnya dia yang mendoakan Aisyah.
“Abang sayangkan dia, Ecah. Abang dah tak boleh nak menipu lagi. Dia berjaya membuka pintu hati abang pada dia, Ecah.” ujar Luqman tulus. Tetapi melihatkan keadaan Mylia pagi ini, Luqman sedikit bimbang.
Pagi itu semasa Luqman sedang duduk di kerusi pejabatnya, dia memandang di dinding di sekeliling pejabatnya itu. Tidak ada satu ruang pun yang tidak ada wajah Aisyah. Dengan tekad di dada, Luqman bangun dan menurunkan semua gambar Aisyah di dinding. Dia hanya mengekalkan bingkai-bingkai kecil yang tersusun di atas almari sisi sahaja. Yang lain semuanya diangkat dan disimpan baik-baik di dalam almari di dalam stor. Apabila dia memandang bingkai-bingkai kecil di atas mejanya, dia turut mengalihkan semuanya. Dia meletakkan beberapa bingkai itu di atas almari sisi tadi dan selebihnya disimpan di dalam stor.
Kemudian, Luqman mula membelek akaun fac Ramlah. Dia tahu Ramlah pernah berkongsi gambar perkahwinannya dengan Mylia dulu. Dia mencari sekeping gambar Mylia sendirian, gambar Mylia berdua dengannya dan sekeping lagi gambar mereka bersama anak-anak. Terus sahaja dia mencetak ketiga-tiga gambar tersebut mengikut saiz bingkai yang dia ada. Sekeping lagi gambar mereka berdua bersaiz kecil untuk diletakkan di dalam dompetnya. Ya, Luqman sememangnya seorang yang begitu bersifat sentimental.
* * * * *
Pagi itu, hanya Baharom sahaja yang menemani Mylia ke klinik. Sepanjang perjalanan, Mylia banyak mendiamkan diri melayan perasaan sendirian. Baharom faham benar sikap anak sulungnya itu. Dia biarkan dahulu Mylia sebegitu. Dia tahu anaknya sedang cuba memproses sesuatu. Dia tidak mahu mengganggu.
Dalam perjalanan mereka ke klinik, mereka melintasi tanah perkuburan Aisyah. Mylia ternampak kereta Luqman yang sedang parkir di situ. Makin pedih hatinya. Jatuh juga air mata Mylia. Cepat-cepat dia mengalihkan pendangannya ke luar. Bimbang ayahnya nampak tangisannya.
“Mylia tahu kan Mylia boleh cerita semuanya kat abi?” hanya dengan kata-kata itu, empangan matanya pecah berderai hingga teresak-esak Mylia di sisi Baharom. Baharom hanya membiarkan sahaja dahulu Mylia melepaskan perasaannya seketika. Biarlah dia menangis sepuas-puasnya.
“Abi tak mahu serkap jarang. Abi tak suka berprasangka. Kalau Mylia rasa boleh berkongsi dengan abi, abi dengar. Tapi kalau Mylia belum bersedia, abi tak paksa.” Kata Baharom lagi.
“Terima kasih, abi.” Itu sahaja yang terkeluar dari mulutnya. Sebaik sahaja sampai di klinik, Baharom hanya duduk dia di situ memberi ruang untuk Mylia bersedia sebelum turun dari kereta.
“Sakit lagi ye, cik?” soal jururawat yang merawat luka Mylia. Dia tersalah faham apabila melihat wajah kemerahan Mylia yang seperti baru lepas menangis. Tekaannya betul, cuma sebab tangisan itu Mylia biarkan saja jururawat itu berfikir sebegitu. Tidak perlu untuk dia membetulkan apa-apa fakta. Tidak penting.
“Idah, abang tak sedap hati lah dengan Mylia dan Luqman ni. Macam ada yang tak kena saja. Dia ada cerita apa-apa tak dekat Idah?” Baharom berbicara separa berbisik dengan Hamidah di dapur setelah pulang dari klinik. Mylia sudah naik ke biliknya di atas. Letih katanya.
“Tak selesai-selesai jugak hal mereka berdua ni ya?” balas Hamidah kepada suaminya. “Tak serasi agaknya kan mereka?” soal dia kembali kepada Baharom.
“Dah nak setahun dah ni. Kalau ia pun tak serasi, bila dah tidur sebantal ni akan serasi jugak. Tapi dah lama sangat ni abang rasa.” Ujar Baharom.
“Tak kan pula diorang tak tidur sekali? Mesti Ramlah dah bagitau saya kot ye pun sampai macam tu.” Protes Hamidah separuh yakin.
“Mana tahu dia nak sembunyikan kesalahan anak dia.” Baharom meneka rambang. “Cuba awak pergi tanya. Mungkin dia nak cerita kat awak.” Cadang Baharom.
“Ye lah.” Terus sahaja Hamidah bangun dan berlalu ke sinki. Setelah tangannya dibasuh dan dikeringkan, dia berlalu pergi menuju ke bilik Mylia.
Sebaik sahaja Hamidah sampai ke depan pintu bilik Mylia dia terdengar suara Mylia berbual di telefon. Dia hanya membatu di situ.
“Saya balik lewat petang boleh?” lemah sahaja suara Mylia. Langsung tiada keceriaan.
“Awak tak nak teman saya di kedai macam semalam?” soal Luqman kecewa. Dia begitu bersemangat ingin melihat reaksi Mylia dengan perubahan pejabatnya.
“Saya letih sikit lah hari ni. Lain kali ya.” jawab Mylia.
“Awak tak sihat ke? Atau awak sakit sebab semalam?” soal Luqman. Dia benar-benar risau. Manalah tahu walaupun dia sudah cuba menahan diri dan melayan Mylia dengan cara paling lembut, tetapi Mylia masih lagi terasa sakitnya.
“Tak…” pantas sahaja Mylia menjawab. ‘Aku sakit hati jer…’ bisik Mylia.
“Okay. Abang jemput Mylia balik dari kedai nanti ya?” pelawa Luqman. Entah kenapa, dia rindukan isterinya.
“Tak apa. Saya drive.” acuh tak acuh sahaja dia menjawab. Dia sebenarnya sudah tidak mahu bercakap dengan Luqman. Dia mahu menamatkan panggilan serta-merta.
“Okay. Have a rest. Jumpa malam nanti ya.” Luqman sudah buntu.
“Baik.” Itu sahaja jawapan Mylia dan terus sahaja dia menamatkan panggilan. Dia tidak faham kenapa di saat dia begitu tulus membuka pintu hati seluasnya untuk menerima cinta yang baru, Mylia pula mula bersikap dingin. Segala tembok tinggi yang terbina sebelum ni sudah habis runtuh. Dia sengaja membiarkan dirinya dalam keadaan yang benar-benar rapuh kerana dia yakin Mylia akan menyayanginya kembali. Tetapi dia seperti sudah tersalah percaturan.
Sebaik sahaja talian dimatikan, terdengar esakkan kecil dari Mylia. Sayu hati Hamidah.
“Mylia… kenapa ni?” soal Hamidah dengan penuh sedih di hati sang ibu.
“Eh, umi.” Cepat-cepat Mylia bangun dari baringannya.
“Bergaduh dengan Luqman, ya?” Mylia hanya membatu. Dia tidak tahu apa yang dia perlu katakana. Dia tidak tahu sama ada dia perlu bercerita atau tidak sedangkan dia pernah berjanji dengan mentuanya untuk menyimpan rahsia mereka ini kemas-kemas.
“Mylia… cerita dengan umi. Jangan pendam sorang-sorang.” Kata Hamidah lagi memujuk Mylia.
“Umi… umi percayakan Mylia kan? Umi yakin Mylia tak akan buat apa-apa yang akan memalukan umi dan abi, kan?” soal Mylia kepada Hamidah.
“Umi tahu Mylia dah cukup matang untuk fikir mana yang baik dan mana yang tidak. Tapi apa-apa pun, Mylia boleh je berbincang dengan umi. Apa-apa pun, Mylia tetap anak umi.” Ucapan Hamidah sedikit sebanyak menyentuh hati Mylia. Terus sahaja dia merangkul bahu Hamidah erat. Dilepaskan segala berat di dada dengan tangisan sarat di bahu ibunya.
* * * * *
Perjalanan Mikail dan Suraya dari Bandar Melaka menuju ke Johor Bharu mengambil masa 3 jam. Mikail sengaja tidak mahu terlalu bergegas ke sana. Dia bimbang Suraya menjadi terlalu keletihan. Dia juga sengaja berhenti di beberapa R&R sepanjang Lebuhraya Utara Selatan. Dia mahu memberi ruang untuk Suraya meregangkan badan setelah beberapa lama bertahan dalam posisi duduk sahaja. Mujurlah struktur dan saiz kerusi Hyundai Tucson miliknya boleh tahan selesa. Tidaklah Suraya sakit-sakit badan walaupun setelah perjalanan yang jauh.
“Mama…” Mikail belum lagi memberitahu Suraya tentang Hasrat Rosemira yang ingin mengikut serta mereka berjalan ke Singapura. Berat juga hatinya untuk dia bersetuju.
“Hmm…” mata Suraya jauh memandang ke luar jendela melihat-lihat pemandangan yang ada.
“Cik Rosemira ada mesej semalam. Dia bagitau boss dia suruh dia escort kita pusing-pusing Singapore. Mama okay ker?” soal Mikail. Yang sebenarnya dia sudahpun boleh mengagak jawapan ibunya. Entah untuk apa soalan itu, dia sendiri pun tak pasti.
“Eh, bagus sangat la tu. Mama dah ada firasat dah yang dia mesti nak join kita kalau dia tau kita nak ke sana.” Tersengih-sengih wajah tua Suraya membayangkan gadis tinggi lampai itu. Pada pendapat Suraya, begitu sepadan Rosemira bergandingan dengan anak tunggalnya itu.
“Tapi Mika rasa awkward la mama. Rasa tak selesa.” Mikail cuba membantah.
“Kenapa pulak?” hilang terus senyuman lebarnya tadi.
“Entah. Tak terasa chemistry tu pun. Tak rasa ngam.” Kata Mikail berterus terang. Suraya sudah mula berfikir jauh.
“Tak ada chemistry pulak. Mama tengok okay je dia. Sepadan elok je dengan Mika. Nanti melepas baru tau.” Pesan Suraya.
“Kita belum tengok lagi perangai dia yang sebenar, mama. Jumpa sekejap-sekejap macam tu memanglah nampak baik. Tapi, baik dia tu tak sampai ke hati.” Mikail cuba memberi gambaran.
“Mika masih mengharap pada yang lain ker?” Suraya pula menyerkap jarang. Dia bukanlah berniat untuk memaksa, tetapi dia bimbang melihat keadaan Mikail. Dia tidak mahu Mikail menutup terus pintu hatinya hanya kerana dia pernah kecewa.
“Mengharap kat siapa pulak?” Itu sahaja jawapan yang mampu Mikail berikan.
“Mama bukannya nak paksa-paksa Mika nak kahwin dengan sesiapa pun. Itu pilihan Mika sendiri lah. Cuma mama tengok budak Rose tu elok je. Sepadan dengan Mika. Sebab itu mama beria.” Luah Suraya. Dia hanya ingin cuba membantu Mikail.
“Mika faham. Mika tak marah. Cuma Mika belum rasa keserasian dengan Rosemira. Mungkin dengan orang lain. Mana tahu… awek Singapore ker…” usik Mikail.
“Orang Singapore tu kaya-kaya. Mana boleh Mika nak lawan dengan mereka. Daripada awek-awek tu kahwin dengan Mika, baik diorang kahwin dengan local jer. Senang hidup.” Kembali bertaut senyuman di wajah Suraya.
“Aik, tak laku ke Mika ni mama? Tadi kata elok…” seloroh Mikail.
“Yang elok tu Rosemaria.” Bangkang Suraya.
“Yer lah. Tadi mama kata elok je sepadan kan? Kalau dia elok, maksudnya Mika pun elok la jugak. Baru sepadan.” Masih lagi dia mahu menyakat.
“Masalahnya sekarang, elok saja tapi tak kaya… orang Singapore tak pandang la.” Balas Suraya.
“Tak per, mama. Muka elok ni tengok pun dah kenyang orang kata. Ha… kan dah jimat. Jadi duit bajet untuk makan boleh potong. Letak lebih dekat dia nak shopping. Kaya lah jadinya. Tektikal kewangan je semua tu mama.” Mikail masih mahu berlawan.
“Ada saja jawapan dia tu.” Suraya menggelengkan kepalanya. Malas dia mahu berbalah lagi.
“Yes, Mika menang. Hahaha…” ketawa besar dia sendirian. Suraya hanya tersenyum kelat. Tidak menjadi pula perancangan dia kali ini. “Ala… mama janganlah sedih-sedih. Kita jalan-jalan berdua dulu okay. Nanti sampai masanya, kita berjalan bertiga. Manalah tau, mama yang berjumpa jodoh dengan uncle kaya kat Singapore tu…” seloroh Mikail lagi.
“Ish! Mengarut betul lah budak bertuah ni.” Bahu kiri Mikail dipukul kuat. Makin muncung mulut Suraya. Mikail masih lagi ketawa berpanjangan.
Share this novel