“Ibu! Ooo Ibu!” tiba-tiba ketukan keras bergema dari pintu bilik Mylia dan Luqman.
“Abi! Abi!” Suara Julia dan Jasmin riuh-rendah di luar sana.
Luqman dan Mylia terkejut besar. Sepantas kilat pelukan mereka dilepaskan. Mylia cepat-cepat mencapai kain tualanya dan barjalan masuk ke dalam bilik air. Lebih mudah dia menyembunyikan diri di situ. Biarlah Luqman yang melayan anak-anak mereka seketika.
Luqman pula menarik nafas dalam-dalam cuba mententeramkan dirinya selepas tersentap turun dan kembali berpijak di bumi. Naik turun, naik turun dadanya menahan gelora jiwanya sebentar tadi. Luqman melurut-lurut muka dan rambutnya sebelum menyahut panggilan anak-anak. Mujurlah pintu itu terkunci. Jika tidak, dia sendiri takt ahu macam mana dia nak terangkan perlakuan dia dan Mylia tadi kepada anak-anak kecil itu.
“Ya! Ya!. Sekejap.” Jawab Luqman sedikit kuat dan menapak perlahan ke pintu.
“Abi!” laung Julia dengan penuh rasa tidak puas hati. “Abi, adik tak pesan pun beg ni. Kakak yang pesan. Jadi, dua-dua beg ni kakak punya lah kan?” Kata Julia meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Luqman.
‘Oh, anak-anak! Itu sajakah isu besar korang yang datang serbu bilik abi macam ni?’ Luqman tersenyum nipis dan menggeleng kecil.
“Ibu belikan beg ni seorang satu. Satu untuk Julia, satu untuk Jasmin.” Terang Luqman dengan tenang.
“Tapi adik tak pesan pun beg kat ibu.” Bantah Julia. Tangannya masih cuba merebut beg galas berwarna merah jambu di dalam pelukan Jasmin. “Kakak nak tanya ibu. Ibu saja yang tahu.” Kata Julia lagi.
“Ibu tengah mandi kakak. Ibu memang belikan beg ni untuk adik dan kakak. Kakak nak beg hijau kan? Ibu belikan yang pink ni untuk adik. Kakak nak buat apa beg banyak-banyak.”
“Tapi adik minta keropok dengan air strawberi saja.” Julia masih berkeras.
“Tapi ibu belikan 2 bungkus keropok dan 2 kotak air kan? Susu strawberi dan susu coklat. Agak-agak, susu coklat tu untuk siapa?” Luqman cuba membuka mata Julia untuk berfikir.
“Untuk kakak.” Kata Julia perlahan.
“Kakak minta ke keropok dengan air kotak?” soal Luqman lagi. Julia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“See, ibu beli semuanya serba dua. Satu untuk kakak, satu untuk adik. Sama jugak macam beg ni. okay?” pujuk Luqman. Julia mengangguk-angguk kecil. Jasmin tersengeh riang apabila beg merah jambu itu betul-betul menjadi miliknya.
“Okay, sekarang Julia dengan Jasmin turun bawah dulu okay. Abi dengan ibu nak solat sekejap. Kejap lagi kita makan malam sama-sama ya.” Pujuk Luqman sambil mengiring anak-anaknya keluar dari biliknya. Selepas mereka selamat turun, Luqman menutup pintu bilik dan menguncinya semula. Dia tersandar di pintu itu seketika.
Selesai menganggalkan baju, Mylia cepat-cepat membasahkan badannya dengan air pancuran dingin waktu itu. Dia membiarkan air sejuk itu jatuh ke ubun-ubun kepalanya dan membasahkan seluruh badannya dari rambut hingga ke kaki.
Gigil badannya masih bersisa. Perasaan malu yang amat sangat kembali menerjah. Mylia memekup mukanya dengan kedua-dua tangan dan memejamkan matanya rapat-rapat. Dia malu dengan adegan yang baru saja terjadi antara dia dan Luqman.
‘Apa ni? Ya Allah. Macam mana boleh jadi sampai macam ni?’ bergema soalan di kepalanya. Tersengeh-sengeh Mylia membayangkan semula situasi sebentar tadi. Dia malu sendiri.
Selesai mandi, Mylia mula mengeringkan tubuhnya. Saat itu, baru dia terperasan yang dia tidak sempat mengambil baju salin sebelum masuk tadi. Dia membuka sedikit pintu bilik air dan memanggil Luqman.
“Bi… tolong ambilkan baju kaftan boleh?” pinta Mylia dengan lembut. Luqman langsung tidak menyahut.
Luqman yang sedang duduk di birai katil berfikir sejenak. ‘Sampai bila dia nak salin baju di dalam bilik air? Kan suami isteri ni.’ Luqman bangun berjalan menghampiri bilik air. Dia langsung tidak mengambil baju yang diminta Mylia. Luqman mengetuk pintu dengan perlahan.
Mylia membuka pintu seluas tangannya dan menghulurkan tangan keluar agar Luqman boleh meletakkan bajunya di situ. Tetapi sangkaannya meleset apabila tangannya disambut oleh tangan Luqman dan menariknya perlahan. Mylia menjenguk kepalanya sedikit memandang Luqman.
“Mana baju saya?” soal Mylia. Waktu itu dia hanya berkemban dengan sehelai tuala.
“Sampai bila awak nak salin baju dalam bilik air?” soalan Luqman membuatkan Mylia tercengang. Merah padam pipi Mylia waktu itu.
“Tapi… aaa…” dia cuba memprotes.
“Biasakan diri. Kita kan suami isteri? Kalau benda kecil macam ni pun masih menjadi isu, macam mana dengan benda-benda yang lagi besar?” kata Luqman.
“Aaa… saya nak ambik wuduk dulu.” Kata Mylia sambil menarik kembali tangannya. Terbatal sudah wuduk yang diambil sekejap tadi.
Mylia menutup semula pintu. Bercelaru fikirannya memikirkan yang dia perlu keluar dalam keadaan hanya berkemban tuala. Dia merenung lama imejnya di dalam cermin. Bukan kerana dirinya terlalu hodoh, bukan juga dia ada apa-apa parut yang ingin disembunyikan. Tetapi tebalnya perasaan malu menghalang Mylia untuk memperagakan tubuhnya walaupun dia sedar Luqman berhak ke atasnya.
Mylia beristighfar berkali-kali. Cuba meletakkan sepenuh tumpuan kepada wuduk yang bakal disempurnakan. Selesai berwuduk, dia menapak menghampiri pintu. Tangannya mencapai tombol tetapi dia tidak sanggup memulaskannya. Ditarik nafas panjang-panjang. Rancangannya, diam ahu cepat-cepat keluar, terus ke almari dan cepat-cepat capai kaftan paling atas dan terus menyarungnya. Tidak perlu untuk dia berlama-lama menayang badan separuh bogel begitu.
Mylia memejamkan matanya rapat-rapat. Dengan lafaz Basmallah, dia memulas tombol pintudan melangkah keluar. Luqman yang sedang berdiri tegak ditepi katil mengangkat pandangan apabila terdengar pintu dikuak. Mylia langsung tidak memandang kiri dan kanan. Dia malu teramat sangat Ketika itu. Berhadapan dengan Luqman dalam keadaan seperti itu langsung tidak pernah terlintas dibenaknya.
Luqman yang sudahpun siap bertuala dan kemejaT melangkah masuk ke dalam bilik air memberikan ruang sepenuhnya buat Mylia menyiapkan diri. Niatnya hanya satu. Dia hanya ingin wanita itu selesa berada di rumah itu seperti mana dia selesa dirumahnya sendiri. Sudah hampir setahun Mylia menetap di situ. Dia sepatutnya merasakan dirinya itu tuan rumah, bukannya tetamu.
Mylia mengurut dadanya bersyukur panjang apabila dia melihat Luqman telah pun tiada bersamanya di dalam bilik. Serta-merta dia berasa tenang untuk bersiap. Mylia mengambil masa beberapa ketika untuk memilih bajunya setelah dia mendengar bunyi air pancuran menandakan Luqman sedang mandi. Dia ada banyak masa untuk bersiap. Selesai mengenakan kaftan batik lukis berlatar biru muda dengan lakaran tida kuntum bunga orkid berwaarna ungu gelap, dia beralih pula kepada telekungnya. Setelah berpuas hati dengan kedudukan telekung di wajahnya, dia mencapai dua helai sejadah dan dihamparnya rapi ke lantai.
Sedang dia asyik membetulkan sejadah, Luqman pun keluar daripada kamar mandi. Mylia mengambil peluang itu untuk beristighfar berkali-kali sementara menunggu Luqman. Dengan hanya sehelai baju melayu dan kain pelikat, Luqman menuju ke sejadah hadapan dan bersedia untuk menjadi imam.
Solat maghrib mereka kali itu begitu tenang dan mendamaikan. Luqman memilih surah yang agak panjangdan dibaca dengan penuh penghayatan. Sedap sungguh alunan suara Luqman ditelinga Mylia. Setiap kali solat yang diimamkan oleh suaminya itu, Mylia sangat selesa dan tenteram. Sungguh merdu dan menusuk kalbu. Bacaan Luqman bagai memberikan satu ruang dan peluang kepadanya menghayati setiap baris ayat di dalam surah-surah indah Al-Quran.
Selesai solat dan zikir, Luqman membacakan doa. Sengaja digabungkan Bahasa Arab dan Melayu. Begitu polos sekali intonasinya. Terasa lengkap dan sempurna. Selesai doa dibaca, Luqman memusingkan badan menghadap Mylia. Mylia menghulurkan salam kepada suaminya. Seperti biasa, hanya tangan kanan yang menyambut salam Mylia. Tangan kirinya diletakkan di atas kepala Mylia. Tetapi hari itu bukan seperti hari lainnya. Ada kesyahduan di jiwa lelaki Luqman. Semasa Mylia tunduk mencium tangannya, dia juga tunduk mencium kepala Mylia.
Sebaik sahaja Mylia mengangkatkan badannya, terus sahaja badan itu ditarik jatuh ke dalam pelukannya. Luqman dalam keadaan bersila dan Mylia sudah terpangku sepenuhnya di dada Luqman. Erat sungguh pelukannya.
“Saya tak faham apa yang tak kena dengan saya hari ni, tapi memikirkan yang awak akan tinggalkan saya dan anak-anak membuatkan saya rasa sakit. Saya sangat senang dengan kehadiran awak di dalam rumah ni. Saya tak pasti atas alasan apa. Mungkin sebab sayangnya awak pada Julia dan Jasmin… atau hormatnya awak pada mak… atau mungkin sabarnya awak melayan kerenah saya.” Kata-kata Luqman yang separa berbisik itu menusup masuk ke sanubari Mylia. Dengan tiba-tiba dia merasa sebak. Ada air mata yang mula mengalir ke pipinya.
“Atau mungkin tanpa saya sedar saya dah mula sayangkan awak.” Luqman terhenti seketika. Mylia terkejut sungguh mendengar pengakuan Luqman.
“Sebab kalau tak sayang, masakan saya begitu cemburu dengan Mikail.” Luqman tertawa kecil mengenangkan perasannya saat dia mendengar bapa mentuanya menyebut nama jirannya itu di meja makan. Dia sendiri berasa lucu dengan perasannya. “Setiap kali nama itu disebut, saya rasa triggered. Setiap kali kita berhadapan dengan dia, saya rasa goyah. Mungkin sebab dipandangan mata saya, dia lebih sesuai dengan awak. Umur pun lebih kurang sebaya. Sama cantik sama padan. You would have made a very beautiful couple. And at last, saya hanya menyakitkan hati sendiri. Saya tahu benar yang saya cemburu. Saya cemburukan awak dan dia. Cemburu tu sayang, kan?”
Mylia tidak pasti samada dia perlu menjawab soalan retorik daripada Luqman itu. Walaupun setiap ayatnya bagaikan dia sedang meluahkan perasannya, tetapi bagi Mylia ia lebih kepada sebuah monolog Luqman dengan dirinya sendiri. Dia hanya ingin mendengar kesemuanya. Akhirnya, lelaki itu membuka ruang bicara antara mereka.
“Tadi bila awak cakap yang awak sakit bila dengar saya selalu mengigau nama Aisyah, dan bila awak suruh saya bayangkan jika awak pula yang mula mengigaukan nama lelaki lain, sumpah Wallahi saya dah rasa. Saya dah rasa sakitnya bila ada lelaki lain yang lebih baik daripada saya sedangkan saya suami awak.” Luqman tidak dapat menahan dirinya daripada merangkul tubuh Mylia dengan lebih erat dan mencium kepala Mylia dengan penuh perasaan.
“Saya akan pastikan dua bulan yang akan datang bukanlah dua bulan terakhir buat kita. Saya tak boleh jamin yang tidak aka nada lagi Aisyah antara kita. Tapi saya nak awak tahu yang awak juga dah jadi sebahagian daripada hidup saya. Saya tak rasa saya mampu untuk kehilangan awak jugak.” Sekali lagi dia mencium kepala Mylia dengan kuat.
“Soya mohon sangat-sangat agar awak sudi untuk kuatkan semangat dan bertahan sementara saya betul-betul adapt dengan keadaan kita. Sampai satu hari nanti saya mampu mencintai awak sepenuh hati saya. Awak boleh janji dengan saya?” soal Luqman bersungguh-sungguh. Mylia mendongak memandang Luqman. Merah mata lelaki itu. Dia sedang menangis.
“Saya minta ampun kalau saya sakitkan hati awak tengahari tadi. Saya betul-betul tak tahu. Saya ingat awak masih tak boleh nak terima saya.” Kata Mylia memohon maaf. Dia rasa bersalah dengan kata-katanya di dalam kereta tengahari tadi.
“It’s okay. I don’t blame you.” Luqman mengusap pipi Mylia sambil menyapu titisan air mata yang masih bersisa. Dalam posisi sebegitu, Luqman teringat akan ciuman hangat mereka sekejap tadi.
“Saya akan cuba sekuat yang saya mampu tapi saya pun manusia biasa. Saya tak mungkin tahu sekuat mana saya mampu bertahan. Yang saya mampu janji, saya tak akan lari. Saya pastinya akan bagitahu awak bila mana saya dah tak sanggup. Dan awak mesti redha dengan permintaan saya waktu itu.” Pinta Mylia. Sedikit pun Luqman tidak merasa tenang dengan kata-kata Mylia. Dia rasa tersepit.
“Saya akan pastikan yang kita takkan mungkin sampai ke tahap itu. Itu janji saya.” Dan tanpa berlengah terus sahaja dia memaut belahan bibir mungil Mylia yang lama dia perhatikan dari tadi.
Berpinau fikiran Mylia saat itu tetapi dia cepat-cepat kembali kea lam nyata. Ditolaknya tubuh Luqman perlahan.
“Mak… mak tengah tunggu kita untuk makan malam. Kita turun dulu jom.” Pinta Mylia mengundang senyuman kelat diwajah Luqman. Tapi Luqman sendiri tidak dapat menyangkal. Memang benar emak dan anak-anaknya sedang menunggu mereka turun cepat untuk makan malam. Luqman terpaksa akur. Dipeluknya tubuh Mylia sekali lagi sambil mencium keras pipi Mylia sebelum mengangkat badan Mylia untuk bangun.
Merah padam pipi Mylia. terasa panas berbahang jadinya. Sambil membuka telekungnya dan menyidai kembali ke ampaian, Mylia langsung tidak berani memandang Luqman. Dia sendiri tidak yakin dengan dirinya. Dia sendiri dah mula asyik dengan dengan sentuhan-sentuhan Luqman. Dia sendiri dah mula rasa ingin disentuh Luqman sepanjang masa. Dia sendiri dah mula timbul bibit-bibit cinta dihatinya.
Sepanjang mereka menuruni tangga, sengaja dia merangkul erat bahu Mylia dan menarik tangan Mylia agar memeluknya. Bermula di anak tangga pertama di tingkat tiga sehinggalah ke lantai rumah ditingkat satu. Ramlah yang sedang duduk di sofa ruang tamu dapat melihat dengan jelas kerenah anak menantunya itu. Apabila Mylia tersedar yang dia diperhatikan, cepat-cepat dia menarik tangannya daripada memeluk Luqman. Merah kembali kulit wajah perempuan itu.
“Ibu! Lamanya solat!” rungut Julia sambil bangun mendapatkan Mylia. Mereka hanya mampu tersengeh. Begitu juga Ramlah.
“Sorry… Ibu rehat sekejap tadi. Letih sangat.” Mylia cuba memberi alasan untuk memujuk.
“Kakak dah lapar sangat.” Kata Julia lagi.
“Adik pun…” sampuk Jasmin.
“Sorry… okay jom kita makan sekarang.” Kata Mylia sambil mengiring anak-anaknya ke dapur. Luqman juga terus sama mengikut.
Bermula saat itu, tangan Luqman bagaikan ada magnet kuat yang asyik menarik agar sentiasa menyentuh isterinya itu. Sepanjang waktu makan di meja, tangan kirinya sentiasa terpekup kemas di paha Mylia. Menggigil Mylia dibuatnya. Sungguh asing semua itu kepadanya. Dia cuba memberi signal agar Luqman mengalihkan tangannya tapi Luqman pura-pura tidak memahami.
“Nak air…”
“Nak kuah…”
“Nak tambah nasi…”
Ada sahaja cara dia mengelak. Bukan dia tak faham cuma dia tak mahu.
Selesai makan, dia tidak memberikan pinggannya kepada Mylia. tetapi, dia sendiri yang mengangkat pinggannya ke sinki saat Mylia sudahpun berdiri di situ. Sambil meletakkan pinggan dan membasuh tangan kanannya, tangan kiri sempat merangkul pinggang Mylia dengan kemas dan erat membuatkan Mylia terkunci dan terpaksa berdiri kaku disitu.
Saat diam ahu minum, sengaja dia berdiri di belakang Mylia. Tangan kanan mengangkat cawan merapati bibirnya dan tangan kirinya pula sengaja diletakkan tepat ke atas perut Mylia dan menarik tubuh itu rapat ke badannya.
“Awak buat apa ni?” bisik Mylia tak puas hati.
“Salahkah?” soal Luqman kembali mengusik dengan satu senyuman nakal di wajah.
“Kan anak-anak dan mak ada di situ?” Mylia masih lagi cuba memprotes.
“Biarlah. Kalau diorang jealous, diorang pun boleh jer datang peluk sekali.” Balas Luqman membuatkan Mylia sakit hati. Susah nak menang kalau berbalah sebegitu.
“Malu lah kat anak-anak.” Kata Mylia lagi.
“Diorang peluk awak tak apa, kenapa saya tak boleh? Tau lah awak sayang diorang, tak sayang saya.” Kata Luqman konon-konon merajuk.
“Mengada.” Mylia menyerah. Malas dia nak berbalah dengan lelaki itu.
Tanpa Luqman sedar, hati Ramlah lah yang paling berbunga-bunga. Dia pernah tengok perangai Luqman sebegitu lama dulu. Waktu dia mula-mula menikahi Aisyah. Dan sekarang, anak lelaki sulungnya sudah kembali semula ke dalam rumahnya. Betapa hati seorang emak merindui anaknya yang ceria dan manja itu. Dia kenal benar dengan anaknya.
Share this novel