~ 3 ~

Romance Completed 13901

“Hai Yan.”

Tegur Mylia dengan perlahan tetapi cukup untuk sampai ke telingan Sufian dan pasangannya. Mylia masih berusaha mengumpul segala kekuatan yang ada dalam dirinya. Dia tidak mungkin akan memalukan dirinya sendiri di khalayak ramai itu.

“Mylia!” Sufian terkejut dengan kehadiran sekujur tubuh wanita itu dihadapannya. Dia sudah bangun berdiri mengadap Mylia.

“A… Apa… Mylia… buat kat sini?” soal Sufian tersekat-sekat.

“Mestilah datang cari Yan.” Jawab Mylia jujur. Dia mencuba habis baik untuk berlagak bersahaja.

“Boleh Mylia duduk di sini?” tanpa menunggu jawapan, terus sahaja dia duduk di kerusi berhadapan dengan tunangnya itu. Dia langsung tidak mempedulikan kewujudan seorang lagi perempuan yang langsung tidak dikenalinya itu. Dia tidak penting bagi Mylia. Hanya seekor lalat yang datang menghurung bangkai.

“Ada apa… Mylia cari Yan sampai ke sini?” kini Sufian kembali duduk di hadapan Mylia. Tumpuan sepenuhnya diberikan kepada Mylia. Lupa sekejap kepada pasangan di sebelahnya sebentar tadi.

Perempuan itu duduk tersandar di kerusinya. Dia tidak dapat keluar dari situ kerena dia terkurung antara kerus Sufian dan kerusi pelanggan lain di meja belakangnya.

“Takkan nak cari tunang sendiri pun tak boleh?” Soal Mylia kembali.

Melihat keadaan gundah Sufian memberikan kekuatan kepada Mylia untuk terus membuat keputusan di saat itu juga. Untuk apa dia mahu menunggu? Andai benar mereka tiada sebarang ikatan, dia akan terasa lebih terhina dan tertipu dengan Sufian. Entah berapa ramai perempuan lain lagi yang dia angkut dibelakang Mylia. Patutlah pengajiannya tak habis-habis.

“Begini sajalah.” Kata Mylia sambil tersenyum nipis. Dia memandang tepat ke dalam anak mata Sufian. “Asalnya Mylia ingat just datang nak bagi tahu, Sufian hanya ada masa sehingga tamat tahun… ermmm… sekarang tahun berapa? Tiga ke empat?” Serius air muka Mylia saat itu. Kemudian dia tergelak kecil.

“Orang lain buat diploma dua tahun pun dah boleh habis. Yan dah sampai tiga empat tahun, tak habis-habis jugak lagi. Entah apa yang tak kena tu kan?” Mylia menyindir Sufian tanpa memikirkan air muka lelaki itu lagi.

Sufian benar-benar rasa tercabar dengan kata-kata Mylia.

“Mylia, you…” baru sahaja Sufian mengangkat jarinya menunjuk tepat ke hidung Mylia untuk menggertaknya, Mylia terlebih dahulu memotong. Dia sudah tidak takut dengan Sufian. Bukan! Bukan dia tidak takut, dia sudah tidak menghormati Sufian lagi.

“Masih ada hati nak ugut Mylia?” Mylia merapatkan badannya ke meja dan meletakkan kedua-dua sikunya di atas meja. Dia memandang Sufian dengan senyuman sinis.

“Dengar sini baik-baik. Pertunangan kita tamat di sini. Tak perlu datang rumah Mylia untuk berjumpa umi dan abi. Mylia sendiri akan explain kat diorang. Mysha dan Marya juga boleh tolong cerita.” Kata Mylia sambil menoleh ke arah adik-adiknya yang berdiri tegak tidak jauh dari situ. Tegak dan kaku mereka berdua, seakan ada lagu kebangsaan yang sedang terpasang.

“Mak ayah Yan, Yan fikir sendirilah nak cakap apa ya. Terpulanglah kepada kebijaksanaan Yan. Yan kan belajar lebih lama daripada orang lain.”

Sufian sudah menggenggam buku limanya. Marah betul hatinya apabila dipermain-mainkan oleh Mylia seperti itu. Lebih-lebih lagi di hadapan teman wanita barunya itu. Mylia mencabut cincin tunang daripada jari manisnya waktu itu juga. Terus diletakkan dia atas meja dan ditolak ke hadapan Sufian.

“Kau boleh sim…” Sufian cuba berlagak gentleman. Dia enggan menerima cincin tersebut daripada Mylia. Lagi sekali, Mylia memotong percakapannya yang masih berbaki itu.

“Mylia tak perlu mengenang sejarah bodoh Mylia menunggu bangkai busuk. Mungkin ada orang lain yang lebih kemaruk.” Kali ini barulah matanya teralih ke arah perempuan di sebelah Sufian.

Ternganga perempuan itu mendengar ayat yang keluar dari mulut Mylia. Sufian juga terkejut dengan sikap Mylia waktu itu. Mylia yang dia kenal bukanlah seperti itu.

“Adios!”

Terus sahaja Mylia bangun daripada kerusinya dan berjalan menuruni anak tangga. Mysha dan Marya tercengang dengan tindakan kak long mereka. Pantas sahaja mereka menurut langkah Mylia turun ke bawah. Sampai ke kaunter, Mylia berhenti seketika. Makanan yang mereka pesan sebentar tadi belum lagi sempat sampai kepada mereka.

“Miss, order saya tadi semua tolong pack yer. Saya tak jadi nak makan kat sini. Saya nak take away.” Kata Mylia kepada gadis di belakang kaunter tersebut. Kemudian di berpusing kepada adik-adiknya.

“Korang tunggu sampai makanan ni siap. Kak long balik bilik dulu okay.” Tanpa sempat adik-adiknya membalas, dia terus sahaja melangkah keluar daripada restoran tersebut dan berlalu pergi.

Kepala Mylia kebas. Dia tidak dapat memikirkan apa-apa pun waktu itu. Dia dapat rasa yang kepalanya begitu sarat dengan persoalan tetapi satu pun dia tak dapat butirkan. Dia tahu kepalanya tengah serabut, tetapi dia sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Yang dia tahu, dia mahu segera masuk ke biliknya dan tidur.

Tetapi mana mungkin dia dapat melelapkan matanya saat itu. Kepalanya terlalu sarat. Tiba-tiba telefonnya berbunyi.

“Hello, umi.” Pasti adik-adiknya telah membuat liputan awal kepada uminya.

“Hello, kak long okay tak ni?” soal Puan Hamidah. Tepat jangkaan Mylia. Tak perlulah lagi dia nak cerita panjang-panjang.

“Okay. Eloklah kita tahu awal-awal. Kalau dah kahwin baru tahu, lagi teruk kan?” kata Mylia cuba meyakinkan ibunya.

Hati ibu cukup mengenali anaknya. Dia tak mungkin semudah itu percaya dengan lakonan anak sulungnya itu. Dia tahu anak itu sentiasa berlagak kuat. Egonya terlalu tinggi untuk memperlihatkan kelemahannya di hadapan orang lain.

Sebagaimana dia tahu serapuh mana hati anaknya itu, dia juga tahu yang dia tak perlu untuk mencalarkan juga ego Mylia. Biarlah dia bertenang terlebih dahulu.

“Baguslah kalau kak long berfikiran macam itu. Umi sokong apa sahaja keputusan kak long. Hanya orang yang baik-baik sahaja untuk orang yang baik-baik juga. Kak long jangan bimbang, ya. Umi dan abi sentiasa menyokong kak long.” Kata Puan Hamidah cuba memberikan kekuatan dan sokongan moral seboleh mungkin.

“Terima kasih, umi. Kak long sayangkan umi dan abi.” Kata Mylia kepada uminya. Ada air mata yang mengalir laju dari matanya.

Tiba-tiba ada ketukan di pintu bilik motelnya. Adik-adiknya pulang bersama bungkusan-bungkusan pizza di tangan.

“Umi, adik-adik dah balik. Kak long nak makan kejap boleh?” mohon Mylia dengan hormat.

“Okay, kak long. Ada apa-apa masalah, call umi yer.” Pesan Puan Hamidah. Sedih sungguh hati seorang ibu apabila mengetahui anaknya dipermainkan sebegitu rupa. Mujur dia tidak berada di situ. Kalau tidak, memang riuh rendah jadinya.

Mysha dan Marya meletakkan makanan-makanan itu di lantai dan mereka mula duduk mengelilingi makanan tersebut.

“Kak long okay?” soal Marya kepada kakaknya. Berkerut-kerut kening Marya. Risaukan keadaan kak longnya dan risau juga kalau-kalau dia di marah sebab bertanya begitu.

“Okay jer. Kak long tak rugi apa-apa pun. kak long bersyukur Allah nak tunjuk perangai buruk dia yang sebenar tu sekarang sebelum dia jadi suami kak long. Kalau tak, lagi haru.”

Mysha dan Marya memandang wajah Mylia. Mencari ketulusan dalam ayat-ayat yang diungkapnya sebentar tadi. Tiada seurat sedih pun diwajah Mylia. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain.

“Okay, kalau dah kak long cakap macam tu, kami adik-adik kesayangan kak long akan sentiasa menyokong kak long!” kata Mysha dengan penuh bersemangat.

“Tadi, korang berdiri terpacak macam tengah nyanyi lagu Negaraku. Sekarang, kak ngah baca ikrar pula. Rindu assembly sekolah ke apa ni?” soal Mylia berseloroh. Marya sudah ketawa kuat.

Terus sahaja mereka menerjah semua makanan-makanan lazat di hadapan mereka. Marya memasang program permainan Korea kegemarannya di telefon bimbit dan meletakkan di atas katil agar semua yang ada di situ dapat menonton bersama-sama. Mereka makan sambil ketawa berdekah-dekah bersama.

‘Bijak juga adik aku ni pilih rancangan. Orang hati batu je yang tengok Running Man tak gelak.’ Fikir Mysha. Sesekali dia memandang bahasa tubuh kakaknya. Sekeping pizza itu pun berkurun dia nak habiskan. Sedikit-sedikit digigitnya bagaikan seekor tikus.

Mysha tahu isi hati Mylia. Dia tahu betapa Mylia memendam segala rasa marah, kecewa, sakit dan lain-lain lagi.

‘Anak sulung memang kepala batu macam kak long ke eh? Kalau dia nangis pun, apa masalahnya? Kalau aku, dari tadi lagi aku mengamuk. Kurang-kurang, aku simbah je air soda tu atas kepala dua-dua ekor tak guna tu. Puas hati.’

Selesai mereka makan, jam sudah pun menunjukkan pukul 7:30 petang. Mysha mahukan sesuatu yang boleh menenggelamkan kenangan malam ini. Dia mencapai telefon tangannya dan mula mencari jadual tayangan filem di panggung wayang terdekat. Dia bernasib baik kerana ada cerita komedi seram yang ditayangkan. Sesuai untuk kak longnya.

“Kak Long, jom kita layan midnight malam ni nak?” cadang Mysha.

“Nak! Cerita apa, kak ngah?” Marya yang terlebih dahulu memberikan respon. Memang sedikit pun mereka tak hairan.

“Sibuk jer lah, dia tu. Hish!” Mysha suka sungguh menyakat adiknya itu. Dah kalau dia dan Mylia keluar menonton wayang, takkan lah Marya nak ditinggalkan sendirian di motel.

“Jom la, kak long! Jom la! Boleh kita shopping jugak kan? Adik nak cari perfume.” Pantas sungguh Marya merancang kalau bab-bab berbelanja ni. Mentang-menatang bukan duit dia yang nak keluar kejap lagi.

“Kalau dah nak shopping bagai, jom lah gerak sekarang. Pergi Jama’ Taqdim sekarang. Nanti balik dah lewat sangat. Boleh terus tidur.” Kata Mylia memberi arahan kepada adik-adiknya.

“Yeay!!! Adik masuk toilet dulu!” kata Marya sambil bangun mencapai tuala dengan pantas sekali. Dia tidak mahu kehilangan masa sedikit pun.

“Bab nak pow orang, lajuuuu je dia.” Kata Mysha sambil menampar kuat peha adiknya itu.

“Ad… doi!!!” jerit Marya sekuat hati.

Mylia dan Mysha mengemas makanan-makanan mereka tadi. Tidak mahu lantai dipenuhi semut setelah mereka balik dari panggung wayang malam nanti. Lebih kurang jam 8:30 malam, mereka sudah berada di dalam kereta dan menuju ke gedung membeli belah terbesar yang ada di kawasan itu.

“Pasang Waze, Mysha. Kak long ingat-ingat lupa ja ni. Dah la malam-malam ni, lagilah kak long tak perasan sangat.” Mysha menurutkan sahaja permintaan Mylia. Dia mengeluarkan telefonnya.

“Alamak, kak long. 20% saja bateri fon Mysha. Guna fon kak long boleh ker?”

“Ambik dalam beg.” Kata Mylia tanpa menoleh. Memandu di waktu malam di tempat yang dia kurang kenal benar-benar memerlukan lebih tumpuan. Berkerut-kerut kening Mylia mahu mengecam jalan.

Mysha membuka beg tangan Kate Spade merah jambu kepunyaan Mylia dan mencapai telefonnya. Setelah ditekan butang Home, terus sahaja telefon itu terpasang. Langsung tiada sebarang bentuk kunci sekuriti yang terpasang pada telefon itu. Polos sungguh hidup kakaknya.

“Kak long tak letak password langsung kat telefon kak long ni?” soal Mysha kepada Mylia. Jemarinya terus sahaja mencari aplikasi Waze.

“I have nothing to hide. Lain lah korang.” Jawab Mylia sambil menyindir adik-adiknya.

“Kitorang ada our own private life, okay! Orang lain tak payah sibuk-sibuk nak tahu.” balas Mysha.

“Private lah sangat. Kalau dah private, yang pergi letak kat fon tu buat apa?” sangkal Mylia lagi. Mysha sudah malas mahu berlawan. Tak ada satu peluang pun untuk mereka adik-adik menang jika berperang mulut dengan Mylia.

Walaupun Mylia mempamerkan senyuman tanpa henti diwajahnya, Mysha tahu betapa hati gadis itu terluka. Hatinya sedikit lapang apabila Mylia ketawa tanpa henti semasa mereka menonton wayang malam itu. Ternyata pilihannya tepat.

“Assalamualaikum…” Marya yang pertama berlari ke muka pintu sebaik sahaja mereka sampai ke rumah. Pantas sahaja Puan Hamidah berlari mendapatkan mereka. Dia mahu cepat-cepat berjumpa dengan Mylia dan melihat sendiri keadaan anak sulungnya itu setelah apa yang terjadi kelmarin. Encik Baharom yang sedang berehat di ruang tamu rumahnya juga sedikit tersentak dengan kepulangan anak-anak gadisnya.

“Waalaikummussalam…” terus sahaja dia menyambut huluran tangan Marya untuk bersalaman dengannya. Tetapi matanya terus mencari Mylia. Dia melihat Mylia turun dari sisi penumpang kereta, manakala Mysha pula turun dari sisi pemandu. Mungkin mereka bergilir-gilir memandu agaknya. “Kak long kamu okay tak tu?” soal Puan Hamidah perlahan kepada Marya.

“Okay je tu. Tak tau.” jawab Marya kurang bersemangat. Masih mamai lagi setelah terjaga dengan tiba-tiba sekejap tadi.

“Kamu ni asyik tidur je dalam kereta.” Kata Puan Hamidah kepada Marya yang sudah merebahkan badannya di sofa panjang.

“Assalamualaikum umi, abi.” Sapa Mylia kepada kedua orang tuanya itu. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan mereka.

“Waalaikummussalam. Kamu okay tak ni?” terus sahaja Puan Hamidah merangkul bahu anaknya dan membawa anak itu untuk duduk di sofa bersama dia dan suaminya.

“Mylia okay je, umi.” Jawab Mylia yang duduk di sebelahnya. Dia terperasan yang jari Mylia sudah kosong tanpa cincin pertunangannya itu lagi. Sayu pula hatinya waktu itu.

“Abi dan telefon ayah Sufian pagi tadi. Abi dah cerita semuanya.” Kata Encik Baharom. Terkejut juga Mylia. Tak sangka mereka bertindak sepantas itu.

“Apa katanya, abi?” soal Mylia kembali.

“Dia tak percayalah yang anaknya boleh buat macam tu. Dia minta kita bersabar. Dia nak dengar cerita anaknya pula.” terang Encik Baharom.

“Habis, apa abi cakap?”

“Abi percayakan anak-anak abi. Tak mungkin anak-anak abi nak mereka-reka cerita seperti itu. Ketiga-tiga anak abi ada di tempat kejadian. Abi bagi tahu yang urusan mereka dengan kita sudah selesai. Cincin pun Mylia dah pulangkan. Sekarang, mereka selesaikanlah urusan mereka sendiri. Abi pun sebenarnya rimas dengan sikap sambil lewa Sufian tu. Sepatutnya dah lama dia tamatkan study dia. Sekarang buat diploma pun bertangguh-tangguh lagi.” Jawab Encik Baharom panjang lebar.

Mylia bersyukur dengan apa yang diucapkan oleh abinya itu. Semakin kuat semangatnya untuk meneruskan hidup tanpa Sufian.

“Mylia tak payah nak sedih-sedih dengan Sufian tu. Budak tu memang tak pandai nak hargai Mylia. Kalau ya, dah lama dia usaha untuk percepatkan majlis kamu berdua. Nampak sangat dia belum matang dan tak ada tanggungjawab. Entah bagaimana bila dia jadi suami nanti.”

Puan Hamidah pula cuba menenteramkan hati anaknya itu. Tetapi, ayatnya selepas itu membuatkan Mylia sedikit resah. “Mylia terima sahaja anak kawan baik umi tu ya? Umi yakin Mylia akan hidup happy dengan Luqman.”

“Luqman mana pula ni? Hal yang ini pun baru nak selesai, dah ada calon baru?” Encik Baharom terpinga.

Share this novel

ciknana
2020-05-17 06:53:14 

amy.. yg last tu amy tulis encik ibrahim lah.. bkn encik baharom


NovelPlus Premium

The best ads free experience