~ 45 ~

Romance Completed 13901

Gamat sungguh suasana di rumah Ramlah petang itu. Lebih kurang jam 6 petang, Hamidah dan Baharom serta 2 orang lagi anak gadis mereka, Misya dan Marya tiba di rumah Ramlah.

Seperti yang mereka rancang, Mylia lebih banyak memerap di dapur. Jika terdesak sangat, barulah dia keluar ke halaman rumah. Begitu juga Luqman. Sentiasa mencari kerja dan alasan untuk kekal di luar.

Pada waktu Maghrib, mereka semua solat berjemaah beramai-ramai di ruang tamu. Semua sofa ditolak ketepi memberikan satu ruang yang luas untuk mereka solat.

Selesai solat, mereka semua pakat berkumpul di halaman rumah untuk menjamu selera. Mentol-mentol kecil dipasang mengelilingi kawasan membuatkan rumah mereka terang-benderang. Sedang mereka asyik menjamu selera, mata Luqman terpandang cahaya lampu kereta yang berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar rumah sebelah.

‘Pandai sungguh mamat ni timing. Macam tau-tau saja.’ Bentak hati Luqman. Dia mula diserang angin cemburu. Pantas sekali dia mencari susuk tubuh isterinya tetapi tidak kelihatan.

“Mika… baru sampai ke?” tiba-tiba suara Ramlah memecah suasana. Luqman mula mencuka kerana dia begitu pasti yang Ramlah pasti akan mengajak anak muda itu turut serta.

“Tak jugak. Dah sampai awal lagi tapi banyak menyinggah. Meriah rumah malam ni.” Sapa Mikail hormat.

“Ada makan-makan sikit. Mana mama Mika? Ikut sekali?” soal Ramlah lagi.

“Ada ni. Sekejap saya panggilkan.” Jawab Mikail seraya berjalan menuju ke kereta memanggil Suraya.

“Su! Marilah singgah rumah dulu. Ramai ni. Saja buat makan-makan sikit anak beranak.” Pelawa Ramlah. Saat itu, Mylia baru sahaja melangkah keluar daripada pintu rumahnya sambil membawa sedulang perapan ayam untuk dibakar. Gusar hatinya tiba-tiba apabila melihat kehadiran Mikail di situ. Segera dia mencari wajah Luqman. Seperti dijangka, lelaki itu mencuka.

“Ish… buat kacau saja program Ram anak-beranak. Tak payahlah.” Segan pula Suraya hendak turut serta dalam keluarga besar Ramlah itu.

“Allah bukannya Su tak kenal semua orang kat sini. Jom! Jom! Mika… jom masuk makan.” Pelawa Ramlah bersungguh.

“Saya park kereta dulu ya.” beritahu Mikail kepada Ramlah.

“Ha, iya lah. Jom Su. Sembang-sembang sambil makan-makan.” Kata Ramlah sambil menarik perlahan tangan Suraya masuk ke dalam kawasan rumahnya.

Mylia tahu pasti suaminya tidak menyenangi kehadiran Mikail di situ. Pantas sahaja dia pergi merapati Luqman.

“Abang… ni ayam.” Kata Mylia lembut. Luqman hanya memandang dengan ekor matanya sahaja. Setelah ayam diletakkan di atas meja berhampiran, terus sahaja Mylia merapati Luqman. Di tangannya terdapat segelas air sirap. Mylia harap ia dapat menyejukkan sedikit hati suaminya.

“Abang nak air?” Mylia menghulurkan air di tangan kanannya sambil tangan kirinya sengaja merangkul lengan Luqman. Matanya memandang tepat ke mata Luqman. Dia hanya ingin menenteramkan hati Luqman. Dia boleh mengagak perasaan suaminya saat itu.

Luqman hanya menatap kembali pandangan mata Mylia kepadanya. Dia cuba mentafsir maksud tersirat daripada layanan Mylia yang tiba-tiba mesra.

“Awak cuba nak bagi dia cemburu ke?” soal Luqman sambil menyambut air ditangan dan menghirupnya. Sememangnya dia begitu dahaga dek kerana asyik bermain api sejak petang tadi lagi.

“Tak… saya tak nak abang cemburu. I am here with you. Not anywhere else.” Jawab Mylia jujur.

“For now.” Sambung Luqman perlahan.

“For as long as u need me to be here.” Jawab Mylia kembali. Jawapan itu begitu menarik perhatian Luqman. Dia memandang wajah Mylia tanpa kelip. Cuba mencari keikhlasan dan mencari kepastian daripada kata-kata isterinya itu. Mylia hanya tersenyum lembut kepada Luqman. Dia sudah berpuas hati. Lantas satu kucupan hinggap di ubun kepala Mylia.

‘Ya Allah, abang rindukan Mylia.’ Bisik hatinya. Luqman meneruskan kerja-kerja membakar di situ dan Mylia sekejap pun tidak meninggalkan Luqman sendirian.

Dari kejauhan, Mikail hanya tersenyum kelat melihat telatah pasangan suami isteri itu. Mungkin ini adalah titik nokhtah kepada pengharapan dia terhadap Mylia. Selepas itu, dia langsung tidak memandang lagi kepada mereka. Dia hanya duduk bersama Baharom dan Latiff sambil berbual-bual kosong. Selesai makan, dia dan ibunya Suraya meminta diri untuk pulang ke rumah kerana sudah sehari suntuk mereka bermusafir.

Lebih kurang jam 11 barulah mereka mula berkemas. Baharom dan Hamidah sudah beransur pulang lebih kurang jam 10 tadi lagi.

“Saya bawa anak-anak naik tidur dulu ya.” kata Mylia kepada Luqman.

“Okay sayang.” Luqman masih lagi tekun mengemas segala peralatan yagn digunakan untuk membakar tadi.

“Abang, kita sambung kemas esok saja lah. Malam-malam ni bukannya nampak sangat kita cuci ni bersih ke tidak.” Pinta Latiff. Yang sebetulnya dia sudah begitu keletihan. Luqman hanya menurutkan sahaja. Dia duduk berehat sebentar di luar sambil mengeringkan badan yang basah berpeluh.

Terngiang-ngiang ucapan Mylia sebentar tadi… For as long as u need me here… ‘I really need you in my life, sayang. Just don’t you leave me too.’ Bisik hati Luqman. Dia tidak sanggup kehilangan seorang lagi isteri.

Sebelum ini hatinya begitu merana meneruskan hidup tanpa Aisyah. Sekarang dia sedar yang kehadiran Mylia sedikit sebanyak telah mengembalikan keceriaan yang dianggapnya telah lama mati. Dia tidak sanggup lagi untuk mengalami pengalaman seperti itu buat kali kedua. Dia tidak cukup kuat.

Hampir jam 1 pagi baru Luqman naik ke biliknya. Mylia baru sahaja selesai mandi dan solat Isyak. Tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut mereka. Mereka sama-sama keletihan. Luqman pantas mencapai tuala dan terus menuju ke bilik air. Tanpa menunggu, Mylia terlebih dahulu memanjat ke atas katil dan merebahkan badannya. Terasa lega urat-sarafnya dapat berbaring dengan selesa.

Selesai solat, Luqman memandang ke arah Mylia yang sedang mengiring mengadap ke tingkap. Dia memadamkan lampu kamarnya dan terus melabuhkan badannya di sebelah Mylia dan cuba menjengah ke wajah Mylia.

“Sayang dah tidur?” soal Luqman lembut.

“Belum.” Jawab Mylia perlahan.

“Boleh tak kalau abang nak minta izin nak peluk sayang malam ni?” permintaan Luqman walaupun dalam nada yang sungguh lembut telah menggegarkan seluruh jiwa dan raga Mylia. Dia tidak memberikan sebarang respon.

“Nak peluk saja. Abang janji.” Sambung Luqman lagi. Biarlah Mylia nak fikir betapa teruknya dia terpaksa menagih kasih sang isteri. Dia tak kisah. Dia sangat rindukan Mylia.

Mylia langsung tidak memberi respon. Ya tidak, tidak pun tidak. Luqman memberanikan diri perlahan-lahan merangkul pinggang Mylia dan menarik Mylia rapat ke badannya. Sekali lagi, Mylia tidak membantah. Alangkah gembiranya hati Luqman. Dalam keletihan, Luqman tidur senyenyaknya malam itu ditemani kehangatan dan keharuman badan sang isteri.

Berbeza sungguh dengan apa yang berlaku pada jiran mereka di rumah sebelah. Mikail berhempas pulas untuk memaksa dirinya tidur. Tetapi kepalanya begitu sarat dengan fikiran tentang Mylia.

“Ya Allah… Apa masalah aku ni? Sudah-sudahlah dengan Mylia. Move on!” dia berperang sendirian.

Dia sendiri telah menyaksikan kebahagiaan Mylia sekarang bersama Luqman. Untuk apa lagi harus dia tangisi? Jika benar cintanya pada Mylia ikhlas, dia sepatutnya gembira melihat buah hatinya itu bahagia walaupun bukan dengan dirinya. Mungkin sudah tiba waktunya dia perlu fikirkan tentang masa depan dirinya sendiri saat ini. Bukan lagi Mylia.

Itu bicara akalnya. Bicara fikirannya. Bicara logiknya. Tetapi hatinya tidak selogik akalnya. Hatinya tidak mampu menerima fakta itu dengan sebegitu mudah. Hatinya menolak mentah-mentah fakta itu tanpa mahu menganalisa keadaan walau sedikit pun. Hatinya tidak mahu mengalah dan berserah.

“Mungkin benar cakap mama. Aku perlu mencari jodohku sendiri. Dan jodohku bukan Mylia.” Mikail bercakap sendirian. Biar setiap bait perkataan itu diucapkan secara Zahir dan butir suaranya meresap kembali masuk ke telinga untuk dihadam sebaik-baiknya. Entah jam berapa baru Mikail terlena.

Keesokkan harinya, rumah Ramlah sekali lagi riuh rendah dengan suara anak menantu dan cucu-cucunya mengemas rumah agar kembali bersih seperti sedia kala. Di sebelah petangnya, seorang demi seorang anak-anak Ramlah kembali pulang ke rumah mereka.

“Kau tak ke kedai malam ni, Luqman?” soal Ramlah.

“Tak mak. Man bagitau dekat staff hari ni cuti gaji jalan. Rasa letih tak habis lagi.” Adu Luqman kepada Ramlah.

“Biasalah. Kalau dah main dengan api dari petang sampai ke malam, memang lah letih badan tu. Panas bahang api tu buat kita berganda-ganda letih. Esok Mylia dan start kerja macam biasa?”

“Ya mak. Esok dah kerja.” Jawab Luqman. Mylia berada di atas sedang menyiapkan pakaian-pakaian sekolah anak-anak untuk seminggu. Memang begitulah rutin Mylia di hujung minggu.

“Dah baik dah luka tangan dia tu?” soal Ramlah lagi.

“Dah okay banyak dah tu, mak. InshaaAllah.” Jawab Luqman ringkas.

“Tapi tetap kena jaga betul-betul tu. Jangan berlasak sangat.” Pesan Ramlah. Luqman hanya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang reaksi. “Kau dah cari ubat parut untuk dia?” soal Ramlah lagi.

“Dah. Man beli kat farmasi.” Jawab Luqman.

“Pastikan dia sapu ubat tu selalu. Bagi cepat-cepat pudar parut tu. Besar betul.” Pesan Ramlah lagi.

“Iyer mak. Kalau dia tak nak sapu, nanti Man yang sapukan yer.” Ucap Luqman kepada Ramlah. Ada nada sindiran dalam jawapan Luqman.

“Sindir mak ke? Mak pesan saja. Kau orang lelaki memang lah tak kisah sangat bab-bab tu. Orang perempuan ni lain.” Balas Ramlah. Luqman terus tersenyum nipis.

“Dia isteri Man, mak. Mestilah Man kisah kalau badan dia berparut. Yang nak tengok tu nanti Man jugak kan?” jawab Luqman cuba menenteramkan Ramlah yang seolah terlalu risaukan Mylia.

“Hurm. Malas mak nak komen bab tu. Kejap macam suami isteri, kejap lagi pula dah macam musuh perang.” Ramlah memulang paku buah keras. Luqman terdiam sejenak. Ramlah perasan perubahan wajah Luqman. Dia biarkan anak sulungnya itu tenggelam dalam fikirannya.

“Man dah sayangkan dia mak.” Tiba-tiba Luqman bersuara. Terkejut juga Ramlah kerana pada pandangan matanya Luqman kelihatan begitu jujur.

“Dah tu? Dia dah tak nak kat kau ke?” soal Ramlah kembali.

“Bukan macam tu.” Luqman cuba menjelaskan keadaan. Dia terdiam sejenak cuba mengatur ayat terbaik buat Ramlah. “Ada masanya mungkin Man masih lagi menyebut-nyebut nama Aisyah. Mungkin pada masa yang tak sesuai. Mylia kata dia kecil hati.” Katanya.

Kali ini Ramlah pula yang terdiam. Dia sendiri tak tahu apa yang perlu dia perkatakan. Serba salah jadinya. Dia arif benar betapa kuatnya perasaan Luqman pada Aisyah. Tapi dia tidak berapa yakin sejauh mana kasih sayang Luqman kepada Mylia.

“Entahlah Man. Kau kena fikir habis-habis dan buat yang terbaik yang kau mampu. Umpama kita menarik rambut dalam tepung. Jangan sampai rambut putus, jangan biar tepung berterabur.” Pesan Ramlah lagi.

“Ibu, hari ni Jasmin nak pergi sekolah dengan ibu boleh?” soal Jasmin keesokkan paginya ketika mereka sedang bersarapan semeja.

“Tak boleh sayang. Ibu dah kena kerja dah hari ni. Jasmin pergi dengan abi ya?” pujuk Mylia.

“Alaaa… ibu dah habis cuti dah?” soal Jasmin lagi.

“Dah habis dah. Dah kena pergi kerja balik dah.” Terang Mylia.

“Ermmmm…” Jasmin menarik muncung panjang.

“Kenapa? Tak nak pergi sekolah dengan abi ke?” soal Luqman kepada Jasmin.

“Nak…” Jawab Jasmin perlahan-lahan. Luqman hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Manja sungguh dia dengan Mylia.

“Assalamualaikum…” ucap Mylia dengan kuat sebaik sahaja dia membuka pintu pejabatnya. Raisya dan Borhan mengangkat pandangan mereka dan terus memandang ke pintu pejabat dengan wajah yang begitu ceria.

“Wahhhh… orang sakit dah masuk kerja!!!” Jerit Raisya dengan kuat sekali. Terus sahaja dia bangun berlari dan memeluk kuat tubuh Mylia.

“Mengada sungguh eh? Macam dah lama sangat tak jumpa. Padahal baru dua hari lepas.

Mereka terus berjalan beriringan menuju ke meja. Setelah dia meletakkan beg, dia memandang timbunan kertas dan fail di atas mejanya.

“Macam mana persediaan kau so far?” soal Mylia kepada Raisya sambil tangannya mula membelek satu persatu fail dan dokumen di atas mejanya.

“Kau nak tau tak…” dengan permulaan ayat itu, Raisya mula mengomel tentang segala persediaan yang telah, yang sedang dan yang akan dia dan Borhan buat sempena majlis mereka yang tak sampai sebulan dari sekarang.

“Kau dengar tak ni?” sergah Raisya apabila Mylia langsung tidak memberi respon kepada cerita-ceritanya.

“Dengar… kau cerita jer lah. Aku boleh dengar…”

“Katering aku tu pula, aku minta dia buat meja makan aku tu letak kerusi dua jer. Asing dari orang lain. Mak ayah aku dengan mak ayah Borhan buat satu lagi meja asing…” sekali lagi Mylia tidak memberi respon.

“Wei! Mylia. Kau tak dengar pun aku cerita. Malas lah macam ni.” Raisya sudah menjeruk. Kecewa pun ya. Sahabat di sebelahnya langsung tidak berminat dengan cerita-ceritanya tadi.

“Aku dengar je la. Kau nak meja makan kau berdua je kat atas stage tu. Tak nak orang kacau terpaling privacy.” Balas Mylia mempertahankan dirinya bahawa dia masih boleh memberikan tumpuan kepada butir bicara Raisya.

Borhan tergelak kecil melihat keletah kedua-dua wanita di hadapannya.

“Tengoklah tu, Izzy. Baru jumpa berapa minit, sudah berperang macam nak pecah bangunan ni.” Makin kuat ketawa Borhan. Eliza juga turut tersengeh. Ada betulnya juga cakap Borhan. Sejak Mylia melangkah masuk pejabat sekejap tadi, tak berhenti-henti mereka bercakap. Kuat pula tu.

“Amboi, An. Kutuk depan nampak.” Bantah Mylia. Matanya dikecilkan sedikit dan memandang tepat ke mata Borhan.

“Amboi, garang. Sejak-sejak kena toreh dengan besi ni, makin garang.” Usik Borhan lagi.

“Kau jangan main-main. Aku sekarang ni dah jadi Terminator tau. Kalau kelar ni bukan darah merah yang keluar tau… darah warna silver… besi cair yang keluar.” Cerita Mylia menambah-nambah. Berdekah-dekah ketawa Raisya, Borhan dan Eliza.

“Ganaslah kau sekarang. Dahsyat. Ini kalau Mikail ada ni, memang berguling dia kat lantai dengar penjelasan kau ni. Mylia the Terminator!” berderai lagi ketawa mereka semua.

Terlalu lama Mikail wujud dalam komuniti mereka. Pastinya cukup payah untuk membuang nama lelaki itu daripada cerita-cerita mereka. Tiba-tiba ayat Luqman bergema kuat di minda Mylia.

‘Kalau tak disebabkan abang, mesti Mylia dah happy dengan Mikail sekarang.’ Berkali-kali ayat itu berulang. Reda terus ketawa besar Mylia sebentar tadi.

Tiba-tiba matanya terpandang sehelai memo yang tersusun di celah-celah timbunan fail dan dokumen. Mylia mengangkat memo tersebut tinggi merapat ke mata dan membacanya beberapa kali.

“Aku kena pergi kursus lah wei.” Mylia mengumumkan berita itu kepada semua. Semua mata menuju ke arahnya.

“Bila?” soal Raisya.

“Esok mula.” Jawab Mylia pendek.

“Berapa lama? Kat mana?” soal Raisya lagi.

“Dua minggu di Sabah.” Terbuntang biji mata Mylia apabila dia tersedar tentang fakta itu. Betapa lamanya kursus itu dan jauhnya tempat itu.

“Lamanya. Kursus apa? Meh sini aku tengok surat tu.” Kata Raisya sambil merampas kertas di tangan Mylia.

“Nasib kau lah babe!” kata Raisya setelah membaca memo itu seketika.

“Aduhai… baruuuu masuk office dah nak kena pergi kursus pulak.” Rungut Mylia. “Pergi seorang pulak tu.” Mylia mencebek muka.

“Alah… kau ajak la encik suami hot kau tu pergi sekali.” Usik Raisya.

“Anak-anak dia siapa nak urus? Bisnes dia siapa nak tengok?” balas Mylia.

“Aah, lupa pula bab tu. Kalau kerja makan gaji makan kita, boleh la jugak apply cuti. Hehehe.” Raisya menayang gigi putihnya yang cantik tersusun.

“Pergi seorang lah jawabnya…” sampuk Borhan.

“Hurmmm…” Mylia melepaskan nafas panjang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience