Mendengar ucapan dari mulut Mikail sendiri, Hamidah membuang jauh-jauh syak wasangkanya sebelum ini. Walaupun di hatinya berat mengatakan yang antara Mylia dan Mikail ada satu pertalian yang kuat, tetapi dia menafikannya.
“Makcik, saya minta diri dulu lah ya. Nak terus ke office je ni. Lagi pun pagi tadi, saya just mention mulut je. Tak sempat isi borang keluar lagi.” kata Mikail meminta diri dengan hormat kepada Hamidah. Hamidah dan Baharom menghantar Mikail ke muka pintu. Tak henti-henti mereka mengucapkan terima kasih kepada anak muda itu.
Sebaik sahaja dia menggerakkan keretanya, Mikail mula berbual-bual sendirian.
“Melepaslah kau, Mika… nak tunggu sangat kan… padan muka kau… jangan kata setahun, sebulan, sehari pun tak guna. Dia tetap bukan jodoh kau, Mika. Move on jer lah!” Mikail terpaksa menelan khabar duka itu dengan pasrah. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia yakin benar perancangan ini adalah daripada ibu dan ayah Mylia. Jadi dia rasa amat tidak sesuai untuknya untuk terus merebut cinta hatinya itu. Dia amat menghormati orang tua. Baginya, restu orang tua adalah resepi paling utama untuk kehidupan yang lebih bahagia.
Mylia masih lagi terduduk di atas sofa rumahnya sewaktu Mikail keluar. Selepas kelibat Mikail hilang daripada pandangan, Hamidah menarik tangan suaminya untuk berbual dengan Mylia buat kali terakhir sebelum dia benar-benar berbincang dengan Ramlah tentang majlis yang seterusnya.
“Mylia, cuba Mylia cerita kat umi betul-betul. Kamu dengan Mikail tu ada apa-apa ker?” soal Hamidah dengan bersungguh-sungguh.
“Tak ada lah, umi. Kan tadi Mika sendiri dah bagi tahu umi.” Jawab Mylia acuh atak acuh. Matanya dipejamkan.
“Kalau macam tu, ibu nak tanya lagi sekali dengan kamu. Kamu boleh terima Luqman menjadi isteri kamu?” Hamidah benar-benar memerlukan satu pengakuan yang jelas dan tegas daripada Mylia. Mylia berdiam seketika sebelum memberikan jawapannya. Dia teringat ucapan Mikail sebentar tadi. Jauh di sudut hatinya, dia berharap Mikail akan meluahkan keinginannnya untuk memilik Mylia. Tetapi sayangnya, Mikail hanya memberikan ucapan tahniah. Barangkali, dia sahaja yang perasan Mikail menyukainya, sedangkan Mikail menganggapnya tak lebih daripada rakan sekerja.
“boleh, umi.” Jawab Mylia dengan lemah. “Umi rancanglah majlisnya. Nanti bagi tau Mylia. Mylia nak apply cuti.” Begitu bersahaja nada suaranya. Malah segala urusan majlis perkahwinannya diserahkan bulat-bulat kepada Hamidah. Langsung tiada minat untuk dia fikirkan. Sungguh berbeza dengan anak-anak gadis yang lain disaat mereka bakal menjadi raja sehari. Majlis tersebut pastilah benar-benar mengikut citarasa mereka. Selepas memberikan lampu hijau kepada uminya, Mylia melangkah naik ke biliknya untuk berehat. Dia sudah tak berdaya untuk berfikir.
Hamidah pantas mencapai telefonyya. Dia segera menelefon Ramlah.
“Assalamualaikum, Midah…” sapa Ramlah menjawab panggilan telefon daripada sahabatnya.
“Waalaikummussalam. Maaf Ram, aku busy sikit pagi tadi. Tak sempat nak jawab panggilan kau tadi. Ada apa kau telefon aku tadi?” soal Hamidah terlebih dahulu sebelum dia memulakan perbincangan mereka tentang urusan-urusan Mylia dan Luqman.
“aku saja nak sembang dengan kau. Nak tanya, bila kita nak mula. Dah dua-dua orang dah setuju dah kan. Jom lah kita cepatkan urusan.” Kata Ramlah.
“Aku setuju juga tu. Kami ni pihak perempuan, tunggu aje kedatangan pihak lelaki. Macam kata Luqman semalam tu aku setuju sangatlah. Biarlah kami buat majlis yang sempurna di pihak kami. Ini majlis perkahwinan keluarga aku yang pertama. Kalau boleh tu aku nak lah merasa majlis yang sempurna.” Hamidah berkata panjang lebar kepada sahabatnya. Sebagai ibu bapa, pastinya dia juga ada memasang angan-angan tentang majlis perkahwinan anak-anaknya nanti.
“Kalau macam tu, bila yang sesuai untuk kami datang merisik?” soal Ramlah berterus-terang.
“Hujung minggu aku rasa sesuai aje mana-mana pun. Yang ini kita nak bincang kita-kita saja.” Balas Hamidah.
“Nanti aku bincang dengan Luqman dan anak-anak yang lain. Nak merisik ni tak perlu pergi ramai-ramai kan? Kita nak bincang tarikh semua, nak mengangkut anak-anak kecik semua tun anti, tak jadi kerja kita.” Saran Ramlah pula.
“Betul tu. Biar yang dewasa-dewasa aje yang datang. Senang kita nak tetap tarikh. Nanti kau bawa la tarikh-tarikh pilihan Luqman. Pilih 2-3 tarikh, boleh kita bandingkan dengan tarikh pilihan Mylia pula.”
“Okay, okay. Nanti aku tanyakan pada si Luqman.” Berbunga-bunga hati Ramlah saat itu. Bagaikan dia pula yang akan berkahwin. Manakan tidak, selepas ini dia ada seorang menantu yang akan tinggal bersama-sama dengannya. Boleh menjadi teman berbual. Ringanlah sedikit kerja-kerjanya di rumah itu. Bolehlah dia memberikan tumpuan lebih untuk amal ibadatnya pula.
Selesai bercakap dengan Hamidah, Ramlah tidak sabar menunggu Luqman pulang untuk makan tengahari. Kalau ikutkan hatinya, sekarnag juga dia mahu hubungi anaknya itu. Tetapi apabila melihat ke jam di dinding, dia rasa biarlah anaknya balik ke rumah terlebih dahulu. Berbincang secara bersemuka lebih sesuai dengan sikap Luqman.
“Man, nanti mak nak pergi merisik Mylia untuk kamu. Jadi kita nak kena prepare la serba sedikit.” Kata Ramlah memulakan bicara semasa mereka berdua berehat-rehat di ruang tamu selepas makan tengahari.
“Okay.” Jawab Luqman sambil matanya melekap di peti televisyen.
“Apa yang okay?” soal Ramlah bengang. Geram pula dengan sikap acuh tak acuh Luqman itu.
“Okay lah. Saya setuju aje dengan apa yang mak rancang.” Jawab Luqman lagi. Dia sememangnya malas untuk ambil tahu tentang urusan majlis tersebut. Kalau ikutkan dia, pergi masjid untuk akad nikah saja sudah memadai. Tetapi dia tidaklah sekejam itu.
“Nak pergi merisik, nak kena bawa cincin tanda jadi. Nak bincang majlis, nak kena ada tarikh. Bila masa yang sesuai nak pergi meminang? Bila masa sesuai nak buat majlis nikah? Semua tu kamu yang kena tetapkan. Mak mana tahu jadual kamu.” Ramlah mula membentak. Susah pula Luqman mahu memberikan kerjasama kepadanya. Sakit hati Ramlah.
“Cincin tu, mak pergilah beli. Nanti saya bagi duit. Berkenaan Tarikh tu, bila-bila pun tak apa. Mak tanya Mylia saja. Saya ikut saja.” Jawab Luqman menutup keresahan hati ibunya itu. Cerah sedikit mendung di wajah Ramlah sebelum ini.
“Kalau macam tu, bila kau nak bawa mak pergi kedai emas?” soal Ramlah kembali teruja.
“Bila-bila mak nak pergi, bagitau saja lah.” Luqman sememangnya malas mahu bertekak dengan ibunya. Dia malas nak fikir. Dia hanya mahukan ketenangan.
“Kalau macam tu, jom pergi sekarang. Kita solat Zohor dan terus gerak. Boleh?” Ramlah sudah pun bangun berdiri untuk bergerak masuk ke bilik.
“Herm…” ringkas sahaja jawapan Luqman. Terus sahaja Luqman bergerak naik ke biliknya. Dia menatap gambar Aisyah lama-lama. Pedih hatinya apabila dia memandang wajah Aisyah.
“Maafkan abang, ya Ecah. Tetapi abang nak Ecah yakin dan percaya, cinta abang hanya untuk Ecah. Perkahwinan abang kali ini hanyalah untuk mak semata-mata.” Terasa matanya hangat lagi. Dia bangun bergerak menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.
* * * * *
Dua minggu selepas itu, Ramlah datang bertandang ke rumah Hamidah bersama-sama adik lelakinya suami isteri dan anak perempuannya, Lyana. Mereka datang dengan membawa sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda persetujuan mereka untuk bernikah.
Setelah perbincangan mesra kedua-dua belah pihak, mereka bersetuju untuk melangsungkan majlis pertunangan dalam tempoh 2 bulan dan majlis pernikahan dalam tempoh 6 bulan selepas bertunang.
Mylia tidak turut serta dalam majlis tersebut. Dia hanya duduk terperuk di dalam biliknya.
‘Betulkah keputusan yang aku buat ni? Betulkah aku nak kahwin dengan Luqman tu? Baru sekali aku berjumpa dengan dia. Dingin sungguh sikap dia. Nanti lepas kahwin, macam tu juga ker dia nak layan aku? Lain sungguh layanan dia kat aku berbanding Mika. Oh, Mylia! Kenapa tak habis-habis nak fikirkan Mikail tu. Dia tu bukannya ada hat ikat kau pun. Memang perangai dia macam tu. Jangan nak perasan yang dia layan kau lebih dari orang lain. Stop berangan, please!’ Mylia melayan perasaannya sambil melontarkan pandangan jauh di luar jendela biliknya.
Tiba-tiba, pintu biliknya di ketuk.
“Mylia…” Hamidah melangkah masuk ke bilik anaknya sambil membawa sebuah kotak berwarna merah di tangannya. Ramlah pula berada tidak jauh di belakang Hamidah.
“Ini cincin pemberian Luqman. Cubalah.” Kata Hamidah sambil menghulurkan kotak tersebut kepada Mylia. Tersenyum manis wajah dua orang sahabat sejati itu.
Mylia mengambil kotak tersebut dan membukanya perlahan-lahan. Sebentuk cincin belah rotan yang berukir corak-corak yang ringkas tetapi menarik. Dia menyarungkan cincin tersebut ke jari manisnya tetapi cincin itu sedikit longgar dengannya.
“Longgar pula ya?” soal Ramlah kepada mereka anak-beranak. “Masa beli hari tu, dah ukur guna jari kelingking Luqman dah.” Tambahnya lagi. Biasa fahaman orang-orang tua zaman dahulu kala, cara nak menentukan saiz cincin bakal isteri adalah dengan menggunakan jari kelingking suami. Itulah caranya dia tentukan cincin untuk menantu keduanya si Aina, isteri Latiff. Tetapi kali ini, tidak menjadi pula teknik itu.
“Alah… tak apa lah longgar sedikit. Badan kita ni makin lama bukannya makin kecik.” Kata Hamidah berseloroh. Hamidah dan Ramlah tertawa bersama. Mylia hanya tersenyum nipis.
“Jom lah, mak balik dulu ya.” Kata Ramlah kepada Mylia. Sengaja dia menukar panggilan Mylia kepadanya. Dalam tempoh 6 bulan akan datang, Mylia akan menjadi menantunya juga. Dia menghulurkan salam kepada Mylia. Mylia menyambutnya dengan penuh sopan. Dia bangun mengiringi Ramlah turun ke bawah dan menghantarnya ke kereta. Di situ juga dia berkenalan dengan adik bungsu Luqman, Lyana.
“Welcome to the family, kak Mylia.” Ucap Lyana kepada Mylia dengan penuh kemesraan.
“Thank you, Lyana.” Mylia cuba untuk tersenyum manis.
Dalam tempoh 6 bulan tersebut, kehidupan Mylia sedikit kusut. Dia terpaksa mengagihkan masanya antara kerjayanya dan majlisnya. Mikail pula sudah tidak serapat dulu dengan Mylia. Mungkin kerana dia sudah menyedari yang Mylia bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi, maka dia memilih untuk menjarakkan sedikit dirinya daripada Mylia demi menjaga hatinya sendiri.
Oleh kerana Mylia sendiri kurang bersemangat untuk melangsungkan majlis tersebut, segalanya ditempah daripada butik pengantin. Tiada yang baru, dia hanya menyewa set-set sedia ada semata-mata. Mana sahaja yang mudah baginya.
“Seronok kak berurusan dengan adik Mylia ni. Simple dan tak banyak kerenah.” Itulah komen yang diberikan oleh Kak Tina, pengusaha butik pengantin yang diupah Mylia. Bukanlah kerana dia tidak cerewet, tetapi mungkin kerana dia tiada jiwa untuk majlisnya itu. Sekadar cukup untuk sebuah majlis itu berlangsung dengan lancar sahaja.
Untuk majlis pertunangan, Mylia hanya memakai kurung moden berwarna turquoise lembut bersama sehelai selendang panjang. Tiada layah, tiada pelamin. Hanya jamuan ringkas untuk tetamu-tetamu daripada pihak lelaki sebanyak 4 buah kereta dan keluarga terdekat umi dan abi Mylia.
Sepanjang tempoh bertunang, Luqman tidak pernah menghubungi Mylia. Segala persediaan dibuat bersama bakal mentuanya. Ramlah ada memberikan nombor telefon Luqman kepada Mylia dan dia hanya menyimpan sepi nombor tersebut di dalam telefonnya. Tidak pernah sekali pun dia menghubungi lelaki tersebut. Tiada langsung sebarang bentuk komunikasi antara mereka berdua. Ada masa Mylia rasa senang begitu. Kehadiran Luqman adakalanya menakutkan Mylia. Tetapi ada juga ketika di mana Mylia mula terfikir bagaimana agaknya kehidupan dia bersama lelaki tersebut di kemudian hari.
“Mylia, kamu dah pilih baju untuk nikah dan kenduri nanti?” soal Hamidah kepada Mylia.
“Belum lagi.” jawab Mylia ringkas.
“Baju tu kalua tak muat, perlu diubah saiznya. Pergilah cepat. Majlis kamu nanti waktu cuti sekolah, kalau tak ditempah awal nanti full pulak.” Rungut Hamidah. Rimas pula dia melihat perangai sambil lewa Mylia.
“Okay.” Malas sungguh Mylia mahu berurusan dengan Luqman. Akhirnya dia mengumpul segala kekuatan yang ada dalam dirinya dan menghantar teks mesej di aplikasi Whatsapp.
[Mylia]
Assalamualaikum.
Bila boleh kita pergi fitting baju?
Sebolehnya dia cuba meringkaskan mesejnya sebaik mungkin. Lagi pula, dia sendiri tidak tahu nama yang perlu dia gunakan untuk memanggil Luqman. Beberapa minit selepas itu, jawapan balas Luqman pun diterima.
[Luqman]
Esok, lunchtime. Share location.
Ringkas sahaja mesej daripada Luqman. Mylia terima mesej tersebut tanpa perasaan.
Lebih kurang jam 1:10 tengahari esoknya, Mylia pergi ke butik Kak Tina dan terus menghantar tag lokasi kepada Luqman. Sementara menunggu Luqman sampai, Mylia membelek album koleksi persalinan yang ada di situ.
“Bila tarikh nikah dan kahwin sebelah Mylia?” soal Kak Tina sambil memegang buku Planner hitamnya.
“Nikah 10 Oktober, kenduri 11 Oktober.” Jawab Mylia ringkas. Tina membelek-belek kalendar di dalam bukunya.
“Okay… untuk bulan Oktober, baju yang tagging kuning tu dah ada booking tau. Warna lain tu maknanya okay je lah. Tagging kuning jer jangan pilih okay.” Pesan Tina kepada Mylia. Dia suka menggunakan sistem warna untuk menguruskan stok persalinan dan pelamin miliknya. Mudah untuk dia rujuk nanti.
“Kamu berminat untuk cari baju yang macam mana?” soal Tina lagi.
“Untuk nikah, kurung putih jer. Untuk sanding, kita tunggu pasangan saya datang boleh?” soal Mylia kepada Tina.
“Boleh… apa tak boleh plak. Mylia tengok dulu album yang ini. Dalam ni semua baju kurung putih yang Kak Tina ada. Kamu tak nak tempeh baru ker? Memorable lah sikit. Pakai baju ikut citarasa sendiri.” Cadang Tina kepada Mylia.
“Tak nak lah Kak Tina. Nak pakai kejap aje. Lagi pun kalua ambik yg ni, kan lebih glamourous. Harga pun murah.” Jawab Mylia sambil tersengih lebar.
“Okay. Boleh jugak kalau nak yang ni pun. Kamu tengok dari belakang senang, dik. Yang belakang ni kira the latest yang Kak Tina buat lah. Ada yang baru pakai sekali je pun ada. Adik tengoklah ya.” Kata Tina sambil bangun berdiri dan bergerak pergi. Sekarang bukan musim perkahwinan, tetapi ada saja pelanggan yang keluar masuk kedainya untuk memilih dan mencuba pakaian mereka.
Mylia melihat jam di tangan. Sudah lebih 20 minit dia menunggu di situ tetapi Luqman masih belum sampai. Rimas pula Mylia menunggu lama-lama di situ. Seperti yang disarankan oleh Kak Tina, Mylia membuka terus album tersebut ke gambar paling akhir. Baju-baju di mukasurat itu lebih bergaya terkini mengikut trend semasa. Matanya tertangkap pada satu baju kurung moden berwarna latar putih. Kemudian, bahagian kaki baju dan lengan sarat dengan manik dan labuci bertona emas. Nampak ringkas tetapi mewah. Terdapat satu sticker penanda berwarna ungu di bucu gambar tersebut. Itu bermakna, baju itu boleh ditmepah untuk bulan Oktober nanti. Terus sahaja Mylia mengambil senaskah majalah yang ada di situ untuk dijadikan penanda kepada mukasurat tersebut.
“Assalamualaikum.” Tiba-tiba seorang lelaki datang menegur Mylia dari belakang. Mylia pantas menoleh sambil menjawab salam lelaki itu. Mylia dapat melihat ketidaksenangan hati tergambar jelas diwajah Luqman. Dia tahu dia perlu selesaikan dengan cepat supaya mereka dapat segera beredar dari situ.
“Ermmm… minat warna apa?” soal Mylia kekok. Dia tidak tahu apa yang patut dia panggil kepada lelaki itu.
“Hitam.” Jawab Luqman ringkas.
‘Hish, ingat ni funeral ker?’ bentak Mylia sendirian.
“Kalau macam tu, pakai kot je dengan kemeja kelabu. Saya cari baju kelabu.” Jawab Mylia dengan yakin dan tegas. Diakan anak sulung. Apa masalah untuk dia memberikan arahan?
‘Kau datang buat muka toya, sekarang kau layan aku punya toya.’ Bisik hati Mylia. Dia terus mencapai album baju yang ditandanya sebentar tadi dan menyelak ke gambar baju yang dia berkenan sebentar tadi.
“Untuk nikah, saya pakai baju ni. Boleh match dengan baju melayu putih atau gold. Tak pun kuning cair. Ikut suka lah nak yang mana.” Kata Mylia sambil menunjukkan gambar tersebut kepada Luqman seimbas lalu. Kemudian dia terus membawa album tersebut menuju kepada Tina meninggalkan Luqman sendirian.
Terkejut Luqman dengan tindakan Mylia yang agak drastik seperti itu. Terkelu sebentar lidahnya. ‘Macam mana agaknya hidup kami selepas ni? Kutub Utara, Kutub Selatan?’ fikir Luqman. Tetapi dia tidak terlalu bimbang malah dia sedikit bersyikur dengan sikap dingin Mylia terhadapnya. Tak ada perangai manja mahupun gedik-gedik seperti kebanyakkan perempuan sekarang. Dia terus melangkah mengikut jejak Mylia.
“Kak Tina, kami pilih kot hitam dan kemeja grey atau silver. Saya pilih kebaya kelabu. Ada tak Kak Tina?” soal Mylia kepada
“Ada. Sebelah sini. Cuba Mylia tengok. Mana bakal suami?” soal Tina. Kemudian matanya bertembung dengan mata Luqman. Luqman menundukkan sedikit kepalanya menjawab soalan Tina sebentar tadi.
“Okay, kat sini ada kot dan sebelah sini kemeja. Pilih-pilih dulu ya.” Kata Tina sambil menunjukkan rak gantungan yang dipenuhi dengan pelbagai warna dan rekaan kot serta kemeja untuk pengantin lelaki. Dia merasa aura dingin antara kedua-dua bakal mempelai dihadapannya tetapi dia tidak mahu bertanya. Masalah mereka bukan masalah dia. Yang penting, perniagaannya mendapat sambutan.
Mylia yang terlebih dahulu membelek baju-baju sebentar tadi sudah pun menjumpai pilihan yang disenanginya. Sehelai gaun labuh dari material chiffon berwarna kelabu cair yang dijahit beberapa lapisan menjadikan pakaian tersebut begitu menarik hatinya. Dia sukakan rekaan yang ringan dan flowy seperti itu. Pastinya kain-kain juntaian itu nanti akan bergerak lembut apabila dia berjalan.
“Saya nak cuba yang ni, Kak Tina.” Kata Mylia.
“Boleh, sekejap ya. Kak Tina ambikkan.” Kata Tina sambil berlalu pergi. Tidak lama kemudian, dia datang bersama sebatang besi panjang yang biasa digunakannya untuk mengambil baju daripada penyangkut yang tinggi di dinding.
“Fitting room sebelah sana ya.” Tina menunjukkan arah untuk ke bilik persalinan di kedainya. Luqman juga sudah memilih satu kot berwarna kelabu gelap daripada material licin dan berkilat beserta sehelai kemeja putih. Dia turut berjalan menuju ke Kawasan yang ditunjukkan oleh Tina kepada Mylia sebentar tadi.
“Apa kena dengan diorang berdua ni? Kena paksa kahwin ke apa? Masam jer muka dua-dua ornag. Tadi elok je muka dak Mylia tu. Sekarang dah gitu plak rupanya. Tak faham aku dengan diorang ni.” Ujar Tina perlahan sambil memandang Luqman dan Mylia berjalan membelakanginya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
Setelah Luqman selesai memakai pakaian yang diambil sebentar tadi, dia keluar dan menuju ke kawasan yang sedikit lapang di hadapan bilik persalinan itu. Terdapat sebuah cermin besar yang dipasang pada dinding di ruang tersebut. Luqman berdiri di hadapan cermin tersebut. Baju yang dicubanya itu begitu longgar dengan badannya.
“Okay, encik berdiri kejap saya nak tanda ya.” Lincah sahaja Tina memasang jarum-jarum peniti ke baju tersebut agar saiznya betul-betul elok terletak mengikut saiz badan Luqman. “Selesa tak macam ni?” tanya Tina kepada Luqman.
“Okay. Selesa.” Jawab Luqman sambil cuba mengangkat sedikit tangannya ke hadapan dan ke sisi. Dia cuba menggerak-gerakkan badannya untuk memastikan dia mudah bergerak di dalam pakaian tersebut.
Tidak lama kemudian, Mylia pula datang berdiri di sebelah Luqman. Tina sekali lagi memasang jarum-jarum peniti ke pakaian di badan Mylia. Baju tersebut teramat besar berbanding badan Mylia.
Setelah selesai, dia menolak sedikit badan Mylia merapati Luqman.
“Ha… dah siap. Macam mana? Selesa tak?” soal Tina kepada mereka berdua.
“Okay.” Jawab Mylia ringkas.
“Haa… cantik mengantin Kak Tina kali ni. Sama cantik sama segak bakal raja sehari ni.” Kata Tina dengan penuh ceria dan bersemangat.
“Ah, terima kasih…” jawab Tina sambil tersenyum kekok.
Wajah Luqman masih seserius tadi.
Tina menelan liurnya. Pahit.
Share this novel