~ 9 ~

Romance Completed 13901

“Hello, kau dah bangun ke belum tu?” sergah Luqman di hujung telefon.

“Aku dah bangun la. Sebelum Subuh aku dah bangun tau. Engkau tu, solat Subuh ke tak?” balas Aisyah dengan lagak kasar. Tetapi senyumannya tak lekang-lekang sejak melihat nama Luqman muncul di paparan telefonnya.

“Aku ni umat yang taat la… kau untung tau kejap lagi kau jadi bini aku. Kau akan dapat suami soleh. Jadi kau pun kena taat dengan aku. Dah tak boleh nak kasar-kasar macam sekarang dah.” Luqman mengangkat bakulnya sendiri.

“Eleh, engkau suka aku pun pasal aku kasar kan? Habis tu takkan aku nak kena tukar jadi ayu, sopan santun pula? Kau nak bini ayu sopan santun, kau kawin la dengan Siti tu.” Balas Aisyah tidak mahu menyerah kalah.

“Herm… okay jugak cadangan kau tu kan? Aku kawin dengan kau ni pun pasal kau tak laku-laku, lepas ni aku pergi pinang Siti. Kau boleh jadi wakil aku kan?” kata Luqman menyakat.

“Amboi! Majlis kita pun tak selesai lagi dah fikir nak tambah bini.” Marah Aisyah dengan garang. Tiba-tiba pintu bilik Aisyah di ketuk.

“Ecah, yang kau marah-marah sangat ni kenapa? Awal pagi lagi ni. Dah la hari ni nak nikah. Hilang seri muka kau tu karang.” Tegur Zainab, ibu Aisyah. Pening kepala dia mendengar Aisyah bising-bising. Banyak benda yang dia perlu selesaikan pagi itu. Orang kampung akan mula sampai sekejap lagi untuk majlis rewang. Adat di kampung, kenduri-kendara semuanya dibuat bersama-sama secara pakatan.

“Luqman ni mak. Duk menyakat Ecah pagi-pagi.” Adu Aisyah kepada ibunya.

“Hish, kamu berdua ni. Pecah rumah lepas kahwin nanti. Asyik nak bergaduh saja.” Zainab menggeleng-gelengkan kepalanya dan berlalu pergi. Aisyah meletakkan semula telefon ke telinganya. Terdengar jelas ketawa Luqman yang kuat di seberang sana.

“Padan muka kena marah.” Masih bersisa ketawa Luqman itu. Aisyah mencebik bibir. “Ecah, lepas ni kau mana boleh panggil aku Luqman camtu je. Kau kena panggil aku ‘abang’. Kau kena hormat kat aku.” Kata Luqman masih mahu menyakat.

“Tak mau!” terus sahaja dia mematikan panggilan tersebut. Malas mahu melayan karenah Luqman. Banyak lagi persiapan yang perlu dia lakukan. Tidak lama kemudian, satu mesej pendek sampai ke telefon Aisyah.

[Luqman]
Abang tak sabar nak tunggu masanya termeterai hubungan yang halal antara kita. Terima kasih sayang kerana menerima abang dalam hidup sayang. Abang benar-benar bahagia.

Senyuman terukir lebar di wajah Aisyah. Hatinya kini berbunga-bunga. Dia juga amat bahagia saat itu. Tak sabar rasanya untuk dia melayari alam perkahwinan bersama lelaki itu. Entah sejak bila rasa cintanya terhadap Luqman mula berputik. Dia langsung tidak menyedarinya.

[Aisyah]
Terima kasih atas lamaran abang. Aisyah pun benar-benar bahagia.

Sengaja dia menggunakan panggilan ‘abang’ seperti yang dipinta oleh Luqman. Menaip lebih mudah kerana dia hanya berbicara dengan hati. Tetapi untuk berbicara dari mulut, dia agak malu. Biar dia mulakan di situ. Perlahan-lahan dia akan ajar bibirnya mengungkap perkataan itu secara zahir.

Luqman tersenyum riang membaca baris ayat tersebut. Siapa sangka mereka akan ke jinjang pelamin jua akhirnya.

Ketukan di pintu bilik Luqman mematikan anganannya sebentar tadi. Mata yang tertutup rapat membayangkan sejarah hidupnya tadi kini terbuka luas.

“Man, kau tak pergi kedai ke hari ni? Dah pukul 9 ni. Kau tak turun-turun pun lagi.” suara Ramlah kedengaran memanggilnya dari luar.

“Kejap mak.” Luqman bangun dan melangkah malas ke arah pintu biliknya. Sebaik sahaja pintu dibuka, wajah ibunya terbentang di hadapannya.

“Kau tak sihat ke apa hari ni? Dah lambat dah ni. Selalunya jam 8 dah turun sarapan. Puas mak tunggu kau kat bawah.” Soal Ramlah risau.

“Tak ada lah. Sihat je. Cuma letih sikit kot.” Jawab Luqman cuba menenteramkan hati ibunya. Ramlah memandang sekilas ke seluruh bilik Luqman. Bilik itu masih dipenuhi dengan potret-potret Aisyah.

“Mak rasa eloklah kau turunkan gambar-gambar Aisyah ni. Nanti apa pula kata Mylia.” Pesan Ramlah kepada Luqman. Luqman turun berpusing melihat semua gambar di dinding biliknya satu per satu. Lama dia berfikir sebelum menjawab ayat ibunya itu. Berat sungguh hatinya untuk menurunkan gambar-gambar tersebut.

“Nanti Man alih ke bilik Julia dan Jasmin.” Sekurang-kurangnya, dia boleh masuk ke bilik anak-anaknya untuk menatap wajah Aisyah.

“Tak apa ke? Nanti kalau Mylia masuk bilik diorang, macam mana?” soal Ramlah sedikit gusar.

“Habis, takkan Julia dan Jasmin pun tak boleh nak ingat kat umi diorang? Disebabkan dah dapat mak baru, umi mereka dilupakan? Macam tu?” soal Luqman yang sudah sedikit marah. Sakit hati pula apabila dia perlu menyimpan semua gambar Aisyah dari pandangan.

“Hish. Ikut suka kamu lah!” bentak Ramlah dan terus turun ke tingkat bawah. Malas dia mahu melayan perangai Luqman yang asyik marah-marah sekarang ini.

Majlis perkahwinan Luqman dan Mylia akan berlangsung lebih kurang sebulan lagi. Ramlah dan Hamidah sudah mula mengedarkan kad-kad panggilan kepada semua saudara mara dan sahabat handai. Mereka memilih dewan yang agak besar kerana majlis tersebut dibuat sekali gus untuk kedua-dua belah pihak.

Luqman langsung tidak mahu terlibat dalam bab memanggil. Dia serahkan bulat-bulat kepada ibunya. Walau pekerjanya sendiri dia langsung tidak bercerita tentang majlisnya itu. Manakala bagi Mylia, cukuplah rakan-rakan karib dan teman-teman sepejabatnya sahaja yang dijemput. Dia sendiri kurang bersemangat dengan majlisnya itu.

“Nah ni kad kahwin aku. Nanti korang datang lah ya.” Kata Mylia kepada Mikail, Risya dan Borhan. Mereka semua sudah sedia maklum yang Mylia akan berkahwin dalam waktu terdekat itu.

“Wow, cantik gila kad kahwin kau. Eksklusif betul.” Komen Risya. Mikail dan Borhan juga turut membuka kad tersebut. Memang benar kata Risya. Kad keras yang berwarna merah hati bercorak timbul dengan tulisan kilat berwarna emas sangat membangkitkan nilai kemewahan pada kad tersebut. Terukir huruf kaligrafi L&M di tengah-tengah kad tersebut. Pedih hati Mikail tatkala dia merenung kad itu. Dia fikir, seharusnya nama yang tertera di situ adalah namanya.

Mikail memasukkan semula kad itu ke dalam sampulnya dan menyimpan kemas ke dalam beg. Dia kembali memberikan tumpuan kepada kerjanya di atas meja. Sememangnya perangai Mikail sedikit berubah semenjak dia mendapat tahu yang Mylia akan berkahwin. Lebih menyakitkan, lelaki tersebut bukanlah tunang Mylia yang sebelum ini, tetapi anak sahabat uminya yang baru dikenalinya.

Beria dia merancang untuk memberikan sedikit ruang kepada Mylia selepas kejadian dia putus tunang tempoh hari. Rupa-rupanya tindakannya itu menjerat diri sendiri. Baru saja dia mengangankan kehidupannya bersama Mylia, sekelip mata sahaja semuanya hancur. Luluh hatinya seketika.

Mylia menyedari perubahan yang berlaku pada Mikail. Tetapi dia tidak mahu berkata apa-apa. Bukan dia tidak pernah bertanya kepada lelaki itu sebelum ini. Malah ibu bapanya sendiri juga pernah bertanya dengan Mikail. Tetapi dua-dua kali Mikail menafikan. Kalau benar seperti yang dia katakana, kenapa dia perlu berkelakuan aneh seperti sekarang? Mylia kecewa dengan jawapan Mikail. Entah kenapa dia jatuh sayang kepada lelaki itu. Tetapi dia harus tetapkan pendirian. Jika Mikail sendiri mengakui yang mereka hanyalah rakan sekerja, kenapa perlu lagi dia mengharapkan Mikail?

“Mika, petang ni badminton macam biasa tau. Kau dapat join tak?” soal Borhan kepada Mikail.

“Eh, mestilah. Engkau tu yang selalu mengelat. Beria suruh aku bernjanji, last-last, engkau yang ghaib.” Jawab Mikail memulang paku buah keras.

“Alah, baru tiga kali aku tak datang. Itu pun nak ungkit.” Jawab Borhan membela diri.

Lebih kurang jam 8:30 malam barulah Mikail sampai ke rumahnya. Dia sudah siap solat Maghrib di dewan tempat mereka bermain badminton. Di dalam kereta Mikail sentiasa disediakan sehelai kain pelekat, sehelai kemeja T dan sehelai sejadah. Dia tidak suka terkejar-kejar untuk balik ke rumah mengejar waktu solat yang hampir habis.

Sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di sofa rumahnya, dia terperasan sebuah sampul surat yang terletak di atas meja kopi dihadapannya. Sampul tersebut amat dikenalinya. Segera dia mencapai sampul tersebut dan mengeluarkan isinya. Hampir luruh jantungnya saat itu. Dia amat kenal dengan kad itu. Panjang lebar Risya menggambarkan keindahan kad itu kepada mereka di pejabat tadi.

“Mama! Oh, Ma!” jerit Mikail memanggil ibunya.

“Ya, kau nak makan ke? Nasi mama dah hidang dah tu.” Jawab Suraya, ibu Mikail.

“Bukan. Kad kahwin siapa atas meja depan ni ma?” soal Mikail. Dia hairan bagaimana kad tersebut boleh berada di atas meja di rumahnya. Apa pertalian keluarganya dengan perkahwinan tersebut.

“Ini ha, makcik Ram sebelah rumah kita ni lah. Anak sulung dia tu nak kahwin lagi. Dah lama kan dia menduda. Jodoh dia dapat kahwin lagi.” jawab Suraya sambil berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang tamu rumahnya.

Mikail terpempan. ‘Azab apakah ini? Kenapa dia perlu berkahwin dengan jiran aku? Kenapa Allah nak siksa aku sampai macam ni? Macam mana aku nak hidup bila Mylia akan sentiasa berada dihadapan mataku setiap waktu?’ dia tidak mampu menghadap berita yang baru diterimanya itu.

“Abang Man tu bukan dah tua ke ma? Macam mana dia boleh kahwin dengan anak dara?” soal Mikail tanpa berfikir panjang.

“Mana kau tau dia nak kahwin dengan anak dara?” soalan Suraya sedikit menjerat Mikail.

“Ah? Mylia ni rakan sepejabat Mika. Tadi kat office pun Mika dah dapat kad ni.” Jawab Mikail jujur. Tetapi dia tidak pernah menceritakan perasaannya terhadap Mylia kepada sesiapa pun. Mungkin itulah kesilapan terbesar yang dia lakukan.

“Oh, ye ke. Untunglah si Man tu. Dapat anak dara. Mak pun takt ahu umur dia berapa. Umur bakal isteri dia tu berapa?” komen ibunya sedikit menyentap hati Mikail.

‘Keuntungan abang Man tu satu kerugian kat anak mama ni!’ jerit hati Mikail.

“27.” Jawab Mikail ringkas. Dia mahu buang jauh-jauh fikirannya saat itu. Dia tidak mahu memikirkan hal Mylia lagi. Semakin parah luka di hatinya saat itu. “Mama, Mika naik mandi sekejap. Nanti Mika turun makan, okay. Mama dah makan?” soal Mikail walaupun dia sudah arif dengan rutin ibu bapanya. Sebelum masuk waktu maghrib, mama dan papa akan terlebih dahulu makan malam. Selepas itu, papa akan pergi ke masjid sehingga selesai Isyak. Setiap hari begitu.

“Dah petang tadi. Pergi lah mandi. Nanti turun makan.” Jawab Suraya kepada anak tunggalnya itu.

* * * * *

Majlis akad nikah Mylia dan Luqman berjalan dengan penuh sayu sekali. Bukan sahaja Mylia yang menitiskan air matanya, Hamidah juga turut berhati hiba. Malah Baharom sendiri berkaca matanya sebentar tadi. Selesai urusan pernikahan anak sulung mereka. Anak yang paling dinanti-nanti saat mereka baru memulakan kehidupan berumahtangga dahulu. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh. Kini segala tanggungjawabnya terhadap Mylia sudah terputus. Tugas Luqman pula membimbing dan memimpin anaknya itu dengan baik menuju ke syurga Allah.

Selesai akad nikah, Hamidah hanya menyediakan juadah minum petang sahaja buat semua tetamu. Sekadar bihun goreng, karipap dan donut serta diiringi oleh air teh panas dan air oren sejuk.

Malam itu, Luqman terus menetap di rumah Mylia tanpa Julia dan Jasmin. Mereka pulang bersama-sama Ramlah. Agak gusar hati Luqman kerana buat pertama kalinya dia terpisah daripada anak-anaknya itu. Asalnya dia meminta agar anak-anaknya juga turut bermalam bersamanya di situ, tetapi di sangkal ibunya, Ramlah.

“Biarlah diorang tidur sini saja, mak.” Saran Luqman. Mylia juga turut ada di situ semasa Luqman berbincang bersama Ramlah.

“Diorang nak tidur mana? Rumah ni tengah sibuk untuk persiapan kenduri esok. Engkau pun esok pagi dah sibuk-sibuk nak ke butik untuk bersiap. Siapa pula nak jaga diorang?” bantah Ramlah.

“Tak apa, mak. Adik-adik saya ramai boleh tolong layan Julia dan Jasmin.” Jawab Mylia cuba menyokong pendirian Luqman yang baru sahaja sah menjadi suaminya itu.

“Diorang boleh tidur di bilik kami je mak.” balas Luqman lagi.

“Ish, kamu tu pengantin baru. Cuba fikir logik sikit. Kalau yer pun tak nak fikir diri sendiri, fikir hati isteri tu sama.” Tingkah Ramlah dan terus berlalu pergi. Dia tidak mahu memberikan peluang kepada Luqman untuk berdebat lagi.

Apabila tiba waktu Maghrib, semua beredar masuk ke bilik masing-masing. Luqman juga terpaksa mengikut Mylia naik ke biliknya. Hatinya berdebar-debar saat itu. Bukan atas alasan kebiasaan semua pengantin baru yang lain, tetapi kerana dia masih tidak dapat menghalang rasa bersalahnya kepada Aisyah.
Perasaan Mylia sedikit tenang. Luqman langsung tidak bercakap dengannya walau sepatah pun sejak mereka bersalaman petang tadi. Malah, hatinya sedikit panas dengan sikap dingin Luqman yang langsung tidak menghiraukannya. Oleh kerana Luqman memilih untuk menjadi sedingin itu, dia juga akan bersikap seperti Luqman.

Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam bilik Mylia, Mylia terus menuju ke almari untuk mengambil sehelai tuala untuk Luqman. Malas dia mahu bertanya. Biar dia sediakan sahaja tuala itu. Samada Luqman mahu menggunakannya atau tidak, terpulang kepada dia. Diletakkan tuala tersebut di penjuru katilnya dan dia kembali ke almarinya untuk mengambil pakaian persalinan untuk dipakainya selepas mandi sebentar nanti. Dia juga turut membawa sehelai tudung sarung untuk dipakai. Dia belum bersedia untuk mendedahkan mana-mana auratnya kepada Luqman.

Luqman memilih untuk duduk di arm-chair yang tersedia di penjuru bilik Mylia. Dia menyandar di situ sebentar sambil memejamkan matanya. Wajah Aisyah kembali bertandang di ruang minda. Kenangan malam perkahwinannya bersama Aisyah cukup indah. Pada hari itulah sikap kasar Aisyah kepadanya selama ini tiba-tiba bertukar menjadi manja dan begitu menyenangkan. Satu pengalaman yang amat berbeza dengan apa yang dialaminya sekarang.

Bunyi pintu bilik air ditutup mengejutkan anganan Luqman. Mylia sedang berjalan keluar dari pintu itu, dia lengkap berpakaian. Baju kurung pesak dan bertudung litup. Mylia langsung tidak memandang ke arahnya. Begitu dingin sikap wanita itu terhadapnya. Mylia terus sahaja mengenakan telekung ke badannya dan mengerjakan solat Maghrib tanpa menunggu Luqman.

Luqman membuka beg pakaiannya dan mengeluarkan sehelai tuala yang sengaja disediakan sendiri dari rumah. Dia juga membawa sehelai kemeja T masuk ke bilik air. Apabila dia keluar dari bilik air, Mylia sudah tidak berada di situ tetapi tikar sejadah dibiarkan terhampar dengan kemas. Pasti Mylia tinggalkan untuknya supaya dia tidak perlu tercari-cari arah kiblat nanti.

Luqman segera mengerjakan solat Maghrib. Usai solatnya, dia kekal bertafakur seketika di atas tikar sejadah. Dia berfikir panjang bagaimana harus dia buat agar kehidupannya tidak sekelat ynag dirasakan Luqman selama 30 minit dia bersama Mylia sebentar tadi.

‘Ecah, apa yang abang perlu buat? Macam mana abang nak terima dia? Macam mana abang nak buat supaya hidup abang lepas ni tak terlalu menyiksakan?’ Luqman tertunduk sayu di sejadahnya. Matanya kembali bergenang.

Tiba-tiba, pintu biliknya di buka. Mylia masuk ke bilik dan duduk di birai katil.

“Apa saya nak panggil awak?” soal Mylia tanpa memandang Luqman. Luqman terdiam seketika. Dia tidak pernah terfikir akan hal itu. nak disuruh panggil nama sahaja, umur mereka jauh berbeza. Pasti ibunya akan membantah. Mahu disuruh memanggil abang, nanti dia akan terganggu dengan memorinya bersama Aisyah. Mahu dipanggil nama-nama lain, dia rasa mereka langsung tiada hubungan kasih sayang untuk mewujudkan panggilan-panggilan manja seperti itu.

“Panggil Bi. Jangan sesekali kau panggil aku ‘abang’. Isteri aku saja boleh panggil aku abang.” Jawab Luqman tegas. Ayat Luqman yang terakhir itu membuatkan Mylia sedikit tersentak.

‘Aku bukan isteri dia kah?’ Mylia menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya perlahan.

“Umi panggil turun makan. Sekarang.” Itu sahaja yang keluar dari mulut Mylia. Dia bingkas bangun dan keluar dari bilik itu.

‘What have you done to yourself, Mylia?’ genangan yang tiba-tiba muncul ditubir matanya diseka keras. Dia harus kuat.

Majlis kenduri mereka keesokkan harinya berlangsung dengan meriah sekali. Ramlah dan Hamidah sentiasa berkepit sejak tetamu pertama lagi. impian mereka berdua kini menjadi kenyataan. Ramai sungguh tetamu yang hadir pada hari tersebut. Jamuan makan bermula seawal jam 11 pagi lagi. Pengantin pula dijangka akan sampai ke dewan pada jam satu tengahari.

Sikap kedua-dua pengantin baru di hadapan mata saat itu begitu meruntun jiwa Tina. Tiada langsung tarikan antara mereka. Mereka bagaikan dua buah magnet yang bersamaan kutub. Saling menolak antara satu sama lain. Dalam hati Tina, dia hanya mampu mendoakan kesejahteraan buat mereka berdua. Kedua-duanya kini sempurna di hias indah untuk bertolak ke dewan, namun tiada langsung keserian yang terpancar di wajah.

Sebaik sahaja kereta yang mereka naiki berhenti di pintu dewan, paluan kompang anak-anak sekolah bergema ke seluruh pelusuk alam. Luqman terlebih dahulu turun daripada kereta dan diikuti oleh Mylia. Mereka disambut oleh sekumpulan anak-anak kecil yang ditugaskan menjadi gadis-gadis bunga mengiringi perarakkan masuk pengantin ke pelamin.

Mylia langsung tidak memandang kiri dan kanan. Matanya terarah tepat ke hadapan dengan pandangan kosong. Tanpa disedarinya, wajahnya begitu serius di pandangan mata tetamu-tetamu yang berada di situ. Salah seorangnya adalah Mikail. Dia datang bersama ibu bapanya. Perancangannya mahu segera pulang sebelum pengantin sampai, tetapi ibunya berkeras mahu melihat wajah isteri Luqman yang bakal menjadi jirannya selepas ini. Bertahanlah Mikail di situ sambil menguatkan semangat yang masih berbaki.

Melihat wajah Mylia sebegitu rupa, dia tahu ada yang tidak kena tentang kedua-dua mempelai itu.

‘Kenapa muram sangat muka dia? Tak ada seri langsung. Dia macam tak happy je nak kahwin?’ bisik hati Mikail.

“Mika, kenapa kawan kamu tu masam benar mukanya? Macam kena kahwin paksa je mama tengok.” Mikail tiada jawapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience