~ 23 ~

Romance Completed 13901

“Pucat je muka ni. Cukup tidur tak?” soal Mikail kepada Mylia. Slot pembentangan Mikail lewat petang nanti. Pagi itu, mereka duduk sebelah-menyebelah di dalam dewan.

“Okay jer. Pucat sebab sejuk kot. Nasib baik pakai blazer. Kalau macam ni suhu bilik ni, memang hari-hari kena pakai blazer lah ni.” Mylia takkan mungkin ceritakan kejadian semalam kepada siapa-siapa. Mengaibkan suami dan mengaibkan dirinya sendiri. Apatah lagi kepada Mikail. Kalau benar Luqman ingin kekalkan hubungan mereka, Mylia tidak boleh lagi membiarkan Mikail melayan perasaannya terhadap Mylia. Nanti, Mikail susah nak cari yang baru.

“Aku ada something utk kau…” kata Mikail sambil mencari-cari sesuatu di dalam beg dokumennya. “Nah!” Cadbury Hazelnut Chocolate Bar.

“Waahhh… lama gila aku tak makan ni. Wait… lama gila dah aku tak beli coklat ni. Kalau kau tak bagi, memang aku pun tak makan. Kalau aku gemuk, kau la punya pasal.” Seloroh Mylia sambil membuka kertas pembalut dengan penuh lahap. Sebaik sahaja Mylia menggigit coklat itu, Mikail menghulurkan tangannya.

“Nak sikit. Mana boleh makan seorang.”

“Ermmm… tak boleh… mana cukup… nak simpan sampai habis kursus. 1 slot 1 cube.” Kata Mylia sambil tersenyum.

“Alaaa… nanti aku beli lah lagi… bak sikit. 1 cube jer.” Minta Mikail lagi.

“Buruk siku betul. Dah bagi minta balik. Nah kepak sendiri.” Mylia menghulurkan kesemua coklat itu kepada Mikail. Tersengeh lebar Mikail.

“Bila lagi nak boleh share food dengan engkau. Dah duduk jauh dah kita sekarang kan…” lanjut je ayat Mikail.

“Orang dah pegang jawatan besar sekarang… ingatkan dah tak ingat kita lagi. Tuan Mikail.” Usik Mylia.

“Tuan lah sangat!” Mikail tertawa kecil. Tidak berapa lama kemudian, terdengar suara pengacara majlis di corong pembesar suara. Pagi ini, lebih kepada majlis perasmian seminar. Terdapat sederet VVIP yang hadir duduk di atas sofa empuk di atas pentas dewan. Mikail dan Mylia memberikan tumpuan sepenuhnya kepada majlis hingga selesai.

Selesai sarapan pagi tadi, Luqman terus naik ke bilik. Dia menelefon Ramlah untuk bertanya khabar tentang Julia dan Jasmin.

“Macam-macam sungguh la budak-budak tu sekarang ni ya. Mentang-mentang ibu turutkan semua yang diorang nak. Sekarang bila ibu tak ada, punya susah diorang nak tidur.” Cerita Ramlah kepada anaknya.

“Kenapa mak? Apa yang jadi semalam?” soal Luqman hairan. Tak pernah pula anak-anaknya ada masalah untuk tidur malam.

“Sebelum tidur kena baca buku cerita. 2 cerita pula tu. Dah siap cerita ingatkan dah boleh tidur, rupanya nak kena cerita kisah syurga pula.” Terang Ramlah.

“Cerita syurga?” pelik-pelik permintaan Julia dan Jasmin. ‘Cerita syurga apa yang mereka berminat sangat tu?’ fikir Luqman.

“Iyer… cerita syurga. Diorang kata ibu tiap-tiap malam cerita pasal syurga. Rumah baru umi katanya.” Tersentuh hati Luqman mendengar cerita Ramlah. Dia langsung tak menyangka yang Mylia sudi bercerita tentang Aisyah kepada anak-anaknya. Ramlah sendiri jatuh air matanya saat mendengar cerita itu daripada cucu-cucunya semalam.

“Pagi tadi dua-dua orang bising sebab beg sekolah belum siap. Mana lah mak tahu apa yang disiapkan. Bila mak suruh diorang siapkan beg tu sendiri, Jasmin cakap, susahlah ibu tak ada. Kalut-kalut dah semua.” Ramlah dah mengeluh panjang. Letih sungguh dia pagi itu. Mana dengan letih memanjat tangga ke bilik cucu-cucunya lagi.

“Manja sangat dah budak-budak dua orang ni. lepas ni kena ajar diorang kemas beg sendiri dah.” Balas Luqman kepada Ramlah.

“Itulah mak dah awal-awal bagitau kat kau dulu. Bukan senang kerja mak-mak ni. Kalau biar kat orang lelaki, ha, macam itu lah. Semuanya nak disuruh buat sendiri.” Luqman menggaru kepalanya. Dia pula yang kena leter pagi itu.

“Kemas barang sendiri je mak. Kalau tak diajar, sampai bila diorang nak mengharapkan orang. Mylia tu pun tak tau sampai bila boleh bertahan dengan kita.” Ujar Luqman. Dia sesungguhnya tidak berfikir panjang sebelum ayat itu keluar. Sesungguhnya dia menempah maut sendiri.

“Eh, apa pulak cakap macam tu? Itu tanggungjawab engkau. Kau yang kena pastikan dia tu tak tinggalkan kau. Dah dapat isteri sikit punya baik, tak nak jaga elok-elok. Ambik hati dia, layan dia baik-baik. Bukannya buat tak endah macam tu je. Kalau mak, dah lama mak cabut. Mylia tu penyabar sungguh. Kau nak tunggu perempuan macam mana lagi nak buat bini?” berdesing telinga Luqman jadinya.

“Mak tau sangat. Kalau sesuatu jadi antara korang berdua, semuanya memang salah kau Luqman. Kau tak bertanggungjawab atas isteri kau sendiri. Kau tak hargai Mylia. Allah dah atur jodoh korang sikit punya baik, punya elok. Tapi kau tak reti bersyukur langsung.” Tambah Ramlah lagi.

Luqman tidak mampu kata apa-apa lagi. Dia hanya mendengar saja setiap butir bicara Ramlah. Nak menyampuk pun dia sendiri tak ada ayat bela diri.

“Hello, kau ada ke tak ni?” soal Ramlah keras apabila dia langsung tidak mendengar apa-apa dihujung talian.

“Ada, mak.” Jawab Luqman sambil menarik nafas dalam-dalam.

“Kau fikirlah baik-baik. Okay lah. Mak nak rehat kejap. Nanti diorang balik sekolah, dah tak boleh nak rehat dah. Assalamualaikum.” Terus sahaja Ramlah mematikan panggilan tanpa menunggu jawapan daripada Luqman.

Luqman meraup mukanya.

“Emak oooo emak… macam-macam laaaa hai… kita tengoklah yaa nak jadi macam mana.” Bicara Luqman sendirian di dalam bilik hotel yang sunyi sepi itu.

Jam 12:40 tengahari, telefon Luqman berbunyi. Cepat-cepat dijawab panggilan tersebut apabila dia nampak nama Mylia yang tertera di skrin.

“Hello.”

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

“Nak turun makan tak? Lunch dah ready. Saya dah habis slot pagi.” Soal Mylia. terdengar riuh-rendah suara di sekeliling Mylia. semua peserta seminar sedang lalu Lalang di belakangnya untuk ke café. Mereka hanya ada masa satu jam setengah untuk makan dan solat sebelum slot petang bermula.

“Okay kejap.” Luqman mematikan panggilan dan bingkas bangun dari kerusi bersiap untuk turun. Dia mencapai kad kunci bilik dan terus keluar menuju ke lif.

‘Jimat duit aku. Ingatkan nak kena keluar makan sendiri. Masa kat Penang dengan Ecah dulu makan tengahari dan malam hanya untuk peserta kursus.’ Fikiran Luqman terbayang-bayang bagaimana dia dan Julia yang masih berumur 2 tahun keluar mencari makan berdua di bandar itu. Bukan senang dia nak tenteramkan Julia yang berada di atas kerusi kanak-kanak sementara mencari kedai makan. Kata orang, Pulau Pinang syurga makanan. Tapi untuk orang seperti Luqman yang kurang selera dengan makanan mamak, perit juga jadinya.

Apabila pintu lif dibuka, Luqman nampak Mylia sedang duduk seorang diri di atas sofa yang disediakan betul-betul di hadapan lif. Dia sedang membelek-belek telefon di tangan. Luqman mendekati Mylia perlahan-lahan.

“Jom.” Ujarnya perlahan. Mylia yang sedikit terkejut mengangkat kepala memandang wajah Luqman. Terus sahaja gemuruh di hati Mylia datang mmenyerbu. Dia teringat akan kejadian malam tadi. Bagaikan masih terasa lingkaran tangan Luqman dipinggangnya.

Mylia bangun berdiri dan mula melangkah ke café. Oleh kerana terlalu ramai orang waktu itu, mereka terpaksa berasak-asak. Luqman tanpa sedar mengangkat tangannya dan diletakkan di belakang badan Mylia sambil cuba mencelah di tengah-tengah orang ramai. Mylia yang masih belum biasa dengan sentuhan-sentuhan daripada lelaki itu, waimma mana-mana lelaki pun terasa menggigil satu padan. Panas mukanya menahan perasan. Darah di dalam badan bagaikan semuanya menyerbu ke muka.

Luqman nampak muka Mylia yang kemerahan. Bimbang Mylia tiba-tiba jatuh sakit atau sebagainya. Semalam pastinya tidur Mylia terganggu dan kurang selesa kerana dia lari untuk di atas sofa.

“Awak okay tak ni? Merah muka kenapa?” soal Luqman kepada Mylia. Tangannya masih memegang belakang Mylia.

“Saya tak biasa.” Kata Mylia sambil menarik turun tangan Luqman perlahan-lahan.

“Owh, sorry.” Balas Luqman. Tersenyum kecil Luqman sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

‘Orang malu lah. Dia ingat aku ni memang biasa peluk-peluk pegang-pegang lelaki ke apa?’ bentak hati Mylia apabila melihat reaksi Luqman begitu. Dia terasa seperti diperkecilkan.

‘Apa kau buat ni Luqman? Jaga tangan kau tu. Dia bukan Aisyah.’ Yang sebenarnya Luqman sendiri terkejut dengan refleks tangannya tadi. Jika dengan Aisyah dulu dia memang akan sentiasa berkepit bagaikan belangkas. Kalau mereka berjalan berdua, samada dia akan merangkul pinggang Aisyah ataupun mereka akan berpegangan tangan. Mungkin kerana terbiasa dulu, jadi secara automatik dia buat benda yang sama dengan Mylia.

‘Aku dah mula sukakan budak ni ka?’ tiba-tiba satu soalan berat muncul dibenaknya membuatkan dia sendiri tergamam. Akal fikirannya masih dipenuhi dengan Aisyah tetapi refleks tubuh badannya sudah mula menyenangi Mylia. Masuk akal?

Selesai makan, Mylia bergerak pantas untuk naik ke bilik dan solat zohor. Dia menjeling jam ditangan. Masih ada masa 45 minit sebelum slot bermula.

“Tak nak mandi dulu?” soal Luqman.

“Tak kot. Nak rehat kejap. Lepas tu nak solat.” Balas Mylia sambil merebahkan badannya di atas katil. Matanya ligat bermain telefon.

“Tadi saya call mak.” Ujar Luqman memulakan bicara.

“Julia dengan Jasmin okay?” soal Mylia ingin tahu. Semalam dia tak sempat nak telefon anak-anak itu. “Saya lupa nak pesan suruh diorang pack beg sendiri sebelum tidur. Kalut lah mak pagi ni. kesian dia.” sambung Mylia.

“Diorang suruh mak yang pack beg sekolah diorang.” Mylia menggeleng-gelengkan kepalanya. “Terima kasih ya tolong tengokkan anak-anak saya.” Mylia tersentap. Dia mengetap bibirnya menahan dari memberi komen apa-apa. Dia tak nak mereka bertekak lagi.

‘Kau kena sedar diri Mylia, Diorang semua milik Aisyah. Kau menumpang je kat situ. Bibik tak berbayar.’ Pesan hati Mylia. Dia terus memandang kembali ke skrin telefon.

“Terima kasih juga sebab awak cuba selitkan cerita-cerita tentang syurga, rumah baru umi diorang.” Kata Luqman lagi.

Mylia makin sebak. ‘Ya… Ya… Aisyah umi mereka. Julia dengan Jasmin tu anak korang berdua. Tak payahlah nak ulang-ulang sebut.’ Mylia meletakkan telefon di atas katil dan terus masuk ke bilik air. Dia ingin solat dan segera turun ke dewan. Lagi lama dia mendengar luahan rasa Luqman dan Aisyah tu, lagi sakit hatinya.

Luqman langsung tak faham isi hati Mylia. Hairan sungguh dia bila melihat air muka Mylia yang sangat keruh. Dia mula mencari salah dan silapnya tapi langsung tak jumpa.

‘Aku ucap terima kasih pun salah ker? Tiba-tiba nak marah kenapa? Sewel ke bini aku ni?’ Luqman menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Pelik-pelik lah perempuan ni. Tak faham aku.’ Luqman terus menghidupkan komputer riba di hadapannya dan menyambung kerja yang terhenti tadi. Malas dia nak fikir lebih-lebih.

“Saya turun dulu.” Kata Mylia sambil memakai kasut di hadapan pintu bilik. Luqman menjeling jam di skrin komputer dan bangun merapati. Melihat Luqman yang bangun menghampirinya, Mylia menunggu di situ.

‘Apa lagi yang dia nak cakap ni.’ rungut hati Mylia.

“Slot petang ni mula jam berapa?” soal Luqman.

“2.” Ringkas sahaja. Mylia masih lagi terasa hati dengan perbualan mereka tadi.

“Ada 15 minit lagi. Nak pergi mana awal sangat?” Soalan Luqman membuatkan Mylia resah. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Yang dia tahu dia nak cepat-cepat keluar dari bilik ini. Dia tak nak terus-menerus mendengar luahan hati Luqman dan Aisyah lagi.

Melihat Mylia yang terkelu tanpa jawapan, Luqman sambung lagi. “Duduk dulu. Saya nak bincang sikit.”

Mylia memandang tepat ke mata Luqman. Lembut riak wajah Luqman waktu itu memberi dia kekuatan untuk masuk kembali. Mylia membuka kasutnya dan duduk di birai katil. Luqman duduk disebelahnya, mengangkat kaki kanan ke atas katil dan betul-betul duduk mengadap Mylia.

“Awak marah kat saya?” soal Luqman. Mylia hanya tertunduk tanpa menjawab. “Kalau awak tak bagitau, saya tak akan boleh tau. Kenapa awak marah saya?” tambah Luqman memancing jawapan daripada Mylia.

“Tak ada apa lah.” Jawab Mylia. Macam mana dia nak terangkan yang dia sakit hati bila Luqman asyik sebut nama Aisyah? Dia takkan mungkin boleh cakap begitu dan pastinya Luqman tak akan boleh terima alasan itu.

“Mana boleh tak ada. Cuba explain.” Kata Luqman lagi. Dia jujur ingin tahu.

“Saya tahu saya bukan ibu kandung Julia dan Jasmin, sampai bila-bila pun diorang tak akan boleh jadi anak kandung saya. Tapi saya sayang diorang sepenuh hati. Ikhlas sayangkan diorang. Tak ada paksaan langsung sayang saya kat diorang.” Kata-kata Mylia terhenti di situ. Sebaik sahaja Luqman membuka mulut untuk menjawab, Mylia cepat-cepat memotong.

“Saya minta maaf. Emosi saya tak rasional. Saya tahu anak-anak tu anak-anak awak dengan Aisyah. Bukan anak-anak saya. Awak tak perlu nak ingatkan, saya ingat. Sentiasa!” jawab Mylia bersungguh-sungguh. “Jadi awak tak perlu nak ingatkan saya selalu. Sorry sangat-sangat kalau saya over-reacted.” Kata Mylia sambil bangun berdiri.

“Mylia…” Dengan pantas Luqman menangkap tangan Mylia. Lagi sekali Mylia terpaku. Darah kembali menyerbu kepalanya menyebabkan muka Mylia kembali kemerahan. Luqman nampak perubahan di muka Mylia tapi dia membiarkan saja.

“Saya minta maaf, saya tak perasan. Julia dan Jasmin juga anak-anak awak. Awak dah jaga diorang dengan baik. Dah terlebih jaga dah sampai manja sungguh dua beradik tu dengan awak. Saya minta maaf. Lepas ni, saya akan kata anak-anak kita, bukan anak-anak saya. Saya tahu awak tak akan membuang Aisyah daripada memori Julia dan Jasmin. Saya percayakan awak.”

Perlahan-lahan Luqman menarik tangan Mylia agar Mylia memandang ke arahnya. Oleh kerana Luqman sedang duduk, dia dapat memandang waajah Mylia dengan jelas walaupun Mylia tertunduk. Luqman menggenggam tangan Mylia dengan kedua-dua tangannya.

“Mylia, saya minta maaf lagi sekali sebab dah menyusahkan usaha awak… saya faham awak bersungguh-sungguh berusaha… to make this thing works… our marriage. Saya appreciate sangat-sangat. Saya janji saya akan cuba lebih kuat lagi okay.” Apabila Mylia masih lagi membatu dihadapannya, Luqman bangun dan memeluk tubuh kaku Mylia dengan erat. Mylia bertambah tergamam. Dia langsung tidak tahu bagaimana dia harus memberi reaksi balas.

‘I am sorry Aisyah. Abang minta maaf. Abang terpaksa. Demi mak dan anak-anak. Maafkan abang sayang!!!’ jerit Luqman di dalam hati. Matanya terasa hangat tetapi cepat-cepat dia mematikan ayatnya di situ. Dia tidak mahu Mylia melihat dia menangis. Dia bimbang Mylia ragu-ragu dengan keikhlasannya.

“Saya dah lambat.” Itu saja yang keluar dari bibir Mylia. Jantung Mylia berdegup dengan teramat laju. Bagaikan boleh gugur ke tanah. Luqman melepaskan pelukannya. Cepat-cepat Mylia beredar dari situ tanpa memandang wajah Luqman. Dia dah tak mampu.

Sepanjang jalan dia turun ke dewan, fikirannya langsung tak tenang. ‘Baru hari pertama. Ada lagi dua hari dua malam kami kat sini. Macam mana ni? Boleh tak aku nak suruh je dia balik dulu? Hari Rabu nanti baru datang jemput. Aduuhhhhhh… Buat hal lah dia ni.’ Rungut Mylia sendiri.

* * * * *

“Letak beg sekolah kat bawah ni je ya. Nanti kita buat homework kat bawah ni. Nenek tak larat nak panjat tangga.” Pesan Ramlah kepada Julia dan Jasmin.

“Okay, nenek.” Jawab Julia dan Jasmin serentak.

“Lepas mandi, turun makan okay. Jangan lama-lama sangat. Nenek tunggu kat dapur.”

“Okay, nenek.” Jawab Julia dan Jasmin lagi.

Selepas dua puluh minit, budak-budak itu masih lagi belum turun. Ramlah berjalan ke tangga dan memanggil mereka dari bawah. Dia dah letih nak naik ke atas kerap-kerap.

“Julia! Jasmin! Dah siap ke belum? Cepat turun makan.” Laungnya dari bawah.

“Kejap nenek. Baru siap solat.” Jawab Julia. Terkejut juga Ramlah mendengar jawapan Julia. Dia tak sangka cucunya itu sudah pandai solat sendiri tanpa di suruh. Tak lama selepas itu, terdengar derap kaki mereka berdua di tangga. Mereka terus berjalan ke meja makan.

“Julia dah pandai solat sendiri?” soal Ramlah sambil menyendukkan nasi ke pinggan. Lauk sudah siap sedia terhidang.

“Pandai.” Jawab Julia ringkas. Dia dah tak sabar nak makan.

“Adik pun pandai dah nenek.” Jasmin tidak mahu kalah dengan kakaknya.

“Iya? Ustazah ajar kat sekolah?” Ramlah hanya menyerkap jarang. Itulah penjelasan yang difikirakan logic difikirannya.

“Ustazah ajar kat sekolah. Ibu ajar kat rumah.” cerita Jasmin.

“Ibu cakap… kalau anak-anak tak solat… nanti Allah bagi bara api dekat umi. Eee… takut. Nanti umi tak boleh masuk syurga kalau ada banyak bara api.” Cerita Julia pula.

“A’ah. Ibu cakap bara api tu dari nelaka.” Tambah Jasmin pula.

“Bukan nelaka lah adik. Ne… ra… ka…” Julia membetulkan adiknya.

“Ha. Betul. Neraka. Panaaassss sangat ibu kata.” Cerita Jasmin dengan penuh perasaan.

“Iya? Ibu cakap macam tu?” soal Rahmah melayan bualan cucu-cucunya. Jauh di sudut hati, tak habis-habis dia memuji Mylia.

‘Pandai budak ni mendidik anak-anak. Bertuah sungguh la si Luqman tu sebenarnya. Aku memang tak salah pilih bini untuk dia. Tapi dia tu yang buta kayu, buta hati. Hish… geram aku kat budak ni. Nak tunggu kena tinggal kot baru nak menyesal.’ Menggerutu hati Ramlah. Dari dulu lagi dia yakin sangat yang anak sahabat baiknya itu boleh jadi isteri terbaik buat anaknya. Dia memang tak salah pilih. Dia tahu perangai Hamidah macam mana. Dia juga kenal sangat dengan Othman itu. Dia yakin anak mereka juga akan menjadi baik orangnya sama seperti mereka.

‘Ya Allah… kau panjangkanlah jodoh anak aku dengan isterinya.’ Doa Ramlah dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience