“Eh, Ecah. Engkau tu dah umur 30 tahun dah tahun ni. Kau tak nak kahwin lagi ker? Bukan ker kau cakap kau ada ramai peminat. Tak kan tak ada yang bekenan?”
soal Luqman pada suatu petang semasa mereka sedang borak-borak di halaman rumah Aisyah. Mungkin disebabkan adanya Aisyah, Luqman kerap pulang ke kampung ibunya. Kadang-kala dia pulang bersendirian. Kadang-kala ibu dan adik-adiknya juga ikut serta.
“Aku tak terbuka hati lagi nak kahwin.” Ringkas sahaja jawapan Aisyah.
“Ker kau tunggu aku? Kau tunggu aku ni, betul kan?” balas Luqman berseloroh sambil ketawa mengekeh.
Aisyah berpusing memandang Luqman dengan pandangan yang begitu mendalam. Ketawa Luqman terhenti apabila melihat sirna di mata Aisyah.
“Engkau biar betul, Ecah?” soal Luqman mencari kepastian. Pandangan Aisyah beralih ke depan. Jalan raya kecil yang menjadi laluan utama kampung itu. Lengang sahaja petang itu.
“Aku pun hairan, Man. Bila ada sahaja yang masuk meminang, semuanya aku akan bandingkan dengan kau. Engkau dah macam kayu pengukur aku pula.” cakap Aisyah perlahan. Ada secebis senyuman di wajahnya.
“Tapi engkau jangan salah faham, Man. Itu perasaan aku saja. Aku tak paksa kau. Jangan pula lepas ni kau dah tak nak kawan dengan aku. Kau nak kahwin dengan siapa pun, kau kahwin lah. Tapi biarlah persahabatan kita kekal.” Kata Aisyah lagi.
Tiba-tiba, Luqman bangun berdiri untuk pulang.
“Kau nak pergi mana pula. Kau marahkan aku ke, Man?” soal Aisyah. Luqman berpaling muka memandang Aisyah. Air mukanya waktu itu begitu serius.
“Tak apa, Aisyah. Aku tahu apa yang perlu aku buat.” Luqman terus berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang lagi. Sayu benar hati Aisyah waktu itu. Menyesal pula dia berterus-terang begitu kepada Luqman.
Luqman pulang ke rumahnya dan terus menaiki kereta menuju ke bandar. Dia masuk ke satu-satunya kedai emas yang ada di bandar kecil itu dan membelikan sebentuk cincin emas belah rotan. Dia yakin amat yang Aisyah itu ada sebaik-baik wanita untuk dijadikan isteri. Walaupun wataknya sedikit kelelakian, tetapi dia telus.
Berbekalkan sebentuk cincin itulah, Luqman kembali ke rumah neneknya dan terus meminta ibunya pergi merisik Aisyah dan memberikan sebentuk cincin sebagai tanda setuju. Semua orang terkejut dengan keputusan Luqman itu. Terutama sekali Ramlah, ibunya. Sudah berbuih dia menyuruh Luqman untuk berkahwin, tetapi tidak pernah diendahkannya. Tup-tup hari ini anak sulungnya itu datang bersama sebentuk cincin meminta dia pergi merisik anak jiran sekampungnya.
Esoknya juga ibunya, bertemankan nenek dan paksu Rahim pergi ke rumah Aisyah untuk menghantar cincin tanda setuju. Keluarga Aisyah langsung tidak bersedia. Mereka tidak menyangka kedatangan jiran mereka itu membawa satu niat yang besar. Sepanjang upacara merisik itu berlangsung, Luqman duduk di halaman rumah Aisyah, tempat mereka berbual-bual semalam. Senyuman tak lekang-lekang daripada wajahnya. Tiba-tiba, Aisyah terjengul di tingkap biliknya. Dia membalingkan sesuatu ke arah Luqman untuk menarik perhatiannya.
Setelah Luqman memandang ke arahnya, dia menunjukkan cincin yang diberikan Luqman tadi yang telah rapi tersarung di jari manisnya. Sungguh berseri wajah Aisyah waktu itu. Satu pandangan indah yang tak kan mungkin Luqman lupakan.
“Man… oh, Man.” Satu ketukan di pintu bilik Luqman. Terhenti lamunan Luqman tiba-tiba. Luqman berpaling dan melihat wajah ibunya berada di muka pintunya.
“Kau tengah buat apa tu?” Ramlah melihat Luqman sedang duduk tegak di meja yang ada di biliknya itu. Di tangannya ada sebuah kotak baldu merah. Ramlah tahu cincin apa yang sedang Luqman belek waktu itu. Sayu betul hatinya saat itu. ‘Sampai bila kau nak hidup dengan masa silam?’ bisik hati Ramlah.
“Tak ada apa pun. Ada apa mak cari Man?” soal Luqman dengan sopan.
“Mak nak minta kau bawa mak pergi rumah kawan mak. Mak ada janji nak pergi makan malam kat rumah dia. Bawa sekali Julia dan Jasmin.” Kata Ramlah kepada Luqman.
“Bila tu? Man nak kena arrange pekerja Man kalau nak keluar lama.” Balas Luqman kepada ibunya. Jarang dia menolak permintaan ibunya itu. Ramlah juga sedia maklum dengan rutin harian Luqman. Bukan selalu dia mengajak Luqman ke mana-mana. Sebab itulah Luqman jarang menolak permintaannya.
“Hari Ahad malam. Kita pergi sekejap je. Lepas maghrib, terus gerak. Sebelum jam 10, kita balik lah. Takkan nak duduk kat rumah orang lama-lama.” Balas ibunya pula bersahaja.
Dia tidak mahu Luqman tahu tujuan sebenar mereka ke sana. Luqman hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju. Berbunga-bunga hati Ramlah. Satu lagi rancangannya berjaya. Dia harap, Luqman dan Mylia anak sahabatnya itu akan bersatu hati apabila mereka berjumpa nanti.
Selepas kejadian tempoh hari, Mikail tidak masuk ke pejabat selama dua hari. Hairan pula Mylia apabila Mikail tidak masuk kerja. Mikail jarang sangat mengambil cuti sakit atau pun cuti rehat. Nak dikata Mikail pergi kerja luar, tiada pula apa-apa program yang diatur oleh syarikatnya minggu ini. Kalau ada, pastinya dia juga terut serta.
Sebaik sahaja Mikail duduk di mejanya pada hari Jumaat itu, terus sahaja Mylia mendekati.
“Kau pergi mana dua hari tak datang?” soal Mylia terus tanpa berselindung.
“Aku demam. Kenapa?” ringkas sahaja jawapan Mikail. Tetapi soalan Mikail selepas itu membuatkan Mylia gugup seketika. Hilang terus kata-kata yang bermain di kepalanya dua tiga hari kebelakangan ini.
“Erm… tak ada apa lah.” Jawab Mylia dan terus duduk di mejanya. Mikail mengangkat matanya memandang Mylia. Ada keresahan di wajah gadis itu. Hatinya meronta-ronta ingin tahu, tetapi akalnya menyangkal semua tindakan-tindakan tersebut. ‘Dia tunangan orang, Mika. Kau jangan cari pasal lah!’ Mikail mengingatkan dirinya sendiri.
“Tak payah lah duk buat muka monyok tu hari ini. Aku dah tak der stok coklat kegemaran kau tu lagi dah hari ni.” ujar Mikail secara bersahaja. Matanya langsung tidak memandang Mylia tetapi dia yakin wanita itu mendengarnya.
“Kau asyik bagi dia coklat tu hari-hari, nanti patah pelamin adik manis kita.” Kata Borhan yang duduk di sebelah meja Mikail. Ketawa besar Borhan dan Risya membayangkan pelamin yang patah disebabkan pengantin dan terlebih berat.
“Oih, tak pernah lagi aku tengok pelamin patah. Artis-artis yang big size tu kahwin okay je.” Bangkang Mikail. “Lagipun, tak ada hal lah gemuk ke kurus. Yang penting hati senang dan gembira, badan sihat dan yang paling penting sekali, ada orang sayang. Korang ada?” Mikail berseloroh dengan Risya dan Borhan.
“Eh, ada je. Risya sayang kat aku, kan Risya?” Borhan pula menyakat Risya.
“A’ah. Sayang sangat. Dalam mimpi kau pun tak der makna aku nak sayang kau.” Balas Risya kepada Borhan. Mereka berempat berumur lebih kurang sebaya. Jadi hubungan mereka agak akrab. Mikail dah ketawa terkekeh-kekeh mendengar jawapan balas Risya kepada Borhan.
“Mika, ikut aku kejap. Kita naik ke pejabat boss.” Tiba-tiba Mylia berkata kepada Mikail. Dia lantas bangun dan mencapai sebuah fail keras dan dirapatkan ke dadanya.
“Nak buat apa jumpa boss?” soal Mikail. Hairan tiba-tiba diajak berjumpa dengan majikan mereka.
“Jomlah!” kata Mylia lagi. Anak sulung kan. Sentiasa penuh dengan arahan. Mikail menurutkan sahaja apabila melihat wajah Mylia yang agak serius di hadapannya. Mylia terlebih dahulu keluar daripada pintu pejabat mereka dan berdiri di hadapan pintu lif.
“Ada apa ni?” Mikail bertanya lagi sambil membetulkan tali lehernya dan juga tag namanya supaya kemas. Mahu berjumpa dengan majikan, imej kena jaga.
Soalan Mikail dibiar tergantung tanpa jawapan. Mylia melangkah masuk ke dalam lif yang terbuka dan diikuti rapat oleh Mikail. Mylia agak bertuah kerana lif waktu itu kosong. Daripada menekan angka 10, Mylia menekan butang Lobi.
“Tadi kata nak pergi jumpa boss?” Mikail kehairanan. Bilik majikannya di tingkat 10, kenapa mereka turun ke lobi.
“Aku nak bercakap dengan engkau kejap.” Kata Mylia perlahan. kemudian, dia pusing memandang wajah Mikail. “Kau tak kisah kan?” soal Mylia penuh mengharap. Mikail hanya menunduk perlahan tanda setuju.
Mana mungkin dapat Mikail menolak permintaan gadis itu. Di usia 27 tahun itu, dia sepatutnya sudah berkahwin. Tetapi hatinya telah dicuri tanpa sengaja oleh gadis di hadapannya itu. Dia tahu Mylia sudah dimiliki. Dia sendiri tidak faham untuk apa lagi dia menunggu.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka, mereka menuju ke café yang terletak di sebelah kanan pintu masuk utama. Sengaja majikannya menyediakan satu café ringkas sebagai kemudahan kepada pelanggan-pelanggan mereka.
Mylia mencapai sebotol air mineral dan sekotak sandwich tuna dan terus menuju ke sebuah meja yang agak tersorok daripada yang lain-lainnya. Mikail memesan nescafe o ais buat dirinya. Alang-alang nak minum, baik order yang sedap terus.
Setelah mereka duduk di meja itu, Mylia meletakkan fail keras yang diusungnya tadi di atas meja dihadapannya. Dia meletakkan air mineral di atas fail itu dan jemarinya bermain-main dengan botol tersebut. Resah benar rupa Mylia di pandangan mata Mikail.
“Kau ni kenapa sebenarnya?” soal Mikail benar-benar ingin tahu. Saat itu dia terpandang jari runcing Mylia yang kosong tanpa cincin. Hati Mikail berdegup kencang. Dia mula tertanya-tanya dan membuat andaian sendiri.
“Mika, kenapa engkau selalu layan aku macam tu?” soalan Mylia yang datang tiba-tiba seperti itu membingungkan Mikail.
“Macam mana pula? Kita tengah bercakap tajuk apa ni?” soal Mikail bersahaja.
“Mika, aku perasan apa yang kau selalu buat pada aku kau tak pernah buat pada orang lain. pada Risya, pada Suzie, pada Jannah, pada sesiapa pun. Kau minum air dari cawan aku, kau makan nasi dari pinggan aku, dari sudu aku… dan hari tu… kau makan coklat dari tangan aku…” muka Mylia sudah kemerahan teringatkan kejadian tempoh hari. “Kenapa kau buat macam tu kat aku?”
“Alah, kau ni fikir banyak sangat lah. Aku buat macam tu dengan engkau saja sebab aku tau engkau tu pembersih. Jadi aku tak der lah geli nak tumpang. Si Risya tu kalau dia makan, ganas semacam aku tengok. Macam dah 2 minggu kebulur. Nasi sepinggan tu pun macam tak cukup je. Macam mana aku nak tumpang.” Jawab Mikail menutup perasaan sebenarnya pada Mylia.
“Ni mana pergi cincin kau? Itu bukan cincin pertunangan kau ke?” soal Mikail membuatkan Mylia sedikit gugup untuk bercerita. Dia sebolehnya tidak mahu bercakap tentang hal tersebut.
“Kami dah putus.” Jawab Mylia perlahan. Dia membelek jemarinya yang sudah kosong tanpa cincin itu.
“Owh.” Mikail terkejut dengan jawapan gadis itu. Hatinya tiba-tiba berlagu riang. Kini dia mempunyai peluang untuk memiliki gadis pujaan hatinya itu. Tetapi Mikail masih teragak-agak untuk meluahkan rasanya.
Mylia baru sahaja putus tunang. Dia pasti tidak boleh membuat keputusan yang telus tanpa dibayangi kesedihan yang ada dalam dirinya sekarang. Mikail fikir biarlah Mylia bertenang seketika. Selepas dia kembali mendapat dirinya yang sebenar, waktu itu barulah Mikail akan memulakan langkahnya.
“Mika, soalan asal aku tadi kau belum jawab.” Kata Mylia kepada Mikail.
“Aku dah jawabkan tadi. Sebab itu je lah. Mana ada sebab lain.” kata Mikail bersungguh-sungguh. Mylia memandang tepat ke mata Mikail. Panahan mata Mylia membuatkan Mikail tidak senang duduk. ‘Ai la adik cantik oi. Jangan pandang abang macam tu boleh tak? Aku terkam kau karang!’ Mikail mengalihkan pandangannya terlebih dahulu. Dia bimbang dia tidak dapat menahan hatinya saat itu.
“Tak apa lah kalau dah kau cakap macam tu. Aku minta maaf sebab aku salah faham. Nah ni upah kau datang teman aku turun bawah ni.” kata Mylia sambil menghulurkan kotak sandwich tuna yang dibelinya sebentar tadi. Mylia pantas bangun dan berlalu dari situ tanpa menunggu Mikail. Dan Mikail juga langsung tidak bergerak dari kerusi. Matanya terarah ke luar tingkap dan fikirannya merewang jauh.
‘Berapa lama aku nak bagi masa kat dia? Sebulan? Dua bulan? Setahun? Takkan sampai setahun? Lama sangat tu aku nak tahan godaan asmara aku ni!’ fikir Mikail sendirian.
Tersenyum simpul Mikail mengenangkan yang kini peluang untuknya terbuka luas untuk memiliki cinta hatinyanya itu. Sudah jauh fikirannya berangan tentang Mylia. Malah Mylia sudah acap kali bertandang dalam mimpi-mimpinya. Kadang-kala mimpinya itu bagaikan realiti membuatkan ada masanya Mikail lupa bahawa itu hanyalah anganannya sahaja yang membuatkan dia seringkali bertindak melebihi batas yang sepatutnya. Seperti kejadian coklat tempoh hari.
Segaris senyuman bahagia bertandang di wajah Mikail. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya cuba menghalau keluar anganannya itu tadi dan cepat-cepat kembali ke dunia nyata.
Semasa Mikail sampai ke pejabatnya, Mylia sudah tertunduk tekun mengadap kerjanya. Sengaja dia lalu dibelakang kerusi Mylia dan menyentuh kerusi itu sambil bergerak menuju ke mejanya. Mylia dapat rasakan sentuhan Mikail itu dan tiba-tiba hatinya berdegup kencang. Dia amat yakin yang mukanya sedang kemerahan kerana dia dapat merasakan bahang kepanasannya.
“Mylia, yang kau tiba-tiba blushing sengsorang ni kenapa? Teringat kat tunang eh?” soal Risya di meja sebelah.
“Heh! Mana ada.” jawab Mylia ringkas dan terus menumpukan perhatiannya pada kerja di tangan.
‘Bukan tunanglah. Ex tunang. Dia blushing tu sebab teringat kat aku.’ Ayat itu hanya bergema di dalam kepala Mikail.
“Wah, banyaknya barang. Awak nak buat kenduri ke ni, Da?” soal Baharom kepada isterinya apabila melihat Hamidah pulang bersama begitu banyak bungkusan plastik. Entah apa isinya, dia sendiri tak tahu.
“Iyer lah. Abang dah lupa lah tu. Malam ni kan Ram nak datang. Dia datang dengan anak lelaki dia tu dan cucu-cucunya.” Sengaja ditekankan frasa ‘anak lelaki dia’ kepada suaminya mengharapkan suaminya itu memahami maksud yang tersirat.
“Oh, iyerlah. Saya terlupa. Dah tu, apa menu kita malam ni?” soal Baharom yang telah turut serta masuk ke dapur bersama-sama isterinya.
“Daging bakar dengan air asam kerisik, favourite abang tu kan? Hati lembu goreng black pepper, sup ayam untuk cucu-cucu Ram.” Jawab Hamidah dengan penuh bersemangat.
“Hurm… sedap!” kata Baharom sambil merapatkan dirinya kepada Hamidah. “Mereka tu nak datang merisik terus ke macam mana?” soalnya perlahan. tidak mahu perbincangan mereka didengari oleh anak-anak.
“Tak lah. Dia datang nak bagi diorang kenal-kenal jer dulu. Mylia belum bagi keputusan, Luqman belum bagi keputusan. Lambat betul budak-budak ni nak fikir. Itu yang kami nak temukan dulu mereka berdua tu.” Jelas Hamidah menceritakan perancangan dia dengan sahabatnya.
“Ha, elok lah macam tu. Kita pun jangan dipaksa sangat anak kita tu, Ida. Dia tu masih rapuh lagi hatinya. Baru lepas kecewa dengan Sufian tu, abang takut nanti dia salah buat keputusan. Merana hidup dia nanti.” Pesan Baharom kepada isterinya.
“Ida tahu lah, abang. Ida yakin pilihan Ida ni tepat untuk anak kita. Abang percaya lah!” kata Hamidah sambil memegang kemas lengan suaminya. Dia cuba meyakinkan suaminya itu.
Selepas Asar, Hamidah sudah memanggil anak-anak daranya bertiga untuk masuk ke dapur membantunya menyediakan juadah untuk malam nanti. Marya tak henti-henti bertanya itu dan ini. Dah habis bertanya, dia pula bercerita tentang itu dan ini. Ada saja benda yang nak dicakapkannya.
Yang menjadi mangsa untuk melayan Marya ialah Mysha. Mylia pula bagaikan tenggelam dalam dunianya sendiri. Sehinggakan Hamidah terpaksa memanggil namanya berkali-kali barulah gadis itu tersedar daripada lamunan nak memberi tumpuan kepada ibunya.
Tepat jam 8:30 malam, kedengaran enjin kereta memasukki halaman rumah Baharom dan Hamidah. Pantas sahaja Hamidah turun untuk menyambut tetamu istimewanya itu. Sambil melintasi bilik-bilik anaknya, dia memanggil mereka semua untuk turun dengan segara.
“Mylia, cepat turun bersalaman dengan makcik Ramlah. Mysha, Marya, terus ke dapur dan hidangkan semua lauk dan terus sendukkan nasi. Jangan lupa buat air. Sirap ais pun okay.” Arah Hamidah satu persatu kepada anak-anak gadisnya.
“Assalamualaikum…” kata Ramlah diiringi oleh salam daripada cucu-cucunya. Hamidah terus membuka pintu rumah dan menyambut Ramlah dengan senyuman yang besar sekali. Baharom berdiri betul-betul di belakang Hamidah.
“Waalaikummussalam… jemput masuk. Jom. Alah comelnya cucu-cucu kau ni Ram…” dia memeluk sahabatnya itu dan kemudian menyambut salam daripada Julia dan Jasmin.
Di belakang mereka, berdirinya Luqman. Setelah Ramlah, Julia dan Jasmin melangkah masuk ke dalam, barulah Luqman dan Baharom mempunyai ruang untuk bertemu dan berjabat tangan.
“Ini Luqman ya?” tanya Baharom.
“Ya saya, pakcik. Pakcik sihat?” soal Luqman dengan penuh hormat.
“Masuk, masuk.” Pelawa Baharom kepada anak lelaki itu. Meskipun usia Luqman sudah menjangkau ke 37 tahun, tetapi wajahnya tidaklah terlalu dimakan usia. Masih cantik jika digandingkan dengan anak daranya nanti.
“Kedai kamu tutup awal lah hari ni, ya Luqman?” soal Hamidah kepada Luqman sebaik sahaja mereka semua mengambil tempat duduk di sofa di ruang tamu.
“Tak lah makcik. Ada budak kerja dua orang tunggu kedai. Lepas ni, saya pergilah kejap untuk tutup kedai tu.” Jelas Luqman.
“Kedai apa kamu buka?” soal Baharom pula. dia memang tidak tahu menahu latar belakang lelaki itu.
“Kedai runcit biasa saja, pakcik. Dekat simpang sekolah menengah tu.” Jawab Luqman. Sememangnya premis perniagaannya cukup dekat dengan rumah Baharom. Malah lebih dekat berbanding rumahnya sendiri.
“Owh, yang dekat lot kedai baru di simpang tiga depan tu? Dekat sangatlah.Dah lama kah kamu buka kedai tu. Pakcik pun selalu sangat pergi kedai tu.” Cerita Baharom kepada Luqman.
“Sejak bangunan tu siap. Saya beli lot tu dan terus buka kedai serbaneka tu.” Cerita Luqman.
Sedang mereka rancak berbual, Mylia turun dengan penuh debaran di dada. Dia tahu lelaki yang mahu dijodohkan dengannya itu ada bersama-sama mereka di bawah sana. Hamidah nampak kelibat Mylia yang sedang mengatur langkah sat persatu dengan perlahan di anak tangga rumah. Pantas saja dia memanggil Mylia. Mylia tidak dapat melihat wajah lelaki tersebut kerana dia memilih kerusi yang membelakangi anak tangga sebagai tanda hormat kepada privasi tuan rumah.
“Ha, Mylia. Mari sini umi kenalkan pada kawan umi, makcik Ramlah.” Mylia berjalan ke arah ibunya. Ramlah sudah berpaling melihat wajah Mylia dengan lebih dekat.
“Oh, ini Mylia.” Kata Ramlah sambil tersenyum lebar. Mylia menghulurkan tangannya kepada Ramlah dan disambut mesra. Mylia menunduk sambil mencium tangan wanita itu.
“Ini cucu-cucu makcik, anak Luqman tu.” Kata Ramlah memperkenalkan cucu-cucunya kepada bakal menantu harapannya. “Yang ini Julia, dah masuk sekolah darjah 1. Yang ini Jasmin, dah tadika 5 Tahun.”
“Oh, dah sekolah dah dua-dua.” Hamidah yang menegur mereka. Mylia hanya menyalami anak-anak itu seperti biasa. Selepas itu, mahu sahaja Mylia melangkah kaki ke dapur tetapi di tahan ibunya. Mylia terduduk di sebelah Hamidah menghadap semua yang ada di situ.
“Mylia, kenalkan. Ini lah Luqman.” Mylia mengangkat kepalanya ke arah yang ditunjukkan umi. Terkejut Mylia melihat lelaki itu yang dia amat kenali semenjak kejadian membeli tuala wanita tempoh hari. Ternyata di wajah Luqman langsung tiada kejutan. Mylia hanya menundukkan kepalanya tanda hormat. Kemudian, Luqman juga membalasnya.
“Eh, jomlah makan. Dah nak pukul 9 malam. Masuk angin pulak perut nanti.” Akhirnya Baharom bersuara apabila melihat keadaan yang agak dingin di situ.
Mereka makan dengan meriah sekali. Sekali-sekala kerenah Julia dan Jasmin mengundang ketawa di meja makan itu. Hamidah mengarahkan Mylia melayan dua anak-anak kecil itu dan Mylia menurutnya dengan senang hati. Bukan satu tugas sukar untuk Mylia melayan anak kecil. Dia kakak yang sulung. Semasa Marya lahir, dia sudah pun berusia 11 tahun. Sudah menjadi tugas hariannya untuk mengasuh adik bungsunya itu.
Selesai makan, Hamidah meminta Mylia membawa Luqman keluar ke beranda sisi rumah untuk berbual berdua dan cuba saling mengenali.
“Mylia, bawa Luqman duduk di beranda tepi tu. Ambik angin kat luar tu. Waktu-waktu macam ni, kawasan tu berangin.” Kata Hamidah dengan sedikit kuat. Dia tahu dalam keadaan begitu, kedua-dua mereka terpaksa menurut untuk menjaga air mukanya. Ramlah tersenyum sahaja. Memang tujuan mereka untuk memperkenalkan Mylia dan Luqman.
Mylia bergerak terlebih dahulu untuk keluar ke beranda tersebut dan duduk di salah sebuah kerusi. Tidak lama kemudian, Luqman muncul dan duduk di kerusi bertentangan.
Mulut Mylia terkunci rapat. Tidak tahu apa yang perlu dicakapkannya. Manakala Luqman pula sedikit resah. Ada rasa bersalah terhadap Aisyah apabila dia duduk berdua-duaan dengan perempuan lain seperti itu. Cincin perkahwinannya di jari diputar-putar perlahan.
“Saya masuk ambil air.” Mylia segera mengangkat punggungnya untuk masuk ke dalam tetapi segera dihalang Luqman.
“Tak payah. Saya tak dahaga.” Kata Luqman tanpa langsung memandang kepada Mylia. Mylia kembali duduk di kerusinya. “Kenapa awak nak kahwin dengan saya?”
Mylia tercengang.
Share this novel