~ 11 ~

Romance Completed 13901

Cerita persandingan Mylia hujung minggu itu menjadi topik perbualan hangat di pejabat. Panas juga telingan Mikail mendengarnya. Ada juga dia cuba-cuba untuk membela wanita itu tetapi dia tidak boleh keterlaluan. Bimbang pula nanti cerita dia tergila-gilakan isteri orang pula yang dijaja serata alam.

“Aku tak sangka tunang Mylia tu duda. Macam mana lah dia boleh minat dengan duda anak dua tu? Hairan betul aku.” Kata Risya. Agak kuat dan bersahaja dia mengeluarkan kata-kata kerana dia yakin kata-katanya tadi tidak akan sampai ke telinga Mylia. Mylia kan masih bercuti.

“Orang kaya kot?” jawab Borhan pula menyokong kenyataan Risya sebentar tadi. Mikail hanya menadah telinga. Dia sedang berfikir-fikir untuk menjawab bagi pihak Mylia tetapi dia harus memilih alasan yang paling selamat untuk dirinya juga.

“Handsome apa suami dia tu. Siap pakej tanggungjawab lagi.” kata Mikail.

“Mana kau tau dia bertanggungjawab?” balas Risya cuba menyangkal.

“Kalau dah dia sendiri yang bela anak dia sorang-sorang, tak cukup bertanggungjawab ke? Kau nak macam mana lagi?” Mikail cuba berhujjah.

“Hurm… boleh diterima akal. Tapi Mylia tu lawa kot. Ramai lagi anak-anak teruna bujang dalam dunia ni. Korang berdua pun bujang lagi apa.” Kata Risya lagi.

“Kami tak boleh nak bukti kata kami ni cukup bertanggungjawab. Biarlah dia nak cari sapa pun.” Balas Mikail.

“Tapi betul lah cakap kau, Mika. Ada rupa juga suami si Mylia tu. Kahwin dengan duda, dah siap dapat pakej anak-anak. Tak payah kalut-kalut nak beranak. Boleh maintain body lama sikit. Betul tak?” kata Borhan kepada Mikail sambil menjongket-jongketkan keningnya. Ada maksud mendalam disebalik ayatnya itu. Berdesing betul telinga Mikail mendengar komen Borhan yang berbaur lucah terhadap Mylia.

“Macam-macamlah kau!” kata Mikail sambil pura-pura ketawa. Walhal hatinya menggerutu geram.

‘Mangkuk betul mamat ni! Aku ni dah penat tepis otak aku duk fikir benda-benda macam tu sejak malam pertama Mylia kahwin. Hari ni, dia boleh bagi hint-hint macam tu pula!’

Payah sungguh Mikail mahu menghadam yang wanita yang menjadi ratu hatinya itu kini sudah menjadi milik orang lain. Milik jirannya pula lagi. Setiap kali dia memandang wajah Luqman, hatinya menjadi marah. Mahu saja dia pergi menjerit di muka pintu rumah Luqman meminta agar dikembalikan kekasih hatinya itu. Tiba-tiba Mikail berasa serba tak kena. Terus sahaja dia bangun dan mula bergerak keluar.

“Kau nak ke mana pula tu? Aku nak ikut!” tanya Borhan sambil bangun berdiri dan bersedia untuk mengiringi Mikail. Sangkanya Mikail ingin ke café.

“Aku nak pergi toilet. Kau nak ikut? Jom!” jawab Mikail selamba.

“Alaaa… aku ingat kau nak pergi café.” Kata Borhan dan kembali melabuhkan punggungnya ke kerusi.

“Kau nak pergi café? Jom, aku nak ikut.” Kata Risya pula kepada Borhan.

“Jom!” mereka pun bergerak bersama-sama menuju ke pintu lif.

Mikail tidak menuju ke tandas, tetapi dia masuk ke pintu menuju ke tangga bangunan. Dia memanjat naik ke tingkat atas dan menuju ke pintu lif. Dia mahu mengelakkan diri daripada dua orang sahabatnya itu. Dia masuk ke dalam lif dan menekan butang ‘Rooftop’.

Di atas ruang legar tingkat paling atas bangunan pejabatnya itu, Mikail berdiri mengadap pemandangan bandar dihadapannya itu. Dia perlu menenangkan diri. Dia perlu membuang Mylia jauh-jauh. Dia sudah tidak mungkin memiliki Mylia lagi. Dia sudah tidak boleh menyimpan hati kepada wanita itu. Berdosa untuk dia menyimpan perasaan terhadap isteri orang. Dia bukan orang yang sebegitu. Sedangkan sewaktu Mylia menjadi tunangan orang pun dia langsung tidak menganggu, apatah lagi sekarang Mylia sudahpun memegang status isteri orang.

“Kau perlu move on, Mika. Kau kena cari orang lain. Mylia dah out of the game. Mylia dah beyond your reach. Move on!” kata Mika kepada dirinya sendiri.

“Mylia sekarang dah bahagia dengan lelaki lain. Kau tak payah nak kacau dia lagi. Stop Mika. Stop!”

* * * * *

Atas desakan ibunya, Luqman bersetuju untuk membawa Mylia pergi berbulan madu. Tetapi atas permintaan Mylia, Julia dan Jasmin turut sama pergi bercuti bersama-sama mereka.

“Nanti kau cari bilik asing-asing dengan anak-anak. Ingat pesan mak. Biar Mylia juga ada kenangan indah honemoon dia.” Pesan Ramlah kepada Luqman. Luqman langsung tidak memberikan apa-apa respon kepada ayat-ayat ibunya itu.

Luqman hanya membawa Mylia dan anak-anak ke Bukit Tinggi, Pahang. Itupun atas permintaan Mylia. Sebenarnya, Mylia terlebih awal berbincang dengan Julia dan Jasmin. Mereka yang memilih untuk ke sana. Dia juga sudah mengajar anak-anak itu untuk membuat permintaan kepada abi mereka untuk tinggal satu bilik dengan Mylia dan Luqman. Dia yakin Luqman tidak akan sesekali menolak permintaan anak-anaknya.

Walaupun dia tidak mungkin akan mendapat satu pengalaman berbulan madu paling manis bersama suaminya, setidak-tidaknya dia ada pengalaman paling berharga bersama anak-anak tirinya itu.

Perjalanan dari rumah mereka ke Bukit Tinggi mengambil masa hampir lima jam. Riuh-rendah kereta milik Luqman dengan kerenah Julia dan Jasmin. Ada saja yang mereka ingin tahu. Sekejap mereka tanyakan kepada Luqman, sekejap mereka tanyakan kepada Mylia. Waktu itu senyuman sentiasa terukir di wajah Luqman dan juga Mylia.

Sebaik sahaja mereka berdua terlentok tidur di tempat duduk belakang, suasana di dalam kereta bertukar menjadi sunyi sepi. Senyuman yang terukir di wajah Luqman dan Mylia tadi juga kini hilang. Luqman memandang tepat ke hadapan memberikan tumpuan kepada jalan raya, manakala Mylia pula hanya memandang ke sisi jendela. Hanya lagu di radio sahaja yang memecah kesunyian. Dan akhirnya, Mylia juga tertidur.

Sebaik sahaja kereta berhenti, terus sahaja Julia dan Jasmin tersedar daripada tidur mereka. Mylia pun begitu.

“Kita dah sampai ke, abi?” soal Julia.

“Dah. Jom kita naik ke atas.” Kata Luqman. Lot parker kereta terletak di aras bawah tanah. Mereka perlu naik ke atas untuk ke lobi hotel.

Julia dan Jasmin masing-masing memiliki beg bagasi kecil kepunyaan mereka sendiri. Luqman memang membiasakan mereka untuk sentiasa menjaga barang peribadi masing-masing. Jadi sambil berjalan, masing-masing menarik beg masing-masing. Begitu juga dengan Mylia dan Luqman. Luqman terlebih dahulu mengemas pakaian yang ingin dibawanya ke dalam beg sandang kecil yang biasa di bawa ke mana-mana. Melihat Luqman mengemas pakaiannya sendiri, Mylia membiarkan sahaja sehingga dia selesai, kemudian barulah Mylia mengemas pakaiannya pula di dalam begnya sendiri.

“Abi ingat tau… Jasmin nak tidur sebilik dengan abi dan ibu. Jasmin tak nak tidur jauh-jauh. Jasmin takut.” Pinta Jasmin yang jalan berpimpin tangan dengan Luqman. Luqman tidak menjawab permintaan Jasmin dengan perkataan, tetapi dia hanya merangkul rapat bahu anak kecil itu bagai memberikan satu perjanjian.

Sementara menunggu Luqman mendaftar masuk di kaunter, Mylia membawa anak-anaknya meninjau di Kawasan berhampiran. Tiba-tiba mereka terpandang sebuah kedai kecil yang terletak betul-betul berhadapan dengan pintu lobi. Terdapat pelbagai barangan kanak-kanak di dalamnya. Julia dan Jasmin ternampak anak patung lembut berbentuk unikon. Melompat-lompat mereka minta dibelikan. Dan secara kebetulan, terdapat sebuah buku cerita kulit tebal bersaiz besar tentang unikon. Dengan senang hati Mylia membelikan semuanya untuk mereka.

Dengan senyuman lebar, mereka berjalan kembali kepada Luqman sambil memeluk erat patung unikon ke dada.

“Abi! Tengok ni!” tunjuk Julia kepada Luqman.

“Amboi, belum apa-apa lagi dah shopping?” soal Luqman kepada anak-anaknya.

“Ibu belikan. Comel tak?” jawab Julia. “Buku unikon pun ada. Ibu, tunjuk kata bi buku tadi.” Kata Julia sambil merabut pantas plastik di tangan Mylia. “Tengok ni abi. Besar buku ni!” cerita Julia lagi. Luqman menggeleng-gelengkan kepalanya. Mujur juga ada Mylia yang sudi melayan anak-anaknya. Kalau hanya dia yang datang bercuti dengan mereka, taka da lah peluang mereka nak membeli-belah semewah itu. Dia arif benar dengan harga barang-barang itu.

“Nanti saya bayar balik semuanya.” Kata Luqman kepada Mylia. Kecil hatinya mendengar ayat Luqman.

‘Tak laku sangat ke duit aku tu? Kot ye pun kau tak nak ngaku aku bini, at least biarlah budak-budak tu terima aku sebagai ibu. Ke nak jadi ibu anak-anak kau pun tak boleh? Payah lah kau ni. Hish!’ Tapi apa guna dia merajuk. Tak ada sesiapa yang sedar dan peduli. Nak mengharap Luqman memujuknya, jauh panggang dari api. Mylia memendam rasa.

Sesampainya mereka di bilik penginapan mereka, Julia dan Jasmin sudah melompat-lompat di muka pintu. Tak sabar mereka nak menerjah bilik tersebut. Seronok sangat sesekali dapat tidur di hotel seperti itu.

“Kakak cop remote TV!” kata Julia kepada Jasmin.

“Adik cop remote aircond?” kata Jasmin pula ingin berlawan. Mylia tertawa kecil mendengar ayat Jasmin.

“Adik tak cukup sejuk lagi ker? Mana ada aircond kat tempat ni. Kan dah sejuk ni.” Kata Mylia kepada Jasmin.

“Alaaa… adik nak cop katil. Adik tidur dengan ibu. Kakak tidur dengan abi.” Kata Jasmin lagi.

“Mana boleh! Kakak nak tidur dengan ibu. Adik lah tidur dengan abi!” makin riuh rendah jadinya. Luqman malas melayan gaduh manja anak-anaknya itu. sebaik sahaja pintu dibuka, laju saja Julia dan Jasmin berlari masuk meninggalkan Mylia dan Luqman di luar.

Luqman berdiri di hadapan muka pintu untuk memberi laluan kepada Mylia. Tetapi Mylia tidak mahu melintasi lelaki itu. Dia mahu Luqman masuk terlebih dahulu. Apabila melihat Luqman yang berdiri kaku di situ, Mylia membuka langkah untuk masuk. Serentak dengan itu, Luqman juga turut bergerak menyebabkan mereka berlanggar antara satu sama lain.

Walaupun tubuh Mylia berada di hadapan Luqman, tetapi bagasi nya tersangkut di belakang kaki lelaki itu menyebabkan dia tidak boleh bergerak selagi Luqman tidak bergerak.

“Ish…” telinga Mylia menangkap rengusan kasar Luqman. Dia menyumpah-nyumpah dirinya sendiri. Oleh kerana dia tidak boleh bergerak begitu, dia melepaskan bagasinya hingga jatuh ke lantai dan segera melangkah ke depan dan menyandarkan dirinya ke dinding. Luqman pantas berjalan masuk ke dalam bilik. Mylia menarik nafas dalam-dalam dan tunduk mencapai begasinya yang rebah di lantai. Kekok sungguh mereka berdua. Selepas kejadian malam itu, bertambah kekok jadinya mereka. Itulah kali pertama dan terakhir Luqman menyentuhnya begitu.

Oleh kerana mereka tiba agak lewat tadi, Luqman mencadangkan agar mereka hanya berehat sahaja di bilik sehingga waktu maghrib. Semasa menonton televisyen, Julia dan Jasmin kedua-duanya duduk mengepung Mylia di kiri dan kanan meninggalkan Luqman yang duduk bersandar di katil yang satu lagi sendirian. Bosan dengan tayangan di televisyen, Luqman bangun menjengah ke jendela bilik mereka.

Meriah sungguh suasa di ruang legar hotel tersebut. Setiap bangunan dua tingkat itu dibina dengan bercirikan binaan Perancis. Tingkat bawah menempatkan semua jenis premis perniagaan, manakala tingkat atas pula semuanya adalah bilik penginapan. Udara yang segar dan dingin sentiasa menyamankan dan mendamaikan hati pengunjung.

‘Kalaulah Aisyah ada di sini, mesti best. Cuaca sejuk-sejuk macam ni, seronoknya kalau dapat peluk isteri sendiri.’ Fikir Luqman sambil tersenyum-senyum melayan perasaannya.

“Abi!” Panggilan Jasmin mematikan angannya. Dia berpusing memandang Jasmin yang sedang erat dipeluk Mylia. Sebaik sahaja dia terpandang wajah Mylia, hatinya menggerutu.

‘Kenapa kau perlu ada di sini? Aku tak perlukan kau. Aku perlukan Aisyah.’ Dia kembali memandang ke luar tanpa menjawab soalan Jasmin sebentar tadi.

Sebaik sahaja azan berkumandang, Mylia pantas sahaja turun dari katilnya dan masuk ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersedia untuk solat. Dia sudah rimas dengan suasana di dalam bilik itu. walaupun matanya tidak memandang dengan tepat, tetapi dia boleh nampak betapa air muka Luqman tadi bagaikan marah kepadanya. Entah apa pula silapnya.

Selesai mereka semua solat, mereka turun bersama-sama menikmati suasana malam di pusat peranginan itu. Mereka memilih untuk menikmati makanan Itali bersesuaian dengan suasana Eropah waktu itu. Masing-masing memesan pasta kegemaran masing-masing. Julia dan Jasmin memilih angle hair Olio Aglio manakala Mylia dan Luqman pula memilih spaghetti Bolognese dengan bebola daging. Oleh kerana masing-masing sibuk melayan bermacam-macam soalan dan permintaan Julia dan Jasmin berselang-seli dengan senyuman dan ketawa riang, mereka berempat kelihatan bagai satu keluarga yang bahagia.

Selesai makan, mereka berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Mylia banyak mengambil gambarnya sendiri bersama-sama Julia dan Jasmin secara swafoto. Luqman tidak akan turut serta kecuali apabila dipaksa oleh anak-anaknya. Yang pasti, tiada langsung senyuman terpancar kecuali ketika dia bergambar bersama anak-anaknya.

‘Macam mana nak up dlm Insta macam ni? Nanti semua orang mesti tanya.’ Fikir Mylia. Malas pula dia nak menjawab soalan-soalan panas kawan-kawannya nanti jika dia langsung tidak memasukkan gambar suaminya bersama. ‘Argh… sampai bila nak hidup berlakon macam ni? Kenapalah hidup aku boleh jadi macam ni? Dulu masa single elok je… sekarang dah huru-hara.’

“Ibu, jom balik. Adik dah ngantuk.” Pinta Jasmin sambil memeluk badan Mylia dengan penuh manja. Jasmin langsung tiada memori dengan ibunya yang sebenar, Aisyah. Dia masih lagi bayi semasa Aisyah pergi meninggalkan mereka. Mylia lah ibu pertama yang dia kenal. Manjanya dia dengan Mylia bukan main-main. Dia bagaikan menyerahkan segala isi hatinya kepada Mylia demi kasih-sayang seorang ibu. Tinggi kepercayaan anak itu terhadap Mylia.

“Adik dah ngantuk? Okay, jom kita balik tidur yer.” Kata Mylia sambil terus menggosok-gosok belakang badan anak itu. “Kakak nak balik? Ke nak jalan-jalan lagi?” soal Mylia kepada Julia yang sedang memimpin tangan Luqman. Julia melangut memandang Luqman meminta jawapan.

“Abi nak jalan-jalan kejap. Kalau Julia nak balik dulu, boleh balik dengan ibu.” Jawab Luqman kepada Julia merangkap kepada Mylia juga.

“Kakak ikut ibu lah.” Kata Julia sambil beralih memimpin tangan Mylia. Mereka berjalan bersama-sama menuju ke bilik mereka. Mylia meminta mereka menukar pakaian terlebih dahulu, cuci muka dan kaki, kemudian barulah boleh naik ke katil. Asalnya mereka meminta Mylia membacakan cerita unikon yang dibeli siang tadi, atetapi belum sempat Mylia membaca, mereka berdua sudah nyenyak terlena. Oleh kerana mereka baru sahaja terlena, Mylia yang baring di tengah-tengah katil antara Julia dan Jasmin tidak mahu bangun lagi. Bimbang anak-anak itu akan terjaga. Dia hanya membelek-belek telefonnya, membuka satu media sosial ke satu media sosial yang lain. Akhirnya, dia juga terlelap di situ.

Luqman berjalan-jalan sendirian dalam suasana yang sungguh dingin itu. Sesekali angin bertiup kuat menyebabkan badannya sedikit menggigil. Ketebalan seluar Jeans biru dan baju panas tidak mampu menghalang suhu sejuk itu dari sampai ke kulitnya.

‘Sejuk sungguh tempat ni, sayang. Kalaulah sayang ada di sini bersama-sama abang…’ bisik hati Luqman. Rindunya kepada Aisyah tak pernah padam. Dia berjalan sehingga ke hujung Kawasan di mana terletaknya sebuah kolam buatan. Di sana terdapat sepasang angsa putih dan sepasang angsa hitam. Tiba-tiba, fikiran jauh merewang kembali ke masa silam.

“Kau buat apa tu Man?” Luqman terkejut dengan suara Aisyah yang tiba-tiba menyergahnya dari jauh. Hilang tumpuan pada sasarannya sebentar tadi. Getah lastik yang diregangkan sebentar tadi dikendurkan kembali.

“Kau ni kacau lah, Ecah.” Marah Luqman kepada Aisyah. Angsa kepunyaan ketua kampung mereka juga turut terkejut mendengar suara Aisyah sebentar tadi dan berlalu pergi menjauhi mereka.

“Kau ni asyik kacau angsa tu. Nanti dia kejar kau, baru tau.” Kata Aisyah sambil datang menghampiri Luqman yang sedang duduk melutut di tepi semak. Aisyah juga duduk melutut di sebelahnya.

“Aku tak takutlah. Setakat angsa tu, mana dia larat nak kejar aku. Aku pemenang pingat emas lari 100m tau!” jawab Luqman dengan megah.

Dengan tak semena-mena, Aisyah menarik kedua-dua belah selipar Luqman dan bangun berdiri. Dengan sekuat hatinya, dia menuju selipar tersebut ke arah angsa di hadapan mereka. Dengan sepantas kilat, Aisyah berlari meninggalkan Luqman dengan ketawa besar.

Luqman yang baru lepas tergolek disebabkan seliparnya direntap sebentar tadi terpaksa bergegas-gegas bangun dan berlari kerana angsa-angsa ketua kampung mereka itu sudah mula mengejar mereka. Luqman yang berlari kaki ayam menjerit-jerit kesakitan apabila dia terpijak batu dan duri di sepanjang jalan pulang ke rumahnya. Walaupun dia terselamat daripada angsa-angsa itu, tetapi kakinya berdarah teruk akibat terpijak batu tajam. Seminggu Luqman kaki Luqman berbalut dan jalannya pula terhencot-hencot. Setiap hari itulah juga Aisyah akan datang untuk mentertawakannya.

“Aisyah… Aisyah… ganas sungguh perangai Aisyah dulu. Asyik buli abang jer kan. Mujur lepas kahwin Aisyah dah tak buli abang lagi dah. Pandai Aisyah hormat abang sebagai suami Aisyah. Bila agaknya abang dapat berjumpa dengan isteri abang lagi?” sebaik sahaja Luqman tersebut perkataan ‘isteri’, terus sahaja dia teringatkan Mylia.

“Argh! Perlu ke aku naik ke bilik dan tidur dengan perempuan tu? Spoil betul lah!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience