Seperti yang diberitahu Mikail, slot petang itu begitu meriah sekali sebaik sahaja Mikail melangkah naik ke pentas untuk pembentangannya. Mikail yang sememangnya memilik wajah yang amat mendamaikan setiap mata yang memandang, turut sama menghiburkan dengan cara penyampaian yang begitu bersahaja, mesra pendengar dan begitu santai. Majlis yang sepatutnya formal tiba-tiba bertukar mood menjadi sangat kasual.
“Saya tahu petang-petang macam ni ramai yang dah terbayang bantal empuk kat bilik dah kan? Kalau ada yang nak tidur, silakan. Saya faham. Kalau saya sendiri yang dengar saya membebel, saya pun boleh tidur. Silap-silap saya dulu yang tidur atas pentas ni bila saya buka slaid saya kejap lagi.” Ujar Mikail sewaktu dia memulakan bicaranya. Terdengar ketawa-ketawa kecil bergema di dalam dewan.
Dengan ketinggian 187 cm, berkulit kulit langsat dan rambut ikal yang kemas tersisir, sesiapa pun akan mudah jatuh hati dengan Mikail. Ditambah dengan sifatnya yang periang, lemah-lembut bicaranya dan bersahaja serta cukup pandai memancing perhatian, gadis-gadis mungkin sudah mula mencari namanya di dalam buku program untuk berkenalan. Yang wanita lebih berusia pula mungkin sudah mula berangan untuk menjadikan dia calon menantu. Apabila Mikail tersenyum, sebaris gigi putih bersih beserta sepasang gigi taring tajam yang sedikit menonjol berbanding yang lain menambahkan lagi kemanisan dan kekacakkan lelaki itu.
Mylia memerhatikan sekeliling dewan. Rata-rata peserta tersenyum-senyum dan sangat memberikan tumpuan kepada setiap butir bicara Mikail di atas pentas. Tiada seorang pun yang kelihatan gusar mahupun berat mata. Semasa sesi soal-jawab sebelum berakhirnya slot, soalan bertali arus menandakan semua yang mendengar memberi tumpuan penuh ke atas apa yang disampaikan. Sejam masa yang diberikan kepada Mikail berlalu bagaikan tak terasa. Mikail diberikan tepukan gemuruh, bergaung satu dewan. Semua orang yang ada di situ berpuas hati dengan penyampaian Mikail.
“How did I do?” soal Mikail semasa meraka berjalan beriringan keluar daripada dewan.
“You did great! Congratulations! Semua orang seemed to enjoy very much.” Balas Mylia.
Dia sendiri tumpang berasa bangga dengan bakat hebat sahabatnya itu. Biasanya dia hanya melihat Mikail memberi ucapan di program-program kecil anjuran syarikat mereka. Tetapi kali ini, Mikail bercakap dihadapan wakil setiap negeri seluruh Malaysia. Sesuatu kejayaan yang sangat-sangat dibanggakan.
“Thank you. Nervous tak habis lagi tau. Sejuk beku tangan aku ni.” Mikail menunjukkan tapak tangannya kepada Mylia. Pucat-lesi bagaikan tiada darah.
“Kau langsung tak nampak nervous kat atas tu. Kau nampak relax dan sangat convincing. I am very proud of you.” Kata-kata Mylia sangat membahagiakan Mikail. Perlahan-lahan gemuruhnya tadi mula surut. Perasaan lega pula yang datang mengganti. Selesai sudah satu tugasan besar yang diberikan oleh pengarah di tempat kerja barunya. Dia sendiri berpuas hati.
“Nak minum petang sekali?” soal Mikail kepada Mylia.
“Tak kot. Aku tunggu abang Luqman.” Balas Mylia dengan lembut sambil tersenyum. Dia tak mahu Mikail berkecil hati.
“Oh yer. Dia tunggu kat atas ya?” soalnya kembali.
“I guess so.” Mylia cuba juga meninjau sekeliling. Mungkin Luqman turun lebih awal. Tetapi Luqman tidak kelihatan.
“Kalau macam tu, aku gerak dulu. Bye Mylia. Jumpa esok.” Ucap Mikail sebelum mula melangkah pergi.
“Okay Mika. See you.” Mylia terus mencapai telefon di dalam beg tangannya dan mendail nombor Luqman. Sementara menunggu panggilannya dijawab, Mylia teringat pelukan Luqman tengahari tadi. Mylia mula gemuruh dan tapak tangannya kembali berpeluh.
“Hello, dah habis program petang ni?” soal Luqman. Mylia mengangkat keningnya apabila terdengar soalan yang keluar dari mulut Luqman. Jarang sungguh diam ahu bercakap banyak seperti itu.
“Baru habis. Nak turun minum petang?” soal Mylia kembali.
“Malam ni ada program?” soal Luqman kembali. Dia sebenarnya sedang merancang sesuatu.
“Tak ada. Makan malam buffet je malam ni jam 7 – 9 malam.”
“Jom kita makan kat luar nak?” Luqman ingin mengambil masa sekarang untuk lebih mengenali isterinya itu. Sepetang dia membelek kalendar tadi. Mereka hanya ada masa kurang 3 bulan sahaja lagi sebelum tiba hari ulangtahun perkahwinan mereka.
Luqman tahu peranan Mylia dalam keluarganya sekarang. Emak Luqman sangat-sangat menyenangi isterinya itu. Julia dan Jasmin paling rapat dengan Mylia sejak hari pertama mereka bernikah lagi. Kalau sesuatu berlaku antara dia dan Mylia, dia yakin sangat yang keluarganya akan lebih kemurungan. Terutama anak-anak kecil yang sudah mula merasa kasih ibu daripada Mylia walaupun Mylia bukan ibu kandung mereka.
Sejak akhir-akhir ini, ‘perbualannya’ dengan Aisyah seringkali berlegar-legar tentang hubungannya bersama Mylia. Walaupun dia hanya berbiacara sendirian, tetapi sedikit-sebanyak ia membantu Luqman dalam membuat keputusan. Luqman bukan seorang yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan dalam urusan hidupnya serta orang sekelilingnya. Dia sangat mengambil berat tentang mereka. Jika tidak, masakan dia balik untuk tinggal bersama Ramlah dan menurut permintaan emaknya walaupun hatinya teramat berat.
“Okay, saya naik tukar baju.” Balas Mylia sambil berjalan menuju ke biliknya.
‘Aku tak boleh tarik hand break. Ini cadangan aku sendiri. Sebelum ni aku yang beria ajak dia usaha untuk kekalkan perkahwinan kami ni. Sekarang aku nak back off. Mana boleh macam tu. Aku mesti bersedia dengan apa saja kebarangkalian. Aku isteri, dia suami. Aku mesti prepare mental aku sekarang.’ Pesan Mylia kepada dirinya sendiri. Sebelum ini mungkin dia tidak menyangka Luqman akan bertindak sebegitu. Tapi Mylia perlu sedar, kalau perkahwinan ini kekal, itulah benda yang dia mesti hadap saban hari seumur hidup mereka.
Sampai di hadapan pintu bilik, Mylia berdiri tercegat di situ. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya deras. Kemudian Mylia menepuk-nepuk pipinya agar dia sedar denga napa yang menanti dihadapannya selepas ini.
‘Here goes nothing. Bismillahirrahmanirrahim…’ Bisik hati Mylia sambil menekan loceng bilik.
“Assalamualaikum.” Sapa Luqman sambil membuka pintu bilik. Tergaris juga sebuah senyuman nipis di wajah lelaki itu.
“Waalaikummussalam. Saya salin baju dulu okay.” Kata Mylia kepada Luqman. Luqman hanya mengangguk dan kembali duduk di mejanya. “Awak busy ker?” Soal Mylia. Hairan melihat fail-fail yang terbentang di atas katil dan resit-resit yang memenuhi meja bersebelahan komputer riba.
“Tak lah. Update account saja.” Beritahu Luqman. Dia sudah mula menyusun semua dokumen bersedia untuk keluar. “Awak take time yer. Tak rushing pun. Kita makan malam kat luar terus nanti. Nak tengok wayang tak?” usul Luqman.
“Boleh jugak.” Jawab Mylia sambil berlalu masuk ke dalam bilik air. Selesai menukar baju, Mylia keluar daripada bilik air dan mencari tudung yang sepadan dengan blaus dan jeans yang dipakainya. Untuk setiap baju yang dibawa, dia pastikan tudung yang sepadan juga di bawa. Jarang Mylia mengulang pakai pakaian yang sama berkali-kali. Pleated shawl warna biru gelap diletakkan di kepala. Kulit putih bersih miliknya semakin menyerlah apabila warna gelap begitu melingkari kepala. Dengan hanya bedak, lipstick dan sedikit maskara, Mylia sudah bersedia untuk keluar.
Tanpa disedari Luqman, matanya tekun merenung Mylia merapikan diri. Satu persatu perbuatan Mylia ditiliknya. Daripada dia mengikat rambut dan disimpulkan menjadi sanggul, cara Mylia meratakan bedak ke wajahnya, saat Mylia terdongak-dongak memakai maskara sehinggalah siap tudung dipinkan ke bahu, Luqman langsung tak lepas pandang.
“Rajin sungguh dia pakai itu ini. Bedak dengan lipstick tu okay lah, tapi maskara tu nak buat apa? Macam tak nampak beza pun mata dia tu. Nak lilit tudung tu pun macam-macam gaya. Kejap pusing sini, kejap pusing sana. Macam-macam ragam perempuan ni. Aisyah dulu senang je dia. Setiap masa dengan tudung segiempat dia tu.’
“Ini namanya tudung bawal.” Kata Aisyah sambil mengibarkan kain tudung itu dihadapan mukanya. “Kalau shawl yang panjang tu. Selendang orang tua-tua panggil. Sayang tak suka pakai tu. Rasa tercekik tengkuk ni ha. Pakai bawal ni senang. Selesa jer dan yang penting tutup aurat.” Sambung Aisyah lagi.
“Kenapa panggil bawal? Dalam banyak-banyak nama dalam dunia ni, kenapa bawal?” soal Luqman tak puas hati.
“Ermmm… sebab dia segiempat lah kot. Ikan bawal kan segiempat.” Aisyah bukanlah fasyenista. Dia langsung tak ambil peduli tentang hal-hal fesyen terkini mahupun sejarah sesuatu trend. Dia hanya pilih mana yang dia selesa.
“Kalau macam tu, baik panggil tudung pari jer. Ikan pari pun segiempat jugak.” Luqman cuba berdebat.
“Ish orang dah bagi nama bawal, yang nak pening-pening kepala fikir nama lain tu nak buat apa?” bangkang Aisyah.
“Iyerlah. Ada pulak bawal. Apa kaitan tudung ni dengan ikan? Banyak lagi benda lain yang sama bentuk.” Debat Luqman lagi.
“Aduhaaiiii… abang n ikan buat sakit kepala jer lah fikir benda-benda tak berfaedah ni. orang dah carikan, kita guna je la. Dah jom keluar.” Aisyah merangkul lengannya sambil menarik Luqman untuk bangun dari katil.
Luqman sangat terkejut bila lengan bajunya ditarik-tarik. “Bi, dengar tak ni?” soal Mylia sedikit keras. Dah berkali-kali dia memanggil Luqman tapi lelaki itu bagai hanyut.
“Ah? Apa dia?” Luqman menarik nafas dalam-dalam. Cuba menenteramkan diri dan kembali ke alam nyata.
“Jauhnya termenung.” Kata Mylia perlahan. ‘Ingatkan Aisyah lagi lah tu.’ Fikirnya.
“Sorry. Dah siap dah?” ucap Luqman.
“Dah.” Milia terus bangun menuju ke pintu. Sampai di pintu, dia mengenakan kasut wedges setinggi 2 inci kegemarannya. Namun, Mylia masih lagi jauh lebih rendah daripada Luqman.
“Kita makan dulu, lepas tu kita tengok wayang. Movie start jam 8:45. Saya dah book dah. Boleh?” terang Luqman kepada Mylia. Mylia hanya mengangguk bersetuju dan mengikut Luqman keluar.
Luqman terus sahaja memandu menuju ke salah satu pasaraya besar di daerah itu. Dia rancang untuk makan malam di situ dan terus sahaja menunggu masa untuk tayangan mereka. Jadi, tak perlu mereka menyinggah mana-mana tempat lagi.
“Kita makan Nando’s boleh?” Soal Luqman sambil mereka berjalan beriringan masuk ke dalam pasaraya. Jarak dari parkir ke pintu masuk agak jauh kerana bilangan kenderaan di situ agak banyak menandakan pengunjung di situ juga mungkin penuh.
“Okay.” Mylia jarang memilih makanan asalkan ianya tidak pedas dan tidak masam. Dia tiada masalah denga napa-apa jenis makanan pun, ayam, ikan, daging, kambing mahu pun makanan laut langsung tidak menjadi masalah. Pandailah nanti dia cari masakan yang tidak pedas dan tidak masam.
Sesampainya di hadapan pintu masuk restoran, kelihatan begitu ramai pengunjung yang sedang beratur untuk masuk. Luqman menjengah ke dalam dan melihat hampir keseluruhan meja ada pelanggan.
“Penuh sangat ni. Nak tunggu ker?” soal Luqman sambil berfikir-fikir. Dia pusing mencari restoran-restoran yang lain yang mungkin lebih sesuai dan selesa.
“Macam buang masa jer. Nanti nak kena makan laju-laju sebab ramai yang tengah tunggu turn.” Jawab Mylia.
“Betul. Jom kita tengok sebelah sana.” Luqman menunjukkan arah sambil meletakkan tangan satu lagi belakang Mylia menolaknya berjalan perlahan-lahan menyusup orang ramai yang ada di situ. Mylia kaget. Cepat-cepat dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba menenagkan dirinya.
‘Lama-lama biasalah kan? Bertenang Mylia… bertenang…’ fikirnya.
“Sini lapang sikit. Boleh?” cadang Luqman. Dia memandang wajah Mylia dan hairan apabila ada keruhan di situ. “Kenapa? Awak tak makan Kenny Roger’s ker?” Luqman dah salah tafsir keruhan wajah Mylia.
“Makan je.” Jawab Mylia sambil cuba menarik turun tangan Luqman dibelakangnya. Oleh kerana jemari Mylia sudah bersentuhan dengan jemari Luqman, terus saja Luqman mengenggam erat.
“Okay, jom kita makan kat sini.” Kata Luqman sambil tersenyum. Dia faham akhirnya kenapa wajah Mylia sedikit kelat tadi. Tetapi bagi Mylia, beralih dari pinggang ke tangan tidak memberikan apa-apa perbezaan. Mylia menelan liur.
“Table for two, please.” Kata Luqman kepada pelayan yang sedia berdiri di hadapan pintu masuk.
“Right this way, sir.” Balasnya dan membawa mereka berdua ke sebuah meja di tepi tingkap. “Would this table be alright?” Soal gadis berbangsa cina itu lagi.
“Yes, of course. Thank you.” Hanya Luqman yang memberi respon kepada pelayan itu. Mylia bagaikan terkunci rapat mulutnya. Apabila mereka sudah mengambil tempat, pelayan meninggalkan menu kepada mereka dan beredar dari situ.
“Diam je. Marah kat saya ker?” soal Luqman sambil matanya masih tertumpu ke atas dada menu.
“Taklah.” Pendek sahaja jawapan Mylia. Dia sendiri sedang berusaha untuk membiasakan diri dengan perubahan sikap 180 darjah suaminya waktu itu. Tiba-tiba telefonnya berbunyi. “Saya nak yang ni yer.” Kata Mylia tergesa-gesa sambil cuba menjawab panggilan telefon. Wajah ketat tadi terus bertukar menjadi sangat ceria. Luqman mengetap bibir.
“Hello! Assalamualaikum…” ceria sungguh sapaan itu. Luqman mula meneka-neka orang yang membuat panggilan kepada Mylia.
‘Kacau je diorang ni. Potong mood betul.’ Gerutu hati Luqman. Puas dia tarbiah diri sendiri sebelum dia mampu untuk bermesra dengan Mylia, ada sahaja yang menganggu momentumnya.
“Mestilah sihat. Tengah buat apa tu?” kata Mylia dengan gaya yang sedikit manja. Luqman hanya memerhati.
“Baru nak order makan. Lapaaarr sangat.” Luqman sudah mula menjeling. Dia menjadi resah selagi tidak tahu dengan siapa Mylia bercakap.
“Mestilah. Sekejap yer…” Mylia tiba-tiba menghulurkan telefonnya kepada Luqman. “Jasmin.” Kata Mylia.
‘Patutlah manja semacam.’ Bisik Luqman di dalam hati. Kalau anak bongsu ni yang bercakap, manjanya mengalahkan anak 2 tahun.
Sementara Luqman berbual dengan Jasmin, Mylia membuat pesanan bagi pihak Luqman dan dirinya. Hampir 15 minit juga mereka melayan borak Jasmin dan Julia. Mereka asyik bertanya bila mereka akan pulang ke rumah dan minta mereka berjanji untuk membawa mereka bersama di lain kali.
“Okay, ibu janji lepas ni ibu bawa Jasmin dengan Julia sekali. Tapi nanti masa ibu tengah kerja, jangan bising pulak. Jangan kata boring tunggu ibu kerja dari pagi sampai ke petang.” Mylia memujuk tetapi pada masa yang sama memberi amaran.
“Ibu kerja sampai tengahari dah la. Lepas tu kita pergi jalan-jalan.” Balas Jasmin. Mylia ketawa mendengar permintaan Jasmin. Anak-anak seusia 6 tahun manalah dia faham erti tugas dan tanggungjawab.
“Okay, okay. Nanti ibu bawa Jasmin dengan Julia sekali yer. Ibu nak makan kejap tau. Nanti kita sembang lagi.” Mylia cuba menghentikan perbualan mereka. Berapa kali ucap ‘bye’ baru panggilan itu betul-betul tamat. Mylia ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tak tahu lah apa yang menanti saat mereka sampai ke rumah nanti.
“Anak-anak sangat sayangkan awak. Saya ni dah jadi second dah.” Kata Luqman sambil tersenyum nipis.
“Awak jealous ker?” Mylia cuba mengusik.
“Tak guna nak jealous. Awak yang banyak ada di rumah untuk uruskan diorang. Elok lah macam tu kan.” Mylia mengangguk kecil. Dia sangat bersetuju dengan ayat Luqman. Kalau anak-anak itu tidak dapat menerima dia, makin sukarlah baginya untuk uruskan mereka.
‘Tapi at least, kalau aku nak tinggalkan diorang, tak ada lah trauma sangat. Aku pun tak ralat.’ Mylia mengeluh perlahan.
“Kenapa?” Terkejut Mylia dengan soalan Luqman.
“Kenapa apa?” soalnya kembali.
“Kenapa mengeluh? Dah penat melayan anak-anak?” Luqman semakin berhati-hati bila bercakap tentang anak-anak. Dia seboleh mungkin ingin mengelak daripada menggunakan istilah ‘anak-anak saya’. Dia tahu Mylia akan berkecil hati.
“Ish… bukan macam tu.” Mylia mengalihkan pandangannya ke luar tingkap kaca di sebelahnya. “Tapi saya bimbang kalau nanti kita terpaksa berpisah, bagaimana penerimaan diorang.” Sedih sekejap hatinya.
“Kalau macam tu, kita janganlah berpisah.” Kata Luqman sambil tersenyum. Mylia mengalihkan pandangannya ke wajah Luqman.
“Cakap memang senang tapi saya tau awak sendiri tak mampu nak buat.” Ujarnya perlahan.
“Kan saya sedang buat sekarang ni? Saya sedang belajar untuk mengenali awak. Saya sedang belajar untuk menerima awak. Bukan setakat seorang sahabat, tapi sebagai seorang isteri.” Jelas Luqman.
“Awak paksa badan awak untuk terima saya tapi minda awak dan hati awak masih lagi kuat terikat pada Aisyah.” Mylia hanya memandang ke arah makanannya di dalam pinggan. Dia tidak mahu menentang pandangan mata Luqman.
“Mylia…” Luqman cuba untuk meyakinkan Mylia.
“Bi, saya tahu dan saya boleh terima hakikat tu. Saya mungkin tak kan dapat bayangkan perasaan awaak sekarang. Awak cintakan orang lain tapi memaksa diri untuk menerima orang lain semata-mata demi anak-anak dan emak. Saya salute dengan pengorbanan awak. Tapi saya tak mampu untuk terima bila tangan awak menyentuh saya tapi hati awak teringatkan dia, fikiran awak fikirkan dia dan mulut awak sebutkan nama dia. Saya juga ada hati dan perasaan.”
Luqman tergamam mendengar luahan hati Mylia.
“Sebelum ni awak selalu mengigau panggil Aisyah. Saya tak kisah sebab pada waktu itu, awak dengan hidup awak dan saya dengan hidup saya. Tapi semalam bila tangan awak peluk saya kuat dan mulut awak memanggil-manggil nama Aisyah, saya rasa macam saya ni boneka. Just tempat untuk awak lepaskan perasaan awak kat Aisyah saja. Saya tak mampu jadi macam tu.” Panjang lebar Mylia bercerita. Wajah Luqman sedikit serius. Dia cuba memproses setiap maklumat yang baru diterimanya sebentar tadi. Mereka berdua terdiam buat seketika. Hanya bunyi sudu dan garpu yang menyentuh pinggan kaca sahaja yang kedengaran dari meja mereka.
“Saya minta maaf. Saya takt ahu. Apa yang saya buat waktu saya tidur tu di luar kawalan saya. Saya tak mampu nak elak benda tu.” Ujar Luqman.
“Saya faham. Saya tak salahkan awak. Bukan senang kita nak lupakan orang yang sangat-sangat kita sayang.” Tiba-tiba Mylia teringatkan Sufian. Mudah bagi Mylia melupakan lelaki itu. Mungkin kerana perasaannya terhadap Sufian sudah tawar dan pengakhiran mereka juga merupakan satu tragedy pedih buat Mylia. Jadi dia langsung tidak mengingati lagi bekas tunangnya itu.
“Saya tak suruh awak lupakan Aisyah. Tapi selagi awak tak boleh menerima saya sepenuh hati, perkahwinan kita susah nak bertahan. Awak fahamkan maksud saya?” Mylia meminta sedikit belas ihsan daripada suaminya saat itu. Selain rasa gemuruh kerana dipeluk erat oleh seorang lelaki, dia sebenarnya sedih kerana lelaki itu masih memanggil-manggil nama yang lain.
“Kalau macam tu,” kata Luqman kepada Mylia. “boleh tak awak bagi saya masa yang tak sampai 3 bulan ni untuk mengenali awak dan menerima awak. Mungkin untuk mencintai awak juga. After all, awak memang isteri saya kan?” soalan Luqman sedikit merunsingkan Mylia. dia mendongak memandang Luqman. Ada segaris senyuman yang cuba dilontarkan. Mungkin Luqman ingin meyakinkan Mylia yang dia benar-benar ingin melakukannya dengan ikhlas.
“Lepas 3 bulan?” soal Mylia.
“Kita tengoklah nanti jadi macam mana. Kalau kita masih sama-sama kita mampu menerima diri masing-masing, saya mungkin akan lepaskan awak dengan baik.” Ujar Luqman dengan suara yang perlahan.
“Macam mana dengan anak-anak?” soal Mylia lagi. Dia tak dapat bayangkan perasaan mereka jika terpaksa berdepan dengan perpisahan seperti itu. Dia juga tak dapat gambarkan perasaannya sendiri apabila terpaksa berpisah dengan mereka selamanya.
“Nanti kita cuba aturkan. Saya belum fikirkan lagi bab tu. Saya sangat-sangat berharap kita tak perlu lalui semua tu.” Kata Luqman dengan senyuman hambar. Fake it to make it. Itulah yang Luqman cuba lakukan. Biarlah dia memaksa dirinya sekarang dan berdoa agar satu hari nanti, dia dapat menerima dan menyayangi isterinya itu.
Luqman menjeling ke arah jam di tangan. “Ada masa lagi setengah jam. Jom gerak.” Mylia menurutkan sahaja.
Sebelum mereka masuk ke dalam panggung wayang, Mylia meminta agar dibelikan popcorn dan air mineral. Sambil-sambil menonton, boleh juga dia mengunyah. Mungkin melalui itu boleh mengurangkan rasa janggal antara mereka. Sepanjang mereka berjalan menuju ke cinema, Luqman mengenggam erat jemari Mylia. Mylia juga tidak membantah dan membiarkan sahaja. Mereka menonton filem aksi Inggeris lakonan Gerard Butler.
‘First movie tengok action? Tak romantik langsung laki aku ni rupanya.’ Fikir Mylia. ‘Kalau yer pun tak minat romance movie, romantic comedy pun okay lagi daripada action movie ni. Nasib baik dia tak pilih horror.’ Bahu Mylia menggeletar sekejap mengenangkan iklan-iklan cerita seram yang pernah dilihat sebelum ini.
“Sejuk ker? Meh sini.” Luqman dah tersalah baca Bahasa badan yang ditunjukkan Mylia sebentar tadi. Segera dia mencapai kedua-dua tangan Mylia dan digosok-gosok perlahan untuk menghasilkan haba. Bukan sahaja tangan Mylia menjadi panas, seluruh badan Mylia kepanasan. Andai cerah panggung wayang saat itu, pasti jelas di mata semua orang betapa kemerahannya kulit muka gadis itu waktu itu.
“Saya akan cuba habis baik untuk bahagiakan awak. Saya minta awak bersabar dengan saya, ya. Saya janji saya cuba sehabis baik.” Ucap Luqman sambil merenung tepat mata Mylia. Mylia terpana.
Share this novel