“Sebelum saya tamatkan meeting kita kali ini, saya dengan besar hati ingin maklumkan kepada semua satu berita gembira. AmanPuri Holdings cawangan Melaka akan menerima seorang HR Senior Executive yang baru bermula bulan depan. Encik Mikail bin Mansor, tahniah daripada kami. Semoga kamu akan lebih cemerlang lagi di sana.”
Razman bangun berjalan mendapatkan Mikail dan menghulurkan salam. Mikail turut bangun berjalan dan menyambut tangan Razman. Dia sedar waktu itu 3 wajah keruh sahabat-sahabat rapatnya sedang memandangnya tajam. Rasa bersalah dalam hati Mikail kerana tidak berterus terang dengan mereka awal-awal.
Tamat mesyuarat dengan pengarah, mereka bertiga masih tidak berganjak daripada kerusi. Sedang elok mereka duduk berhampiran pintu masuk. Mikail sendiri terduduk diam memandang wajah ketiga-tiga sahabatnya yang jelas tak puas hati dengan pengumuman Razman tadi. Setelah Razman dan hampir kesemua ahli mesyuarat keluar meninggalkan bilik, mereka mula menyerang Mikail.
“Kau cakap kau minta KGW. Kenapa tiba-tiba jadi Melaka pula?” Borhan yang terlebih dahulu bersuara. Sakit hati betul dia. Bukan sebab pangkat yang direbutkan. Tapi dia bakal kehilangan sahabat yang selalu ada untuknya siang dan malam.
“Syarikat offer aku same post, so okay lah kan. Kalau kau yang dapat pun, mesti kau terima. Kan?” balas Mikail. Borhan sekarang telah bangun dari kerusinya dan datang berdiri betul-betul depan Mikail sambil mencekak pinggang.
“Boleh jadi. Tapi kau janji kau akan kekal kat sini! Kat KL ni. Sekarang ni kau dah kerja kat Melaka. Macam mana kau nak kekal kat KL? Cuba kau explain sikit bab tu kat aku!” Borhan masih tidak berpuas hati. Geram sangat dia sebab Mikail sembunyikan hal ni daripada mereka semua.
Mikail menjeling ke arah Risya dan Mylia. Wajah Risya seolah-olah sedang menahan ketawa tetapi wajah Mylia keruh sekali.
“Weekend aku balik la. Lagipun nanti semua program HR company kita still boleh jumpa. Still boleh kerja sama-sama. Come on guys. Chill!” Jawab Mikail lagi.
“Tapi nanti aku kena tinggal seorang-seorang kat sini. Habislah diorang buli aku!” bangkang Borhan sambil menuding jari kepada Risya dan Mylia. Risya dah tak dapat menahan ketawanya langsung berderai ketawa besar.
“Weh Borhan, kau ni buat teruk laaa!” Risya dah bangun daripada kerusinya dan berjalan mendekati mereka. “Dah… dah… kau tak payah nak buat drama swatsa kat sini. Mika! Tahniah daripada kami. Kau memang layak untuk jawatan tu. Kami semua support kau!” ucap Risya bersungguh-sungguh.
“Bila pindah ke sana? Mak Sue ikut sekali?” kali ini Mylia pula bersuara. Sama seperti Borhan, dia sangat terkejut dengan pengumuman itu. Malah boleh dikatakan perasaan dia lebih tulus berbanding Borhan. Dia ingat dia masih boleh berjumpa lelaki itu di rumah. Nampaknya, lelaki itu benar-benar akan pergi jauh. Hilang semangat jadinya. Dia berharap Mikail akan menjadi penguat semangat tapi dia salah.
“Tak ada lah pindah terus. Sewa rumah kecik je kat sana. Mama mestilah ikut. Tapi weekend tetap balik sini. Don’t worry. Aku sentiasa ada lah dengan korang.” Mikail cuba menceriakan rakan-rakannya. Mikail bangun dari duduknya dan mengadap betul-betul depan Borhan. “Sabtu Ahad kita main badminton sama-sama, okay! Kau jangan pergi dating pulak!” terus sahaja Borhan memeluk Mikail sambil membuat bunyi bagaikan sedang menangis.
“Apa ni oi? Buat teruk!” Mikail menolak badan Borhan. Risya makin kuat ketawanya. Mylia juga turut geli hati melihat perangai Borhan yang drama tak habis-habis.
“Drama King!” tempik Risya. Dan mereka berjalan sama-sama keluar dari bilik mesyuarat. Sampai di hadapan Mylia, Mikail berhenti seketika.
“Don’t worry, okay. I’ll be there. Always!” Perlahan sahaja suara Mikail. Satu senyuman paling manis cuba dilemparkan. Dia tidak tahu sangat tentang hal rumahtangga Mylia tapi dia tahu Mylia tidak tenang. Mylia tak gembira. Dia tidak boleh buat apa-apa selain jadi peneman semata-mata. Mereka berjalan beriringan masuk ke pejabat mereka.
Perasaan Mylia bergolak dan berkecamuk. Dia masih terasa genggaman erat tangan Mikail di bahunya dan ciuman di kepala dan telinganya tempoh hari. Dia tahu Mikail hanya ingin memberikan semangat untuknya. Tidak lebih dari itu. Sekadar ingin berpesan yang dia akan sentiasa ada untuk Mylia jika Mylia perlukan pertolongan. Dia tau lelaki itu jujur dan ikhlas.
“Tengahari ni kita makan sama-sama. Aku belanja. Korang cakap jer nak makan apa. Deal?” Mikail cuba membeli jiwa sahabat-sahabatnya.
“Tony Roma’s!” Borhan menjerit sekuat hati.
“Lintah punya kawan. Cekik darah oi!” berderai ketawa semua yang ada di situ.
* * * * *
Hampir sebulan berlalu selepas Luqman dan Mylia bersetuju untuk cuba berbaik-baik. Luqman sedar Mylia sedang mencuba sehabis baik untuk memenuhi janjinya. Di hadapan Ramlah, dia cuba menjadi seorang isteri yang baik. Cuba mempamerkan kemesraan antara mereka. Tapi setiap kali dia cuba untuk turut sama untuk menunjukkan kemesraan dengan Mylia, hatinya bagai disiat-siat. Walaupun hanya untuk tersenyum kepada Mylia, jiwa Luqman meracau. Dia rasa seperti sedang mendustai cinta Aisyah.
Di saat hanya tinggal mereka berdua, Mylia akan berlagak bagaikan mereka dua orang sahabat yang akrab. Mylia sentiasa cuba untuk memulakan bicara sesame mereka. Tapi Luqman masih tidak mampu. Dia tahu Mylia kecewa. Luqman menatap planner yang terbentang di atas meja kerjanya. Baru dia terperasan, mereka hanya ada tempoh kurang 4 bulan sebelum sampai ke hari ulangtahun mereka yang pertama. Selama 6 bulan lebih mereka hidup bersama-sama, mereka masih lagi bagaikan orang asing.
Mylia juga kelihatan agak kurang bersemangat akhir-akhir ini. Dia dah kurang mahu bercerita tentang hari-hari yang dia lalui. Lebih banyak berdiam. Mungkin dia dah letih mencuba.
‘Baru sebulan dah letih ker?’ senyuman nipis terukir di bibir Luqman.
“Sayang tunggu abang sampai umur 30 lebih baru kahwin kan? Dia sebulan dah nak give up. Macam tu ke caranya nak ganti tempat sayang? Tak layak langsung kan?” bicara Luqman kepada potret Aisyah. Senyuman Aisyah di dalam potret tersebut bagaikan mengiakan kata-kata Luqman tadi. Segala letih di jiwa sentiasa diluahkan kepada Aisyah. Terasa sedikit ringan beban lara yang ditanggung.
Selesai makan malam, Luqman kembali semula ke kedai dan Mylia pula naik ke bilik Julia dan Jasmin. Seperti biasa, dia akan pastikan semua kerja sekolah anak-anaknya dan pastikan semua peralatan sekolah berada dalam keadaan lengkap dan sempurna. Sebelum tidur, akan pastikan beg mereka sudah siap. Tidaklah dia kelam-kabut waktu pagi.
Lebih kurang jam 11:30 malam, Luqman pulang ke rumah dan terus naik ke biliknya. Apabila pintu bilik dibuka, Mylia masih belum tidur. Dia duduk tersandar di atas katil sambil ada sebuah buku ditangannya.
“Assalamualaikum…” ucap Mylia. Terkesima sekejap Luqman. Sepatutnya dia yang memberi salam.
“Waalaikummussalam.” Jawab Luqman sambil meletakkan barang-barangnya di atas meja solek.
“Nak minum? Ada kopi panas dalam thermos tu.” Luqman perasan sudah beberapa hari ada sebuah thermos kecil di letakkan di atas meja sisi. Tapi dia tak pernah buka thermos itu. Dia sangka minuman itu milik Mylia. Selalunya Mylia dah tidur bila dia balik.
“Terima kasih.” Ujar Luqman sambil terus berlalu masuk ke bilik air untuk berwuduk.
Selepas pintu bilik air ditutup, Mylia menghela nafas berat. ‘Aku nak buat macam mana lagi dengan lelaki ni? Dah buntu dah aku ni. Ya Allah. Ke aku nak biar je keadaan macam ni sampai cukup tempoh, lepastu bercerai? Macam tu ker? Tapi aku dah berjanji untuk berusaha sungguh-sungguh supaya perkahwinan ni berjaya. Tapi kalau aku seorang saja yang usaha pun tak guna.’
Semasa Luqman solat I’syak, Mylia memerah segala idea untuk cuba membuka hati Luqman untuk berbual-bual dengannya. Dia dah tengok bagaimana lelaki itu melayan pekerja-pekerjanya. Dia tahu lelaki itu bukanlah sedingin itu.
Luqman perasan Mylia asyik merenung ke arahnya. Kucar-kacir juga wirid solatnya. Tidak senang dipandang sebegitu tapi dia cuba berlagak biasa dan mengabaikan pandangan Mylia.
“Bie…” panggil Mylia lembut. Jarang sekali Mylia menggunakan gelaran itu kepadanya.
“Hmm…” dia jawab tanpa menoleh kepada Mylia. Dia hanya ingin terus tidur sahaja.
“Macam mana awak kenal dengan Aisyah?” Luqman terkejut dengan soalan Mylia. “Ceritalah sikit pasal Aisyah. Saya teringin nak tau, wanita macam mana yang dah berjaya menawan hati awak yang dingin ni.” Luqman yang telah baring mengiring membelakangi Mylia bangun dan duduk tersandar sebelah Mylia. Dia memandang wajah Mylia. Mylia hanya tersenyum manis kepadanya. Buku yang dibaca tadi sudahpun tertutup dan diletakkan di atas ribaannya. Mata Mylia terfokus sepenuhnya kepada Luqman.
“Dia orang kampung mak.” Ringkas saja jawapan Luqman. Luqman hanya tersandar dan matanya memandang ke hadapan. Mungkin tembus segala dinding-dinding di situ.
“Owh, memang kenal dari kecik la ya?” soal Mylia lagi.
“Ya…” ada secebis senyuman terukir di bibir. Mungkin Luqman tengah terbayangkan kenangan-kenangan dia bersama Aisyah sewaktu di kampung dulu.
“Dia mesti cantik jugak kan dulu masa kecik-kecik?” soal Mylia lagi. Walaupun Luqman bagai dipukau dan bercakap antara sedar dan tidak tanpa langsung menghiraukan dia di sebelah, Mylia ingin Luqman terus membuka segala cerita yang terbuku dalam hatinya.
“Aisyah ni…” ada ketawa kecil yang terkeluar dari mulut Luqman, “tak pernah cantik. Comot sentiasa. Dia tu paling jantan daripada semua anak jantan yang ada dalam kampung tu.” Luqman terhenti lagi. Mylia dah habis idea nak tanya.
“Apa yang dia buat?” itu saja yang mampu Mylia fikirkan.
“Apa saja yang dia tak buat!!! Panjat pokok, mandi sungai, serkap ikan, race basikal siap willey lagi… dia main bola lagi hebat dari kami semua. Selalu marah-marah sebab cikgu tak bagi dia masuk team sekolah. Sudahnya, dia rembat kami semua kat kampung je lah.” Masih ada senyuman bersisa di bibir Luqman. Tapi tiba-tiba Mylia terkelu bila setitis air mata Luqman gugur dari matanya.
‘Sayang sungguh dia pada Aisyah. Untung Aisyah dapat suami yang sangat-sangat sayangkan dia. Semoga suatu hari nanti aku juga akan dapat suami yang sayangkan aku macam dia…’
“Boleh tak saya nak ziarah kubur Aisyah?” soalan Mylia ini bagaikan merentak Luqman kembali ke alam reality.
“Nak buat apa?” soal Luqman dengan pandangan yang tajam. Gugup sekejap hati Mylia.
“Saja nak ziarah.” Balas Mylia.
“Tengoklah nanti.” Jawab Luqman. Dia terus merebahkan badannya dan mengiring membelakangi Mylia.
Malam itu sekali lagi Luqman meracau memanggil nama Aisyah. Mylia tahu terlalu banyak kelukaan yang terbuku di dalam jiwa lelaki itu. Selagi dia tidak meluahkan segalanya, selagi itulah Luqman tidak akan tenteram.
Bagi diri Mylia sendiri, dia akan cuba fokus pada rumahtangganya sekarang. Mikail juga sudah berpindah ke Melaka. Dia tahu lelaki itu sayang kepadanya. Kalau dulu Mikail menginginkannya sebagai seorang kekasih, tetapi sekarang Mikail melayan Mylia bagaikan seorang adik yang memerlukan perlindungan seorang abang. Mikail tidak pernah lagi membicarakan soal hati.
“Mylia… aku nak kau jadi orang yang pertama yang tau benda ni dari mulut aku sendiri.” Risya yang duduk di sebelahnya tiba-tiba menyeret kerusi merapati Mylia yang sedang tekun mengadap komputer di hadapannya. Perlahan saja suara Risya.
“Hrmmm…” Mylia menoleh kepada Risya. “Lain macam je kau ni. Kau nak kahwin ker?” soal Mylia kepada Risya.
“Ish, kau ni. Benci lah! Kau nak cerita ke aku yang nak cerita sekarang ni? Spoil la…” Sememangnya Mylia mempunyai naluri yang tinggi. Jarang sekali tekaannya tersasar.
“Okay… okay… sorry… ye Risya sayang… ada apa?” pujuk Mylia. Risya kembali tersenyum manis.
“An ajak aku kahwin.” Kata Risya sambil separuh berbisik.
“An? An mana? Borhan ni ke?” Mylia separuh menjerit. Borhan yang sedang asyik menaip sejak tadi terus terhenti.
“Ha… apa sebut-sebut nama aku ni? Kutuk depan nampak?” Kemudian dia tersenyum. Dia tahu apa yang dibualkan oleh dua orang perempuan di hadapannya tu.
“Ish kau ni… bising lah. Ialah… Borhan tu lah…” jawab Risya masih lagi separuh berbisik.
“Dia ajak kau kahwin?” Mylia juga berbisik dengan Risya. Risya menganggukkan kepalanya. “Kau dah setuju ke belum?” soal Mylia lagi. Risya sekali lagi mengangguk. Terus sepantas kilat satu tepukan hinggap ke dahi Risya.
“Adoi!” jerit Risya bila Mylia menepuk dahinya.
“Nak bisik-bisik buat apa? Saja je lah korang dua orang ni. Seorang drama king, seorang drama queen. Sesuai sangat.” Mylia pura-pura marah. Kemudian terus mendakap tubuh wanita di hadapannya.
“Tahniah!!! Pandai yer korang simpan rahsia…” ucap Mylia dengan penuh kegembiraan. Borhan hanya tersengeh-sengeh tanpa bicara.
“Borhan yang simpan rahsia. Aku pun baru tau yang dia nak kat aku…” jawab Risya.
“Eh? Serius la?” hairan sungguh Mylia.
“Iyer lah. Dah kenal kan? Dah berapa tahun dah kerja sekali duduk mengadap macam ni. Takkan tak kenal lagi. Ajak kahwin jer la terus.” Jawab Borhan dengan tenang. Cuba untuk merasionalkan tindakannya. “Kalau dari awal aku bagitau aku suka kat dia, mesti dia cover-cover perangai tak senonoh dia tu. Bila macam ni, dia dah cover-cover dah. Nak kentut pun main belasah je depan-depan.” Tambah Borhan lagi.
“Hey!!! Bila masa aku kentut depan korang? Tak senonoh lah dia ni.” Balas Risya. Mylia hanya tergelak melihat perangai dua orang sahabatnya ini. Riuh-rendah la rumah tangga diorang nanti. Yang pastinya, pasti lebih meriah daripada rumahtangga dia dengan Luqman yang gelap malap dan mandom je walaupun dah nak masuk setahun dah pun.
“So, bila majlisnya?” soal Mylia lagi.
“Ogos.” Balas Risyah.
“Wah, pengantin merdeka.” Mylia memotong Risya sebelum sempat dia sambung bercerita.
“Iyer! Kami skip majlis bertunang. Terus akad nikah jer. Kau jadi pengapit aku yer! An ajak Mika jadi pengapit dia.” Pinta Risya.
“Boleh sangat. Kecik hati aku kalau kau tak suruh.” Mylia tak sabar nak tunggu hari bahagia Risya dan Borhan. Pastinya meriah.
“Yes!!! Nanti kau tolong aku pilih baju, pilih tema, pilih warna, pilih pelamin, pilih mak andam…” Risya mula menyenaraikan segala tugas-tugas yang akan mereka sempurnakan bersama.
“Eh, dengan aku tak nak bincang ker?” Borhan pula menyampuk.
“Engkau tak pernah kahwin. Apa kau tau? Mylia dah pernah kahwin. So, dia mesti tau apa nak buat and kat mana nak cari yang paling best. Kau masih simpan ke list study kau dulu?” soal Risya kepada Mylia. Mylia tercengang. Apa lah yang dia tahu tentang urusan semua tu? Semuanya Hamidah yang uruskan. Mendengar soalan Risya, Mylia hanya tersengeh malu.
“Aaa… dah tak ada lah Risya…” jawab Mylia lambat-lambat pura-pura berfikir tentang list yang dimaksudkan Risya. “Tak per… nanti kita go through balik semuanya sama-sama.” Janji Mylia.
“Orait! Thank you tau… aku saaaaayang sangat kat kau.” Balas Risya sambil memeluk badan Mylia.
“Kat aku?” Borhan pula sibuk nak cari perhatian.
“I love you…” Jawab Risya dengan senyuman paling manis.
“I love you too…” Balas Borhan. Pandangan mereta saling bertaut. Mylia yang memandang dari tepi turut sama merasa kemanisan hubungan mereka saat itu. Cemburu pun ya. Dia tidak pernah merasai semua tu dengan suaminya. Jauh panggang dari api.
“Dah… dah… dilarang bercinta di sini. Cepat buat kerja!” sengaja dikuatkan sedikit suaranya untuk mengejutkan dua orang yang dah hanyut entah sampai ke mana.
“Mylia, minggu depan you kena pergi Seminar Human Resource di Seremban ye. Nanti claim macam biasa.” Tiba-tiba Elaine masuk ke dalam pejabat mereka membawa beberapa pucuk surat.
“Siapa lagi yang pergi, Elaine?” soal Mylia kembali.
“You seorang saja. Risya akan ke Penang dan Borhan akan ke Kuantan. Check tarikh masing-masing yer. Tarikh semua tak sama tau.” Jawab Elaine lagi sambil tangannya rancak mengedarkan surat arahan masing-masing.
Masing-masing meneliti surat arahan masing-masing. Seminar Mylia bertempat di sebuah hotel di bandar Seremban selama 3 hari bermula Isnin hingga Rabu. Jarang-jarang sekali dia ke Seremban. Tapi tak susah untuknya mencari jalan ke sana. Dengan bantuan peta digital online dan jaringan jalan raya yang sempurna, Mylia takkan ada masalah. Bukan kali pertama dia memandu jarak jauh. Lagi pula jarak KL dan Seremban bukanlah jauh mana.
Waktu rehat tengahari hari itu, Mylia dan Luqman sama-sama pulang ke rumah Mylia untuk makan tengahari. Adik bongsu Mylia, Mysha masih lagi belum pulang dari sekolah. Yang ada hanya kedua orang tua Mylia dan juga Marya yang turut sama balik untuk makan tengahari.
“Abi, minggu depan Mylia ada seminar di Seremban. 3 hari juga seminat tu. Isnin pagi mula.” Mylia memaklumkan orang tuanya tentang program yang dia perlu hadiri. Sudah menjadi kebiasaan bagi Mylia untuk memaklumkan semua perkara kepada mereka. Luqman yang duduk di sebelahnya hanya berdiam diri, tekun mengadap makanan di hadapannya. Walaupun dia agak terkejut dengan berita itu, tapi dia sedar yang dia sendiri pun jarang memberi perhatian kepada Mylia walaupun Mylia itu isterinya.
“Pergi dengan siapa?” soal Hamidah.
“Seorang saja. Orang lain semua dapat tempat lain-lain. Risya ke Penang. Borhan pula ke Kuantan.” Jawab Mylia ringkas.
“Mikail?” nama itu melekat erat diingatan orang tua Mylia sejak kejadian Mylia pitam di pejabat dulu. Mylia sedikit tersentak mendengar nama lelaki itu muncul di meja makan rumah mereka. Luqman perasan kegugupan Mylia tadi. Walaupun Mylia cepat-cepat berselindung, tapi dia perasan.
“Mika dah pindah lah abi. Dia dah naik pangkat senior exec di Melaka.” Balas Mylia.
“Oh, dah naik pangkat. Alhamdulillah. Bagus budak tu. Bertanggungjawab. Nanti kamu kat sana jaga diri baik-baik. Jaga tidur tu bagi cukup. Abi tak nak dengar kamu pitam-pitam lagi macam dulu. Kalau ada si Mika tu tak apa. Dia dah kenal kamu tu macam mana. Ni pergi seorang-seorang macam tu, kalau sakit taka da siapa nak ambik tau.” Pesan Othman kepada Mylia. Entah kenapa tiba-tiba Luqman rasa dia terpukul. Mylia isterinya tapi bapa mentuanya lebih percaya yang ada orang lain yang lebih mengenali Mylia. Lebih pandai menjaga kebajikan Mylia.
“Tak apa. Saya ikut sekali nanti.” Jawab Luqman tanpa berfikir panjang. Mylia yang duduk di sebelahnya teramat terkejut dengan jawapan Luqman. Dia langsung tidak menyangka Luqman nak ikut dia bekerja di luar kawasan.
“Kedai awak macam mana?” soal Mylia kembali. Dia tidak segan silu menunjukkan rasa ragu-ragunya dihadapan Othman, Hamidah dan Marya.
“Nanti kita bincang.” Luqman terus bangun sambil mengangkat pinggannya ke sinki dapur. Mylia cepat-cepat memegang pinggan Luqman. Biar dia yang cuci pinggan itu nanti. Tanpa banyak bicara, Luqman melepaskan pinggan itu dan terus berlalu ke dapur untuk membasuh tangan. Othman dan Hamidah juga turut sama bangun dan beredar ke dapur.
“Umi, abi… tinggal ye pinggan tu dalam sinki. Kejap lagi Marya cuci.” Kata Marya sedikit kuat memesan kepada orang tuanya agar tidak mencuci pinggan.
“Kak Long cuci pinggan. Marya tolong kemas meja.” Kata Mylia kepada Marya.
“No, kak long pergi basuh tangan dan buatkan air sejuk-sejuk untuk abang long tu. Macam sentap teruk je Marya tengok.” Balas Marya kepada Mylia. Mylia kehairanan. Kenapa pulak Luqman nak sentap. Tapi dia turutkan saja usul Marya.
Mylia menuang jus oren yang sentiasa ada di dalam peti sejuk dan di bawa ke ruang tamu.
“Awak okay?” soal Mylia sambil meletakkan gelas air di atas meja sisi sebelah Luqman dan dia duduk di atas sofa bersebelahan. Luqman mencapai gelas itu dan meneguk air oren sehingga habis. Kemudian dia terus bangun berdiri.
“Saya nak balik ke kedai. Bincang kat rumah malam nanti.” Jawab Luqman perlahan tetapi tegas sungguh bunyinya. Hairan sungguh Mylia dengan perangai Luqman. Luqman terus mendapatkan Othman dan Hamidah, menyalami mereka dan terus berlalu keluar rumah.
“Umi, Mylia naik solat dulu ya. Nanti lambat pula sampai office.” Jawab Mylia dan terus melangkah laju naik ke biliknya di tingkat atas.
Sampai di kedai, Luqman terus masuk ke dalam pejabatnya. Setelah pintu ditutup rapat, dia merebahkan badannya ke atas sofa terbaring di situ. Tangan kiri diangkat ke dahi dan matanya tertutup rapat.
‘Apa aku buat ni? Nak pergi stay kat hotel dengan Mylia berdua tiba-tiba? Dah kenapa dengan aku ni? Tempah maut betullah!’ bisik hati Luqman. ‘Kenapa aku mesti volunteer macam tu nak ikut? Biarlah dia kat situ seorang-seorang. Dah besar panjang kot. Tak kan lah dia tak reti nak jaga diri lagi. Yang abi dengan umi risaukan sangat dengan Mylia tu kenapa? Apa yang dah jadi sebelum ni? Aduuhhhhhhh!’ Luqman mengeluh kasar.
‘Umi dengan abi nak risaukan Mylia tu satu hal. Yang aku pun nak turut sama risaukan dia buat apa? Argh!!!’ hati Luqman menjerit.
Share this novel