~ 38 ~

Romance Completed 13901

Luqman meraub muka beberapa kali. Bingung dia seketika. Adakah dia memang sudah terlena atau dia terlalu asyik mengenangkan Aisyah. Matanya kembali tertumpu ke bingkai-bingkai gambar yang tersusun rapi di sudut meja kerja. Puas dia berfikir dan cuba merasionalkan situasi.

Melihat Luqman yang begitu asyik merenung gambar Aisyah, Mylia sedikit terguris hati. Segera dia menjarakkan dirinya dan mula ingin beredar dari situ.

“Saya dah siapkan 3 fail. Yang dah siap, saya susun di sebelah kiri. Yang sebelah kanan tu, resit-resitnya saya dah susun ikut tarikh. Cuma belum tebuk. Saya dah klipkan semuanya di bahagian dalam cover file tu.” Terang Mylia sebelum mula melangkah pergi.

Dengan pantas Luqman menangkap tangan Mylia menghalang dia dari pergi. Perlahan-lahan dia mengalihkan pandangannya mencari wajah Mylia.

“Mylia…” sedikit serak suaranya. Sah dia tertidur sebentar tadi. “Nak ke mana?” soal Luqman. Yang sebenarnya dia masih kebingungan.

“Saya tunggu di luar saja.” Jawab Mylia sambal cuba menarik tangannya. Makin kemas tangannya digenggam Luqman.

“Kejap.” Luqman menarik nafas dalam-dalam dan mula merencana. Dia seakan perasan tentang perubahan riak wajah Mylia walaupun cuba dikawal sebaiknya. Luqman terus bangun dari kerusinya. Tangan kirinya ligat mengemas serba sedikit meja yang bakal ditinggalkan sekejap lagi. Malam nanti pun boleh disambung kerja-kerja itu.

“Awak tunggu kejap kat sini. Saya nak pergi toilet. Tunggu kat sini ya?” pinta Luqman sambal memandang tepat ke mata Mylia seakan menuntut satu perjanjian. Mylia hanya tersenyum nipis. Memadai buat Luqman.

Sebaik sahaja Luqman keluar meninggalkan ruang bilik itu, Mylia kembali ke sofa yang didudukinya tadi. Dia terus sahaja menyandar selesa di sofa empuk itu sambil memejamkan matanya.

‘Sayang sungguh dia dengan Aisyah. Cinta teragung agaknya. Beruntungnya Aisyah. Aku? Aku pun isteri dia juga. Tak layakkah aku disayangi? Walaupun tak seutuh cintanya pada Aisyah, takkan sedikit pun tak layak? Atau dia bukan lelaki yang boleh mencintai aku seperti itu? Habis, bagaimana?’

“Jom. Dah 6.45 dah.” Ujar Luqman sebaik sahaja melangkah masuk ke pejabat itu. Mylia segera bangun dan mencapai telefonnya dan beg tangan di sebelahnya. Sebaik sahaja dia berdiri, Luqman menarik tubuh Mylia dan didakapnya erat. Dek kerana ketinggiannya, dia meletakkan dagunya di atas kepala Mylia. Tindakan Luqman itu menyebabkan Mylia terkedu. Tiada sepatah perkataan pun keluar dari mulutnya. Terkunci rapat.

“Terima kasih. Tak pernah lagi ada sesiapa yang sudi teman abang kat sini.” Ujar Luqman. Kerana telinga Mylia terpekup rapat di dada Luqman, suara Luqman bagaikan bergema kuat dari dalam rangka tubuhnya.

“Sama-sama.” Ringkas sahaja jawapannya. ‘Tapi abang sebenarnya lebih mengharapkan orang lain yang ada di sini, kan?’ keraguan itu hanya bermain diminda Mylia. Mylia memandang salah satu potret Aisyah yang tergantung di dinding. Setiap rusuk bilik itu pasti ada wajah Aisyah.

Hal yang sama dibuat Luqman. Matanya juga sedang memandang salah satu potret Aisyah yang berada di hadapannya.

‘Sayang, maafkan abang. Abang pun sayangkan dia. Maafkan abang, Aisyah.’ Rintih hati Luqman.

“Boss, Nani…” pintu bilik tiba-tiba terbuka ditolak oleh Laila. Terkejut bukan kepalang Mylia. Terasa panas wajahnya menahan malu. Tetapi Luqman seakan belum mahu melepaskan rangkulannya. “Alaaa… apa ni boss… kot yer pun nak bercinta, takkan tak sempat balik rumah” seloroh Laila. Dia masih lagi berdiri tercegat di muka pintu.

“Sibuk lah dia. Ada apa datang kacau saya ni?” balas Luqman. Tangannya masih melingkar erat di tubuh Mylia membuatkan Mylia tetap rapat dalam pelukannya. Bukan Mylia tidak cuba menolak badan Luqman menjauh tetapi langsung tidak dihiraukan.

“Nani tak dapat datang malam ni. Motor dia rosak.” Jawab Laila.

“Siapa ganti?” soal Luqman ringkas.

“Rashid sambung night shift dengan Fauzi, boleh ye boss?” soal Laila. Matanya masih lagi asyik memandang kemesraan pasangan di hadapannya itu. Seronok pula dia rasa. Tumpang bahagia.

“Okay, esok pagi siapa ganti Rashid?” soal Luqman lagi. Kali ini sengaja dilentokkan kepalanya ke kepala Mylia. Sengaja dia mahu memancing rungutan Laila.

“Eleh… tunjuk manja konon. Tak hairanlah saya.” Jawapan Laila mengundang tawa kecil daripada Luqman dan Mylia. “Esok Yana datang. Kalau Nani masih tak dapat datang, saya datang lah.” Terang Laila dengan lagak menyampah. Saja dia layankan drama emosi yang dimulakan oleh Luqman.

“Kalau Nani datang pun, kamu datang jugak. Biar 3 orang jaga kedai esok. Langsung taka da lelaki. Kot nanti nak kena angkat barang, susah pulak.” Pesan Luqman.

“Boss kan ada. Takkan boss tak datang esok?” soal Nani hairan. Selalunya kalau Luqman akan ke mana-mana, mereka akan dimaklumkan lebih awal.

“Memanglah saya datang. Tapi saya kan tengah sibuk bercinta sekarang. Tak sempatlah nak tolong korang buat kerja kat luar tu.” Sengaja Luqman menambahkan lagi kehangatan drama mereka.

“Yer lah… Yer lah. Susahlah orang-orang tua ni bercinta. Teruk sangat.” Luah Laila sebelum pergi meninggalkan mereka berdua. Makin kuat ketawa Luqman dan Mylia.

Habis derai tawanya, Luqman menatap pula wajah Mylia. “Dah boleh balik?” soalnya lembut. Intonasi yang sangat menyentuh hati wanita Mylia. Mylia tersenyum tanpa jawapan. “Kenapa senyum?”

“Saya suka ‘Luqman’ yang ini dan yang bergaduh dengan Laila tadi. Kita stay sini je lah. Kalau balik rumah, ‘Luqman’ tu dah hilang.” Kata Mylia mengusik Luqman. Antara berani dan tidak sahaja dia sebenarnya. Dia harap mood Luqman masih sebaik tadi.

“Hahahaha…” ketawa besar Luqman mendengar komen Mylia. “Sorry, sayang.” Dia mengeratkan lagi pelukannya. “Jom kita balik yer. Nanti bising pula Julia dan Jasmin. Cari ibu tak jumpa.” Sebelum rangkulannya dilepaskan, sempat Luqman menghadiahkan sebuah ciuman di kening kanan Mylia. Syahdunya menusuk masuk terus ke jantung hati Mylia.

* * * * *

“Mama, lusa Mika akan ke JB. Jom ikut sekali?” Soal Mika sewaktu mereka sedang makan malam.

“Mika nak pergi jumpa budak cantik tu yer? Nama apa?” teruja pula hati wanita itu.

“Ya, nak pergi jumpa Cik Rosemira tapi untuk urusan kerja, mama. Jangan fikir lebih-lebih.” Pesan Mikail kepada Suraya. Masak sangat dia dengan perangai ibunya.

“Oh, kalau pergi kerja tak nak lah mama ikut. Nanti duduk je tunggu Mika dalam bilik hotel tu. Bosanlah.” Jawab Suraya.

“Kerja tu sekejap saja sebelah pagi. Lepas tu dah free. Kalau mama ikut, Mika ambik cuti. Kita pergi jalan-jalan.” Cadang Mika. Dia kasihankan Suraya. Suraya tiada kawan di situ. Masih belum sempat dia berkenalan dengan sesiapa pun. Melaka bukanlah tempat asal mereka.

“Kita pergi Singapore, nak?” Suraya kembali bersemangat. Sudah lama dia tidak ke kota singa.

“Boleh. Kita pergi pagi Jumaat.” Cadang Mikail.

“Kita ajak Rosemira sekali yer?” tambah Suraya lagi. Mikail mula mengerutkan wajahnya.

“Dia kerja lah, mama.” Malas pula dia mahu melayan akal Suraya yang sedang cuba menjodohkan anaknya sendiri.

“Johor cuti Jumaat. Kejap lagi lepas makan, Mika terus bagitau di akita ajak pergi Singapore pagi Jumaat. Lambat-lambat nanti dia buat plan lain pulak.” Pesan Suraya bersungguh-sungguh. Kalau diharapkan Mikail, lembab. Nanti melepas lagi.

“Ish, tak mahulah Mika. Kita pergi berdua sudahlah. Buat apa nak ajak orang lain?” Mikail masih belum bersedia untuk bercinta dengan sesiapa. Biarlah hatinya benar-benar melepaskan Mylia terlebih dahulu.

“Hmm… yer lah. Nanti mama mengadap jer lah muka Mikail. Nak minta bawa teman pun susah.” Ujar Suraya kononnya sedang merajuk. Dia sebenarnya cuba memancing rasa bersalah Mikail.

“Mama… tak payah nak psycho sangatlah. Mika dah faham sangat dah trick mama tu.” Kata Mikail sambil ketawa. Suraya juga turut tersenyum simpul kerana rahsianya telah terbongkar.

Usai makan malam, Mikail terus sahaja ke ruang tamu. Rumah sewa mereka hanyalah rumah semi-D setingkat. Mikail menggunakan bilik tidur utama manakala Suraya pula menggunakan bilik tidur kedua. Suraya enggan menggunakan bilik tidur utama kerana terlalu luas katanya. Dia juga meminta Mikail membelikan sebuah katil super single sahaja buatnya. Tubuh badan Suraya kecil sahaja. Dia tidak perlukan katil yang besar-besar.

Ruang tamu dan ruang makan dibina bersekali secara memanjang membuatkan ruang rumah itu terasa luas dan lapang. Terdapat sebuah pintu gelangsar 4 panel sebagai pintu masuk utama dan sebuah lagi pintu gelangsar 2 panel di ruang makan. Ruang tanah tepi rumah itu juga tidaklah sebesar mana. Hanya ada selebar 5 kaki sahaja. Sudah cukup selesa rumah itu buat mereka berdua.

Tontonan Mikail terhenti apabila tiba-tiba telefonnya berbunyi. Sebuah pesanan ringkas diterima menerusi aplikasi Whatsapp.

‘Assalamualaikum, En Mikail. Mr Richard minta tangguh meeting kita ke sebelah petang jam 3. Boleh ker?’ – Rosemira

‘Okay.’ – Mikail

“Rose ke tu?” soal Suraya tiba-tiba. Entah dari mana dia sekelip mata sahaja boleh muncul di situ.

“Mama! Terkejut Mika. Aduhai…” mengurut dada dia apabila diserga sebegitu. Suraya hanya tertawa melihat reaksi anaknya.

“Betul tak Rose yang mesej tu?” dia langsung tidak mengendahkan Mikail yang masih beristighfar di sofa. Pantas saja dia duduk di sebelah Mika.

“Ya… betul.” Mikail menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Apa dia cakap?” Suraya begitu bersungguh lagaknya.

“Tak ada apa lah. Dia bagitau tunda meeting dari pagi bawa ke petang. Itu saja.” Mikail yang sudah pun dalam keadaan tenang kembali cuba memberika tumpuan ke rancangan yang sedang tersiar di televisyen.

“Mika cepatlah ajak dia pergi Singapore dengan kita.” Sekali lagi Suraya mengulang saranannya tadi kepada Mikail.

“Tak payah lah mama. Segan Mika. Mika nak pergi jalan-jalan dengan mama, relax-relax. Santai-santai. Kalau ada orang lain, dan tak best la mama.” Mikail hanya ingin membawa Suraya ambil angin di tempat Baharu. Dia risaukan Suraya yang saban hari hanya terperuk di dalam rumah.

Tiba-tiba satu lagi mesej ringkas masuk ke telefon Mikail.

‘Hari Jumaat Encik Mikail ada ke mana-mana? Mr. Richard ajak dinner sekali. Harap En. Mikail belum balik ke Melaka lah.’ – Rosemira

“Dia cakap apa lagi?” beria sungguh Suraya. Berkerut dahi Mikail kali ini. Suraya tidak pernah sebegitu berminat dengan urusan kerja Mikail sebelum ini.

“Hai, mama. Berminat sungguh ye dengan kerja Mika kali ni?” soal Mikail kepada Suraya.

“Tak lah, mama minat dengan budak Rosemira tu. Mama suka. Mika tak suka ke?” soal Suraya berterus terang.

“Tak terfikir lah mama sejauh tu. Dia tu client Mika saja. Titik.” Dia tidak mahu Suraya pula membina harapan palsu.

“Kalau ye pun, apa salahnya. Baik budak tu.” Suraya masih lagi mahu mencucuk jarum.

“Kita tak kena pun hati budinya. Mama baru jumpa sekali. Entah macam mana perangai dia tu sebenarnya.” Kata Mikail. Rimas juga di ajika Suraya berterusan menjodohkan dia dengan Rosemira.

“Sebab itu lah mama suruh Mika ajak dia pergi jalan-jalan sekali. Baru boleh berkenalan.” Jawab Suraya sambil menepuk peha Mikail perlahan-lahan. Kemudian, terus sahaja dia bangun dan berlalu pergi.

“Eh, mama nak pergi mana pula tu?” soal Mikail. Risau jugak ibunya terasa hati.

“Mama nak masuk tidur. Dah nak jam 10 dah ni.” Kata Suraya. Diusia sebegitu, dia sudah tidak lagi betah bersengkang mata hingga lewat malam. Jam 10 itupun sedah terasa begitu lewat untuk dia tidur.

“Okay mama, good night. Assalamualaikum.” Ucap Mikail ringkas kepada ibunya. Dia kembali menatap paparan telefon dan mula merangkai ayat untuk di balas.

‘Jumaat pagi saya plan nak ke Singapore. Mungkin tak sempat untuk keluar makan malam tu. Kalau lunch hari Sabtu boleh? Lagi satu, saya akan bawa ibu saya sekali. Harap tak mengganggu.’ – Mikail

‘Okay. Saya akan maklumkan kepada Mr. Richard.’ – Rosemira.

Dengan jawapan balas ringkas itu, Mikail menamatkan perbualan mereka. Dia sudah maklumkan tentang perancangannya. Terpulanglah kepada Rosemira mahu mengikut mereka atau pun tidak. Mikail tahu yang dia tidak mempelawa pun Rosemira untuk turut serta kerana Mikail kurang yakin untuk mengajar Rosemira bersama. Terasa terlalu awal untuk dia menyertai aktiviti keluarganya.

‘Mr. Richard said okay. He will also be in Singapore on Friday since it’s our weekend. He requested me to take you and your mother for a tour around Singapore. Is it okay with you?’ – Rosemira.
“Huh? Sudah! Seronok lah ni kalau mama tau. Aduhaiii…” keluh Mikail sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience