“Man, cuba kamu tengok gambar ni.” Kata Puan Ramlah kepada anaknya Luqman yang sedang menonton televisyen. Julia dan Jasmin pula sedang sibuk dengan mainan masing-masing dihadapan kaki Luqman. Luqman malas mahu berpusing. Dia tahu sekejap lagi ibunya pasti datang duduk di sebelahnya. Kalau ditolak sekali pun dia tetap akan dipaksa tengok gambar itu.
“Man, tengoklah sini.” Kata ibunya lagi sambil datang menempek rapat di sebelahnya. Puan Ramlah menayang paparan sekeping gambar di hadapan Luqman.
“Nama dia Mylia. Umur 27 tahun. Kerja manager kat syarikat swasta kat bandar tu. Orang sini juga. Cantik tak? Mak bekenan betul.”
Entah gambar yang ke berapa puluh yang ditunjukkan oleh ibunya. Puan Ramlah tak habis-habis dengan ideanya menyuruh Luqman berkahwin lagi. Katanya, hidup Luqman tak terurus langsung semenjak Aisyah tiada.
Setiap hari, ada saja yang dirungutnya. Ada masa mahu sahaja Luqman keluar daripada rumah ibunya itu dan tinggal berasingan. Tetapi mengenangkan yang ibunya juga bersedirian selepas kematian bapanya 10 tahun dahulu, digagahkan juga hatinya. Ditadahkan juga telinganya.
“Anak siapa pulak ni mak? Ramai betul kawan-kawan mak yang ada anak dara. Anak-anak diorang ni ada masalah apa yang tak laku sangat ni?” Soal Luqman agak kasar. Wajah ibunya mula berubah kelat.
“Apa cakap macam tu? Engkau pandang pun tidak, kenal pun tidak, sedap hati engkau cakap orang tu tak laku.” Puan Ramlah mula menyinga. Luqman pula masih berlagak bersahaja. Malas betul dia nak bincang hal yang satu ini. Sudah-sudahlah tentang isu perkahwinan dia. Tahulah dia apa yang mahu dibuat.
“Mak, kenapa yang mak nak paksa sangat Man kahwin ni? Mak tak nampak ke yang Man okay saja hidup macam ni? Tak ada isteri pun tak apa lah, mak. Dua orang puteri ni dah cukup buat kita sibuk dah kan? Buat apa nak tambah sakit kepala lagi?”
Soal Luqman sambil menjuihkan mulutnya kepada kedua-dua anak perempuannya itu. Julia sudah bersekolah di Tahun 1, manakala Jasmin pula di tadika. Setiap hari, riuh rendah dengan mereka. Terutamanya di awal pagi persekolahan. Ada-ada saja pe’el mereka. Mujur jugalah dia tinggal bersama ibunya.
“Mak ni dah tua, Man. Dah tak kuat macam dulu. Hari-hari nak bangun awal pagi nak siapkan makan pakai korang. Kawan-kawan mak pagi-pagi solat subuh, baca Yaasin, baca Quran, terus sambung Dhuha. Yang mak ni, masih lagi nak kena sibuk-sibuk hal dunia. Mak ni entah esok lusa kubur dah panggil. Nanti masuk kubur, mak nak bawa bekal apa?” bebel Ramlah.
‘Wah! Panjang lebar pula alasan mak aku hari ni. Selalu dia cakap sebab nak tengok aku happy je. Hari ni, dah melalut sampai ke kubur dah ni.’ fikir Luqman.
“Jauh sangat tu mak fikir. Fikir dekat-dekat dah lah.” Kata Luqman berseloroh. Dia cuba menenteramkan perasaan ibunya itu.
“Kau nak dengar yang dekat-dekat? Ha, cuba kau tengok anak-anak kau sekarang. Tengok kat diorang baik-baik.” Kata Puan Ramlah menyergah agak kuat. Jari telunjukkan ditunjuk-tunjuk ke arah dua orang cucunya yang sedang leka bermain.
“Yang seorang baju pink, seluar hijau. Yang lagi seorang baju ropol-ropol dah macam nak pergi shopping. Baju apa yang kau bagi diorang pakai ni? Tak terurus langsung. Rambut tak sikat, muka tak bedak. Ni bila last diorang shampu rambut? Dah la rambut masing-masing panjang mengerbang.”
‘Wah! Lagi panjang pulak dia.’ Terjegil mata Luqman mendengar leteran ibunya itu. Dah umur 37 tahun pun masih dileter ibu bagaikan anak muda umur 17 tahun. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Isu-isu remeh itu yang dibawa ibunya. Hanya kerana anaknya memakai baju ropol-ropol, tak ikut warna, dia kena kahwin. Nak pakai tidur saja. Siapa yang nak tengok.
“Alah mak. Apa ada hal? Yang penting diorang pakai baju.” Kata Luqman lagi. Dia tak sedar yang jawapannya itu memancing leteran yang lebih panjang.
“Ha, itulah orang lelaki. Macam tu lah dia fikir. Asal boleh ja kan? Diorang tu anak perempuan. Kau ajar anak-anak kau perangai asal boleh macam tu, nanti dah besar-besar kau ingat dia boleh tetiba jadi perempuan ayu, sopan-santun, rajin, pandai jaga laki, jaga anak? Kalau dah baju sendiri pun asal boleh, agak-agak nanti baju laki dia, baju anak-anak dia nak jadi macam mana? Kalau rambut dia sendiri kau tak ajar macam mana nak jaga, agak-agak nanti dia reti nak jaga rumah dia?”
“Kau tak nampak ke dia pergi sekolah macam mana? Dengan baju iron nak tak nak, kain senget-senget, pakai tudung anak tudung dah nampak separuh. Mak rasa cikgu dia kat sekolah pun naik pening tengok anak kau ni tau tak? Nanti pertandingan apa pun cikgu-cikgu dia malas nak pilih. Dah tau budak ni tak boleh nak urus diri. Nak dapat jawatan pengawas, memang jauh panggang dari api lah jawabnya. Ketua kelas pun belum tentu lagi. Kau nak anak kau jadi macam mana? Kau ingat senang ke kerja mak-mak ni?”
Leter Puan Ramlah datang tanpa henti umpama peluru machine-gun. Terus Puan Ramlah bangun dari kerusi. Sakit hati betul dengan perangai anak lelakinya itu.
“Dia ingat senang nak didik anak? Asal cukup makan, pakai baju, dah cukup? Dia ingat senang macam tu saja? Dia tak ingat ke apa aku buat kat dia masa dia kecik-kecik dulu? Itu belum kira kerja sekolah, buku sekolah. Dia tak tengok ke buku Julia tu apa rupa? Belacan pun elok.” Bebel Puan Ramlah masih bertali. Sambil dia berjalan menuju ke biliknya, sambil mulutnya berceloteh. Agaknya dah masuk dalam bilik pun, masih berbaki.
Luqman memandang kepada anak-anak perempuannya itu. Sedikit-sebanyak terlekat juga sepatah-dua ayat ibunya tadi di dalam kepalanya. Tapi macam mana dia nak kawin kalau dalam hatinya masih terpahat kukuh nama Aisyah? Macam mana dia nak terima perempuan lain kalau hatinya dah tertutup untuk orang lain. Tak boleh kah dia habiskan sisa-sisa hidupnya sekarang dengan kenangan dan cintanya terhadap Aisyah saja?
“Ecah, kau ni lelaki ke perempuan? Kau tak boleh tampar lembut-lembut sikit ke? Kau tumbuk perut aku, Cah?” Luqman dah terduduk menahan senak di perutnya. Nampak sahaja Aisyah bertubuh kecil, tetapi tenaga dia bukan calang-calang.
“Yang engkau pergi tolak basikal aku masuk sawah tu, kenapa? Sekarang kau pergi turun ambil balik basikal aku.” Kata Aisyah kembali kepada Luqman. Sakit hatinya bila basikal yang baru saja dibasuh habis kotor semula.
“Perut aku sakit, lah. Macam mana aku nak turun pergi ambil?” kata Luqman kepada Aisyah.
“Aku tak kira, baik kau turun sekarang. Aku tumbuk kau karang.” Kata Aisyah lagi sambil mengangkat buku lima ke paras telinganya. Berang muka Aisyah.
“Ye lah, ye lah. Aku turun.” Kata Luqman sambil bangun. Di gagahkan juga dia untuk melangkah. Makin ganas jadinya si Aisyah ni. “Kau ni perangai ganas macam jantan. Nanti dah besar jadi andartu. Anak dara tua. Siapa pun tak nak kat kau.” Kata Luqman kepada Aisyah. Sengaja dia nak menyakitkan hati sahabatnya itu. Dia menghulurkan basikal Aisyah dari dalam sawah ke atas.
“Kalau dah tak ada orang lain nak kahwin dengan aku, aku kahwin jer dengan kau. Kau ingat ada orang ke yang nak kat engkau?” Kata Aisyah sambil menarik basikal kesayangnya itu naik ke jalan. Basikal itu baru sebulan dia dapat daripada ayahnya. Hadiah hari jadinya yang ke 12. Terus sahaja dia mengayuh basikal itu untuk pulang. Meninggalkan Luqman terkulat-kulat di dalam sawah sendirian.
“Wei, Cah. Kau nak pergi mana pulak tu? Takkan dah nak balik?” soal Luqman apabila melihat Aisyah sudah mula mengayuh.
“Aku nak balik basuh basikal aku.” Jerit Aisyah sambil memecut laju.
“Wei! Kau kata nak main bola petang ni? Wei! Cah! Cah! Aisyah!” jerit Luqman sekuat hatinya. Tetapi Aisyah sudah jauh meninggalkan Luqman di situ.
“Abi… Abi… adik dah ngantuk! Jom lah naik…” lamunan Luqman terhenti, dikejutkan oleh suara rengek Jasmin dengan mata yang sudah separuh tertutup. Luqman memandang jam di dinding.
“Dah jam 11:30 dah… Jom! Jom! Naik tidur. Kakak, simpan semua mainan cepat. Esok nak sekolah.” Lewat pula dia hari ini. Selalunya jam 10 malam saja, semua anak-anaknya sudah dihalau naik ke katil masing-masing.
Dia mencapai alat kawalan jauh di atas meja kopi dan terus mematikan siaran televisyen. Buat kali terakhir sebelum naik ke bilik, Luqman memeriksa semua tingkap dan pintu telah sedia terkunci.
Rumah semi-D 6 bilik tidur itu milik ibu dan ayahnya. Setelah kematian Aisyah, dia kembali tinggal bersama Puan Ramlah. Sebelum ini, ibunya ditemani adik perempuannya yang masih bersekolah. Sekarang Lyana sudah pun berkerja di ibu kota. Pilihan paling logik waktu itu adalah untuk pulang dan tinggal bersama-sama ibunya.
Selesai menguruskan anak-anaknya di bilik mereka di tingkat 2, Luqman terus naik ke biliknya di aras loteng. Ibunya tidur di tingkat bawah. Puan Ramlah sudah penat ulang-alik memanjat tangga. Sakit lutut katanya.
Kini, bilik tidur utama dia aras 2 disediakan untuk adik kedua Luqman, Latiff. Bilik yang besar itu dilengkapi dengan satu katil queen dan satu katil double decker beserta pull-out. Latiff sudah mempunyi 3 orang cahaya mata. Jadi sesuailah bilik yang besar itu untuknya. Sebulan sekali, pasti Latiff akan pulang ke rumah itu untuk melawat ibunya. Dia dan keluarganya tinggal berhampiran dengan rumah mentuanya. Hampir setiap hujung minggu mereka melawat ibu bapa Aina, isteri Latiff. Jadi setiap hujung bulan pula, mereka pasti pulang ke rumah ini.
Selesai solat Isyak, Luqman berjalan menuju ke tingkap biliknya. Dia membuka tingkap itu seluasnya tetapi secebis angin pun tidak dirasakan malam itu. Luqman memandang ke arah pokok semarak api yang setinggi bumbung rumah di hadapannya. Sehelai daun pun tidak bergerak. Ayat-ayat ibunya tadi masih lagi berlegar-legar di dalam mindanya. Tiba-tiba, Luqman terasa begitu sesak nafasnya. Lemas dengan cuaca di luar, bertambah sesak dengan bait-bait leteran ibunya tadi.
Luqman menutup kembali tingkapnya, dan terus merebahkan badan ke katil. Dicapai bingkai gambar Aisyah de atas meja sisi katilnya. Gambar tersebut di ambil sebulan sebelum Aisyah meninggal. Luqman menatap gambar itu sepuasnya. Cuba melepaskan sesak rindu dijiwanya. Dia kemudian memejamkan matanya dan melekapkan gambar tersebut di dadanya. Dia mengiringkan badan sambil mendakap kemas bingkai tersebut. Sebaik sahaja dipejamkan matanya itu, wajah arwah Aisyah kembali bersarang.
“Ecah, apasal kau tak kahwin-kahwin lagi ni? Kau tunggu aku habis belajar ker?” Soal Luqman menyakat Aisyah pada suatu pagi raya. Luqman yang masih berbaki satu semester lagi di universiti, jarang-jarang sekali pulang ke kampung. Setiap kali dia pulang, rumah yang wajib dikunjunginya pastilah rumah rakan karibnya, Aisyah.
“Tak ada masa lah aku nak tunggu kau. Aku bukan macam kau, tergedik-gedik fikir nak kahwin tak habis-habis.” Kata Aisyah membalas.
“Eleh, kau tunggu aku. Aku tau. Sebab tak ada orang nak kan kau kan? Tu lah! Kasar dah serupa jantan. Sapa nak?” kata Luqman tanpa menoleh kanan kiri. Tak ceria rasa hidupnya sehari kalau tak mengusik sahabat di sebelahnya itu.
Bukanlah dia berniat sangat mahu mengutuk Aisyah, tetapi cara Aisyah membalas setiap serangan dia, itu yang menceriakan hati Luqman. Tangan Luqman masih laju menyenduk rendang dan lemang. Entah kali ke berapa dia bangun tambah.
“Sebelum puasa hari tu, ada dah ada orang datang meminang dia. Kau jangan pandai-pandai cakap anak Mak Nab ni tak laku, Man. Aku lesing kau karang.” Puan Zainab yang datang entah dari mana, tiba-tiba sahaja muncul di hadapan meja menyembur Luqman.
Aisyah tertawa melihat air muka Luqman yang dah terkulat-kulat. Malu Luqman dengan Puan Zainab. Bimbang juga andai wanita itu salah faham apabila dia asyik mengutuk perilaku Aisyah yang kasar persis lelaki itu.
“Engkau yang tak laku, kata aku pula.” Aisyah menyimbah cuka di luka hati Luqman. Luqman sebenarnya agak tergamam mendengar ayat-ayat Puan Zainab itu.
“Mak Nab, Ecah dah nak kahwin ker? Bila dia nak kahwin? Kahwin dengan siapa?” ada getar dalam suaranya. Ada resah dalam dadanya. Ada musykil dalam fikirannya. Ayat itu datang tanpa dia sempat bersedia. Langsung tidak dijangka.
“Tak! Ecah tolak. Tak handsome katanya. Nak handsome macam mana lagi pun, aku tak tau. Punya segak aku tengok gambar budak tu.” Omel Puan Zainab. Luqman menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya perlahan-lahan. Lega sedikit hatinya.
“Mak rasa dia handsome, mak je lah kahwin dengan dia tu. Geli je Cah tengok.” Aisyah menggedikkan bahunya. Entah apa yang maknya berkenan sangat dengan Sulaiman, anak Pak Thalib dari kampung seberang tu.
“Aku lagi handsome, kan Cah?” Seloroh Luqman. Tak habis-habis mahu mengacau Aisyah. Lega sedikit hati Luqman.
“A’ah. Kau memang lagi handsome dari mamat tu, tapi kalau aku letak muka kau sebelah Sapi, lembu si Rajoo dalam Upin-Ipin tu, kau masih lagi kalah.” Aisyah tak pernah mengalah apabila disakat Luqman. Ada saja jawapan yang dia balas. Tergelak besar Luqman mendengar balasan Aisyah itu.
Tanpa sedar, malam itu Luqman tertidur dalam senyuman dan air mata. Entah berapa lama air matanya dapat bertahan. Bagai tak kering-kering. Hampir setiap malam, pasti ada yang mengalir keluar dari tubir matanya.
* * * * *
Tidur Mylia terganggu malam itu. Memandai saja uminya tayang-tayang gambar dia kepada orang. Langsung tak ditanya kepadanya terlebih dahulu. Seumpamanya dia langsung tidak ada perasaan dan pilihan sendiri.
“Mylia, tadi kawan umi telefon. Dia minta tolong carikan calon isteri untuk anaknya. Umi dah tengok gambar anak dia tu. Boleh tahan juga rupa dia. Umi terus saja bagi gambar Melia kat dia.” Kata Puan Hamidah kepada anak dara sulungnya itu. Tersenyum-senyum dia menceritakan apa yang telah dibuatnya petang tadi. Melia membeliakkan matanya mendengar ayat uminya itu.
“Kenapa umi bagi gambar Mylia? Mylia tak nak kahwin dengan orang yang Mylia tak kenal.” Bangkang Mylia. Suaranya lembut dan perlahan tetapi agak tegas. Dia dididik dengan rasa hormat yang tinggi terhadap ibu bapanya.
Ingat lagi suatu hari, dia pernah membantah arahan uminya. Suaranya agak tinggi waktu itu. Uminya merajuk dengannya dan terus tidak mahu bercakap dengannya. Biar pun Mylia tetap menegur umi setiap hari seperti biasa, tetapi uminya langsung tidak mengendahkannya. Masuk hari kedua, abi Mylia; Encik Baharom terus mengadap Mylia dan memberikan amanat yang dia pegang sehingga sekarang.
“Mylia, salah atau betul perbuatan mak ayah kita, mak ayah tetap betul. Sebab mereka mak ayah kita. Kita tak ada hak langsung untuk melawan atau membantah. Sekarang abi nak Mylia pergi minta maaf dari umi. Cepat turun. Sekarang juga.”
“Umi rasa Luqman tu sesuai dengan Mylia. Umi pun kenal mak ayah Luqman tu macam mana. Umi yakin anak mereka juga sebaik mak ayahnya.” tersenyum simpul dia terkenangkan sahabat dunia akhiratnya, Ramlah. Mereka berkawan baik sejak dari zaman sekolah menengah lagi. Apabila Ramlah terlebih dahulu kahwin dan kemudiannya keluar meninggalkan kampung mengikut suaminya bertugas, mereka sering berutus surat.
“Luqman ni duda anak dua. Isterinya meninggal sebab excident kereta. Sampai sekarang dia jaga sendiri anak-anak dia. Susah nak jumpa lelaki macam tu sekarang ni.” Puan Hamidah cuba memberika justifikasi kepada perbuatannya siang tadi.
“Umi, macam mana pula dengan Sufian?” soal Mylia lemah. Sufian adalah tunangnya dan juga kekasih hatinya. Puan Hamidah menjuihkan bibirnya. Rasa sebal telinganya mendengar nama Sufian dibangkitkan. Sudah hilang kepercayaannya kepada lelaki yang sepatutnya menjadi menantunya sejak tiga tahun lepas lagi.
“Mylia, umi ni dah tak berkenan dengan sikap Sufian tu lah. Macam tak ada tanggungjawab. Kalau diri sendiri pun dia tak boleh nak urus, macam mana dia nak jaga kamu nanti?” soal Puan Hamidah kepada Mylia. Mylia tidak mampu berlawan dengan uminya. Ada betul juga apa yang dikatakannya sebentar tadi.
Sufian masih lagi terkial-kial dalam pengajiannya di universiti. Selepas habis SPM pada tahun yang sama dengan Mylia, mereka sama-sama menyambung pelajaran di Pusat Matrikulasi. Dari situ, mereka terpisah. Oleh kerana seorang di utara dan seorang di selatan, Sufian meminta agar mereka ditunangkan terlebih dahulu. Kedua-dua keluarga mereka bersetuju. Tarikh perkahwinan ditetapkan 6 bulan selepas mereka sama-sama selesai mengenggam segulung ijazah.
Entah di mana silapnya, Sufian terkandas di semester keempat pengajiannya. Dia hanya menganggur di rumah ibu bapanya selepas dibuang pihak universiti waktu itu. Dua tahun selepas itu, barulah Sufian kembali untuk mengejar pengajiannya. Dia memohon pula program Diploma di universiti yang sama. Tetapi sehingga sekarang dia masih lagi belum tamat. Sudah 2 semester tempoh pengajian diplomanya dipanjangkan. Mylia sendiri tidak faham apa masalah Sufian sebenarnya.
“Tapi umi, kalau ya pun umi dah tak setuju dengan Sufian, takkan lah umi nak Mylia kahwin dengan duda anak dua? Dah habis ke bujang-bujang dalam Malaysia ni?” Mylia masih cuba mengelak dengan cadangan uminya itu.
“Kalau yang bujang tu perangai macam Sufian, baik kahwin dengan duda saja. Dah sah-sah tau macam mana dia layan anak bini dia dulu. Punya setia dia dengan bini dia tu, kau tak nak ke suami yang setia dengan kau?”
Puan Hamidah sudah mula naik rimas dengan alasan demi alasan yang diberikan oleh Mylia. Dia terus bangun dan berlalu ke luar halaman rumahnya. Bersembang dengan pokok bunganya lebih menyenangkan hati daripada anaknya sendiri.
Share this novel