“Abang dah solat?” soal Mylia sebaik sahaja keluar daripada bilik air. Seperti biasa, dia sudah siap berpakaian sebelum keluar tadi.
“Dah. Tapi abang nak mandi jugak. Dari pagi tadi lagi abang travel.” Jawab Luqman sambil bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air.
Selesai Luqman mandi, Mylia juga baru selesaikan solat fardhu Asar. Luqman mengeluarkan sehelai seluar track dan dipakainya tanpa baju. Terus sahaja dia baring di atas katil untuk menghilangkan letih badan setelah seharian berjalan.
“Malam ni ada program?” soal Luqman kepada Mylia yang baru sahaja duduk tersandar disebelahnya.
“Tak ada. Hari ni kami dah seharian pusing Kota Kinabali. Fasi kata malam ni acara bebas. Esok pagi, penutup.” Terang Mylia sambil matanya terarah kepada peti televisyen. Entah cerita apa yang terpasang, Mylia hanya layankan sahaja.
“Makan malam?” soal Luqman lagi.
“Sepatutnya ada. Mula jam 7 sekejap lagi. Boleh je abang nak walk-in.” beritahu Mylia lagi. Luqman mencapai telefon untuk melihat waktu. Masih ada setengah jam sebelum waktu makan.
“Sayang…” panggil Luqman lembut penuh makna.
“Ya…” sambut Mylia. Matanya beralih kepada Luqman. Dengan senyuman penuh harapan, Luqman menepuk perlahan tilam disebelahnya meminta Mylia datang menghampiri. Tilam bersaiz King itu terasa begitu luas sekali.
Mylia menganjak perlahan-lahan beserta amaran. “Sayang nak solat maghrib lagi tau malam ni. Jangan sampai kena mandi lagi.”
“Shh… air panas kan ada…” bisik Luqman ke telinga Mylia sebaik sahaja wanita itu dipeluknya rapat ke dada. Sudah terlalu lama dia nantikan saat itu. Luqman sudah tidak mampu menunggu.
Lebih kurang jam 8 malam, Mylia dan Luqman turun beriringan ke cafeteria untuk makan malam. Tak lepas-lepas rangkulan tangan Mylia melingkari tangan Luqman. Begitu berseri-seri wajah keduanya.
Sebaik mereka melangkah masuk ke café, ramai juga peserta-peserta lain yg baru saja turun untuk makan malam. Mungkin semuanya keletihan tadi. Sehari suntuk berpusing-pusing melakukan aktiviti Treasre Hunt.
“Amboi, Puan Mylia. Berseri-seri muka bila encik suami kat sebelah ya?” tiba-tiba mereka ditegur Idlan yang baru sahaja selesai makan. Tersenyum lebar Mylia dan Luqman disapa begitu.
“Encik Idlan, kenalkan suami saya. Luqman. Abang, ini salah seorang fasi kami kat sini.” Mereka saling bertukar salam.
“Daripada mana, encik Luqman?” soal Idlan berbahasa.
“Selangor.” Jawab Luqman ringkas.
“Owh, okay. Okay. Sila makan. Saya naik ke bilik dulu.” Idlan menepuk lembut lengan Luqman dan berlalu pergi.
Pilihan makanan buffet di café itu begitu meriah sekali. Beraneka jenis lauk dan makanan sampingan tersusun indah. Nasi pun ada 2 jenis. Nasi putih dan nasi tomato. Pelbagai jenis hidangan berasaskan makanan laut terhidang. Ikan, udang, sotong malah ketam dan kerangan pun ada. Selain makanan laut, mereka juga turut menyediakan masakan ayam. Mungkin ada yang tidak boleh menerima makanan laut atas faktor-faktor kesihatan.
Selain itu, turut menjadi hidangan di situ ialah laksa dan mi kuah. Sungguh meriah. Belum lagi disenaraikan berjenis-jenis makanan pencuci mulut. Sepanjang 2 meja banquet digunakan untuk menghidang pencuci mulut sahaja. Puas hati mereka makan malam itu.
“Abang fikir apa? Macam jauh sangat je tu?” soal Mylia apabila dia melihat Luqman seperti tenggelam dalam dunia dia sendiri.
‘Jangan sebut Aisyah… Jangan sebut Aisyah… Jangan sebut Aisyah…’ ratibnya di dalam hati. Terasa begitu jahat dirinya waktu itu kerana dia cuba menghalang Luqman daripada mengingati arwah isterinya sendiri. Mylia terlalu takut walau hanya dengan bayangan Aisyah.
“Abang terfikirkan lelaki petang tadi.” Jawab Luqman perlahan. Dia memandang wajah Mylia mencari reaksi balas. Wajah Mylia sedikit keruh.
“Erm… apa kata kita makan dulu. Sekejap lagi kita keluar jalan-jalan kat luar tu ambil angin. Masa tu sayang cerita semua. Boleh?” soal Mylia kembali. Dia malas nak mengungkit cerita lamanya di meja makan. Dia tidak mahu mengganggu nikmat makanan yang ada di hadapannya sekarang.
“Okay. Abang nak pergi buat kopi. Sayang nak latte?” soal Luqman kepada Mylia. Terdapat sebuah mesin memproses kopi pelbagai perisa di kaunter minuman. Luqman ingin mencuba.
“Boleh juga. Kalau ada hazelnut, saya nak hazelnut latte yer.” Pesan Mylia menghadiahkan senyuman paling manis. Luqman membalas senyumannya dan mengangguk tanda faham. Mylia memandang sahaja Luqman yang mundar mandir di hadapannya membelek-belek makanan yang ada. Terngiang-ngiang di telinga Mylia ayat kurang ajar Sufian petang tadi.
‘Tak sangka kau cari orang tua. Kot yer pun nak re-bounce, carilah yang muda sikit. Gelojoh sangatlah tu.’ Berulang-ulang seperti radio kaset rosak.
Mylia mengamati wajah suaminya. Diusia 38 tahun, Luqman kelihatan sangat tampan. Susuk badan yang sentiasa terjaga. Masih nampak kacak dengan pilihan-pilihan pakaian yang masih ranggi dan santai. Wajahnya yang sentiasa tenang dan adakalanya serius memperlihatkan dia seorang yang berfikiran matang dan tidak semborono. Mungkin itu yang dilihat Sufian apabila dia mengatakan yang Luqman itu lelaki tua.
“Kenapa tengok abang mcam nak telan je tu? Tak cukup lagi makanan kat kaunter tu? Nak makan abang sekali?” soal Luqman sebaik sahaja dia meletakkan hazelnut latte permintaan Mylia di atas meja. Luqman yang duduk di kerusi bersebelahan dengan Mylia sengaja memusingkan badan mengadap Mylia. Satu tangan memegang penyandar kerusi Mylia, sebelah lagi menongkat badannya di atas meja. Kali ini dia pula yang merenung Mylia.
“Mana ada.” Jawab Mylia sambil tersenyum simpul.
“Tak ada? Yang tadi tu mata asyik ikuuut je mana abang pergi, tak tengok? Habis tengok siapa?” soalnya lagi.
“Sayang tengok suami sayang lah. Elok sangat suami sayang tu tau. Sayang macam nak kena cek lah IC dia. Betul ker umur dia dah 38 tahun? Nampak macam 28 jer. Elok!” jawab Mylia cuba mengusik Luqman pula. Asyik dia saja yang disakat. Mendengar isu umur yang dikeluarkan oleh Mylia, Luqman sedikit terasa.
“Jauhkan beza umur kita? Sayang tak menyesal terima abang?” soal Luqman menguji.
“Abang tahu tak betapa cemburunya Raisya bestfriend sayang kat office tu bila dia tengok suami sayang ni? Ada yang pernah tanya sayang, mana kau jumpa lelaki handsome sangat tu kat Malaysia? Kami tak jumpa pun! Haaa… takkan sayang nak menyesal. Terpaling beruntung!” jawab Mylia dengan penuh perasaan. Tertawa kecil Luqman melihat air muka Mylia yang penuh dengan emosi. Mahu saja dia mencium isterinya di situ juga.
Selepas habis secawan kopi, mereka berdua mula beredar dari café itu menuju ke luar. Mereka berjalan berpinpin tangan di sekitar hotel yang terletak betul-betul di tengah-tengah bandar Kota Kinabalu itu. Angin laut sesekali bertiup menyamankan suasana.
“Sayang… betul kah lelaki tadi tu tunang sayang?” soal Luqman. Dia tidak mahu lagi dibelenggu dengan persoalan itu. Dia mahu mencerahkan semuanya dan mulakan hidup baru dengan Mylia tanpa sebarang rahsia.
Mendengar soalan serius Luqman, Mylia melepaskan tangannya daripada genggaman tangan Luqman dan merangkul pinggang Luqman agar dia lebih rapat dengan Luqman. Kisah Sufian adalah kisah pahit yang pernah dia hadap. Dia tidak suka bercerita tentang sesuatu yang menyakitkan. Mylia tidak pernah menyangka yang Sufian akan muncul lagi dalam hidupnya.
“Yaaa…” jawab Mylia perlahan.
“Kenapa tak jadi kahwin?” soal Luqman lagi. Risau juga dia nak bertanyakan soal itu. Boleh jadi Mylia sensitif dengan soalan itu. Mylia menghela nafas panjang-panjang.
“Sayang pun tak tau nak meletakkan punca tu di mana. Secara kesimpulannya, mungkin sebab dia tu lelaki yang langsung tak ada sifat tanggungjawab.” Jawapan Mylia terlalu umum bagi Luqman.
“Maksudnya? Apa yang dia buat?” soal Luqman meminta penjelasan yang lebih.
“Dia tak pernah serius. Semua benda bagi dia hal-hal remeh. Semua benda dia ambil mudah.” Mylia terhenti seketika. Luqman membiarkan dia dalam pemikirannya seketika. “Kalau study pun dia boleh buat main-main, extend sampai 3-4 kali, macam mana dia nak jaga keluarga?” sedikit beremosi Mylia ketika itu.
“Macam mana boleh putus tunang?” soal Luqman lagi.
“Sayang tangkap dia curang red handed. Depan mata sayang dia seret perempuan mana tah bawa pergi makan. Mungkin sebab dia ingat dia selamat. Dia jauh di utara. Sayang tak kan mungkin sampai. Allah nak tunjuk agaknya.” Cerita Mylia. Dia terhenti sejenak di situ.
“Apa perasaan sayang sekarang bila berjumpa dia lagi?” soal Luqman menambah walaupun sudah terang lagi bersuluh bagaimana reaksi Mylia di hadapan lelaki itu.
“Syukurrrr sangat-sangat.” Jawab Mylia bersungguh-sungguh. Sengaja dia memanjangkan perkataan syukur itu. “Sepanjang minggu ni, tak tau berapa kali sayang mengucap syukur sebab sayang tak jadi isteri dia. Kalau seminggu pun sayang tak tahan, macam mana nak tahan seumur hidup? Ya Allah. Syukuuurrrrr… Alhamdulillah.” Tambah Mylia sambil memeluk susuk tubuh suaminya dengan lebih erat. Luqman tertawa kecil melihat reaksi Mylia.
“Abang…” panggil Mylia setelah dia memberhentikan langkahnya. Dia menarik Luqman agar dapat betul-betul berdiri di hadapannya. Walaupun Kawasan itu agak gelap ditemani lampu-lampu jalan, tetapi mereka dapat melihat wajah masing-masing dengan jelas.
“Yang paling buat sayang rasa syukur sangat-sangat minggu ini adalah… sayang bersetuju dengan pilihan umi untuk mengahwinkan kita…” ucap Mylia dengan lembut sambil menatap tepat ke mata Luqman. “Dan abang dah boleh terima sayang sebagai isteri abang sepenuhnya.” Dia memberikan senyuman paling manis buat Luqman. Terus sahaja Luqman menarik Mylia rapat ke dadanya dan memeluk dengan erat.
“I love you, Mylia.” ucap Luqman kepada Mylia sambil mencium ubun-ubun kepalanya.
“I love you too.” Balas Mylia. Kemudian mereka meneruskan langkah menikmati angin malam di Kota Kinabalu itu sambil menuju pulang ke hotel penginapan mereka.
“Sayang…” panggil Luqman. Kali ini ada nada-nada usikan dalam suaranya.
“Ya…” Mylia cuba meneka apa pula yang akan menjadi bahan sindiran Luqman lagi.
“Abang dah kenal Mikail, abang dah jumpa Sufian. Lepas ni, siapa lagi yang abang akan jumpa?” dia cuba berlagak serius.
“Owh… baru dua orang yer abang jumpa? Abang akan jumpa Dolah, Ramli, Said, Mokhtar…” jawab Mylia sambil membilang-bilang jarinya.
“Ambooiiii… ramainya skandal dia…” Luqman terus sahaja menggeletek pinggang Mylia. Menjerit-jerit Mylia di situ membuatkan dia cepat-cepat berhenti. Nanti tak pasal-pasal kereta polis yang datang menyapa.
“Geli lah!” mereka sama-sama tertawa gembira.
Share this novel