~ 35 ~

Romance Completed 13901

“Ibu! Ibu!” Kehadiran Mylia dan Luqman di sambut suara riuh rendah Julia dan Jasmin. Mereka terus sahaja memeluk kaki Mylia dengan kemas.

“Iyaaa…” Mylia melayankan sahaja manja anak-anak itu. Diusap-usap kepala kedua-duanya secara bergilir.

Ramlah yang memerhatikan aksi mereka anak-beranak hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia menghembuskan nafas keras dan kembali menumpukan kerja yang ditangannya. Aksi mesra anak menantunya tidak lagi dia percaya.

‘Korang ingat korang boleh tipu aku? Sudah-sudahlah. Selagi tak mengandung, aku takkan percaya lagi dah. Dah berapa kali korang tipu aku.’ Bentak hati orang tua itu.

Apa yang dia nak hanyalah anak menantunya itu dapat menerima satu sama lain, saling menyayangi dan dapat meneruskan hidup dengan aman damai selepas dia tidak lagi ada bersama-sama mereka di dunia ini nanti.

“Julia! Jasmin! Pimpin ibu ke sini. Baik-baik. Tangan ibu sakit tu.” Kata Ramlah kepada cucu-cucunya. Mereka menurutkan arahan Ramlah dan mengiringi Mylia ke dapur. Luqman sudah tidak dipedulikan. Dia terpaksa berjalan di belakang mereka bertiga.

Di meja makan juga anak-anak itu betah melayan ibu mereka.

“Ibu nak kuah lagi?”

“Ibu nak sayur lagi?”

“Ibu nak ayam?”

Saling bergilir mahu melayan Mylia. Entah berapa kali Ramlah menegur mereka supaya membiarkan Mylia makan dengan tenang. Namun Mylia sendiri seronok melayan kerenah anak-anak itu, membuatkan larangan Ramlah langsung tidak diendahkan. Walaupun nenek menghalang, ibu mereka cepat-cepat mengangguk dengan apa sahaja yang mereka tawarkan. Seronok Julia dan Jasmin menceduk itu dan ini ke pinggan Mylia.

“Untuk abi mana?” soal Luqman sesekali. Cuba menarik perhatian mereka.

“Abi tak sakit. Ambik lah sendiri.” Jawab Jasmin penuh perasaan.

“Dah la tu. Dah penuh sangat pinggan ibu. Macam mana ibu nak makan? Kamu berdua duduk dan makan nasi kamu cepat.” Arah Ramlah sedikit tegas. Naik rimas pula dia dengan keadaan riuh rendah di meja makan sebegitu. Julia dan Jasmin terus sahaja melabuhkan punggung dan mula menjamah nasi mereka.

* * * * *

“Mama nak solat dulu atau nak makan dulu?” soal Mikail sebaik sahaja memberhentikan kereta di salah satu R&R lebuhraya.

“Solat dulu lah. Lepas tu baru kita pergi cari makan.” Kata Suraya. Dia mencapai beg telekung yang telah pun diletakkan di belakang kerusi pemandu tadi.

“Okay. Nanti Mika tunggu mama dekat ruang makan tu je yer?” cadang Mikail kepada Suraya.

“Kau tak solat ker?” hairan Suraya. Sejak bila Mikail buat perangai malas solat.

“Ish, mama ni. Jauh sangat fikir tu. Mama selalu lama kat dalam surau tu. Lepas Mika solat, Mika terus ke area makan tu. Takkan Mika nak tunggu depan pintu surau perempuan?” tersengeh-sengeh dia sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Seperti yang dijangka, Mikail sememangnya terlebih awal selesai mengerjakan ibadahnya. Dia terus ke ruang makan dan memilih meja yg paling hampir dengan jalan masuk. Dia tidak mahu ibunya bersusah-payah berjalan dicelah-celah orang ramai.

Sambil menunggu ibunya datang, Mikail membelek-belek telefonnya. Dari satu akaun media sosial ke satu lagi akaun media sosial disebak. Tiba-tiba matanya terhenti pada satu paparan gambar tangan yang sedang berbalut kemas dan panjang. Posting Mylia itu teramat menyentuh hati Mikail. Walaupun dia terpaksa pergi tanpa berjumpa dengan Mylia, sekurang-kurangnya dia bersyukur kerana di saat Mylia memerlukan seseorang, dia ada di situ.

Dari jauh, Suraya dapat melihat kekeruhan wajah Mikail saat dia memandang telefon ditangannya. Dia tidak tahu apa yang berlegar di dalam kepala anaknya itu tetapi dia ada firasat mengatakan semuanya berkaitan dengan Mylia. Dia dapat melihat betapa pilunya hati satu-satunya permata jiwa dihadapannya itu. Walaupun ketika dia melangkah begitu hampir kepada Mikail, kehadirannya masih belum disedari. Begitu asyik Mikail menatap telefonnya.

“Mika nak makan apa? Mama malas nak makan nasi. Carikan mama mi goreng mamak, boleh tak?” Kata Suraya sedikit kuat. Dia berpura-pura tidak perasan akan situasi anaknya itu. Dia tidak mahu menabur garam di atas luka anaknya sendiri.

“Okay. Mika pun sama lah. Minum?” soal Mikail kembali. Otaknya sedang sarat menyebabkan dia malas nak berfikir banyak. Mi goreng mamak juga bukanlah satu pilihan yang teruk.

“Kopi o panas.” Mikail terus beredar membeli makanan yang diinginkan. Suraya hanya duduk dan memerhati susuk tubuh anaknya ke sana dan ke sini sepanjang gerai jualan yang ada di situ.

“Mama tahu Mika sedih. Mama cuba bantu Mika, ya. Mungkin nanti bila Mika dah tak sibuk ulang-alik uruskan mama, Mika ada lebih banyak masa untuk diri sendiri.” Terucap dengan nada yang begitu perlahan kata-kata janji Suraya pada Mikail dan dirinya sendiri. Dia hanya akan hidup untuk beberapa tahun sahaja lagi. Apalah sangat ego yang ingin dia pertahankan selain daripada kebahagiaan Mikail? Satu-satunya putera anugerah Allah.

Setelah Mikail meletakkan makanan dan minuman di atas meja, terus sahaja Suraya mencapainya. Agak lapar juga dia sebenarnya. Suraya membalik-balikkan mi goreng di dalam pinggan untuk disejukkan sebelum dijamah.

“Mama ada sembang dengan Maklong Ram kamu tadi. Dia ada tunjukkan tangan Mylia tu. Elok jahitannya. InshaaAllah tak der lah teruk sangat parut tu nanti.” sengaja dia mengungkit hal tersebut kepada Mikail. Dia tahu Mikail sedikit gundah selagi dia tidak tahu keadaan terkini Mylia.

“Alhamdulillah. Skill doktor-doktor sekarang ni dah hebat dah mama. InshaaAllah cepat sembuh tu.” Kata Mikail. Sejujurnya ayat itu lebih kepada ayat penyedap hatinya sendiri.

“Betul. Kita sebagai jiran dah tolong mana yang patut. Selebihnya tugas suami dia lah.” Suraya mahu Mikail cepat-cepat melupakan Mylia dan sentiasa beringat bahawa Mylia itu haram untuk diganggu. Dia sudah pun menjadi isteri orang.

Mikail hanya mengangguk-angguk kecil. Dia tidak mahu lagi meneruskan perbualan tentang Mylia. Cepat-cepat dia mencari idea untuk mengalih tajuk perbincangan.

“Nanti mama nak cari rumah setingkat ke, dua tingkat ke tiga tingkat macam sekarang?” soal Mikail. Tajuk itu lebih sinonim untuk mereka berdua.

“Kalau tanya mama, setingkat saja dah cukup. Tapi nanti Mika mesti akan ada anak bini. Selesa tak kalau setingkat saja?”

“Lambat lagi cerita tu mama. Tak payah la kita fikir jauh-jauh sangat.” Fikiran Mikail kembali bercelaru.

“Janganlah lambat-lambat sangat. Kesian kat mama. Nanti mama tak sempat nak main dengan cucu.” Pesan Suraya. Dia selalu cemburukan jirannya Ramlah. Rumahnya sentiasa bergema suara cucu-cucu kecilnya.

“Mama ni, sentimental sungguh hari ni ya. Nanti Mika cari bini cepat-cepat yer. Mama ada calon tak?” soal Mika berseloroh.

“Ish, bini Mika carilah sendiri. Apa mama pula yang nak cari? Bukan mama tahu sangat taste Mika macam mana.” Balas Suraya. Sejak dari anak itu kecil, dia tidak pernah mengatur perjalanan hidup Mikail. Biarlah dia sendiri yang membuat keputusan. Dia hanya membimbing dan memberi pandangan dan nasihat.

“Pulak… kalau lambat lagi nak jumpa macam mana? Mika bukannya handsome sangat. Tak ada peminat.”

“Tak ada peminat ke memilih sangat? Buka mata luas-luas, nanti jumpa lah.” Ketawa kecil Mikail mendengar ayat-ayat Suraya.

“Okay… okay… kejap…” Mikail membuka matanya luas-luas sambil memandang sekeliling seperti yang dikatakan oleh Suraya tadi. Niatnya tidak lain hanya untuk mengusik ibunya sahaja. Namun tiba-tiba matanya tertumpu pada satu susuk tubuh tinggi lampai yang sedang melambai-lambai kepadanya. Dengan tersipu-sipu dia melambai kembali.

Suraya yang melihat kepelikkan perangai Mikail saat itu berpusing ke arah lambaian Mikail. Seorang wanita tinggi lampai berwajah kuning langsat juga turut tersengeh-sengeh sambil melambai-lambai kecil. Dengan kakinya yang panjang ndan langsing itu, sekejap sahaja dia sampai ke meja mereka.

Ceria sungguh waajah gadis itu. Ditambah lagi dengan blouse bercorak kuning, selendang kuning air dan skirt labuh hitam yang dipakainya, menaikkan lagi sifat dirinya.

“Assalamualaikum…” sapa Rosemira kepada mereka berdua. Pantas sekali Rosemira menghulurkan tangannya kepada Suraya. Huluran salam disambut mesra oleh Suraya.

“Waalaikummussalam. Cik Rose kan?” Soal Mikail ingat-ingat lupa.

“Iya. Betul lah tu.” Jawab Rosemira lagi. Tak lekang-lekang senyuman manis di wajah gadis itu.

“Mama, ini Cik Rose. Client Mika.” Mikail perkenalkan mereka berdua. “Cik Rose, ini emak saya.”

“Oh! Makcik sihat?” soal Rosemira sambil meletakkan tangannya lembut di bahu Suraya.

“Alhamdulillah.” Jawab Suraya ringkas. Ceria sungguh perwatakkan Rosemira di mata Suraya.

“Cik Rose dari mana ni?” Soal Mikail.

“Ish, janganlah cik-cik. Formal sangat tu. Rose je. Dari Ampang, bawa mak pergi rumah abang. Ada majlis sikit. Ni pun ambik cuti extra hari ni. Encik Mikail dari mana?” Mikail tidak pernah meminta dia untuk memanggilnya secara casual. Rosemira teruskan dengan panggilan rasmi kepada Mikail.

“Saya balik HQ kejap hari ni. Ni baru nak balik Melaka.” Jawab Mikail ringkas.

“Rose orang mana?” soal Suraya pula.

“Orang Batu Pahat. Kerja di JB. Jauh lagi lah perjalanan saya.” Jawab Rosemira dengan senyuman yang makin melebar.

“Jauh tu. Datang dengan siapa lagi?” soal Suraya.

“Mak, ayah dengan adik seorang.” Kata Rosemira sambil jarinya terarah ke sebuah meja yang tidak jauh dari mereka. Suraya dan Mikail sama-sama memandang ke arah yang ditunjukkan.

“Rose drive sendiri ker?” soal Suraya lagi setelah dia melihat orang tua Rosemira yang berusia lebih kurang sama sepertinya.

“Iyer, makcik. Saya drive. Ayah dah tak berapa nampak sangat kalau nak drive malam-malam. Dah biasa dah pun.”

“Kuat. Sekarang dah makin ramai orang perempuan yang independent.” Kata Suraya.

“Tuntutan kerja mungkin. Dah makin ramai yang ada kerjaya. Kalau masih tak boleh nak bawa diri sendiri, susah lah kan?” Rosemira menyokong pernyataan Suraya sebentar tadi. Suraya hanya mengangguk-angguk.

“Nanti terus ke JB ke?” soal Suraya lagi. Mikail hanya membatukan diri membiarkan mereka berdua sahaja yang berbual.

“Tak kot. Singgah bermalam dulu di BP. Esok pagi baru gerak ke JB terus masuk kerja.” Suraya mengangguk-angguk kecil. “Ganggu je saya.” Kata Rosemira apabila melihat Suraya dan Mikail berhenti menyuap. “Jumpa lagi nanti ye, En Mikail. Mungkin saya akan turun ke Melaka untuk bincang program tu.”

“Baik-baik. Kalau nak kita turun ke JB pun boleh. Boleh kami pergi tengok lokasi siap-siap.” Balas Mikail.

“Haaa… elok juga macam tu. Okay lah. Saya gerak dulu yer, makcik.” Kata Suraya dengan sopan. Sekali lagi, tangannya diletak lembut ke bahu Suraya sebagai tanda dia meminta diri untuk beredar.

“Kannn… buka je mata tu luas-luas. Mesti nampak” Sebaik sahaja Rosemira sudah pergi jauh dari meja mereka, Suraya serta-merta mengusik anaknya.

“Orang perempuan, kalau dia betul seronok sungguh kan?” usik Mikail kembali.

“Dah memang mama betul.” Suraya tersenyum puas.

“Ya lah, mama. Betul sangat. Tapi Cik Rose tadi tu client je ya. Tak ada lebih-lebih.” Mikail membela diri.

“Mama tak kata apa pun. Lagi pun dia tu ceria sungguh mama tengok. Seeee… nyum memanjang.” Komen Suraya. Panjang perkataan ‘senyum’ yang disebutnya.

“Tak kan laa dia nak masam-masam, marah-marah datang tegur orang. Kena lah senyum. Dia yang datang. Kalau kita yang pergi kacau meja dia, kot lah dia nak tarik muka.” Mikail cuba merasionalkan sikap Rosemira kepada Suraya.

“Betul lah. Tapi mama yakin lah, dia ada jiwa yang kental. Walau macam mana pun sukar hidup dia, wajah yang dia pamer pada orang sentiasa ceria.” Suraya mula menilik Rosemira dengan lebih mendalam.

“Amboi… Amboi… sejak bila mama jadi pakar psikologi pula?” usik Mikail.

“Tak perlu jadi pakar psikologi. Jadi mak-mak pun dah cukup buat kita kenal orang. Menilai sifat keperibadian orang. Tambah-tambah anak sendiri. Kadang-kadang, mak-mak ni bukan dia tak tahu. Tapi dia buat-buat tak tahu supaya anaknya tak bertambah sedih.” Kata Suraya berkias. Dia langsung tidak memandang Mikail. Matanya masih lagi tertumpu kepada Rosemira dan keluarganya yang sedang rancak berbual dan ketawa sambil menikmati makanan masing-masing.

Mikail terkedu sekejap. ‘Mama betul-betul tahu ke dia nak main serkap jarang ni? Nak umpan supaya aku bercerita ke?’ dia memandang ibunya tetapi ibunya masih memandang ke arah lain. Apabila dia menoleh ke arah yang sama, jelas terlihat keluarga Rosemira dihujung sana.

“Mama, kenapa pandang mereka macam tu. Nanti, apa pula kata mereka?” pesan Mikail sambil menyentuh tangan Suraya bagaikan mengejutkan ibunya daripada satu lamunan yang jauh.

Suraya cepat-cepat mengalihkan pandangan. Makanan di hadapannya ditolak ke hadapan.

“Banyak sangatlah. Mama tak larat nak habiskan.” Sisa mi goreng mamak masih berbaki separuh.

“Nak bungkus ke?” soal Mikail.

“Boleh juga. Nanti simpan peti ais. Esok pagi, kalau masih elok boleh mama panaskan untuk sarapan mama.” Pantas sahaja Mikail mengambil pinggan makanan Suraya dan dibawa ke kedai yang dibelinya untuk dibungkuskan.

Sementara itu, Suraya cepat-cepat menghabiskan teh o panas yang masih bersisa. Sebelum bangun, dia pastikan tidak ada apa-apa barang yang tertinggal di atas meja mahupun di atas kerusi yang ada di situ.

Semasa mekera beriringan ke kereta, sekali lagi nama Mikail diseru dari belakang. Apabila mereka berdua berpusing, Rosemira dan keluarganya juga sedang berjalan keluar daripada R&R itu menuju ke kenderaan mereka.

“Inilah mak abah saya. Yang sebelah ni pula Rahimi, adik saya.” Rosemira memperkenalkan ahli keluarganya kepada Mikail dan Suraya.

“Apa khabar, pakcik?” Mikail menghulurkan salam kepada Razak, ayah Rosemira. Kemudian, dia menyambut pula huluran salam daripada adik lelaki Rosemira, Rahimi. Suraya pula bersalaman bersama Marina, ibu Rosemira.

“Alhamdulillah. Memang asal orang Melaka?” soal Razak kepada Mikail.

“Tak lah. Asal Selangor. Kerja kat sana.” Jawab Mikail sopan.

“Melaka area mana?” soal Razak lagi.

“Ayer Keroh.” Beritahu Mikail lagi.

“Bila-bila lajak la ke Batu Pahat. Tak jauh mana dah.” Sampuk Marina pula.

“InshaaAllah.” Sambut Mikai. Dia tahu Marina sekadar berbahasa sahaja dengannya.

“Jom mak, abah. Jauh lagi kit ani.” Kata Rosemira kepada orang tuanya. Mereka hanya mengangguk-angguk dan terus meminta diri.

“Ramah betul keluarga dia pun. Mudah mesra kalau macam tu.” Komen Suraya sebaik sahaja keluarga Rosemira sudah agak jauh dari mereka. Mikail langsung tidak menjawab.

“Betul ker kamu tak ada apa-apa dengan Rose tu? Sampai bawa keluarga datang tegur kita.” Soal Suraya memancing perhatian daripada anaknya.

“Mama nampak macam kami ada apa-apa ker?” soal Mikail kembali. Malas pula dia nak terus berbicara tentang tajuk sekarang.

“Mana lah mama tau. Kadang-kadang Mika suka simpan sorang-sorang. Tak nak kongsi dengan mama.” Rungut Suraya.

“Mana ada. Nanti kalau dah betul-betul ada, Mika cerita semua dekat mama yer.” Janji Mikail kepada Suraya. Sebaik sahaja kunci kereta dibuka, mereka sama-sama melangkah masuk. Sebaik sahaja kedua-dua pintu kereta ditutup, Mikail menyambung lagi. “Anak mama ni tak laku la. Orang tak nak!”

“Ish! Ke situ pula.” Marah Suraya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience