Luqman berjalan perlahan-lahan sepanjang laluan yang dibina indah di tepi sebuah tasik yang luas terbentang. Cuaca waktu itu amat baik. Cuaca yang begitu cerah, berangin dan berawan membuatkan Luqman berasa begitu selesa untuk menikmati pemandangan hari itu. Entah kenapa, tiada langsung pengunjung lain di situ. Yang ada hanya dia sendirian.
Luqman berhenti seketika dan mengangkat pandangannya memerhati keadaan sekeliling. Indah dan tenang suasananya. Luqman menarik nafas dalam-dalam. Tiba-tiba matanya tertangkap sesusuk tubuh wanita di sisi kirinya. Dia merenung dengan penuh perhatian ke arah wanita itu. Dia amat kenal wanita itu. Baju kurung putih bersih dan seledang putih yang dipakai yang dibiarkan panjang mengurai ke belakang terbuai-buai ditiup angin dingin. Wanita itu berdiri mengadap tasik dan memandang lurus ke hadapan. Luqman tidak pasti samada wanita itu sedar akan kehadirannya waktu itu.
“Ecah? Ecah ke tu?” Luqman menjadi teruja melihat Aisyah yang tiba-tiba muncul dihadapannya. “Aisyah!” Luqman menjerit sekuat hati. Aisyah masih lagi memandang ke hadapan. Bagaikan dia langsung tidak mendengar suara Luqman yang memanggil.
“Aisyah!” sekali lagi Luqman menjerit sekuat hati. Dia mula mengangkat kakinya untuk berlari mendapatkan Aisyah di hujung sana.
“Abi! Abi!” tiba-tiba suara Julia dan Jasmin mengejutkan Luqman. Masing-masing sedang menarik tangan kanan dan kirinya ke arah bertentangan.
“Julia, Jasmin, tengok sana! Umi ada kat sana tu. Jom kita pergi kat umi, jom.” Ajak Luqman kepada anak-anaknya dengan perasaan yang penuh kegembiaraan. Rindu yang sudah lama bersarang kini semakin membuak-buak ingin dilepaskan. Dia ingin memeluk tubuh wanita itu. Dia rindu harum bau rambut Aisyah.
“Ibu… nak ibu… Julia nak ibu…”
“Ibu… Jasmin nak pergi ibu… Abi… jomlah pergi ibu…”
Kedua-dua anaknya meronta-ronta agar Luqman mengikut mereka ke arah yang bertentangan. Luqman mengangkat matanya memandang ke belakang. Mylia ada di sana sambil tersenyum kepada mereka. Kedua-dua tangan Mylia dihulur ke hadapan seolah menunggu untuk menyambut kehadiran mereka.
Hati Luqman membara. Dia marah kepada Mylia yang muncul di situ. Mylia telah mencuri perhatian anak-anaknya daripada umi mereka. Mylia telah menyingkirkan rasa sayang Julia dan Jasmin terhadap umi mereka dan menggantikan dirinya sendiri dalam hati anak-anak. Luqman tidak boleh menerima keadaan itu. Dia tidak mahu membiarkan hal itu terus berlaku.
“Julia, Jasmin, jom kita jumpa umi ya. Umi tengah tunggu kita. Dah lama kan kita tak jumpa umi?” pujuk Luqman kepada anak-anaknya.
“Tak nak! Jasmin nak pergi ibu. Ibu!” Jasmin menggeleng-geleng sambil menjerit memanggil Mylia.
“Julia pun nak pergi ibu. Ibu!” Julia meronta-ronta minta dilepaskan agar dia boleh pergi mendapatkan Mylia.
Hati Luqman semakin marah.
“Tak boleh! Itu bukan emak korang yang sebenar. Jom, cepat ikut abi jumpa umi. Jangan membantah.” Luqman menarik tangan kedua-dua anaknya. Dia mahu segera pergi mendapatkan Aisyah. Sudah lama benar mereka tidak berjumpa. Julia dan Jasmin meraung-raung menangis minta dilepaskan oleh Luqman.
Sedang dia bergelut dengan anak-anaknya, tiba-tiba satu sentuhan lembut singgah di lengan kirinya.
“Bi… Bi…” dia kenal suara itu. Dia benci suara itu.
“Bi… bangun. Dah subuh.” Luqman menepis tangan Mylia di lengannya. Tersentak Mylia seketika dengan tindakan Luqman.
‘Apa pula masalah laki aku pagi ni? Baru bangun dah berang.’ Fikir Mylia sendiri. Sejak mereka mula tidur sebilik, Mylia yang selalu bangun lebih awal dan akan mengejutkan Luqman untuk bangun subuh. Luqman tidak pernah marah sebelum ini. Tetapi pagi ini, sikap Luqman lain.
Melihat mood Luqman yang terlalu negatif begitu, Mylia terus berlalu untuk turun ke dapur. Dibiarkan Luqman sendirian di dalam bilik. Suasana di dapur pagi itu sudah pun meriah. Lyana; adik Luqman dan Aina; biras Mylia pulang berhujung minggu di rumah itu semalam. Semakin ceria hati Ramlah apabila sesekali semua anak, menantu dan cucu-cucunya berkumpul. Senyuman tak lekang-lekang di bibir tuanya.
“Kak Mylia, kita pergi picnic hari ni nak tak?” soal Aina. Biarpun Aina tiga tahun lebih tua, tetapi disebabkan Mylia berkahwin dengan abang iparnya, dia tetap memanggil Mylia dengan gelaran kakak.
“Wah! Best tu. Nak picnic kat mana?” soal Mylia kembali. Seronok juga dapat beriadah beramai-ramai begitu. Nak harapkan suami membawanya bersiar-siar, memang tiada harapan langsung.
“Kita pergi pantailah. Dah lama tak mandi pantai. Budak-budak tu confirm excited.” Jawab Aina.
“Nak tidur sana ke nak balik hari? Bestnya kalau dapat tidur kat sana.” Sambut Ramlah pula. Sudah agak lama mereka sekeluarga tidak keluar bercuti beramai-ramai. Tambahan sekarang dengan bertambahnya ahli keluarga mereka, pastinya semakin meriah.
“Kalau mak nak bermalam, kita pergi jauh sikit lah. Kita pergi Port Dickson, nak tak? Lyana carikan hotel.”
“Cuba Lyana carikan dulu. Ada lagi ke kalau nak booking last minute ni?” Saran Aina kepada adik iparnya. Pantas Lyana mencapai telefon bimbitnya dan melayari aplikasi tempahan hotel.
Riuh rendah suara mereka berempat di dapur pagi itu cuba menyusun atur percutian hujung minggu mereka. Sambil-sambil memilih hotel, siap juga sarapan nasi lemak dengan sambal tumis sardin untuk mereka sekeluarga pagi itu. Ada juga masakan ayam kicap untuk anak-anak kecil mereka yang tidak makan pedas.
Tepat jam 8:30 pagi. Luqman turun bersama-sama Julia dan Jasmin. Julia dan Jasmin sudah siap mandi dan siap berbaju kurung. Ramlah terserempak dengan mereka semasa dia melintasi tangga.
“Nak pergi mana awal-awal pagi ni? Siap baju kurung lagi budak-budak ni?” soal Ramlah kepada Luqman. Hairan juga dia dengan situasi luar biasa itu.
“Nak bawa Julia dan Jasmin jumpa umi mereka. Mereka dah lupa yang mereka ada umi yang sangat sayangkan mereka.” Luqman menjawab dengan tegas. Terlalu kuat aura negatif yang menyelubungi Luqman waktu itu.
“Ibu! Wanginya ibu masak. Ibu buat nasi lemak ya?” soal Julia apabila terpandang Mylia yang berdiri kaku tidak jauh di belakang Ramlah. Tersentak Luqman dan Ramlah. Mereka sama-sama berpaling memandang Mylia.
“Iya. Ibu buat nasi lemak sardin kegemaran Julia lah. Nak makan dulu sebelum keluar?” soal Mylia bersahaja. Dia dengar setiap butir bicara dua beranak itu tetapi dia malas untuk memberi respon. Terlalu awal pagi untuk berdrama.
“Tak payah. Kami makan di luar saja hari ni.” Balas Luqman tegas. Apabila terpandang wajah Mylia, semakin meluap-luap rasa marahnya. Perasaan Luqman di dalam mimpinya pagi tadi terbawa-bawa hingga ke alam realiti. Semakin bingung Mylia dengan sikap Luqman pagi itu.
“Tapi Jasmin nak makan nasi lemak yang ibu buat.” Jasmin mula meronta minta dilepaskan. Terus saja Luqman terkenangkan mimpinya pagi tadi. Betapa anak-anaknya meronta-ronta minta dilepaskan untuk pergi kepada Mylia sedangkan Aisyah sedang menunggu mereka di hadapan. Luqman semakin berang.
“Tak payah, abi cakap. Jangan degil. Cepat masuk kereta.” Agak tinggi suara Luqman terhadap anak-anaknya itu. Ramlah yang ada berhampiran dengan Luqman juga terjungkit badannya akibat terkejut dengan amukan Luqman.
“Kamu ni dah kenapa nak mengamuk pagi-pagi buta ni? Kot ya pun, tak payah lah nak tengking budak-budak tu. Diorang minta nak makan saja. Pergi duduk makan sekejap, lepas tu pergilah mana pun engkau nak pergi. Bukannya nak pergi mana kubur tu.” Ramlah pula yang menyinga. Dia tak suka sikap Luqman yang naik berang awal-awal pagi sebegitu. Dia baru saja merancang-rancang untuk percutian keluarga. Nampak gayanya, perancangan mereka terpaksa dibatalkan kalau begini sikap Luqman.
Mylia terus pusing ke belakang untuk kembali ke dapur. Dia tidak mahu berada di situ. Dia tidak mahu menonton drama dua beranak itu. Apabila dia memusingkan badannya, Lyana dan Aina juga turut ada di situ. Matanya Mylia bertembung dengan mata mereka berdua. Keruh air muka kedua-duanya. Lyana dan Aina sama-sama memegang lengan Mylia dan menggosok-gosok memberikan sokongan kepada Mylia. Dia hanya tersenyum hambar.
“Tak payah. Kami pergi dulu.” Jawab Luqman dan terus menarik tangan anak-anaknya untuk keluar.
“Luqman!” panggil Ramlah lagi tetapi langsung tidak diendahkan. Selepas pintu rumah ditutup Luqman, Ramlah segera berjalan menuju ke dapur. Sunyi sepi keadaan di dapur waktu itu. Berbeza benar dengan suasana awal tadi yang riuh rendah dengan gelak ketawa mereka.
“Kamu berdua bergaduh ker?” soal Ramlah kepada Mylia. Mylia menarik nafas dalam-dalam. Sesungguhnya dia juga tidak tahu dan tidak faham dari mana punca Luqman naik angin pagi itu.
“Entahlah mak. Saya pun tak sedar masa bila saya buat salah. Pagi tadi Mylia kejutkan dia bangun subuh macam biasa, tapi dia dah marah-marah dan tepis tangan Mylia. Tak tahulah mana datang marah dia tu. Semalam okay saja.” Cerita Mylia jujur. Pening kepala Mylia dengan karenah Luqman.
* * * * *
“Ini kubur umi. Bagi salam kat umi.” Arah Luqman kepada Julia dan Jasmin sambil mengalaskan sehelai tikar dihadapan pusara Aisyah. Jarang-jarang sekali Luqman membawa Julia dan Jasmin ke situ kerana dia ingin berbicara secara peribadi dengan Aisyah. Ingin bercerita dari hati dengan isteri kesayangannya itu.
“Assalamualaikum, umi.” Kata Julia dan Jasmin seretak.
“Umi boleh ke dengar suara kita, abi?” soal Jasmin setelah dia duduk bersimpuh di sebelah Luqman.
“Mestilah boleh. Umi nampak kita datang. Bila kita baca Al-Quran untuk umi sekejap lagi, makin sejuk tempat umi tinggal tu. Jom cepat kita baca. Julia dan Jasmin ikut abi baca, okay.” Kedua-dua anaknya mengangguk-anggukkan kepala.
Pagi itu, Luqman hanya membaca empat surah Qul dan surah Al-Fatihah agar anak-anak kecilnya dapat mengikut sekali bacaannya. Setelah selesai membaca, Luqman menadah tangan untuk berdoa. Julia dan Jasmin juga turut sama berdoa.
“Julia, Jasmin, abi nak korang berdua ingat yang umi sangat-sangat sayangkan korang berdua. Umi mesti rindu sangat nak jumpa Julia dengan Jasmin. Julia dengan Jasmin tak boleh lupakan umi, tau. Mesti buat perangai elok-elok, solat bagi cukup, nanti kita sama-sama boleh jumpa umi di Syurga. Nanti, barulah kita boleh hidup sama-sama semula dengan umi. Faham?”
Julia mengangguk-angguk. Tetapi Jasmin ada lebih banyak persoalan.
“Ibu? Nanti ibu masuk Syurga tak? Kita boleh jumpa ibu dekat Syurga juga?” anak itu hanya mengenal Mylia sebagai ibunya. Anak itu tidak sempat merasai kasih-sayang Aisyah. Dia langsung tiada memori tentang Aisyah. Bukan salah Jasmin tidak mengenali Aisyah. Semua ‘pengalaman’ Jasmin dengan Aisyah hanyalah melalui kepingan gambar.
“Dah jumpa umi dah kan, kenapa nak jumpa ibu lagi?” Luqman tidak dapat berfikir dengan rasional waktu itu. Emosinya amat terganggu dek mimpinya pagi tadi. Dia rindu amat kepada Aisyah tetapi anak-anaknya terlalu melebihkan Mylia sehingga hilang peluang Luqman untuk bersemuka lagi dengan Aisyah. Luqman menjadi marah. Teramat marah.
“Tapi, Jasmin nak ibu.” Jasmin sekali lagi menangis. Terlalu kasih dia kepada ibunya, Mylia. Dia tidak mahu kehilangan ibunya. Dia baru sahaja berjumpa dengan Mylia. baru sahaja merasai kasih-sayang seorang wanita yang bergelar ibu. Dia tidak mahu kehilangan ibu.
“Ya, ya. Sudah. Jangan menangis. Jom kita balik. Tak habis-habis ibu.” Luqman sudah rimas dengan tangisan Jasmin. Dia sedar cara paling cepat nak redakan tangis anak itu ialah segera pulang ke rumah.
* * * * *
Percutian yang dirancang oleh Ramlah dan anak menantunya tetap terlaksana. Kata Ramlah, mereka mesti pergi juga. Mungkin nanti angin di tempat baru boleh tenangkan sedikit jiwa Luqman yang tak keruan itu.
Mereka pergi menaiki dua biji kereta. Ramlah menaiki kereta Luqman manakala Lyana menaiki kereta Latiff. Ramlah sendiri yang aturkan begitu. Dia tidak mahu Mylia bersendirian mengadap Luqman sepanjang perjalanan mereka ke Port Dickson itu. Nanti entah apa lagi yang akan Luqman perkatakan yang boleh melukakan hati Mylia.
Sepanjang perjalanan, Ramlah dan Mylia yang banyak bersuara melayan kerenah Julia dan Jasmin. Mereka sangat-sangat teruja setelah tahu yang mereka akan pergi bermalam di hotel dan bermain di pantai. Macam-macam soalan yang timbul. Yang pastinya, mereka mula berebut-rebut katil untuk tidur malam ini. Masing-masing ingin tidur sekatil dengan ibu.
“Mana boleh. Julia dan Jasmin kan dah besar. Dah tak muat katil nak tidur semua sekali. Julia dengan Jasmin kena tidur dengan nenek dan maksu.” Jawab Ramlah kepada cucu-cucunya. Wajah Jasmin sudah mula mencuka.
“Eh, tak per lah mak. Biar diorang tidur dengan kami. Kesian mak nak tidur. Lasak budak-budak ni.” Balas Mylia kepada mentuanya.
“Nak tidur macam mana ramai-ramai? Lyana dah ambikkan kamu bilik dua orang. Ada satu katil jer. Mak yang suruh. Biar mak tidur dengan budak-budak ni. Mak dah ambik bilik besar untuk kami.” Jelas Ramlah.
“Boleh tukar je mak. Mak dengan Lyana ambik bilik dua orang tu, kami ambik bilik besar. Sama saja.” Jawab Luqman yang menyampuk perbualan mereka. Dia juga agak kurang senang dengan idea tidur berdua dengan Mylia.
“Tak payah. Engkau layan bini engkau baik-baik. Mylia juga ada hak.” Jawab Ramlah tegas. Geram betul dia dengan perangai Luqman. Dia sendiri tertanya-tanya apa perkembangan hubungan mereka berdua sekarang. Jangan-jangan mereka masih lagi sama seperti dulu. Mylia cukup pandai menyembunyikan masalah. Tidak pernah langsung merungut apa-apa tentang Luqman.
Malas pula Luqman mahu bertekak dengan emaknya dihadapan Julia dan Jasmin. Dia hanya mendiamkan diri sahaja selepas itu. Dia ikutkan saja buat sementara waktu.
Sesampainya mereka di hotel, Lyana yang terlebih dahulu menuju ke kaunter pendaftaran. Setelah mendapatkan ketiga-tiga kunci bilik, terus sahaja dia edarkan kepada abang-abangnya seperti yang diarahkan Ramlah.
“Kalau engkau kesiankan kak Mylia, baik kau dengar cakap mak!” awal-awal lagi Ramlah sudah memberikan amaran keras bercampur ugutan kepada anak bongsunya itu. Dia sendiri tidak faham dengan filosofi orang tuanya itu.
‘Bahagia apa kalau macam tu? Rasanya Kak Mylia lebih bahagia kalau anak-anak tu tidur dengan mereka. Tak ada lah dia melangu sorang-sorang bila abang Luqman lancarkan cold war.’ Itu yang ada dalam fikiran Lyana.
Itu filosofi anak muda. Anak muda hanya mendapat gambaran jarak dekat. Tetapi bagi orang tua, jika tidak dibuka peluang seperti itu, jika masing-masing asyik mengelak antara satu sama lain, sampai bila-bila pun masalah ini tidak akan selesai.
“Abang, sayang kesianlah tengok kak Mylia tu. Sedih sangat. Sayang tak tau apa sayang akan buat kalau sayang kat tempat dia.” Aina memulakan bicara sebaik sahaja dia duduk bersantai bersama Latiff di balkoni hotel. Pemandangan di situ saujana mata memandang. Sesekali ada angin petang bertiup lembut menerobos masuk ke bilik hotel mereka.
“Abang pun tak faham lah dengan Abang Luqman tu. Berapa lama agaknya dia nak berkabung untuk Kak Aisyah tu?” Jawab Latiff. Pandangannya masih tertumpu ke hadapan.
“Abang tak boleh ke say something? Kot-kot dia boleh terbuka hati.” Usul Aina.
“Abang nak say something? Mak pun tak boleh nak kata apa, tambahlah abang. Kejap lagi free-free jer abang kena sound.” Pantas sungguh Latiff mengelak. Tak mahu mereka berdua pula yang bertegang leher nanti. Kalau dengan mak, pastinya Luqman tidak berani bertikam lidah. Tetapi kalau dengan dia, boleh jadi perang besar nanti. Isu rumah tangga pastinya satu isu yang amat sensitif.
“Kalau Luqman tu abang sayang, dah lama sayang sound. Kalau dah nak layan orang tu macam tu, baik tak payah kahwin dari awal.” Rungut Aina lagi.
“Haa… itu pun satu hal juga. Abang Luqman tu memang tak nak kahwin pun. Tapi mak tu yang beria-ia sangat nak suruh abang kahwin. Sekarang, macam ni lah jadinya. Orang dah kena paksa, payah lah dia nak buka hati tu. Kalau dia sendiri yang jumpa, itu lain cerita.” Terang Latiff panjang lebar kepada isterinya.
“Sampai bila lah Abang Luqman tu nak grieving macam tu? Apa lagi kurangnya Mylia tu? Dia nak tunggu perempuan yang macam mana baru dia nak terbuka hati?” soal Aina. Tetapi soalan-soalan itu lebih kepada persoalan kepada dirinya sendiri, bukan untuk dijawab oleh Latiff.
“Sayang tak perasan ker betapa berbezanya arwah Aisyah dengan Mylia tu? Serba serbi berbeza. Macam langit dengan bumi. Mungkin nak kena cari yang tomboy macam tu jugak kot baru abang Luqman nak berkenan.” Kata Latiff sedikit berseloroh.
“Mana nak cari perempuan yang perangai macam tu di usia macam kita ni abang. Perangai macam tu perangai budak-budak je. Kalau dah nama perempuan tu, bila dah dewasa mula lah melaram, bertukar penampilan dan perwatakan.” Aina menggeleng-gelengkan kepalanya memikirkan hal Luqman dan Mylia.
“Mama, jom mandi kolam. Jomlah.” Rafiq; anak sulung Latiff dan Aina yang berusia sembilan tahun sudah mula tidak sabar untuk turun bermain di kolam renang. Latiff dan Aina berkahwin tiga tahun lebih awal berbanding Luqman dan Aisyah. Sebab itulah Rafiq lebih tua berbanding Julia.
“Along dah solat Asar? Solat dulu siap-siap, baru turun kolam.” Pesan Aina kepada Rafiq. Setelah mendengar syarat mamanya, sepantas kilat Rafiq masuk ke bilik air untuk berwuduk dan bersolat. Dia tidak mahu membuang lebih banyak masa. Jarang-jarang sekali mereka dapat pergi bercuti beramai-ramai dengan sepupu mereka Julia dan Jasmin.
Selesai solat, laju sahaja Rafiq mengajak Raimi pergi mendapatkan Julia dan Jasmin di bilik bertentangan. Rafiq membunyikan loceng dua kali dan menunggu pintu dibuka.
“Pak long, Rafiq nak ajak Julia dan Jasmin mandi kolam boleh?” sopan sungguh Rafiq meminta izin daripada Luqman.
“Okay, jom kita panggil diorang kat bilik nenek.” Luqman terus menutup pintu bilik dan berlalu menuju ke bilik emaknya. Pantang diberi alasan, pantas sekali Luqman bergerak asalkan dia tidak perlu berada bersama Mylia berdua. Kekok amat rasanya.
“Nenek! Oh, nenek! Julia dan Jasmin ada?” terus saja Rafiq dan Raimi menjerit dari luar pintu bilik nenek mereka. Mendengar nama mereka dipanggil, laju saja Jasmin berlari membuka pintu.
“Hi, abang Rafiq! Hi, abang Raimi! Kitorang tengah tunggu maksu. Abi pun ikut?” soal Julia apabila terlihat Luqman juga turut berada di situ. Mereka bersama-sama menapak masuk ke dalam bilik hotel Ramlah yang sedang berehat di atas katil sambil menonton televisyen. Lyana pula sedang solat.
“Mestilah. Abi pun dan lama tak mandi kat kolam renang.” Jawab Luqman dengan perasaan sedikit ceria apabila dapat melayan karenah anak-anaknya itu.
“Mana ibu? Ibu tak ikut sekali? Jasmin panggil ibu ye?” Pantang sungguh anak kecil itu ke mana-mana tanpa Mylia. Akrab sungguh dia dengan Mylia.
“Tak payahlah. Ibu nak rehat.” Bangkang Luqman kepada Jasmin. Walhal tadi dia sendiri langsung tidak mempelawa Mylia menyertai mereka turun ke kolam renang.
“Alaaa… tak nak. Jasmin nak pergi dengan ibu.” Jasmin terus meluru ke pintu hotel untuk keluar mendapatkan Mylia di bilik bertentangan. Tak sempat Luqman nak halang kelincahan anak kecil itu.
“Jasmin, tunggu abi. Ish budak ni. Laju saja dia menonong. Rafiq, tolong tengokkan Jasmin.” Pinta Luqman kepada anak buahnya itu pantas. Rafiq terus menerpa ke arah pintu untuk mengejar Jasmin. “Budak ni tak fikir bahaya langsung.” Kata Luqman.
“Orang dah sayang, mana boleh berenggang. Jauhari saja yang kenal manikam.” Balas Ramlah ingin menyindir anak lelakinya itu. Itu sahaja yang tinggal baginya untuk membuka pintu hati Luqman.
Share this novel