“Mika masuk kerja macam biasa ke hari ni?” Soal Suraya apabila melihat Mika yang sudahpun kemas berkemeja seawal jam 7 pagi.
“Tak jugak. Mika tak perlu punch pun. Tapi jam 10 kejap lagi Mika ada appointment dengan boss. Mika ingat nak pergi awal sikit. Nak jumpa kawan-kawan dulu kejap. Mama nak Mika belikan sarapan?” Soal Mika tanpa melihat ke dapur.
“Mama dah siap buat nasi goreng dah tu.” Jawab Suraya sambil tangannya menunjuk ke arah dapur.
“Sambal belacan?” Mikail tiba-tiba menjadi teruja mendengar menu sarapan ibunya itu.
“Iyer… ikan bilis lebih… kangkong lebih.” Jawab Suraya menarik perhatian anak bujang kesayangannya.
“Wah! Sedap sangat ni. Jom makan, mama.” Ajak Mikail sambil berlari anak ke dapur. Sepanjang minggu lepas Mikail tidak dapat menikmati masakan ibu. Suraya juga turut membontoti Mikail ke dapur. Mikail terlebih dahulu mencapai dua keping pinggan dan menyajikan sarapan ke meja. Suraya sudah pun siap sedia duduk di meja makan. Dia menuangkan dua koleh air nescafe panas buat mereka.
Mikail makan dengan penuh perasaan. Mulutnya terdiam terus dek kerana menikmati keenakan nasi goreng kampung hasil air tangan Suraya. Berlainan pula dengan Suraya. Lambat-lambat dia menyuap nasi masuk ke mulutnya. Otaknya ligat berfikir. Ada soalan yang ingin diajukan kepada anaknya tetapi dia tidak pasti samada soalan tu sesuai atau tidak.
“Mama dah makan ker?” soal Mikail apabila dia melihat Suraya masih belum menjamah makanannya.
“Aah… lepas masak tadi mama dah makan dah sikit sepiring. Nanti mama makan lagi.” Jawab Suraya menyembunyikan kebenaran.
“Mama susah hati kenapa, mama?” Soal Mikail perlahan. Dia boleh nampak resah ibunya itu.
“Mama susah hati dekat Mika la. Jangan sedih lama-lama yer. Mika kena cepat-cepat happy kan diri sendiri.” Kata Suraya berkias.
“Mika okay lah, mama!” Jawab Mikail sambil memberikan satu senyuman paling manis. Mikail berpura-pura tidak faham tetapi Suraya tahu anaknya faham.
Suraya malas nak panjang-panjangkan perbincangan tajuk itu. Dia dapat mengesan sesuatu yang berbeza antara Mikail dengan isteri anak jirannya itu. Sejak di hari perkahwinan mereka lagi. Tetapi semalam dia sedar betapa anaknya itu sedang berduka lara.
“Mika…” ayat Suraya terhenti di situ. Otaknya ligat berfikir cara yang boleh merawat hati anaknya. Dia cuba meletakkan dirinya di tempat Mikail. Orang yang disayangi berkahwin dengan orang lain. Malah sekarang ini rumah mereka berkongsi pagar yang sama. Pasti letih untuk Mikail melawan perasaannya setiap kali bertembung.
Mikail mengintai wajah ibunya sambil dia sedang tunduk asyik menikmati nasi goreng yang baru sahaja ditambah. Panjang pula emaknya berfikir kali ini sebelum dia meneruskan kata-kata. Mikail hanya membiarkan sahaja.
“Mika, apa kata kita jual saja rumah ni. Kita beli rumah baru di Melaka dan sama-sama menetap di sana saja. Mika pun dah seronok kerja kat sana, kan?” terluah juga niat di hati Suraya. Dia dah fikir habis-habis dah semalam. Suraya rasa itu sahaja cara paling mudah dan berkesan untuk dia bantu anaknya.
“Pindah terus?” soal Mikail terkejut. Suraya mengangguk. “Nak jual rumah ni?” Suraya angguk lagi. “Tapi ni kan rumah tinggalan papa?” Kali ni Suraya terdiam dan berfikir sebentar. Berat sungguh mulutnya untuk menyatakan ayat yang berlegar dalam kepalanya saat itu.
“Papa dah lama meninggal. Kita ni yang masih lagi hidup ni perlu buat apa yang kita perlu buat.” Sengaja Suraya tekankan suaranya pada perkataan PERLU itu. Bukan dia tak sedih nak jual rumah tinggalan arwah suaminya itu, tapi Mikail adalah anaknya. Dia masih muda. Kenapa perlu korbankan kebahagiaan anak demi suami yang sudah pun lama meninggal dunia.
“Kenapa yang drastik sangat keputusan mama pagi-pagi ni?” soal Mikail. Suraya perlu cari satu jawapan yang terbaik yang tanpa membuatkan Mikail rasa bersalah.
“Mika sekarang dah ada satu jawatan yang selesa di sana. Ada masa Mika mesti perlu kerja hujung minggu. Mama rasa bosan tinggal kat sini seorang. Mama bukan tak selesa tinggal di rumah sewa Mika tu tapi serba serbi tak cukup. Kita cari rumah baru, kita lengkapkan semuanya. Tak perlu besar. 3 bilik pun dah okay untuk kita sekarang.” Suraya tidak mahu menyentuh isu hati dan perasaan Mikail. Dia tidak mahu Mikail tahu yang dia boleh tahu situasi dia dan Mylia.
“Hurm… mama bersungguh-sungguh ke ni? Sebab sejujurnya Mika rasa memang payah untuk Mika kembali bertugas di HQ ni. Mika dah run satu program besar di sana. Mika memang berharap sangat-sangat program tu akan betul-betul berjaya. Tapi semua tu akan makan masa lah jugak.” Jawapan Mikail sedikit memberikan keceriaan di hati Suraya. Dia tidak mahu Mikail menjeruk rasa seumur hidup selagi dia asyik berdepan dengan Mylia.
Sedang ibu dan anak itu berbual-bual dari hati ke hati, telefon bimbit Mikail berbunyi. Mikail bangun mendapatkan telefonnya dan menyentuh skrin untuk menerima panggilan.
“Hello.”
“Hello, Encik Mikail. Boss minta postpone appointment pagi ni ke jam 4 petang nanti. Ada urgent meeting.” Suara manis pembantu Encik Razman, Elaine.
“Oh, ya ka? Alright, Elaine. Thank you very much.” Jawab Mikail kembali dan terus mematikan panggilan. “Meeting Mika postpone ke petang pula. Jam berapa agaknya nak boleh bertolak balik. Lembat la kita sampai rumah malam ni.” rungut Mikail kepada Suraya.
“Itulah. Susah kalau kita hidup nomad macam ni. Kejap sana, kejap sini kan. Letih badan, membazir duit jer.” Suraya terus sahaja masuk jarum. Inilah peluang untuk dia mengukuhkan lagi hujah tadi.
“Mama letih yer ulang-alik dengan Mika?” soal Mikail setelah dia mendengar ayat ibunya itu. Dia mula termakan dengan kata-kata Suraya. Suraya sudah nampak kemenangan yang bakal memihak kepadanya. Jadi dia pun tidak mahu melepaskan peluang.
“Mama ni dah tua, Mika. Nak travel jauh-jauh macam tu setiap minggu memang mama dah tak larat sangat dah.” Dia cuba menunjukkan riak wajah paling sedih, paling letih. Dia menjeling Mikail. Dia ingin melihat reaksi anak bujang itu. Mikail juga sedang memandang Suraya. Tangannya sudah terhenti menyuap nasi ke mulut.
“Sorry, mama.” Kata Mikail kepada Suraya. Dia sama sekali terlupa untuk memikirkan keadaan ibunya yang sudah berusia begitu asyik ulang-alik setiap minggu. “Nanti kita cari rumah baru untuk kita di Melaka, yer.” Sambungnya.
Setelah selesai makan, Mikail mengambil pinggan Suraya, ditindankan di atas pinggannya dan di bawa ke singki. Sambil dia sedang mencuci pinggan, dia dapat melihat Ramlah sedang menjemurkan selimut tebal yang berdarah semalam di atas 2 buah kerusi. Dia mengintai ampaian yang terletak betul-betul di tepi pagar rumah. Dawai yang putus semalam masih lagi belum diganti.
Mikail bergegas naik ke biliknya dan menukar kemeja kerja tadi kepada pakaian yang lebih selesa dan kembali turun ke bawah.
“Mama, Mika keluar sekejap yer. Nak pergi hardware.” Jeritnya sambil terus menyambar kunci keretanya dan melangkah keluar dari rumah.
Suraya tidak perlu bertanya banyak. Biarlah dia buat apa yang dia rasa perlu. Suraya tahu Mikail buat semua itu demi keselamatan Mylia. Dia sendiri akan rasa puas hati dan dan yakin Mylia akan lebih selamat. Itu sahaja yang dirisaukan.
Selesai menghampar selimut tebal yang berat tadi, Ramlah masuk ke dalam rumah dan terduduk keletihan. Berat sungguh selimut itu. Dia tidak mahu membiarkan lama kesan darah semalam. Nanti lagi susah nak dihilangkan. Cepat-cepat dia merendam selimut itu semalam dan hari ini baru dicuci. Diintai jam di dinding yang sedang menunjukkan waktu 9:30 pagi. Dia mula mencongak-congak masa. Luqman dan Mylia pergi ke hospital untuk mencuci luka.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikummussalam…” Ramlah kenal suara anak muda jiran sebelah rumahnya. Dia bangun dan berjalan untuk membuka pintu rumah. “Mikail… masuk… masuk…” Ramlah mengiringi Mikail masuk hingga ke ruang tamu dan dijemputnya anak itu duduk di situ.
“Tak per maklong. Saya ada beli dawai baru ni ha. Nak ganti ampaian maklong kat belakang tu. Boleh saya pergi pasang?” Soal Mikail.
“Oh, yer ker? Tak pasal-pasal menyusahkan kamu pulak Mikail.” Naik segan juga Ramlah apabila Mikail tiba-tiba muncul membawa alatan untuk baiki ampaian di rumahnya.
“Tak susah pun. Senang je ni.” jawab Mikail bersahaja. Terdetik di hati untuk bertanya tentang Mylia, tetapi ditelan semula kata-katanya.
“Kamu tak kerja ker hari ni?”
“Tak, maklong. Petang nanti ada appointment di HQ. Lepas tu terus balik Melaka.” Cerita Mikail ringkas.
“Mak kamu ikut sekali?”
“Ikut, maklong. Nak tinggal dia seorang diri kat rumah, tak senang hati saya nanti nak buat kerja.” Jawab Mikail tersengeh-sengeh. Sambil-sambil berborak, tangan Mikail ligat menanggalkan kesemua dawai logam lama yang terpasang di ampaian itu.
“Kamu nak ganti semua ker, Mika?” tanya Ramlah hairan apabila melihat Mikail cuba merungkai dawai yang masih elok terpasang.
“Ya, maklong. Saya ganti semua dengan dawai coated ni. Tak bahaya sangat.” Terang Mikail sambil menunjukkan segulung dawai bersalut yang dibelinya tadi. Ramlah hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.
“Kamu buat lah dulu. Maklong masuk ke dalam buatkan air yer. Nak air sejuk ker panas?” soal Ramlah.
“Mana-mana pun boleh. Yang senang je maklong.” Balas Mikail sambil tersenyum.
Ramlah masuk ke dapur dan terus mencapai sebuah jag untuk membancuh air. Sengaja dia membancuh air sirap untuk diletakkan ais. Mikail bekerja di bawah matahari terik. Pasti dia lebih selesa dengan air yang sejuk. Ramlah menarik dua biji kerusi menghampiri Mikail. Satu untuk dia meletakkan dulang air dan satu lagi untuk dia duduk sambil berbual-bual dengan Mikail. Tak sampai hati dia nak biarkan Mikail di situ bersendirian.
“Assalamualaikum! Mak…” tiba-tiba suara Luqman melaung dari depan.
“Waalaikummussalam. Mak kat belakang ni.” jawab Ramlah dengan sedikit kuat.
“Ni Man ada belikan makanan tengahari siap-siap. Nanti mak tak payah masak lagi dah. Mak buat apa kat belakang tu?” Luqman terus masuk ke dapur dan meletakkan lauk-pauk yang dibeli tadi di atas kabinet. Dia terus melangkah hingga ke pintu dapur. Masam kelat wajahnya apabila melihat Mikail juga ada di situ.
“Ini ha… Mikail tolong tukarkan dawai ampai.” Ramlah tak perlu cerita. Luqman sendiri tengah membara hatinya apabila melihat Mikail sibuk-sibuk membetulkan ampaian itu. Saja nak tunjuk baik anggapnya.
“Bang…” Tegur Mikail sambil tersenyum tanda hormat. Dia tidak mahu memberikan tumpuan pada Luqman. Dia hanya ingin cepat-cepat beredar dari situ.
Luqman langsung tak balas. Malah dia terus melangkah pergi. Diruang tamu, Mylia sedang duduk tersaandar di atas sofa. Melihat suaminya berjalan ke pintu, Mylia hairan.
“Awak nak keluar? Tadi kata nak makan nasi dulu?” soal Mylia.
“Saya nak ambik barang je lah dalam kereta? Kenapa? Tak sabar nak tunggu saya keluar rumah? Mentang-mentang ada orang datang melawat, terus nak jadi sombong?” bentakkan Luqman membuatkan Mylia lebih hairan.
“Siapa yang datang?” Mylia memanjangkan lehernya menjengah ke luar rumah. Sejak dari tadi dia duduk di situ langsung dia tidak mendengar siapa pun yang datang ke rumah.
Luqman langsung tidak menjawab apa-apa terus sahaja melangkah pergi. Mylia masih lagi tidak nampak sesiapa pun di luar sana. Oleh sebab dia masih lagi keletihan dan kesan ubat tahan sakit masih lagi ada, dia malas nak bangun. Fikirnya, biarlah mereka masuk sendiri sekejap lagi. Waktu itu baru dia bangun menyambut. Tetapi sampai ke sudah tiada siapa pun yang masuk. Mylia hampir terlelap di sofa.
“Kirim salam dekat mak kamu yer. Petang nanti nak gerak jam berapa?” soal Ramlah kepada Mikail. Mereka sedang berjalan keluar beriringan. Suara Ramlah mengejutkan Mylia di sofa.
“Tak tau lagi maklong. Kalau lewat sangat, tunggu maghrib dulu lah baru gerak.” Sambil berbual dengan Ramlah, Mikail menjeling Mylia di sofa. Wajah pucat itu tidak mampu ditatap lama. Malah dia sama sekali tidak berani menegur Mylia waktu itu. Dia bimbang Luqman akan lebih marah nanti. Dia tahu akibat perbuatannya nanti Mylia yang akan tanggung. Mikail sebenarnya sangat-sangat berharap dia sempat siapkan ampaian sebelum Luqman balik.
“Hati-hati memandu nanti ya. Malam-malam ni mata kita terhad. Terima kasih banyak ye Mika.” Pesan Ramlah kepada Mikail di muka pintu. Mikail hanya mengangguk dan tersenyum manis. Sekali lagi dia menjeling Mylia. Wanita itu juga turut tersenyum.
“Mana Luqman?” soal Ramlah kepada Mylia.
“Tadi dia kata nak ambil barang dalam kereta.” Balas Mylia sambil memejamkan semula matanya cuba untuk berehat.
“Sempat lagi awak suruh Mikail datang repair ampaian tu? Macam dalam rumah ni tak der orang yang boleh buat. Kalau dah susah sangat, tak payah ampai baju.” Marah Luqman kepada Mylia sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah. Terkejut Ramlah mendengar suara Luqman yang sedang menyinga begitu. Jarang-jarang sekali dia marah.
“Telefon saya tengah caj kat atas bilik tu. Saya tak bawa pun pergi hospital tadi. Awak ada nampak ker saya pegang fon?” Mylia yang sedang kesakitan dan keletihan mula memberontak. Tidak semena-mena dia pula yang disalahkan.
“Mak yang suruh budak tu ker?” kali ini Luqman memandang Ramlah pula.
“Tak der sebab mak nak suruh-suruh orang. Dia sendiri lah tu yang datang nak tolong. Budak Mikail tu memang lah baik. Dari dulu lagi perangai dia macam tu. Masa mak dengan adik kau saja yang tinggal kat sini dulu, kau ingat siapa yang selalu tolong mak?” Ramlah rimas dengan sikap pemarah Luqman yang tiba-tiba itu. Mendengar pujian dari mulut Ramlah, Luqman makin panas hati.
“Itu masa saya belum tinggal kat sini. Sekarang saya dah tinggal dekat sini. Dah tak payah kot nak cari orang lain. Kalau yer pun saya tak boleh buat, upah orang yang memang itu kerja dia. Tak payah nak minta ehsan anak-anak jiran pulak.” Bentaknya lagi. Mylia hanya membatukan diri. Dia dah tak larat nak bertekak dengan sesiapa pun.
“Mikail datang siap bawa barang. Takkan mak nak halau. Yang kau ni tiba-tiba berang tak tentu pasal kenapa? Orang datang tolong ikhlas tak minta duit kau satu sen pun, bukannya nak ucap terima kasih. Berang pulak dia.” Kali ini, Ramlah juga sudah mula naik angin.
“Ikhlas konon. Ikhlas ada sebab.” Kata Luqman menuduh.
“Engkau ni cemburu ke?” soal Ramlah tiba-tiba. “Buruk sangat kelaku kau ni. Tiba-tiba saja. Angin tak ada, ribut tak ada, naik berang dekat Mikail tu dah kenapa?”
Luqman terpana. Matanya memandang Mylia. Mylia juga memandang Luqman. Saat itu, Luqman sendiri tidak tahu bagaimana perasanaannya. Dia mula melangkah naik ke atas.
“Nak pergi mana? Bawa Mylia naik rehat kat atas. Dah pucat lesi mak tengok muka dia. Nanti kau turun ambik nasi dia bawa naik atas.” Arah Ramlah kepada Luqman menyebabkan Luqman terpaksa patah balik.
Dia datang menghampiri Mylia dan membantunya untuk bangun berdiri. Disebabkan kepala Mylia masih lagi pening-pening, dia menjadi sedikit terhoyong-hayang. Luqman merangkul bahu Mylia rapat ke badannya dan memimpin dia berjalan. Susah juga untuk mereka sampai di tingkat paling atas.
Setelah memastikan Mylia baring dengan selesa di atas katil, Luqman juga merebahkan badannya di sebelah. Mereka sama-sama mendiamkan diri. Luqman mengerling Mylia yang terbaring disebelahnya. Tangannya kirinya yang berbalut kemas terdampar lurus disisi. Matanya terpejam rapat. Entah dah terlena atau tidak. Luqman kembali memandang ke siling rumah.
Semakin teruk rasanya perasaan cemburu di hati Luqman. Ada masa-masanya, Luqman rasa cemburu sangat. Ada masa dia rasa menyampah dengan Mylia. Malas dia nak layan kerena wanita itu. Dia membuatkan Luqman sentiasa dibelenggu rasa bersalah terhadap Aisyah.
Apabila difikirkan balik, Luqman jarang-jarang sekali menguruskan perihal rumahtangganya. Sejak dahulu lagi dia tak pernah buat apa pun di dalam rumahnya. Lampu terbakar, sink tersumbat, pasang langsir… apa sahaja yang perkara-perkara yang biasa berlaku di dalam rumah, Luqman tidak pernah uruskan. Semasa dia bersama Aisyah, semuanya Aisyah lakukan. Bukan dia tidak mahu, tetapi Aisyah terlebih dahulu selesaikan.
Di sini pula, dia terlalu berkurung di kedai runcit. Keluar pagi, balik malam. Tengahari balik untuk makan sekejap saja. Bukan Ramlah tak pernah merungut apa-apa, tapi dia memang tak pernah sempat untuk selesaikan. Dia beranggapan Ramlah mengupah orang untuk baiki. Dia langsung tak terfikir sama sekali kebarangkalian Mikail yang selalu datang membantu Ramlah. Tak pernah terlintas difikirannya.
Entah masa bila Luqman terlelap. Tiba-tiba dia terkejut mendengar laungan azan Zohor. Dia segera bangun dan mandi. Selesai solat Zohor, dia turun ke dapur.
“Mylia tengah buat apa?” soal Ramlah dari dalam biliknya apabila dia melihat kelibat Luqman melintas untuk ke dapur.
“Tengah tidur.” Jawab Luqman ringkas. Ramlah bangun dan turut sama masuk ke dapur. Melihat lauk yang sudah siap terhidang di bawah tudung saji, Luqman mengambil dua buah pinggan dan mula menceduk nasi untuknya dan Ramlah. “Kita makan dulu. Nanti, saya bawa naik untuk Mylia. dia nak kena makan ubat juga tu.”
Ramlah hanya menurut dan melabuhkan punggung ke kerusi. Jarang-jarang Luqman mengambil nasi di periuk. Ramlah biarkan saja anaknya begitu. Biar dia juga belajar untuk uruskan hal-hal rumahtangga. Selesai menyenduk nasi, Luqman menuang dua gelas air kosong dan diletakkan di atas meja. Kemudian mereka sama-sama makan tanpa banyak berbual.
“Doktor kata apa tangan Mylia tu?” soal Ramlah. Letih juga dia makan dalam keadaan sunyi sepi sebegitu.
“Doktor tak tengok pun. Nurse jer yang buat.” Terang Luqman seringkasnya.
“Kau tengok tak tangan dia masa dia buka tu?” soal Ramlah lagi. Muka Ramlah sudah mula berkerut-kerut membayangkan cedera tangan Mylia. Luqman hanya mengangguk kecil.
Masa dia pertama kali melihat kecederaan itu, dia sendiri terasa ngeri. Dia melihat bagaimana jururawat itu membuka dan mencuci luka Mylia. Sesekali terdengar suara Mylia mengerang kecil menahan sakit. Air mata mengalir laju di pipi Mylia.
“Maaf yer puan. Sakit sikit ye puan…” ujar jururawat berkali-kali. Tanganya lincah bekerja.
“Bini kau dalam sakit-sakit macam tu pun kau nak cari pasal lagi, Luqman.” Ramlah sudah mula bising hal yang berlaku kejap tadi. Luqman malas nak menjawab. Dia sendiri tahu memang tindakannya itu kurang rasional.
“Kalau kau terus buat perangai macam ni, memang lama-lama dapat dekat Mikail jugak si Mylia tu.” Sengaja dia membakar hati Luqman. Dia mahu Luqman segera sedar yang dia sebenarnya dah sayang pada isterinya sendiri tetapi tak mahu mengaku. Ego lelaki.
“Kalau betul dia nak sangat dekat Mikail tu, bagi tahu jer. Kita bagi selesai cepat. Senang.” Jawab Luqman tanpa berfikir. Dia rasa seperti dicucuk-cucuk oleh ibunya sendiri. Yang dia fikir waktu itu, mahu cepat-cepat habiskan nasi di dalam pinggan dan bangun dari situ.
“Mak bagi contoh saja. Kalau tak Mikail pun ramai lagi orang lain yang bersusun nak kan perempuan macam bini kau tu. Engkau je yang buta hati.” Luqman hanya bangun dan berlalu menuju ke singki. Pinggan ditangannya pun dibasuh cepat-cepat. Dia tidak mahu lama di situ.
“Engkau dah sayang kan kat Mylia tu? Betul tak? Kalau tak, takkan lah kau nak mengamuk semata-mata Mikail datang nak pasang dawai ampai tu. Engkau bukan orang yang macam tu.” Kata-kata Ramlah menusuk jantung Luqman. Dia tertunduk di singki.
“Saya dah cuba mak. Saya dah cuba nak sayang dia, nak layan dia sebagai seorang isteri. Tapi bayangan Aisyah sentiasa ada dengan saya. Saya tak mampu nak buang.” Luqman mengangkat pandangan matanya di laman belakang rumah. Suasana hijau terbentang dihadapannya sekarang ni masih belum mampu menenteramkan hatinya.
“Taka da sesiapa pun yang minta kau buang Aisyah. Kita hanya perlu teruskan kehidupan. Sampai bila kau nak siksa diri kau, anak-anak kau hanya kerana Aisyah dah tak ada? Kau simpanlah Aisyah dalam hati kau. Simpan dalam-dalam. Kemas-kemas. Kemudian, kau buka ruang hati kau yang baru untuk Mylia. Dia dah cukup sempurna pada pandangan mata mak.”
“Mudah je mak suruh itu ini. Yang azabnya tu saya.” Jawab Luqman. Dia terus mencapai sebuah lagi pinggan dan menyenduk nasi buat Mylia. Luqman meletakkan seketul ikan tenggiri dan kuah kari yang dibelinya pagi tadi. Sejemput sayur kobis goreng juga diletakkan di dalam pinggan tersebut. Sebuah botol air bersaiz 2L diisi dengan air kosong.
Ramlah hanya memerhati dengan senyap setiap gerak-geri Luqman menyediakan makanan buat Mylia. Dia yakin Luqman sudah mula menyayangi Mylia tapi dia sendiri tak pasti tembok apa lagi yang belum pecah. Kenapa susah sangat untuk dia menerima Mylia dengan baik dan mulakan hidup baru dengan Mylia?
Share this novel