~ 16 ~

Romance Completed 13901

Seumur hidup Mylia, hujung minggu itu adalah hujung minggu paling panjang yang dia pernah rasakan. Dia terpaksa menjeruk hati melihat kemesraan Latiff dan Aina. Mylia tidak tahu samada memang mereka semesra itu di khalayak ramai atau mereka ada niat untuk menunjuk-nunjuk di hadapan dia dan Luqman. Malah mentuanya Ramlah juga seakan-akan meminta lebih dan lebih lagi.

‘Diorang ni memang planning nak prank aku ker apa?’ menggerutu hati Mylia.

Kalau waktu bergambar, bukan main romatik lagi pasangan itu. Berpeluk sakan. Beraksi bagaikan mereka sahaja yang ada pasangan kekasih di situ.

Sewaktu mandi di kolam, yang lebih riuh bukannya anak-anak kecil di kolam kanak-kanak tetapi suara Aina yang terjerit-jerit di sakat Latiff di dalam air. Entah apa yang dibuat sehingga perlu menjerit-jerit seperti itu.

“Abang dengan kak Mylia tolong tengokkan Rafiq dan Raimi jugak yer.” Pesan Latiff kepada mereka berdua sebelum dia menarik tangan isterinya ke kolam yang lebih besar. “Bukan selalu dapat dating dengan wife sendiri ni.” Sambung Latiff lagi. Mylia hanya mampu tersenyum. Mujurlah bayi mereka Raina yang berusia setahun hanya duduk di tepi bersama neneknya, Ramlah.

Timbul juga iri hati melihat kemesraan pasangan suami isteri itu tapi mana mungkin dia akan dapat merasai semua itu dalam masa terdekat sekarang ni.

“Mak, menjadi-jadi pulak abang Latiff tu mak. Orang suruh buat sikit-sikit saja. Ambil kesempatan betul.” Omel Lyana kepada emaknya. Dia juga turut berada di tepi kolam membantu Ramlah untuk menjaga Raina.

“Biarkan. Memang mak dah pesan buat sampai abang kau tu cemburu. Bini sendiri ada tapi duk buat jual mahal. Nak dirotan, dah tua bangka.” Leter Rosmah. Sengaja dia merancang dengan anak keduanya itu untuk bermesra-mesra dengan Aina supaya perasaan cinta suami isteri Luqman boleh terbit kembali.

“Tapi mak, Lyana tengok yang terasa tu Kak Mylia. Abang Luqman duk kering macam tu lah jugak.”

“Iyer, mak perasa juga tu. Kesian si Mylia tu. Ada suami tapi macam tak ada. Mujurlah dia pandai ambil hati Julia dan Jasmin. Kau tengoklah budak-budak tu. Tak mau berenggang langsung dengan Mylia. Semua benda mesti nak ibu yang buatkan. Jenuh Mylia melayan. Bagus budak Mylia tu. Kadang-kadang mak rasa macam mak dah aniaya dia pula.” Mereka sama-sama memandang kepada Mylia yang tengah sibuk melayan Julia dan Jasmin.

“Kalau lah satu hari nanti dia minta dilepaskan, kita tak boleh nak tolak permintaan dia tau, Lyana. Dah banyak dia berkorban untuk kita. Dia korbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk Julia dan Jasmin tu. Budak-budak tu dah kasih sangat dekat dia. Mak tak boleh nak bayang kalau Mylia betul-betul minta cerai.” Sayu saja suara Ramlah waktu itu mengenangkan nasib yang mungkin berlaku ke atas anak cucunya.

“Mak janganlah cakap macam tu. Kita doa yang baik-baik, yer mak. InsyaaAllah, mana tahu Panjang jodoh diorang berdua.” Jawab Lyana memujuk hati ibunya.

“Amiiinnnnnnn…”

Selesai solat maghrib malam itu, Mylia membelek-belek baju yang akan dipakai untuk keluar makan malam sebentar lagi. Luqman pula merebahkan badannya seketika di atas katil. Dia memejamkan matanya sambil fikirannya melayang jauh.

“Ecah nak honeymoon kat mana?” soal Luqman sehari sebelum majlis perkahwinan mereka berlangsung.

“Perlu ke pergi honeymoon? Lepak-lepak kat rumah mak jer tak boleh?” soal Aisyah polos. Dia lebih senang berehat-rehat di rumah sendiri.

“Mana boleh macam tu. Nanti macam mana aku nak peluk-peluk kau? Semua orang pandang nanti, kau tak malu ker?” soal Luqman menduga. Dia makin galak menyakat bakal isterinya itu.

“Tak kan lah nak berpeluk 24 jam? Rimas lah! Dengan cuaca panas-panas ni, nak peluk-peluk.” Bantah Aisyah.

“Hurm… kalau hujan boleh la peluk-peluk kan? Aku booking hotel kat Terengganu lah ya. Sana musim tengkujuh. Hujan ribut 24 jam hari-hari. Mesti kau peluk aku tak lepas-lepaskan?” sakat Luqman lagi sambil mengangkat-angkatkan keningnya.

“Ish, tak rimas ke asyik nak berpeluk ajer? Selama hari ni, kau duk peluk siapa 24 jam?” marah Aisyah. Dia malas mahu melayan nakal Luqman waktu itu. Kepalanya masih sarat dengan hal-hal urusan perkahwinannya nanti.

“Oh, kau jual mahal ya! Tak apa, nanti aku nak tengok siapa yang tak boleh nak lepaskan siapa. Silap-silap, aku nak bangun masuk toilet pun kau nak ikut!” sakat Luqman terus-menerus sambil menarik hidung Aisyah dengan kuat.

“Eeeeeee… tak senonoh sangatlah kau ni, Luqman. Gila!” bantah Aisyah sambil menumbuk bahu Luqman dengan kuat.

“Betul lah aku cakap. Kau jer yang tak sedar-sedar lagi. Sakitlah kau tumbuk aku. Mana boleh tumbuk-tumbuk suami. Nusyuz ni!” Luqman mengurut-urut perlahan bahunya yang ditumbuk Aisyah sekejap tadi. Terasa juga tumbukan Aisyah itu.

“Kau belum lagi jadi suami aku. So, baik aku guna peluang ni banyak-banyak. Nah, ambik ni!” satu laki tumbukan jatuh ke bahu Luqman yang sebelah lagi pula.

“Ad…dooiiiiii…” jerit Luqman sekuat hati.

“Kenapa tu Luqman?” jerit ibu Aisyah, Zainab dari dalam rumah. Terkejut dia mendengar jeritan Luqman itu.

“Ah, tak dak apa lah makcik. Anak makcik ni ha buli saya.” Lapor Luqman kepada bakal mertuanya itu.

“Apa nak jadi dengan korang berdua ni nanti? Pecah rumah kamu nanti. Macam-macam!” rasa sia-sia pula dia bertanya sebentar tadi. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja. Tak dapat dibayangkan hidup anak menantunya nanti apabila dah tinggal sebumbung.

Mylia terpandang wajah Luqman yang sedang tersenyum manis sambil memejamkan matanya rapat dan kedua-dua tangannya memeluk ketat bantal ke dada.

‘Duk berangan apa pula laaa suami aku ni? Terkenang bini dia agaknya. Yang satu tu saja yang boleh buat dia happy. Kesian. Sedih sangat hidup mamat ni.’ Fikir Mylia sendirian.

Kerap kali Mylia tertanya sendirian, sampai bila dia nak hidup sebegitu? Sampai bila dia nak jadi patung bernyawa di hadapan Luqman? Perlukah dia yang cuba menawan hati Luqman? Perlu ker dia mengorat suaminya sendiri? Serabut jadinya fikiran Mylia.

‘Orang lain, suami yang sibuk ambik hati bini time-time awal relationship ni. Beli bunga la, bawa pergi candle light dinner la, pergi holiday lah. Tapi aku terbalik. Aku pula ker yang nak kena buat semua tu? Macam mana kalau dia lagi benci kat aku kalau aku buat semua tu?’ Mylia menghela nafasnya kuat dan panjang. Terus sahaja dia mencapai pakaiannya dan masuk ke dalam bilik air untuk menukarkan pakaiannya.

Deringan di telefon mematikan anganan Luqman. Dia membuka matanya dan menjawab panggilan yang sedang masuk itu.

“Hello, Lyana. Ada apa?” mata Luqman memandang sekeliling. Biliknya kosong. ‘Eh, si Mylia ni dia tinggalkan aku seorang-seorang ke? Masa bila dia keluar?’ hairan Luqman apabila dia tidak Nampak kelibat Mylia di situ.

“Abang dengan kak Mylia dah ready ker? Jom cepat pergi makan. Nanti lewat sangat, tidur pula budak-budak ni.” Kata Lyana kepada Luqman. Makin hairan pula Luqman. Dia menyangka Mylia ada di bilik adiknya itu. Tapi dia tak berani untuk bertanya kepada Lyana. Pasti dibahannya nanti.

“Okay, okay.” Jawab Luqman ringkas dan mematikan panggilan telefonnya itu. Dia segera menelefon Mylia. Dan apabila telefon Mylia berdering, telefon itu berada di atas meja solek sahaja. Makin berkerut dahi Luqman.

“Mana pula di ani?” soal Luqman perlahan. Kemudian, pintu bilik air terbuka. Mylia yang sudah siap menukar pakaiannya segera menerpa ke telefonnya kerana deringan sekejap tadi.

“Saya yang call. Ingatkan awak dah keluar.” Luqman terus sahaja mengaku tanpa menunggu Mylia menyoal.

“Mak dah call ajak pergi makan. Saya tunggu kat kereta saja.” Sambung Luqman lagi dan terus bangun berlalu keluar dari bilik mereka. Tak sempat Mylia nak balas apa-apa.

“Haih… kalau macam ini lah perangai dia hari-hari, macam mana lah aku nak mengayat dia? Tak terbuka langsung hati aku ni. Hilang mood aku.” Kata Mylia kepada dirinya sendiri. “Apalah nasib kau ni Mylia? Sampai bila kau nak hidup macam ni ha?” dia melepaskan nafasnya keras. Hilang terus mood Mylia saat itu. Selendang Panjang yang diseterika sebentar tadi dibiar tak bersentuh di atas papan seterika. Dia mencapai saja sehelai tudung sarung dan disauknya terus ke kepala. “Nak melawa sangat pun, orang tak pandang.” Gerutunya lagi.

Malam itu, pantas sahaja Mylia menarik tangan anak-anaknya masuk ke kereta dia dan Luqman. Letih jiwanya melayan dingin Luqman sepanjang masa. Dia perlukan satu pengisian yang mampu menyerikan sedikit hambar hatinya itu. Boleh dapat depresi jika berlanjutan lama-lama.

“Julia dan Jasmin nak makan apa malam ni?” ceria sedikit wajahnya dapat melayan keletah dua beradik itu.

“Julia nak makan nasi ayam.”

“Jasmin nak makan nasi ayam.”

“Mana boleh tiru! Fikirlah sendiri nak makan apa.” Marah Julia kepada adiknya.

“Ibu nak makan ikan siakap masak stim lemon. Mmmm… sedapnya…” kata Mylia cuba menarik perhatian mereka daripada terus berbalah.

“Wah, sedapnya. Julia dan makan ikan siakap masak stim lemon juga lah.” Pantas Julia menukar fikirannya.

“Eh! Mana boleh tiru ibu. Fikirlah sendiri.” Kata Jasmin memulangkan paku buah keras.

“Hahaha… apa kata kita tiga-tiga makan ikan siakap masak stim lemon?” cadang Mylia segera sebelum mereka Kembali bertelagah.

“Okay!” jawab dua beradik itu serentak.

“Abi nak makan ikan siakap masak stim lemon tak?” soal Julia kepada Luqman.

“Hmmm.” Itu sahaja yang keluar dari mulutnya.

“Yeay… kita share 4 orang lah. Boleh tak ibu?” soal Julia kembali kepada Mylia.

“Tak boleh. Abi makan banyak. Nanti kita tak kenyanglah. Jasmin lapar ni.” Bangkang Jasmin. Macamlah dia makan banyak sangat. Mylia tertawa sendirian. Luqman masih mendiamkan diri dan memberikan sepenuh tumpuan kepada pemanduannya.

Sesampainya mereka ke sebuah restoran nelayan, masing-masing mengambil tempat masing-masing. Seperti biasa, Julia dan Jasmin pastinya akan duduk mengapit Mylia di tengah. Ramlah tidak mampu mengatur-atur lagi kerana mereka berada di tempat awam. Macam tak sesuai pula dia mahu mengarah-arah di situ.

“Okay, kita nak makan apa?” soal Lyana kepada semua sambil membuka menu.

“Ikan siakap masak stim lemon.” Jawab Julia dan Jasmin.

“Amboi, pantas! Siapa ajar ni?” soal Lyana kepada anak-anak buahnya itu.

“Ibu!” mereka menjawab serentak.

“Hehehe… bijak anak-anak ibu. Okay, malam ni saya open table okay!” kata Mylia kepada semua. Tak pernah lagi dia belanja mereka semua makan-makan satu keluarga besar begitu. Sebagai orang baru, biarlah dia mengambil kesempatan ini untuk membeli jiwa keluarga iparnya itu.

“Yeay… kita makan best malam ni. Mak long belanja!” kata Lutfii menggamatkan lagi suasana. Anak-anaknya menyambut dengan sorakan yang kuat dan mengundang mata-mata sekeliling untuk memandang.

Drama-drama romantis umpama telenovela Brazil masih lagi belum tamat. Galak sungguh Lutfii dan Aina suami isteri menunjukkan kasih sayang mereka di meja makan waktu itu. Ada masa Mylia agak hairan bagaimana mereka mampu beraksi sebegitu di hadapan anak-anak kecik yang masih polos fikiran mereka. Tangan kiri yang sentiasa tergenggam, sendeng-menyendeng antara satu sama lain, suap-menyuap sentiasa bergilir-gilir dan tak lupa juga rengek-rengekkan manja yang berbunyi tanpa henti. Sesekali merah padam juga muka Mylia yang memandang dari seberang meja.

“Kak Mylia tak nak cuba lobster tu? Sedap sangat tau.” Soal Lutfii tiba-tiba cuba mencari idea untuk memancing kemesraan abang dan kakak iparnya.

“Tak apa, tak apa. Nanti akak ambil.” Balas Mylia sopan. Yang sebenarnya pinggan lobster bakar itu agak jauh untuk dicapai. Malas pula diam ahu meminta-minta daripada Luqman.

“Abang, suaplah sikit lobster tu. Kak Mylia tak sampai nak ambil kot. Dah lama kahwin, takkan nak malu-malu lagi dengan isteri sendiri?” Lutfii menyambung sakatnya. Sedikit berbunga hatinya apabila perangkap yang dipasang hampir mengena.

“Biar Julia suap ibu. Nah ibu makan lobster ni.” Pantas anak kecil yang duduk di antara Mylia dan Luqman menawarkan diri terlebih dahulu. Dicucuknya daging lobster ke garpu dan dihulurkan terus ke mulut Mylia.

Lega hati Luqman dan Mylia dengan Tindakan pantas Julia.

“Thank you, sayang!” Mylia pantas mencium pipi anak kecil itu. Lutfii menghembus nafas Panjang. Gagal pula rancangannya itu. Aina, Lyana dan Ramlah pula tertawa kecil. Ketawa mereka menimbulkan syak dihati Luqman menyebabkan dia mengangkat pandangannya ke arah mereka.

“Kenapa gelak-gelak pula ni?” Luqman menyoal garang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience