“Assalamualaikum, mama…” sapa Mikail sebaik sahaja melihat nama Suraya muncul di skrin telefonnya.
“Waalaikummussalam. Mika sibuk ke tu? Mak kacau ke?” soal Suraya awal-awal. Bimbang pula dia menganggu kerja Mikail.
“Tak buat apa sangat pun, mama. Ada dalam bilik jer ni.” terang Mikail.
“Mika balik Jumaat malam kan nanti?” soal Suraya. Rasa seperti lama sangat dia ditinggalkan sendirian di dalam rumah besar itu.
“Habis kerja Mika terus balik, mama. Dalam pukul 8-9 macam tu sampai lah.” Mikail tahu Suraya pastinya kesunyian. Sepantas mungkin dia cuba untuk pulang ke rumah Suraya.
“Okay. Nanti Mika makan malam kat rumah je ya. Mama tunggu Mika sampai.” Cadang Suraya.
“Boleh jer. Mama, minggu depan, Mika akan ke main office di KL dulu dua hari. Ada urusan sikit. Hari Selasa petang baru kita balik Melaka.” Maklum Mikail. Tersenyum Suraya mendengar berita itu. Dia lebih selesa berada dirumahnya sendiri berbanding rumah sewa Mikail di Melaka.
“Alhamdulillah. Boleh lah mama duduk sini lagi.” Jawab Suraya tanpa berselindung.
“Tau sangat. Suka lah tu dapat stay kat rumah sendiri.” Usik Mikail.
“Memanglah. Semua barang mama ada kat sini. Nak pergi duduk sana lama-lama, naik runsing mama. Itu tak da, ini tak ada. Cari apa pun tak jumpa. Semua benda nak kena beli baru. Mika tak nak balik kerja kat sini ker?” Rungut Suraya.
“Sayang pulak nak tinggalkan company ni, mama. Mika pun baruuu sangat naik pangkat ni. Rugi lah kan. Apa kata kalau mama kahwin? Ada lah orang nak teman mama.” Cadang Mikail. Dia tahu sangat kejap lagi orang tuanya itu pasti akan kenakan dia balik.
“Mama dah tua. Tak payah kahwin. Mika tu yang kena fikir pasal kahwin.” Kata Suraya cepat-cepat. Tak pernah terlintas dalam kepala untuk dia berkahwin lagi. Selama ini, hidupnya dah rasa sempurna berdua bersama Mikail.
“Kalau Mika yang kahwin, tak selesai jugak masalah mama tu. Nanti, mama tetap kena tinggal seorang-seorang kat sana.” Mikail cuba memberi alasan.
“Cari yang kerja di KL. Boleh dia teman mama. Mikail duduk lah sana seorang. Jadi weekend husband.” Kata Suraya lagi.
“Amboi! Mika cari bini untuk jaga mama ya, bukan jaga Mika?” terdengar suara ketawa di hujung corong telefonnya. Sekurang-kurangnya dia cuba untuk meluangkan masanya sehabis baik walaupun ada banyak kekangan. Membahagiakan Suraya adalah perkara paling utama kepada Mikail. Dia tahu suatu hari nanti, dia pasti akan kembali bekerja di Kuala Lumpur dan menetap semula bersama Suraya.
Setelah panggilan Suraya dimatikan, Mikail mula menyemak semula jadual kerjanya sepanjang tahun itu. Hasil pembentangan Mikail semasa seminar di Seremban tempoh hari, mereka telah menerima tiga tempahan untuk menjalankan Program Team Building syarikat masing-masing. Satu di Johor Bharu, satu di Manjung dan satu lagi Morib. Dia sendiri mula ragu-ragu bagaimana dia mampu membahagikan masanya antara kerjaya dan orang tua. Sekiranya datang lagi tempahan-tempahan selepas ini, pastinya dia akan lebih sibuk lagi bergerak ke seluruh Malaysia.
“Taufik… Dina… saya sekarang tengah cari orang untuk manage semua team building kita lepas ni. Disebabkan korang berdua dah banyak bantu saya sebelum ni, saya rasa kamu berdua memang calon paling tepat lah. Kamu okay ke tak?” soal Mikail kepada Taufiq dan Dina, pembantunya yang banyak terlibat di peringkat perancangan sebelum ini.
“Saya boleh jer, boss. Anytime.” Jawab Taufik. Taufik menganggap yang ini adalah satu peluang terbaik untuk dia membina kredibiliti untuk masa depan kerjayanya.
“Boleh saja, boss. Tapi kalau saya follow dulu satu program yang boss handle, confident lah sikit.” Cadang Dina.
“Hurm… boleh. Untuk program di Morib kita buat sama-sama. Yang tu yang paling dekat buat masa ni. Kita bawa double team, nanti kitab oleh separate jadi dua team berbeza. Kalau participants kurang daripada 50 orang, korang handle asing-asing. Tapi kalau lebih dari 50 orang, kita join force.” Cadang Mikail kepada Taufik dan Dina.
“Kita tak nak minta tolong dari cawangan-cawangan lain ke, boss?” soal Taufik.
“Kalau dah terlalu banyak atau ada clash dates ke nanti, kita baru cari. For now, kita handle jer sendiri dulu.” Terang Mikail. Dina dan Taufik mengangguk-angguk tanda setuju. “For a start, saya nak kamu senaraikan siapa team member kamu. So, untuk yang Morib nanti, kita akan gabungkan kedua-dua team ni. Boleh?” Mikail memberikan tugasan kepada Dina dan Taufik. Mereka perlu bergerak pantas kerana program di Morib hanya dalam tempoh sebulan sahaja lagi.
“Ada apa-apa soalan?” soal Mikail lagi. Dia mahu pastikan anak buahnya cukup faham dengan tugasan mereka.
“Bila boss nak name list ni?” soal Dina.
“Secepat mungkin. Kalau boleh sebelum Jumaat ni lah. Banyak benda yang kita nak kena plan. Nanti kita nak kena brief diorang lagi. Kalau lewat sangat, nanti kelam-kabut kita. Lagi pun, Isnin dan Selasa depan saya akan pergi ke HQ.” Terang Mikail. Dina dan Taufik lagi sekali mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.
“Ada lagi?” soal Mikail lagi.
“Tak ada, boss.” Jawab mereka serentak.
“Kalau macam tu, kamu boleh beredar sekarang.” Sebaik sahaja Mikail berkata begitu, terus sahaja matanya menatap segala dokumen yang ada di atas meja.
“Boss, perempuan yang asyik duduk berdua dgn boss masa seminar tu kerja kat HQ kan?” soal Dina tiba-tiba. Mikail menyangka mereka sudah pun beredar keluar. Terkejut juga dibuatnya. Terkejut dengan suara yang tak disangka-sangka dan terkejut dengan soalan yang ditanya.
“Iyer. Kenapa?” soal Mikail tanpa menunjukkan minat. Dia tidak mahu Dina mula bergosip pula tentangnya dan Mylia.
“Cantik lah dia. Saya tengok boss dengan dia macam matching sangat! Suka!” komen Dina tanpa diminta.
“Memandai je lah kamu. Dah… dah… pergi sambung buat kerja.” Halau Mikail kononnya marah. Walhal hatinya berbunga-bunga saat dia dipuji-puji bersama ratu hatinya itu.
“Tapi… yang orang JB tu pun lawa jugak. Tinggi, langsing badannya. Dah macam supermodel. Kalau boss kahwin dengan dia, confirm cun album kahwin boss. Anak-anak pun nanti confirm supermodel material jugak.” Komen Dina ikhlas dari hatinya. Siap terpampang lagi satu gambaran jelas di ruang mindanya.
“Iyer? Lagi? Siapa lagi yang sesuai jadi calon jodoh saya?” Mikail sudahpun duduk tersandar dengan kedua-dua tangannya disatukan dihadapan dagunya. Bait perkataan seperti dia benar-benar berminat, tetapi intonasi dan air wajahnya jelas dia hanya menyindir. Tersengeh-sengeh Dina melihat amaran awal dari Mikail.
“Hihihi… Kalau boss jumpa kakak cantik dari HQ ahagia , boss kirim salam yer. Saya keluar dulu.” Kata Dina sambil tersengeh-sengeh melangkah keluar.
Setelah Mikail pasti yang pintu pejabatnya di tutup, dia menyandarkan kepalanya ke kerusi sambil memejam rapat. Terbayang wajah Mylia di dalam mindanya. Satu per satu kenangan antara mereka datang menerpa. Dia rindu gadis itu tetapi dia tidak mahu bertindak lebih. Mylia sudah berkahwin. Dia hanya mampu berdoa agar Mylia benar-benar bahagia dengan kehidupannya sekarang.
“Mama, anak mama ni tak pandai nak cari timing lah. Asyik melepas jer. Kalau tidak, menantu jiran mama tu dah jadi menantu mama dah!” kata Mikail sendirian sambil tertawa kecil. “Apa boleh buat? Dah nasib badan…” Mikail menghela nafas dalam-dalam dan kembali memberi tumpuan kepada kerja-kerjanya di atas meja.
* * * * *
“Jam berapa kita nak pergi rumah mak kamu, Mylia?” soal Ramlah dari muka pintu dapur. Mylia sedang tekun menyidai pakaian di ampaian. Hujung minggu saja ruang masa yang ada untuk dia menyelesaikan semua tugasan-tugasan rumah.
“Jam 11 macam tu boleh ke mak? Saya nak tolong umi masak jugak.” Cadang Mylia. Terhenti seketika kerja buat tangannya tadi. Cuaca yang agak panas pagi itu memecah keringat kecil di dahi Mylia. Disekanya perlahan dengan hujung lengan baju T.
“Elok jugak tu. Boleh mak sembang-sembang lama sikit dengan umi kamu. Nanti mak bagi tahu Luqman.” Cepat-cepat Ramlah melangkah pergi dan hilang daripada pandangan Mylia.
Mylia kembali memberikan tumpuannya pada kerja-kerja di jemuran. Dia langsung tidak sedar tentang Mikail yang sedang asyik memerhati dari ruang tingkap dapur rumah sebelah. Asyik sungguh dia merenung kekasih hatinya itu menyidai kain. Atau mungkin lebih layak dipanggil bekas kekasih hati walaupun gadis itu masih memiliki tempat paling istimewa di hati Mikail.
“Mak! Ooo… mak!” tiba-tiba lamunan Mikail terhenti apabila mendengar suara Mylia yang sedikit menjerit memanggil Ramlah di dalam rumah. Cemas sungguh suara Mylia.
“Mak! Tolong Mylia.” jeritnya lagi. Cepat-cepat Mikail keluar dari dapurnya dan berlari ke dinding sempadan antara rumahnya dan rumah Mylia.
“Kenapa ni?” Mylia sedang mencempung sehelai selimut tebal di dalam pelukannya. Tetapi yang lebih menarik perhatian Mikail ialah tompokan darah yang melekat pada selimut itu. “Ish, tangan kau berdarah tu. Macam mana boleh jadi macam tu?” soal Mikail lagi.
“Kenapa Mylia?” tiba-tiba suara Ramlah kedengaran dari pintu.
“Dawai ampaian ni putus lah mak. Mylia nak sidai selimut ni tadi. Tengah betul-betulkan, tiba-tiba saja selimut ni dia jatuh.” Terang Mylia kepada Ramlah merangkap sebagai jawapan kepada soalan Mikail tadi juga. Salah satu hujung dawai tebal yang diikat sebagai ampaian itu terbidas dan hujungnya yang tajam mengguris lengan Mylia menyebabkan berlakunya satu torehan luka yang agak panjang. Pedih yang terasa di tangannya tak mampu ditahan. Berkerut-kerut wajahnya. Berjuraian juga air matanya. Tiada esakkan tetapi hanya air mata yang gugur dek menahan kesakitan.
“Ya Allah. Berdarah tu.” Cemas suara Ramlah apabila tiba-tiba dia ternampak tompokan darah di kain yang dicempung Mylia.
“Kejap saya tolong. Pintu depan kunci tak makcik?” soal Mikail.
“Tak… tak… cepat Mika.” Kata Ramlah kepada Mikail. Segera dicapai selimut tebal di tangan Mylia dan diletakkan kembali ke dalam raga baju. Barangkali Mylia tengah panik, dia tidak mampu berfikir panjang. Hanya mampu tercegat di situ dan meminta tolong sambil mencempung selimut tebal yang lembap dan berat itu. Fikirnya dia hanya ingin mengelak daripada selimut tersebut jatuh ke tanah.
Mikail segera mencapai kotak pertolongan cemas di rumahnya dan berlari menuju ke rumah sebelah. Cepat-cepat dia membelek tangan Mylia mencari punca keluarnya darah. Satu calar sepanjang hampir sejengkal tertoreh di lengan Mylia. Setelah dicuci, jelas luka itu begitu dalam dan perlukan rawatan doktor. Setakat antiseptik dan pembalut sahaja tidak cukup. Terkial-kial Mylia menahan pedih apabila air dilalukan sekejap tadi.
“Luka dalam ni. Kena pergi hospital rasanya ni, makcik.” Kata Mikail sambil menunjukkan luka di lengan Mylia kepada Ramlah.
“Ya. Dalam sangat tu. Luqman tak ada kat rumah. Jom Mika tolong bawakan boleh ker?” soal Ramlah kepada Mikail.
“Jom! Jom! Saya pergi ambik kereta. Ada tuala bersih tak? Kena pekup dan tekan sikit dekat bahagian luka ni.” Kata Mikail.
“Ada… ada… makcik ambikkan. Kamu pergi keluarkan kereta.” Arah Ramlah. “Julia! Jasmin! Turun cepat. Kita nak pergi hospital.” Panggil Ramlah kepada cucu-cucunya.
“Kenapa, nek?” soal Julia hairan. Tiba-tiba sahaja Ramlah memanggil dengan begitu cemas sekali.
“Tangan ibu luka teruk tu. Nak kena pergi hospital.” Terang Ramlah kepada Julia. Buntang biji mata Julia dan Jasmin melihat darah memenuhi tuala kecil di lengan Mylia. Tanpa banyak tanya lagi, mereka terus sahaja mengikut Ramlah dan Mylia dari belakang.
Sebaik mereka keluar, Mikail sudah pun menunggu di depan pintu pagar. Suraya juga turut ada di situ.
“Hati-hati bawa kereta tu Mika. Jangan gopoh-gopoh.” Pesan Suraya. “Julia dengan Jasmin tinggal dengan Nek Su lah. Lama tu nanti nak tunggu kat hospital. Nanti letih pula.” Kata Suraya. Dia rasa seperti kurang sesuai kalau anak-anak kecil itu turut diseret ke hospital bersama.
“Julia dengan Jasmin duduk dengan Nek Su kejap yer. Nanti nenek call abi datang ambik korang.” Pinta Ramlah dengan lembut kepada mereka. Mereka hanya mengangguk-angguk.
“Cakap dengan abi jangan lambat-lambat tau!” pesan Jasmin.
“Okay, nanti nenek pesan.” Janji Ramlah sebelum melangkah masuk ke dalam kereta. Terus sahaja Mikail menekan minyak dan terus menuju ke hospital berdekatan. Mylia masih lagi terdiam tanpa suara. Hanya air mata sahaja yang laju turun membanjiri wajahnya. Ramlah mencapai telefon lantas nombor telefon Luqman didailnya. Panggilan pertama tidak berjawab. Didailnya sekali lagi. Masih tidak berjawab.
“Kenapa pulak tak nak jawab telefon ni” rungut Ramlah. Dia kembali memberi tumpuan kepada Mylia di sebelahnya. Dia turut sama menekan tuala pada luka itu. Hampir dua puluh lima minit perjalanan barulah mereka sampai ke hospital. Mikail memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu masuk. Dia membantu membuka pintu kereta kepada Mylia dan mengiringnya masuk ke dalam klinik. Sebaik sahaja dia menuju ke kaunter pendaftaran, cepat-cepat Ramlah menghalang.
“Tak apa, Mika. Biar makcik buat. Mika pergi park kereta betul-betul. Takut mengganggu laluan.” Arah Ramlah. Mikail hanya akur dengan permintaan Ramlah dan keluar mendapatkan keretanya.
Selesai mendaftarkan Mylia, Ramlah kembali ke tempat duduk. Mylia sudah pun di tolak masuk untuk menerima rawatan. Susah juga jadinya apabila satu dokumen pun tak di bawa tadi. Mereka langsung tak terfikir tentang itu. Ramlah sekali lagi mendail nombor Luqman. Setelah berkali-kali nada dering berbunyi, panggilannya dijawab.
“Hello.” Sapa Luqman bersahaja. Langsung tiada idea betapa cemasnya Ramlah waktu itu.
“Man, mak kat hospital ni. Mylia cedera kat rumah tadi. Kau datang sini cepat. Tapi balik ambik beg duit Mylia dulu. Cepat, Man.” Kelam-kabut Ramlah bercerita kepada Luqman.
“Mylia cedera? Macam mana boleh cedera? Teruk ker?” Soal Luqman bertalu-talu. Berdebar dada Luqman mendengar kata-kata emaknya.
“Nantilah mak cerita. Kamu tu cepat-cepat balik ambik beg Mylia bawa datang sini. Nak daftar ni. Cepat.” Kata Ramlah yang masih lagi cemas.
“Okay. Okay.” Balas Luqman sambil bergegas keluar. “Saya nak ke hospital, ada emergency. Petang baru saya masuk ya.” Kata Luqman kepada Yana, pekerja yang bertugas pagi itu.
Sesampainya Luqman di rumah, dia berlari laju menaiki tangga ke tingkat atas untuk mengambil beg tangan Mylia. Semasa dia melangkah keluar, kelihatan Julia dan Jasmin sedang berdiri di balik pagar antara rumahnya dan rumah Mikail. Suraya juga ada di situ.
“Abi! Kami nak ikut jugak.” Pinta Jasmin dengan wajah yang sedih.
“Tak boleh, sayang. Lama nak kena tunggu. Kat hospital selalu ramai sangat orang. Nanti nak duduk pun tak ada kerusi. Jasmin duduk dengan kakak kat rumah Nek Su kejap yer.” Pujuk Luqman. “Maaflah Cik Su, menyusahkan Cik Su pula.”
“Tak ada susahnya pun. Dah kamu pergi cepat tgk Mylia. Banyak darah yang keluar tadi. Mujur Mikail ada di rumah.” terang Suraya. Sedikit terpana Luqman apabila mengetahui yang isterinya ke hospital di hantar oleh Mikail. Datang satu perasaan yang sangat tidak selesa.
“Oh, tak pasal-pasal kacau Mika sekali.” Kata Luqman tidak selesa.
“Tak kacau pun. Bukan buat apa pun dia kat rumah hujung-hujung minggu ni. Melangut je tak buat apa-apa.” Kata Suraya menenangkan Luqman. Suraya langsung tidak mengetahui kegusaran lelaki itu setiap kali Mikail dikaitkan dengan Mylia. Jika sebelum ini Mylia belum menjadi isterinya, tapi sekarang Mylia sudah pun ada suami. Dia tidak sepatutnya mengganggu orang lain lagi.
“Cepat Man pergi hospital. Anak-anak biar Cik Su yang tengokkan. Jangan bimbang yer.” Kata Suraya lagi setelah melihat ada beg tangan yang dipegang Luqman. Pastinya beg itu milik Mylia.
“Okay, Cik Su. Terima kasih banyak-banyak ya.” Kata Luqman dan terus berlalu masuk ke dalam kereta.
“Mylia dan masuk dalam dah makcik?” soal Mikail sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di sebelah Ramlah.
“Dah. Sampai-sampai tadi terus sahaja diorang tolak dia masuk bilik 4 tu.” Kata Ramlah sambil menuding jari ke arah bilik yang dimaksudkan.
“Berkarat ke dawai ampaian tu?” soal Mikail cuba mengumpul maklumat.
“Tak pun. Kalau berkarat, mesti habis merah-merah baju yang sidai kat situ.” Ramlah sendiri kurang pasti. Dia cuma membuat anggaran logik semata-mata.
“Nanti saya tukar semua dawai tu guna wayar. Tak lah bahaya sangat.” Kata Mikail memberikan penyelesaian.
“Ish, tak payahlah. Nanti makcik suruh Luqman yang buatkan.” Segan pula dia nak mengacau anak jirannya itu.
“Abang Man kan selalu sibuk jaga kedai tu. Tak apalah. Biar saya tolong buatkan.” Sambung Mikail.
“Tak payah. Nanti abang buat sendiri.” Tiba-tiba muncul suara Luqman mencelah perbincangan mereka berdua. Ada satu nada kurang enak dalam intonasi Luqman itu.
“Ha, Luqman. Kau dah sampai. Pergi daftar Mylia kat kaunter tu. Tadi mak dah bagi nama semua, Cuma IC je belum. Diorang minta IC.” Kata Ramlah cepat-cepat. Luqman hanya menurutkan sahaja kata-kata Ramlah. Semasa dia berdiri di kaunter, dia tidak dapat mengelak daripada memandang Mikail yang duduk di sebelah Ramlah dengan satu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Wajah Mikail jelas menunjukkan keresahan menunggu Mylia dirawat. Dia tahu Mikail ikhlas tapi dia tidak boleh terima. Makin hari makin dia tidak boleh melihat Mikail ada di sekeliling dengan Mylia.
“Terima kasih, Mikail tolong hantarkan Mylia datang hospital. Kalau kamu sibuk, bolehlah balik dulu.” Kata Luqman kepada Mikail setelah dia selesai mendaftar Mylia. Terkesima sekejap wajah Mikail. Walaupun ayat Luqman seperti memberinya pilihan, Mikail sedar dia sememangnya tiada pilihan.
“Ya, okay. Saya balik dulu.” Kata Mikail kepada Ramlah dan Luqman sambil dengan beratnya bangun dari kerusi.
“Terima kasih sekali lagi yer, Mikail. Kalau kamu tak ada tadi, makcik tak tau nak jadi macam mana.” Kata Ramlah kepada Mikail. Sakit hati Luqman mendengarnya. Mikail hanya tersenyum hambar sambil mengangguk kecil.
“Kenapa mak tak call Man jer tadi? Tak payah nak kacau-kacau orang.” Kata Luqman setelah Mikail hilang di sebalik pintu masuk utama.
“Dah berkali-kali mak call Man tapi tak berangkat-angkat. Man buat apa tadi?” soal Ramlah sambil merengus kasar. Luqman mengingat kembali kerjanya pagi tadi. Dia sibuk menyusun barang di dalam stor. Telefonnya ditinggalkan di atas meja di dalam pejabatnya.
“Man sibuk sikit pagi tadi.” Jawabnya perlahan.
“Mujur ada Mikail. Syukur Alhamdulillah.” Kata Ramlah sekali lagi mengundang sakit di hati Luqman.
‘Tak habis-habis dengan Mikail.’ Bentak hati Luqman.
Share this novel