“Mak, apa mak buat kat atas ni?” Luqman yang baru sahaja selesai berwuduk terkejut beruk melihat tubuh ibunya tercegat di muka pintu. Kepalanya ligat mencari alasan untuk diberikan kepada ibunya sekejap nanti. Dia sudah boleh mengagak soalan-soalan yang bakal keluar daripada mulut Ramlah sekejap lagi.
“Apa mak buat kata atas ni tak penting. Engkau tu apa yang engkau buat kat bawah ni?” Mata Ramlah kembali memandang ke arah katil anak daranya yang bergelimpangan. “Dah berapa lama engkau tidur kat bawah ni?” dengan tak semena-mena, air mata tuanya gugur jua.
Ramlah menapak perlahan-lahan menuju ke katil. Dia melabuhkan punggungnya di birai katil. Hatinya sedikit kecewa dengan keadaan dalam rumahnya ketika itu.
“Mak tak sangka anak mak seorang yang keras hatinya. Langsung tak ada belas kasihan kat orang lain. Entah apa yang mak dah buat sampaikan anak yang mak asuh dari kecil menjadi seorang lelaki yang pentingkan diri sendiri.” Ramlah terhenti seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk menenteramkan hatinya sendiri. Jauh di sudut hatinya, timbul rasa menyesal kerana telah menjodohkan anak lelakinya itu dengan anak gadis sahabat karibnya; Hamidah. Seandainya berlaku sesuatu kepada anak gadis itu, dia tidak tahu bagaimana dia boleh berdepan dengan sahabatnya itu lagi.
Luqman yang masih lagi tercegat di hadapan pintu tandas sedari tadi mula menapak perlahan-lahan menuju ke meja belajar milik Lyana. Dia menarik kerusi beroda yang ada di situ dan menjatuhkan punggungnya perlahan-lahan. Sedih dia melihat ibunya yang kini sedang berguguran air mata kerana dia. Bimbang ibunya itu menganggap dia seorang anak derhaka.
“Mak… Man…” dia mula membuka bicara setelah melihat ibunya diam sekian lama.
“Sudah, Man.” Ramlah memotong terus percakapan anaknya. “Mak tak nak dengar lagi semua alasan engkau. Engkau hanya pentingkan diri kau semata. Kau tak tengok macam mana gembiranya Julia dan Jasmin sekarang? Kau tak rasa kah yang selama ni diorang memang amat-amat dahagakan kasih saying seorang ibu?” Ramlah memandang tepat ke mata Luqman.
“Man…” Luqman cuba memberikan respon kepada ibunya.
“Diam! Kau diam!” Ramlah masih lagi marah. Tetapi dia cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu meninggikan suaranya. Bimbang tidur cucu-cucunya terganggu. “Mak tak nak dengar lagi dah apa-apa alasan pun dari kau. Hari ni, mak sangat kecewa. Mak sangat sedih. Kau dah besar. Kau dah dewasa. Kau buatlah apa yang kau rasa baik untuk diri kau dan anak-anak kau. Kalau kau rasa Mylia tu bukan seorang isteri yang baik untuk kau, bukan seorang ibu yang baik untuk anak-anak kau, terpulanglah. Mak dah malas nak cakap apa lagi dah.” Ramlah bangun dari katil dan menapak pergi ke anak tangga menuju ke bawah.
Dia terkejut apabila melihat Mylia juga ada di sana. Entah berapa lama Mylia berdiri di tangga itu. Entah sebanyak mana Mylia dengar pertelingkahannya dengan Luqman.
“Mylia, mak minta maaf. Anak mak bukan lelaki yang terbaik untuk Mylia. Mak dah buat sesuatu yang buruk pada Mylia. Mak dah paksa Mylia berkahwin dengan manusia batu. Ampunkan mak, Mylia.” Sayu suara wanita tua itu. Dia benar-benar memaksudkan setiap bait bicaranya ketika itu. Disangkanya Luqman mampu membahagiakan sesiapa sahaja yang masuk ke dalam hidupnya, tetapi dia silap. Luqman adalah seorang yang sangat keras hati.
“Mak, jangan cakap macam tu. Mak bertenang ya. Mylia okay. Jom Mylia temankan mak turun. Mak rehat banyak-banyak ya.” Mylia memapah mentuanya itu turun satu tangga demi satu tangga hingga sampai ke biliknya.
Setelah Ramlah selamat sampai ke bilik dan duduk di atas katilnya, Mylia terus masuk ke dapur dan mengambil segelas air untuk mentuanya itu.
“Mak minum dulu, mak.” Pinta Mylia. Ramlah hanya menurutkan sahaja permintaan Mylia itu. Letih juga badan tuanya itu dengan situasi yang baru sahaja berlaku. Selesai minum, dia kembali baring. Mylia menebarkan kain selimut tebal menutup tubuh Ramlah dengan rapi.
“Mylia, mak minta maaf banyak-banyak. Mak dah menyusahkan kamu. Kamu sepatutnya berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih baik dari Luqman.”
“Mak… Mak jangan fikir banyak-banyak sangat. Mylia okay. Lagipun kami kan baru berjumpa. Mylia tak kenal abang, abang pun belum kenal Mylia. Mak doakan kami, ya mak.” Balas Mylia sambal tersenyum. Bagi Mylia, sudah terlewat untuk dia menyesal dengan perkahwinan ini. Benda sudah berlaku. Apa yang dia perlu buat sekarang ialah bagaimana dia boleh menyesuaikan diri dengan keluarga barunya itu.
“Mylia, kalau engkau dah tak tahan dengan perangai Luqman tu, kau bagitahu mak. Mak tak nak siksa kau.” Pesan Ramlah. Walaupun Luqman itu anaknya sendiri, tetapi dia faham hati perempuan.
“Apa mak cakap macam tu? Mak tak siksa Mylia langsung. Mylia bersyukur sangat dapat mentua macam mak. Julia dan Jasmin pun terima Mylia sepenuh hati. Seronok sangat Mylia layan diorang berdua. Mak jangan susah hati ya. Mylia okay.” Kata Mylia cuba menyedapkan hati wanita tua dihadapannya itu.
“Itu lain. Kasih-sayang anak-anak mana sama dengan kasih saying suami. Takkan kau nak merana makan hati dengan Luqman seumur hidup? Mak tak boleh biarkan kau hidup macam tu. Malu besar mak dengan Hamidah.” Kata Ramlah lagi. Dia tidak tahu bagaimana lagi dia boleh gambarkan kekecewannya itu.
“Mak…” Mylia naik ke katil di sebelah mentuanya dan baring bersebelahan. “Apa kata kalau benda ni jadi rahsia kita berdua. Mak tak perlu cerita kat umi dengan abi. Diorang tak perlu tahu. Diorang tak akan tahu kalau kita tak cerita, kan?” Mylia memeluk tubuh wanita itu. Sedikit-sebanyak, Mylia turut merasai kasih-sayang daripada Ramlah. Sejalur ketenangan meresap masuk ke sanubarinya. Ada keyakinan yang terbit di dalam diri Mylia. Dia yakin dia mampu harung hidupnya dengan adanya kasih-sayang Julia dan Jasmin serta sokongan daripada mentuanya itu.
Akhirnya kedua-dua wanita itu tertidur bersama. Mylia hanya tersedar apabila azan subuh berkumandang daripada corong pembesar suara masjid berhampiran rumah mereka. Mujurlah sekarang waktu subuh masuk awal hari. Mylia bangun perlahan-lahan dan turun dari katil. Dia tidak mahu mengejutkan lagi mentuanya itu. Pastinya wanita itu keletihan.
Mylia terus sahaja memanjat anak-anak tangga menuju ke biliknya di aras tiga. Mengah juga dia memanjat tangga setinggi itu. Semasa sampai di aras dua, Mylia sempat memerhati ke pintu bilik Lyana. Pintu tertutup rapat dan tiada cahaya yang keluar dari celahan pintu itu. Dia menjenguk pula ke bilik anak-anak. Masih nyenyak tidur anak-anak itu.
Setibanya dia di pintu biliknya, terlihat pintu biliknya terbuka dan lampu bilik menyala.
‘Aku tak tutup lampu bilik ke semalam?’ hairan Mylia. Tetapi dia sendiri tidak ingat samada lampu itu memang tidak terpadam daripada semalam.
Seingatnya semasa dia sedang bertafakur di atas sejadah semalam, tiba-tiba dia terdengar suara mentuanya dari aras bawah. Hairan juga dia waktu itu kerana suara mentuanya kedengaran terlalu dekat. Tak pernah mentuanya naik ke tingkat atas. Dia bimbang mentuanya tahu yang mereka suami isteri tidur secara berasingan. Setelah dia selesai melipat kain telekungnya, terus sahaja dia menjengah di anak tangga. Nyata sangkaannya tepat. Rahsia mereka terbongkar.
Apabila Mylia menolak pintu biliknya lebih luas, dia terpandang keadaan katil yang sedikit semak. Bertambah hairan Mylia. Kemudian dia terdengar bunyi air dari dalam bilik air. Hati Mylia berdebar-debar. Terlalu awal untuk dia mengadap drama murung suaminya itu. Dia perlukan sesuatu yang indah dan tenang untuk dia mulakan harinya.
Mylia terus sahaja ke almari dan mengeluarkan pakaian-pakaian yang diperlukan untuk ke pejabat hari itu. Sedang dia asyik seterika pakaiannya, Luqman keluar daripada bilik air. Dia hanya memakai kain tuala semata menyebabkan Mylia sedikit gugup. Dia tidak biasa dengan kehadiran lelaki itu. Amat janggal rasanya.
“Mylia… tidur di mana semalam? Sampai pagi tak naik-naik.” Soal Luqman kepada Mylia. Mylia masih lagi membelakangi lelaki itu.
“Di bilik mak.” Jawab Mylia. Dia tak menyangka langsung yang Luqman akan menunggunya.
“Kenapa tidur kat bawah?” soal Luqman lagi sambal bersiap sedia untuk solat subuh.
‘Eh, panjang pula borak mamat ni pagi ni.’ Rungut hati Mylia.
“Tertidur.” Dia tak tahu apa lagi yang perlu dijawab. Selesai seterika, dia segera mencapai tuala dan terus berlalu masuk ke bilik air. Dia tidak mahu berada lama-lama dengan lelaki itu. Mylia amat-amat berharap, selesai mandinya nanti Luqman tiada lagi di dalam bilik tersebut.
Sangkaan Mylia meleset. Mujurlah Mylia ada membawa sehelai kain batik sebelum mandi tadi. Tidaklah dia keluar hanya berkemban tuala.
“Jom solat Jemaah. Saya tunggu.” Kata Luqman kepada Mylia. Arah Kiblat di dalam bilik itu betul-betul mengadap ke pintu almari bajunya membuatkan Mylia agak kekok untuk berpakaian. Dia hanya menyarungkan sehelai kemeja T di atas kemban kain batiknya itu. Terketar-ketar jadinya dia. Terasa susah untuk dia menyiapkan diri.
Dia ingin segera solat berjemaah dengan harapan Luqman akan pergi meninggalkan dia sendirian di dalam bilik itu.
Selesai berwirid dan berdoa, Luqman pusing mengadap Mylia. Mylia menghulurkan tangannya untuk menyalami lelaki itu. Dia tunduk mencium tangan lelaki itu sebagai tanda hormat. Apabila dia mengangkat kepalanya dan ingin menarik tangannya, Luqman mengeratkan genggamannya. Mylia memandang ke mata Luqman. Hairan.
Luqman tidak membalas pandangan Mylia. Matanya tepat ke arah tangan Mylia yang sedang digenggamnya.
“Mylia, saya minta maaf banyak-banyak kalau saya menyusahkan hidup awak. Saya tau saya bukan suami yang baik untuk awak. Saya tak mampu untuk menjadi suami yang baik untuk awak.”
Mylia hanya diam membatu. Dia hanya mendengar setiap kata-kata Luqman dan cuba menghadamnya satu persatu.
“Saya tak boleh janji dengan Mylia untuk jadi suami yang terbaik. Susah untuk saya lupakan arwah Aisyah.” Luqman terhenti lagi.
“Awak tak perlu janji apa-apa. Saya cuba untuk faham situasi awak dan saya akan cuba terima keadaan kita sebaik mungkin. Awak tak perlu bimbang. Pandailah saya tutup rahsia kita di depan orang tua kita.” Balas Mylia dengan suara yang sedikit tegas. Dia cuba menarik tangannya dari genggaman Luqman sekali lagi tetapi Luqman masih belum mahu melepaskan. Masih ada benda yang terbuku di hatinya tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang perlu diucapkan. Mulutnya terkunci rapat.
“Terima kasih kerana menerima dan melayan anak-anak saya dengan baik. Saya akan sentiasa terhutang budi dengan awak.”
‘Anak saya!’ hati Mylia terdetik. Mereka bukan anak-anaknya. Dan Luqman masih belum boleh terima dia sebagai ibu kepada anak-anak itu.
“Don’t mention it. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya.”
“Tolong beritahu saya jika awak sudah tidak mahu lagi berada di sini. Atau mungkin suatu hari nanti awak berjumpa dengan seorang lelaki yang mampu membahagiakan awak, saya akan lepaskan awak dengan baik.” Entah datang dari mana ayat-ayat itu. Lancar sahaja ia keluar dari mulut Luqman. Mylia sedikit terpana.
“Awak rasa saya ni beban ker?” soal Mylia kembali. Panas pula hatinya mendengar kata-kata Luqman.
“Bukan macam tu.” Luqman menjawab dengan tenang walaupun Mylia seakan sudah melenting marah. “Saya sedar awak tak bahagia menjadi isteri saya dan saya sendiri tak boleh berjanji dengan awak yang saya boleh jadi suami yang mampu menyayangi awak selaku seorang isteri. Saya tak mahu terus-menerus menyiksa awak.”
“Habis, macam mana dengan Julia dan Jasmin? Apa perasaan diorang kalau tiba-tiba saya pergi tinggalkan diorang?” soal Mylia kembali. Betul cakap mak. Luqman tidak langsung memikirkan emosi anak-anak kecilnya itu.
Luqman mendongak ke atas. Dia seakan baru teringat akan anak-anaknya itu. Dia memejamkan matanya sambal menggeleng-geleng kecil.
“Bukan tanggungjawab awak untuk korbankan diri awak semata-mata untuk diorang. Diorang tanggungjawab saya. Nanti saya akan fikirkan apa yang perlu saya buat pada diorang.”
“Terpulanglah pada awak. Awak nak lepaskan saya sekarang pun, saya tak kisah. Saya ikutkan saja.” Mylia merentap tangannya lebih keras kali ini. Dia segera bangun dari tikar sejadah dan mula menanggalkan telekungnya dan menyidai dengan rapi di ampaian. “Maaf, saya nak turun untuk sediakan sarapan. Nanti lambat pula.” Mylia terus berlalu meninggalkan Luqman sendirian.
Sepanjang waktu dia memasak di dapur pagi itu, kepalanya ligat berfikir tentang ayat-ayat Luqman sebentar tadi.
‘Sanggupkah aku tinggalkan Julia dan Jasmin macam tu saja? Apa perasaan diorang nanti? Dah lah tak pernah kenal emak sendiri, dan sekarang aku pula nak pergi tinggalkan diorang? Tapi macam mana pulak aku? Luqman dan sah-sah bagitau dia tak boleh nak jadi suami aku. Takkan aku nak jadi ‘anak dara’ sampai ke tua?’ dia bersoal jawab dengan dirinya.
‘Kalaulah Mika suka kat aku… kalaulah aku kahwin dengan Mika… mesti aku happy sekarang… kan? Kalau lah! Cerita ‘kalau’ semuanya indah.’
Semenjak daripada kejadian tersebut, Luqman terus menerus menggunakan bilik di tingkat atas. Jarang sekali mereka bertembung kecuali waktu tidur. Itu pun Luqman hanya akan masuk lewat malam setelah Mylia sudahpun terlena. Setelah pulang dari kedai, dia akan berehat-rehat terlebih dahulu di ruang tamu.
Tidak terlalu banyak masa Mylia perlu berdepan dengan Luqman kecuali di waktu awal pagi. Setelah beberapa bulan, Mylia tidak lagi berasa kekok. Dia akan pastikan yang dia bangun lebih awal daripada Luqman agar dia boleh mandi terlebih dahulu. Apabila Luqman berada di dalam bilik air, bolehlah dia gunakan ruang masa itu untuk menyiapkan dirinya.
Waktu makan tengahari, dia akan lebih sibuk dengan Jasmin dan mentuanya. Dia enggan memberikan tumpuan kepada Luqman. Dia mahu memberikan kebebasan seluasnya kepada Luqman. Dia tidak mahu langsung menganggu rutin hidup lelaki itu. Biarlah dirinya langsung tiada kesan kepada lelaki itu.
Sesekali di hari Jumaat, sengaja Mylia membawa mentua dan anak-anaknya pulang ke rumah umi dan abinya untuk makan tengahari bersama-sama. Meriah jadinya rumah Hamidah dan Baharom. Selesai solat Jumaat, Luqman akan turut serta dengan mereka di sana. Apabila waktu rehat tengahari hamper tamat, Mylia akan terus ke pejabat manakala Luqman akan menghantar ibu dan anak-anaknya pulang ke rumah mereka.
Begitulah rutin hidup Mylia. dia cuba membahagiakan dirinya seboleh mungkin. Mikail juga sangat menghormati statusnya kini. Dia sentiasa membataskan hubungan mereka. Tiada lagi kongsi-kongsi air dan makanan. Sebagaimana dia dengan yang lain, begitulah juga dia dengan Mylia.
Mikail sedar yang peluang dirinya untuk memiliki Mylia sudah tertutup rapat. Dia perlu menutup kisah lamanya itu dan mencari wanita lain yang boleh menjadi suri dihatinya. Dia perlukan Mylia yang baru. Dia perlu mencari seorang yang mampu memadamkan perasannya terhadap Mylia. memang sukar untuk dia mencari pengganti terutamanya apabila Mylia sentiasa ada dihadapannya sekarang.
Sampai bila dia mampu menipu dirinya sendiri? Setiap kali dia sedar akan kehadiran Mylia di sekelilingnya, hatinya sentiasa berdebar-debar, berbunga-bunga, dan matanya susah untuk tidak memandang Mylia. telinganya susah untuk tidak mendengar suara merdu Mylia. Resah hati Mikail. Mungkin dengan tidak berada bersama, dia mampu melupakan perasaannya itu.
“Mika!” tiba-tiba satu pukulan kuat jatuh ke bahu Mikail. Terkejut benar Mikail waktu itu. Dia berpaling melihat dari mana datangnya pukulan itu.
“Mama! Terkejut Mika.” Mikail mengurut-urut dadanya perlahan-lahan.
“Mata pandang ke tv, tapi renungan tut embus dah sampai ke mana entah. Duk fikirkan apa?” Suraya melabuhkan badan di sebelah anaknya. Dicapainya alat kwalan jauh televisyen dan menekan beberapa angka untuk menukar siaran televisyen. Ternyata Mikail langsung tidak menonton tayangan yang sedia ada itu.
“Tak ada apalah, ma. Tengah fikirkan kerja.” Jawab Mikail cuba bersembunyi.
“Kenapa dengan kerja? Jarang sangat Mika merungut tentang kerja. Tiba-tiba macam masalah besar sangat jer.” Soal Suraya lagi.
“Ma, Mika ingat nak tukar tempat kerja lah. Maybe boleh cuba pangkat yang lebih tinggi. Dah lama Mika stay kat company tu, tak ada improvement pun.” Terang Mikail sambal mengelak untuk membincangkan punca utama dia ingin bertukar tempat kerja.
“Tapi kan kamu dah selesa kat situ? Dekat dengan rumah, kawan-kawan kerja pun okay, boss pun okay… mama tak pernah dengar kamu merungut sebelum ni. Kenapa sampai nak tukar kerja pula?” selidik Suraya lagi. Bagi Suraya, buat apa nak susah-susahkan diri kalau dah selesa di situ.
“Saja nak cari pengalaman baru. Mana tau, rezeki Mika lebih lagi kalau kat tempat baru.” Mika memberi alasan.
“Peliklah kamu ni, Mika. Dah elok-elok kerja kat situ, nak tukar-tukar pula. Orang lain punya susah nak dapat kerja. Ker ada benda lain ni?” Suraya menyerkap jarang.
“Betul lah, mama. Dah lama Mika kat situ, Mika tak nampak langsung peluang untuk naik pangkat.”
“Kamu baru berapa tahun je kerja kat situ. Jangan gelojoh sangat. Nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”
“Kalau tak kejar, lagilah tak dapat. Dah melepas pun.” Rungut Mikail perlahan. Dia masih lagi kecewa dengan dirinya kerana tidak cepat-cepat merebut hati Mylia di saat peluang untuknya luas terbuka.
“Apa yang melepas?” soal Suraya hairan. Dia tak tau pula yang anaknya ada memohon untuk apa-apa jawatan lain.
“Tak ada apa-apalah, mama.” Segera Mikail memotong cakap ibunya. “Mika ingat nak mohon jer dulu kat mana-mana. Kalau dapat, nanti Mika fikirkan lagi. Mana tau, rezeki Mika lebih lagi kat tempat lain. Boleh kan, mama?” soal Mikail seakan meminta restu.
“Terpulang kat kamu lah, Mika. Mana yang kamu rasa baik. Mama ni tak tau macam mana keadaan kamu kat office tu. Selama hari ni, tak pernah pula mama dengar kamu merungut. Tapi kalau dah kamu tak senang nak kerja kat situ, eloklah cari tempat lain. Kalau kita tak mampu nak ubah keadaan, kita ubah diri kita sendiri. Stress tempat kerja pun boleh ganggu kesihatan.” Kata Suraya panjang lebar.
“Tapi janganlah pindah jauh-jauh sangat. Jangan tinggal mama sorang-sorang kat sini pula.” Mikail satu-satunya anak yang Suraya ada. Telah lama dia berpisah dengan ayah Mikail. Selepas mereka bercerai, lelaki itu pernah sekali melawat Mikail. Selepas itu, dia terus hilang entah ke mana. Mikail juga sudah lama melupakan kewujudan lelaki yang bergelar bapanya itu. Sudah tawar hati untuk dia menagih kasih.
“Takkanlah Mika nak tinggalkan mama.” Pantas tangannya merangkul bahu ibunya dengan erat. Manja Mikail dengan ibunya itu tak pernah hilang. “Kalau Mika dapat kerja jauh-jauh, Mika bawa mama sekali. Kita pindah pergi tempat baru. Boleh?” Mika memandang wajah ibunya.
“Habis, rumah ni nak buat apa?” soal Suraya lagi.
“Kita jualkan jer. Kita beli rumah baru.” Cadang Mikail bersahaja.
“Hish… sayanglah. Dah la. Jangan pindah jauh-jauh. Mama nak duduk sini jer. Tak nak pindah.” Suraya membuat keputusan dan terus kembali memberikan tumpuan ke peti televisyen.
“Baik, mamaku sayang…” jawab Mikail sambal mencium pipi tua ibunya. Diusia 60 tahun, Suraya masih lagi menjaga penampilan dirinya. Badannya yang tinggi dan sedikit berisi membuatkan kulitnya masih tegang dan kelihatan jauh lebih muda dari usianya.
‘Kalau pindah office, tak nampak Mylia dia office tapi kat rumah boleh lagi intai-intai. Kalau pindah rumah, langsung taka da chance lah aku nak jumpa Mylia. kalau rindu macam mana?’
Mikail menggeleng-gelengkan kepalanya dengan kuat. Dia ingin menyingkirkan apa yang terlintas di fikirannya saat itu.
“Kau ni dah kenapa?” soal Suraya yang benar-benar hairan dengan anaknya itu.
Share this novel