“Biar saya angkat dia terus masuk ke dalam ya? Cepat sikit.” Tanya Mikail kepada kedua orang tua Mylia. Saling berpandangan Baharom dan isterinya. Mereka hairan dengan kemunculan Mikail secara tiba-tiba yang kelihatan seperti sangat mengambil berat tentang Mylia. Sebelum ini tidak pernah pula namanya disebut Mylia.
“Yer lah. Biar pakcik pergi daftar dia di kaunter.” Kata Baharom. Terus sahaja Mikail mencempung badan Mylia dan diangkatnya terus rapat ke dada. Hamidah berjalan beriringan dengan Mikail dan membuka pintu kaca klinik tersebut untuk memberi laluan kepada Mikail sepantas mungkin. Pasti berat tubuh anaknya itu dikendong seperti itu.
Mikail meletakkan Mylia di atas kerusi diruang menunggu. Tubuh Mylia langsung tidak bermaya. Hamidah duduk di sebelah Mylia untuk menopang badan anaknya itu. Tetapi terus sahaja Mylia rebah terbaring diribaan Hamidah. Mikail meminta sebuah baldi sebagai persediaan andainya Mylia muntah lagi.
“Siapa nama kamu tadi?” soal Hamidah kepada Mikail.
“Mikail, makcik. Panggil Mika pun boleh.” Balas Mikail dengan senyuman manis di bibir. Segak sungguh anak muda itu.
“Kamu kawan Mylia, ya?” Hamidah mengambil peluang untuk mengorek cerita anak muda yang tampil membantu anaknya dengan begitu bersungguh-sungguh.
“Ya, saya kawan satu tempat kerja dengan Mylia.” tiba-tiba, Mylia mengangkat kepalanya dan muntah lagi. Mujurlah Mikail sudah siap menadah baldi tadi di hadapan Mylia. Hamidah mengurut-urut tengkuk dan belakang badan Mylia dengan penuh kasih.
“Dah banyak hari ke dia demam ni makcik?” soal Mikail sambil mengelap mulut dan dagu Mylia dengan tisu muka. Wajahnya benar-benar kelihatan risau dengan keadaan Mylia.
“Semalam okay saja dia. Makcik pun tak perasan sejak bila dia demam panas ni.” cerita Hamidah jujur.
“Dia tak tidur agaknya semalam. Kalau dia tak cukup tidur, mula lah dia demam-demam.” Kata Mikail bagaikan dia tahu benar dengan diri Mylia. Sekali lagi Hamidah terkedu. Perihatin sungguh anak muda itu terhadap anaknya.
“Mana Mika tau?” soal Hamidah tanpa henti.
“Selalu kalau ada program luar, memang jadi macam ni. Kalau aktiviti malam tu habis lewat, esoknya mula lah dia pening-pening dan muntah, lepas tu terus panas badan.” Jawab Mikail. Sudah banyak kali mereka menjalankan program-program luar terutamanya kepada kakitangan baru. Setiap kali itulah Mikail akan pastikan Mylia cukup tidur. Jika tidak, esok paginya pasti dia tidak sihat.
“Mika selalu ikut program Mylia?” Hamidah masih belum habis bertanya.
“Kami satu department, makcik. Program dia, program saya lah juga, makcik.” Jawab Mikail sambil tersenyum mesra. Baharom yang duduk disebelah Hamidah hanya memasang telinga mendengar sahaja perbualan isterinya dan Mikail.
Apabila nama Mylia dipanggil, Mikail membiarkan Baharom dan Hamidah sahaja yang masuk membawa Mylia berjumpa doktor. Dia hanya duduk di ruang menunggu dengan sabar.
“Encik, ini IC isteri encik. Tertinggal dia kaunter pendaftaran tadi.” Seorang pembantu klinik datang membawa kad pengenalan Mylia dan menyerahkannya kepada Mikail. Kemudian, dia terus berlalu bersama baldi yang digunakan mereka sebentar tadi.
“Terima kasih.” Balas Mikail ringkas. Berbunga-bunga sekejap hati Mikail apabila gadis tadi merujuk Mylia sebagai isterinya. ‘Indah sungguh bunyinya tu kan?’ fikir Mikail. Selang beberapa minit, ibu dan ayah Mylia keluar daripada bilik rawatan. Tetapi Mylia tidak bersama mereka.
“Mana Mylia?” soal Mikail pantas.
“Doktor masukkan air ke badannya. Mereka minta dia rehat sekejap di bilik rawatan sehingga habis air tu. Lepas tu baru mereka nak periksa semula. Kalau dia masih begitu, mereka nak hantar dia terus ke hospital.” Jawab Baharom.
“Aih, serius sangat ke keadaan Mylia kali ni?” soal Mikail risau.
“Kita tunggulah nanti lepas rawatan macam mana. Harap-harap tak melaratlah.” Jawab ayah Mylia. Mikail mengaminkan ayat Baharom sebentar tadi.
“Makcik ni belum sarapan. Kamu dah sarapan ker?” soal Hamidah kepada Mikail.
“Tak apa. pakcik dengan makcik pergi makan dulu. Biar saya tunggu di sini. Takut nanti klinik cari waris, tak ada orang pula.” balas Mikail. “Boleh ke masuk dalam tak?”
“Boleh rasanya. Sebab dia baring di bilik sebelah sana. Bukan di bilik doktor.” Jawab Baharom kepada Mikail.
“Kamu tolong tengokkan dia sekejap yer. Nanti makcik belikan kamu apa-apa.” Mikail hanya menganggukkan kepalanya.
Dia berjalan menuju ke bilik rawatan yang dimaksudkan Baharom sebentar tadi. Diketukkan sedikit pintu itu tetapi tiada jawapan. Mikail membuka sedikit pintu tersebut dan meninjau ke dalam. Kelihatan Mylia terbaring dia atas sebuah katil. Di sebelahnya terdapat sebuah kerusi kosong. Mikail masuk dan duduk di sebelah Mylia. Dia merenung ke wajah Mylia yang sedang tertidur lemah di situ.
“Macam mana kau boleh demam ni? Manja sungguh badan kau ni, Mylia. Kalau kau kahwin dengan aku, boleh lah aku layankan manja kau ni. Kalau kau dapat suami garang, aku tak taulah apa akan jadi kat engkau, Mylia. Jadi kau mesti kahwin dengan aku, tau!” kata Mikail dengan suara yang begitu perlahan.
“Ermmm…” tiba-tiba Mylia bergerak sedikit menyebabkan wayar ditangannya sedikit berselirat. Mikail menggeleng-gelengkan kepalanya sambil membetulkan wayar tersebut.
“Abang, perlu ke kita bagi tahu pada Luqman dan Ramlah?” soal Hamidah kepada suaminya.
“Tak payah lah. Mereka pun bukannya ada apa-apa ikatan lagi. Tak payah kita nak susahkan orang.” Jawab Baharom.
“Tapi kan semalam Luqman dan Mylia dah bersetuju untuk merkahwin. Itu belum dikira janji ke abang? Belum dikira terikat?” soal Hamidah lagi.
“Baru cakap mulut. Belum sahih lagi. Lainlah kalau dah bertunang.” Berat sedikit hati Baharom untuk memanggil Luqman datang ke mari. Dia belum pasti perasaan Mylia terhadap keputusan semalam. Kebetulan sangat Mylia jatuh sakit hari ini. Dia agak Mylia tidak dapat tidur nyenyak semalam disebabkan isu perkahwinannya dengan Luqman.
Mereka memesan nasi lemak dan kopi o panas untuk mereka bersarapan di situ. Mereka juga turut memesan teh ais bungkus buat Mikail.
“Abang perasan tak cara Mikail tu pandang anak kita?” soal Hamidah kepada suaminya semasa mereka sedang menjamah nasi lemak.
“Nampak juga. Dia seperti ada hati dengan anak kita tu kan?” kata Baharom mengiyakan.
“Itulah. Tapi Mylia tak pernah pula sebut nama dia pada kita.” Kata Hamidah lagi.
“Sebelum ni, diakan tunang orang. Takkan dia nak bawa balik cerita tentang lelaki lain pula. tapi sejauh mana hubungan mereka, abang pun tertanya-tanya juga.” luah hati Baharom kepada isterinya.
“Dia macam tau banyak benda pasal Mylia tu, bang. Dia pula yang duk cerita kat saya Mylia tu begitu lah, begini lah. Macam rapat sangat je diorang tu. Jangan-jangan diorang bercinta tak abang?” soal Hamidah tiba-tiba.
“Ish, takkan lah. Mylia kan baru je putus tunang berapa hari. Takkan awak nak kata yang anak kita tu pasang dua kot?” bantah Baharom kepada isterinya. Tak mungkin anaknya itu akan bersikap seperti itu.
Sedang mereka berbual-bual sambil bersarapan, telefon Hamidah berbunyi. Tertera nama Ramlah sedang berkelip di skrinnya.
“Alamak, abang. Ram telefonlah. Saya nak jawab apa kalau dia tanya?” susah hati pula Hamidah fikirkan alasan yang sesuai untuk dia berikan kepada sahabatnya itu.
“Tak ada dia nak tanya. Dia nak sembang dengan awak jer tu. Cakap je macam biasa.” Balas Baharom menenteramkan isterinya.
“Kalau dia tanya tentang urusan majlis Mylia dengan Luqman tu, macam mana pulak?” macam-macam benda bermain di dalam benak Hamidah waktu itu.
“Kenapa tanya saya pula, awak yang rancang dengan dia. Mana lah saya tau.” Sememangnya dia tidak tahu-menahu tentang aturan perancangan yang Hamidah buat bersama Ramlah itu.
“Habis, tu si Mikail tu macam mana?” timbul rasa keraguan di hati Hamidah sekarang. Mungkin kerena dia telah jatuh kasih kepada anak muda yang sangat mesra dan hormat kepadanya sebentar tadi. Yang paling penting, Mikail benar-benar mengambil berat tentang anaknya, Mylia.
“Hurm… entahlah Ida. Abang pun tak tahu nak jawab. Mylia saja yang ada jawapan untuk soalan awak tu.” Jawab Baharom sambil meneguk sisa kopi o di dalam cawannya sehingga habis.
Sedang asyik mereka berbahas, panggilan tersebut pun terhenti. Hamidah mengurut dadanya seketika. Dia masih belum bersedia untuk berbincang apa-apa dengan Ramlah. Dia harus mendapat kata putus daripada anaknya terlebih dahulu. Selepas kejadian hari ini, tiba-tiba dia berasa sedikit runsing untuk meneruskan perancanganannya. Namun, janji yang telah termetrai antara mereka berdua tidak boleh dipandang enteng.
“Jomlah kita pergi semula ke klinik. Dah lama kita di sini. Makanan untuk Mikail dah ambil?” soal Baharom kepada isterinya. Hamidah hanyak mengangkat tangannya menunjukkan bungkusan teh ais dan satu pek bihun goreng.
Setelah membayar, mereka berjalan beriringan ke klinik. Sesampainya mereka di klinik, Mikail tidak kelihatan di ruang menunggu. Terus sahaja mereka menuju ke bilik rawatan di mana Mylia ditempatkan. Baharom menolfak pintu tersebut perlahan-lahan. Sebaik sahaja pintu dikuak, dia dapat melihat Mikail yang sedang duduk rapat di katil Mylia. Mylia juga sudah sedikit bermaya berbanding awal tadi.
“Nak minum lagi ker?” Baharom terdengar suara Mikail bercakap dengan Mylia. Dia masih belum menyedari kehadiran kedua ornag tua Mylia di belakangnya.
“Tak nak dah.” Jawab Mylia lemah. Mylia dalam keadaan mengiring ke arah Mikail. Wajahnya dirapatkan sedikit ke arah Mikail. Mereka tidak bersentuhan, tetapi jelas benar bahasa tubuh mereka berdua yang saling tertarik antara satu sama lain. Baharom hanya memandang kepada Hamidah dengan pandangan yang penuh bermakna. Hamidah faham akan maksud pandangan suaminya itu. Dia juga dapat melihat betapa akrabnya Mylia dan Mikail.
“Kau dah okay dah? Badan masih panas lagi tak?” soal Mikail lagi.
“Dah kurang dah sikit.” Jawab Mylia dengan suara yang masih lemah.
“Kenapa kau tak tidur semalam? Kau fikir apa? Kau rindu aku eh?” soal Mikail sambal tertawa kecil.
“Mana ada. Perasan lah kau ni.” Jawab Mylia sedikit manja. Saat itu, Baharom terus datang merapat kepada mereka berdua. Dia menepuk perlahan bahu Mikail membuatkan anak muda itu sedikit terkejut. Mukanya sedikit membahang apabila menyedari yang kebarangkalian bicaranya dengan Mylia tadi didengari oleh mereka agak tinggi.
“Pakcik, makcik.” Segera Mikail bangun dari kerusi dan menapak sedikit kebelakang memberi laluan kepada mereka untuk melihat Mylia.
“Ini makcik ada bungkuskan sedikit makanan. Kamu makan dulu yer.” Kata Hamidah sambal menghulurkan bungkusan kepada Mikail. Mikail menyambut bungkusan itu tetapi tidak terus membukanya. Tiada ruang yang sesuai untuk dia makan di situ.
“Mylia dah okay ker ni?” soal Hamidah kepada Mylia.
“Okay sikit dah umi.” Jawab Mylia. “Maaf buat umi dan abi susah pagi ni.” Kata Mylia lagi.
“Tak ada lah susah pun. Mikail yang banyak uruskan. Kami ikut dia je ni.” Kata Hamidah kepada anaknya. Tiba-tiba, Doktor Kushmita masuk ke bilik tersebut.
“Puan Mylia… you dah sedar ker? Rasa macam mana sekarang?” soal Dr Kushmita kepada Mylia.
“Dah okay sikit dah doktor. By the way, saya masih lagi ‘Miss’.” Jawab Mylia dengan sedikit tersenyum.
“Oh sorry. I ingat dia suami you. Tunang you ker?” tanya doktor muda itu lagi sambil tangannya lincah memeriksa nadi dan suhu badan Mylia. Mylia menggeleng kecil menjawab soalan doktor itu tadi. “Ooopss… sorry. Anyway, suhu badan you dah turun sikit. I bagi you MC 2 hari, you rehat cukup-cukup kat rumah yer. Make sure tidur cukup, makan pun cukup. I bagi you basic medicine je untuk demam you. Kalau after 3 days, demam you tak surut, you datang balik. By then maybe kita start on antibiotik kalau perlu. Okay?” kata Dr Kushmita panjang lebar.
“Terima kasih doktor.” Ucap Mylia dan Hamidah serentak.
“Sama-sama. Biar saya cabut dulu jarum ni. Sekejap lagi, you just tunggu kat luar untuk ambil ubat dan slip MC, okay.” Kata Dr Kushmita lagi kepada mereka. Cermat dan cekap kerja buat doktor itu mencabut jarum di tangan Mylia. Mylia memejamkan matanya. Bukan kerana sakit, mungkin kerana sedikit ngilu dan sedikit takut.
Selesai mengambil ubat di kaunter, Mikail menghantar mereka semua pulang. Oleh kerana Mylia sudah sedar sepenuhnya, Mylia duduk di kerusi melakang bersama-sama uminya. Manakala Baharom duduk di kerusi penumpang sebelah Mikail. Sambil-sambil itu, Baharom mengambil kesempatan itu untuk mengenali serba-sedikit latar belakang Mikail.
Lebih kurang jam 11 lebih, baru mereka tiba di rumah keluarga Mylia.
“Mikail, mari masuk ke rumah dulu. Kamu belum makan lagi.” Kata Hamidah kepada Mikail separuh pelawa separuh mengarah. Mikail mengambil bungkusan makanan yang dibeli oleh Hamidah untuknya sebentar tadi dan melangkah masuk menuruti mereka.
Mylia terus duduk tersandar di sofa ruang tamunya. Mikail juga turut duduk di situ. Dia memilih kerusi bersebelahan dengan Mylia. Baharom pula duduk bertentangan dengan Mikail. Manakala Hamidah terus sahaja ke dapur dan mengalihkan air dan bihun yang dibeli tadi ke dalam pinggan dan gelas. Kemudian, dia keluar membawa makanan tersebut kepada Mikail.
“Makan dulu, Mika. Masuk angin perut kamu nanti.” Kata Hamidah kepada Mikail sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Mylia.
“Baik makcik. Terima kasih banyak. Buat susah-susah saja.” Kata Mikail dengan hormat. Dia segera menceduk sesuap bihun goreng itu dan dimasukkan ke dalam mulutnya. Sememangnya dia agak lapar waktu itu. Tiba-tiba dia teringatkan Mylia yang juga belum lagi makan.
“Mylia, kau pun belum makan kan? Nah, makan bihun ni sedikit.” Mikail tanpa segan silu menghulurkan pinggannya kepada Mylia. Mungkin kerana sudah terlalu biasa, dia lupa di mana dia berada dan dengan siapa dia berdepan. Mylia juga barangkali tidak menyedarinya, menyambut pinggan Mikail dan menceduk sedikit bihun itu dan memasukkan ke mulutnya. Ya, dia menggunakan garpu yang sama yang digunakan Mikail sebentar tadi. Kemudian, dia menyerahkan kembali pinggan tersebut kepada Mikail.
Baharom dan Hamidah saling berpandangan. Kali ini mereka semakin hairan dan tertanya-tanya. Hamidah sudah tidak mampu lagi menahan dirinya daripada bertanya.
“Kamu berdua ni ada hubungan istimewa ker?” jelas dan terang soalannya. Dia tidak mahu berteka-teki lagi. Perancangannya bersama sahabat baiknya Ramlah sudah hampir terlaksana. Mikail sedikit tersedak dengan soalan Hamidah itu. Baharom hanya berdiam diri. Dia juga ingin mengetahui hal yang sebenarnya.
“Apa umi tanya macam tu? Kami officemate je lah umi. Jangan fikir macam-macam lah.” Kata Mylia membidas soalan Hamidah.
“Umi tengok kamu berdua ni rapat lain macam je.” Sambung Hamidah lagi. Kemudian, Hamidah memandang tepat kepada Mikail dan menuntut jawapan terus daripada jejaka itu. “Mika, kamu suka pada Mylia ke?”
Mikail sedikit gelabah. Apa yang harus dia jawab. Mahu saja dia berterus-terang tetapi dia bimbang Mylia akan memarahinya. Kalau boleh, bairlah mereka berbincang sesama mereka dahulu sebelum menyuarakannya kepada ibu bapa Mylia.
“Tak ada lah, makcik. Mungkin sebab kami dah kerja sekali dah lama agaknya. Jadi kami agak rapat. Bila selalu outstation sama-sama, kami jadi lebih mesra.” Jawab Mikail berselindung.
“Kalau betul macam tu, baguslah.” Hamidah memandang kepada suaminya sebulum dia berkata lagi, “Mylia akan berkahwin tidak lama lagi. Makcik tak nak ada sebarang masalah di kemudian hari. Perkahwinan ni dah dipersetujui oleh Mylia dan bakal suaminya.”
Mikail yang sedang tunduk menjamah bihunnya amat terkejut dengan berita yang baru sahaja menusuk ke gegendang telinganya. Dia cuba berlagak biasa. Dia terus menatap bihun ditangannya. Tidak berani mengangkat pandangan matanya ke arah kedua orang tua Mylia.
“Bila majlis tu, makcik? Senyap-senyap saja Mylia. Langsung tak bagi tau kitorang kat office.” Mikail berkata juga akhirnya walaupun terasa perit benar anak tekaknya waktu itu. Dia menjeling sebentar ke wajah Mylia. Dia dapat melihat dengan jelas keruhan air muka Mylia. Kemudian dia memandang wajah Hamidah sambil cuba melemparkan segaris senyuman walaupun kelat.
“Belum ada tarikhnya lagi. Baru semalam dia dan bakal suaminya bersetuju. Sepatutnya hari ni barulah makcik akan bincangkan Tarikh-tarikh yang sesuai.” Jawab Hamidah. Dia mahu anak muda itu jelas bahawa mereka sudah ada perancangan untuk masa depan Mylia. Apabila jawapan Mikail sebentar tadi menafikan semua anggapan Hamidah sebelum ini, Hamidah amat berharap yang lelaki itu akan berpegang pada kata-katanya sebentar tadi.
Sementara itu, Mikail pula lebih memikirkan Mylia. Sekarang fahamlah dia kenapa gadis itu tidak dapat tidur semalaman sehingga kesihatannya terjejas teruk hari ini. Tetapi, disebabkan jawapan yang diberikannya sebentar tadi menafikan perasaannya yang sebenar kepada Mylia, dia terpaksa akur terima dan berdiam diri.
“Oh, macam tu. Biar aku jadi orang pertama yang wish kat kau yer. Tahniah, Mylia.” Kata Mikail sambil sedikit tersenyum. Matanya memandang tepat ke arah gadis itu.
Mylia seakan terpukul dengan ucapan Mikail. Dia rasa agak pahit untuk dia terima ucapan tersebut daripada Mikail. Entah kenapa dia rasa tidak senang dengan ucapan Mikail. Dia bagaikan tidak mahu menerima ucapan itu. Dia tidak senang dengan penerimaan Mikail. Dia tidak suka melihat senyuman Mikail yang seperti merelakan perkahwinannya itu berlangsung.
Mikail melihat pandangan tajam daripada Mylia kepadanya.
‘Engkau marahkan aku ke, Mylia?’ Mikail bingung.
Share this novel