“Apa awak tanya saya?” Mylia kembali terduduk di kerusinya. Sakit hati pula dengan soalan Luqman itu. Bagaikan dia pula yang terhegeh-hegeh mahukan Luqman.
“Kenapa awak nak kahwin dengan saya?” soal Luqman kembali. Dingin sungguh nada suaranya.
“Bukan saya yang nak sangat kahwin dengan awak yer. Mak-mak kita yang punya rancangan. Mana lah saya tahu.” Mylia memeluk tubuhnya. Sakit hati dengan soalan itu. Dia juga mangsa dalam cerita mereka sekarang.
“Kenapa awak setuju? Awak tak ada boyfriend ke? Muka cantik tapi tak laku?” Luqman bertanya lagi. Mylia mengetap bibirnya. Mindanya terus terkenangkan Sufian. Kemudian kata-kata ibunya bergema dalam kepala.
“Bujang pun kalau tak ada tanggungjawab, nak buat apa?”
“Apa awak cakap?” Soal Luqman. Mylia terperanjat. Tak disangka ayat-ayat itu keluar dari mulutnya.
“Nothing!” jawab Mylia pantas.
“Saya ni malas nak gaduh dengan umi. Kalau awak tak setuju dengan perancangan diorang, awak sajalah yang bangkang. Saya penatlah.” Kata Mylia kepada Luqman. Matanya langsung tidak memandang ke arah Luqman.
Waktu itu Luqman sedar, Mylia juga tiada perasaan padanya sama sepertinya. Jadi mungkin perkahwinan ini boleh dibuat. Dia tidak akan terikat dengan Mylia secara emosi. Hanya jasad mereka sahaja yang akan disatukan. Jadi Luqman dapat memeliharan kesucian cintanya terhadap arwah isterinya itu.
“Baiklah. Kalau awak tak nak membangkang, kita nikah sahaja. Saya akan bagi tau mak saya untuk masuk meminang awak dengan cara yang baik. Awak masih bujang. Pasti mak awak nak buat majlis yang sempurna. Tapi untuk sebelah saya, takkan ada sebarang majlis. Awak setuju?” soal Luqman kepada Mylia.
Mylia terkejut dengan perancangan tiba-tiba oleh Luqman. Dia ternganga memandang Luqman. Matanya langsung tak berkedip.
“I take it as a yes.” Sambung Luqman dan terus bangun daripada kerusi tersebut dan masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, terdengar suara Hamidah memanggil Mylia untuk menghantar tetamu mereka pulang.
“Mylia, makcik Ramlah nak balik dah ni. Datang salam cepat.” Kata ibunya separuh menjerit. Mylia bangun dan berjalan menuju ke pintu. Kepalanya masih lagi belum habis memproses maklumat yang baru sahaja masuk ke dalam otaknya sebentar tadi. ‘Semudah itu sajakah?’ soal Mylia di benaknya.
“Makcik balik dulu, ya. Jumpa lagi nanti. Jaga diri baik-baik.” Pesan Ramlah kepada Mylia.
“Bye, aunty.” Julia menghulurkan tangannya kepada Mylia dan mencium tangan Mylia. “Bye, opah.” Dia melakukan hal yang sama kepada Hamidah. Kemudian, Jasmin pula menurut tingkah-laku kakaknya sebentar tadi.
“Bawa kereta elok-elok.” Pesan Baharom pula kepada Luqman. Luqman menyalami ayah Mylia sambil mencium tangannya. Mereka semua bergerak serentak menuju ke kereta. Setelah kereta Luqman hilang dari pandangan, barulah mereka semua bergerak masuk ke dalam rumah.
Mylia sudah mula mengorak langkah menuju ke biliknya, tetapi terhalang dengan panggilan daripada ibunya.
“Mylia, kamu bualkan apa tadi kat luar?” Hamidah sememangnya sudah tidak sabar untuk mengetahui keseluruhan cerita.
“Nanti dia hantar rombongan merisik. Majlis akan dibuat sempurna sebelah kita, tetapi tak ada apa-apa lagi sebelah dia.” Mylia mengulang siaran kepada Hamidah. Sama seperti yang apa yang Luqman katakan sebentar tadi.
“Wah, jadi kamu setuju lah ya?” belum sempat dia bertanya, Mylia sudah hilang di sebalik tangga. Hamidah berpusing kepada suaminya. “Ya Allah, abang… syukurnya saya… akhirnya plan kami berjaya.” Hamidah berkata dengan wajah yang begitu bercahaya.
Tetapi tidak bagi Baharom. Terdetik rasa kurang senang daripada kata-kata Mylia sebentar tadi. Lain benar dia dengan nada suara anaknya itu. Dia tidak pasti apa, tetapi Mylia tidak kelihatan gembira.
“Apa yang kamu bincangkan dengan Mylia tadi?” Ramlah juga sama seperti Hamidah. Tidak sabar untuk mendengar berita gembira.
“Mak bolehlah teruskan dengan rancangan mak tu. Kami dah setuju.” Jawab Luqman ringkas. Tiada apa-apa perubahan pada air muka Luqman. Hanya wajah dingin yang biasa dia tayangkan setiap hari. Tetapi Ramlah tak kisah. Dia berharap, kehadiran Mylia mampu menceriakan semula anaknya itu nanti.
“Alhamdulillah. Senang hati mak dengar. Julia, Jasmin, nanti Julia dan Jasmin akan dapat umi baru…” kata Ramlah kepada cucu-cucunya yang berada di kerusi belakang.
“Umi baru?” mereka berdua bertanya serentak.
“Bukan umi. Umi kamu takkan boleh diganti. Kamu akan dapat ibu baru.” Kata Luqman dengan tegas dan keras. Tersentak sedikit Ramlah dengan nada suara Luqman.
“Dapat ibu baru? Siapa tu nenek?” soal Julia kepada neneknya.
“Aunty kat rumah tadi tu. Cantik tak aunty tu?” soal Ramlah lagi. Cuba menepis rasa kurnag enak yang disebabkan oleh Luqman sebentar tadi.
“Cantik!” kata mereka berdua serentak.
“Lepas ni, kalau Julia dan Jasmin berjumpa lagi dengan dia, Julia dan Jasmin panggil dia ibu tau.” Pesan Ramlah.
“Okay nenek.” Jawab mereka lagi. Kemudian terdengar suara-suara kecil berbual sesama mereka di belakang. Entah apa yang digossipkan oleh mereka.
Mylia masuk ke biliknya dan menutup pintu dengan rapat. Direntap tudung yang tersarung di kepalanya dengan kuat. Dia masih belum boleh terima dengan keputusan yang telah dibuat bagi pihak dirinya. Dia sendiri tak faham kenapa dia boleh turutkan sahaja.
“Kenapa aku tak bangkang? Kenapa aku mesti menurut?” kata Mylia kepada dirinya. Dia mencampakkan tudungnya ke atas meja solek dan terus menghempaskan badannya ke katil.
“Apa alasan aku nak berikan kepada umi dan abi? Aku tak cintakan lelaki tu. Macam mana aku nak buat ni?” Mylia semakin resah. Jauh di dasar hatinya, dia tahu keputusan ini salah. Tetapi atas alasan apa dia mahu menolak?
Mylia bangun dan terus menuju ke bilik air. Segera dia membersihkan diri dan berwuduk. Kemudian dia menunaikan fardhu Isyak. Usai solatnya, dia mencapai pula naskah Al-Quran. Dia mahu mencari ketenangan sebentar. Terlupa sekejap hal-hal dunia apabila dia tenggelam di dalam baris-baris ayat Al-Quran. Dia membaca perlahan-lahan dengan penuh tertib. Dia mahu benar-benar menghayati setiap bacaannya.
Selesai membaca empat mukasurat, Mylia terus berbaring dan bersedia untuk tidur. Sebelum dia benar-benar terlena, ada satu suara yang datang berbisik ditelinganya.
“Luqman bukan pilihan aku. Boleh jadi Luqman adalah anugerah daripada Allah melalui umi. Semoga ada keberkatan dalam perhubungan ini.” Dan akhirnya Mylia tertidur.
Selesai menutup kedainya, Luqman segera bergerak pulang ke rumah. Jam sudah pun menghampiri 12 tengah malam. Di dalam kepalanya tak habis-habis dia mengucapkan maaf kepada Aisyah kerana terpaksa berkahwin lagi.
Dia sudah penat melayan permintaan ibunya untuk berkahwin lagi. Jika dia menolak sekarang, esok lusa akan datang wajah baru pula yang akan disogok oleh Ramlah kepadanya. Sekurang-kurangnya dia tahu yang Mylia juga tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya.
“Abang minta maaf sayang. Bukan bermaksud abang mahu menduakan sayang. Seumur hidup abang, abang tak pernah menduakan sayang. Sayang wanita pertama yang abang sayang, dan sayang juga akan sentiasa menjadi wanita terakhir di hati abang.”
Malam itu, Luqman tertidur bersama gambar Aisyah di dalam pelukan.
“Assalamualaikum, isteri kesayangan abang… selamat pagi…” ucap Luqman sebaik sahaja dia berdiri bersebelahan kubur Aisyah keesokkan paginya. Dia menghamparkan tikar kecilnya dan duduk bersila di situ. Dia mengeluarkan naskah Yaasin dan memulakan bacaan. Seperti biasa, Luqman mula berbual-bual dengan Aisyah sebaik sahaja bacaannya tamat.
“Aisyah, abang ada berita sedih sedikit. Tapi Aisyah jangan bimbang, abang dah fikirkan penyelesaiannya.” Kata Luqman sambil mengusap-usap batu nisan Aisyah.
“Abang terpaksa akur dengan permintaan mak kali ini. Kalau abang tak terima kali ini, esok lusa dia bawa gambar orang lain pula. Abang dah naik rimas dah dengan permintaan mak ni.” Luqman menarik nafas dalam-dalam.
“Budak tu nama dia Mylia. 27 tahun sayang. 10 tahun beza umur dengan kita. Abang yakin dia juga langsung tak ada minat kat abang. Sebab tu abang sanggup terima dia semalam. Jadi dia tak akan mengganggu cinta kita sampai bila-bila. Abang takkan mungkin dapat mencintai orang lain selain Aisyah, sayang. Takkan mungkin.”
Mylia sampai lewat ke pejabatnya pagi itu. Dia hilang semangat untuk apa sahaja. Dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Mikail yang berdiri di sebelahnya sedari awal pagi mereka menunggu lif pun langsung tidak disedarinya.
‘Masih bersedih sebab putus tunang ke dia ni? Langsung tak perasan aku kat sebelah ni.’ fikir Mikail. Sepanjang waktu itu juga, Mikail mengambil kesempatan untuk merenung sedalam-dalamnya wajah Mylia. Setiap inci lekuk wajah Mylia cuba dihafalnya. Tetapi kekeruhan wajah gadis itu sedikit sebanyak membuatkan hati Mikail menjadi gusar.
Mylia bagaikan langsung tidak sedar dengan dunia realiti. Semasa pintu lif terbuka di lantai mereka, Mylia langsung tidak bergerak. Mikail terpaksa menggunakan begnya untuk menolak badan Mylia bergerak keluar daripada lif tersebut. Sampai sahaja di pintu pejabatnya, Mikail sudah tidak mampu menahan diri daripada bertanya.
“Mylia! Oi, Mylia!” Mikail sedikit menjerit.
“Ah, ya. Ada apa Mika?” soal Mylia apabila dia melihat Mikail berdiri dihadapannya.
“Kau okay tak ni? Sihat ke tak?” soal Mikail kepada Mylia. Risau benar dia dengan keadaan semasa Mylia.
“Aku okay.” Jawab Mylia ringkas.
“Kau sedar tak kau ada kat mana ni? Oi, Mylia. Apahal ni?” Mikail menepuk tangannya beberapa kali di hadapan muka Mylia.
“Aku kat office lah, kan?” Mylia memandang sekeliling. “Kita dah sampai level kita ke belum ni?” soal Mylia kembali. Dia berasa sedikit pening.
“Jom aku bawa kau pergi klinik. Lain macam dah aku tengok kau ni. Atau kau nak balik rehat kat rumah saja?”
“Ah? Ikut suka kau lah.” Kata Mylia. Dia langsung hilang fokus.
“Dah jom aku hantar kau balik. Pelik sangat aku tengok kau hari ni. Semalam kau tidur ke tidak?” Mikail menarik tangan Mylia untuk menurutinya. Dia bimbang wanita itu hilang pula. Setelah sampai ke keretanya, dia menelefon Risya.
“Hello, Mika.” Jawab Risya.
“Hello, Risya. Kau tolong cari alamat rumah Mylia. Aku nak hantar dia balik rumah. Lain macam aku tengok dia ni pagi ni. Cepat sikit ya. Kalau ada orang tanya, bagi tau aku masuk lambat sikit tetapi Mylia cuti.” Jelas Mikail serba ringkas.
“Owh, okay. Kenapa pula dengan Mylia?” Risya pula yang hairan dengan adegan pagi-pagi buta itu.
“Nantilah aku carita. Kau cari alamat rumah Mylia cepat. Karang aku bawa balik rumah aku je karang.” Seloroh Mikail dan terus mematikan telefon.
Mujurlah mereka daripada unit Sumber Manusia. Mereka yang menyimpan dan menguruskan semua maklumat tentang kakitangan syarikat itu. Terus sahaja Risya menghantar alamat yang dipinta ke mesej Mikail. Lebih kurang 20 minit kemudian, Mikail sudah terpacak di hadapan pagar rumah Mylia.
“Assalamualaikum, pakcik.” Sapa Mikail apabila Baharom keluar menyambutnya setelah mendengar bunyi loceng rumah. Mikail menghulur tangan kepada Baharom dengan hormat.
‘Waalaikummussalam…” jawab Baharom ringkas.
“Ini rumah Mylia ke?” soal Mikail lagi.
“Ya, betul. Ada apa ya?” hairan pula Baharom apabila ada orang datang bertandang ke rumahnya seawal pagi ini.
“Begini pakcik. Saya Mikail, rakan sepejabat Mylia.” Kata Mikail sambil memegang lengan Baharom dan dibawanya merapati kereta.
“Saya tengok Mylia macam tak sihat sangat. Jadi saya bawa dia balik. Risau pula saya kalau dia terus berada di pejabat.” Baharom terkejut melihat anaknya yang tertidur di kerusi penumpang itu. Dia pantas membuka pintu kereta Mikail.
“Panas badan budak ni.” kata Baharom kepada Mikail. “Ida! Ida!” panggil Baharom kepada isterinya. Hamidah keluar daripada rumah dan merapati mereka.
“Makcik.” Sapa Mikail dengan sopan.
“Siapa pulak ni?” soal Hamidah.
“Kawan Mylia. Ni, kamu tengok ni. Demam budak ni.” Hamidah menerpa ke arah anaknya dan menekup tangannya ke dahi Mylia. Memang panas.
“Jom bawa dia ke klinik sekarang.” kata Baharom lagi.
“Kita pergi dengan kereta saya sajalah, pakcik makcik. Dia pun dah kat dalam tu.” Kata Mikail memberi cadangan.
“Kamu tak kerja kah?” soal Baharom lagi. Risau pula mengganggu kerja Mikail.
“Saya dah maklumkan pada rakan sekerja tadi saya masuk lewat hari ni. Jom kita pergi sekarang.” Kata Mikail lagi.
“Biar makcik pergi ambil beg tangan.” Kata Hamidah terkocoh-kocoh masuk ke dalam rumah.
“Kamu baringkan sedikit kerusi tu. Biar pakcik dengan makcik duduk di belakang saja.” Kata Baharom. Mikail menurutkan saja permintaan Baharom. Sebaik sahaja Hamidah selesai mengunci pintu rumah, mereka bergegas pergi ke klinik.
Setibanya di klinik, Hamidah cuba mengejutkan anaknya.
“Mylia, bangun nak… Mylia. Sejak bila kamu demam teruk macam ni?” Mylia membuka sedikit matanya. Tetapi kepalanya terasa begitu berat sekali.
“Kita papahlah dia masuk ke dalam.” Kata Mikail. Dia pantas membuka pintu Mylia dan memberi ruang kepada ibu bapanya menguruskan Mylia. Tetapi kerana Mylia dalam keadaan separuh sedar, tubuhnya menjadi terlalu berat untuk Hamidah.
“Maaf ya nak, kamu boleh tolong papah Mylia?” Soal Hamidah. Pantas sahaja Mikail mengangguk dan mengangkat Mylia untuk berdiri. Dia memapah Mylia di sebelah kiri, dan Baharom pula di sebelah kanan. Mikail menutup pintu kereta dan menekan butang kunci di alat kawalan.
Sebaik sahaja mereka mahu bergerak menuju ke pintu klinik, Mylia menundukkan badannya ke depan dan memuntahkan seluruh isi perutnya di situ juga. Mikail mengurut-urut tengkuk Mylia perlahan-lahan.
Selepas sudah habis semua isi perutnya, Mylia menyandarkan sepenuh berat badannya kepada Baharom membuatkan lelaki itu sedikit hilang keseimbangan. Segera Mikail menarik tubuh Mylia untuk mengelak daripada ayah Mylia pula yang jatuh.
“Saya angkat saja dia, boleh?”
Share this novel