~ 46 ~

Romance Completed 13901

“Abang…” panggil Mylia lembut setelah dia mengetuk pintu bilik Lyana yang menjadi tempat tidur Luqman seperti perjanjian mereka sebelum ini. Pintu dibuka perlahan dari dalam setelah beberapa ketika.

“Boleh kita sembang sekejap?” soal Mylia lagi perlahan. Luqman mengangguk kecil. Mylia masuk dan memilih untuk duduk di kerusi yang terletak di tepi tingkap.

“Nak bincang apa?” soal Luqman perlahan. Dia sudah mula gemuruh dengan apa yang bakal diutarakan oleh Mylia. Sejak adik-adiknya pulang ke rumah masing-masing, Luqman sedaya upaya mengelak untuk berbual panjang dengan Mylia. Dia risau jika Mylia mula bertanya tentang perancangannya di taman tempoh hari. Dia belum bersedia untuk mengadap kemungkinan Mylia minta dilepaskan.

Mylia menghulurkan sehelai kertas putih yang terlipat dua kepada Luqman. Luqman memandang Mylia meminta penjelasan. Dia teramat gementar untuk membaca isi kertas itu.

“Bacalah dulu.” Usul Mylia.

Luqman membuka lipatan kertas itu perlahan-lahan. Perkara pertama yang dilihat adalah kepala surat. Betapa lega hati Luqman apabila melihat kepala surat itu bukan daripada pejabat agama ataupun mana-mana pejabat guaman. Dia cukup bimbang. Luqman mengambil masa agak lama untuk menghadap isi memo berkenaan.

“Lama betul. Jauh pulak tu. Pergi dengan siapa?” soal Luqman.

“Pergi seorang.” Jawab Mylia ringkas.

“Tiket semua dah beli?” soal Luqman lagi.

“Dah beli tadi. Kerani yang buatkan guna akaun syarikat.” Terang Mylia lagi.

“Lama betul kursus ni. Direct dua minggu atau ada break?” Luqman cuba memahami budaya kerja isterinya.

“Weekend break je la. Tapi kalau nak balik takut tak sempat. Mahal la jugak kan. Jumaat tu habis malam. Isnin pula awal pagi dah mula.” Luqman mengangguk-angguk perlahan. Tiada apa yang boleh dia cadangkan, apatah lagi untuk menghalang.

“Tak apalah. Dah nama pun kerja.” Ucap Luqman. Mylia hanya mengangguk-angguk. “Makin rindulah abang nanti.” Sambungnya lagi. Mylia masih tertunduk. Dia tidak berani mengangkat pandangannya.

‘Kalaulah rindu abang tu eksklusif untuk saya seorang kan best.’ Fikir Mylia. Dia bukanlah seorang yang tamak, tetapi dia juga tak mampu nak bersaing berterusan dengan arwah isteri kesayangan Luqman. Kalau dah waktu intim mereka juga nama itu masih disebut-sebut, wanita mana yang sanggup?

Mylia mula berfikir-fikir untuk beredar dari bilik itu. Yang penting dia sudah memaklumkan kepada Luqman tentang kursus yang dia perlu hadiri esok. Baru sahaja dia bangun tegak berdiri, Luqman terus menarik dan memeluk Mylia dengan erat.

“Tidur dengan abang malam ni, boleh?” pinta Luqman. Sayu sungguh suara Luqman. Begitu erat rangkulan tangan Luqman melingkari badan Mylia. Terkedu sekejap wanita itu.

“Abang janji nak bagi saya masa.” Mylia cuba mengelak. Bukan niat dia untuk menderhaka, tetapi dia masih belum bersedia untuk mendengar ungkapan rindu dendam Luqman terhadap Aisyah dalam tidurnya lagi buat masa sekarang. Semakin erat pelukan Luqman. Dia masih belum mahu melepaskan Mylia. Dia sendiri buntu bagaimana lagi dia harus lakukan untuk memujuk Mylia dan meyakinkan Mylia.

“Merajuk betul Mylia dengan abang, ya.” ujarnya. “Esok flight Mylia jam berapa?”

“Jam 9 pagi. Jam 7 dah kena ada di sana.” Jawab Mylia. Dia masih lagi berdiri kaku membiarkan Luqman memeluknya. Tetapi Mylia langsung tidak membalas pelukan Luqman.

“Kalut jugak tu. Nanti lewat Julia dan Jasmin ke sekolah.” Kata Luqman cuba mengatur perjalanan esok pagi.

“Tak pa. Saya naik teksi saja.” Jawab Mylia cuba memberikan jalan penyelesaian.

“Tak nak abang hantarkan ker?” soal Luqman sambil memandang tepat ke wajah Mylia.

“Bukan macam tu. Saya tak nak susahkan abang.” Balas Mylia cepat-cepat sebelum Luqman mencapah fikirannya lebih jauh.

“Sayang…” Luqman menarik Mylia agar kembali duduk di atas katil sebelahnya. “Susah sangat yer sayang nak percaya yang abang memang dah sayangkan sayang?” soalnya sambil memandang tepat ke mata Mylia. Mylia hanya tertunduk.

“Abang, boleh tak kita bincang tajuk ni selepas saya balik dari Sabah? Saya nak pergi jauh. Kalau boleh saya nak ke sana dengan tenang.” Pinta Mylia separuh merayu. Luqman mengalah.

“Esok pagi abang hantar. Jam 6 kita bertolak.” Luqman memberi kata putus.

“Tapi…” Mylia cuba memberi alas an.

“Tak payah tapi tapi… sekarang pergi lah rehat. Esok nak bangun awal.” Kata Luqman tanpa memandang Mylia. Muncul rasa bersalah di hati Mylia.

“Saya minta maaf ya.” ucap Mylia. Luqman hanya mengangguk kecil sambil tertunduk rapat ke lantai. Melihat reaksi Luqman sebegitu, Mylia bangun dan beredar dari bilik itu. Entah mengapa air matanya mula bergenang.

‘Ego sangat kah aku? Berdosa tak apa yang aku buat ni? Ya Allah.’ Fikir Mylia sambil melangkah perlahan-lahan mendaki ke tingkat atas. Sukar sungguh untuk mereka melelapkan mata malam itu.

Keesokkan paginya, Mylia menjengah ke bilik Ramlah terlebih dahulu sebelum bertolak. Kebiasaannya Ramlah memang akan bangun awal untuk Tahajjud.

“Assalamualaikum, mak.” Perlahan sahaja suara Mylia selepas dia mengetuk pintu mentuanya. Perlahan-lahan pintu itu dibuka. Seperti yang dijangka, Ramlah sedang bertafakur di atas sejadah dengan Al-Quran di hadapannya.

“Ya Mylia. Eh, awal bersiap hari ni. Kamu nak ke mana?” soal Ramlah terkejut melihat Mylia yang sudah siap bertudung seawal jam 6 pagi.

“Mak, Mylia kena ke Sabah pagi ni. Ada kursus selama 2 minggu.” Jawab Mylia sambil masuk ke bilik Ramlah dan duduk di sebelah mentuanya.

“Jauhnya! Tiba-tiba pula. Luqman ikut?” soal Ramlah lagi.

“Tak mak. Abang hantar saya ke airport saja. Sekejap lagi dia balik jemput anak-anak ke sekolah yer mak.” Jawab Mylia.

“Jauhnya kamu nak pergi sorang-sorang. Ke ada kawan-kawan kerja yang pergi sekali?” bimbang sungguh Ramlah nak lepaskan menantunya ke Sabah sendirian.

“Tak ada mak. Saya seorang saja yang pergi. Tak apa. Mak jangan bimbang ya. Dalam Malaysia saja.” Mylia cuba melemparkan senyuman keyakinan buat Ramlah.

“Hurm… tak apa lah. Nak buat macam mana dah kerja. Hati-hati kat sana. Dah sampai nanti, telefon mak.” Pesan Ramlah.

Terus sahaja Mylia menghulurkan salam kepada Ramlah. Diciumnya tangan dan kedua-dua belah pipi mentuanya sebelum bangun dan beredar.

Lebih kurang jam 7.10 pagi mereka tiba di KLIA 2. Luqman terus sahaja masuk ke kawasan parkir. Mereka berjalan beriringan hingga ke kaunter daftar masuk. Sepanjang perjalanan mereka dari rumah sehinggalah sekarang ini, tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut mereka berdua.

Selesai mendaftar masuk dan mendaftar bagasi, Mylia kembali mendapatkan Luqman yang sedang berdiri di hadapan papan pengumuman segala keluar masuk penerbangan di lapangan terbang itu. Mengikut jadual yang tertera, pesawat yang akan dinaiki Mylia akan bertolak seperti yang ditetapkan.

“Abang, sayang masuk ke dalam dulu ya. Abang nak balik jemput anak-anak ke sekolah kan?” ucap Mylia memecah kebisuan antara mereka. Luqman menarik nafas dalam-dalam.

“Okay.” Luqman memandang Mylia. “Jaga diri baik-baik kat sana nanti.”

“Baik, abang.” Mylia menghulurkan salamnya kepada Luqman. Kemas sungguh genggaman tangan Luqman. Sebaik sahaja Mylia mengangkat kepalanya, Luqman segera menarik kepala Mylia dengan lembut dan dicium ubun-ubun isterinya dengan penuh perasaan. Sedih sungguh hati Luqman pagi itu. Bergenang juga air mata kedua-duanya saat itu.

“Nanti dah sampai, call abang. Jangan lupa.” Pesannya lagi. Mylia hanya mengangguk. Sebaik sahaja tangan dilepaskan, Mylia terus melangkah menuju ke balai berlepas. Luqman kekal berdiri di situ memandang Mylia yang sedang berjalan masuk. Dia tunggu di situ sehingga hilang Mylia di pandangan matanya barulah dia pula bergerak menuju ke kereta.

“Abi! Abi pergi mana? Mana ibu?” Julia datang menerpa ke arah Luqman sebaik sahaja dia melangkah masuk ke rumah.

“Ibu kerja jauh. Dah siap nak ke sekolah dah?” jawab Luqman kepada anak sulungnya.

“Dah. Adik pun dah siap. Bila ibu balik, abi?” soal Julia lagi.

“Lagi 2 minggu.” Jawab Luqman bersahaja. Dia cuba untuk menunjukkan reaksi tenang di hadapan anak-anaknya.

“2 minggu? 14 hari? Lamanya ibu pergi kerja jauh? Kita tak boleh ikut ker?” soal Julia lagi bertalu-talu.

“Jasmin nak ikut!” mendengar perkataan ‘ikut’, laju saja Jasmin mencelah. Dia juga tidak mahu tertinggal.

“Tak boleh la. Ibu pergi kerja. Bukannya pergi jalan-jalan. Dah jom! Jom! Nanti lambat sangat pulak kita sampai ke sekolah. Pergi salam nenek.” Luqman tidak mahu membincangkan perkara itu lebih lama. Dia bimbang dia hilang pertimbangan. Dia sendiri seakan anak-anak kecil itu, ingin turut pergi bersama Mylia ke Sabah.

Hari itu Luqman bagaikan kucing hilang anak. Sentiasa resah dan cepat sungguh naik angin. Anak-anak buahnya di kedai pun turut hairan dengan perangai Luqman. Mereka tidak pernah melihat Luqman resah gelisah seperti itu.

Selepas Aisyah meninggal, sikap Luqman menjadi orang yang sentiasa kesedihan dan tidak bersemangat. Tetapi kali ini, dia lain. Dia seperti tidak senang duduk. Pantang telefonnya berbunyi, dia seperti tak sabar-sabar nak melihat siapa yang membuat panggilan tersebut. Jam di tangan entah berapa kali ditolehnya pagi ini.

Tepat jam 12:00 tengah hari, Mylia menelefon Luqman. Melihat nama Mylia tertera di skrin telefonnya, Luqman terus berjalan pantas menuju ke pejabatnya. Dia mahukan privacy.

“Hello. Assalamualaikum.” Sapa Luqman.

“Waalaikummussalam. Abang, saya dah sampai ke hotel. Sekarang tengah daftar kehadiran peserta kursus.” Terdengar begitu riuh-rendah dihujung sana panggilan. Suara-suara bergema menerusi pembesar suara sesekali berselang-seli.

“Alhamdulillah. Macam mana flight tadi? Okay?” soal Luqman.

“Apa?” Mylia seperti terpaksa menjerit melawan hingar-bingar disekitarnya.

“Flight okay ke tadi?” ulang Luqman lebih kuat sedikit berbanding tadi.

“Abang, saya tak boleh dengar lah suara abang.” Beritahu Mylia. Sedikit kecewa Luqman dengan suasana itu.

“Tak apa lah. Mylia uruskan dulu pendaftaran tu ya.” kata Luqman mengalah. Yang penting dia tahu isterinya sudah selamat sampai ke sana.

“Apa? Abang… nanti Mylia call semula ya. Mylia tak boleh dengar langsung suara abang. Bye, abang. Assalamualaikum.” Terus talian itu dimatikan. Luqman hanya memerhatikan skrin telefon yang telah pun gelap terpadam.

“Waalaikummussalam sayang. I miss you.” Suara Luqman hanya bergema di dalam ruang pejabatnya itu sahaja. Dia menyandarkan kepalanya rapat ke sofa. Sebaik sahaja matanya terbuka, terpandang gambar perkahwinan mereka yang tergantung di dinding di depannya.

Jelas sungguh betapa dia langsung tak berminat dengan perkahwinannya waktu itu. Apa yang tersirat dihati berjaya dirakam dengan begitu jelas pada gambar itu. Dia kembali memejamkan matanya.

“Maafkan abang, Mylia. Abang tau abang selfish. Abang hanya fikir nak selesaikan masalah abang dengan mak yang asyik bising suruh abang kahwin tak habis-habis tu. Tapi abang lupa, mangsanya adalah Mylia. Dan juga anak-anak. Abang dah perangkap Mylia dengan situasi keluarga abang. Abang minta maaf Mylia.”

Nak dikatakan dia menyesal sangat pun tak. Kalau dia tak berkahwin dengan Mylia tahun lepas, dia sendiri pun masih akan tenggelam dalam derita jiwa ditinggalkan Aisyah sampai bila-bila. Dia takkan mungkin tahu yang dia masih mampu untuk bercinta lagi.

“Assalamualaikum… hai sayang… dah balik sekolah dah?” sapa Mylia dengan mesra sekali. Lebih kurang jam 1:30 dia membuat panggilan video ke telefon Luqman. Dia tahu saat itu anak-anak pastinya sudah berada di rumah.

“Waalaikummussalam, ibu… ibu pergi mana?” soal Jasmin yang sudah mula sebak. Luqman hanya memerhatikan saja tingkah-laku anak-anaknya dengan Mylia dari dapur.

“Ibu work lah sayang. Nanti ibu balik yer.” Jawab Mylia memujuk. Manja sungguh suara Mylia. Entah kenapa timbul rasa cemburu Luqman terhadap kemesraan Mylia dengan anak-anaknya.

“Abi bagitau ibu pergi 14 hari. Betul ker?” soal Julia pula.

“Yer la sayang. Lama sangatkan. Ibu pun sedih ni kena tinggal anak-anak ibu lama-lama. Julia dan Jasmin dah makan ker?” Mylia mencebekkan mukanya tanda sedih.

“Dah… makan dengan abi. Tapi abi tak nak makan. Abi suruh kitorang je makan.” Acum Jasmin.

“Kenapa abi tak nak makan?” soal Mylia hairan.

“Abi dah kenyang lah tu.” Mudah sungguh sifir Jasmin.

‘Kenyang sangat. Terpaling kenyang. Makan hati berulam jantung.’ Bengkak hati Luqman mendengar perbualan Mylia dan anak-anak. Apa boleh buat. Mylia lebih sayangkan mereka daripada dia.

“Kamu dah kenapa, Man? Dengan anak sendiri pun nak cemburu?” entah daripada munculnya Ramlah. Tiba-tiba sahaja dia disergah.

“Ish, mana ada. Baguslah kalau dia boleh sayangkan anak-anak sampai macam tu sekali. Yang penting diorang. Man boleh jaga diri sendiri.” Jawab Luqman sambil terus bangun dari meja makan dengan membawa pinggan -pinggan untuk dibasuh.

“Aah… yakinnn sangat jawapan kamu tu.” Sengaja Ramlah menyindir anaknya. “Lain kali masa ada depan tu layan lebih lagi. Bila tak ada, tak lah gila bayang sorang-sorang.” Tambahnya lagi.

Malas Luqman nak bertekak dengan Ramlah. Dia tahu tetap dia yang akan kalah. Perempuan mana pernah salah.

“Abi… ibu nak cakap.” Julia datang berlari membawa telefon kepada Luqman.

“Okay.” Berbunga hati Luqman. Dia ingatkan Mylia sudah terlupa kepadanya. “Sekarang Julia dan Jasmin cepat naik atas, mandi dan solat. Lepas tu boleh tidur. Abi nak ke kedai.”

“Sekejap ye sayang. Abang nak naik atas.” Dengan pantas Luqman melangkah laju naik ke biliknya. Menggeleng kepala Ramlah di dapur melihat perangai Luqman.

“Buruk rupa orang tua-tua bercinta ni.” Omel dia sendirian.

“Okay. Hai sayang.” Ucap Luqman sebaik sahaja dia melabuhkan badan ke atas katil.

“Hai abang.” Terukir sebuah senyuman di bibir Mylia walaupun tidaklah begitu lebar sudah cukup bagi Luqman waktu itu.

“Dah selesai daftar?” soal Luqman.

“Dah.” Jawab Mylia.

“Dah makan?” soal Luqman lagi.

“Dah. Kat bawah tadi.” Jawab Mylia lagi.

‘Dah habis perkataan ke di ani? Tadi elok je meriah berborak dengan anak-anak. Datang turn aku, sepatah-sepatah je tinggal.’ Gerutu hati Luqman.

“Penat ker?” dia masih lagi cuba memancing perbualan.

“Sikitlah.” Jawapan yang diterima langsung tidak membantu.

“Macam mana flight tadi? Cuaca okay kat sana?” dia masih mencuba.

“Okay.” Jawapan Mylia kali ini benar-benar membuatkan Luqman pasrah.

“Alhamdulillah.” Dia mengalihkan pandangannya ke luar jendela. Tidak mahu Mylia menangkap genangan air mata yang tiba-tiba hadir. Selepas itu perbualan antara mereka menjadi sunyi seketika. Luqman memandang wajah Mylia menerusi skrin telefon. Dengan begitu pantas Mylia melarikan pandangannya.

“Tak apalah sayang. Sayang pergi uruskan diri dulu ya. Nanti dah senang-senang nanti, call abang.” Dia sudah tidak tahu apa lagi yang mampu diucapkan.

“Okay. Take care. Assalamualaikum.” Dengan pantas Mylia mematikan panggilan. Luqman merebahkan kepalanya ke bantal. Mahu sahaja dia menjerit sekuat-kuatnya. Ingin dilepaskan seluruh rasa geram yang berbuku di hati. Matanya dipejam rapat. Entah apa kesudahan mereka nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience