Berdebar-debar jantung Mylia balik rumah petang itu. Dia tak tahu macam mana nak berdepan dengan Luqman. Hairan dan keliru. Sesampainya dia di rumah, Luqman sudah pun ada di situ. Sedang berbual-bual dengan Ramlah di meja laman. Seperti biasa, wajahnya sentiasa serius. Berbeza pula dengan wajah Ramlah yang kelihatan begitu ceria. Mylia terus mendapatkan mereka. Dia menghulurkan salam kepada mentuanya. Dicium tangan wanita itu dengan hormat. Begitu juga dengan Luqman.
“Awak dah solat?” soal Mylia. Luqman hanya menganggukkan kepala. “Mylia naik atas dulu ya. Kejap lagi Mylia turun semula.” Ujarnya kepada mereka.
“Mylia, malam ni tak perlu masak lah. Mak teringin nak keluar makan. Luqman ikut sekali ya?” ceria sungguh mood Ramlah petang ini. Hairan Mylia. Sekali lagi Luqman hanya mengangguk tanpa memandang kepada siapa-siapa. Pandangannya dilontarkan ke arah air terjun buatan yang ada disebelahnya.
Sepanjang makan malam Luqman masih lagi diam. Dia langsung tidak membuka cerita tentang perancangannya mengikut Mylia ke Seremban sehinggalah Ramlah sendiri yang timbulkan.
“Seminar tu mula jam berapa, Mylia?” soal Ramlah. Mylia yang sedang sibuk menguruskan makan Julia dan Jasmin terkesima sebentar.
“Aaa… 8 pagi pendaftaran. Jam 9 mula kalau tak silap. Macam mana mak tau Mylia ada seminar?” soal Mylia kehairanan.
“Luqman bagitau mak petang tadi dia nak bawa Mylia pergi Seremban. Kalau awal pagi dah mula, Ahad petang dah kena pergi lah macam tu.” Cadang Ramlah kepada anak menantunya.
“Owh. Haaa… macam tu lah kot…” Mylia memandang Luqman yang masih diam membatu. Sedikit pun dia tak komen. Susah Mylia nak respon soalan-soalan mentuanya kalau dia sendiri tidak tahu apa perancangan Luqman sebenarnya.
“Nak ikut!” Pinta Jasmin.
“Nak ikut jugak!” Pinta Julia.
“Jasmin dengan Julia kena pergi sekolah. Lagipun ibu nak pergi kerja, mana boleh ikut.” Jawab nenek mereka. Kalau boleh dia memang tidak mahu anak-anak kecil itu ikut.
Petang tadi dia dah bergaduh dengan Luqman pertahankan cadangannya agar tidak diseret budak-budak tu sekali. Luqman akhirnya akur dengan cadangan Ramlah. Sekarang masa untuk dia memujuk anak-anak kecil ini pula yang bagi Ramlah lebih senang berbanding Luqman.
Walaupun Jasmin dan Julia merengek-rengek, akhirnya mereka terpaksa akur. Mylia sendiri tidak tahu apa yang perlu diucapkan kerana dia sendiri tidak tahu di mana pendirian Luqman. Tenggelam punca Mylia dibuatnya.
Pulang ke rumah malam itu, Mylia terlebih dahulu ke bilik anak-anaknya untuk tidurkan mereka. Oleh kerana Luqman tidak ke kedai malam ini, dia terus naik ke bilik. Sebaik sahaja Julia dan Jasmin tidur, Mylia terus melangkah ke tingkat atas. Masuk sahaja ke dalam bilik, Luqman terus menyerangnya dengan soalan bertubi-tubi.
“Apa yang Mikail tu dah buat kat awak?”
“Huh?” Mylia sungguh tak faham dengan soalan itu.
“Siapa Mikail tu dengan awak? Kalau dah bertanggungjawab sangat budak tu, kenapa tak kahwin je dengan dia? Kenapa mesti kacau saya?” Suara Luqman semakin keras. Perlahan tapi keras.
“Awak cakap apa ni?” Mylia semakin bingung.
“Ke awak memang dah rancang dengan abi dan umi untuk jatuhkan maruah saya macam tu? Macam saya ni langsung tak kenal bini sendiri. Tak boleh nak jaga bini sendiri.”
Kali ini, Mylia dah malas nak cuba faham soalan-soalan Luqman dan dia malas nak menjawab soalan-soalan tu dengan rasional. Tapi tindakan Luqman menuduh orang tuanya sengaja main kotor untuk jatuhkan maruah dia, Mylia dah tak boleh terima.
“Awak kenal ker saya?” soal Mylia kembali. “Rasanya kalau saya mati accident kat luar tu, awak nak pergi cam mayat pun tak boleh sebab awak memang tak kenal saya langsung.” Mylia dah sakit hati. Terus sahaja dia mencapai kain tuala dan masuk ke dalam bilik air. Dia tidak mahu mengadap Luqman lagi.
Luqman meraup wajahnya berkali-kali. Memang benar dia langsung tidak kenal dengan isterinya itu. Yang dia tahu hanyalah nama penuh Mylia dan rumah orang tua Mylia. Dia tidak tahu tempat kerja Mylia, sejarah kesihatan Mylia, suka tak suka Mylia, malah nombor telefon pun dia tak kenal. Tidak ada satu benda pun yang boleh menyokong fakta yang dia mengenali isterinya lebih daripada Mikail.
‘Jangan-jangan diorang memang pasangan kekasih? Habis, kenapa dia bersetuju untuk kahwin dengan aku? Nak kata diorang bergaduh, aku tengok elok saja diorang bertegur sapa kat pagar tu.’ Luqman mencongak-congak di dalam kepalanya.
Tiba-tiba, lamunan Luqman terhenti apabila Mylia memanggilnya di sebalik pintu bilik air.
“Bi…”
“Ya…”
“Tolong ambilkan kaftan saya satu dalam almari, boleh?” Mylia menyumpah-nyumpah dirinya kerana terlalu kelam-kabut lari ke dalam bilik air. Setelah semua baju dan tudungnya dibuka untuk berwuduk, baru dia perasan dia hanya membawa tuala sahaja masuk ke bilik air.
Luqman bangun menuju ke almari Mylia dan membuka pintu itu perlahan-lahan. Almari yang tersusun kemas itu memudahkan dia untuk mencari apa sahaja. Sedang dia menyelak-nyelak pakaian Amylia yang terlipat rapi, dia terpandang pakaian dalam Mylia.
‘Heh… saiz bra bini sendiri pun aku tak tau!’ fikir Luqman sambil tersenyum sinis sendirian. Segera dicapainya sehelai baju kaftan batik dan dihulurkan kepada Mylia. Dah lebih setengah tahun mereka berkahwin, Mylia masih lagi tidak pernah berjalan dihadapannya tanpa baju.
‘Bini lah sangat.’ Fikir Luqman. Dia kembali merebah badannya di katil. Dia menunggu sehingga Mylia selesai solat dan baring di sebelahnya sebelum dia kembali membicarakan tentang rancangannya ke Seremban bersama Mylia.
“Hari Ahad nanti lepas makan tengahari kita bertolak ke Seremban. Mak berkeras tak bagi bawa anak-anak jadi kita pergi berdua saja nanti. Tak apa ker?” soal Luqman kepada Mylia.
“Okay.” Jawab Mylia perlahan. Tak guna dia nak marah-marah lagi di saat Luqman sendiri sudah dalam keadaan bertenang. “Macam mana dengan kedai?”
“Tak apa. Saya dah suruh Rashid in-charge sepanjang kita ada di sana. Hari Rabu habis jam berapa?”
“Lepas lunch dah boleh bersurai.” Terang Mylia ringkas.
“Okay.” Luqman terus diam di situ.
“Kalau awak tak selesa nak ikut, saya tak kisah. Saya boleh pergi sendiri.” Mylia tidak mahu lelaki itu rasa terpaksa.
“Saya bukan jenis suami yang tak bertanggungjawab.” Keras pula ayatnya kali ini. Luqman terus mengalihkan badannya membelakangi Mylia.
Mylia menolehkan kepalanya memandang susuk tubuh Luqman di sebelahnya. ‘This is your choice. Nanti kat sana jangan nak mengamuk.’ Fikir Mylia sendirian.
* * * * *
“Assalamualaikum sayang… abang datang awal pagi ni.” lembut saja suara Luqman menyapa pusara Aisyah. Dihamparnya tikar kecil dan terus dilabuhkan punggungnya di situ. Terus sahaja dia memulakan bacaan tahlil dan Yaasin buat arwah Aisyah.
“Ecah, ingat tak masa Ecah kena pergi kursus seminggu dekat Penang dulu? Seminggu juga kedai kita tu tutup kan Ecah. Waktu itu, Ecah berkeras sungguh-sungguh tak bagi abang ikut. Ecah kata nanti abang boring tunggu seorang-seorang dalam bilik. Lepas tu Ecah kata sayang kalau kedai tutup lama-lama. Nanti customer marah. Diorang lari pergi kedai lain. Mati-mati Ecah kata Ecah boleh pergi sendiri. Echa boleh jaga diri. Boleh drive seorang-seorang sampai ke Penang. Ecah dah biasa.”
Tersenyum meleret Luqman bercerita tentang kenangan mereka dulu. Bahagia sungguh dia saat itu.
“Tapi abang berdegil nak ikut. Bukan apa, saja tak nak berenggang dengan isteri abang. Rasa macam seminggu tu lama sangat untuk abang berpisah dari Ecah. Lagi baik abang boring seharian dalam bilik hotel, tapi malam-malam boleh tidur peluk isteri abang ni… daripada seminggu merana menanggung rindu nak tunggu Ecah balik.”
“Rasa seronok sangat waktu tu. Rasa macam honeymoon berbayar pun ya.” Tergelak kecil Luqman seketika. “Masa tu Julia baru 2 tahun. Baru dapat lesen orang kata. Jenuh kejar budak tu serata lobi. Bila Ecah masuk program, tinggal lah abang dengan si kecik tu je berdua dalam bilik. Bukan main seronok lagi dia main air dalam bath tub tu. Sampai kecut tangan-tangan dia. Itu pun masih degil tak nak keluar dari tub tu. Jenuh pujuk pulak lepas tu. Bagi susu sebotol, terus tertidur sampai petang.”
Luqman terhenti seketika. Hatinya pedih mengenangkan apa yang akan dibuat petang nanti.
“Petang nanti, abang kena bawa Mylia ke Seremban. Tak lama. 4 hari saja sampai Rabu. Abang tak nak ikut pun asalnya. Tapi abang sakit hati bila mentua abang bangkitkan tentang Mikail. Mikail anak Mak Sue sebelah rumah tu. Ecah kenal kan dia? Kononnya budak tu pandai sangat jaga Mylia. Dah tau selok-belok kesihatan anak diorang tu. Abang ni macam tak tau apa-apa pasal Mylia. Padahal Mylia tu isteri abang, bukannya Mikail!”
Ayat terakhir yang keluar daripada mulut Luqman itu sedikit kuat dan keras. Dia bagaikan tengah marah. Tiba-tiba Luqman terkelu. Baru dia tersedar apa yang tengah dia perkatakan di hadapan pusara isterinya itu. Terasa tidak masuk akal untuk dia bercerita tentang Mylia sebegitu di hadapan Aisyah. Luqman terdiam lama. Kelu lidahnya pagi itu. Perasaan bersalah bersarang di dada.
“Julia, panggil abi turun sarapan.” Jerit Ramlah kepada cucunya. Dia telah pun duduk di kerusi meja makan.
“Tak payah, Julia. Abi dah keluar.” Sambut Mylia pula. “Awal pagi lagi abang dah keluar, mak.” Bagitau Mylia kepada mentuanya.
“Dia pergi mana?” soal Ramlah kembali.
“Rasanya dia pergi kubur Aisyah.” Jawab Mylia. Dengan tak semena-mena datang rasa bersalah dalam diri Ramlah. Dia renung dalam-dalam riak wajah menantunya. Langsung tak nampak sekelumit pun rasa sedih. Kuat sungguh hati Mylia.
“Mak minta maaf ya, Mylia. Mak harap Luqman akan jatuh sayang jugak dekat kamu suatu hari nanti.” Sedih suara Ramlah waktu itu.
“Ish, mak cakap apa ni? Mylia okay jer. Siapa tak sayang isteri. Berpisah dalam keadaan macam tu mestilah trauma dekat siapa-siapa pun. Kalau saya di tempat abang, boleh gila agaknya.” Balas Mylia dengan senyuman. Dia sebenarnya dah tak mengharap. Dia dah boleh menyesuaikan diri dengan Luqman. Apa yang dia harapkan hanyalah Luqman mampu membuka hatinya untuk berbicara tentang apa saja dengan Mylia, termasuk tentang Aisyah.
Hampir jam 12 baru Luqman pulang ke rumah. Mylia berada di dalam bilik. Dia dah siap mengemas semua baju dan peralatan dirinya ke dalam sebuah beg. Apabila Luqman naik ke bilik, terus saja Mylia menyapa.
“Saya dah pack semua barang saya. Nak saya pack baju awak sekali? Beg ni tak penuh pun.” Usul Mylia kepada Luqman. Mylia seboleh mungkin ingin merapatkan hubungan mereka berdua. Alang-alang dah kahwin, dia nak usahakan juga perkahwinan ini hingga berjaya. Luqman sememangnya suami dia yang sah.
Luqman memandang beg yang ditunjukkan oleh Mylia. Memang benar masih ada ruang separuh beg lagi. Buat apa nak bawa banyak-banyak beg. Tanpa menjawab, Luqman terus membuka pintu almarinya dan mengeluarkan 4 helai kemeja-T, sehelai seluar jeans dan sehelai kain pelekat. Diletakkan pakaian-pakaiannya itu di atas katil bersebelahan Mylia. Kemudian, dia membuka laci almari dan mengambil stokin dan seluar dalamnya. Kemudian dia terpaku di situ. Segan pula dia rasa nak letakkan pakaian peribadinya di hadapan Mylia.
Mylia yang dari tadi sedar akan keadaan Luqman bangun merapatinya dari belakang. Dengan pantas dia mencapai stokin dan seluar dalam Luqman dan dimasukkan terus ke dalam beg. Merah padam muka Luqman menahan malu.
“Don’t worry. I’ve seen them before. Semua baju awak saya yang basuh, lipat dan simpan dalam almari tu. Kita tak ada bibik dalam rumah ni.” jawab Mylia berseloroh. Luqman yang sudah termalu sendiri cepat-cepat mahu beredar keluar dari bilik itu. Tapi Mylia lebih pantas.
“Bi…” Mylia mencapai jemari Luqman dan menggenggamnya erat. Sejuk beku. Mylia terkaku seketika tetapi dikuatkan hatinya. “Terima kasih.”
“Sama-sama.” Jawab Luqman perlahan. Dia menarik tangannya dari genggaman Mylia dan terus berlalu keluar. Gemuruhnya hati Luqman waktu itu Allah sahaja yang tahu. Lemah segala sendi kakinya. Mujur dia tidak jatuh tergolek di atas tangga.
Selepas makan tengahari, Luqman dan Mylia sama-sama bertolak ke Seremban. Pada mulanya, mereka berdua hanya mendiamkan diri. Hanya bunyi perlahan dari corong radio yang berkumandang.
Setelah setengah jam berlalu, Mylia mula mengantuk. Kereta itu terlalu sunyi sepi. Untuk menghilangkan mengantuk, Mylia memerah otak mencari topik perbualan.
“Awak selalu ke Seremban?”
“Tak.”
“Tapi awak pernah lah ke Seremban?” Luqman hanya mengangguk. “Kerja ke jalan-jalan?”
“Dua-dua.”
“Pernah bawa Julia dan Jasmin jalan-jalan kat Seremban.” Luqman menggeleng. “Kalau pergi Seremban, selalunya awak pergi mana?” Luqman hanya menjongketkan bahu.
‘Adoi… tak membantu lah mamat ni!’ Rungut Mylia sendirian. Dia mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.
“Awak, saya mengantuk ni. Jom lah layan saya borak.”
“Hrmm…”
‘Itu jer? Hrmm jer?’ Mylia mula memberontak dalam hati. Dia dah tak tau nak buat apa. Terus saja dia menyandarkan kepalanya sesedap rasa dan memejamkan mata. ‘Lantak kau lah drive seorang-seorang. Orang ajak sembang, sombong.’ Fikir Mylia lagi.
Entah berapa lama dia tertidur. Sedar-sedar kereta mereka dalam keadaan pegun. Mylia membuka matanya cepat-cepat. Fikirnya mereka dah sampai ke bandar Seremban.
“Eh, awak nak buat apa ni?” Alangkah terkejutnya Mylia ketika sedar yang badan Luqman sedang berada di atasnya. Tangan kiri Luqman memegang kusyen di bahagian di atas bahu kanan Mylia. Manakala tangan kanan Luqman berada di tepi paha kiri Mylia.
Dek kerana terkejut mendengar suara Mylia, tangan kiri yang sedang menekan penyandar kerusi terlepas menyebabkan Luqman tersembam terus ke atas bahu Mylia. Mylia bertambah panik dan menjerit sekuat hatinya. Berdengung telinga Luqman dibuatnya. Cepat-cepat Luqman cuba untuk bangun tetapi keadaan Mylia yang sedang meronta-ronta menyukarkan pergerakkan Luqman.
“Haish! Sudah! Diam!” Tempik Luqman sedikit kuat. Terkejut Mylia dibuatnya. Terus terkelu dibuatnya.
“Awak ni dah kenapa? Dah la di khalayak ramai ni.” Bila Mylia amati keadaan sekeliling, Mylia sedar yang mereka sedang berada di R&R. Luqman terus meluru keluar daripada kereta dan berlalu pergi meninggalkan Mylia yang masih terpinga-pinga sendirian. Mengucap panjang Mylia. Apabila Luqman kembali, rambut Luqman sedikit basah.
‘Mungkin dia ke bilik air tadi untuk basuh muka. Elok lah tu. Bagi bertenang sikit. Harap-harap akalnya kembali waras.’ Fikir Mylia.
Luqman berdiri beberapa ketika di tepi pintu keretanya sebelum dia masuk ke dalam. Dia menarik nafas dalam-dalam. Matanya hanya terarah ke hadapan. Tidak sanggup rasanya dia nak memandang ke arah Mylia waktu itu. Mylia hanya mendiamkan diri memberi ruang untuk Luqman bertenang. Kerusinya juga telah ditegakkan semula ke keadaan asal.
“Awak tidur tersengguk-sengguk tadi. Saya kesiankan awak. Jadi saya nak rebahkan kerusi tu supaya awak boleh tidur dengan lebih selesa. Itu saja.” Luqman menghembus nafas keras.
“Maaf. Saya terkejut. Saya tak biasa.” Balas Mylia ringkas. Luqman menghidupkan enjin kereta dan menarik tali pinggang keledar. Mereka meneruskan perjalanan. Cerah mata Mylia selepas itu. Terus tak jadi nak tidur hingga sampai ke Seremban.
Sampai di Royale Chulan Seremban, terus sahaja mereka mendaftar masuk.
“Awak nak saya ambik katil macam mana? Queen atau twin?” Soal Mylia perlahan kepada Luqman. Dia mahu lelaki itu selesa sepanjang mereka berada di situ. Dia tahu Luqman bukanlah sepenuh hati rela berada di situ.
“Twin.” Jawab Luqman perlahan. Mylia hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju.
“Mylia! tak sangka kita jumpa kat sini?” Mylia kenal benar suara itu. Saat itu hatinya terus berbunga-bunga. Secara automatik, bibirnya mengukir senyuman paling lebar.
“Mika!”
Share this novel