Bab 48

Drama Completed 53004

"Sudah-sudahlah tu. Rasanya dia tak pergi jauh lagi." Encik Lutfi cuba untuk menenangkan Puan Azuween. Mahunya tidak. Adiknya itu datang ke rumah berserta esak tangis apabila keberadaan Eryn tidak dapat dikesan.

Puan Azuween sedaya upaya menahan gelodak jiwanya yang sedang kacau bilau. Sejak mengetahui asal-usul diri, Eryn asyik berkurung dan sangat kurang bercakap. Silapnya dia sebagai ibu yang membesarkan Eryn kerana menyangka Eryn akan menerima kenyataan itu selepas beberapa hari. Ternyata dalam diam Eryn menyimpan hasrat untuk meninggalkan dia. Keadaan bilik yang sunyi sepi saat dia mengetuk pintu bilik Eryn pagi tadi rupa-rupanya satu permulaan kepada episod duka yang meruntuhkan jiwa keibuannya. Ke manakah perginya buah hati pengarang jantung yang dijaga sejak merah telapak kaki itu?

"Macam mana kalau dia buat benda yang bukan-bukan?" ujar Puan Azuween dalam sendu.

"Bukan-bukan macam mana pula? Ish, doa yang baik-baik sudahlah. Report polis kita dah buat. Nanti kalau ada apa-apa perkembangan mesti mereka akan inform kita. Menangis macam ni bukan dapat bawa dia balik pun. Cuba bawa bertenang sekejap. Barulah kita boleh berfikir apa yang kita nak buat, kalau nak cari dia pun di mana permulaannya... Menangis macam ni tak dapat tolong cari dia pun." Encik Lutfi bersuara lagi.

Tak dinafikan dia juga diterpa rasa bersalah kerana mengusir Eryn dari majlis pernikahan anaknya seminggu yang lepas. Sudahlah diusir, ditimpa pula dengan kenyataan sebenar tentang asal-usul dirinya yang ternyata lahir dari rahim seorang pelacur. Bukan main lagi satu jarinya menunding Nurin, ternyata empat lagi jarinya menunding diri sendiri. Terasa perbuatannya pada hari itu agak kasar sedangkan Eryn juga yang sering dimanjanya sejak kecil memandangkan dia jatuh simpati pada nasib Eryn yang lahir sebagai anak yang tidak sah taraf. Tapi bukankah kelakuan Eryn pada hari itu juga agak melampau?

"Aku yang salah... kenapa aku mesti sebut tentang perkara tu. Kalau tak mesti keadaan tak jadi macam ni." Balas Puan Azuween.

"Cepat atau lambat dia memang akan tahu kebenarannya juga. Dari dulu lagi kita pernah bercakap tentang perkara ni cumanya pada waktu tu benda macam ni tak berlaku lagi." Sambung Puan Hasnah.

"Habis tu? Apa yang kita perlu buat sekarang?" soal Puan Azuween.

"KIta bertenang dulu. Duduk berbincang. Sekarang ni abang pun tak tahu nak buat apa." sahut Encik Lutfi sekali gus mematikan perbualan mereka bertiga. Suasana senyap sunyi di dalam perut kereta itu. Kereta jenis Proton X70 meluncur lalu menyusuri lebuh rasa menghala ke rumah. Masing-masing tengah serabut fikirannya kecuali Nurin dan Nizam yang sedang berbulan madu.

"Thank you sebab sudi bawa Nurin ke sini. Dah lama sangat teringin nak jalan-jalan ke Sarawak." ujar Nurin tersenyum lebar. Keindahan alam di The Curvert benar-benar membuatkan dia jatuh cinta. Dia benar-benar menikmati aktiviti tropika di sebalik latar kehijauan. Uniknya bilik-bilik di situ diperbuat daripada paip pembentung konkrit. Hiasan dalamannya pula tampak mewah. Kolam renang yang berwarna biru laut pula nampak cantik di sebalik teduhan pokok tinggi di sekelilingnya. Bukan satu tetapi terdapat dua kolam renang yang terdapat di situ.

Jika semalam mereka menyelam menyaksikan keindahan bawah laut. Hari ini mereka berdua akan menyaksikan pula kepelbagaian kaum dan adat yang terdapat di Sarawak di Kampung Budaya. Nizam tersenyum memandang Nurin yang jelas kelihatan sangat gembira sepanjang dua hari mereka berada di situ. Tak sia-sia dia buat research sebelum datang ke sana. Lebih penting kesedihan Nurin sewaktu Eryn datang untuk merosakkan majlis mereka seminggu yang lepas tidak lagi dijadikan topik malah Nurin langsung tidak menyebut tentang peristiwa itu lagi.

Sebaik saja melangkah masuk ke dalam Kampung Budaya, Nurin tergamam dengan kepelbagaian bentuk rumah yang dibina berdasarkan etnik yang ada di Sarawak. Laju saja kakinya melangkah. Tidak sabar untuk masuk ke dalam. Bunyi alunan gendang joget berkumandang sebaik saja dia memasuki rumah kayu yang bertemakan melayu klasik.

"Miss boleh cuba menari sekali kalau nak." Ujar seorang gadis etnik Iban yang mengajaknya untuk menarikan tarian ngajat bersama ketika dia dan Nizam berada di rumah panjang etnik itu. Laju saja dia menggelengkan kepala. Tak reti! Nizam tertawa melihat telatah Nurin.Seolah-olah bahagia itu sememangnya milik mereka tanpa ada ragunya.

Besarnya kawasan perkampungan budaya itu membuatkan Nurin kelelahan. Nizam meminta Nurin untuk duduk sementara dia membelikan air. Sebentar lagi mereka akan disajikan pula dengan persembahan dari panggung budaya. Penari-penari akan mempersembahkan tarian dari etnik masing-masing di atas pentas. Sementara menunggu pintu panggung dibuka, bolehlah dia duduk sebentar menghilangkan penat dan lenguh berjalan. Nurin sekadar menghantar Nizam ke kaunter untuk membeli air bagi menghilangkan haus dengan pandangan mata. Dia kemudiannya kembali menatap keindahan yang terbentang di depannya. Namun, tenang yang dirasa bagaikan dirobek apabila seseorang yang cukup dikenalinya datang melangkah dengan wajah yang masam mencuka.

Ah, apa pula ni?!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience