Bab 15

Drama Completed 53004

Nizam menjenguk jiran sebelah rumah. Ah, kereta hitam itu ada di perkarangan rumah. Itu bermakna Nurin ada di dalam. Dia sengaja berlama-lama di luar. Mana tahu untung nasib sekejap lagi Nurin keluar. Bolehlah juga bertentang mata walau seketika. Dia mencapai penyapu dan menyapu laman rumah yang dah sedia bersih. Ala, sekurang-kurangnya tak adalah nampak sangat dia tengah menunggu Nurin.

Awal pertemuan yang tidak manis namun bila dikenang semula, sering kali mengundang senyum. Siapa sangka wanita yang seperti mak lampir itu rupanya manis orangnya. Indah dipandang malah cantik pula tu. Keadaan gelap pada malam mereka bertembung kali pertama  yang tidak mengizinkan matanya memandang kecantikan yang terserlah. Namun pertemuan kali kedua menyebabkan dia agak terpaku sebenarnya. Indahnya ciptaan tuhan. Siapa sangka mak lampir secantik itu? Bukan senang dia nak berlagak cool dan steady. Dah lah terkejut dengan adanya kehadiran orang lain, eh boleh pula rupa-rupanya orang tersebut adalah si cantik manis. Tak pasal-pasal dua kali terkejut dibuatnya.

"Rajinya mmenyapu tengah hari terik macam ni."

Satu suara menegurnya. Nizam menoleh. Alahai, ingatkan Nurin tapi ternyata bukan. Nizam buat acuh tak acuh dengan kehadiran insan itu. Eh, tiba-tiba rasa macam rimas semacam.

"Abang, tak dengar ke Eryn bercakap dengan abang ni?" Eryn mula mendekat ke arah pagar rumah Nizam.

"Eh, tak perasan. Maklumlah tengah khusyuk sangat menyapu ni haa. Okay, dah settle dah semua so nak masuk ke dalam dulu ya. Assalammualaikum." Nizam segera menyudahkan kerjanya dan menyandarkan penyapu pada dinding rumah.

"Eh, abang! Ni haa bakal mak mertua abang suruh Eryn bagi ni dekat abang." Eryn memanggil Nizam dan menunjukkan mangkuk tingkat yang dibawanya.

"Mak long bagi?"

"Ya, mak bagi. Katanya Mak Ngah dengan Pak ngah tak ada. Kebetulan tadi dia masak kari kepala ikan terus dia teringat dekat abang. Tu yang dia suruh bagi. Abang suka, kan?"

Nizam menyambut mangkuk tingkat yang dihulurkan. Alah, Mak Long memang macam tu. Setiap kali masak makanan kegemaran anak-anak buahnya, mesti tak pernah lupa untuk sedekahkan makanan. Mungkin sebab itu jugalah anak-anak buah Mak Long rapat dengan Mak Long. Dulu Nizam selalu ke rumah Mak Long. Maklumlah mereka tinggal di kawasan yang sama, cuma berbeza lorong sahaja tapi semenjak Eryn meningkat dewasa, Nizam tidak lagi berkunjung ke sana. Bukan kerana segan namun tidak suka dengan perangai Eryn yang tak habis-habis mahu menggoda dia sedangkan dia hanya menganggap Eryn sebagai adik. Dia menyaksikan Eryn membesar dari Eryn bayi sehinggalah tumbuh dewasa. Mana mungkin dia boleh jatuh cinta. Tak tahulah Eryn tu. Tiba-tiba boleh tersuka dia pula. Dah macam tak ada lelaki lain.

"Sampaikan salam abang buat Mak Long tau."

"Dekat Eryn? Tak nak sampaikan salam apa-apa? Salam sayang? Salam rindu penuh kasih dan sayang?"

"Eh, dah kenapa pula?"

"Abang, kita boleh kahwin tau. Eryn pun cuma anak angkat so kita tak ada sebarang hubungan kekeluargaan pun. Kenapa abang jual mahal sangat ni?"

"Eh, dah kenapa nak petik-petik soal kahwin? Bercinta pun tak! Dah, pergi balik sana. Eryn sendiri pun tahu Pak Ngah dengan Mak Ngah tak ada di rumah sekarang, kan? Jadi tak eloklah kalau Eryn lama-lama sangat dekat sini. Tak manis dipandang orang."

"Kenapa? Takut kena tangkap basah? Eloklah sangat kalau kena tangkap basah pun. Boleh kahwin. Nak tunggu abang datang meminang, esok kiamat pun belum tentu abang datang meminang."

"Haa, eloklah sangat. Maruah tercalar, mak pak malu. Ish, entah apa-apalah Eryn ni. Ni haa abang nak cakap. Kalau jadi perempuan tu, janganlah murah sangat. Tengok haa situasi kita sekarang. Kamu bukan main lagi nak serah diri sampaikan abang pula yang terpaksa jual mahal. Sepatutnya kamu tu yang mahal."

"Eh, siapa kata Eryn murah? Abang, Eryn serah diri pun dekat abang seorang. Bukan dekat semua lelaki kiri kanan depan belakang. Dengan orang lain memang jangan haraplah Eryn nak pandang."

"Ish, tak malu ke orang tak hendak tapi masih tertayang diri depan mata orang?"

"Sampai hati abang cakap macam tu. Abang, pesan orang tua-tua jangan benci sangat, takut nanti jadi jodoh. Jadi buat abang Nizamku sayang, abang boleh tolak Eryn ikut suka abang tapi Eryn akan pastikan abang akan jatuh ke pangkuan Eryn suatu hari nanti." kata Eryn lalu melangkah pergi. Hatinya sedikit membengkak mendengar tutur kata Nizam yang terlalu jelas menunjukkan ketidaksudiannya untuk memperisterikan dia. Terlalu keras hati lelaki itu untuk dicairkan. Entah di mana kurangnya dia di mata Nizam.

"Apa punya perempuan terhegeh-hegeh macam tu? Serah diri dah macam tak ada maruah." Nizam membebel sendiri sambil memerhati Eryn yang semakin menjauh.

"Cakap dengan siapa tu?" kali ini satu lagi suara lain menyapa. Nizam segera menoleh. Haa, inilah gerangan yang ditunggu.

"Eh, tak. Tadi haa ada kucing datang. Lapar agaknya." balas Nizam.

"Laa bercakap dengan kucing rupanya. Pandai eh bercakap dengan haiwan. Kucing tu faham ke apa yang awak cakap?" Nurin tergelak kecil.

"Tak tahulah faham ke tak. Kalau faham, tak adalah dia datang balik tapi kalau tak faham, esok lusa karang ada lagi datang. Haa, Nurin nak keluar ke?"

"A'ah, nak keluar beli barang dapur sekejap. Kenapa? Ada nak kirim apa-apa ke?"

"Eh, tak. Saja tanya. Laksanakan tanggungjawab sebagai jiran yang prihatin." Nizam menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dalam diam mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu memberikan jawapan yang lebih masuk akal.

"Kalau nak kirim tu tak ada apa nak kirim tapi kalau nak saya ikut sekali, saya tak kisah." Hatinya menggatal namun tidak terluah kata-kata itu dibibirnya. Nurin meminta izin untuk berlalu. Nizam pula hanya mengiringi dengan pandangan matanya sehinggalah kereta Nurin tidak lagi kelihatan.

"Bodoh betul. Baru bercakap macam tu saja pun aku ni dah menggelabah tak tentu pasal. Padanlah dengan muka aku tak ada girlfriend. Nak kena tuisyen dulu dengan kamal baru aku pandai mengorat agaknya." tanpa sedar dia bercakap sendiri sekali lagi. Ah, biarlah. Mungkin perutnya lapar dan perlu diisi, lepas makan nantilah baru dia fikirkan langkah yang seterusnya untuk merapatkan diri dengan anak dara sebelah rumah ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience