"Sudah-sudahlah tu. Rasanya dia tak pergi jauh lagi." Encik Lutfi cuba untuk menenangkan Puan Azuween. Mahunya tidak. Adiknya itu datang ke rumah berserta esak tangis apabila keberadaan Eryn tidak dapat dikesan.
Puan Azuween sedaya upaya menahan gelodak jiwanya yang sedang kacau bilau. Sejak mengetahui asal-usul diri, Eryn asyik berkurung dan sangat kurang bercakap. Silapnya dia sebagai ibu yang membesarkan Eryn kerana menyangka Eryn akan menerima kenyataan itu selepas beberapa hari. Ternyata dalam diam Eryn menyimpan hasrat untuk meninggalkan dia. Keadaan bilik yang sunyi sepi saat dia mengetuk pintu bilik Eryn pagi tadi rupa-rupanya satu permulaan kepada episod duka yang meruntuhkan jiwa keibuannya. Ke manakah perginya buah hati pengarang jantung yang dijaga sejak merah telapak kaki itu?
"Macam mana kalau dia buat benda yang bukan-bukan?" ujar Puan Azuween dalam sendu.
"Bukan-bukan macam mana pula? Ish, doa yang baik-baik sudahlah. Report polis kita dah buat. Nanti kalau ada apa-apa perkembangan mesti mereka akan inform kita. Menangis macam ni bukan dapat bawa dia balik pun. Cuba bawa bertenang sekejap. Barulah kita boleh berfikir apa yang kita nak buat, kalau nak cari dia pun di mana permulaannya... Menangis macam ni tak dapat tolong cari dia pun." Encik Lutfi bersuara lagi.
Tak dinafikan dia juga diterpa rasa bersalah kerana mengusir Eryn dari majlis pernikahan anaknya seminggu yang lepas. Sudahlah diusir, ditimpa pula dengan kenyataan sebenar tentang asal-usul dirinya yang ternyata lahir dari rahim seorang pelacur. Bukan main lagi satu jarinya menunding Nurin, ternyata empat lagi jarinya menunding diri sendiri. Terasa perbuatannya pada hari itu agak kasar sedangkan Eryn juga yang sering dimanjanya sejak kecil memandangkan dia jatuh simpati pada nasib Eryn yang lahir sebagai anak yang tidak sah taraf. Tapi bukankah kelakuan Eryn pada hari itu juga agak melampau?
"Aku yang salah... kenapa aku mesti sebut tentang perkara tu. Kalau tak mesti keadaan tak jadi macam ni." Balas Puan Azuween.
"Cepat atau lambat dia memang akan tahu kebenarannya juga. Dari dulu lagi kita pernah bercakap tentang perkara ni cumanya pada waktu tu benda macam ni tak berlaku lagi." Sambung Puan Hasnah.
"Habis tu? Apa yang kita perlu buat sekarang?" soal Puan Azuween.
"KIta bertenang dulu. Duduk berbincang. Sekarang ni abang pun tak tahu nak buat apa." sahut Encik Lutfi sekali gus mematikan perbualan mereka bertiga. Suasana senyap sunyi di dalam perut kereta itu. Kereta jenis Proton X70 meluncur lalu menyusuri lebuh rasa menghala ke rumah. Masing-masing tengah serabut fikirannya kecuali Nurin dan Nizam yang sedang berbulan madu.
"Thank you sebab sudi bawa Nurin ke sini. Dah lama sangat teringin nak jalan-jalan ke Sarawak." ujar Nurin tersenyum lebar. Keindahan alam di The Curvert benar-benar membuatkan dia jatuh cinta. Dia benar-benar menikmati aktiviti tropika di sebalik latar kehijauan. Uniknya bilik-bilik di situ diperbuat daripada paip pembentung konkrit. Hiasan dalamannya pula tampak mewah. Kolam renang yang berwarna biru laut pula nampak cantik di sebalik teduhan pokok tinggi di sekelilingnya. Bukan satu tetapi terdapat dua kolam renang yang terdapat di situ.
Jika semalam mereka menyelam menyaksikan keindahan bawah laut. Hari ini mereka berdua akan menyaksikan pula kepelbagaian kaum dan adat yang terdapat di Sarawak di Kampung Budaya. Nizam tersenyum memandang Nurin yang jelas kelihatan sangat gembira sepanjang dua hari mereka berada di situ. Tak sia-sia dia buat research sebelum datang ke sana. Lebih penting kesedihan Nurin sewaktu Eryn datang untuk merosakkan majlis mereka seminggu yang lepas tidak lagi dijadikan topik malah Nurin langsung tidak menyebut tentang peristiwa itu lagi.
Sebaik saja melangkah masuk ke dalam Kampung Budaya, Nurin tergamam dengan kepelbagaian bentuk rumah yang dibina berdasarkan etnik yang ada di Sarawak. Laju saja kakinya melangkah. Tidak sabar untuk masuk ke dalam. Bunyi alunan gendang joget berkumandang sebaik saja dia memasuki rumah kayu yang bertemakan melayu klasik.
"Miss boleh cuba menari sekali kalau nak." Ujar seorang gadis etnik Iban yang mengajaknya untuk menarikan tarian ngajat bersama ketika dia dan Nizam berada di rumah panjang etnik itu. Laju saja dia menggelengkan kepala. Tak reti! Nizam tertawa melihat telatah Nurin.Seolah-olah bahagia itu sememangnya milik mereka tanpa ada ragunya.
Besarnya kawasan perkampungan budaya itu membuatkan Nurin kelelahan. Nizam meminta Nurin untuk duduk sementara dia membelikan air. Sebentar lagi mereka akan disajikan pula dengan persembahan dari panggung budaya. Penari-penari akan mempersembahkan tarian dari etnik masing-masing di atas pentas. Sementara menunggu pintu panggung dibuka, bolehlah dia duduk sebentar menghilangkan penat dan lenguh berjalan. Nurin sekadar menghantar Nizam ke kaunter untuk membeli air bagi menghilangkan haus dengan pandangan mata. Dia kemudiannya kembali menatap keindahan yang terbentang di depannya. Namun, tenang yang dirasa bagaikan dirobek apabila seseorang yang cukup dikenalinya datang melangkah dengan wajah yang masam mencuka.
Ah, apa pula ni?!
Nurin melabuh pandang pada gadis itu. Siapa sangka gadis yang cuba merosakkan majlisnya kini berdiri tegak di depannya.
"Puas hati kau sekarang?" Eryn menyoal Nurin tegas.
"Kau jangan ingat aku kalah. Kau tak menang pun lagi! Ini semua bukan penamat. Ini cumalah satu permulaan kepada neraka yang kau cari."
Nurin melepaskan satu keluhan. Tak habis-habis lagi ke?
"Aku tak tahu apa yang kau bencikan sangat dengan aku ni dan aku pun tak tahu apa masalah kau tak habis-habis nak cari pasal dengan aku. Tapi aku nak kau tahu yang aku langsung tak berminat nak bermusuh atau bergaduh dengan kau." balas Nurin tenang. Apalah malang boleh pula terserempak dengan Eryn di situ.
"Tak payah nak tunjuk baik! Kau sengaja cakap macam tu, kan? Nak tunjuk kau baik? Hah, kau ambiklah semua yang baik-baik. Kau malaikat! Kau bidadari!"
Nurin melepaskan satu keluhan berat. Sedaya-upaya dia cuba menahan rasa hati agar tidak melampaui batas.
"Kau nak aku buat apa baru kau nak puas hati?"
Eryn mendengus. Ah, pura-pura sangat! Macamlah Nurin boleh tunaikan apa yang dia nak kalau dia beritahu apa yang di mahukan.
"Kalau aku tak dapat Nizam, maknanya kau juga tak boleh dekat dengan dia."
Tentang Nizam lagi? Aih, memang sah perempuan yang satu ni tak berapa nak betul! Nizam dah pun sah jadi suami orang lain tapi masih lagi nak mengejar. Lafaz akad sudah pun meluncur dari bibir Nizam. Nama Nurin yang diselit pada akad itu, bukannya nama Eryn. Itu pun masih tak boleh nak faham ke yang Nizam tu tak inginkan dia?
"Penat betullah aku melayan orang macam kau. Aku tak boleh dekat dengan Nizam? Ish, tak patut. Tak kan dah jadi isteri dia pun aku kena duduk jauh sebatu dari dia?"
"Kau tak payah buat-buat bodohlah perempuan!"
"Tak, masalahnya sekarang siapa yang bodoh? Yang tak boleh nak hadam, tak boleh nak terima kenyataan itulah yang bodoh."
"Kau memang kurang ajar!"
"Aku bukan kurang ajar. Aku cuma dah kurang sabar. Dua benda tu ada beza."
Eryn mengetap bibir. Niatnya mahu menyerang Nurin sebaliknya dia juga yang sakit hati. Apa yang istimewa sangat pada Nurin sampaikan Nizam jadi buta?
"Macam ni sajalah. Kalau kau betul-betul hendakkan suami aku tu, kau pergi jumpa dia sendiri. Minta dia ambil kau jadi bini nombor dua dia." Balas Nurin endah tak endah.
"Tak kuasa aku nak berkongsi dengan kau. Kau ingat aku melawak ke?"
"Habis tu? Kau ingat aku yang melawak? Jujurlah, aku bosan bila kau tak habis-habis nak menyerang aku. Dari dulu lagi kau tak sudah-sudah dengan marah kau, benci kau tu. Salah aku ke kalau Nizam pilih aku untuk jadi isteri dia? Salah aku ke kalau dia tak cintakan kau?"
"Kalau kau tak muncul dalam hidup dia, mesti aku yang jadi isteri dia."
"Itu pun kalauuu...tapi hakikatnya sekarang aku dah muncul. Lagi dasyat aku pula yang bergelar isteri. Kau tak boleh nak terima, apa aku boleh buat?"
"Bekas pelacur macam kau tak layak untuk berdiri di sebelah Nizam."
Nurin tersengih. Amboi, sedap mulut kata orang pelacur. Sudahlah dulu rosakkan majlis kahwin orang. Dicanangnya status Nurin sebagai bekas pelacur. Disebarnya aib tanpa mengambil kira majlis yang sedang berlangsung. Ah, kebetulan dah disebut. Apa kata diteruskan saja?
"Aku pelacur? Kau dengar sini, untuk pengetahuan kau aku tak pernah jual tubuh aku untuk mana-mana lelaki. Tak seorang pun pernah meratah tubuh aku. Aku jaga diri aku, kehormatan aku untuk suami aku. Kau tak tahu apa yang aku lalui dan kau tak berhak nak judge siapa aku. Kau tak pernah cuba untuk kenal aku dan aku tak akan pernah meminta untuk kau pandang aku dari sisi lain. Cuma...itulah... Aku kenal siapa orang tua aku. Kau? Tahu tak yang kau ni terhasil dari air mani siapa?"
Eryn terkedu. Terdiam tanpa sepatah kata. Nurin memang kurang ajar!
"Hei perempuan! Aku tak minta lahir dari rahim seorang pelacur!"
"Haa, habis tu? Aku memang minta ke hidup dalam dunia pelacuran? Kau nak aku faham yang kau tak pernah meminta tapi kau tak pernah nak cuba faham yang aku juga mangsa kerana perbuatan orang lain?"
Eryn kehabisan kata. Entah kenapa hatinya sedikit terusik. Jika difikirkan semula, dia sendiri pun tiada sebab yang benar-benar kukuh yang membuatkan dia membenci Nurin. Hanya Nizam satu-satunya asbab utama. Selain itu, tiada yang lain.
"Tapi sekarang hidup kau sempurna! Sedangkan aku?" Balas Eryn namun suaranya sedikit mengendur.
"Hidup aku sempurna? Alhamdulillah tapi apa kurangnya hidup kau sebelum ini? Kau ada orang yang sayang kau. Kau ada keluarga yang selalu ada di sisi kau. Kau membesar dengan kasih sayang daripada seorang mak. Aku? Aku hilang kasih seorang mak sejak kecil lagi. Sejak tu aku terumbang-ambing. Tercampak ke kiri dan kanan. Pelajaran aku entah ke mana. Kau? Study habis. Sijil ada. Semua ada! Hidup aku juga yang kau nak cemburukan?"
"Tapi kau dapat dia!"
"Nizam? Disebabkan aku dapat dia maka hidup aku yang kau pandang sempurna?Ni...Aku nak tanya kau sanggup ke lalui apa yang dah aku lalui? Kau boleh hadap perit yang aku rasa? Hidup terasing, sentiasa takut, risau dengan keselamatan diri? Tak masuk lagi gangguan seksual dari kiri kanan. Kau sanggup? Haa lagi satu, selepas kau dah jaga diri kau sungguh-sungguh then tiba-tiba ada pula orang yang datang dari mana entah....tuduh kau pelacur? Kata engkau murahan? Sedangkan kau dah berusaha sebaik mungkin untuk jaga diri dan maruah. Kau ingat semua tu tak sakit ke?" bagaikan melepas pengkung di dada, Nurin meluahkan segalanya namun suaranya masih lagi cuba di kawal sebaik mungkin. Tidak di nafikan beberapa pasang mata sudah pun melirik ke arah mereka.
"Kau mengata aku?"
"Kenapa? Kau terasa? Baguslah kalau kau terasa sebab aku nak kau faham bukan aku yang merampas kesempurnaan hidup kau. Memang, kau boleh kata aku punca Nizam berpaling tapi kau kena ingat satu perkara, jodoh bukan kita yang tentukan. Lagi pun, pernah ke Nizam janjikan apa-apa? Setahu aku, Nizam cuma anggap kau sebagai seorang adik. Pernah ke Nizam membalas tepukan kau?"
"Kalau kau tak ada, mesti aku yang jadi isteri Nizam."
"Itu pun kalauuuu....tapi hakikatnya sekarang aku adalah isteri Nizam yang sah. Kau kena hadam tu elok-elok."
Belum pun sempat Eryn membuka mulut untuk membidas, ternyata Nizam terlebih dahulu menegurnya mematahkan bait kata yang hendak dilontarkan.
"Eh, Eryn. Tak sangka you pun ada di sini." Tegur Nizam yang agak terkejut dengan keberadaan Eryn pada ketika itu.
Eryn langsung melangkah tanpa membalas teguran Nizam. Dia sebenarnya sengaja dalam diam mengikut pasangan pengantin baru itu. Kalau boleh dia nak tahu semua tentang ke mana mereka pergi, apa yang mereka buat dan apa perancangan mereka. Sungguh dia belum merelakan Nizam. Dia tak lari ke mana pun. Dia cuma belum rela dan terlalu sibuk nak ambil tahu tentang Nizam.
"Apa dia buat di sini?" Tanya Nizam kepada Nurin. Sedari tadi dia sudah menyedari ada seseorang yang sedang berbual dengan isterinya namun tidak pula dia menyangka seseorang itu rupanya Eryn.
Nurin mengangkat bahu. Wajahnya sedikit kelat sebelum bangun dari duduknya dan melangkah ke arah pintu panggung yang kebetulan baru dibuka. Nizam menggaru kepalanya yang tidak gatal. Aduh, dia juga yang terpaksa menghadap wajah kelat Nurin walaupun dia tidak pasti apa yang berlaku sebentar tadi.
Share this novel