Bab 22

Drama Completed 53004

"Nizam, buat apa tu terjenguk-jenguk?" Puan Hasnah menerpa ke arah anak bujangnya yang jelas cuba untuk mengintai anak dara sebelah rumah.

"Ish, apa ni mak? Terkejut tau!"

Puan Hasnah tersengih. Memanglah terkejut kalau disergah waktu-waktu ada kesalahan.

"Ya Allah, anak bertuah ni! Sampai banjir bunga mak kau siram!" Puan Hasnah mencubit pinggang Nizam sebaik saja dia melihat air bertakung di dalam pasu bunganya.

"Adoi, alamak sorry! Tak sengaja. Tak terniat, mak!"

Puan Hasnah menjenguk pasu-pasu bunganya yang lain. Hah, sudah! Semuanya dilanda banjir. "Itulah kau, sibuk mengintai anak orang sampaikan bunga-bunga mak semua berenang! Ish, geram betullah aku dengan budak ni!"

Dalam kekalutan dua beranak itu, tiba-tiba satu suara menerpa perlahan menyebabkan kedua-dua mereka berpaling ke arah suara itu.

"Maaf, nak tanya yang mana satu rumah Nurin?"

"Rumah Nurin? Pak cik ni siapa ya?" Nizam menyoal tanpa menjawab soalan Nadzir terlebih dahulu. Lagaknya seperti penjaga Nurin.

"Pak cik ni ayah tiri Nurin. Dah lama pak cik cari dia. Pak cik dapat maklumat yang dia tinggal di sekitar sini tapi pak cik tak pasti pula rumahnya yang mana satu."

"Oh, ayah tiri Nurin rupanya. Budak Nurin tu duduk dekat rumah sebelah ni haa." Puan Hasnah menyampuk.

"Boleh tolong panggilkan dia untuk pak cik?" Pinta Nadzir kepada Nizam. Permintaan itu membuatkan Nizam sedikit hairan. Dah kenapa tak boleh nak panggil sendiri? Tapi tetap juga dia turutkan. Nizam melangkah masuk ke halaman rumah Nurin. Pagar utama sekadar bertutup tapi tidak pula berkunci. Jarang-jarang Nurin tidak mengunci pintu pagarnya. Dah tiga hari juga dia tidak melihat kelibat Nurin.

"Assalammualaikum, Nurin. Oooo Nurin."

Krik krik. Tiada jawapan dari dalam. Sekali lagi Nizam memberi salam. Masih senyap. Eh, tak ada orang ke? Belum pun sempat dia menarik nafas dalam sekali lagi, pintu rumah dibuka perlahan.

"Nurin okay tak ni?" Tanya Nizam sebaik saja melihat wajah Nurin yang tidak bermaya. Dia kelihatan kusut. Matanya juga sedikit membengkak.

"Nak apa?" Tanya Nurin tanpa sebarang emosi. Dia memandang kosong pada wajah Nizam.

"Nurin ada masalah ke? Ada orang kacau? Nurin lepas nangis ke?"

"Kalau tak ada apa-apa, bye." Balas Nurin dingin dan mahu menutup pintu.

"Eh, kejap! Ada orang cari." Nizam menahan pintu daripada tertutup.

"Siapa? Dylan ke?" Tanya Nurin dengan wajah yang jauh lebih baik dari tadi namun wajah yang bersinar dengan harapan itu tiba-tiba berubah bengis sebaik saja kelibat Nadzir yang berdiri di depan pagar rumahnya.

"Hoi, celaka! Berani kau muncul depan aku? Dah puas hidup ke? Aku bunuh kau!" Bagaikan kena sampuk, Nurin tiba-tiba mengganas lalu menerpa ke arah Nadzir. Nizam yang terkejut pantas mengejar. Sedaya-upaya dia cuba menahan Nurin. Luar biasa tenaga yang dimiliki Nurin walaupun tadi dia kelihatan sunggul yang amat.

Puan Hasnah turut  terkejut dengan situasi itu. Dia membantu anaknya untuk menahan tubuh Nurin yang meronta-ronta minta untuk dilepaskan. Beberapa kali dia meminta Nurin untuk beristigfar. Dia memeluk tubuh Nurin kuat, cuba untuk menenangkan Nurin. Siapa sangka gadis selembut Nurin akan menggila seperti itu.

"Nurin, sabar sayang. Tenang... Istigfar, Nurin. Kalau ada masalah mari cerita dengan mak cik. Jangan mengamuk macam ni." Puan Hasnah memujuk.

"Lelaki tu mesti mati! Mati!" Jerit Nurin lagi. Nadzir pula terhukum dengan rasa bersalah. Sampai begitu sekali Nurin berubah. Dulu dialah anak manja, tapi hari ini anak itulah yang memintanya untuk mati. Nurin berubah kerana perbuatannya. Dia sememangnya layak untuk mati. Mungkin itu jauh lebih baik daripada hidup menyusahkan Nurin.

"Sabar, Nurin. Mari, kita duduk. Cerita dengan mak cik." pujuk Puan Hasnah lagi apabila rontaan Nurin semakin lemah. Barangkali kehabisan tenaga. Nizam melepaskan Nurin di dalam pelukan maknya sebaik saja Nurin nampak lebih jinak jika dibandingkan tadi. Peluh yang menitis di dahi segera diseka. Fuh, gila! Apa sebenarnya yang dah berlaku? Dia tertanya-tanya sendiri.

Puan Hasnah memeluk Nurin masuk ke rumah. Sebaik saja kelibat mereka berdua menghilang di sebalik pintu, Nizam memandang pada seraut wajah tua yang termenung jauh. Wajah tua itu dibasahi air mata. Barangkali sedih kerana kejadian tadi. Tangisnya tidak kedengaran, namun air mata laju menuruni pipinya. Nizam berfikir sendiri. Tidak tahu tindakan yang sesuai untuk diambil. Tak kan nak dibiarkan saja?

"Macam ni pak cik, sementara mak tengah tenangkan Nurin, marilah kita masuk ke rumah saya dulu. Mungkin selepas Nurin tenang, bolehlah pak cik dan dia berbual."

Nadzir sekadar mengangguk. Perasaan bersalah yang menebal membuatkan hatinya remuk melihat hasil perbuatannya sebentar tadi.

"Jemput minum dulu pak cik." ujar Nizam yang muncul bersama dulang berisi air setelah menghilang beberapa ketika sebaik saja menjemput Nadzir untuk duduk di ruang tamu rumah.

"Mungkin lebih baik pak cik tak payah muncul lagi dalam hidup Nurin." Ujar Nadzir memecah keheningan setelah sekian lama dia berdiam.

"Eh, tak kanlah sampai macam tu. Sabar pak cik, mungkin dia tengah ada masalah." Nadzir menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aah, sudah. Nak respon macam mana lagi?

"Pak cik menyesal sangat. Pak cik sememangnya layak mati macam yang Nurin cakap."

"Apa sebenarnya yang berlaku sebenarnya? Maaf pak cik, saya bukan nak masuk campur urusan pak cik dengan Nurin tapi rasanya macam dah termasuk tanpa sedar dah ni."

"Pak cik jual dia dengan bapak ayam dulu semata-mata nak langsaikan hutang." sahut Nadzir dengan suara yang perlahan namun jelas di telinga Nizam.

"Astagfirullah." Hanya itu respon Nizam yang terkeluar secara spontan.

"Lepas kau dah jual aku, boleh pula yang berani-berani muncul di depan aku?" Tiba-tiba suara Nurin menyampuk. Puan Hasnah setia di sisi Nurin. Tangan Nurin dipegangnya kejap.

"Ayah minta maaf, Nurin. Ayah minta maaf sangat. Ayah terpaksa." Nadzir memandang Nurin Sayu. Wajah anaknya penuh benci membuatkan hatinya sayu dan hiba.

"Kan lebih baik kalau kau bunuh aku daripada kau campakkan aku untuk hidup dalam lembah hina macam tu!" Nurin menjerkah namun disabarkan semula oleh Puan Hasnah. Siapa sangka gadis yang sebelum ini tersenyum manis, boleh pula menyinga seteruk ini.

"Kau yang meminjam duit, aku yang membayar! Kau dengar sini, sekarang ni kau berhutang dengan aku sebuah kehidupan yang kau rampas tanpa aku rela! Kau tak bagi aku sebarang pilihan! Bila aku kata aku nak kerja, nak bantu kau... tahu pula kau malu? Jual anak boleh pula! Tak malu?"

"Ayah tahu ayah dah buat keputusan yang terlampau buruk. Ayah tahu ayah tak layak dimaafkan, tapi ayah terpaksa. Keadaan memaksa ayah untuk bertindak seperti tu. Ayah sayang Nurin. Mereka ugut nak bunuh Nurin dan ayah tak sanggup nak rasa kehilangan tu sekali lagi. Cukuplah kehilangan Sakinah. Cukup perit ditinggal pergi. Berpisah nyawa, tiada ganti."

Nurin membeku seketika saat nama emaknya disebut. Seolah-olah tercampak dia ke alam nostalgia yang sangat memilukan. Gambaran pada hari kejadiaan saat ayahnya menangis bagaikan anak kecil di sisi jasad emaknya mula muncul. Dia akui saat itu adakah saat paling buruk namun dia kira dia masih punya ayah untuknya berpaut. Namun harapnya berkecai apabila ayah yang disangka akan menjadi dahan, rupanya menusuk diri dan mematikan segala rasa sayang yang pernah ada. Meninggalkan luka dan benci.

"Sungguh pun kita susah, sungguh pun merasa perit, di mana hati nurani kau sebagai seorang ayah? Kalau kau merasa sakit, aku juga merasakan sakit yang sama. Kita sama-sama ditinggalkan saat kita jatuh. Kenapa hanya sakit kau yang kau fikir? Aku muda lagi waktu tu, aku juga sakit! Aku juga perit. Aku perlukan mak tapi mak dah tak ada. Aku cuma ada kau. Aku cuba bertahan dan aku letakkan kepercayaan aku pada kau... tapi kau lemah! Sekarang kau beralasan yang kau jual aku semata-mata kau nak lindungi aku? Kau ni memang sampah!"

Nadzir tertunduk menahan tangis. Tidak mampu dia memandang kebencian yang jelas terpancar di wajah Nurin yang dipaksa duduk berdepan dengannya kini. Dia malu. Bau busuk kisah keluarga kini diketahui punca oleh orang luar. Nizam dan Puan Hasnah bukanlah siapa-siapa melainkan hanyalah jiran kepada Nurin semata-mata. Tak pasal-pasal mereka ikut campur tanpa sengaja.

"Ayah salah, Nurin. Ayah jahat. Ayah tak fikir akibat daripada keputusan yang dah dibuat. Ayah sepatutnya berbincang dengan kamu, tapi ayah serabut sangat masa tu." Perlahan suara Nadzir bertutur.

"Memanglah kau tak fikir sebab kesan dan akibat daripada perbuatan bodoh kau tu aku yang terpaksa menanggung. Kau tahu tak beberapa tahun ni aku hidup dalam ketakutan? Tak payah cerita tentang kisah hidup aku beberapa tahun yang sudah. Cukuplah kejadian yang berlaku beberapa hari yang lepas sebagai bukti kesan dari perbuatan terkutuk kau. Aku juga yang menanggung!"

Nyaring suara Nurin memenuhi segenap ruang. Bagaikan melepas semua rasa yang terbuku di hati, Nurin yang lemah-lembut seolah-olah kena rasuk dek jembalang.

"Nurin, sabar... kita selesaikan perkara  ni elok-elok. Ini hal keluarga. Ada lebih baiknya Nurin bertenang dulu. Tak akan ada kesudahan kalau terus-menerus macam ni." Nizam bersuara setelah sekian lama berdiam diri dan sekadar menjadi pemerhati. Sungguh dia sendiri terkejut sebaik saja mengetahui kisah yang tersimpan rapi selama ini. Tak sangka kejadian seperti ini benar-benar berlaku dalam masyarakat hari ini. Betapa sukarnya untuk bertahan hidup dalam keadaan sekarang hinggakan seorang ayah sanggup menjual anak, seorang suami sanggup berhutang demi isteri walaupun sedar salurannya salah namun tetap dituruti. Nyawa jadi taruhan, kasih sayang digolak-gadaikan.

"Pak cik, ada baiknya pak cik balik dahulu. Tak akan ada kesudahan kalau keadaan Nurin masih macam ni." Nizam bersuara lagi dan kali ini khas kepada Nadzir.

Nadzir mengangguk perlahan. Dia tahu, kesalahannya bukan kecil malah cukup-cukup besar. Tidak mungkin Nurin akan terus memaafkan dia. Bagi Nadzir, mengetahui Nurin dalam keadaan yang baik sudah cukup menggembirakan. Dylan tidak berbohong sedikit pun. Sungguh Dylan menjaga Nurin dengan baik. Malah lebih baik daripada dia. Perlahan-lahan Nadzir memohon diri. Nurin menjeling tajam, kalau boleh dia mahu orang tua itu nyah terus dari hidupnya. Nizam menghantar Nadzir sehingga ke luar pagar rumah.

Sebaik saja kelibat Nadzir lesap, Nurin menangis semahu-mahunya. Tiada lagi riak wajah garang dan benci. Yang tinggal cumalah wajah pilu yang diselebungi sendu. Tangisnya berlarutan di dalam pelukan Puan Hasnah. Nizam hanya memerhati emaknya memujuk Nurin yang masih tenggelam bersama tangis. Dia tertanya sendiri, bagaimana dia boleh terjebak dalam situasi ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience