Nurin mengeluh perlahan. Apalah nasib diri. Bukan senang nak mencari kerja zaman sekarang lagi-lagi kalau yang senasib dengannya. Pelajaran terhenti sekerat jalan. Lagi malang terhenti bukan atas keinginan hati. Seawal usia 16 tahun dijual bagi tujuan melunaskan hutang. Sekolah? Tiada lagi di dalam kamus hidup Nurin. Jika tiga tahun yang lepas laluan hidupnya lancar, mungkin sekarang dia bergelar mahasiswi di mana-mana universiti tempatan.
Jika sebelum ini nasibnya menjadi pelayan di kelab, sekarang pun tidak jauh bezanya. Dia kini bekerja di sebuah pusat urut di bawah jagaan Dylan. Jika sebelum ini dia banyak bertemu jantan miang tua semasa di kelab, di pusat urut ini pun tak jauh beza. Ada saja spesis yang rumah kata pergi, kubur kata mari namun masih juga nak urut lebih-lebih. Walaupun pusat urutan itu tidak menyediakan servis 'urut batin' namun seperti biasa, dah namanya bisnes yang berada di bawah seliaan Dylan, ahh urutan yang tak ada dalam senarai pun tiba-tiba ada. Bezanya hasil urutan yang satu ini upahnya seratus peratus milik 'tukang urut' yang bertugas. Tiada komisen kiri dan kanan. Asalkan sanggup buat kerja extra maka gemuklah poket. Kalau tak sanggup, merasalah gaji bulanan semata.
Dylan? Dia sengaja buat-buat buta. Kononnya itu rezeki gadis-gadis tukang urut. Ish, rezeki konon! Dalam sepuluh yang datang mengurut, lapan lagi sekadar datang nak main. Terdapat juga sebilangan pelanggan yang langsung tiada mukadimah. Masuk bilik terus tayang aset. Memberi arahan seterusnya dan menayangkan jumlah wang yang diperoleh sekiranya keinginannya dituruti. Yang gelap mata akan sengaja buat-buat buta. Yang menolak akan dimarah, ada juga pelanggan akan berlalu pergi dan tidak kurang juga yang meminta pemulangan semula wang servis mengurut kerana tidak mendapat servis yang diingini.
"You boleh buat-buat tak tahu dengan aktiviti yang berlaku dekat pusat urut tu?" Nurin membebel. Dylan yang berada di depannya kelihatan tenang mengunyah perlahan hidangan lamb chop yang dipesan.
"Dylan, I tak nak dah masuk campur dengan urusan yang macam ni. I tak suka. Kalau boleh I nak kerja yang betul-betul kerja. Bukan macam ni."
"Macam ni macam mana maksud you?"
"Jangan buat-buat bodoh ya. I tak nak macam ni! Seks bebas, main sana main sini. Lepas layan tok janggut bilik sebelah, layan pula pak misai bilik sana. Ish, jijik! I nak hidup normal."
Dylan meletakkan sudu dan garfunya dan menolak pinggan ke tengah. Alahai Nurin, ingatkan nak makan bersama dengan santai. Kenapa depan makanan juga nak merungut?
"Dulu lagi teruk, kan? Dulu di kelab, hidup you dikeliling maksiat juga. Dadah pun tak ketinggalan tapi you boleh survive, kan? Ada you try dadah? Tak ada pun. Ada you layan jantan di ranjang? Pun tak ada. So, sekarang pun sama Nurin. Kalau you tak nak, you jangan layan. As simple as that."
"Tapi tak ke I dikira bersubahat bila I diamkan saja semua tu? I pun dikira berdosa."
"Tell me now, Nurin. Apa yang boleh I buat? You tahu jalan hidup I macam mana, you tahu dah berapa lama I hidup dengan jalan yang penuh dosa macam ni and you nak I sediakan jalan yang sesuci seputih salji untuk you? Fikir logik, Nurin. Kalau I boleh dan mampu cari jalan sesuci dan seputih salji untuk you, kenapa I sendiri masih hidup dalam kegelapan? Kenapa jalan I macam ni?"
Nurin terdiam. Dylan kenapa? Nak marah dah kenapa? Salahkah dia mengadu? Kalau bukan pada Dylan, pada siapa lagi? Dia bukannya ada orang lain.
"I dah cuba yang terbaik untuk you. I jaga you baik-baik. Orang lain dekat kelab semuanya dah ditebuk tupai, bukan seekor dua malah berekor-ekor yang datang menebuk. Tapi you? I jaga elok sampai sekarang. I tak benarkan sesiapa sentuh you. Bila you nak keluar, I turutkan. You nak kerja? I benarkan. Kenapa you cuma nampak yang buruk saja? Kenapa usaha suci murni I yang lain tu you boleh buat tak tahu?"
"Dylan, I rasa you tak faham. I cuma nak..."
"Nurin, I rasa you yang tak faham. Make sense tak kalau I boleh sediakan jalan yang tak ada liku untuk you, kenapa I tak nak lalui jalan yang sama? Kenapa I dengan sengaja lalui jalan berliku, bersimpang-siur dan beronak duri macam ni sedangkan I boleh sediakan jalan penuh kelancaran macam yang you nak?"
"Then kenapa kita tak nak lalui jalan yang betul bersama?"
"Lupakan, Nurin. Jalan kita jauh berbeza. I dah aturkan jalan ini untuk you. Ikut saja laluan tu. Kalau sungguh pun jalan tu tak seindah yang you nak, tolonglah... I minta tolong sangat. Tolong hargai jalan tu. Bukan mudah untuk I sediakan semua tu untuk you."
"Tapi...kalau you boleh cari jalan yang kurang gelap untuk I berbanding jalan yang you ada sekarang, kenapa you biarkan jalan you sendiri masih diselubungi kegelapan?"
"Kerana I dah terlampau jauh terjebak, Nurin. Ini jalan yang I pilih dari dulu. You pula terjebak tanpa sengaja. Masuk ke lembah gelap ini tanpa keinginan. You terpaksa! I pula? I memang memilih untuk berada di sini."
"Tapi sampai bila, Dylan?"
"Hanya masa yang menentukan."
"Dylan, biarpun agama kita berbeza tapi I percaya semua agama tak mengizinkan penganutnya untuk berbuat dosa. You sedar jalan you ini salah, betul tak?"
"Dah lama I hidup tanpa pegangan agama. Nurin, you masih muda. Berbaloi untuk you berubah sekarang. Kenapa? You jijik untuk stay dengan I sekarang?"
"No! Kalau ikutkan hati, I nak sehidup semati dengan you. Dari mana pula datangnya jijik kalau dalam hati I pun ada you saja yang berada di tempat teratas? You yang tak sudi."
"Macam mana you nak sehidup semati dengan I kalau kita jauh berbeza? Pendapat you lain, pendapat I lain. You nak singkir dosa, I pula bergelumang dengan dosa. Apa yang you fikir?"
"Tak terlambat untuk berubah."
"Tak terlambat untuk you, Nurin. Apa kata you lupakan perasaan you untuk I dan cuba serahkan perasaan tu untuk orang lain?"
"Amboi, you ingat hati I boleh sesuka hati dibuka untuk lelaki lain?"
"You tak cuba."
"I nak cuba macam mana kalau I pilih you? I cintakan you, Dylan. Dah berjuta kali I lafazkan benda yang sama."
"Cinta tapi tak semestinya memiliki."
"You senanglah cakap sebab you tu buta hati. Tak tahu macam mana rasa falling in love sebab tu hati you kering dan keras macam batu! Dah, I nak balik." Nurin bingkas bangun dan berlalu pergi meninggalkan Dylan. Aduh, merajuk pula.
Dylan memandang pinggan Nurin yang hampir tidak terusik. Mesti nanti Nurin lapar. Dylan memesan hidangan yang sama untuk dibungkus. Cinta tapi tak semestinya memiliki. Hmm, mungkin itulah ayat yang sesuai untuk memujuk hatinya sendiri, bukannya Nurin. Benar dia mencintai Nurin namun dia berharap agar Nurin mencintai yang lain. Jika benar Nurin mahukan kehidupan yang jauh lebih baik, dia bukanlah calon yang sesuai untuk merealisasikan impian Nurin itu. Awal-awal lagi dia dah tersingkir.
Nurin masih terlalu mentah. Mungkin kerana itu Nurin terlalu berpegang pada rasa cintanya terhadap Dylan. Dia tak pernah bergaul dengan orang lain selain daripada Dylan dan konco-konconya yang mana jauh lebih berusia dari dia. Kalau ada pun dia bergaul dengan lelaki lain, itu pun tak layak untuk dibuat pasangan. Rata-rata yang jadi pelanggan spesis si tua bangka, status suami orang atau pun duda miang yang dah lama tak mendapat. Dylan mengimpikan kebahagian untuk Nurin tapi sayang bahagia itu bukan bersama dia, sebaliknya bersama orang lain yang lebih sesuai untuknya seperti Nizam. Ya, Nizam calon yang sesuai. Walaupun Dylan tidak mengenali Nizam secara dekat namun Dylan pasti, lelaki itu mampu membimbing Nurin ke arah hidup yang lebih baik. Lelaki seperti Nizam selayaknya untuk Nurin, bukan dia.
Share this novel