Bab 32

Drama Completed 53004

Nurin menjangka situasi di antara dia dan Nizam akan menjadi canggung namun tiada apa yang berubah. Segalanya berjalan seperti biasa. Malah, terlalu biasa. Bagaikan tiada apa yang berlaku. Apakah benar Nizam memaksudkan apa yang diluahnya malam tadi atau sekadar satu permainan?

Meluat pula rasanya bila melihat Nizam berlagak seperti tiada apa yang berlaku sedangkan dia menahan rasa bersalah kerana menolak Nizam mentah-mentah hanya kerana dia sedang menunggu sesuatu yang dia sendiri pun tidak pasti.

"Hai Nurin, good job. Perapan kambing sedap sangat hari ni. Esok buat lagi perapan yang super padu yah. Customer siap bagi tips." Nizam menegurnya ceria. Nurin pula yang terpinga-pinga. Eh, apa sebelum ni tak sedap ke? Tak kanlah tak sedap? Sama saja resepinya. Dia langsung tak ubah apa-apa pun. Itu resepi yang Nizam ajar pada hari pertama dia masuk kerja dan itu jugalah resepi yang dia guna sejak dari itu.

"Wangi betul rempah ayam hari ni. Nurin buat? Terbaiklah." kali kedua Nizam menegurnya. Dah kenapa mamat ni? Selama ni tak wangi ke?

"Nurin, aku rasa bos kurang siuman hari ni."

Terkejut Nurin apabila mendengar Amira berkata begitu. Kurang siuman? Dah kenapa? Wei, janganlah. Sayang kalau orangnya kacak tapi otaknya mereng.

"Dari pagi tadi aku perasan, asal bertembung dengan kau mesti dia akan jadi orang yang paling ceria sedangkan aku dah beberapa kali tertangkap dia mengeluh berat macam tengah ada masalah dunia."

"Ya ke? Sebelum ni tak pernah ke nampak dia macam tu?" Nurin sengaja menyoal. Berpura-pura seperti dia tidak tahu menahu tentang masalah dunia yang sedang majikannya hadapi.  Ah, mungkin juga ada masalah lain. Tak semestinya dia yang menjadi punca Nizam jadi begitu. Tak payah nak perasan sangatlah!

"Entahlah. Rasanya macam tak pernah lagi tengok dia dengan muka sunggul. Orangnya cool, always look positive tapi tadi tu macam terlanjur sangat. Nampak macam dibuat-buat. Kau tak rasa macam tu ke?"

"Manalah aku tahu. Aku baru lagi."

"Jangan-jangan ada kaitan dengan kau?"

"Apa pula kaitannya dengan aku?"

"Sebab dengan kau saja dia jadi macam tu. Macam fake sangat cerianya tu. Kalau dengan aku, tak ada pun. Tapi nampaklah dengan macam tengah ada problem."

"Dah tu? Apa kaitan problem dia dengan aku?"

"Hmm, aku jadi lagi yakin yang kau ada kaitan." Lagak seperti seorang penyiasat tersohor, Amira membuat kesimpulan.

"Kot dia ada masalah dekat rumah."

"Apa pula masalah dia? Orang rumah pun tak ada lagi. Tak kan mak ayah dia merajuk dia pula yang bingung? Tahulah mak ayah dia selesaikan masalah mereka sendiri. Itu pun kalau ada. Tak kan effect dia pula."

"Eh, kau mana tahu."

"Dah tu? Kau tahu?"

Nurin tersengih cuma. Perbualan mereka terhenti seketika apabila kelibat manusia yang sedang diperkatakan lalu di depan mata. Nizam menoleh memandang mereka berdua.

"Apa? Mengata oranglah tu sebab tu tiba-tiba senyap bila orang lalu." ujar Nizam selamba sambil melangkah pergi.

"Ish, macam tahu-tahu kita tengah bercakap tentang dia." ujar Amira lalu turut bangun. Ada pelanggan katanya. Nurin tidak perasan pula bila masanya pelanggan masuk.

"Nurin, tolong hantar order kejap. Meja 15, ya?" Amira tiba-tiba muncul selepas beberapa ketika lalu menyerahkan dulang berisi mee sup dan teh o panas. Nurin pelik kenapa Amira tidak menghantar pesanan tersebut sendiri tapi malas pula dia mahu bertanya memandangkan Amira cepat-cepat berlalu pergi. Perlahan-lahan dia menatang dulang dan melangkah ke arah meja yang diberitahu. Bagaikan terhenti masa apabila dia melihat wajah pelanggan tersebut. Wajahnya tiba-tiba terasa panas.

"Kau? Apa yang kau buat dekat sini?" Sedaya-upaya Nurin menahan suaranya. Mujur dia masih waras untuk mengawal lantunan suaranya agar tidak menimbulkan kekecohan.

"Ayah nak jumpa Nurin." Nadzir berkata perlahan.

"Kau nak apa? Tak cukup lagi kau hancurkan hidup aku sebelum ni? Tak puas hati lagi? Sampai ke sini kau cari aku."

"Nurin, duduklah dulu." Nadzir cuba memujuk.

"Apa kau nak? Kau sengaja datang sini cari hal dengan aku, kan? Kenapa? Kau nak semua orang tahu siapa aku sebelum ni?"

"Tak, Nurin... Nurin dapat surat ayah?"

"Kenapa kau hantar surat tu? Oh, sekadar pengganti diri sebab nak minta maaf? Kau baliklah, tak payah cari aku dah. Kali terakhir kau datang cari aku, tak pasal-pasal jiran sebelah rumah tahu tentang masa silam aku. Sekarang kau cari aku dekat tempat kerja aku pula. Ish, memang sah kau sengaja nak bongkarkan sisi gelap aku."

"Habis tu? Macam mana lagi ayah nak minta maaf? Ayah datang jumpa Nurin untuk minta maaf tapi Nurin tak sudi nak berjumpa dengan ayah. Ayah merayu untuk kemaafan tapi Nurin langsung tak nak dengar apa pun alasan ayah. Apa lagi pilihan yang ayah ada? Apa lagi yang ayah perlu buat untuk dapatkan semula anak ayah?"

"Anak ayah dah mati." balas Nurin lantas bergegas pergi dari situ. Laju kakinya mengorak langkah ke dalam stor tempat penyimpanan bahan kering. Tanpa dipaksa air mata mengalir laju. Dihamburkan segala rasa sedih dan pilu yang menggunung. Masih lagi dia cuba untuk menahan tangisnya. Risau jika ada yang mendengar esak tangis. Dia menekup mulutnya sendiri.

Wajah Nadzir yang kini dimamah usia jika dibandingkan dengan beberapa tahun yang sudah terbayang di ruangan matanya. Wajah redup itu bagaikan redha apabila dia terus berdegil. Apakah dia salah melayan lelaki yang pernah dipanggilnya ayah sebegitu sekali?

Nadzir hadir dalam hidupnya saat dia masih dahaga kasih dan sayang seorang ayah. Nadzir menggalas tanggungjawabnya dengan baik. Dia ditatang bagai minyak yang penuh. Hidup mereka senang atas usaha Nadzir. Tulang empat kerat lelaki itulah yang menyara dia dan emaknya. Segalanya cukup indah dan sempurna sehinggalah mereka diuji tanpa penghujung. Langit yang cerah tiba-tiba bertukar kelam dan gelap. Tiada lagi sinar bahagia, yang ada cumalah derita berpanjangan.

Tiba-tiba pintu stor diketuk perlahan. Suara Nizam memanggilnya keluar. Ah, Nizam! Lelaki yang tanpa sengaja tahu tentang segala-galanya. Kenapa mesti dia yang ada dalam situasi begini?

"Nurin, keluar. Tak baik macam ni. Saya tahu masalah ni besar tapi mari kita handle sama-sama. Nurin tak perlu tempuh semua ni seorang diri macam dulu lagi dah. Saya ada."

"Boleh suruh dia pergi?" Nurin memohon agar Nizam menghalau Nadzir.

"Keluarlah dulu. Nanti tak pasal-pasal yang lain akan menyoal itu ini. Mereka tak tahu apa-apa lagi tu. Sebelum mereka sedar adanya sesuatu tengah berlaku, ada baiknya awak buka pintu ni dan kita hadap sama-sama."

Nurin mengesat air matanya. Dia sendiri tidak pasti bagaimana rupanya sekarang. Lantaklah! Perlahan-lahan dia membuka pintu stor. Terlihat Nizam terpacak menunggu di depan pintu.

"Aduh, tak boleh nak sorok langsung muka lepas nangis. Mata sepet, hidung merah, telinga merah." Nizam mengomel. Nurin diam.

"Nurin, kenapa ni?" Entah dari mana datangnya, Peter tiba-tiba muncul.

"Saya terkuncikan dia." Laju saja Nizam memberikan alasan. Meletakkan dia sebagai punca.

"Uish, apa ni? Tak pasal-pasal menangis anak orang." Peter melancarkan serangan. Tak perasan langsung ke ada orang dekat dalam stor?

"Ish, sibuk dia ni. Berani betul kau marahkan bos kau, ya?" Nizam membalas serangan. Peter tersengih. Serangan balas itu menyebabkan dia berundur.

"Jangan nangis, Nurin. Nanti kita marah bos beramai-ramai." Kata Peter sebelum berlalu pergi.

"Kalau ada yang lain tanya kenapa awak nangis, jawab saja saya yang terkuncikan awak dekat dalam stor."

Nurin masih membatu. Mengangguk tidak, mengiyakan pun tidak. Dia masih lagi memikirkan tentang kehadiran Nadzir di situ.

"Mari, kita hadap bersama." Nizam mengajaknya berdepan dengan Nadzir. Segera Nurin menolak. Laju kepalanya menggeleng.

"Sampai bila nak mengelak? Nak selesaikan masalah, kita kena hadap. Bukannya lari. Macam saya, kena reject dengan awak pun saya still boleh hadap awak macam biasa. Haa, gitu." Tiba-tiba Nizam menjadikan dirinya sendiri sebagai contoh.

"Marilah, tak kan awak nak tunggu saya pegang tangan awak juga baru nak ikut saya?"

Nurin menjeling Nizam. Berat rasa hatinya. Benci pula apabila Nizam sedikit memaksa. Tapi ada benarnya apa yang dikatakan. Kalau dia terus mengelak begini, tak kan ada kesudahan. Masalah ini akan berterusan. Tapi dia tak bersedia lagi.

"Please, Nizam. Tolong beritahu dia yang saya tak bersedia lagi untuk berdepan dengan dia. I really need to calm myself. Saya tak boleh nak selesaikan apa-apa masalah dalam keadaan macam ni. He need to go now." Nurin masih tidak mahu melangkah keluar dari bilik itu. Nizam menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju dengan permintaan Nurin. Bagi Nizam, Nurin sebenarnya langsung tidak punya keinginan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di antara dia dan Nadzir. Nurin sekadar mengelak dan melengahkan masa.

"Keluar sekarang Nurin sebelum yang lain terhidu something wrong somewhere." Tegas suara Nizam menyebabkan kaki Nurin melangkah berat. Perlahan-lahan dia mengatur langkah membontoti Nizam untuk berdepan dengan Nadzir. Sebaik saja sampai di situ, Nurin melepaskan nafas lega apabila kelibat Nadzir tidak lagi kelihatan. Ah, lega! Nadzir sudah pun pergi sebelum Nizam sempat memujuknya keluar. Mee sup tidak terusik. Begitu juga dengan teh o panas yang terhidang. Nizam mencapai sekeping tisu yang terselit di bawah mangkuk. Terdapat tulisan di atasnya.

Ayah sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan semula anak ayah. Ayah tak ada sesiapa selain daripada anak kesayangan ayah.

Ringkas saja tulisannya. Nizam menyerahkan tisu yang terdapat tulisan tangan Nadzir itu kepada Nurin.

"Dah tiba masanya awak buka hati untuk memberi kemaafan, Nurin. Dia mungkin insan yang menghancurkan hidup awak tapi percayalah, hidup awak tak seteruk yang awak sangka."

"What? Tak seteruk yang saya jangka? Habis tu awak nak hidup saya lagi teruk daripada ni? Semua yang dah saya lalui sebelum ni tak cukup teruk?"

"Cuba berfikir dan buat keputusan waktu emosi tak terganggu. Barulah boleh berfikir dengan jelas dan rasional."

"Kalau menyentuh tentang dia, saya tak boleh nak bertenang."

"Sampai bila Nurin?"

"Sampai bila-bila."

Kerasnya hati Nurin tidak dapat disangkal. Nizam menggelengkan kepalanya dan berlalu pergi. Ya, dia tahu Nurin mangsa keadaan. Dia tahu Nurin berdepan dengan pelbagai situasi yang tak sepatutnya dia hadap pada usia yang muda. Berdepan dengan pelbagai jenis golongan yang hanya dahagakan tubuh gadis itu sudah semestinya sangat menakutkan bagi Nurin. Tapi hidup harus diteruskan. Ketakutan itu hanyalah masa silam. Nurin sudah pun keluar dari kepompong maksiat. Tidak bisakah Nurin terus terbang menikmati alam seperti rama-rama yang melebarkan sayapnya ke sana ke mari? Dia sendiri tidak pernah memandang jijik pada Nurin tapi kenapa Nurin sendiri bagaikan tersekat di suatu sudut dan tidak mampu melepaskan semua kegelapannya? Nizam tidak tahu dan tidak akan pernah berjaya menolong diri Nurin untuk meneruskan hidupnya dengan normal sekiranya Nurin sendiri tidak membenarkan. Dia cuba membantu tapi jika Nurin tidak memberi keizinan, apalah daya dia untuk mencampur urusan hidup Nurin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience