Bab 44

Drama Completed 57469

"Pergi! Aku keturunan pelacur! Kau tak geli ke?" Eryn meraung meminta Puan Azuween meninggalkan dia sendiri. Dia benci dengan dirinya sendiri. Dia hasil dari hubungan haram. Dia anak haram! Darah yang mengalir dalam tubuhnya adalah darah seorang pelacur.

"Eryn, mak tak akan pergi selagi mana kamu tak buka pintu ni."

"Aku geli! Entah lelaki mana yang buntingkan pelacur tu sampaikan aku ni lahir dari rahim seorang pelacur!"

"Sudah-sudahlah tu, Eryn. Dah tiga hari kamu berkurung macam ni." Puan Azuween meraup wajahnya. Sudah masuk hari ketiga Eryn mengunci diri di dalam bilik. Langsung tak keluar makan atau minum. Dia risaukan Eryn. Terpaksa juga dia menceroboh menggunakan kunci pendua sekali lagi.

Eryn diam membisu. Dunianya bagaikan telah runtuh. Hatinya berkecai menjadi kepingan yang paling halus. Sudahlah kecewa terhadap cinta yang berlalu pergi ditiup angin bayu. Pada hari yang sama juga dia tahu asal-usul dirinya yang lahir dari manusia yang mana hidupnya di lembah hina penuh kemaksiatan. Hadirnya dia di dalam rahim pelacur itu adalah hasil hubungan zina. Entah daripada benih siapalah dia wujud di dalam rahim itu. Ah, memikirkan itu saja sudah cukup membuatkan dia semakin tertekan dengan hidupnya kini. Dugaan apakah seberat ini Ya Tuhan?

Eryn meraung. Meratapi diri. Ah, kasihan dirinya sendiri. Sudahlah tidak tahu siapa bapanya. Hendak mencari pun entah di mana mulanya. Mak kandungnya pula? Pelacur? Haruskah dia mula mencari di lorong?

"Eryn, jangan macam ni. Sampai bila nak terus macam ni? Apa yang Eryn nak sebenarnya?"

"Eryn nak mati..."

"Allah, bawa mengucap sikit Eryn! Ingat Tuhan."

"Hidup ni kejam. Baru Eryn tahu kenapa Eryn susah nak capai bahagia. Semua tu sebab Eryn ni anak zina. Eryn anak haram yang bukan saja lahir diluar ikatan perkahwinan, malah dari perbuatan zina antara pelacur dengan lelaki yang entah siapa. Maksiat!"

"Jangan terlalu memandang pada apa yang buruk, Eryn. Carilah baiknya. Kita tak akan diuji melebihi kemampuan kita. Ada hikmah dalam setiap perkara yang berlaku."

"Apa yang baiknya? Cuba cakap? Eryn buta agaknya sebab tak boleh nampak langsung mana baiknya dari semua perkara ni."

"Eryn kena tahu yang mak kandung Eryn seorang wanita yang sangat kuat."

"Kuat melacur! Kuat berzina? Bila dah mengandung boleh pula bagi anak dekat orang lain!"

"Diam, Eryn! Kau tak tahu apa-apa tentang dia!"

"Habis tu mak tahu semuanya tentang dia? Kenapa nak membela sangat pelacur tu? Dia ada bagi duit dekat mak ke?"

"Dia pun tak naklah hidup macam tu. Kalau diberi pilihan, dia pun inginkan kehidupan yang jauh lebih baik. Kamu jangan lupa disebabkan dialah kamu dapat kehidupan yang kamu dapat sekarang ni. Kamu dapat kasih sayang, pendidikan, tempat tinggal. Makan dan minum kamu pun terjaga. Kamu membesar dengan baik, Eryn. Semua tu disebabkan oleh pelacur yang kamu hina tu! Disebabkan pelacur tu jugalah mak dapat jaga kamu. Mak dapat hidup dengan kamu."

"Eryn tak fahamlah! Kenapa semua orang nak menangkan sangat yang namanya pelacur? Nurin pun orang terima bodoh-bodoh macam tu saja. Dah macam kena pukau. Tak seorang pun nak pertikaikan latar-belakang dia. Semua jadi buta. Tak ada seorang pun dari keluarga kita nak pertahankan nama baik dan maruah keluarga. Sekarang mak nak pertahankan pelacur yang lahirkan Eryn pula?!"

"Eryn tahu tak, takdir menentukan kehadiran Eryn dalam rahim dia rupa-rupanya sebagai satu titik awal kepada perubahan hidupnya."

"Eryn tak peduli! Lebih baik dia biarkan Eryn mati dalam kandungan supaya Eryn tak perlu hidup sebagai anak seorang pelacur." Ujar Eryn penuh benci.

"Dia tu...dia berubah selepas tahu adanya malaikat kecil dalam rahimnya. Ya, dia tersilap langkah kerana terjebak dalam kerja keji macam tu. Tapi kerana adanya Eryn dia cuba untuk berubah. Dia cuba untuk jadi lebih baik. Masa itulah mak berjumpa dengan dia."

"Eryn tak nak dengar tentang dia! Semua tu dah tak ada makna! Darah yang mengalir dalam tubuh ni tetap darah hina! Tak ada bezanya pun mak! Mak cerita tentang dia pun tak kan mampu mengubah apa-apa. So, please shut up!" Eryn menekup telinganya sebagai tanda protes tidak mahu mendengar apa-apa saja yang akan diucapkan oleh Puan Azuween.

"Mak Eryn tu tak pernah sekali pun dia merungut di depan mak tentang payahnya dia untuk teruskan hidup selepas melarikan diri dari pusat pelacuran.  Hidupnya bagaikan pelarian gara-gara pertahankan anak yang sedang dikandung. Dia tak nak anak yang bakal dilahirnya dijual di pasaran gelap. Dia dah puas melihat bayi-bayi yang lain dirampas , dipisahkan dari ibunya dan dijual tanpa persetujuan dari si ibu. Pertama kali mak kenal dia, mak tahu dia memang betul-betul mahu berubah."

"Eryn tak nak tahu! Eryn tak nak dengar alasan dia!"

"Mak tak kisah Eryn tak nak dengar tapi mak tetap akan terus bercakap. Mak tak pernah lupa, air mata dia yang mengalir saat dia serahkan Eryn untuk mak jaga. Nampak sangat dia berbelah bahagi. Nampak sangat dia terasa berat. Menggigil tangannya saat dia serahkan Eryn. Berkali-kali dia cium dahi, pipi, tangan... Tak ada satu part pun yang dia tertinggal. Dia bersungguh-sungguh sayangkan Eryn."

"Sayang? Apa yang orang seperti itu tahu tentang sayang? Kalau sayang boleh pula bagi Eryn dekat orang lain? Apa dia ingat Eryn ni anak kucing? Boleh bagi macam tu saja dekat siapa-siapa yang nak? Tak payah cerita tentang perempuan murahan macam tu. Eryn tak berminat!" Balasnya lagi.

"Kerana sayanglah dia terpaksa lepaskan Eryn. Dia nak Eryn hidup sempurna. Cukup makan, cukup minum, cukup pakai. Ada tempat yang sempurna untuk berteduh dari hujan dan panas. Ada peluang untuk mendapat pendidikan dan ilmu. Dia korbankan rasa sayang dia untuk masa depan Eryn. Dia tahu dia tak ada apa-apa untuk pastikan Eryn cukup dari segala segi. Dia korbankan keinginannya untuk jaga Eryn demi kelangsungan hidup Eryn. Mak tahu dia tak sanggup nak berpisah dengan Eryn tapi dia buat juga. Semua itu sebab dia sayang Eryn." Puan Azuween tetap bersuara walaupun Eryn memintanya untuk berhenti.

"Apa tujuan mak ceritakan semua benda mengarut ni? Eryn dah cakap dah Eryn tak kisah dan Eryn tak nak dengar." Eryn merungut penuh kesal.

"Kamu tak nampak lagi hikmah dari semua ni? Disebabkan kamu, dia ada kekuatan untuk tinggalkan kehidupan dia yang sebelum ini dan nekad untuk berubah ke arah yang lebih baik. Disebabkan itu jugalah mak berpeluang untuk bergelar seorang ibu. Mak tak boleh nak mengandung. Tapi Allah takdirkan kamu hadir dalam rahim dia untuk mak jaga. Eryn, percayalah dia seorang yang baik. Jangan kamu hina dia kerana jijik dengan pekerjaannya sebagai seorang pelacur. Di mata mak, dia seorang wanita yang hebat. Buruk-buruk mana sekalipun, busuk-busuk mana pun dia tetap mak kandung kamu. Dia yang bertarung nyawa untuk lahirkan kamu. Mak cerita semua ni sebab mak tak nak kamu lupakan pengorbanan dia."

Puan Azuween mengeluh perlahan. Wajah ibu kandung Eryn muncul di ruangan matanya. Wajah yang menyimpan seribu duka namun sering terpancar senyuman yang penuh dengan seribu erti.

"Eryn, tak semua orang suka-suka memilih jalan hidup yang teruk. Cuma kadang-kadang takdir hidup mereka terlalu sukar. Ujiannya terlalu berat menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan memilih jalan mudah untuk melepaskan diri dari kekejaman dunia." ujar Puan Azuween perlahan sebelum dia berlalu keluar meninggalkan Eryn sendiri. Dia menutup pintu bilik Eryn perlahan. Tidak tahu apa lagi yang harus dia lakukan untuk mendapatkan Eryn yang dulu.

Di dalam bilik, Eryn kembali bersulam tangis. Bertarung dengan hati dan perasaannya sendiri. Masih menyoal kenapa harus dia yang diuji.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience