"Kau tak boleh tuntut dia. Kenapa kau datang ke sini?" Dylan menyoal Nadzir yang sedang duduk di depannya. Dia sendiri terkejut dengan kehadiran lelaki itu, penampilannya jauh lebih kemas berbanding dengan beberapa tahun yang lalu. Dulu Nadzir datang ke mari dengan penampilannya yang kusut dan serabut. Wajahnya kini juga kelihatan lebih tenang.
Ah, tak kisahlah macam mana sekali pun penampilan dia. Yang penting sekarang ni apa tujuan Nadzir datang ke sini? Dia sepatutnya pergi. Terus menghilang dan tenggelam. Pura-pura mati agar dia pupus terus. Itu perjanjian asal.
"Aku cuma nak tahu khabar dia. Jadi tolonglah berikan aku peluang untuk bertemu semula dengan dia."
"Kau ingat janji kau dulu?"
"Ya aku ingat tapi waktu tu Laopan hidup lagi. Sekarang Laopan dah mati jadi aku datang nak minta simpati kau untuk beri aku peluang tu. Aku tahu kau bukan orang yang jahat. Aku tahu kau cuma ikut arahan Laopan. Itu bukan diri kau."
"Manusia dipegang pada janji, Nadzir. Laopan ada atau tidak kau kena tepati janji kau. Aku tak nak dituntut kerana janji yang kau sendiri persetujui." Berat hati Dylan untuk memberikan peluang itu kepada Nadzir. Dia risau sekiranya Nadzir akan menuntut semula Nurin. Nanti tak pasal-pasal Nurin akan di bawa pergi lebih jauh. Macam mana dia nak tengok Nurin lagi kalau betul macam tu? Sedangkan sekarang pun dia terpaksa mencuri masa untuk berjumpa Nurin. Setiap saat yang berlalu tanpa Nurin terasa sangat menyeksakan. Dia hanya akan rasa normal apabila dia bersama Nurin. Ah, rumit. Walaupun begitu hati tidak pula sanggup membalas cinta Nurin. Aduh, orang lain pun ada yang jatuh cinta, tapi tak pula serumit ini. Kenapa bila dia tiba-tiba sepayah ini? Apa mungkin kerana dia jatuh cinta pada orang yang salah?
"Kau panggillah aku kerbau ke, lembu ke aku tak kisah. Kau gelar aku dengan apa saja nama haiwan lain yang dipegang pada talinya pun aku tak kisah. Ini tentang anak aku. Seksa aku fikirkan tentang dia. Aku ambil jalan mudah untuk selamatkan diri tapi aku korbankan dia. Pengecutnya aku! Aku sepatutnya korbankan diri aku sendiri. Aku silap percaturan. Kau lelaki, mesti kau faham rasa gagal yang terpaksa aku tanggung bila aku sendiri yang jual dia untuk bebas hutang aku. Anak aku tu sebenarnya jauh lebih bernilai dari hutang-hutang aku. Sikit sangat nilai hutang aku tu kalau nak dibandingkan dengan nilai dia, Dylan. Dia terlalu berharga buat aku. Dialah harta aku yang sebenarnya. Aku tak tahu kenapa dulu aku semudah itu dibutakan dengan duit. Aku letakkan nilai dia dengan harga yang terlalu rendah sebab dia sebenarnya tidak ternilai."
" Ya, dia juga bernilai di mata aku." bisik hati Dylan sendiri.
Dylan memandang Nadzir yang sedang mengesat air matanya. Ya, tidak disangkal setiap patah perkataan yang dilontarkan oleh Nadzir terkandung rasa pilu dan sesal yang sangat ketara malah setiap patah yang meluncur keluar mengetuk pintu simpatinya. Dylan berfikir sendiri. Dia diam sejenak. Ah, kalau pun Nadzir menyesal, tapi bagaimana dengan Nurin? Mahukah dia berjumpa dengan Nadzir sedangkan hati Nurin hanya tersimpan dendam? Jika benar pun Nurin setuju untuk bertemu Nadzir, adakah Nurin benar-benar memaksudkannya atau adanya udang di sebalik batu? Seingat Dylan, Nurin pernah mengatakan niatnya untuk membunuh Nadzir. Setiap kali Nurin melafazkan niat itu, air wajah Nurin mesti berubah seolah-olah itu bukan dia. Dylan bimbang jika Nurin benar-benar memaksudkannya.
Dylan tidak mahu jika Nurin yang bersih itu mencemarkan tangannya dengan darah. Bukan mudah untuk dia menjaga Nurin sepanjang Nurin berada di kancah hina itu. Beberapa kali juga ada tangan gatal yang mencuba nasib menyentuh aset kepunyaan Nurin demi kepuasan hati. Tidak termasuk dengan mata-mata keranjang yang mencabul pandang pada dada, paha mulus, leher jinjang namun itu diluar kawalannya. Pemakaian Nurin sendiri yang mendedahkan semua atas keperluan tugasnya di kelab. Namun, sedaya-upaya dia akan menepis segala noda hina dari terpalit pada gadis itu. Nurin terlalu berharga. Nurin tidak boleh kotor walau sedikit pun.
"Nadzir, aku tak rasa kau perlu cari dia. Nurin dah move on. Dia ada kehidupan yang jauh lebih baik sekarang. Dia dah tak ada di kelab. Dia dah keluar sana."
"Dia bukan gadis kelab ni lagi?"
"Ya, dia dah pergi."
"Kau tipu aku? Ah, mesti kau tipu aku,kan? Kau tipu sebab kau tak nak aku jumpa dia, kan? Kau risau kalau aku bawa dia lari? Dylan, kau dengar sini. Aku sumpah aku tak akan cuba untuk bawa dia lari. Kau percayalah aku. Aku tak akan tipu. Aku cuma nak jumpa dia sekejap. Selagi tak jumpa dia aku rasa tak tenang. Aku risau. Aku rindukan dia. Aku rindukan anak aku."
"Tak, aku tak tipu kau. Aku tak ada sebab untuk tipu kau. Nurin betul-betul dah pergi dari sini. Kau sepatutnya bersyukur aku lepaskan dia dari tempat macam ni."
"Kau lepaskan dia pergi? Kau tahu dia ada di mana?"
"Ya aku lepaskan dia. Dia masih muda dan aku tak nak dia buang masa hidup di tempat tak ada harapan macam kelab ni. Tapi aku tak boleh nak beritahu kau lokasi dia. Aku tak nak musnahkan kepercayaan dia pada aku. Kalau aku dedahkan lokasi dia pada kau, aku rasa mesti dia akan mengamuk teruk."
"Dia dalam keadaan baik ke sekarang?"
"Jauh lebih baik jika dibandingkan dengan keadaan dia semasa di kelab. Aku warning kau siap-siap Nadzir. Aku jaga dia elok. Dia memang bernilai bukannya bagi kau saja tapi bagi aku juga. Aku harap kau jangan nak buat benda yang tak sepatutnya. Jangan kau sakitkan dia, jangan kau jentik dia, pendek kata jangan kau nak apa-apakan dia. Kalau kau buat juga, kau mengucaplah awal-awal sebelum aku kerjakan kau."
"Tak, Dylan. Kenapa aku nak apa-apakan dia? Aku nak minta maaf. Aku dah buat salah. Aku tahu dengan maaf tu tak boleh nak sembuhkan luka dia. Yalah kan, anak mana yang tak terluka kalau ayah yang sepatutnya menjadi perisai tapi ayah itu juga yang gelapkan hidup dia tapi mungkin dengan maaf itu aku diberi peluang untuk perbetulkan segala kesilapan yang lalu. Aku dah buat salah pada dia. Salah besar yang tak sepatutnya aku buat. Aku nak minta maaf."
"Aku tak halang kau, Nadzir. Tapi aku tak dapat nak bantu kau. Harap kau faham. Penting untuk aku jaga kepercayaan dia. Kalaulah aku yang runtuhkan kepercayaan tu, aku takut sekiranya nanti dia akan betul-betul pergi terus dari hidup aku. Tak pasal-pasal kita ni dua-dua dibuangnya dari hidup dia."
"Tak apalah, Dylan. Kau tak tahu betapa bersyukurnya aku bila dapat tahu dia dah pergi dari sini dan dalam keadaan yang baik. Terima kasih, Dylan. Aku tak akan susahkan kau. Aku akan cari dia sendiri."
"Cuma satu saja yang aku nak beritahu, hati Nurin tersimpan dendam."
Nadzir mengangguk faham. Sesungguhnya dia tidak menyalahkan Nurin. Selayaknya Nurin berdendam. Nurin, ayah datang. Ayah nak minta maaf. Ayah menyesal. Sakinah, ketenangan untuk awak semakin hampir sayang. Selepas Nurin ditemukan, harapnya Sakinah akan lebih tenang di alam sana.
Nadzir akan buat apa saja untuk memperbaiki segalanya. Jika dulu ke mana saja dia pergi, Nurin sentiasa di sebelah. Nurin anak manja dia. Dia ikhlas sayangkan Nurin walaupun Nurin bukan darah dagingnya. Dia sudah pun menganggap Nurin sama seperti anaknya sendiri. Baru diuji sedikit, dia musnahkan segalanya. Runtuhnya keluarganya kini adalah disebabkan dia yang gagal. Seandainya waktu boleh diputar semula, akan dia pelihara keluarganya elok-elok kerana sejak Sakinah dan Nurin tiada, barulah dia tahu betapa bermaknanya keluarga.
Share this novel