"Mesti awak rasa jijik dengan saya sekarang ni, kan?"
Nizam yang baru melabuh punggung di bangku itu segera memandang wajah Nurin.
"Dah kenapa saya nak jijik?"
Nurin mengambil di hujung bangku yang sama. Jarinya bermain-main di bibir cawan yang baru dihulurkan oleh Nizam.
"Sebab saya bukan orang baik. Saya perempuan kelab. Saya perempuan lorong. Saya banyak dosa. Saya kotor. Perempuan macam saya ni tak layak dah nak bina hidup macam orang lain."
"Hidup di lorong, di kelab itu bukan pilihan awak. Tentang dosa pula, kita tak tahu di mana kedudukan kita. Entah-entah saya lagi banyak dosa yang saya dah buat tanpa saya sedar. Siapa kata orang macam awak tak layak nak bina hidup? Selagi mana masih bernafas, itu bermaksud masih ada peluang. Maka gunalah peluang itu sebaiknya."
"Saya dah tak ada masa depan. Belajar tak habis, hidup dalam dunia maksiat. Sedangkan saya sendiri pun jijik, apalagi orang lain." Nurin memejamkan matanya. Secara tidak langsung satu persatu gambaran tentang masa lalunya muncul tanpa dipinta. Gambaran ketika dia berpakaian seksi. Duduk di riba lelaki-lelaki miang. Diusap dibelai. Ahhh, gelinya!
"Ni saya nak tanya, apa matlamat awak sekarang, Nurin?"
"Tak tahu. Kosong."
"Haa apa kata kalau awak betul-betul kosongkan semuanya? Mulakan dari awal sekali lagi. You deserve this chance, Nurin. Sekarang awak bukan di kelab atau di mana-mana lorong lagi dah. Jadi kenapa masih nak fikirkan tentang kehidupan di sana? Awak dapat peluang yang tak semua orang dapat. Mesti ada sebab kenapa awak yang terpilih untuk dapat peluang ni."
"Tak semudah itu, Nizam. Banyak benda yang saya fikirkan."
"Contohnya?"
"Saya tak tahu macam mana nak teruskan hidup ni. Nak kerja tak ada kelayakan. Yalah, siapa pula yang sudi nak hire orang tak habis belajar macam saya ni. Nak bina keluarga? Lagi jauh dari angan."
"Dah kenapa pula?"
"Siapa yang nak dengan kupu-kupu malam macam saya ni, Nizam?"
"Kalau ada orang nak, awak sudi terima?"
Nurin terdiam. Tidak tahu bagaimana harus merespon. Diam seketika kedua-duanya. Nurin hanya tunduk merenung lantai.
"Nurin, dah okay?" Tanya Puan Hasnah yang muncul dari dapur memecah kesunyian. Tangannya mengusap perlahan bahu Nurin lalu mengambil tempat di sebelah. Nurin mengangguk perlahan. Padahal dia sendiri tidak pasti dengan perasaannya sendiri. Adakah dia benar-benar okay? Sejujurnya jiwa terasa berat. Hati pula sedang hancur berkecai. Punah. Dirinya sendiri terasa kusut. Fikirannya bercelaru. Adakah dia benar-benar okay?
"Nurin tenangkan diri. Jangan buat keputusan dalam keadaan yang marah. Nanti esok kita berbincang lagi tentang masalah ni, ya? Nurin rehat betul-betul. Tak payah fikir apa-apa dulu. Pendek kata abaikan terus buat seketika. Esok baru kita sama-sama fikirkan solusinya macam mana." Lembut suara Puan Hasnah memujuk. Nurin yang sudah sekian lama tidak merasa kasih seorang ibu terkesan dengan getaran kasih yang disampaikan oleh Puan Hasnah. Kalaulah maknya masih ada...
"Mak, kesian Nurin..." ujar Nizam selepas menghantar Nurin pulang ke rumahnya sendiri. Alah, bukannya jauh mana pun. Disebelah rumah saja.
"Terkejut mak. Dah rasa macam dalam drama tv. Rupa-rupanya realiti pun ada ya macam tu. Ish, tak tahu mak macam mana nak kawal Nurin tadi tu. Nampak lembut tapi bila mengamuk, gila jugak. Macam kena rasuk. Kuat betul tenaganya padahal tubuh bukannya besar."
"Entahlah mak, Nizam pun rasa macam tak percaya. Macam mana kita boleh terjebak pula? Betullah apa yang mak cakap. Macam drama tv."
"Adalah tu sebabnya kenapa kita yang secara tak sengaja termasuk campur. Bukannya kita ni standard squad bawang yang sengaja-sengaja masuk campur tapi kalau dah macam tadi tu tak boleh juga kita nak memilih untuk tak masuk campur. Bayangkan kalau kita memilih berdiam diri. Uih, mahunya keluar tv betul-betul perumahan kita malam ni. Masuk Buletin Tiga. Anggap sajalah semua yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin sekarang kita tak nampak lagi tapi kita tunggu dan lihat dulu."
"Nizam rasa Nizam dah nampak hikmahnya, mak."
"Apa yang kamu nampak?"
"Jodoh." ujar Nizam perlahan. Antara dengar atau tidak namun frekuensi rendah itu berjaya ditangkap oleh telinga Puan Hasnah.
"Ulangg balik, Nizam? Apa tadi? Jodoh ya kamu cakap? Oh, maknanya betullah apa yang mak sangka selama ni? Kamu memang usha jiran sebelahlah, ya?"
Nizam tersengih. Dari tadi muka ketat serius memanjang. Tak salah kalau dia warnakan semula suasana agar kurang tegangnya. Tak kuasalah nak serius memanjang.
"Mak tak kisah ke kalau-kalau betul Nizam usha dia selama ni?" Nizam menguji.
"Maksud kamu?"
"Mak tahu kan sisi gelap dia macam mana? Hidup dia macam mana?" Nizam mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau kebenaran tentang kehidupan Nurin sebelum ini akan menjatuhkan saham Nurin sekali gus menutup peluang di antara mereka.
"Dia layak untuk disayang, hidup macam tu bukan pilihan dia. Yang penting dia memilih untuk berubah. Bukannya untuk terus kekal jadi macam dulu."
"Jadi mak tak kisah kalau menantu mak bekas kupu-kupu malam?"
"Kamu tak kisah bakal bini kamu bekas kupu-kupu malam? Kamu boleh terima masa lalu dia?" Giliran Nizam pula disoal.
Nizam diam sebentar. Selama dia kenal Nurin, gadis itu baik orangnya. Rasanya tak salah kalau dia menelan masa lalu Nurin untuk memulakan kehidupan baru yang lebih indah. Eh, ke situ pula fikirannya melayang.
"Bagi Nizam, semua tu masa lalu dia. Macam yang mak cakap tadi, kalau dia sungguh nak berubah Nizam sudi pimpin tangan dia untuk melangkah di laluan yang betul. Lagi pula kata orang kita jangan pandang pada masa lalu tapi pandanglah pada pengakhirannya kelak."
"Jadi betullah Nizam usha Nurin selama ni?" Soal Puan Hasnah lagi untuk kepastuan
"Usha siapa?" Tiba-tiba satu suara lain menyampuk. Kedua-dua mereka menoleh. Laa, bila masa sampai?
"Eh, ayah bila sampai? Tak baik betul ayah ni, tak bagi salam terus curi-curi dengar perbualan orang. Berubah betul eh ayah sekarang. Dulu tak ada pun curi-curi dengar, sekarang lain. Siapa ajar?" sengaja Nizam berseloroh. Lari sebentar dari perbualan tadi. Dia memeluk ayahnya erat. Seminggu tak bersua gara-gara trip memancing di laut. Sejak berpencen, hampir dua atau tiga bulan sekali Encik Lutfi akan keluar memancing di laut.
"Hampir terkeluar anak tekak ayah bagi salam. Kamu dengan mak kamu berborak sakan. Tak sedar langsung dengan ayah." balas Encik Lutfi sambil menyambut salam yang dihulurkan oleh isterinya. Puan Hasnah tersengih. Tidak sabar rasanya untuk bercerita dengan suaminya tentang drama yang berlaku dan juga tentang anaknya yang sudah gatal bercakap tentang jodoh.
"Abang, Nizam nak kahwin." Ujar Puan Hasnah tiba-tiba sebelum berlalu pergi meninggalkan anak dan suaminya yang terkedu mendengar kata-kata yang dilemparkan.
"Mak!" Jerit Nizam. Dia tahu maknya sengaja berkata begitu. Boleh tahan kuat menyakat!
"Ayah baru pergi seminggu kamu dah jumpa jodoh?" soal Encik Lutfi bingung. Tak pernah pula dia tahu anaknya sudah ada yang istimewa. Tak dinafikan dia pernah bingung tentang Nizam yang langsung tak pernah menunjukkan minat terhadap perempuan. Tahu-tahu dah sampai jodoh? Normal rupanya anak tunggal mereka itu.
"Mak tu sengaja! Ayah tak payah nak layan sangat."
"Eh mana boleh ayah tak layan mak kamu. Isteri ayah tu." Balas Encik Lutfi lalu berlari membontoti langkah isterinya dan meninggalkan Nizam sendiri. Hah sudahhhh.....sama perangai! Inilah yang dinamakan sekufu.
Nurin, jika benar kamu yang ditakdirkan untuk ku maka akan aku tuntun tanganmu penuh kasih untuk terus melangkah di jalan yang benar. Berhentilah menghakimi diri sendiri. Berhentilah merendah diri, terasa jijik dengan diri atas apa yang sudah berlaku. Melangkahlah ke depan bersamaku dan tinggalkan segala yang sudah.
Share this novel