Bab 15

Drama Completed 57469

"Mak nak tanya, tapi kamu jangan marah." Puan Hasnah menegur anak bujangnya yang satu itu.

"Tanya apa mak? Lain macam sangat bunyi soalan mak ni. Sampai perlu minta izin bagai. Berdebar pula rasa di dada"

"Sejak bila kamu pandai mengintai-ngintai anak dara orang? Buruk perangai kamu mak ayah tinggalkan tak sampai pun 3 minggu."

Nizam tersedak air liur mendengar soalan yang diutarakan. Ish, bila pula maknya dapat tahu ni? Oh, mengintip ya selama ni?

"Apa ni mak? Anak dara mana pula yang mengadu dekat mak ni?"

"Anak dara tu tak mengadu apa pun dekat mak, tapi sebelum anak dara tu mengadu lebih baik mak awal-awal cegah perangai buruk kamu tu. Huish, tak baik skodeng anak dara orang."

"Anak dara mana ni mak?

"Anak dara sebelah rumah ni haa!"

Nizam terbatuk spontan. Haih, baru seminggu balik ke rumah dah boleh tahu anaknya skodeng jiran sebelah? Dasyat! Tahap James Bond rupanya mak!

"Mana ada. Tak baik mak menuduh macam tu. Nizam ni bukannya apa mak. Dia tu tinggal seorang diri. Sebagai jiran yang baik dan prihatin kenalah selalu menjenguk dia. Bertanya khabar. Nizam mengintai tu bukan sengaja-sengaja nak mengintai. Mak jangan salah faham."

"Mak memang dah tua tapi setakat ni belum buta lagi, Nizam. Patut ke tidak kamu tiba-tiba rajin menyapu luar rumah tu padahal pagi-pagi lagi kamu dah sapu bersih dah. Tengah hari tadi menyapu lagi? Eh, apa gila menyapu tengah hari terik. Oh, jiran yang baik lagi prihatin ya? Tapi elok pula menjenguk sebelah kiri tu saja, ya? Uncle Sasi sebelah rumah ni tak pula kamu rajin nak menjenguk? Sama saja sebelah rumah. Hah, Uncle Sasi dengan Aunty Devi tu bukannya ada anak nak tolong jenguk-jenguk mereka, bertanya khabar. Tak pula kamu prihatin?"

Nizam tersengih sendiri. Aduhai, tak payahlah petik jiran sebelah kanan. Ni kalau nak diteruskan mahunya jiran depan belakang pun turut sama kena petik.

"Kamu berkenan ke?"

"Haih, mak janganlah tanya soalan macam tu. Segan pula rasanya." Terasa wajahnya berbahang. Hampir saja dia mengukir senyum termalu sendiri apabila rahsianya pecah namun dengan profesionalnya dia acah-acah menayangkan wajah serius.

"Terjenguk-jenguk anak orang tak segan?"

"Ish, mak ni kan! Benci betullah. Semua benda boleh hidu. Kita terkenan pun boleh tahu. Mak ni ada bakat macam James Bond."

"Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya."

"Apa pula ikan? Mak ni....hmm sebab seganlah Nizam sekadar mampu menjenguk, mak. Itu pun mak tak tahu ke? Tadi kata sekilas ikan di air apa semua tu tapi anak mak segan mak tak tahu?"

"Dah tu? Sampai bila? Nak mak tolong adjust?"

"Ish, tak payahlah sampai takat tu. Aduhai, sebab ni lah Nizam tak nak mak tahu. Tunggulah mak. Sampai Nizam dah ready."

"Apa pula? Ish, biar mak tolong adjust. Nak tunggu kamu rasanya lambat lagi kot. Tak payah risau. Nanti mak adjust biar nampak real. Okay tak?"

Terbeliak mata Nizam mendengar tawaran maknya. Ish, tak betul dah mak agaknya. Nizam tergelak kecil. Menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Tak payahlah mak sibuk-sibuk nak menyusahkan diri. Buat penat mak saja. Tak apa, mak duduk rehat saja ya? Pandai-pandailah Nizam nanti mak."

"Pandai-pandai dia konon. Dah seminggu mak balik ke rumah, tak jadi apa pun."

Deruman enjin kereta Nurin dari rumah sebelah menarik minat Puan Hasnah. Timbul satu ideanya untuk membantu Nizam. Ya, anaknya itu harus dibantu. Bukannya pandai nak mengurus masalah yang macam ni. Tak ada bakat langsung kalau bab mengorat. Kalau boleh berhentilah renew keahlian single tahun baru ni. Ada rezeki boleh dah timang menantu. Eh? Timang menantu? Kenapa menantu yang nak ditimangkan? Bukan cucu ke? Ah, lantaklah!

"Hah macam tahu-tahu kita tengah borak tentang dia. Tu bunyi enjin kereta jiran sebelah. Mak nak tegurlah!" Selamba Puan Hasnah bangun dan melangkah ke luar rumah dan menyarungkan selipar. Nizam? Sekadar menepuk dahi dan tidak sempat menghalang lagi. Hampir saja dia mencapai tangan ibunya bagi mencegah daripada wanita itu berlari anak keluar rumah. Tidak kesampaian pula.

"Assalammualaikum, nak keluar ke tu?" Puan Hasnah menegur Nurin yang sedang membuka pagar rumahnya.

Nurin tersenyum ke arah Puan Hasnah.

"Keluar sekejap mak cik. Nak beli barang. Ada nak kirim apa-apa ke? Nurin boleh tolong belikan sekali dah alang-alang nak keluar ni."

"Eh, tak ada apa. Sengaja nak tegur. Laa, ingatkan nak dating. Cantik-cantik rupanya nak beli barang saja. Rugi betul."

Nurin tergelak kecil. "Tak adanya nak dating. Kalau ya pun dating, sekadar dating dengan diri sendiri sajalah."

"Tak kanlah kamu tak ada buah hati. Orang cantik macam kamu mesti ada yang berkenan."

"Cantik ke? Haha terima kasih, mak cik. Rasa macam nak masuk bakul angkat sendiri pula dah. Segan kita dibuatnya." Nurin tergelak kecil. Langsung dia tidak berkecil hati atau terasa hati ditanya begitu. Bagi Nurin, biasalah orang tua bertanya itu ini. Mungkin sekadar nak berbahasa basi atau bertegur cuma.

"Cantik anak mak cik pun berkenan tengok kamu. Mak cik pun okay." Puan Hasnah meluncur kepada matlamat sebenar. Nurin terkedu sebentar. Haih, direct betul?

"Hah, apa tadi?" Nurin menyoal semula untuk mendapatkan kepastian.

"Anak mak cik terkenan dengan kamu. Jelas tak? Hah, ni kamu duduk seorang ke? Mak cik tengok sunyi saja rumah. Kalau bosan marilah ke rumah. Boleh temankan mak cik."

"A'ah, seorang saja. Haa, lain kali saya ke rumah ya."

"Mak ayah di kampung?"

Sekali lagi Nurin terkedu. Sepanjang dia keluar dari kampung, tak pernah siapa pun yang bertanya tentang ibu dan ayahnya. Hati Nurin seolah-olah dipukul dengan soalan itu.

"Mak ayah dah lama meninggal." Ujar Nurin perlahan namun jelas didengar oleh Puan Hasnah. Hati Nurin tiba-tiba pilu sendiri. Bukan kerana dia harus menyatakan tentang ibu ayah yang telah pergi namun apabila menyentuh tentang ayah, wajah Nadzir mula muncul di ruangan mata. Lelaki yang sekian lama mencurahkan kasih itulah yang mengubah hidupnya ke jalan gelap.

"Maaf kalau soalan mak cik menyinggung perasaan kamu. Mak cik tak tahu. Jangan sedih ya?" Puan Hasnah mula diserang rasa bersalah kerana wajah ceria Nurin jelas berubah sebaik sahaja dia bertanya tentang kedua orang tuanya. Hah, itulah! Padah banyak sangat cakap. Tak pasal-pasal sentuh isu sensitif pula.

Nurin sekadar menggelengkan kepalanya dan cuba untuk mengukir sebuah lagi senyuman manis untuk Puan Hasnah. Bukan salah Puan Hasnah untuk bertanya, tindakan Puan Hasnah itu betul. Tak tahu, kita tanya. Itu jauh lebih baik daripada buat spekulasi sendiri.

"Saya gerak dulu, ya. Nanti kita borak panjang sikit. Mungkin mak cik boleh jadi pasangan saya untuk dating. Lama dah saya tak berborak panjang dengan mak-mak." Ujar Nurin Ikhlas. Tak tahu kenapa namun hatinya seolah-olah dekat dengan Puan Hasnah. Dia selesa dengan wanita itu. Seolah-olah ada sesuatu yang menariknya kepada wanita itu. Barangkali keramahan dari Puan Hasnah yang membuatkan dia selesa dan tertarik.

"Eh, boleh sangat. Anggap mak cik ni sama macam mak kamu. Kalau ada apa-apa, mak cik ada untuk kamu. Ingat ya, kamu tak seorang diri. Mak cik ada sebelah ni. Tinggal kamu bagi salam saja. Luas pintu rumah Mak Cik bukakan." Puan Hasnah tersenyum manis. Ah, tak hairan anaknya boleh berkenan dengan gadis itu. Sesunguhnya hati dia sendiri pun terpaut dengan gaya dan perwatakkan Nurin. Dia memerhati saja Nurin berlalu pergi. Dia akhirnya sedar, Nurin bukan saja mencuri hati anak bujangnya malah dia sendiri tanpa sedar jatuh kasih pada gadis itu. Lain benar auranya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience