Nizam meraup wajahnya perlahan sebelum merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk itu. Nurin memandangnya berserta dengan wajah kelat yang bagaikan lupa cara untuk senyum.
"Apa salahku?" Nizam seolah-olah sedang bertanyakan soalan itu kepada pencipta di atas sana.
"Tak kan habis cerita ni kalau Eryn masih datang tanpa diundang. Sengaja sangat nak sakitkan hati orang. Gila sangat dia dengan awak tau." lontar Nurin dengan muncungnya yang panjang sedepa.
"Abaikan dia boleh tak? Yang kita pula jadi gaduh macam ni dah kenapa?" soal Nizam. Eryn yang salah kenapa dia yang menanggung akibat?
Nurin berjalan mendekati Nizam. Barangkali suaminya itu kurang jelas dengan apa yang sedang dia sampaikan.
"Macam mana nak abaikan kalau dah terang-terangan dia muncul dan cari gaduh? Mulut diaaa tu kan kalau boleh nak sangat saya gam dengan gam gajah! Biar dia senyap tak payah nak ajak saya perang mulut semata-mata rebutkan awak."
"So, awak dan Eryn rebutkan sayalah? Nak juga awak join rebutkan saya? Tanda sayangkan saya ke tu?" Nizam sengaja mengusik. Malas sudah dia menjawab serius setiap tutur kata Nurin jika masih bersangkut-paut dengan Eryn.
"Haa, tengok tu! Main-main lagi. Kalau macam ni bila masalah ni nak selesai?"
"I don't see any problem." balas Nizam selamba.
Baru saja Nurin mahu membuka mulut, Nizam terlebih dahulu mencapai dan menarik tangannya menyebabkan Nurin hilang keseimbangan dan terjatuh ke atas tubuh Nizam yang sedang berbaring di atas katil. Segera Nurin cuba untuk bangun namun Nizam lebih pantas mengunci Nurin dengan merangkul tubuhnya erat.
"Saya nak bangunlah." Terasa wajahnya sedikit panas. Dia masih lagi malu-malu setiap kali berdepan dengan Nizam terutamanya dalam situasi yang begini.
"Nak bangun pergi mana? Kan best macam ni." Nizam tersengih memandang Nurin. Alah, bukannya dia tak tahu Nurin malu. Tapi dia sangat menikmati saat itu. Rugilah dia kalau dilepaskan.
Sepanjang seminggu bergelar suami isteri, belum lagi dia berpeluang untuk memeluk Nurin seerat itu. Tidak pernah lagi dia memeluk isterinya seperti saat ini. Hari pertama dan kedua bergelar suami isteri, hanya esak tangis Nurin yang menjadi lagu. Menyesali keputusan untuk berkahwin kerana aib yang disimpan terbuka pada hari majlis dilangsungkan. Nizam masih bersabar untuk memujuk. Hari-hari seterusnya mood Nurin masih lagi swing tak kena tempat. Nizam sekali lagi bersabar dan merancang percutian sekali gus bulan madu mereka. Kali ni tak kan dia lepaskan peluang! Biar ini menjadi titik permulaan kepada hubungan mereka.
"Ish, lepaslah!" Nurin meronta sedikit. Sejujurnya dia sendiri sebenarnya nyaman berada di dalam rangkulan Nizam tapi tak kan dia nak mengaku? Malulah dia nanti!
"Duduk diam-diam atas orang boleh tak? Meronta kiri meronta kanan dah sama macam peluk biawak."
"Hamboi, sedap mulut mengata orang macam biawak."
"Dah tu? Siapa suruh meronta sana meronta sini? Apa tak sedap kena peluk?"
Soalan Nizam hanya membuatkan Nurin mengetap bibir. Malu, segan... Ah, terasa wajahnya panas.
"Nurin..." Nizam memanggilnya lembut. Nurin senyap. Sekadar melabuh pandang pada wajah suaminya. Mereka bertentang mata buat seketika. Nizam mengukirkan sebuah senyuman khas buat Nurin. Terasa dadanya berdegup kencang. Alahai, dah kenapa?
"Sayang..." Sekali lagi Nizam memanggilnya. Kali ini lebih lembut, lebih perlahan tapi penangannya lebih hebat dan dasyat. Bagaikan hampir meletup dadanya.
"Hmmm..." saut Nurin.
Tanpa sebarang amaran laju saja bibir Nizam mengucup lembut bibir Nurin. Tergamam sejenak dibuatnya. Aduh, terasa lain suasana seketika.
"Nurin isteriku, walau apa pun cabaran dan rintangan, janji kita akan hadap dan tempuh sama-sama tau? Kalau setakat Eryn, itu masalah kecikkk. Buat-buat buta, buat-buat pekak sudah. Yang penting sayangku ini kena tahu yang hati seorang Nizam sesungguhnya sudah pun terukir nama Nurin. Apa pun yang Eryn buat, tak kan mampu dia rampas dah sebab Nurin dah curi semua hati ni."
"Tapi...rasa terganggu sangat bila dia buat macam tu..." Nurin mengadu.
"Kita hadap sama-sama ya? Nurin bukan seorang. Nurin ada suami Nurin ni haa..." ujar Nizam berserta senyuman.
Oh Tuhan, kacak pula senyuman suaminya itu! Tanpa sedar, Nurin membalas senyum itu. Di luar sedarnya juga dia mendekatkan wajahnya dan mengucup Nizam perlahan. Bibir mereka bertaut buat seketika.
"Love you, sayang." ucap Nizam sambil menatap lembut wajah Nurin. Dia mengelus lembut rambut Nurin yang lurus dan panjang itu.
Nurin tidak membalas dengan kata-kata sebaliknya sekali lagi dia memulakan langkah mengucup suaminya. Semakin lama, semakin hanyut kedua-duanya dibuai resah gelora asrama. Tiada lagi ketegangan seperti tadi. Segalanya bagaikan terbang ditiup angin lalu. Yang ada cuma Nurin dan Nizam. Tentang Eryn? Ah, serta-merta dilupakan.
••••••••••••
Eryn melangkah perlahan menyusuri persisiran pantai dengan hati yang kosong. Dia menguis-nguis pasir dengan kakinya. Seketika dia menghala ke arah batang pokok mati yang terdampar di pantai itu. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut wajahnya. Dia membuang pandang pada air laut yang berombak perlahan. Desir-desir air menghempas pasir bagaikan memukul perlahan gegendang telinganya. Kedamaian pantai petang ternyata tidak mampu menciptakan ketenangan pada sekeping hati milik Eryn.
Hatinya kosong. Jiwanya celaru. Adakah semua ini kerana Nizam? Adakah kerana sakit dan pedih kerana kehilangan lelaki itu yang menjadi punca kepada rasa kehilangan yang dia sedang hadapi? Ah, betul! Semuanya kerana Nizam.
Mak, Eryn penat dengan semua ni. Kenapa dia tersilap mencintai orang yang bukan milik dia? Kenapa harus dia yang berasa sakit dan pedih sedangkan Nizam dan Nurin tersenyum bahagia? Terasa luka berdarah tanpa sebarang simpati. Mak, apa salah Eryn sampaikan terpaksa lalui semua keperitan ini?
Perlahan-lahan wajah Puan Azuween menjelma di ruangan matanya. Saat indah yang dikongsi berdua turut terpampang bagaikan wayang yang berputar sendiri. Terbit satu rasa yang hadir tanpa dipaksa. Rindu! Ya, terasa hatinya sarat dibebani rindu pada wanita yang telah membesarkannya dengan kasih dan sayang. Jika tadi hatinya terasa kosong, ternyata kini hatinya dipenuhi dengan rindu yang membuak-buak.
Mak... Hanya hatinya yang meraung sendiri. Puan Azuween tiada di sisi untuk memeluk dan menenangkannya. Apa yang telah dia lakukan? Mesti ibunya susah hati gara-gara dia menghilang tanpa khabar berita.
"Anak, kenapa menangis? Ada masalah apa? Dari tadi mak cik perhatikan kamu. Muka kamu masam saja. Sekarang kamu menangis pula sendiri." satu suara asing menegur Eryn.
Pantas Eryn menyeka air mata yang entah bila turun membasahi pipinya. Aduh, boleh pula termenangis tanpa sengaja!
"Tak ada apa-apa, mak cik. Saya pergi dulu, ya." ujar Eryn lalu bersiap-siap untuk bangkit namun terhenti apabila mak cik itu mengambil tempat duduk di sebelahnya.
"Kamu muda lagi. Carilah kawan untuk kamu berkongsi cerita. Jangan pula kamu duduk seorang diri macam ni. Takut nanti ada keputusan yang kita ambil atau buat tu, keputusan yang datangnya dari hati. Bukan dari akal. Mak cik pernah buat silap, jadi mak cik tahu. Sebab tu mak cik nasihatkan kamu."
Eryn memandang wanita itu sejenak sebelum dia berpaling untuk bangkit.
"Kalau anak mak cik masih ada, mesti dia sebaya kamu."
Eryn terhenti. Dia berpaling semula ke arah mak cik itu. Pandangan redup sayu mak cik tersebut bagaikan menyimpan seribu satu kisah duka. Eryn kembali membetulkan duduknya. Tak elok benar jika dia betul-betul melangkah pergi pada saat yang mcam ni.
"Anak mak cik dah meninggal?" Eryn menyoal.
"Entahlah... Kali terakhir mak cik jumpa dia masa dia masih kecil. Belum lama selepas lahir. Mak cik serahkan dia pada orang lain."
Ish, kejamnya mak cik ni. Hati kecil Eryn bersuara. Mujurlah cuma dia yang mendengar suara hatinya itu.
"Kenapa? Tak sayang ke anak mak cik tu?"
"Keadaan memaksa dan kerana sayangkan dialah mak cik serahkan dia kepada orang lain. Mak cik tak mampu nak jaga dia elok-elok. Mak cik nak anak mak cik hidup sempurna selayaknya orang lain."
Eryn mengutuk tindakan mak cik itu dalam diam. Dah senang-senang bagi anak dekat orang lain, sekarang boleh pula nak teringat dekat anak yang dah sekian lama hilang di mata. Bukankah dia sendiri yang menyerah pada perjuangan untuk menjaga bayinya? Kenapa sekarang masih teringat?
"Kalau boleh, sebelum mak cik menutup mata. Mak cik nak sangat tengok anak mak cik tu. Mesti dia dah cantik sekarang. Mak cik yakin orang tu jaga dia dengan baik." balasnya berserta dengan sebuah senyuman yang terukir bersama secebis harapan.
"Kenapa mak cik tak pergi cari orang yang jaga anak mak cik tu kalau mak cik nak sangat tengok anak mak cik tu?"
"Mak cik tak ada maklumat. Mak cik tak tahu nak cari macam mana. Mak cik cuma ingat namanya saja."
"Siapa nama orang tu? Mungkin saya boleh tolong cari." Eryn menawarkan diri. Timbul pula rasa kasihan apabila melihat senyuman mak cik tersebut.
"Namanya...Azuween. Ya, mak cik ingat dengan jelas. Namanya Azuween."
Jantung Eryn bagaikan terhenti. Adakah wanita yang sedang berada di depannya ini...
"Macam mana mak cik boleh jumpa orang tu?" sedaya upaya Eryn mengawal rasa terkejutnya.
"Dulu, mak cik ni... tak berapa betul jalan hidupnya. Puan Azuween tu baik sangat. Dia selalu jenguk mak cik, bergaul dengan mak cik macam orang biasa. Seolah-olah mak cik sama taraf dengan dia. Mak cik dengar dia tak ada anak. Jadi bila anak mak cik lahir, mak cik bagi dia."
"Tak berapa betul macam mana? Mak cik melacur? Jadi disebab kesilapan mak cik yang hidup sebagai pelacur, mak cik senang-senang serahkan anak mak cik untuk orang lain bela?"
Wanita itu terkejut. Selancar itu mulut anak manis di depannya namun biarpun perit itulah hakikat yang sebenar.
"Mak cik tak nak anak mak cik berterusan hidup di lorong gelap seperti mak cik. Mak cik tak pernah minta jadi begitu. Dulu masa muda mak cik dijual kepada bapa ayam selepas mak dan ayah meninggal dunia. Mak cik ada beberapa orang anak yang mak cik jaga sendiri. Tapi semua menerima nasib yang sama seperti mak cik. Ada yang terpaksa menanggung kekejaman manusia yang tidak berhati perut sehingga nyawa direnggut dari jasad. Ada juga yang memilih sendiri untuk mengakhiri penderitaan. Mak cik tak nak anak mak cik yang baru lahir pun mengalami nasib yang serupa, jadi mak cik serahkan dia tanpa berfikir panjang. Mak cik cuma nak yang terbaik untuk dia. Mak cik tak sanggup nak tengok anak-anak mak cik melalui masa gelap yang sama."
Ya Allah, sesukar itukah hidup di lorong? Kenapa wujudnya manusia bertopengkan syaitan? Bukankah lebih senang jika syaitan itu menunjukkan wajah sebenar supaya bisa dijauhi dari mula lagi? Dia tidak tahu bagaimana harus dia menghadam setiap bait kata yang wanita itu lontarkan. Bagaikan mimpi, hari ini dia mendengar sendiri luahan hati daripada wanita yang mengandungkannya. Dia yakin rahim wanita itulah yang dihuninya saat roh ditiup ke dalam jasad. Nama Puan Azuween saja sudah cukup untuk membuktikan semuanya.
"Nanti saya tolong cari." ujar Eryn setelah mendapatkan nombor telefon wanita yang bernama Zakiah itu. Oh, itukah nama ibu kandungnya? Eryn menoleh sejenak ke arah wanita itu yang masih tersenyum memandangnya.
"Anak, ni mak cik nak pesan. Walau apa pun masalah kamu tadi, berdamailah dengan takdir. Insyaallah kita akan lebih tenang untuk berdepan dengan apa jua masalah kita. Kamu yang menangis, mak cik pula yang bercerita tentang masalah mak cik." zakiah tertawa kecil. Eryn tersenyum cuma. Dia pernah mengadili wanita itu sebagai wanita murahan tanpa tahu kisah sebenar. Wanita yang mengandungkannya itu digelarnya pelacur murahan, dikejinya sebagai orang yang hidup tanpa maruah. Entah mengapa kini dia sendiri tidak pasti siapa yang murah dan siapa yang hidup tanpa maruah.
Barangkali dia sendiri yang menjadi murah kerana gilakan Nizam. Barangkali dia sendiri juga yang mencalarkan maruah diri. Mencari gaduh dengan Nurin hanya kerana rasa sakit hati apabila cintanya ditolak mentah-mentah. Jika sebelum ini dia merasakan bahawa dia sudah cukup perit dan sakit, rupa-rupanya ada yang jauh lebih seksa dan mungkin itu jugalah yang dialami oleh Nurin di mana akhirnya Nurin diberikan bahagia atas penderitaannya selama ini. Bagaimana pula dengan ibu kandungnya? Sudahkah dia menemukan bahagia? Eryn terkotak-katik sendiri seraya melangkah pergi. Dia harus pulang ke rumah dan bertemu dengan Puan Azuween dengan kadar yang segera!
Share this novel