Bab 8

Drama Completed 53004

"Engkau sama saja macam mak kau. Menyusahkan aku!" Nadzir mencampakkan pinggan berisi nasi putih itu ke lantai. Nurin terkejut dengan kelakuan ayah tirinya.

"Aku bersusah payah untuk keluarga ni, nasi putih saja yang kau hidangkan? Dasar tak sedar diuntung."

"Tapi ayah... lauk-pauk semua tak ada. Telur pun tak ada. Nurin tak tahu nak masak apa."

"Kalau tak ada, pergilah beli! Itu pun tak reti nak fikir ke?!"

"Tapi Nurin tak ada duit, ayah."

"Lagi lagi duit, lagi lagi duit! Tak ada benda lain ke yang diperlukan untuk hidup dalam dunia ni selain duit?!" Nadzir meraup wajahnya. Kesal dengan masalah duit yang semakin lama semakin menekan. Kesempitan yang dialami benar-benar menguji kesabaran untuk kekal tabah menghadapi setiap dugaan dan rintangan. Kos perubatan isterinya saja sudah sekian banyak tertunggak. Ini pula nak makan pun tak mampu.

"Kalau ayah izinkan, Nurin boleh buat kerja sambilan lepas habis sekolah." Nurin memberikan pendapat.

"Kau nak kerja? Kenapa? Kau nak orang kampung mengata aku? Kau nak orang kampung tahu yang aku tak mampu nak sara kau?" Ego Nadzir serta-merta menidakkan pendapat Nurin. Yalah, masakan gadis baru berusia 16 tahun itu disuruhnya bekerja demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga. Kalau begitu, gagallah dia sebagai seorang ketua keluarga dan ayah kepada Nurin.

"Tapi ayah, sekurang-kurangnya Nurin boleh beli lauk-pauk. Boleh juga tolong lengkapkan apa yang kurang."

"Sudah sudahlah tu, Nurin. Aku tak mahu orang kampung mengata aku. Kau apa tahu, kau tu budak lagi. Kemas nasi-nasi tu." Kali ini suara Nadzir mengendur. Dia beredar dari situ. Tiada lagi seleranya untuk menjamah nasi. Sungguh dia tertekan dengan masalah kewangan yang semakin lama semakin parah. Bengkel yang selama ini diusahakan dengan sepenuh hati musnah dalam kebakaran beberapa bulan yang lepas. Sebelum itu, di bengkel itulah tempat dia menjana pendapatan untuk keluarga. Hasilnya lumayan. Dia sememangnya berbakat dalam bidang itu. Pelanggannya ramai. Tapi sayang, bila dia kehilangan segala-galanya, kawan yang dulunya mengaku rapat pun menghilang entah ke mana. Tiada satu pun pertolongan yang hadir di saat dia susah. Simpanan pula semakin lama semakin tipis. Akibatnya dia terpaksa meminjam. Ah, boleh diibaratkan dia menggali lubang kuburnya sendiri. Itulah kesilapan pertama yang dia lakukan iaitu membuat pinjaman.

Terdesak perlukan modal, dia nekad meminjam namun ternyata untuk membina semula empayar bengkelnya bukanlah sesuatu yang mudah. Selepas tragedi kebakaran itu, ramai pelanggannya terpaksa beralih arah. Bila dia cuba untuk berdiri semula, sama saja seperti dia terpaksa mula merangkak sekali lagi. Hasilnya terlalu lambat sedangkan situasi semakin mendesak. Masalah yang datang langsung tiada rasa simpati. Isterinya pula semakin melarat, bukannya semakin sembuh. Kalau bukan kerana perasaan sayang yang utuh buat isteri, sudah lama dia melangkah pergi. Tapi mana mungkin. Itulah wanita yang menjadi tulang belakangnya selama ini. Itulah wanita yang berkongsi perit jerihnya selama ini. Dia sudah terbiasa dengan adanya wanita itu di samping. Apabila dia mahu bangkit semula, wanita itu sudah tidak terdaya. Nadzir jadi tertekan. Dia tidak mampu berdiri tanpa si isteri.

Sedang asyik memikirkan nasib malang yang melanda, telefonnya menjerit nyaring. Ah, nama Laopan tertera di skrin telefon. Bala sudah datang. Berat hati dia menjawab panggilan itu.

"Nadzir, bila lagi you mahu bayar? Sudah dua bulan tertangguh. Dulu masa mau pinjam, bukan main lagi you punya janji."

"Sorry Laopan, saya bukan tak mahu bayar. You sendiri tahu situasi saya banyak buruk sekarang."

"Haiya, jadi sekarang you nak I tolong handle you punya situasi buruk macam tu saja?"

"Bukan macam tu, Laopan. Kalau boleh I minta kasi sedikit lagi masa."

"I sudah kasi dua bulan oo, masih tidak cukup?"

"You memang baik Laopan sudah kasi dua bulan tapi...masih tak cukup. You tahu keadaan isteri saya pun makin teruk. Saya tak tahu nak cari duit macam mana lagi. Rawatan isteri, bil hospital semua tertunggak. Anak saya lagi tu tengah membesar. Semua guna duit."

"Anak lelaki suruh dia kerjalah tolong you. Boleh cari duit bayar hutang. I bukan Jabatan Kebajikan Masyarakat nak tolong you suka-suka. You dah pinjam, kenalah pulangkan. I bukan buat amal kebajikan."

"Anak perempuan, Laopan. Baru 16 tahun."

"Uih, anak dara rupanya. You jaga elok-elok anak dara you kalau tak nak I cantas! Hutang tak bayar, anak dara kasi I."

"Jangan macam tu, Laopan. Dia  tak salah. I yang meminjam. I janji I akan bayar."

"Janji tak habis-habis! Hujung bulan I call lagi. You jangan berani-berani tak jawab call. Ingat tu." Laopan memberinya peringat buat kesekian kali. Nadzir mengeluh lega. Maknanya dia terlepas lagi kali ini.

Seketika kemudian, telefonnya berdering lagi. Kali ini panggilan daripada hospital yang meminta dia dan Nurin supaya segera ke sana. Hatinya mula membisikan perkara buruk yang berlaku. Segala kemungkinan tentang perkara yang tidak diingini mula muncul di dalam fikiran. Serta-merta dia dan Nurin bergerak ke hospital. Sepanjang perjalanan dia lebih banyak berdiam diri. Melayan perasan yang tidak menentu. Sebaik saja tiba di sana, wajah muram doktor yang merawat isterinya bagaikan mengiakan perkara buruk yang dia bayangkan.

"Salam takziah, Encik Nadzir. Saya dah berusaha sehabis baik tapi..."

"Sakinah..." Nadzir sudah pun tenggelam di dalam tangisan tanpa sempat dijelaskan situasi sebenar. Tidak sanggup rasanya dia mendengar kenyataan yang ingin diungkapkan. Nurin memandang wajah doktor yang tertera tag nama Douglas. Seolah-olah meminta kepastian.

Doktor itu menggelengkan kepalanya. Sudah bertahun-tahun dia memegang jawatan sebagai seorang doktor namun situasi seperti ini tetap berat dan sukar untuk dilaksanakan. Tugasan untuk menyatakan perginya pesakit kepada waris atau ahli keluarga tetap merupakan tugasan yang paling berat baginya.

Nurin terduduk di situ juga. Sedih? Ah, tak payah nak cakap. Perasaan dia kini kosong. Air mata mengalir laju. Mak, rehatlah mak. Sudah sekian lama mak berjuang. Tapi... Nurin memandang Nadzir yang menangis teresak-esak bagaikan anak kecil. Ya, bagaimana dengan ayah tirinya itu? Bergolak gadai wang dan harta demi mak. Sanggup berhutang demi memastikan rawatan mak diteruskan. Lelaki itu sudah berusaha sehabis baik demi kesembuhan mak. Sayangnya kematian terlebih dahulu datang menjemput sebelum sembuh sempat menjenguk.

Nadzir menangis semahu-mahunya. Dia langsung tak kisah pada mata yang memandang. Hatinya remuk, sedih, pilu. Ahh, semuanya kacau! Dia tidak pernah bersedia untuk ditinggalkan. Dia terlalu sayangkan wanita itu. Bagi Nadzir, Sakinahlah sumber kekuatannya. Sakinah segala-galanya. Cintanya terhadap Sakinah terlalu kuat sehinggakan dia sanggup melakukan apa saja demi kesembuhan Sakinah. Tidak! Sakinah! Sayang harus bangun. Sakinah! Sakinah!

"Sakinah!" Nadzir meraungkan nama itu. Dia terjaga dari tidur lenanya. Ah, mimpi lagi. Mimpi itu sering kali datang menemani tidurnya. Nadzir meraup wajahnya. Kali ini mimpi itu bukanlah hanya sekadar mainan tidur. Ia lebih kepada kenangan silam yang muncul kembali secara tiba-tiba. Segalanya terasa benar kerana situasi itu sama seperti situasi yang terpaksa dia tempuhi beberapa tahun yang lepas. Perasaan bersalah mula memukul diri saat dia mengingat kembali raut wajah Nurin yang hadir di dalam mimpi tadi. Hanya beberapa bulan setelah isterinya pergi, dia akhirnya nekad untuk menjual anak tirinya itu demi kelangsungan hidup mereka berdua. Dia takut. Diugut bunuh kerana hutang yang tak berbayar. Dia sudah pun mencuba untuk menjaga Nurin, dia sedaya upaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ayah namun dia gagal teruk.

Ugutan demi ugutan yang diterima membuatkan dia lemah. Laopan mengugut untuk merogol dan menyeksa Nurin di hadapannya sendiri jika hutang masih tidak dilangsaikan. Nadzir tidak mahu Nurin terbunuh dan menanggung akibat kerana hutangnya. Idea gila Laopan untuk menjual Nurin mula ditimbang-timbang. Nadzir berfikir mungkin itulah yang terbaik untuk Nurin. Sekurang-kurangnya Nurin tidak akan disiksa. Laopan menyuruhnya bertemu dengan anak buah kepercayaan yang akan menguruskan segalanya. Urusan jual beli diselesaikan dengan kadar segera sebaik saja Nurin sampai di tangan mereka.

Malam itulah malam terakhir dia menatap Nurin. Tiada lagi sebarang khabar yang didengarnya tentang Nurin. Namun sejak setahun yang lepas, dengar cerita Laopan sudah meninggal dunia dan kerana itu Nadzir berani untuk tampil lagi. Dia ingin menuntut semula Nurin. Simpanannya sudah hampir mencukupi untuk membayar semula harga Nurin dahulu. Dia bukannya kejam untuk membiarkan Nurin sampai bila-bila di situ. Dia sayangkan Nurin walaupun status Nurin hanyalah anak tiri. Tidak pernah sekali pun Nurin lenyap dari ingatannya. Ah, dia yakin Nurin pasti akan membenci dia tapi Nadzir tak kisah. Asalkan dia dapat mengeluarkan Nurin dari dunia Nurin yang sekarang, itu sudah cukup memadai.

Nadzir hanya perlu mengumpul sekitar RM15,000.00 sahaja lagi untuk mencukupkan jumlah RM50,000.00 yang diserahkan kepadanya pada malam urusan jual beli itu dilaksanakan. Hutangnya telah selesai. Kewangannya semakin stabil. Dia yakin sedikit masa lagi dia akan bersatu kembali dengan satu-satunya waris yang Sakinah amanahkan untuk dia jaga.

"Bersabarlah, Nurin. Ayah akan datang jemput Nurin pulang." Nadzir melafazkan azamnya kepada Nurin. Walaupun dia tahu Nurin tidak mendengar, tapi itulah janji dia untuk Nurin. Kesal? Tak tahu macam mana nak jelaskan perasaan itu. Menyesal? Itu sudah pasti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience