Bab 37

Drama Completed 57469

"Ayah, tadi dekat sekolah cikgu cakap Nurin bijak. Mesti ayah bangga ada anak macam Nurin, kan?" Nurin tersengih sambil memandang Nadzir. Mereka berdua berjalan berpimpin tangan pulang ke rumah. Memang tugas Nadzir menghantar dan menjemput Nurin balik sekolah setiap hari. Walaupun Nurin tahu jalan pulang sendiri tapi Nadzir tidak sesekali membiarkan Nurin sendiri. Itulah satu-satunya buah hati yang ada walaupun bukan dari benihnya sendiri. Bukannya dia tak mahu ada anak sendiri tapi faktor kesihatan isterinya yang menjadi penghalang. Sakinah sering sakit-sakit. Tak sanggup rasanya merisikokan kesihatan Sakinah hanya demi zuriat. Seawal tiga tahun usia Nurin dia sudah menjaganya. Kini Nurin sudah pun berusia 10 tahun. Ah, cepatnya masa berlalu.

"Mestilah bangga. Sudahlah anak ayah ni cantik, bijak, baik, lemah-lembut pula tu. Bahasa sopan. Ish, untung ayah!" Nadzir melayan karenah Nurin seperti biasa. Nurin memang manja dengannya. Ayah kandung Nurin meninggal dunia saat dia berusia setahun. Kasihan anak itu, kecil-kecil lagi sudah ditinggal pergi. Atas dasar tanggungjawab, Nadzir mengambil alih tugasan ayah kandungnya dengan sangat baik.

"Nanti kalau Nurin dah besar, Nurin nak cari suami macam ayah. Baik dan sayang Nurin!!"

Nadzir tergelak kecil. "Amboi, dah fikir nak kahwin?"

"Mestilah. Kita kena fikir tentang masa depan. Contoh macam Nurin tadi tu. Haa, Nurin dah fikir siap-siap dah nak lelaki macam mana yang jadi suami."

Kata-kata Nurin membuatkan Nadzir tergelak besar. Terhibur pula dengan topik yang diutarakan.

"Masa depan ni ada banyak. Bukan tentang kahwin saja. Belajar elok-elok, dapat kerja bagus, jadi orang yang berguna, itu semua pun masa depan."

"Itu Nurin tahulah. Ayah tak tengok ke Nurin sedang study so hard right now? Nurin nak ayah dengan mak bangga. Nurin nak jadi asbab disebalik senyuman mak yang manis."

"Pandailah kamu. Ayah doakan yang terbaik untuk Nurin. Semoga segala kebaikan tu datang kepada Nurin. Semua urusan dipermudahkan." Nadzir tersenyum memandang Nurin. Gadis itu turut membalas senyumannya.

"Nanti kalau Nurin dah berjaya, Nurin nak jadi doktor. Kalau mak atau ayah sakit, Nurin boleh ubatkan secara percuma!"

"Hah, ni baru betul fikirkan masa depan. Fikirkan kerjaya bukan fikir nak kahwin."

"Eh, sama sajalah!"

Berdekah Nadzir ketawa. Apa pula yang samanya? Ada-ada sajalah si Nurin ni.

Nurin membuka matanya luas. Dia memandang sekeliling. Samar-samar dalam kegelapan dia berjaya mengenalpasti bahawa dia berada di biliknya sendiri. Dia bangun perlahan. Mimpi apakah tadi? Kenapa Nadzir muncul di dalam lenanya?

Nurin cuba mengingat semula mimpi aneh yang bermain sebentar tadi. Rasanya terlalu nyata. Ah, patutlah. Itu bukannya mimpi. Itu adalah kenangan yang terputar di dalam lenanya. Itu adalah peristiwa yang nyata. Nurin meraup wajahnya. Manik-manik peluh disekanya ke belakang. Tiba-tiba hatinya dikunjung pilu. Dia tercampak sendiri ke alam nostalgia. Bagaikan terperangkap di sana, kenangan-kenangan lain turut berputar sama. Setiap gelak dan tawa mereka begitu jelas di telinganya. Perasaan senang hati dan gembira yang dirasa terasa sangat nyata. Allahu, apa yang berlaku terhadap keluarga kecil yang dulunya bahagia namun kini semuanya hancur dan musnah?

Setitis dua air mata jatuh dari temboknya. Kenapa? Nurin menyoal dirinya sendiri. Apa yang menyebabkan dia menangis? Segera dia menghapuskan jejak titisan air mata namun tidak lama kemudian setitis dua yang lain pula gugur ke pipi. Sekali lagi dia menyekanya tapi ada yang lain pula gugur. Berulang kali dia mengulangi perbuatan yang sama dan ternyata air mata itu masih juga mahu membasahi pipinya.

"Stop it, Nurin!" Dia memarahi dirinya sendiri. Semakin lama semakin dia tenggelam di dalam tangis. Terbayang wajah tua Nadzir yang semakin dimamah usia. Betapa lelaki itu menjaganya dengan penuh kasih suatu ketika dahulu. Betapa dia pernah menyayangi lelaki itu. Semakin jelas bayangan wajah Nadzir, semakin deras pula tangisnya. Tapi bukankah Nadzir sendiri yang keruntuhkan keakraban keluarga mereka? Bagaimana harus Nurin memaafkan Nadzir?

"Ayah minta maaf, Nurin."

Terngiang-ngiang suara Nadzir memohon kemaafan. Bagaikan wayang yang diputar, bayangan Nadzir yang datang ke rumah beberapa ketika yang lalu muncul di depan matanya. Malah cukup jelas perbuatannya menghalau Nadzir tanpa belas dan kasih. Bukankah selayaknya Nadzir diperlakukan begitu? Hidupnya musnah kerana Nadzir. Cita-citanya lebur. Nak jadi doktor? Huh, belajar pun sekerat jalan. SPM pun tak ada. Terkubur terus cita-cita yang diimpikan.

"Ayah sayangkan kamu, Nurin."

Suara itu menerpa lagi. Namun kali ini lebih sayu dan menusuk ke relung hatinya. Ada getar pada hujung suara itu.

"Ayah..." Buat pertama kali selepas beberapa tahun itulah kali pertama dia memanggil ayah.

Serta-merta rindu menerpa. Menyesakkan jiwa. Dadanya terasa sendat. Selepas sekian lama, inilah kali pertama dia merasa saratnya rindu. Satu persatu kenangan indah yang pernah tercipta mula muncul. Bagaikan satu tayangan, semuanya muncul diruangan mata. Setiap senyuman, setiap gelak dan tawa. Segalanya cukup indah.

"Ayah...kenapa kita jadi begini sekarang? Kenapa segala yang indah musnah dalam sekelip mata macam ni?" Nurin bersoal sendiri. Rasa kesal hadir mengenangkan keadaan mereka yang sekarang. Adakah dia yang salah kerana terlalu berkeras? Dia merasakan bahawa kehidupannya hancur selepas Nadzir menjualnya tapi adakah itu benar-benar pengakhir bagi dirinya? Sebelum ini Nadzir sudah menjelaskan kenapa dia membuat keputusan yang sebegitu. Mungkin itu saja keputusan yang akal sihatnya mampu fikirkan pada waktu itu. Nurin tahu keadaan Nadzir terumbang-ambing selepas Sakinah pergi.

Tapi bukankah dia juga berdepan dengan situasi yang sama? Kenapa Nadzir selemah itu? Ya, itu yang dia marahkan. Itu yang menyebabkan hatinya berkecai. Semakin payah situasi yang terpaksa ditempuh, sepatutnya mereka semakin berpegang teguh antara satu sama lain. Bukannya membuang dia begitu saja. Mungkin situasi mereka tidak akan seteruk ini sekiranya Nadzir berterus-terang dari dulu. Mungkin juga dia boleh menerima keputusan Nadzir sekiranya Nadzir jujur tentang situasi yang terpaksa mereka tempuh. Sekarang, bagaimana harus dia membuang amarah yang sekian lama membakar diri? Sampai bila harus hatinya terbakar apabila terkenangkan perbuatan Nadzir?

Ah, sudah. Matanya kini terbuka luas. Hilang mengantuknya yang membaluti sebentar tadi. Nurin menyeka pipinya yang basah. Perlahan-lahan dia bangun dan menuju ke dapur. Mencapai gelas dan mengisinya dengan air putih. Beberapa tegukan membasahi tekaknya namun tidak mampu menyingkirkan rasa pilu yang muncul kerana mainan tidurnya sebentar tadi. Nurin merenung gelas berisi air jernih. Alangkah indah jika hatinya juga sejernih itu. Tiada dendam dan amarah yang mencemar. Mengeruhkan kejernihan sedia ada.

Mungkin benar sudah tiba masanya untuk dia memberikan peluang kedua buat Nadzir. Membetulkan kesilapan yang telah dibuat. Meskipun tidak akan mampu mengubah segala apa yang telah berlaku namun siapa tahu akan mempengaruhi segala apa yang ada di depannya kini. Tapi saat dia cuba untuk meredhai ternyata hatinya menolak.

Apa yang dah Nadzir lakukan bukanlah satu kesilapan kecil. Kesilapan itu telah merosakkan segalanya. Hati Nurin masih berdegil. Eh tidak. Dia sudah cuba untuk menerima namun dia sendiri yang masih menolak. Tapi sekurang-kurangnya dia mencuba. Bukankah itu pun dah cukup baik?

Nurin berbaring semula. Berusaha menenangkan diri yang masih bersisa esak tangisnya sebentar tadi. Dia memujuk hati. Jika kemaafan itu tidak mampu dia berikan sekarang, mungkin akan tiba masanya rasa kemaafan itu datang sendiri. Lelah Nurin memaksa diri namun ternyata dirinya masih belum benar-benar bersedia untuk memaafkan pengkhiatan itu. Entah berapa lama kemudian akhirnya dia terlelap semula. Tanpa sedar bibirnya masih lagi memanggil Nadzir. Nurin tidak sedar bahawa dirinya menagih kasih yang lalu. Dia menyangka dendamnya memakan kasih dan sayang yang selama ini menjadi tunjang kepada hubungan anak dan ayah. Nurin terlalu menafikan rasa hati untuk memaafkan sehinggakan rindu itu hadir lalu mencampakkan dirinya ke masa lalu yang memancarkan sinar bahagia antara mereka. Hanyut dia terbuai sendiri.

Maaf atas kelewatan update. Busy sikit lately dgn duniawi

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience