Bab 42

Drama Completed 53004

"Nizam, rasa berdebar lain macam." Nurin meluahkan perasaannya.

"Tak apa. Kita nak settle elok-elok. Kalau boleh sebelum majlis bertunang nanti, semua dah okay."

"Tahu...tapi itulah. Takut..."

"Nak takut apa?"

"Tak tahu nak hadap macam mana. Perasaan ni rasa macam bercampur-baur sangat."

"Bawa-bawalah istighfar. Anggap ini langkah pertama untuk kita mulakan hidup. Marah lagi ke?"

"Tak tahu..."

"Marah tapi rindu?"

"Pun tak tahu...."

"Dah, bawa bertenang. Sekejap lagi pak cik datang. Jangan tunjuk muka kelat tu. Pergi masuk dalam. Biar saya tunggu dekat luar. Mesti dia pun tengah nervous sekarang. Berkali-kali dia datang nak jernihkan hubungan tapi tak berjaya. Kali ni kita pula panggil dia datang. Tak tahulah macam mana perasaan dia. Mesti bercampur-baur juga."

Nurin sekadar mengangguk. Dia berlalu ke dapur. Kelihatan Puan Hasnah sudah pun siap membancuh air untuk dihidang nanti. Puan Hasnah melontar pandang pada Nurin yang jelas kelihatan tidak senang duduknya.

"Kenapa, Nurin?"

"Tak tahu... Betul ke apa yang Nurin buat ni?"

"Memberi kemaafan itulah yang sebaiknya. Kenapa Nurin ragu-ragu?"

"Hati ni rasa macam belum bersedia."

"Belum bersedia untuk memaafkan ayah Nurin?"

Nurin mengangguk. Setiap kali dia cuba untuk mengikhlaskan hati, setiap kali itu jugalah kenangan silam mengusik jiwa. Dia terbayangkan keperitan saat bergelut dengan Nadzir untuk melarikan diri pada malam dia di hantar ke kelab. Kesakitan yang terpaksa ditanggungnya saat kedua-dua tangan dan kaki diikat gara-gara dia meronta. Belum lagi cerita tentang ketakutan yang terpaksa dia hadapi selepas itu. Hampir menjadi santapan di lorong saat melarikan diri. Hari esok bukanlah satu kepastian. Pelanggan miang tua yang melanggan belum tentu akan melepaskan dia dengan baik. Ada ketikanya dia termakan penampar juga apabila menolak ajakkan untuk bersama. Bertahan hidup di tempat begitu bukan mudah bagi gadis seperti dia. Nak selamat punya pasal dia terpaksa mengikut rentak yang ada. Dia tiada pilihan. Dia mungkin cuma bernasib baik kerana adanya Dylan yang masih memelihara dia memandangkan dia yang paling muda di situ.

"Insyaallah, niat Nurin baik untuk bersemuka dengan ayah Nurin hari ni. Semoga semuanya dipermudahkan. Jangan risau, kami ada. Nurin tak berseorangan seperti sebelum ini."

Nurin cuba untuk tersenyum meskipun terasa kelat. Dia cuba bertenang. Sengaja pertemuan hari ini berlangsung di rumah Nizam. Sememangnya dia memerlukan kehadiran Puan Hasnah dan Encik Lutfi untuk turut ada sebagai penguat semangatnya hari ini.

"Nurin..." Nizam menjenguk. Ah, masanya telah tiba. Nadzir sudah pun tiba. Puan Hasnah menggenggam tangan Nurin apabila gadis itu bagaikan terkaku tidak bereaksi. Sejuk tangan Nurin. Jelaslah gadis itu sedang berperang dengan dirinya sendiri.

"Jom, mak cik temankan." Puan Hasnah memimpin tangan Nurin untuk keluar dari dapur. Nurin hanya membontoti langkah Puan Hasnah sambil menunduk. Hatinya bercampur-baur.

"Nurin... Terima kasih sebab sudi panggil ayah." Nadzir memulakan bicaranya. Nurin masih lagi diam. Suasana canggung seketika.

"Begini, Nadzir. Biarlah aku berterus-terang. Anak aku dengan anak kamu nak bersatu. Dalam dua minggu lagi bertunanglah mereka berdua. Kami panggil kamu ni sebab nak berbincang tentang mereka." Encik Lutfi memecah kesunyian. Terus kepada isi kandungan.

"Aku tak ada sebarang bantahan. Kalau itu mahunya Nurin, aku terima apa jua keputusan."

Nizam menjeling Nurin. Aduh, bagaikan terkunci pula mulut Nurin. Bukankah mereka juga ingin menamatkan semua persengketaan yang mewujudkan dendam selama ini?

"Nurin..." Nizam memanggil namanya perlahan.

Nurin mengangkat kepalanya seketika. Dia melabuh pandang pada Nizam yang sedang memberikan isyarat kepadanya untuk beralih kepada agenda yang seterusnya. Nurin mengalih pandang kepada Nadzir. Garis tua kelihatan di wajahnya. Ah, ayah semakin tua. Beberapa tahun tidak bersua, tanpa Nurin sedar usia ayahnya semakin menua tatkala dia pula tumbuh dewasa. Nadzir membalas pandang. Redup renungan mata Nadzir menyentuh hati Nurin. Sungguh, dia rindukan lelaki itu. Tapi kenapa hatinya begitu keras?

"Nurin, ayah minta maaf." Nadzir melontarkan permohonan maafnya terlebih dahulu. Suaranya bergetar sedikit.

"Banyak salah ayah pada kamu, Nurin. Ayah tahu ayah dah rosakkan masa depan kamu. Ayah tak tahu nak betulkan macam mana."

"Sakit sangat bagi Nurin yang menanggung akibat daripada kelemahan ayah." Nurin bersuara perlahan namun jelas.

Hati Nadzir tersentuh apabila Nurin masih menggelarnya ayah.

"Ayah tahu... ayah terlalu lemah. Kamu jadi mangsa. Kamu lebih kuat daripada ayah. Kamu harung semua yang ada. Ayah tak dapat nak nafikan apa pun. Ayah salah."

"Ayah sepatutnya jadi pelindung."

"Ayah cuba...ayah dah cuba tapi ayah tak mampu nak lindungi Nurin dengan tulang empat kerat ayah. Situasi kita pada waktu tu menyebabkan ayah pendek akal. Ayah langsung tak boleh nak berfikir dengan betul. Ayah tak tahu macam mana nak lindungi kamu melainkan ayah lepaskan kamu."

"Kita sepatutnya lebih kuat bersama tapi ayah pilih untuk berjuang sendiri."

"Ayah rasa ayah gagal sangat waktu tu. Kalau boleh ayah tak nak Nurin tahu, tapi ayah juga yang buatkan kamu terjebak dalam masalah. Ayah bukan ayah yang baik." Getar suaranya bertukar kepada esakan.

Nadzir menitiskan air mata penuh penyesalan. Sedaya-upaya dia menyeka air matanya agar tidak jatuh namun perbuatannya hanya sia-sia. Semakin lebat pula air matanya membasahi pipi. Nurin juga hanyut dibuai perasaan. Dia juga tersedu-sedan menahan tangis. Semua yang lain hanya mampu terdiam. Membiarkan dua beranak itu tenggelam bersama emosi.

"Ayah faham...kalau Nurin...tak boleh nak maafkan ayah... Ayah tak nak paksa Nurin... Kesalahan ayah tu terlampau besar."

Senyap seketika.

"Ayah, kenapa kita jadi macam ni?" Nurin mula menyoal. Mereka terasa asing.

"Sebab ayah bersalah." Hanya itu yang terungkap dari bibir Nadzir. Ya, dialah punca semua masalah ini. Dia juga yang menyebabkan Nurin membencinya. Dia juga yang merosakkan masa depan Nurin. Dia yang gagal. Dia yang lemah. Dia tidak mampu menjaga Nurin. Dia tidak mampu mengotakan janjinya pada arwah Sakinah.

Mengenangkan arwah isterinya, dia semakin sebak. Jika arwah masih ada, mesti arwah juga akan membencinya sama seperti Nurin. Dia menekup wajahnya. Tangisnya sedikit tidak terkawal. Seketika kemudian terasa seseorang menyentuh tangannya. Nadzir mengalih tangannya dari muka. Ternyata Nurin yang sedang berada di depannya.

"Ayah memang jahat. Ayah memang lemah. Nak jaga Nurin seorang pun ayah tak dapat. Ayah lebih memilih untuk jual Nurin sebab tak sanggup nak hadap masalah hutang. Tapi ayah tetap ayah Nurin, kan? Ayah yang jaga Nurin sebelum ni, kan? Ayah yang sara Nurin. Ayah yang jaga mak. Ayah hebat. Ayah tetap kuat walaupun ayah berada pada titik paling lemah. Ayah dah cuba untuk bertahan, kan?"

Mendengarkan itu Nadzir segera merangkul Nurin. Dia memeluk Nurin erat. "Ayah dah cuba untuk bertahan tapi ayah tak mampu. Maafkan ayah, Nurin. Maafkan ayah." Tangis mereka bersatu. Nurin membalas pelukan Nadzir. Terasa rindu yang selama ini disimpannya rapi bagaikan terlerai.

"Nurin maafkan ayah... Nurin rindukan ayah..."

Puan Hasnah yang menyaksikan situasi itu turut mengalirkan air mata. Indahnya sebuah kemaafan. Encik Lutfi pula sengaja mengalih pandangnya ke tempat lain. Hatinya turut dijentik pilu. Nizam menyeka air matanya yang mengalir. Syukur pada yang satu akhirnya mereka kembali seperti dulu. Tidak sia-sia dia berusaha mencari Nadzir. Semua penat lelahnya berbaloi. Bagaikan hilang satu bebanan dibahu Nadzir apabila Nurin melafazkan kemaafan. Bertahun lamanya dia menanggung bebanan tersebut. Siapa sangka semuanya berakhir pada hari ini.

Dia memanjat rasa syukur. Allah memakbulkan doanya untuk kembali bersatu dengan anaknya. Allah tunaikan keinginannya untuk memperoleh kemaafan. Di saat dia hampir menyerah Allah hadirkan Nizam untuk memudahkan semuanya. Syukur Ya Allah kerana masih memberinya peluang untuk menebus semuanya. Tidak akan dia siakan peluang ini. Dia berjanji pada diri sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience