Bab 38

Drama Completed 53004

Indah pelaminan serba putih dan ungu lembut itu benar-benar mencuri pandang semua tamu yang hadir. Dihiasi pula dengan cahaya lampu yang terpancar indah. Bunga-bunga mekar turut tersusun cantik. Semua yang hadir memuji-muji singahsana itu. Eryn memerhati sekelilingnya. Dia keliru. Pelamin siapakah itu? Kenapa dia tak tahu?

Tiba-tiba bunyi paluan kompang menarik perhatiannya. Ah, pengantin sampai. Dia cuba bergerak ke arah bunyi kompang itu. Tidak sabar rasanya untuk tahu siapa gerangan pengantin yang bakal duduk di pelamin indah tadi. Hatinya berdebar bagaikan satu petanda bahawa jiwanya bakal menemui kehancuran. Zap! Bagaikan disambar petir jiwanya kini benar-benar hancur! Kelihatan Nizam mengukir senyum di samping Nurin. Kedua-duanya melambai mesra pada tetamu yang hadir. Senyuman yang terukir menggambarkan rasa bahagia yang sedang dirasa namun tidak bagi Eryn. Hatinya hancur teruk. Air mata menitis laju. Sampainya hati Nizam. Sudah tahu dia mencinta tapi tetap tegar memilih perempuan lain yang entah dari mana datangnya. Sedangkan dia sudah sekian lama hadir dalam hidup Nizam. Kenapa sekali pun Nizam tidak memandangnya?

Tatapan penuh kasih Nizam untuk Nurin umpama merobek kejam hatinya. Ciuman yang diberikan di dahi Nurin seharusnya dia yang dapat! Sakit rasa hatinya bukan kepalang. Dia menjerit nyaring lalu berlari ke arah Nurin.

"Dia aku punya!" Eryn menjerit nyaring sambil meluru ke arah Nurin.

"Hei, bangunlah!" Tiba-tiba suara Puan Azuween berkumandang. Eryn terbangun dari tidurnya yang tidak lena. Ah, mimpi rupanya.

"Elok sangat perangai tidur maghrib macam ni. Padan muka dapat mimpi buruk. Nyaring betul suara menjerit macam kena tinggal laki."Puan Azuween membebel.

"Mak, Mak Ngah ada beritahu mak tentang Abang Nizam tak?" Eryn mengabaikan bebelan maknya. Mimpi tadi dirasakan terlalu nyata. Risau pula jika benar mimpinya jadi kenyataan.

"Beritahu apa?"

"Abang Nizam nak kahwin?"

"Ya ke? Dengan siapa?"

"Nurin."

"Siapa Nurin? Oh, jangan-jangan perempuan yang dia beritahu mak masa majlis hari jadi mak tu kot. Dia ada beritahu mak yang Nizam tu dah ada kekasih hati. Setakat tu sajalah. Tak ada pula inform mak yang mereka nak kahwin. Dah tu? Apa kaitan dengan kamu?"

Eryn terdiam. Maknanya memang betullah Nurin dan Nizam sedang bercinta. Maknya sendiri pun dah tahu tentang rahsia hati Nizam yang sudah ada pemiliknya.

"Kamu masih sukakan Nizam ke?" Puan Azuween bertanya. Ah, dia tahu benar anak gadisnya itu. Dari zaman sekolah lagi asyik bercakap tentang impiannya untuk bersuamikan Nizam. Eryn memang tidak pernah berahsia dengannya. Sampai sekarang pun dia tahu Nizam masih menduduki carta tertinggi di hati anaknya itu.

"Mak, sakitnya rasa hati ni. Sekian lama Eryn sukakan dia..." Eryn meluah rasa hati.

"Kamu pun satu. Kalau dah suka pergilah mengorat. Bukannya dah sah jadi suami isteri pun Nizam dengan budak tu."

"Nurin cantik mak... No wonder kalau Abang Nizam memilih dia." Eryn berkata jujur.

"Kamu pun cantik. Tak ada kurangnya pun. Kalau tak mana mungkin dua tiga orang datang nak merisik kamu dulu. Semuanya kamu tolak gara-gara Nizam." Puan Azuween memuji anaknya sendiri. Tak boleh jadi kalau Eryn yang sangat yakin diri tiba-tiba merendah diri macam ni. Cantik sangat ke si Nurin tu?

Eryn diam sejenak. Ya, dia pun cantik. Sekali dia melirik pasti ada yang akan tersangkut. Tapi kenapa kecantikkan dia tidak pernah nampak di mata Nizam? Kenapa mesti lelaki lain yang membalas pandangnya sedangkan dia mensasarkan pada seorang sahaja?

"Alahai anak mak, kecewa sangat ke kamu sampaikan kamu diam macam ni?"

"Tak tahu nak cakap macam mana mak... Banyaknya masa yang Eryn buang semata-mata nak tunggu dia."

Puan Azuween terdiam sejenak. Kasihan pula pada anaknya itu.

"Nanti mak cuba cakap dengan Mak Ngah kamu."

"Mak nak cakap apa?"

"Alah, pandailah mak nak cakap apa. Kamu jangan fikirkan sangat. Kalau boleh mak pun memang nak sangat tengok kamu dan Nizam tu bersatu. Bukannya apa, kalau mak dah tak ada satu hari nanti sekurang-kurangnya mak tahu kamu kekal akan jadi sebahagian dari keluarga ni. Mak takut kalau-kalau kamu diabaikan. Tak ada orang yang sayangkan kamu sama macam mak sayangkan kamu, Eryn. Mak yang jaga kamu dari kecil. Mak yang angkat kamu jadi anak. Mak risau..."

"Kalau orang dah menyisih, tak ada apa yang Eryn boleh buat mak. Nak buat macam mana, Eryn sedar diri. Eryn memang orang luar pun."

"Tak baik kamu cakap macam tu. Kamu bukan orang luar. Mak akan pastikan kamu akan always jadi keluarga." Puan Azuween melafazkan janji. Apa pun yang berlaku di kemudian hari, Eryn tak akan sendirian lagi. Nizam adalah kunci untuk memastikan Eryn tidak akan ke mana-mana.

Melihatkan anaknya termenung jauh, perlahan-lahan dia melangkah keluar. Memberi ruang untuk Eryn menenangkan diri. Kasihan anaknya itu, kecewa hati sampai terbawa ke dalam tidur.

Eryn melepaskan satu keluhan berat. Bagaimana lagi harus dia memujuk hati untuk terus kuat sedangkan retaknya sudah beribu? Jiwanya pula hancur dan remuk saat dia cuba menelan kenyataan bahawa Nizam bukan ditakdirkan untuknya. Segalanya terlalu pahit. Sudahlah tangan bertepuk sebelah, sehingga kini si dia yang diharapkan agar turut serta menepuk tangannya tidak pula sudi malah pergi kepada gadis lain. Di mana silapnya dia?

"Mereka bukannya dah sah jadi suami isteri pun." Kata-kata emaknya sebentar tadi bermain-main di fikiran Eryn. Benar apa yang emaknya katakan. Mereka belum sah. Kenapa harus dia berputus asa sebegitu rupa? Dia masih ada masa untuk berjuang. Hati Nizam masih boleh dimiliki sekiranya dia berusaha untuk mendapatkannya. Segera dia mencapai telefonnya. Sengaja meminta Nizam untuk menemannya keluar sebentar selepas Isyak nanti. Nizam tahu Puan Azuween tidak akan membenarkan Eryn keluar seorang diri, jadi Eryn yakin yang Nizam tidak akan menolak.

Abang, temankan Eryn ke supermarket sekejap nanti. Boleh? Nak beli barang sikit. - Eryn

Bila? Mak long mana? - Nizam

Mak sakit kepala. Lepas isyak nanti.- Eryn

Urgent ke? Esok-esok tak boleh? Abang masih dekat kedai lagi ni. - Nizam

Eryn mengetap bibir. Alahai, masih kerja ke? Lambat betul balik?

Ah, tak kisahlah! Waktu ni bolehlah dia mengelak. Tunggu sekejap! Getus hati Eryn. Segera dia mencapai kain tualanya dan mandi. Setelah itu dia bersiap-siap segera. Rancangannya dia akan terus ke restoran Nizam dan meminta Nizam temankan dia. Eryn yakin kalau dia sudah tercegat di depannya, mesti Nizam tak ada alasan untuk mengelak. Dia kenalah selalu bersama Nizam jika mahu lelaki itu jatuh cinta dengannya. Bedak diolesnya nipis. Tak perlu tebal-tebal kerana dia sudah cantik tanpa sebarang solekan. Kulitnya mulus tanpa adanya jeragat atau apa-apa masalah yang melibatkan kulit muka. Dia perfect!

"Eh, nak ke mana kamu? Dah solat ke?" Puan Azuween menegur Eryn ketika Eryn mengambil kunci kereta yang tersangkut pada dinding berdekatan dengan pintu utama.

"Eryn ke kedai Abang Nizam sekejap mak."

"Nak buat apa kamu ke sana?"

"Adalah." Jawabnya pendek sebelum menghilang disebalik pintu. Eryn segera menghidupkan enjin keretanya. Perjalanan ke restoran milik Nizam hanya mengambil masa 20 minit sahaja. Dia menyanyi kecil. Tidak sabar rasanya untuk berdua dengan pujaan hati. Sebaik saja tiba, dia memakirkan keretanya bersebelahan dengan kereta Nizam. Ah, so sweet! Kereta pun park sebelah-menyebelah. Kebetulan sangat ada kosong di sebelah. Eryn mengorak langkah ke dalam restoran. Dia mempamerkan senyum manis kepada Peter yang menyambut kedatangannya namun siapa sangka senyuman itu hilang dengan serta-merta apabila dia melihat kelibat Nurin yang sedang berjalan ke arah dapur.

Spontan kakinya menapak ke arah yang sama walaupun berkali-kali Peter menjerit memanggilnya.

"Cik, bukan ke arah sana cik. Meja di sini!"

Eryn tidak mengendahkan Peter sama sekali.

"Cik, ruangan dapur hanya staf yang dibenarkan masuk." Amira pula cuba menghalang namun selamba saja Eryn menolaknya ke tepi.

"Alaa, kasihannya memeng." kedengaran suara Nurin dari pintu belakang. Berderau darah Eryn apabila mendengar suara Nizam datang dari arah yang sama.

"Apa benda pula memeng?" Nizam tertawa kecil.

"Kucing ni laa..."

"Apa kaitan memeng dengan kucing?"

"Aih, memeng tu bunyi kucing."

"Hahaha, memandai! Kucing bunyinya meow laa..."

"Suka hati sayalah!"

Kemudian tawa mereka menyatu. Aduh, sakit pula rasa telinganya mendengar.

"Cik, sila keluar dari ruangan ni." Kali ini Husna pula yang masuk campur.

"Ish, dah kenapa kamu semua nak handle aku seorang? Tahulah aku mana jalan keluar." Eryn membentak. Sudahlah hati sedang bergelora, staf yang ada pula tak habis-habis nak menyibuk.

Nizam segera menjengah sebaik saja terdengar suara Eryn.

"Eryn buat apa dekat sini?" Nizam menyoal. Nurin turut memunculkan dirinya bersama seekor anak kucing yang digelarnya memeng sebentar tadi.

"Tadi Eryn ajak teman tak boleh pula. Kerja konon."

"Eryn, sekarang restoran tengah beroperasi. Belum tutup lagi, kan? So betullah tu tengah kerja."

"Tapi boleh saja kan kalau nak keluar?"

"Habis tu? Macam mana dengan restoran? Tak kan nak tinggal macam tu saja?"

"Habis tu apa gunanya abang ambil mereka ni semua jadi pekerja kalau setakat tolong tengok sekejap pun tak boleh? Lagi-lagi yang tu haa." Eryn menunjuk kepada Nurin yang terkebil-kebil memandangnya.

"Orang lain bekerja, dia sibuk menggatal mengorat bos dia. Boleh pula sibuk main kucing tu. Macam tu ke pekerja abang? No wonder nak tinggal sekejap pun langsung tak boleh. Sejenis tak boleh nak harap."

Aik, sampai ke sini kau serang aku? Hati Nurin berkata-kata sendiri. Memang boleh tahan perempuan ni. Muka ayu, tubuh langsing tapi sayang perangai tak secantik rupa.

"Saya tak mengorat pun bos boleh jatuh sayang. Susah betullah. Penat nak tolak ketepi tapi jodoh tu kuat semacam." Nurin sengaja menyimbah minyak. Biarlah Eryn nak terbakar sampai rentung sekali pun.

Nizam terkejut dengan reaksi Nurin. Alaa, tahulah mereka dah declare tapi tak payahlah bising-bising. Segan pula rasanya melihat mata Husna terbeliak. Dah tu boleh pula menekup mulut. Eleh, macamlah Nizam tak boleh nampak dia tersengih lebar. Sukalah tu ada isu untuk dijadikan bahan dan dikupas bersama staf yang lain.

"Hei perempuan. Aku tak bercakap dengan kau."

"Tapi kau bercakap tentang aku, kan? Salahkah aku nak berdiri untuk diri sendiri?"

"Kurang ajar kau."

"Eh apa benda nak bertekak pula? Eryn pergilah balik. Hal restoran ni tahulah abang macam mana nak uruskan." Nizam segera bersuara apabila Eryn hampir meluru ke arah Nurin.

"Abang pertahankan perempuan tu? Abang! Abang sedar tak dia bukannya siapa-siapa pun. Dalam hidup abang selama ni Eryn satu-satunya perempuan yang abang kenal, yang tahu semua tentang abang."

"Mestilah dia pertahankan aku. Don't you get it? We are going to be husband and wife." Nurin bersuara lagi. Kali ini diikuti dengan gayanya yang mengada dan acah-acah manja. Berdiri di sebelah Nizam sambil memandang lelaki itu berserta senyuman yang paling manis.

"Haih, geram pula aku dengan dia ni. Sana sikit sayang. Tak bolehlah dekat-dekat macam ni." Nizam berbisik perlahan. Dia pula yang berdebar bila Nurin terlalu dekat. Risau tak tertahan gelora jiwa dibuatnya. Naya terkenang, tak lena tidur malamnya.

Nurin tertawa manja. Sengaja mempamerkan kemesraan. Seronok pula dia bermain dengan api yang sedang marak. Eryn mendengus kasar sebelum berpaling dan melangkah pergi.

"Yeaa, I'm win!" Nurin bersorak kecil. Nizam menggelengkan kepalanya. Nampak gayanya Nurin bukan sembarangan orang. Melawan! Tapi dia suka! Makin dalam pula dia jatuh cinta pada gadis itu. Ish, geram!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience