Bab 47

Drama Completed 57469

"Anak mak..." Puan Azuween menangis bagaikan anak kecil. Memeluk erat anaknya yang tiba-tiba muncul di depan pintu setelah sekian lama menghilangkan diri tanpa sebarang berita. Rasa syukur dipanjat ke hadrat ilahi kerana telah mengabulkan doanya.

"Mak...Eryn minta maaf..." Eryn turut serta dalam drama air mata. Dia dibebani rasa bersalah apabila melihat kerinduan yang ditanggung ibunya.

"Mesti mak susah hati, kan?"

"Gila tak susah hati? Bingung kepala mak dengan perangai kamu. Dah kenapa hilang tanpa sebarang berita? Kamu pergi mana? Jangan buat kerja gila macam ni lagi, Eryn. Siang malam mak tak lena tidur. Dah rasa macam zombi." Dalam marah, dalam itu juga memujuk.

"Kamu okey ke? Sihat?"

Eryn mengangguk. "Mak sihat?"

Giliran Puan Azuween pula mengangguk. Kedua beranak itu melangkah masuk ke dalam rumah. Masing-masing melabuh punggung pada sofa empuk di ruang tamu.

"Kamu betul-betul dah okey? Kamu tak akan buat hal lagi macam ni, kan?"

"Eryn okey, mak. Eryn tak fikir panjang sebelum ni . Tak berdamai dengan takdir." ujar Eryn. Mengulang semula ayat yang pernah ditutur oleh wanita yang bernama Zakiah. Wanita yang besar kemungkinan merupakan ibu kandung yang telah melahirkan dia dan kerana itu jugalah dia balik pada hari ini. Dia ingin bertanya tentang perkara tersebut kepada Puan Azuween sendiri.

"Sekarang kamu dah berdamai dengan takdir? Kamu dah boleh terima apa yang berlaku?"

"Ada perkara lain yang berlaku, mak. Perkara yang cukup besar sampaikan Eryn boleh lupa tentang Nizam dan Nurin. Sekarang perkara ni jauh lebih penting."

"Serius benar bunyi kamu ni, Eryn. Apa benda tu?"

"Mak, kenal tak sesiapa yang bernama Zakiah?"

Puan Azuween tersentak sedikit. Zakiah? Ya, dia tidak pernah lupa pada pemilik nama itu. Pemilik nama yang telah membawa perubahan dalam hidupnya. Daripada seorang wanita biasa kepada seorang ibu. Macam mana Eryn boleh tahu tentang Zakiah?

"Mana Eryn dengar nama tu?"

"I meet her."

"Bila? Di mana?"

"Dia tengah cari anak yang dah dia serahkan kepada seseorang yang bernama Puan Azuween. Itu, mak kan?"

Puan Azuween mengangguk laju. Ya Allah, sekian lama terputus hubungan dengan Zakiah. Siapa sangka kembalinya Eryn dari pelarian membawa hati yang luka kini datang membawa khabar tentang Zakiah.

"Anak yang dia cari tu?"

"Kamu, Eryn. Dia sedang cari kamu."

Eryn diam sejenak. Maknanya betul segala apa yang sedang dia fikirkan. Ternyata dia bertemu dengan ibu kandungnya tanpa sengaja. Gara-gara cuba untuk melarikan diri dari kisah sedih hati luka, rupa-rupanya ada pula perkara lain yang sedang menunggu untuk diteroka.

"Mana kamu jumpa dia? Bawa mak jumpa dia, Eryn." pinta Puan Azuween. Setitis dua air mata sudah pun jatuh mencemar pipi. Ya Allah, rindunya dia pada Zakiah. Bukan niatnya untuk memutuskan hubungan. Terlalu banyak perkara yang berlaku. Itu dan ini. Masa berlalu. Tanpa sedar bertahun lamanya sudah tidak bertanya khabar. Pernah juga dia cuba menghubungi nombor telefon Zakiah yang berada dalam simpanannya namun tak pernah sekali pun berjaya disambung. Akhirnya talian itu sudah tiada dalam perkhidmatan lagi.

"Eryn ada nombor dia."

"Dia tahu siapa Eryn?"

Eryn sekadar menggelengkan kepalanya. Dia tidak tahu bagaimana untuk memberitahu tentang siapa dirinya yang sebenar sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah berjumpa. Itulah kali pertama mereka bertemu.

"Mak try call dia sendiri." ujar Eryn lalu menyerahkan telefon bimbitnya yang tertera nombor Zakiah. Eryn pula bangun dan menapak ke biliknya. Dia tidak tahu bagaimana harus dia merespon kepada setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya kini. Jejak kasih dengan ibu kandungnya? Ah, bagaimana respon yang seharusnya dia berikan? Janggal. Terasa aneh sekali. Eryn memutuskan untuk sekadar menempuh segalanya dan berdamailah dengan takdir.

Eryn merebahkan tubuhnya di atas tilam. Seketika dia memejamkan matanya. Aneh! Hanya kegelapan yang menyelubungi. Tiada pula bayangan Nurin atau Nizam yang menerpa bersama senyuman penuh bahagia yang seolah-olah mengejeknya. Sebelum ini, setiap kali dia menutup mata tentu saja bayangan mereka berdua akan muncul tanpa dipinta. Aksi manja yang bermain di ruang kegelapan matanya sekadar mendatangkan rasa benci dan meluat.

Tapi tidak kali ini. Tiada langsung bayangan mereka. Malah perlahan-lahan wajah Zakiah, ibu kandungnya pula yang muncul. Sangat perlahan namun bayangannya semakin lama semakin jelas. Eryn kehairanan. Apa dah jadi kepada rasa bencinya pada Nurin? Ke mana hilangnya rasa kecewa kerana Nizam? Kenapa wajah Zakiah yang baru pertama kali dia kenal juga yang memenuhi ruangan gelap pandangannya saat mata ditutup rapat? Dia kembali membuka mata. Memandang siling yang berada di atasnya. Apa sebenarnya yang berlaku sekarang? Kenapa hidupnya yang selama ini dirasakan cukup sempurna tiba-tiba jadi begini? Terasa kacau!

Tapi sempurnakah hidup dia sebelum ini? Adakah benar-benar sempurna seperti yang dia sangkakan?

••••••••••••••••

Puan Azuween memeluk Zakiah erat. Tiada sebarang kata yang mampu dilafaz saat mata bertentang antara satu sama lain. Puan Azuween tetap mampu mengenal Zakiah walaupun Zakiah yang sekarang langsung tidak sama seperti Zakiah yang pernah dia kenal satu ketika dahulu. Bagi Zakiah pula, Puan Azuween masih seperti dahulu. Masih cantik bagaikan tidak dimamah usia. Pelukan yang diberikan juga tiada bezanya. Masih hangat dan mesra dengan kasih dan sayang.

Eryn hanya memerhati. Tidak mampu untuk dia memahami perasaan yang sedang dikongsikan oleh kedua-dua wanita tersebut. Mereka tersenyum namun air mata laju mengalir membasahi pipi masing-masing. Dia hanya membiarkan mereka berdua berpelukan buat seketika. Ada juga beberapa pasang mata memerhati gelagat mereka. Barangkali turut aneh dengan situasi tersebut.

"Terima kasih sebab dah berjaya cari orang yang mak cik nak sangat jumpa ni. Tak sangka kamu betul-betul berjaya jejak dia. Hebat betul anak muda zaman sekarang." Tiba-tiba perhatian Zakiah beralih kepada Eryn. Dalam hatinya tak henti-henti mengucapkan syukur. Kalau bukan kerana Eryn, sudah pasti pencariannya tak kan pernah berakhir.

"Jom, duduk. Allahu, terasa berat dekat dada ni seolah-olah menghilang tiba-tiba." Puan Azuween mencelah. Terlihat jelas wajah Eryn yang seolah-olah bingung untuk memberikan reaksi yang sepatutnya. Dia dan Eryn sudah pun mencapai kata sepakat untuk berterus-terang kepada Zakiah tentang siapa Eryn dan apa kaitan Eryn dengan hidup Zakiah. Mungkin kerana itu Eryn tampak bingung untuk bereaksi.

Zakiah tersenyum dan mengambil tempat di depan Puan Azuween. Wanita hebat yang telah menjadikan hidupnya jauh lebih baik. Eryn pula mengambil tempat di sebelah Puan Azuween. Senyuman kekok dilemparkan. Ah, entah kenapa dia rasa gementar. Eryn asyik memikirkan tentang apa yang akan berlaku selepas ini.

Ya, selepas Zakiah tahu tentang siapa dirinya. Apa yang perlu dia lakukan? Bagaimana nak memberikan reaksi yang bersesuaian? Apa gelaran yang sesuai untuk ibu kandungnya itu? Mak? Eh, tak boleh. Nanti sama dengan panggilannya kepada Puan Azuween. Setelah sekian lama hanya Puan Azuween yang digelarnya sebagai seorang mak. Tak kanlah kedua-dua mereka digelarnya Mak? Tak ke keliru mereka nanti?

"Puan, maaf nak tanya... Agak-agaknya boleh tak Puan tunjukkan gambar anak saya? Eh, maksud saya gambar anak Puan...yang..."

"Tak payah formal sangat, Zakiah. Tak perlu nak minta maaf bagai. Betullah tu, dia anak awak."

"Tapi Puan yang jaga dia dari bayi. Agak-agak macam mana dia sekarang ya?"

"Saya cuma jaga dia. Dia amanah yang kamu serahkan suatu ketika dahulu. Hakikatnya masih darah kamu yang mengalir di dalam tubuh dia."

"Ready to order?" Tiba-tiba seorang pelayan datang mencelah. Senyuman mesra dilemparkan terhadap mereka bertiga. Terhenti sejenak perbualan mereka. Masing-masing memesan makanan yang diinginkan sebelum mereka kembali menyentuh topik yang tergendala seketika sebentar tadi.

"Kalau anak mak cik ada sekarang, apa yang mak cik nak cakap? Maklumlah dia tak pernah kenal siapa mak cik." Eryn bersuara. Sengaja ingin menyoal wanita yang merupakan ibu kandungnya itu.

"Mak cik cuma nak tengok dia. Puan, jangan risau puan. Saya tak akan pisahkan puan dengan dia. Saya cuma nak tengok dia. Sekadar untuk tahu berbaloikah tindakan saya lepaskan dia dulu."

"Kamu meragui saya ya , Zakiah?" Soal Puan Azuween sengaja mengusik.

"Maaf puan! Tak berniat pun saya meragui puan. Saya yakin puan dah jaga dia dengan baik... cuma selagi mana saya tak dapat tengok dia depan mata, selagi tu saya masih tertanya-tanya."

"Kalau macam tu, tengoklah puas-puas."

Zakiah tercengang sebentar. Nak tengok apa? Apa yang Eryn maksudkan? Dia melihat Puan Azuween. Mencari jawapan pada seraut wajah lembut itu.

"Dah kenapa pandang saya? Kata nak tengok anak kamu, kan?"

Zakiah mengangguk perlahan. Masih lagi tidak mampu memahami siapa yang seharusnya dia lihat.

"Pandanglah anak kamu. Jangan tengok saya."

"Mana?" Soal Zakiah lagi.

Puan Azuween tersenyum. Sekadar memberikan jawapan melalui matanya saja yang melirik kepada gadis disebelahnya.

"Kamu?" soal Zakiah kepada Eryn.

Hampir serentak Puan Azuween dan Eryn mengangguk. Terkejut Eryn apabila Zakiah tiba-tiba terus memegang tangannya erat.

"Maafkan ibu, nak. Ibu jahat. Ibu tak mampu nak jaga anak ibu sendiri. Tak selayaknya orang macam ibu ni lahirkan kamu di dunia ni." ucap Zakiah sambil berkali-kali mengucup tangan Eryn.

Eryn terpaku sejenak. Kali pertama seseorang memohon kemaafan daripadanya dengan begitu terdesak sekali. Zakiah tidak lagi mampu mengangkat wajahnya untuk memandang Eryn. Dia hanya tertunduk dengan penuh rasa bersalah, malu dan...ahh! Segalanya bercampur-baur.

Air mata Zakiah mengalir laju bagaikan empangan pecah. Puan Azuween yang menyaksikan adegan itu sedaya-upaya menahan diri agar tidak turut hanyut. Bukankah ini yang dia inginkan? Dia mahu Eryn kenal siapa ibunya. Dia juga yang mencadangkan agar mereka berjumpa pada hari ini. Dia juga yang meminta agar Eryn setuju untuk memperkenalkan dirinya kepada Zakiah. Buat seketika mereka bertiga bagaikan tenggelam sejenak dengan drama air mata itu.

"Ibu sepatutnya pertahankan kamu. Tapi ibu terlalu takut. Takut kalau ibu gagal. Ibu lemah sangat. Waktu tu...semuanya payah."

"Ibu, terima kasih untuk semuanya."

Pantas saja Zakiah memandang Eryn sebaik saja dia mendengar Eryn memanggilnya ibu.

"Terima kasih sebab masih mencari anak ibu ni walaupun dah berpuluh tahun berlalu. Terima kasih sebab ibu tak pernah lupa anak ibu ni walaupun anak ibu ni tak pernah kenal siapa ibu. Terima kasih sebab dah amanahkan anak ibu ni kepada orang baik seperti wanita yang berada di sebelah sekarang ni." kata Eryn merujuk kepada Puan Azuween.

Ternyata kata-kata terima kasih yang ikhlas diluahkan menjadi asbab kepada jatuhnya air mata yang sedari tadi ditahannya. Kini, Eryn benar-benar berdamai dengan takdirnya.

"Ibu tak jahat. Ibu cuma buat apa yang seorang ibu buat untuk anaknya. Ibu cuma nak kan yang terbaik. Kalau bukan kerana pengorbanan ibu, Eryn tak kan pernah kenal wanita yang Eryn panggil mak." Eryn tersenyum ke arah Zakiah sebelum beralih kepada Puan Azuween. Kedua-dua tangan mereka diraihnya lalu digenggamnya erat.

"Eryn sebenarnya bertuah. Ada ibu dan ada mak. Dua-dua sayang Eryn, kan?"

Hampir serentak mereka berdua mengangguk. Ah, damai yang dicari akhirnya datang sendiri. Kini Eryn mampu tersenyum. Kini, dia mampu merasakan bahagia yang sebenar yang datangnya bukan dari lelaki yang dipuja dan dicinta. Sungguh dia telah membuang masa dan menyakitkan diri sendiri mengejar Nizam. Dia terlalu hanyut dibuai rasa dan tidak mampu melihat cinta yang ada di sekelilingnya. Hari ini terbuktilah nyata cinta dari kedua-dua wanita itu sudah cukup untuk memenuhi jiwanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience